DIALOG RAKYAT |
- Di Sebalik Provokasi Perkauman, Bala Besar Sedang Menunggu Najib
- MDKS komited bangun Kuala Selangor pusat pelancongan menarik
- Ketika provokasi perkauman meningkat, di mana pemimpin negara?
- Jangan mengasari wanita
- DAP buat laporan polis di seluruh negara kecam tindakan melampau penyokong UMNO
- Pemimpin PR sokong penuh Teresa Kok, kecam keras tindakan NGO tidak bertanggungjawab
- Pertemuan Ahmad Yaakub dengan taukeh garam
- Azmin desak MB Selangor henti guna PKNS sebagai senjata politik
- Pemimpin politik Myanmar terselamat cubaan bunuh di Bukit Bintang
- Ringgit jatuh RM2.624 berbanding dolar Singapura
- Sembelih ayam, habuan penampar: Teresa Kok, penyokong lapor polis
- Anwar MB Selangor: Rekod prestasi untuk PRU14, kata penganalisis
- Wanita PKR turut serta di Kajang
- Pelajar bimbang lelaki tunjuk kemaluan
- Ganti Taib Mahmud: Abang Johari 'kunci mulut'
- PAS bersiap siaga menggerakkan jentera pilihan raya ke Kajang
- NGO lumur darah ayam pada gambar pemimpin DAP, PKR
- AMK jangan terperangkap dengan politik kabilah'
Di Sebalik Provokasi Perkauman, Bala Besar Sedang Menunggu Najib Posted: 07 Feb 2014 01:08 AM PST shahbudindotcomTindakan sebuah NGO yang menamakan dirinya Majlis Jamaah NGO Islam Malaysia mengadakan demonstrasi membantah penerbitan video yang dibuat oleh pemimpin DAP, Teresa Kok yang dianggap menghina orang Melayu dan pemimpin tertentu, sambil menyembelih ayam dan melumurkan darahnya pada gambar beberapa pemimpin pembangkang, adalah suatu perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia ini. Ia tidak lain merupakan provokasi perkauman dan menggalakkan pertumpahan darah. Walaupun kita tidak bersetuju dengan tindakan Teresa Kok menerbitkan klip video yang dianggap menghina dan keterlaluan itu, tetapi cara bantahan dengan menyembelih ayam dan melumurkan darahnya sebagai simbolik mengajak pertumpahan darah, adalah juga perbuatan yang keterlaluan dan tidak boleh diterima. Begitu juga dengan tindakan NGO yang sama menawarkan upah sehingga RM1200 kepada sesiapa yang dapat menampar muka Teresa Kok, ia bukanlah cara yang sewajarnya melawan musuh politik. Tindakan ini mengundang bahaya yang lebih besar kepada keamanan, keharmonian dan kedamaian antara kaum di negara ini. Persoalannya, apakah dengan hanya berdemonstrasi seramai 50 dan membuat provokasi melampau yang seolah-olah mengajak pergaduhan, ia suatu bukti gah menandakan orang Melayu sudah cukup gagah untuk bergaduh dan bertumpah darah? Bagaimanapun, diharapkan tiada mana-mana pihak yang pendek akal yang sanggup menyahut tawaran tawaran NGO tidak matang ini. Percayalah, NGO ini hanya inginkan perhatian daripada pucuk pimpinan UMNO dengan menunjuk keberanian dengan maksud yang hanya mereka saja mengetahuinya. Jika berlaku sesuatu yang buruk nanti, NGO inilah yang paling awal menghilangkan diri. Penghinaan dan cara serangan melalui video, sebagaimana yang dilakukan oleh Teresa, sepatutnya hanya dibalas dengan serangan dalam bentuk yang serupa juga dan bukannya dengan cara yang melampau. Ini semua adalah sebahagian daripada proses berpolitik yang sepatutnya ditangani dengan akal, hujah dan penuh kematangan. Dalam masa yang sama, apa yang telah dilakukan oleh Teresa Kok sudah pun dibuat banyak laporan polis oleh pelbagai pihak, malangnya tiada tindakan setakat ini, namun dengan reaksi melampau yang dilakukan oleh NGO ini, sudah sewajarnya pimpinan kerajaan, terutamanya Najib segera memberikan reaksinya. Beliau perlu menghentikan ketidakwajaran ini daripara berterusan. Sudah sampai masanya, Najib selaku Perdana Menteri, bukan saja perlu bersuara menyatakan ketegasannya untuk membendung perkara tidak sihat ini daripada berterusan, bahkan beliau juga sepatutnya pantas mengarahkan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi agar segera berbuat sesuatu melalui PDRM yang berada dibawah kendaliannya. Mungkin Teresa perlu dipanggil untuk diambil kenyataannya, begitu juga dengan NGO terbabit. Sekiranya perlu diambil tindakan kepada kedua-duanya, jangan takut untuk berbuat demikian. Melengahkan untuk bertindak tegas hanya menjerumuskan kepada pelbagai kemungkinan yang lebih buruk untuk negara. Selama ini, kepimpinan Najib sering dibelenggu dengan aspek kelemahan dan tiada keegasannya dalam banyak perkara. Usaha melaga-lagakan antara kaum dan agama sudah terlalu banyak berlaku sejak beliau memimpin negara ini. Dalam isu kalimah Allah, ketika ketegasan dan pendirian kukuh kerajaan begitu dituntut untuk meredakan ketegangan antara Islam dan Kristian, Najib ternyata hanya berdiam diri dan seolah-olah menyerahkan kepada takdir semata-mata untuk menyelesaikannya. Dalam isu yang dimulakan oleh Teresa Kok ini, sekali lagi ketegasan Najib dan kerajaan amat dituntut sebenarnya. Membiarkan unsur-unsur provokasi kaum berlaku tanpa kawalan, bukan saja mengundang bahaya dari segi keamanan dan kerharmonian, tetapi juga umpama menjemput bala yang besar kepada Najib sendiri. Selepas berlaku peristiwa berdarah 13 Mei, negara sebenarnya tidak memerlukan satu lagi tragedi seumpama itu. Perkara ini boleh dielakkan dengan Najib segera bersuara dan mengambil tindakan tegas agar kejadian ini tidak berterusan menggugat keamanan dan juga tidak mendatangkan bahaya dari segi persepsi umum terhadap kepimpinannya serta tidak berulang di masa depan. Berlakunya kejadian menyembelih ayam, melumurkan darah dan mengupah untuk menampar orang lain adalah tindakan jahiliyah yang bertentangan dengan dunia moden yang berpaksikan kematangan dan intelektual yang tinggi. Berlawan dengan musuh politik bukan begitu cara dan kaedahnya. Meskipun NGO ini bukan berkaitan dengan politik dan mungkin juga tiada kena-mengena dengan UMNO, tetapi Najib harus menghentikan mereka ini daripada terus membusukkan dunia orang-orang politik. Semuanya hanya boleh dihentikan jika Najib segara menunjukkan ketegasannya dan tiada komprominya dalam hal ini. Tetapi jika beliau memilih untuk berdiam diri dan dilihat terus lemah sebagaimana dalam beberapa isu sebelum ini, bala itu pasti akan terus mengejar serta tidak mustahil akan menghempapnya suatu hari nanti. Kejadian provokasi kaum ini adalah signal paling terang bahawa negara tidak memerlukan pemimpin yang lemah dan tidak tegas untuk berada lebih lama menggenggam kuasa. Pilihan berada sepenuhnya di tangan Najib sekarang ini. | |||
MDKS komited bangun Kuala Selangor pusat pelancongan menarik Posted: 07 Feb 2014 01:05 AM PST Oleh : Naeem Raffi SHAH ALAM : Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) komited memastikan pusat pelancongan di wilayah itu berada dalam keadaan terbaik bagi menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara. Setiausahanya, Azahari Sairin, berkata MDKS telah menjalankan beberapa projek pembangunan, penambahbaikan dan pengubahsuaian di beberapa pusat pelancongan sepanjang tahun 2011 sehingga pertengahan 2013. "Suatu yang merugikan buat MDKS sekiranya kelebihan yang ada di Kuala Selangor ini gagal diselengara dan di pertingkat. "Jadi menerusi, dana yang diperoleh dari Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (MARRIS) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor, MDKS dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan itu," katanya. Sementara itu, kawasan puncak Bukit Melawati yang terhad dan bercerun membataskan usaha mendirikan struktur binaan seperti tandas awam. Azahari berkata, selain kawasan berbukit, faktor menjaga keaslian kesan tinggalan sejarah antara punca tandas awam terpaksa dibina di Laman Budaya. "Pada awal pembinaan, pihak MDKS juga mencadangkan lokasi tandas di puncak bukit tersebut bagi kemudahan pengunjung. "Walaubagaimana pun, setelah kajian semula dilakukan, MDKS mendapati kawasan tersebut tidak sesuai memandangkan baki kawasan yang ada terhad," jelasnya. Beliau berkata demikian sebagai menjawab rungutan pengunjung berhubung kedudukan tandas awam jauh dan tidak mesra pengguna kerana tiada penunjuk arah. "MDKS sentiasa terbuka dan mengalu-alukan pendapat orang ramai dalam memastikan pusat pelancongan di wilayah ini berada dalam keadaan terbaik dengan kemudahan yang mesra pengunjung. "MDKS akan menambah bilangan papan tanda tunjuk arah yang mencukupi untuk kemudahan pengunjung," katanya.-EZY | |||
Ketika provokasi perkauman meningkat, di mana pemimpin negara? Posted: 07 Feb 2014 12:50 AM PST Tawaran secara terbuka kepada sesiapa yang berjaya menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok daripada DAP dengan ganjaran RM500 yang kemudiannya dinaikkan kepada RM1,200 oleh sebuah pertubuhan Melayu semalam menunjukkan provokasi perkauman sudah berada di tahap paling tinggi di Malaysia dan pemimpin tertinggi negara perlu segera campur tangan. Tawaran dibuat dalam satu demonstrasi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam yang menyaksikan dua ayam disembelih dan darahnya dilumurkan kepada kain rentang terpampang wajah empat pemimpin Cina DAP dan PKR di Kuala Lumpur yang dilakukan sekumpulan 50 Melayu tanpa rasa takut dan malu. Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia berkata semalam, tawaran bagi menampar Kok dinaikkan daripada RM500 ke RM1,200 kerana pemimpin DAP itu dikatakan kurang ajar dan mencabar kedudukan orang Melayu. Sekretariat Majlis Permuafakatan Ummah Malaysia, Zulkfli Sharif, berkata beliau tidak takut sekiranya Kok membuat laporan polis ke atas pertubuhannya sambil menggesa pihak berkuasa juga mengambil tindakan ke atas perbuatan biadap ahli Parlimen itu. "Kita serius dengan tawaran ini, tidak main-main. Ini adalah akibat kerana mulut celuparnya. Kita mahu beri amaran supaya kelak ahli Parlimen itu lebih berhati-hati dalam perbuatannya dan polis kena siasat jangan kerana beliau ahli Parlimen maka dilepaskan," katanya kepada The Malaysian Insider semalam. Kok sebelum ini dikritik dan lebih 40 laporan polis dibuat terhadapnya berikutan sebuah video sambutan Tahun Baru Cina berdurasi 12 minit bertajuk "Onederful Malaysia" yang dikatakan menghina orang Melayu. Bagaimanapun, Kok berkata, video tersebut dikeluarkannya bukan untuk menghina masyarakat Melayu tetapi hanyalah satira politik bagi menyindir kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) berhubung peningkatan sara hidup. Mata tertumpu kepada reaksi dan tindakan yang bakal diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap kumpulan yang mendakwa mereka mewakili kaum Melayu dan agama Islam itu. Jika selama ini PDRM cekap dalam menahan penganjur demonstrasi anti kerajaan kerana dikatakan mengancam keselamatan negara, tindakan sama diharapkan akan diambil kepada kumpulan NGO semalam yang menggalakkan jenayah secara terbuka. Jangan sampai PDRM dilihat berat sebelah kerana hanya bertindak terhadap kumpulan anti kerajaan tetapi membiarkan kumpulan pro kerajaan melakukan apa sahaja termasuk memporak-perandakan keharmonian kaum di Malaysia. Selain itu, kita juga mahu mendengar reaksi pemimpin tertinggi negara seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung provokasi perkauman terbaru ini. Seharusnya, kenyataan perdana menteri dan timbalan perdana menteri keluar sebaik sahaja insiden semalam berlaku untuk menenangkan keadaan. Walaupun Najib dan Muhyiddin mempunyai perbezaan politik dengan ahli Parlimen Seputeh itu, tidak bermakna aksi provokasi perkauman seperti ini perlu dibiarkan berleluasa kerana kepentingan dan keselamatan negara seharusnya lebih penting daripada kepentingan politik. Lagipun, Pilihan Raya Umum ke-14 masih lambat lagi dan masih boleh diadakan selewat-lewatnya pada 2018. Tiada masalah jika perbezaan politik diketepikan dan provokasi kaum serta agama seperti semalam dihentikan. Pemimpin pembangkang sudah mengeluarkan reaksi mengutuk tindakan provokasi semalam dan itu sudah dijangka. Apa yang diperlukan sekarang adalah keseriusan pemimpin negara dalam menghalang perkara seperti ini merebak dan menjadi pemangkin kepada insiden lebih buruk. Sudah tentu kita tidak mahu lihat insiden seperti tragedi 13 Mei 1969 berulang. Oleh itu, apa yang diperlukan sekarang adalah kerajaan yang memimpin seluruh Malaysia dan bukannya hanya memimpin penyokong BN. Jika tidak, identiti Malaysia sebagai sebuah negara moden mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama yang hidup secara harmoni akan musnah hanya kerana tindakan segelintir pihak | |||
Posted: 07 Feb 2014 12:48 AM PST Izmil AmriJusteru Islam, sebagai agama keamanan dan mendidik akhlak, jelas sekali melarang lelaki daripada bertindak kasar terhadap wanita. Lelaki yang mengasari wanita, bahkan yang mengancam untuk menggunakan kekasaran ke atas wanita adalah lelaki yang bacul. Ini semua orang tahu. Sesiapa pun yang mengasari perempuan pastinya akan dilihat seolah-olah syaitan bertopengkan manusia. Tidak kira apa alasan sekalipun, perempuan tidak wajar dikasari. Baik dengan tutur kata atau kerja buat serta perlakuan fizikal. Tuhan mencipta perempuan supaya disantuni. Bukan untuk dikasari, diherdik atau dicaci maki. Tanpa perlu dipertimbangkan apa jua latar belakang keturunan, agama, pendidikan, perempuan tetap perempuan. Dia mungkin isteri seseorang atau adik, kakak dan ibu kepada seseorang. Maka perempuan tidak boleh dikasari. Ini asas yang jelas nyata. Tidak ada lelaki yang waras akalnya suka melihat titis air mata wanita. Lelaki yang sentiasa dahaga dan giat memakan air mata wanita itu ialah lelaki yang dayus, pengecut dan punya kebarangkalian besar tidak mempunyai organ kejantanan yang mencukupi. Justeru ketika dikhabarkan bahawa ada segerombolan lelaki beriya-iya mahu mengasari seorang wanita, saya jadi hairan. Tambah hairan kerana gerombolan lelaki ini (kalau iya pun boleh dipanggil lelaki) tidak bertindak mahu mengasari wanita ini secara sendiri. Malah ia mahu memberi upah pula kepada lelaki lain untuk mengasari wanita yang satu ini. Saya cuma ada dua persoalan untuk gerombolan manusia ini. Pertama, adakah mereka ini semuanya biasa menempeleng isteri atau anak perempuan masing-masing dan merasakan pekerjaan mengasari wanita itu seakan-akan satu hobi? Soalan kedua, adakah kegemaran mereka mengasari isteri dan wanita dalam keluarga mereka itu turut disumberluarkan kepada pihak ketiga dengan diberikan imbuhan bayaran tunai? Ya ini soal sekumpulan lelaki pertengahan usia yang berkumpul ramai-ramai menawarkan wang kepada sesiapa yang boleh pergi menampar Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim dan merakamkan video perlakuannya. Adakah diri sendiri tidak punya bilangan testis yang mencukupi untuk melakukan kekasaran terhadap wanita terbabit, sehingga terpaksa mengupah pihak lain pula? Sudahlah mahu diupah, jumlahnya juga tidak seberapa. Setakat RM500, BR1M jauh lebih tinggi jumlahnya. Lalu tergesa-gesalah dinaikkan jumlah imbuhan itu menjadi RM1,200. RM1,200 untuk berlaku kasar terhadap seorang wanita. Lelaki malang manalah yang akan sanggup buat kerja terkutuk ini? Kerja mengasari seorang wanita demi habuan wang ringgit. Ini tidak banyak beza dengan pekerja seks yang sanggup buat apa sahaja asalkan kena dengan bayarannya. Malah sama sahaja seperti kaki pukul ala cumi dan ciki yang diberi upah 'mengajar' mana-mana perampas kekasih orang. Apakah umat ini sudah begitu terdesak dan bankrap maruah dan harga diri sehingga sanggup mahu menjadi pecacai untuk mengasari seorang perempuan demi RM1,200. Islam tidak mengajar perlakuan sebegini. Jadi janganlah menggunakan nama agama untuk memberi justifikasi kepada kebaculan kamu. Tambah menghina Islam ialah selepas menawarkan imbuhan wang untuk mengasari wanita, kumpulan melaungkan takbir. Eh, agama apa yang ajar kamu mengasari wanita dan melaungkan nama Tuhan ni? Seandainya Rasulullah masih ada, pastilah kamu ditempelengnya terlebih dahulu. Apa yang Islamiknya tentang menawarkan wang supaya seseorang mengasari wanita? Ada dalilkah yang menghalalkan perbuatan sebegini? Apa asas yang melahirkan kemarahan yang begitu membuta tuli sampai buat kain rentang pun tak periksa ejaan. Eja 'cauvinis' pun salah, malah saya syak gerombolan pakcik ini yang begitu bersemangat melumur darah ayam ke kain rentang dengan gambar pemimpin DAP tidak tahu pun apa makna perkataan cauvinis. Yang dia tahu, 'DAP cauvinis Cina'. Tidak ia sedar bahawa dia itu cauvinis Melayu. Ya cauvinis itu ertinya: Kepercayaan yang patriotik, berlebihan, dan membuta tuli dalam keunggulan dan keberanian nasional. Atau dalam bahasa Inggerisnya: Chauvinism, in its original meaning, is an exaggerated patriotism and a belligerent belief in national superiority and glory. Nah sekarang siapa cauvinis? Bagaimanapun kita seharusnya ucap terima kasih kepada mereka ini. Pekerjaan yang diperbuat oleh gerombolan ini memudahkan lagi usaha untuk menambahkan rasa benci dan meluat terhadap politik perkauman yang menjadi tunjang United Malays National Organisation. Ya, parti UMNO pastinya akan menjauh daripada segala kegilaan ini. UMNO, sepertimana gerombolan lelaki pertengahan usia tadi memang kerjanya sub-contracting dan menyumberluar perkara yang ia tidak berani lakukan sendiri. Tetapi malang bagi parti pemerintah ini, dunia sudah kian maju dan ini sudah masuk bulan kedua tahun 2014. Tahun 1969 itu sudah begitu jauh dan tidak lagi menjadi suatu faktor ketakutan malah sekadar memori yang mahu dilupakan. Jadi rakyat akan pastinya boleh menilai kekalutan yang melanda negara ini, siapa yang punya angkara. Jadi terima kasihlah, mudah kerja Pakatan Rakyat nak menang pada Pilihan Raya Kecil Kajang nanti. Buatlah lagi selalu. Mudah-mudahan impian ke arah negara aman makmur dan bangsa yang berpadu itu boleh pakat dikuburkan bersama-sama sambil menyambut 2020 nanti. – Roketkini.com | |||
DAP buat laporan polis di seluruh negara kecam tindakan melampau penyokong UMNO Posted: 07 Feb 2014 12:43 AM PST Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selain itu mereka menggesa orang bukan Melayu yang tidak mahir berbahasa Melayu supaya diusir keluar dari negara ini. Beliau menganggap keberanian puak pro-UMNO mencetuskan provokasi jenayah adalah kerana amalan double-standard dan mempolitikkan pihak polis dan pejabat pendakwaan sehingga membenarkan kumpulan itu terlepas bebas tanpa sebarang tindakan sedangkan pihak pembangkang terus dimangsakan dengan kesalahan yang tidak mereka lakukan. Beliau berkata, pihak polis mesti bertanggungjawab penuh di atas kegagalan menghindarkan ketegangan kaum, keganasan serta memastikan keselamatan Teresa Kok. "DAP sangat bimbang akan keselamatan Teresa dan akan mengambil pelbagai langkah perlu dengan izin beliau untuk memastikan keselamatannya terpelihara. "Bagaimanapun, tiada langkah keselamatan yang benar-benar berkesan apabila berdepan dengan puak perkauman dan fanatik yang akan melakukan apa sahaja untuk mendapat duit," katanya dalam kenyataan media, hari ini. "Kumpulan pro-UMNO terbabit menyembelih empat ekor ayam dan melumurkan darahnya ke kain rentang yang memaparkan wajah pemimpin DAP, Lim Kit Siang, Teresa Kok dan saya sendiri Eng serta ADUN PKR Lee Khai Loon. Meskipun tindakan sedemikian serta aksi membakar patung pemimpin Pakatan Rakyat sudah boleh dianggap biasa, puak pro-UMNO ini mengambil langkah baru ke arah keganasan dan kebencian dengan menawarkan upah RM1,200 kepada sesiapa yang sanggup menampar wajah Teresa Kok dan merakamkan aksi itu," katanya. GUan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, jelas sekali penyokong UMNO itu begitu berhajat membangkitkan kebencian dan ketegangan kaum demi menutup rasuah BN, kegagalan menguruskan ekonomi serta kenaikan harga gula, petrol, tarif elektrik TNB serta kadar premium insuran. Cadangan menaikkan kadar tol yang sepatutnya dilaksanakan tahun ini juga ditangguhkan ke tahun depan demi menyenangkan hati pengundi Kajang pada Pilihan Raya Kecil pada 23 Mac ini. "Langkah berdiam diri pihak polis menyebabkan kumpulan lelaki pro-UMNO ini untuk terus memalukan hatta di peringkat antarabangsa menghina kesucian Islam dan orang Melayu, serta semua lelaki di dalam negara Malaysia yang kita cintai ini. "Tidak ada agama atau keturunan malah tidak ada lelaki sejati yang akan membiarkan tindakan mengasari seorang wanita. "Sebagai seorang warganegara, saya memandang jijik tindakan penyokong UMNO ini, yang hanya menguatkan komitmen dan keyakinan saya bahawa UMNO dan BN mesti dihumban pada Pilihan Raya Umum akan datang," tambahnya. Katanya, sebagai seorang lelaki, beliau amat malu apabila seorang lelaki lain begitu bangga dan tanpa segan silu menyeru supaya seorang wanita ditempeleng demi upah wang ringgit. Beliau berkata, lelaki sejati tidak akan memukul perempuan, dan keganasan seharusnya tidak dibabitkan dalam wacana umum dan lapangan politik. "Seandainya gagal, demokrasi turut gagal dan Malaysia akan jatuh merudum ke arah pemerintahan bercorak diktator dan membentuk masyarakat yang tidak bertamadun. "Bagi menunjukkan betapa marahnya DAP terhadap tindakan melampau penyokong UMNO ini, wakil rakyat DAP akan membuat laporan polis di seluruh negara. Meskipun DAP tidak mengharapkan sebarang tindakan oleh pihak polis, sebaliknya DAP mahu membangkitkan kesedaran awam untuk mengecam ketegangan kaum yang cuba dibangkitkan penyokong UMNO serta melindungi Teresa Kok daripada menjadi mangsa keganasan," katanya.-Roketkini.com | |||
Pemimpin PR sokong penuh Teresa Kok, kecam keras tindakan NGO tidak bertanggungjawab Posted: 07 Feb 2014 12:41 AM PST Ahli Parlimen PKR Kuantan, Fuziah Salleh berkata, tindakan kumpulan NGO yang mencetuskan kebencian kaum dengan pelbagai tohmahan dan fitnah terhadap Teresa, nyata memalukan Islam sendiri. "Tindakan mereka itu jelas memalukan agama Islam. "Islam tidak mengajar umatnya melakukan perkara sebegini. Islam mengajar kepada kebaikan, keamanan, toleransi dan menghormati sesama manusia," katanya ketika ditemui mengiringi Teresa di Balai Polis Tun HS Lee. Tegasnya, polis juga harus mengambil tindakan segera dan bukannya diam membisu seolah-olah memberi ruang kepada NGO itu untuk terus bergiat aktif menyebar kebencian. "Apa yang dilakukan adalah satu kesalahan jenayah kerana mereka menawarkan ganjaran kepada individu yang sanggup menampar teresa. "Polis perlu bertindak secepat mungkin, berdiam diri tidak menyelesaikan masalah," ujarnya. Ahli Parlimen PAS Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud juga menyokong dan menegaskan bantahan itu adalah tidak matang dan bercanggah dengan akhlak seseorang yang beragama Islam. "Islam adalah agama kesejahteraan, jadi mereka yang membuat cercaan, tohmahan, fitnah dan provokasi terhadap Teresa serta pemimpin PR dianggap tidak layak menggelarkan diri mereka pembela Islam. "Tindakan mereka itu di luar batasan undang-undang dan seolah-olah memperlekeh dan mencabar maruah pihak berkuasa. "Saya juga kesal dan membantah terhadap apa saja aktiviti yang boleh menyebabkan perpecahan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini," tegasnya. -Roketkini.com | |||
Pertemuan Ahmad Yaakub dengan taukeh garam Posted: 07 Feb 2014 12:34 AM PST Semalam bekas taukeh garam kemudian menjadi ahli kolongmerat Melayu terhebat satu masa dahulu, Daim Zainuddin telah mengunjungi Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakub. Kunjungan itu mungkin menggembirakan kerajaan Kelantan dan merasa bertuah bila seorang seperti Daim yang pernah menjadi Bendahari Umno dan Menteri Kewangan sedia menjejakkan kaki ke Kota Darulnaim pusat pentadbiran kerajaan Kelantan.
Selalunya begitulah persepsi orang miskin terhadap orang kaya. Usahkan dapat bersalam dapat tengok kereta yang dinaikinya pun sudah merasa hebat. Wouuuu...Yang tololnya akan membuka hidung untuk menghidu apakah asal kereta dinaiki orang kaya baunya sama dengan asap kereta orang sesak. Sedikit sebanyak juga kedatangan Daim itu boleh akan dirasakan seperti kedatangan Pengerusi Bank Dunia bagi Najib Razak. Sudah pasti bila orang kaya datang menziarahi orang 'sesak' maka akan adalah dibawa buah tangan atau ole-ole. Makanya gambar pertemuan Ahmad Yaakub dengan Daim dan mereka sedang bersalaman perlu diperluaskan kerana dengan cara itu ia boleh menaikkan darjat Ahmad Yaakub sebagai MB. Elok juga kalau dibangunkan sebuah papan iklan besar di tengah-tengah bandar Kota Bharu gambar Ahmad - Daim sedang bersalaman. Kunjungan Daim itu sedikit sebanyak menaikan imej Ahmad Yaakub. Setidak-tidaknya dalam minda pelancong luar yang kenal Daim, akan berkata, oh Daim pun datang ke Kelantan. Mereka akan berfikir kalau Ahmad Yaakub tidak seorang MB hebat, bijak ekonimi macam mana Daim sedia ke Kelantan. Adapun apakah maksud dan tujuan kedatangan itu tidak dijelaskan. Tetapi melihat kepada gaya ia menyeronok dan menyenangkan Ahmad Yaakub dan kuncu-kuncu juga. Daim seperti menerima pemberian hadiah daripada Ahmad Yaakub. Mustahil kalau kedatangan itu tidak menggembirakan dan memberi untung, hadiah dihulurkan. Mudah dan mesranya Daim berjumpa dengan Ahmad Yaakub itu sedikit sebanyak menimbulkan kecemburuan pimpinan PKR Kelantan yang masih terkial-kial hendak jumpa MB. Katanya sudah berkali pihak PKR menghubungi pejabat MB, tetapi sampai kini tidak ada jawaba, makan kueh dan minum tea kosong. Di sms sudah di whasaap sudah, tetapi semuanya tidak terjawab. Ahmad Yaakub pula menjawab permintaan PKR melalui kenalan rapatnya semasa di bangku persekolahan dia ketiadaan masa. Memanglah sebagai MB sibuk 24 jam. Tentang kunjungan Daim itu, rakyat teringin sangat hendak tahu akan tujuan kedatangan itu. Ada yang mengagak dari jauh Daim datang untuk menyelesaikan royaliti petrolium yang menjadi milik Kelantan. Katanya permulaan Kelantan akan dapat RM12 billion. Wow... menjerit Husin Lempoyang mendengar angka itu. Benarkah begitu? Logikkah Daim datang fasal royalti? Apakah peranan Daim dan kedudukannya berhubung perkara itu. Apakah dia menjadi wakil kepada perdana menteri? Boleh jadi iya, ia boleh jadi tidak. Bukankah soal royalit masih dalam peringkat rundingan menentukan berapa jumlahnya. Telah ditubuh sebuah jawatan kuasa mengenai perkara itu kalau tidak silap bekas ketua hakim negara, Tun Salleh Abbas menjadi wakil kerajaan Kelantan? Jawatankuasa berkenaan pun sudah hanyut dibaham banjir yang melanda Kemaman dan Kuantan baru-baru ini. Kalau fasal royalti tentulah Salleh Abbas yang datang, setidak-tidaknya dia mengiringi Daim Zaindduin. Menterjemahkan kedatangan Daim itu bukan fasal royalti sebab Daim tidak ada hak apa-apa mengenai perkara itu. Jadi fasal apa? Ada yang kata fasal konsensus nasional? Kalau konsensus nasional juga tidak sebab ia diperingkat KL, kalau Kota Bharu, lebih kepada membuka jalan untuk bekerjasama dengan Umno. Ini ada munasabahnya. Perlu faham Daim ialah godfather kepada Mustapa Mohamad dalam Umno. Orang pertama membawa Mustapa ke dalam arena politik ialah Daim. Daim lantik Mustapa sebagai setiausaha politiknya. Atas sasilah itu mungkin kedatangan Daim itu dalam rangka membantu Mustapa di Kelantan. Baguslah kalau begitu. Tetapi itu bukan tujuan yang ditunjukkan oleh Daim. Ia ada tujuan lain. Lama sebelum ini Daim sudah berjinak dengan Kelantan menerusi apa dinamakan kegiatan kebajikan. Beliau khabarnya ingin berkhdimat kepada Kelantan dengan sedikit kekayaan yang dimilikinya. Beliau bercadang untuk membina 100 unit buah rumah alias rumah kebajikan (Projek Komuniti) di Lubuk Jong, Pasir Mas Kelantan. Projek kebajikan itu akan dibina menerusi Yayasan Zainuddin, milik Daim sendiri. Kononnya kerajaan negeri akan mendapat manfaat dari projek itu. Daim katanya sedia membangunkan 100 rumah itu secara percuma dengan syarat kerajaan negeri menyediakan tapak dan prasarana lain. Untuk itu kerajaan negeri telah menyediakan tanah seluas lebih 12 ekar. Projek itu dirancang tahun 2009 lagi dan kerja-kerja awal seperti pembersihan kawasan dan sebagai sudah dijalankan. Tetapi entah macam mana ia tergendala. Sampai sekarang projek itu tidak nampak bayang. Peralihan kepimpinan 2013 menyebabkan ada ura-ura tanah itu hendak dimajukan secara komersial, bukan secara percuma untuk membantu rakyat seperti dirancangkan sebelum ini. Apakah kerana projek itu hendak diubah dasarnya maka Daim datang menumui Ahmad Yaakub? Dan sambil bertemu itu maka berceritalah soal molok-molok kepada Ahmad Yaakub, konon begitu dan kononnya begini. Nak buat itu dan nak majukan ini bagi mengasyikkan Ahmad Yaakub? Tanah di Lubok Jong itu berpotensi dan bernilai puluhan jutaan ringgit. Sebagai seorang ahli perdagangan Daim tentu tidak mahu terlepas aset berkenaan. Boleh jadi Daim datang untuk merayu dan membuat perjanjian baru bagi menyiapkan projek berkenaan asalkan tanah itu menjadi miliknya. Apabila dia mendapat tahu kerajaan ingin memajukan tanah itu secara komersial maka dia sanggup membuang masa dan terbang ke Kota Bharu menjenguk Ahmad Yaakub? Dasar orang kaya kalau lima sen terjatuh ke dalam longkang pun dia akan cari sampai jumpa. Biarlah apa tujuan sebenar Daim, kerajaan Kelantan perlu berhati-hati. Ahmad Yaakub jangan mudah termakan dengan kata dan janji Daim. Mengenai projek rumah kebajikan itu ia sudah melewati lima tahun. Wajarlah kalau kerajaan melupai Daim dan membuat perhitungan baru untuk majukan tanah itu secara komersial. Apa yang penting di sini tanah itu dapat dimanfaatkan untuk rakyat lebih ramai lagi. Dan sekiranya Daim tetap juga hendak berbakti kepada Kelantan dengan duit yang dia ada, carilah tapak lain yang lebih sesuai. Lagipun pembinaan rumah kebajikan di kawasan yang pesat membangun itu tidak sesuai. Orang-orang tua atau mereka yang ingin menumpang rumah itu pasti mahukan keadaan yang aman dan tidak terganggu dengan populusi pembangunan. Dan satu cerita mengenai Daim perlu juga dikaraikan di sini untuk pengetahuan umum. Semasa Kedah diperintah PAS beliau juga ingin berbuat projek sama di kawasan Sungai Limau. Allahyarham Azizan Razak ketika itu menjadi MB Kedah telah menyediakan tanah di situ. Atas persetujuan juga Daim dikatakan sedia membina projek itu dan dalam masa sama dia memohon beberapa hektar tanah di Pulau Langkawi sebagai kontra. Azizan mempercayai hidup-hidup janji Daim untuk membina projek di Sungai Limau lalu meluluskan tanah untuk Daim di Langkawi. Projek yang dijanjikan tidak terbina sampai ke hari ini, manakala tanah pertukaran di Langkawi dikatakan telah menjadi milik Daim. Cerita ini adalah iktibar terbaik untuk Ahmad Yaakub agar tidak tertipu oleh taukeh garam yang licit. | |||
Azmin desak MB Selangor henti guna PKNS sebagai senjata politik Posted: 07 Feb 2014 12:29 AM PST Mohamed Azmin Ali mengecam Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana menggunakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebagai senjata politik bagi melawan musuh politiknya. Timbalan presiden PKR itu yang sebelum ini digugurkan sebagai ahli lembaga pengarah PKNS berkata, Abdul Khalid tidak berperikemanusiaan dan tindakannya memecat 22 kakitangan PKNS Holdings Sdn Bhd (PHSB) itu menyalahi undang-undang. "Pemecatan kakitangan PHSB bukan hanya melanggar undang-undang pekerja tapi adalah tidak berperikemanusiaan. "Abdul Khalid perlu berhenti guna PKNS sebagai alat politik untuk melawan musuh politiknya," kata Azmin dalam satu kenyataan hari ini. Semalam, Abdul Khalid mempertahankan tindakan pemecatan tersebut bagi menjimatkan perbelanjaan operasi sebanyak RM7 juta. Abdul Khalid berkata, pemecatan tersebut adalah mengikut prosedur yang dibuat dalam perjanjian dengan kakitangan PKNS tersebut. Namun, Azmin berpendapat tindakan itu bertentangan dengan prinsip Pakatan Rakyat (PR) yang membela nasib pekerja, bukan sebaliknya. "Semua pekerja mesti dilayan dengan bermaruah dan belas kasihan. "Ia bukan sahaja mengakibatkan kehilangan kewangan kepada kepada pekerja tetapi pampasan dua bulan gaji tersebut hanya menambah penghinaan kepada individu tersebut," katanya. Azmin menggesa supaya surat pemecatan itu ditarik balik dan menteri besar perlu meminta maaf atas tindakan yang tidak berhati perut itu. Selasa lalu, PHSB dilaporkan memecat kakitangannya tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam berkuatkuasa serta-merta. Kontroversi pemecatan itu berlaku ketika kemelut politik dalaman PKR Selangor masih bergolak antara kem Abdul Khalid dengan Azmin. Surat penamatan khidmat 22 kakitangan tersebut ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria. Isu pemecatan tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk Ahli Parlimen Langat yang juga Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdullah Sani membidas langkah itu sebagai tidak munasabah. Menteri besar dua penggal itu juga ketika ini berdepan dengan kemungkinan disingkirkan daripada tampuk kuasa Selangor selepas khabar angin mengatakan langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil di Kajang bertujuan mengambil alih jawatan penting di negeri terkaya tersebut. | |||
Pemimpin politik Myanmar terselamat cubaan bunuh di Bukit Bintang Posted: 07 Feb 2014 12:23 AM PST Menurut sumber polis, beberapa das tembakan yang dilepaskan seorang daripada dua lelaki bermotosikal tidak mengenai sasaran iaitu kereta BMW yang dinaiki pemimpin itu bersama tiga lagi kenalannya di Jalan Alor. Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, turut bersama Aye Maung ialah Pengerusi Parti Arakan Liga Demokrasi, Aye Thor Aung dan dua lagi warga Myanmar. Mereka dikatakan baru meninggalkan Plaza Low Yat sebelum kenderaan mereka diserang dua lelaki berkenaan yang dipercayai rakyat Myanmar. "Susulan tembakan itu, kenderaan dinaiki Aye Maung terus memecut ke sebuah hotel di ibu negara sebelum laporan polis dibuat. Tiada kecederaan dilaporkan terhadap mereka," kata sumber itu. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh. Aye Maung merupakan pengerusi sebuah suruhanjaya yang ditubuhkan kerajaan Myanmar untuk menyiasat insiden rusuhan etnik di Rakhine. - Bernama | |||
Ringgit jatuh RM2.624 berbanding dolar Singapura Posted: 07 Feb 2014 12:21 AM PST Ringgit Malaysia mencecah rekod paling rendah berbanding dolar Singapura awal minggu ini, dengan matawang lain di rantau ini masih lemah. Penganalisis berkata, ini disebabkan oleh aliran modal daripada pasaran membangun ke pasaran maju. Akhbar Straits Times Singapura melaporkan rekod terendah ini dipecahkan hanya tiga hari selepas Malaysia mencapai rekod terendah RM2.622 Khamis lalu dan berada pada RM2.6207 semalam. Ringgit semakin jatuh bukan disebabkan dolar Singapura semakin kuat, tetapi kerana aliran modal yang tinggi daripada pasaran yang masih membangun ke pasaran maju, kata pakar yang dipetik daripada akhbar aliran perdana itu. "Keseluruhannya, daripada segi kekukuhan kewangan, Singapura dilihat sebagai lebih kukuh. Oleh itu mata wang kita dilihat semakin rendah berbanding dolar Singapura," kata Pengurus Besar Fundsupermart, Wong Sui Jau. Penganalisis mata wang daripada Oanda, Wu Mingze, berkata:"Daripada segi dasarnya, Malaysia kelihatan tidak hebat. Tetapi ia tetap lebih baik berbanding Thailand, Filipina dan Vietnam." Beliau berkata, walaupun Malaysia semakin menghampiri defisit akaun pertengahan tahun lalu, lebihan daripada dagangan Malaysia sedang meningkat dan boleh membantu negara. Baht Thailand dan Rupiah Indonesia paling terkesan dengan aliran modal besar ini. Terkini, Sedolar Singapura dibeli dengan 26.86 Baht iaitu 9,611 rupiah Indonesia. Penganalisis berkata, setakat ini mereka masih belum dapat memastikan berapa lama lagi tempoh matawang itu akan kekal lemah. Bagaimanapun, Wu berkata, melihat kepada beberapa pusingan pasaran lalu, bank pusat Malaysia perlu campur tangan jika ringgit terus jatuh sehingga serendah RM3.80 berbanding dolar Amerika. Hari ini, USD1 dibeli pada nilai RM3.33. Wong berkata, matawang Asia terpaksa menempuhi ketidakstabilan itu sehingga keyakinan muncul semula. "Sukar untuk menjangkakan bila kita akan jatuh hingga ke bawah. Tetapi, keyakinan akan kembali dan matawang boleh naik semula dengan cepat," katanya. Beberapa syarikat berpendapat ringgit yang lemah tidak akan menjejaskan perniagaan mereka. Mike Lim, pengarah eksekutif syarikat pembotolan, Dr Who yang mengimport bahan daripada Singapura berkata, ringgit yang lemah boleh dilihat sebagai pelindung terhadap kenaikan kos kehidupan di Malaysia. "Tetapi kita tidak meramalkan ia akan kekal lemah untuk masa yang lama," katanya. | |||
Sembelih ayam, habuan penampar: Teresa Kok, penyokong lapor polis Posted: 07 Feb 2014 12:17 AM PST Teresa Kok dan enam yang lain hari ini membuat laporan polis berhubung kejadian penyembelihan dua ayam oleh kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan ganjaran RM1,200 yang mereka tawarkan kepada sesiapa yang berani menampar ahli Parlimen Seputeh itu. Kok ditemani sekumpulan besar penyokong termasuk Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lan; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Subang Jaya, Hannah Yeoh serta beberapa penyokongnya ketika membuat laporan polis di Balai Polis Tun H S Lee. Kok kelihatan bimbang dan menggesa polis mengambil tindakan terhadap kumpulan itu kerana ia membabitkan keselamatan dirinya. "Kenyataan mereka adalah ancaman kepada keselamatan saya dan ia juga menyalahi undang-undang. "Saya harap polis akan mengambil tindakan segera," katanya ketika ditemui selepas selesai membuat laporan polis. Semalam, kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai Jemaah Islamiah menyembelih dua ayam dan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai tanda marah terhadap pemimpin pembangkang yang didakwa menghina kepimpinan Melayu dan Islam. Mereka kemudian melumurkan darah ayam itu ke atas kain rentang yang terdapat gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk daripada PKR, Lee Khai Loon. Tumpuan kumpulan itu ialah terhadap Kok dan klip video ucapan Tahun Baru Cinanya yang bertajuk "Onederful" Malaysia CNY 2014. "Dalam video saya, tidak ada saya bercakap apa-apa mengenai kuasa dan hak orang Melayu dan Islam. "Ia adalah satira politik yang dijadikan isu besar seolah-olah saya menghina orang Melayu," katanya. Ahli Parlimen Kuantan daripada PKR, Fuziah Salleh yang turut hadir menemani Kok berkata, tawaran ganjaran untuk menampar Kok adalah kesalahan jenayah dan menggesa polis mengambil tindakan serta merta. "Dakwaan itu dengan jelas adalah tuduhan palsu kerana video itu tidak mengandungi perkara yang menghina orang Melayu. "Kumpulan itu memalukan umat Islam kerana Islam tidak mengajar perlakuan itu termasuk mencurah darah. Ini sesungguhnya bertentangan dengan ajaran agama," katanya. Fuziah berkata, NGO Islam itu boleh dilabelkan sebagai pengkhianat kerana cuba mewujudkan perpecahan di kalangan kaum. Ahli Parlimen Kota Raja daripada PAS, Dr Siti Mariah Mahmud, bersetuju dengan Fuziah dan menggesa rakyat Malaysia supaya tidak terjatuh ke dalam perangkap mereka. "Kami menggesa rakyat supaya jangan mengikut kumpulan itu yang nampaknya seperti ada kepentingan sendiri. "Mereka sebenarnya yang menghina Islam, bukan Teresa Kok. Mereka hanya mahu mencetuskan kemarahan orang Islam terhadap kaum lain," katanya. Beliau berkata, kumpulan berkenaan terlebih sensitif berhubung video berkenaan, yang diwujudkan hanya untuk mengusik. "Saya tidak tahu mengapa mereka rasa begitu tersinggung. Ia sudah menjadi trend, dahulu ada NGO kepala lembu dan sekarang ada kepala ayam pula," katanya. Semalam, sekumpulan kira-kira 50 ahli pertubuhan bukan Islam (NGO) Islam mencetuskan kekacauan apabila mereka menyembelih dua ayam dan menawarkan ganjaran RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai tanda marah terhadap pemimpin pembangkang kerana dikatakan menghina kepimpinan Melayu dan Islam. Pada Rabu lalu, Kok sudah membuat laporan polis berikutan menerima banyak ancaman selepas video Tahun Baru Cina itu tersebar luas di internet. | |||
Anwar MB Selangor: Rekod prestasi untuk PRU14, kata penganalisis Posted: 06 Feb 2014 08:35 PM PST Seorang penganalisis berkata, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri besar Selangor, ia akan mengubah corak permainan pembangkang kerana ia memberikan peluang kepadanya untuk mengetuai sebuah negeri sebagai rekod prestasi untuk dijadikan contoh kepada rakyat Malaysia pada masa akan datang. Timbalan Pengarah Institut Pengajian Asia Tenggara Singapura, Dr Ooi Kee Beng, berkata jika Anwar berjaya sebagai menteri besar Selangor, ia akan memberikan lebih banyak tekanan kepada Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelang pilihan raya umum akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada 2018. "Jika dia mengetuai Selangor, polisi yang dilaksanakan negeri itu akan digunakan sebagai rekod prestasi pada pilihan raya umum akan datang. "Jika beliau mempunyai rekod prestasi yang baik, daripada polisi sehingga menyelesaikan masalah air, beliau mempunyai sesuatu untuk meyakinkan pengundi, beliau akan mempunyai rekod prestasi yang boleh dibanggakan," katanya kepada The Malaysian Insider. Anwar adalah aktivis mahasiswa pada 1970-an yang menyertai Umno pada 1982 dan kemudiannya meningkat naik sehingga menjadi timbalan perdana menteri. Beliau dipecat pada 1998 di atas pertuduhan liwat dan rasuah. "Jika tidak, rekod beliau hanyalah sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada pertengahan 1990-an," katanya. Ooi berkata, jika Anwar menggantikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, ketua pembangkang itu akan dapat menyelesaikan ketegangan di antara Abdul Khalid dan Pengerusi PKR Selangor, Mohamed Azmin Ali. "Ia seperti membunuh dua burung dengan sebiji batu," katanya. Dengan isu kaum dan agama meningkat di negeri terkaya dan termaju Malaysia itu, Ooi berkata, tekanan adalah kepada Anwar untuk menyelesaikannya. Bulan lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia. Sehingga kini, ia masih belum dipulangkan walaupun penyelesaian 10 perkara dipersetujui Putrajaya pada 2011 membenarkan Bible dicetak, diimport dan disedarkan di seluruh negara dengan sedikit syarat di Semenanjung. Isu ini menyebabkan kemarahan kumpulan Islam yang mengatakan kalimah Arab Allah hanya eksklusif kepada mereka dan bukan Islam tidak boleh menggunakannya. "Ia seperti perbezaan etnik itu diagamakan, ia menyebabkan isu ini menjadi lebih sukar. Inilah masa apabila pemimpin nasional diperlukan dan Najib tidak memberikannya setakat ini. Dengan hadirnya Anwar, ia akan memberi tekanan kepada Najib untuk bertindak sebagai pemimpin nasional," katanya. Beliau tidak bersetuju dengan pandangan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang berkata masa depan Pakatan Rakyat akan berakhir jika Anwar kalah di Kajang pada 23 Mac kerana kerusi itu tidak mewakili seluruh negara. "Saya rasa pandangan itu gila kerana Malaysia bukanlah Kajang. Sokongan kepada Pakatan adalah dari seluruh negara dan alasan berbeza. "Beliau tidak boleh menyamakan Kajang dengan seluruh Malaysia, bukan semua rakyat Malaysia berfikiran sama," katanya. Pada masa sama, Ooi tidak berpendapat Anwar perlu menang di Kajang dengan majoriti besar. "Menang sahaja sudah mencukupi. Kita tidak perlu banggakan angka kerana dinamik pilihan raya umum dan pilihan raya kecil berbeza. Ekspresi rakyat berubah mengikut waktu," katanya. | |||
Wanita PKR turut serta di Kajang Posted: 06 Feb 2014 08:25 PM PST SEGAMAT – Wanita PKR Johor akan menghantar jentera untuk turut serta dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang bermula hari penamaan calon sehingga hari pengundian, Mac depan. Ketuanya, Natrah Ismail berkata, mereka terlibat semasa PRK Dun Kajang merupakan pemimpin daripada Majlis Pimpinan Wanita Negeri Johor (MPWNJ). "Kita tidak mahu terlalu ramai pergi ke Kajang, sebab bila terlalu ramai akan timbul pelbagai masalah seperti penginapan. Tambahan pula, pimpinan Wanita PKR negeri lain akan turut menghantar wakil termasuk dari Sabah dan Sarawak. "Paling ramai, kita akan hantar 20 ahli Wanita PKR sahaja. Saya juga sudah terangkan kepada mereka, ini merupakan simulasi dan keadaan sebenar yang akan mereka hadapi bermula daripada tarikh penamaan calon pada 11 Mac hingga hari pengundian pada 27 Mac," katanya di Pejabat PKR Cabang Sekijang, semalam. Turut hadir, Ketua Cabang PKR Sekijang, Yoong Thau dan Ketua Cabang PKR Labis, Pang Yock Tong. Natrah berkata, Jawatankuasa Pilihan Raya Wanita Negeri Johor juga dibentuk dan kumpulan itu sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Pengarah Pilihan Raya Wanita PKR yang juga Adun Taman Medan Selangor, Haniza Talha. Katanya, melalui jawatankuasa itu, mereka terlibat diberi pendedahan, pemahaman serta kursus berterusan agar sentiasa bersedia untuk digerakkan terutama apabila berlaku PRK. "Mengenai keputusan PR meletakkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon, ia keputusan tepat kerana saya tidak melihat calon lain yang lebih layak untuk bertanding. "Mengenai isu beliau hendak jadi menteri besar, kita tidak pernah dengar beliau menyebut mengenainya. Isu ini dicipta untuk melaga ahli parti komponen Pakatan Rakyat (PR)," katanya. Beliau meminta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi sama ada mengenai isu mengenai Anwar menjadi calon dan menteri besar kerana keputusan berkenaan sudah dikaji golongan pemikir PR serta PKR. | |||
Pelajar bimbang lelaki tunjuk kemaluan Posted: 06 Feb 2014 08:22 PM PST BANDAR SUNGAI EMAS - Tindakan seorang lelaki menunjukkan kemaluannya di hadapan sekumpulan remaja berhampiran Perhentian Bas Bandar Sungai Emas, semalam membimbangkan sebahagian pelajar kolej di kawasan tersebut. Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.30 petang itu, sekumpulan remaja yang sedang menunggu bas terkejut apabila melihat seorang lelaki memberhentikan motosikalnya lalu menunjukkan kemaluan kepada mereka. Pelajar, Nur Hamiza Ithnin, 19, berkata, dia sendiri tidak pasti adakah pemuda terbabit sengaja atau sedang membetulkan seluarnya, namun kejadian seumpama ini sudah beberapa kali didengarinya berlaku di beberapa kawasan perhentian bas sekitar Banting. Menurutnya, tindakan tidak bermoral itu membimbangkan mereka yang setiap hari menunggu bas di kawasan tersebut dan jika tiada pemantauan dilakukan sudah tentu kejadian yang sama berulang lagi. "Saya tidak pasti adakah ini kejadian yang pertama atau pernah berlaku di sini kerana rakan-rakan pernah mendengarnya sebelum ini namun tidak pernah berhadapan situasi itu," katanya. Sementara Nasha Ahmad, 20, berkata, dia tidak pernah terserempak dengan tindakan lelaki yang menunjukkan kemaluannya di tempat awam namun risau sekiranya kejadian sama berlaku kerana dia sering menggunakan pengangkutan awam di situ. "Jika benar berlaku kes seperti ini, saya harap pihak polis dapat memantau dan melakukan tindakan susulan demi keselamatan pelajar di sini," katanya. Sebelum ini, kes yang sama pernah berlaku pada Disember 2012 di Kuala Langat melibatkan seorang remaja perempuan yang bekerja di sebuah kedai telefon di Pekan Banting. Difahamkan remaja itu trauma apabila didatangi seorang lelaki menunjukkan kemaluannya di sebuah perhentian bas di Telok Datok. Kejadian berlaku kira-kira jam 10 pagi itu ketika remaja berkenaan menunggu bas untuk ke tempat kerja. | |||
Ganti Taib Mahmud: Abang Johari 'kunci mulut' Posted: 06 Feb 2014 08:20 PM PST DETIK DAILY KUCHING - Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar AbangJohari Tun Openg enggan diseretkan dalam spekulasi bahawa beliau antara pemimpin parti itu yang bakal menggantikan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Presiden PBB dan Ketua Menteri Sarawak. Beliau mengesahkan satu mesyuarat khas majlis tertinggi PBB akan diadakan pada Sabtu ini, namun enggan mengulas sama ada Abdul Taib akan mengumumkan keputusannya untuk bersara pada mesyuarat itu. "Anda yang cakap (mengenai persaraan Abdul Taib) sebagai spekulasi. Saya tidak boleh ulas spekulasi itu," katanya kepada pemberita ketika ditanya laporan muka hadapan akhbar Berita Harian bahawa Abdul Taib akan mengumumkan persaraannya sebagai Ketua Menteri sebelum penghujung minggu ini. Laporan itu, yang memetik sumber, menyatakan Abdul Taib, 78, yang menyandang jawatan itu sejak 1981, juga akan bertemu semua wakil rakyat Barisan Nasional negeri pada Ahad ini. Selain Abang Johari yang juga Menteri Pelancongan Sarawak dan Menteri Perumahan Sarawak, turut diuar-uarkan menggantikan Abdul Taib ialah Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Effendi Norwawi. Sebelum ini, media melaporkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan program yang menjurus kepada kempen sempena PRK Dun Kajang. Terbaru, Anwar dan pemimpin PKR khusunya akan menjalankan satu program "Kajang Move" yang akan menemui penduduk sekitar kawasan mengundi tersebut. Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata SPR perlu melakukan persiapan rapi untuk PRK yang disifatkannya sebagai satu "kejutan". "Kita pun terkejut dengan perletakan jawatan Adun tersebut. "Kita setiap masa bertanya wakil rakyat iaitu Adun atau ahli Parlimen, ada masalah atau sakit, namun tak ada apa-apa masalah. "Ini apabila terkejut kita perlu buat persediaan yang rapi untuk mengelakkan kesalahan atau kesilapan seperti sebelum ini," katanya. - Bernama | |||
PAS bersiap siaga menggerakkan jentera pilihan raya ke Kajang Posted: 06 Feb 2014 08:17 PM PST PAS menyokong penuh Ketua Pembangkang, Dato' Sri Anwar Ibrahim sebagai calon PRK Dun Kajang yang akan berlangsung tidak lama lagi. PAS berpegang dengan apa yang telah putuskan dalam Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihan Raya pada jam 9.00 malam, Isnin 3 Februari 2014 bertempat di Pejabat Agung PAS Pusat. Setelah berlaku kekosongan berikutan perletakan jawatan Adun Kajang daripada KeADILan yang memenanginya dalam PRU13 yang lalu, PAS akan menggerakkan jentera pilihan rayanya ke Kajang. Bersesuaian dengan semangat dalam Pakatan Rakyat maka PAS Pusat dan PAS Negeri Selangor akan membantu jentera pilihan raya KeADILan berdasarkan kepada keperluannya dalam menghadapi PRK ini. PAS juga memutuskan Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli dilantik untuk mengetuai jentera pilihan raya PAS dalam PRK ini. Begitu juga dengan Pemuda PAS Malaysia turut menyokong Anwar menjadi calon PRK Kajang dan atas semangat kerjasama itulah, Pemuda PAS telah melantik Pe ngarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Selangor, Hairul Nizam Tohar sebagai Ketua Penyelaras PRK Dun tersebut. Keputusan dibuat setelah Pemuda PAS mengadakan Me syuarat Lajnah Politik sejurus selepas peringkat PAS Pusat mengadakan mesyuarat berhubung isu sama 3 Februari lalu. Bagaimanapun, Pemuda kesal dengan tindakan KeADILan yang mengosongkan kerusi Dun Kajang yang dianggapnya sebagai tergesagesa, membazir masa dan duit rakyat sekali gus mendedahkan Pakatan kepada risiko kemerosotan sokongan pengundi. Namun begitu, Pemuda PAS menghormati muafakat Pakatan yang memberi hak mengurus Dun kepada parti yang menang dalam pilihan raya lepas di samping mendesak agar mana-mana komponen Pakatan tidak mengulangi kesilapan serupa pada masa akan datang. Berhubung dengan pelbagai pandangan beberapa pemimpin PAS tentang PRK Kajang, Pemuda PAS menyifatkan parti itu meraikan kebebasan bersuara semua pihak tetapi ianya bukanlah satu keputusan yang telah ditetapkan. Sementara itu, jentera pilihan raya Muslimat PAS Pusat juga sudah bersiap sedia menghadapi PRK Dun Kajang jika mendapat arahan susulan daripada PAS Pusat, jenteranya akan digerakkan. Pengarah Jabatan Pilihan Rayanya, Aiman Athirah Al-Jundi memberitahu jentera Muslimat PAS kini menunggu arahan daripada pimpinan PAS dan akan bergerak kerja berdasarkan panduan serta arahan kerja Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat dan Jabatan Pilihan Raya PAS negeri. Sebagai jentera parti tentulah arahan dan keputusan jemaah itu lebih penting daripada apa sahaja hatta pandangan peribadi sendiri dalam konteks pro dan kontra keperluan PRK Kajang. Ia tidak boleh terpakai sekiranya sudah ada keputusan dan arahan jemaah. Dalam konteks ini arahan PAS Pusat di bawah kepimpinan Presiden Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Bagi Muslimat PAS, soal BN meletakkan calon atau sebaliknya tidak penting tetapi Muslimat PAS akan membantu kempen PRK Kajang atas nama Pakatan Rakyat. Jabatan Pilihan Raya Muslimat PAS yakin dan percaya BN akan bertanding di PRK N25 Kajang dan kemungkinan besar menggunakan strategi lain dengan meletakkan calon Umno bukannya calon MCA dalam usaha menarik seberapa ramai sokongan kaum Melayu Muslimat mengingatkan, penyokong Pakatan Rakyat tidak harus terpedaya mainan Umno-BN sebaliknya berusaha mempertahankan kemenangan di Dun Kajang. | |||
NGO lumur darah ayam pada gambar pemimpin DAP, PKR Posted: 06 Feb 2014 08:06 PM PST | |||
AMK jangan terperangkap dengan politik kabilah' Posted: 06 Feb 2014 08:00 PM PST MALAYSIAKINIADUN PKR Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata AMK perlu melakar idea tersendiri dan tidak terperangkap dengan politik kabilah "satu chai atau satu blok" seperti parti lain kerana menganggapnya tidak sihat walaupun tidak menafikan pilihan ahli masing-masing. Menurut Nik Nazmi lagi, AMK juga perlu mencungkil bakat dan meraikan kekuatan dari pelbagai pengkhususan demi menjamin kelangsungan kekuatan parti khususnya dari kumpulan generasi muda. Malah, katanya, ia sekaligus memastikan sayap kanan PKR itu boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan Umno dan tidak dianggap sebagai jaguh kampung semata-mata. "Saya nak jadi AMK sebagai satu organisasi dapat mewakili bakat yang kita yang ada dalam parti, daripada aktivis, reformasi, kesatuan sekerja, hak asasi, profesional, kotrak, akademik, seniman, boleh menyantuni masyarakat yang pelbagai. "Dalam program dan ceramah, saya jumpa pelbagai ramai bakat dalam parti, daripada aktivis, orang susah sehingga korporat, penjawat awam. Itu yang kita (perlu) raikan "(Saya) tidak mahu mewakili satu kelompok... Biarlah kita pergi mana-mana dunia, kita boleh menjadi macam yang ditunjukkan oleh Anwar. Kalau boleh itu yang dicontohi AMK," katanya. Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini, Nik Nazmi berkata setiap anggota AMK mempunyai tugas besar membina semula kekuatan anak muda dengan membawa idea perubahan dan reformasi kerana perkara itu paling mudah diterima oleh mereka. "PKR ada ramai ahli di Selangor dan di Sabah - 50 peratus Melayu, 20 peratus India, 15 peratus Cina dan bakinya Bumiputera Sabah dan Sarawak. Sepatutnya AMK juga menonjolkan kekuatan itu, tidak dominasi pihak kaum, negeri dan sebagainya. "Sepatutnya kita (adalah) parti semula jadi, parti anak muda di Malaysia. Misi AMK untuk menjadi PKR ini memenuhi kriteria untuk menjadi parti untuk generasi muda," katanya yang juga timbalan speaker DUN Selangor . 'Jenama cukup unik' Sungguhpun begitu, Nik Nazmi berkata PKR mempunyai keistimewaan "jenama yang cukup unik" sebagai parti nasional berbilang kaum apabila mempunyai sekurang-kurangnya seorang wakil rakyat di setiap negeri. Menurutnya, parti itu berjaya mengetengahkan pemimpin muda ke persada arus perdana berbanding parti lain termasuk Umno seperti Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Rafizi Ramli (Pandan), Shamsul Iskandar Md Akin (Bukit Katil), ADUN Batu Caves Amiruddin Saari dan ADUN Teja Chang Lih Kang. "... Umno menyedari mereka ada kelemahan ini, berusaha keras. Mereka ada Khairy Jamaluddin yang kita harus akui, ada tarikan anak muda berbanding sebelum 2013. Dia ada portfolio di Kementerian Belia dan Sukan sebagai menteri. "Kita perlu membina generasi muda dan kita perlu mengungkap kelebihan yang ada sebagai parti pelbagai kaum yang nasional, (menonjolkan) idea progresif dan ramai pemimpin muda, itu yang kita perlu tonjolkan," katanya. Ditanya keputusan beliau menawarkan diri bertanding jawatan ketua AMK pada pemilihan kali ini, Nik Nazmi hanya ketawa kecil sambil menyatakan belum membuat keputusan rasmi mengenainya dan akan mengumumkannnya bila tiba masa. "Kalau umum saya memang nak bertanding, makna saya yakin untuk menang. saya tidak tanding untuk kalah. Saya orang lama dalam parti. Sejak 2001 menjadi terlibat di peringkat cabang "(Pernah bertugas di) pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudian (Tan Sri) Khalid Ibrahim, menjadi pengarah komunikasi, dan di cabang Kelana Jaya," katanya. Setakat ini dua tokoh AMK telah menawarkan diri bertanding jawatan itu iaitu Amiruddin Saari dan Ketua AMK Negeri Sembilan, Nazri Yunus. Nik Nazmi menyifatkan beliau dan Amiruddin mempunyai kelebihan masing-masing dan sama-sama pernah terlibat menjadi dalam kepimpinan AMK pada 2007 hingga 2010 dan kini menjadi rakan dalam DUN Selangor. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tindakan itu dibuat dalam perhimpunan yang dinamakan 'Bantahan penghinaan terhadap kepimpinan Melayu, Yang di-Pertuan Agong, dan agama Islam serta maruah Melayu' oleh segelintir ahli politik yang didakwa cauvinis Cina.
Ia berlangsung berhampiran Jalan Tun Perak berdekatan Puduraya, petang ini.
Pemimpin yang wajahnya terdapat pada kain rentang itu MP Seputeh, Teresa Kok, MP Gelang Patah, Lim Kit Siang, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dari DAP dan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon dari PKR.
Perhimpunan yang dihadiri kira-kira 30 peserta itu merupakan reaksi kepada video Tahun Baru Cina yang dilakonkan Teresa dengan tajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014' dan flashmob oleh Khai Loon di Pulau Pinang.
Flashmob tersebut menyaksikan sayur kangkung disumbat ke dalam mulut patung kayu dengan karikatur menyerupai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi membantah kenaikan harga barang baru-baru ini.
Wakil penganjur, Zulkifly Sharif dari Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (Permas) yang berucap sewaktu ayam-ayam itu disembelih berkata mereka yang wajahnya ada pada poster tersebut cuba memanipulasi kenaikan harga barang baru-baru ini.
"Kenaikan harga barang seperti yang dihebohkan sekarang ini adalah satu jenis propaganda bagi memburukkan kepimpinan Melayu.
"Mereka cuba mencetus kebencian dan memperkotak-katikkan kepemimpinan Melayu agar rakyat membenci dan menghina kepimpinan Melayu.
"Kami amat terkejut dengan tindakan pelampau Cina dan Kristian ini yang melakonkan imej pemimpin Melayu disumbat mulutnya dengan kangkung yang mana pemimpin-pemimpin ini telah dipilih secara demokrasi oleh rakyat Malaysia," katanya.
Beliau turut menggesa agar warganegara etnik Cina dan India yang tidak fasih bahasa Melayu dihalau dari Malaysia.
"Pihak kami berharap, sementelah operasi mengusir pendatang tanpa izin sedang berjalan, kami juga menyeru agar Kementerian Dalam Negeri menumpu juga terutamanya kepada rakyat Malaysia terutamanya bangsa Cina dan India yang tidak fasih berbahasa Melayu atau tidak lagi menunjukkan taat setia kepada Raja dan negara dinyah keluar daripada pertiwi ini," katanya.
Mencuri perhatian di antara peserta himpunan NGO pro-Melayu itu adalah seorang lelaki Tionghua dikenali sebagai Sunny Goh.
Memegang jawatan sebagai pengerusi perhubungan hal ehwal masyarakat Cina bagi Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib), Goh menggesa pemimpin DAP agar berhenti "membuat kecoh".
"Saya bernama Mr Goh, saya mewakili rakyat Malaysia, rakyat Cina tak kira bangsa, saya minta pemimpin pembangkang jangan buat kecoh.
"Di negara-negara lain tak aman, di Malaysia sahaja aman.
"Saya mewakili Cina Malaysia dan seluruh masyarakat Malaysia berharap agar parti politik Cina tolonglah jangan cetuskan kekecohan yang tak perlu," katanya
Sebelum itu, beberapa peserta turut bertindak memijak kain rentang dengan wajah pemimpin itu.
Di akhir perhimpunan, penganjur mengedarkan lebih dua raga sayur kangkung kepada peserta himpunan dan orang ramai yang hadir pada majlis itu.
Bercakap kepada Malaysiakini kemudiannya, Zulkifly berkata tindakan menyembelih dan melumur darah ayam itu adalah simbolik kepada "peristiwa berdarah" 13 Mei 1969.
"Ia adalah simbolik peristiwa berdarah, bermakna kita beri amaran kepada Teresa Kok supaya jangan cetuskan peristiwa yang menggugat keamanan dan perasaan orang Melayu.
"Darah ini maknanya peristiwa 13 Mei... faham-fahamlah," katanya.
NGO-NGO lain yang turut serta dalam perhimpunan itu adalah Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Pertubuhan Kebajikan Islam dan Dakwah (Pekida), Pertubuhan Kebajikan Insan Bakti Malaysia (Perkib) Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), serta Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM).