DIALOG RAKYAT |
- PRK Kajang: BN Akan Kalah Teruk Jika Terus Gunakan Seks Sebagai Modal Kempen
- Liow kena contohi kejantanan Lee San Choon
- AMK tubuh pasukan khas pantau media sosial
- PRK Dun Kajang: Kuat sangatkah MCA?
- Ahmad Maslan langgar signal Zahid?
- 'Presiden MCA patut lawan Anwar di Kajang'
- MP: Buktikan Kristian perdaya Muslim, Jakim
- Prof: Langkah Kajang bukan alih perhatian kes liwat
- UIA didakwa batal forum kebebasan bersuara
- Individu tak bertauliah dilarang beri khutbah Jumaat dan tazkirah - MAIS
- Anwar di DUN Kajang elak rampasan kuasa Perak berulang
- Kemaraan Anwar di Selangor, Najib dan BN kian tertekan
- Khalid bersama Anwar lancar kempen PRK Kajang malam ini
- Spekulasi merebak bekas setiausaha politik Umno lewat didakwa
- Hubungan Nazir, Najib berkocak?
- Letak calon sendiri, bukan Chong Wei
- Video 'Onederful': Teresa enggan mohon maaf
- Perjuangan Anwar masih mengalir dalam tubuh Zahid?
- Terengganu mahu FAM siasat insiden Piala FA
- Bolehkah harga sate diturunkan?
- Trafik Sesak Ke Ibu Negara
- Video Teresa Kok Akan Disiasat - Polis
PRK Kajang: BN Akan Kalah Teruk Jika Terus Gunakan Seks Sebagai Modal Kempen Posted: 03 Feb 2014 12:52 AM PST KELAB GRENBOOCGuna taktik keji & lucah, SPR mesti bidas Umno – Surendran KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didesak membidas rancangan Umno untuk menggunakan taktik keji dan lucah dalam pilihan raya kecil (PRK) Kajang, kata Naib Presiden KEADILAN N Surendran. Beliau mengulas kenyataan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan semalam yang menyatakan bahawa parti itu akan menggunakan rayuan kes Firnah II Ketua Umum KEADILAN,Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai modal kempen BN dalam PRK Kajang. "Ini tindakan yang tidak beretika, kotor dan terdesak oleh Umno untuk menuduh Anwar dan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya kecil nanti. "Pengerusi SPR mestilah tanpa kompromi dan pro-aktif mempertahankan integriti proses pilihan raya. "Ini adalah kewajipan untuk berbuat demikian di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan "Kegagalan berbuat demikian membuktikan SPR adalah 'harimau tak bertaring' dan berat sebelah, malah memihak kepada BN" , kata Surendran dalam kenyataan. Dalam pada itu kata Surendran, rancangan Umno menjalankan kempen 'seks dan kotor ' tidak boleh dipandang ringan dan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden Umno bertanggungjawab atas kaedah kempen kotor Umno-BN. "Sebelum ini Umno pernah mengumumkan secara terbuka untuk menjalankan kempen 'seks dan kotor' terhadap lawan politiknya. "Sebagai Perdana Menteri dia tidak sepatutnya membenarkan kempen jijik seperti ini dilakukan oleh parti politiknya," kata Surendran. Tambahnya, Umno masih lagi tidak sedar kesalahan moral yang dilakukan dalam kempen pilihan raya sejak 1998 lagi. "Umno merancang menggunakan rekayasa tuduhan terhadap Anwar auntuk menipu dan mengelirukan pengundi pada pilihanraya kecil di Kajang nanti". "Umno mengambil jalan pintas dalam berpolitik kerana mereka takut kesan kenaikan harga barang dan rasuah dalam BN itu sendiri", kata Surendran -KD
ULASAN GB UMNO & Fitnah Seks memang tak dapat dipisahkan. GB ingin menyatakan: teruskanlah kerja fitnah seks kamu itu kelak yang akan ditimpa kehinaan bukan orang yang kamu sasarkan sebaliknya adalah diri kamu sendiri. GB sentiasa, di dalam blog ini mengingatkan pihak tertentu tak kira siapa dan dimana jua bahawa rancangan jahat dan zalim itu tidak akan menimpa orang lain, sebaliknya akan menimpa mereka yang merancangnya. Itu adalah hukum kebenaran dan keadilan. Itu adalah hukum Allah dan tercatat jelas di dalam Al-Quran: Sambil bersikap sombong di bumi dan berusaha merancangkan rencana jahat, dan tidak ditimpakan dengan rancangan yang jahat itu melainkan orang yang merancangkannya sendiri. Maka tiada yang mereka tunggu melainkan seperti berlakunya kebinasaan ke atas orang yang telah lalu. Kerana engkau tidak akan mendapati perubahan bagi Sunnatullah, dan engkau tidak akan mendapati Sunnatullah itu menyimpang.[Fatir: 43] Tidakkah mereka melihat kehinaan yang menimpa ke atas Raja Blogger Seks mereka, papagomo? | |||
Liow kena contohi kejantanan Lee San Choon Posted: 03 Feb 2014 12:37 AM PST Lee San Choon sanggup turun bertanding di parlimen Seremban pada tahun 1982 menentang Pengerusi DAP, Chan Man Hin. PETALING JAYA: Bekas calon majlis tertinggi Umno 2013, Zaharin Mohd Yasin berkata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai patut mencontohi keberanian bekas Presidennya, Datuk Lee San Choon. Katanya, Lee San Choon sanggup turun bertanding di parlimen Seremban pada tahun 1982 menentang Pengerusi DAP, Chan Man Hin. "Kenapa Liow tidak sejantan Lee San Choon?" soal beliau dalam Facebooknya. Beliau yang juga blogger Sang Kelembai berkata MCA tak perlu meletakkan jaguh badminton, Datuk Lee Chong Wei dalam PRK Kajang. "Bacalah sejarah pemain bola sepak, Soh Chin Aun bertanding di Kota Melaka, orang-orang Cina bukan ambil peduli. Mereka tetap pilih DAP," katanya. Zaharin mendakwa semua calon-calon MCA menang di kawasan Melayu "MCA kerana kesombongannya dan tamak walau pun tidak mampu menang tetap hendak meletakkan calon di Kajang," katanya lagi. PRK Kajang akan diadakan tidak lama lagi berikutan peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh. PKR akan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon manakala MCA yang mewakili BN belum menetapkan siapa lagi calon kerana SPR belum mengumumkan tarikh penamaan calon. SPR akan bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pembuangan undi. | |||
AMK tubuh pasukan khas pantau media sosial Posted: 03 Feb 2014 12:34 AM PST AMK menyedari terdapat kumpulan-kumpulan anak muda yang mahu memboikot PRK Kajang PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) telah menubuhkan pasukan khas untuk memantau laman media sosial menjelang pilihan raya kecil (PRK) Kajang. Menurut Ketua sayap PKR itu, Shamsul Iskandar Mohd Akin, AMK menyedari terdapat kumpulan-kumpulan anak muda yang mahu memboikot PRK tersebut lantaran tidak berpuas hati dengan alasan taktikal yang diberikan oleh parti tersebut. Tambahnya, penubuhan pasukan pemantau itu bertejuan untuk menjelaskan kepada golongan muda akan keperluan PRK tersebut diadakan. "Kumpulan-kumpulan anak muda ini bergerak aktif di laman media sosial dan kebanyakkannya membuat sindiran di Facebook dan Twitter. "Walaupun tahu bukan mudah untuk kita ubah persepsi mereka, kita dah wujudkan pasukan pemantau untuk berikan penjelasan mengenai isu-isu berbangkit dan cuba mendekati golongan ini," kata Shamsul apabila dihubungi hari ini. Menurutnya lagi, AMK mensasarkan untuk mendekati golongan anak muda di Kajang sendiri bagi memastikan kemenangan PKR dalam PRK itu nanti. "Anak muda mungkin akan memahami (keperluan PRK Kajang) jika didekati dengan cara ini. Mungkin kita tak dapat mendekati kesemuanya, yang penting ialah anak-anak muda di Kajang sendiri. Itu sasaran utama kita," jelasnya lagi, sambil menambah penyebaran maklumat dari pasukan ini penting untuk memastikan kemenangan PKR. Ahli Parlimen Bukit Katil itu turut berkata bahawa AMK telah menerima reaksi positif daripada golongan anak muda setelah pasukan pemantau ini ditubuhkan. "Kalau di peringkat awal, ramai anak muda yang menolak, saya ingat sekarang lebih banyak yang sudah memahami dan menjadi jurucakap kita di forum-forum dan media sosial. "Saya fikir ini perkembangan yang positif tapi kita tak boleh leka dengan cabaran semasa dan kita akan cari jalan untuk terus mendekati golongan ini," katanya lagi. Shamsul berkata PKR akan memulakan gerak kerja mereka di Kajang sebelum penamaan calon diumumkan. Sementara itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan seperjuangan dalam Pemuda PAS dan DAP yang mengeluarkan kenyataan akan membantu PKR di Kajang. Menurut beliau, walaupun terdapat bantahan daripada Pemuda PAS pada awalnya, namun setelah diberikan penjelasan dari pimpinan tertinggi mereka mampu menerimanya dengan baik. "Ini menunjukkan bahawa ketiga-tiga parti tiada masalah untuk bekerjasama bagi menjayakan misi," jelasnya. Kerusi DUN Kajang kosong setelah penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR melepaskan jawatannya pada Jan 27 lalu. Sehingga kini, hanya PKR yang telah mengumumkan calon mereka iaitu Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13), Chin Cheh memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 6,824 dalam pertembungan enam penjuru. Keputusan PRK Kajang ini tidak akan memberikan sebarang kesan dalam DUN Selangor lantaran Pakatan Rakyat berjaya memenangi 44 kerusi dari keseluruhan 56 kerusi DUN. Perkara ini menguatkan lagi desas-desus bahawa Anwar akan dilantik menjadi menteri besar sekiranya memenangi PRK tersebut, walaupun sering dinafikan pimpinan PKR. | |||
PRK Dun Kajang: Kuat sangatkah MCA? Posted: 03 Feb 2014 12:14 AM PST Oleh RIDHUAN TEE ABDULLAH MCA belum apa-apa lagi sudah membidas Umno yang ingin bertanding di Dun Kajang, yang telah dikosongkan parti ultra kiasu.Pada MCA, kerusi tersebut adalah milik bapaknya. Formula Barisan Nasional (BN) mesti dipatuhi. Jika tidak, mereka akan bertindak balas, boikot. Peliknya, bila kena pada mereka, mesti ikut formula. Bila kena pada kita, tidak ada formula. Bukankah perlembagaan negara itu bapak segala formula? Kenapa tidak mahu ikut? Masih ingat kerusi Parlimen Wangsa Maju PRU 2013? Bila calon Umno diletakkan di sana, maka MCA boikot. Banyak cantik muka MCA! Cermin diri dahulu. Saya tidak pernah hairan dengan boikot MCA, kerana ahli MCA sendiri belum tentu menyokong Umno. Persoalan saya, siapakah calon MCA paling layak untuk menentang pemimpin nombor 1 PKR itu? Jika tidak ada, duduk rumah diam-diam. Serahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukannya. Jika adapun calon MCA, cari yang Cina Muslim, baharu boleh mengetuk pintu hati pengundi Melayu. Ingat! Majoriti pengundi di situ adalah Melayu, 48%, Cina 41%, India 10%. Pada tahun 2013, PKR menang dengan majoriti 6,824. Tahun 2008 - 3,268, tahun 2004 - 2,773. Maknanya, selama 10 tahun ini, MCA tidak pernah menang. Bayangkan jika kawasan itu majoriti Cina. Lagi putih mata. Jadi, muhasabah dirilah MCA. Selama ini pun MCA tidak pernah kuat. MCA mendapat sokongan dan menang di kawasan majoriti Melayu sahaja. Peliknya, kenapa MCA begitu yakin dapat menawan Dun Kajang. Sepanjang kajian, majoriti pengundi Cina menyokong parti ultra kiasu. Justeru, amat sukar diterima, apabila MCA begitu bersungguh-sungguh untuk bertanding, seolah-olah tidak tahu malu. Sangat kelakar lagi, pemuda MCA menempelak kenyataan Pemuda Umno melalui kenyataan bahawa kerusi tersebut tidak semestinya ditandingi MCA. Pada saya, kenyataan pemuda Umno itu ada justifikasinya. Kita semua tahu, trend pengundian di negara kita bersifat perkauman. Saya amat yakin jika MCA bertanding, majoriti undinya akan menjadi lebih kecil kerana sudah tentu pengundi Melayu dahulunya menyokong MCA tidak akan mengundi MCA lagi kerana mereka sudah ada calon pilihan lain berbangsa Melayu. Jika calon Melayu diletakkan, sudah tentu Melayu tidak begitu menyampah. Bukan apa, untuk BN menang jauh sekali. Tetapi sekurang-kurangnya menurun majoriti PKR yang terlalu bongkak itu. Lagipun, jika MCA bertanding, saya tidak nampak pengundi Cina akan menyokongnya. Paling tidak, dapat juga dialihkan undi Melayu. Baru agak mudah untuk kita menganalisa sejauh mana Melayu mengundi Pakatan Rakyat. Ingatlah pengundi Melayu sedang marah kepada MCA hari ini. MCA seolah-olah sama sahaja seperti ultra kiasu. Apatah lagi mereka senyap sepi dalam isu guru mualaf di SJKC Nan Ya, Kota Tinggi. Begitu juga isu gantung loceng di dada murid-murid Islam di SJKC Khai Meng, Sungkai. Perjuangan chauvinis MCA seolah-olah tiada bezanya dengan ultra kaisu, meskipun mendakwa memperjuangkan semua kaum. Jika benar-benar MCA mahu mengikut formula dalam BN, mudah sahaja. Bertandinglah di kawasan majoriti Cina. Kawasan majoriti Melayu lepaskan kepada orang Melayu. Kenapa kawasan Melayu juga mahu direbut? Pemimpin Cina Parlimen Ayer Hitam, Johor, mesti boleh jawab. Ingatlah, setiap kali berlaku pilihan raya sama ada PRU atau pilihan raya kecil (PRK), ia melibatkan belanja besar. Takkanlah kita hendak habiskan duit begitu sahaja! Banyak lagi perkara boleh dilaksanakan. Apatah lagi jika kita yakin tidak boleh menang. Cadangan saya, jika MCA masih terus berkeras, lebih baik BN tidak perlu bertanding langsung. Biarkan MCA terkontang-kanting seorang diri. BN boleh bantu, tetapi biarkan MCA keluarkan semua perbelanjaannya. Parti komponen BN yang lain perlu belajar dan bantu secara sukarela tanpa diberi imbuhan seperti mana dilakukan oleh Pas selama ini. Kejayaan Pas adalah kerana ahli parti mereka bekerja dengan tidak mengharapkan imbuhan, melainkan imbuhan 'pahala' sahaja. Di sinilah kekuatan Pas. Jika ini boleh dilakukan, kalah pun berbaloi. Kita mahu tengok MCA benar-benar ada gigi ke tidak atau sekadar gigi palsu. | |||
Ahmad Maslan langgar signal Zahid? Posted: 03 Feb 2014 12:08 AM PST MSO Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan (foto) nampaknya telah memberi isyarat awal agar pilihan raya kecil DUN Kajang bakal diadakan, dilumuri dan dihiasi dengan isu yang kotor dan menjijikkan mengenai moral Anwar. Dalam satu kenyataan Ahamad memberi tahu isu liwat yang membabitkan Anwar tidak boleh didiamkan dan rakyat kena diberi tahu. Beliau juga membuat psywar mengatakan pembangkang meletakan calon yang dibebankan oleh kes mahkamah. Beliau merujuk kepada kes rayuan Anwar berhubung kes liwat II yang masih dibicarakan dimahkamah ketika ini. Katanya kes video membabitkan 'pembacuh kopi' menyebabkan timbul pesepsi buruk terhadap Anwar kerana mahkamah masih belum memutuskannya. Perkara itu tegasnya tidak boleh disembunyikan dan pengundi di Kajang kena diberi tahu. Isyarat atau topik dibicarakan Ahmad itu menjelaskan apakah modal utama yang bakal digunakan oleh UBN dalam pilihan raya kecil itu. Tidak sepatut sebagai seorang menteri muda yang berpendidikan tinggi dan dapat CGPA tinggi dalam peperiksaan memberi ruang agar kempen di Kajang menjadi cemar dan jijik. Isyarat diberikan Ahmad itu lebih jijik dari kes membabitkan ketua pembangkang itu sendiri.Tindakan beliau itu sebagai tidak bermoral dan politik kelas longkang dan kangkung saja. Bahkan ahli Umno sendiri juga sudah muak dengan kes berkenaan yang tidak pernah habis dan tamat dari diperkatakan. Sebagai tokoh muda yang lebih bermoral dari Anwar (?), Ahmad sepatutnya menutupi ruang politik sebegitu dari dicabuli oleh isu-isu yang perit untuk kita dengari kerana ia adalah salah satu tanggungjawab dan tuntutan agama agar menutup aib seseorang. Pilihan raya kecil itu akan sah kalau pun isu yang menimpa dan dikaitkan Anwar itu tidak dimainkan. Sudah lebih 15 tahun isu moral Anwar made in Mahathir Mohamad itu dijaja dan diperdagangkan untuk kepentingan politik. Rasanya 29 juta rakyat Malaysia termasuk yang sedang dikandung oleh ibu-ibu sekarang ini sudah mengetahuinya isu itu gara-gara hebatnya publitisi dan jampi serapah tentangnya dilakukan Umno. Apakah Ahmad tidak ada tanggungjawab sosial dan agama di dalam hal ini? Masih banyak lagi isu dan modal yang boleh dijual dan dibangkitkan untuk BN merampas kerusi Kajang itu. Isu-isu GST, kenaikan harga barang, jenayah, pemborosan wang dan sebagainya adalah isu-isu relevan bagi BN menjelaskan kepada rakyat. Rakyat masih dalam kebingungan mendepani isu-isu berkenaan yang 'digumba' oleh pembangkang malam dan siang. Sudah sampai politik negara kita diberi nilai tambah sesuai dengan perubahan zaman dan para pemainnya. Isu mengenai moral Anwar sudah mangli (klise) bagi rakyat. Sudah tiga kali pilihan raya umum dan pilihan raya kecil diadakan isu mengenai moral Anwar menjadi isu aulia, tetapi ternyata BN tidak dapat menambahkan undi sebaliknya semakin berkurangan dan berkurangan sehinggakan undi popular UBN berkurangan lebih 2% dari diperolehi Pakatan Rakyat. Apakah BN masih terus hendak berniaga barang yang basi sedangkan ia ditolak. Di sinilah mengundurnya politik orang Melayu. Tampak sangatlah BN dan Ahmad Maslan sendiri tidak kreatif dan dinamik dalam mencari isu-isu dan modal ampuh untuk berniaga? Seorang ketua penerangan yang juga menjadi pemikir parti (biro politik), Ahmad patut berfikir jauh dari luar jendela yang dibuka Mahathir menerusi isu berkenaan. Sebaik-baik dia menjadi penutup kepada isu itu barulah dia dilihat seorang yang berwibawa. Sikap dan pendekatan diambil oleh bekas bosnya Mustapa Mohamed, wajar dicontohi. Untuk rekod Ahmad pernah menjadi setiausaha politik kepada Mustapa. Tidak pernah terkeluar dari mulut Mustapa mengenai keburukan Anwar Ibrahim apa lagi menyebut soal liwat dan seks. Rakyat negara ini akan senang kalau takdir pilihan raya itu membabitkan Anwar, isu-isu buruk dan jelek mengenainya tidak dibangkitkan. Orang akan tabik kepada Ahmad sebagai ketua penerangan kerana tidak lagi mengheretkan kebusukkan dan kehanyiran dalam kempen. Beliau juga akan dianggap sebagai 'implemator' kepada aspirasi Najib yang hendak membawa politik cara bermoral. Melenyapkan isu-isu moral sebegitu, baik terhadap sesiapa, ia akan meletakkan kempen politik di negara ini menjadi sihat dan politik kita juga berkualiti. Cara Ahmad memberi isyarat dan beri muka itu juga semacam beliau tidak faham maksud dilontarkan oleh Naib Presiden orang paling berpengaruh di dalam Umno kini, Ahmad Zahid Hamidi yang seakan mahu berkompromi dengan pelan transisi bikinan PKR itu di Kajang itu. Apabila Zahid meminjam slogan "Lawan Tetap Lawan" sepatutnya Ahmad sedar dan faham apakah maksud tersembunyi di sebaliknya. (Kalau ilusi politik kita tumpul sangat Ahmad boleh sms Zahid menanyakan maksudnya). Untuk tenang di hujung muara Ahmad perlu mencari jalur hidup yang jernih dan tenang. Kalau orang-orang cerdik dan bijak seperti Ahmad Maslan pun masih berminat dengan isu-su seperti liwat, rogol, perkosa, lesbian, mak ngah dan sebagainya, apalah sangat diharapkan dari ahli politik biasa yang pendidikan dan kesedaran agama dan sosialnya jauh lebih buruk dari Ahmad. Kalau yang memberi isyarat itu orang-orang seperti Noh Omar, Fuad Zarkasi atau Inche Ibrahim Ali ia tidak memelikkan sangat. Isu-isu huduh dan busuk begitu pantas sekali dimainkan oleh mereka. Ahmad Maslan perlu memikirkan apakah sebab dan peranannya maka beliau dilantik menjadi ketua penerangan. Yang perlu diberikan penerangan tentulah hal-hal yang baik dan oleh harmoniskan keadaan dan bukannya menambahkan keburukan. Dalam konteks Islam penerangan ialah terbiyah dan dakwah. Rasanya filsafah mengenai ini diarifi oleh Ahmad Maslan. Mungkin Asyraf Wajdi Dusuki boleh membantu menterjemahkan maknanya. | |||
'Presiden MCA patut lawan Anwar di Kajang' Posted: 02 Feb 2014 11:55 PM PST MALAYSIAKINIMajlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan supaya MCA lebih berani untuk mempertaruhkan presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam pilihan raya kecil DUN Kajang menentang Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim nanti. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa MPN Prof Datuk Mohamed Mustafa Ishak berkata, Liow paling layak kerana memiliki kredibiliti dan sikap mesra rakyatnya yang mampu meraih semula sokongan kaum Cina, lapor Utusan Malaysia. Bahkan, Mohamed juga beranggapan Liow Tiong Lai adalah calon yang berpotensi mengugat pengaruh kuat ketua umum PKR itu. "Calon mestilah tokoh nasional. Maka, individu paling layak ialah Tiong Lai sendiri kerana beliau mempunyai kredibiliti dan bersikap mesra rakyat. "Sebagai presiden MCA yang baru inilah peluang untuk beliau menguji pengaruhnya," beliau dipetik sebagai berkata oleh Utusan. Mohamed juga menyarankan Liow mencontohi Datuk Abdul Ghani Othman yang menolak kerusi selamat untuk menentang penasihat DAP, Lim Kit Siang di Gelang Patah dalam pilihan raya umum yang lalu. Kerusi Kajang kosong selepas bekas ADUN kawasan itu meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding. | |||
MP: Buktikan Kristian perdaya Muslim, Jakim Posted: 02 Feb 2014 11:52 PM PST MALAYSIAKINIJabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dituntut membuktikan dakwaannya bahawa penganut Kristian terlibat menipu umat Islam, seperti dinyatakan dalam khutbah Jumaat kelolaannya Jumaat lepas. Anggota Parlimen Penampang Darell Leiking (kiri) juga menuntut siasatan terhadap Jakim dibuat ekoran langkah itu. "Saya lihat dakwaan Jakim itu serius kerana ia boleh mencetuskan permusuhan dan syak wasangka antara orang Islam dan bukan Islam di negara ini, yang jika dibiarkan berpotensi mendorong ke arah konflik agama besar-besaran di negara ini," kada Darell. "Jadi, seperti jutaan lagi penganut Kristian dalam negara ini yang bosan dijadikan umpan untuk agenda politik, saya gesa Jakim mengemukakan bukti bahawa orang Kristian memperdaya umat Islam supaya berpecah antara satu sama lain dengan segera." Dalam kenyataannya, timbalan setiausaha agung PKR itu juga mahukan Datuk Seri Najib Razak segera memulakan siasatan ekoran perkara itu bawah Jabatan Perdana Menteri. Khutbah: Kenapa terjebak perselisihan? Khutbah bertajuk "Manhaj Islami dalam perpaduan ummah" itu antaranya mempersoal kenapa umat Islam terjebak dalam perselisihan dan perpecahan walaupun dilarang agama dan merugikan. Menurut khutbah, jawapan kepada persoalan itu bukan semata-mata terletak pada lemahnya penghayatan agama, tetapi didorong oleh hasutan musuh-musuh tradisi Islam seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang tidak pernah padam. Ia, menurut mimbar lagi, seperti diperingatkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya (bermaksud): "Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)." Kit Siang kesal Sementara itu, Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang pula dilapor melahirkan kekesalannya terhadap beberapa khutbah Jumaat itu yang dilihat sebagai sengaja meniup sentimen persengketaan agama. Katanya, teks khutbah itu amat bertentangan dengan nada positif kerajaan BN untuk menerima tawaran PR agar perbincangan Konsensus Nasional diadakan, lapor akhbar web DAP Roketkini. | |||
Prof: Langkah Kajang bukan alih perhatian kes liwat Posted: 02 Feb 2014 11:50 PM PST MALAYSIAKINIKeputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil Kajang dilihat bukan bertujuan mengalih perhatian terhadap rayuan kes liwat, kata ahli akademik. Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) Prof Mohammad Redzuan Othman (kiri) berpendapat, Anwar sudah mangli dengan kes mahkamah kerana menghadapinya sejak 1998 lagi. "Sejak 1998, Anwar sudah sering keluar masuk mahkamah dan saya tidak fikir langkah bertanding di Kalang untuk mengalih perhatian daripada rayuan pasukan pendakwaan dalam kes pembebasannya dari Liwat II kerana beliau sudah sering keluar masuk mahkamah dan malah pernah dipenjara. "Hakikatnya, orang ramai juga sedar tentang kes berprofil tinggi seperti Zon Bebas Pelabuhan Klang dan lain-lain yang dilihat sebagai kegagalan pendakwaan dan bagaimana kerajaan menguruskannya berbanding kes Anwar," katanya kepada Malaysiakini. | |||
UIA didakwa batal forum kebebasan bersuara Posted: 02 Feb 2014 11:48 PM PST MALAYSIAKINISebuah NGO menyatakan kekesalannya terhadap langkah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang didakwa membatalkan sebuah forum membincangkan kebebasan bersuara dari sudut pandang agama. Setiausaha Islamic Renaissance Front (IRF) Rizqi Mukhriz berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pembatalan terhadap forum di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Ketamadunan (Istac) di Kuala Lumpur diarahkan UIA selaku pentadbir induk. "Tiada alasan yang kukuh diberikan terhadap pembatalan tersebut sedang persiapan rapi telah dilaksanakan," kata Rizqi. Dalam kenyataanny, IRF melihat tindakan itu umpama memandang re ndah keupayaan masyarakat terutama ahli akademik dan warga UIA untuk menilai ilmu serta kesediaan terlibat dalam proses percambahan idea. Forum berjudul "Is Islam A Threat to Freedom of Expression?" (Adakah Islam ancaman pada kebebasan bersuara?) anjuran bersama IRF, ISTAC dan Penang Institute. Ia dijadualkan berlangsung pada 16 Februari 2014 di Istac dan menampilkan Mustafa Akyol, tokoh penulis antarabangsa dari Turki dan ahli akademik Universiti Malaya (UM), Dr Azmi Sharom. Menurut IRF, ia telah lama dipromosikan kepada umum dan mendapat sambutan memberangsangkan. NGO itu juga berkata, UIA sebelum ini pernah mengambil sikap sama dengan membatalkan di saat akhir program ilmiah anjurannya yang menampilkan ahli akademik dari Duke University, Amerika Syarikat, Prof Mohsen Kadivar tahun lalu. Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi UIA berhubung dakwaan itu. | |||
Individu tak bertauliah dilarang beri khutbah Jumaat dan tazkirah - MAIS Posted: 02 Feb 2014 11:40 PM PST SHAH ALAM: Mana-mana pihak yang tidak mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak dibenarkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan tazkirah di masjid, demikian menurut Ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Aidit Ghazali. Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan tentang tindakan kedua-dua badan agama tersebut yang cuba menghalang program kempen Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim disebuah masjid Kajang Jumaat lalu. Menurut sumber yang dipetik sebuah portal, Anwar dan Ketua Penerangan PKR, Dr Muhd Nur Manuty yang dijadualkan memberi tazkirah dan khutbah di Masjid Batu 10, telah dihalang berbuat demikian kerana campur tangan MAIS dan JAIS. "Kalau JAIS dan MAIS bertindak, kami tak bertindak memilih bulu. Tetapi kami akan bertindak berdasarkan sesiapa kalau langgar undang-undang, termasuk melanggar dan derhaka titah Sultan sebagai ketua agama, maka kami laksana berdasarkan apa yang diamanahkan ke atas kami. "Kalau sesiapa yang terasa bahawa dia ini seolah-olah jadi sasaran MAIS dan JAIS, pada saya ini ialah mungkin kerana dia makan cili, dia terasa pedas. "Kalau katakan di MAIS dan JAIS sudah tetapkan bahawa orang yang tidak bertauliah tidak boleh masuk ke dalam masjid dan surau bawah pentadiran MAIS dan JAIS untuk berceramah dan berkhutbah, takkan kita nak kata orang yang buat salah ini kita 'special' sikit. Mana boleh begitu," jelasnya kepada Antarapos. Malah menurut surat yang pernah dikeluarkan JAIS pada tahun 2010, nazir yang dilantik tidak dibenarkan sewenang-wenangnya memberi individu dari luar yang tidak mempunyai tauliah untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan ia jelas melanggar arahan MAIS. Tambah Aidit lagi, kedua-dua badan tersebut melaksanakan tindakan setiap masa dan tidak tertumpu sewaktu kempen pilhan raya sahaja. Oleh itu katanya, pihak yang 'berfikiran sempit' dilihat cuba mengambil kesempatan ini mengaitkan tindakan JAIS dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang yang akan diadakan tidak lama lagi dan menampakkan seolah-olah merekalah 'mangsa' demi meraih simpati rakyat. "Jadi tak timbul persoalan kita ini seolah-olah terikat dan terbabit pada kempen. Kita melaksanakan tugasan secara konsisten sejak wujudnya JAIS dan MAIS. "Apabila kebiadapan pihak tertentu bertambah, apabila mereka ini berani derhaka dan khianat, berani mencabar titah tuanku, berani mempersoalkan enakmen pentadbiran agama, berani mengatakan fatwa hanya untuk orang Islam dan tiada kena mengena dengan orang bukan Islam. "Berani langgar keputusan mahkamah, berani mencabar Perlembagaan Persekutuan bersabit kedudukan Islam dan umatnya, apakah agensi seperti MAIS dan JAIS kena bersifat dayus? Tentu sekali tidak," katanya. | |||
Anwar di DUN Kajang elak rampasan kuasa Perak berulang Posted: 02 Feb 2014 11:27 PM PST Oleh: Norhayati Umor SHAH ALAM : Pemilihan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Adun Kajang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) depan adalah bagi mengelakkan berlakunya rampasan kuasa di Perak pada 2009 berulang di Selangor. Aktivis politik, Hishamuddin Rais, berkata rampasan kuasa boleh berlaku di Selangor selepas perletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh secara tiba-tiba dan tidak diketahui puncanya. Sehubungan itu, katanya, satu tindakan bagi mengelakkan perkara terbabit berlaku perlu dielakkan. "Kita ambil iktibar dari apa yang berlaku di Perak dengan kes Adun Jelapang yang dibeli dan ada cadangan pembubaran Dun hinggalah rampasan kuasa berlaku di Perak. "Katakanlah Adun Kajang diugut atau ditimbulkan pelbagai krisis seperti Adun Jelapang, kita tidak tahu perkara dalaman yang berlaku itu. "Jadi perlu dilakukan sesuatu mengelakkan perkara itu berlaku, ambil iktibar dari satu pensejarahan yang pernah berlaku," katanya dalam Forum Anwar Dari Kajang ke Putrajaya di Kelab Radio Bangsar, baru-baru ini. Hishamuddin berkata tiga perkara iaitu agama, bangsa dan raja sudah dicampur aduk bagi mewujudkan isu perkauman ketika ini. "Berbeza dengan kes 13 Mei lalu, apabila hanya bangsa, tetapi sekarang dicampur aduk dengan lebih lagi iaitu agama dan raja. Jadi Pakatan Rakyat perlu lakukan satu tindakan menghalang perkara ini berlaku lagi," katanya. Pada pilihan raya umum Mei lalu, PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas. Sementara itu, Anwar akan menjelaskan perkara terperinci berhubung keputusan PKR meletakkan beliau sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, pada 3 Februari di Dewan Orang Ramai, Taman Mesra Kajang bermula jam 9.00 malam.EZY | |||
Kemaraan Anwar di Selangor, Najib dan BN kian tertekan Posted: 02 Feb 2014 11:24 PM PST Oleh : AFEEQA AFEERA SHAH ALAM 2 FEB : Keputusan menempatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon di DUN Kajang memberikan tekanan berganda kepada Barisan Nasional (BN) untuk bertahan atau mengekalkan kuasanya sebagai pemerintah. Bekas Naib Ketua Pemuda Umno Wangsa Maju, Shahbudin Husin, berkata Anwar dan Pakatan Rakyat (PR) mempunyai kelebihan berbanding BN berikutan deretan kelemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang begitu terserlah sejak kebelakangan ini. Katanya kredibiliti Najib kini bukan saja dipertikai dan diragui rakyat, malah terdapat banyak kelompok yang sebelum ini memberi sokongan kepadanya dilihat sudah menarik 'brek tangan' masing-masing dan mulai terbuka mengkritik serta mempertikaikannya. "Ramai yang hilang keyakinan bahawa Najib mampu memimpin kejayaan kepada Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang, termasuk bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin. "Meskipun Najib mempunyai ramai penyokong dah kelihatan menonjol, tetapi semua itu bukan kerana kualiti kepimpinan atau ketegasannya dalam menyelesaikan masalah. "Ditambah dengan pelbagai isu kritikal yang berlaku dalam negara sejak dulu, ketegasannya hampir tidak menonjol, malah Najib sebenarnya lebih sesuai menjadi pemimpin ketika aman dan bukannya dalam suasana krisis," katanya dalam satu kenyataan di blog. Malah kelemahan Najib menerajui Umno-BN semakin terserlah dalam PRU-13 yang lalu apabila semakin banyak majoriti kerusi terlepas ke tangan PR dan kebarangkalian untuk majoriti itu terus berkurang tidak dapat disangkal. "Kebarangkalian untuk BN kalah terus juga tidak dapat ditolak lagi jika Najib terus berada di kedudukannya sekarang," katanya lagi. EZY | |||
Khalid bersama Anwar lancar kempen PRK Kajang malam ini Posted: 02 Feb 2014 04:58 PM PST Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka hadir di Kajang mala mini bagi membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim menerangkan kepada pengundi keperluan mengadakan pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu. Selain menerangkan rasional di sebalik kritikan terhadap PRK itu, PKR berharap dapat menunjukkan kepimpinan yang kukuh kepada orang ramai dengan menggandingkan ketua pembangkang dan populariti Abdul Khalid. Usaha itu penting bagi menolak dakwaan menyatakan PRK Kajang yang disebabkan peletakan jawatan penyandangnya Lim Chin Cheh daripada PKR merupakan satu gerakan menyingkirkan Abdul Khalid oleh partinya sendiri. Abdul Khalid dijangka memberi penerangan itu bersama Anwar dalam pelancaran jentera PRK di dewan komuniti Taman Mesra Kajang pada jam 9 malam ini. Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, berkata kehadiran Abdul Khalid merupakan pengesahan pelan keseluruhan yang mahu mengangkat Anwar sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor melalui PRK. "Sudah tentu semasa perancangan awal pelan ini, tidak banyak penyertaan daripada pihak yang berkaitan tetapi selepas perbincangan mendalam, semua pihak termasuk Abdul Khalid melihat keperluannya," katanya. Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan berkata, Anwar dan Abdul Khalid akan menghadiri program bersama sepanjang kempen pilihan raya. Ura-ura plot menggantikan Abdul Khalid dengan Anwar bermula apabila menteri besar Selangor itu dikatakan tidak sehaluan dengan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Anwar sendiri dalam polisi pentadbiran negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu. Dalam satu temubual hujung bulan lalu, Rafizi menafikan perkara ini sebaliknya menyatakan kehadiran Anwar adalah untuk mengukuhkan kedudukan Abdul Khalid di Selangor daripada segi politik dan orang nombor satu kerajaan negeri itu sememangnya cekap dalam pengurusan. Rancangan itu membolehkan mereka bekerjasama di bawah satu bumbung kerajaan negeri dengan Abdul Khalid sebagai menteri besar manakala Anwar sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) atau sebaliknya. Rafizi berkata, Anwar memerlukan kuasa politik sah bagi membantu Selangor berdepan dengan serangan politik agresif daripada Umno Selangor yang menggunakan isu perkauman di negeri itu. Meskipun PKR mengambil langkah perlu, Rafizi mengakui pelan itu turut membantu meredakan pertelingkahan di antara Azmin dan Abdul Khalid. Azmin juga dijadualkan berucap dalam acara malam ini atas kapasitinya selaku pengarah PRK tersebut. Meskipun PAS dan DAP menyatakan persetujuan bagi menyokong PKR dalam PRK itu, aktivis politik tanah air masih gagal melihat pelan itu bagi menerangkan kepada pengundi. "Kami masih terkejut dengan pengumuman yang dibuat minggu lalu," kata seorang aktivis akar umbi Pakatan Rakyat (PR) di Selangor yang tidak mahu namanya didedahkan dan menuntut Anwar memberi penerangan lanjut kepada ahli parti hari ini. Rafizi mengakui masih banyak suara negatif terhadap pelan itu. "Tidak akan banyak kritikan terhadap Barisan Nasional hari ni. Mereka yang berucap akan lebih memfokuskan kepada penerangan pelan ini. "Saya fikir pengundi perlu mendengar sendiri daripadanya (Anwar). Selama ini kami bercakap benar tetapi malangnya dalam politik, rakyat sering dibayangi tipu muslihat. "Maka lebih baik dengarkannya sendiri," katanya. | |||
Spekulasi merebak bekas setiausaha politik Umno lewat didakwa Posted: 02 Feb 2014 04:56 PM PST Spekulasi semakin memuncak menyatakan wujud campur tangan politik atau pendakwaan terpilih yang menyebabkan tuduhan terhadap bekas setiausaha politik Umno lewat dijalankan selepas ditangkap Isnin lalu berikutan penyalahgunaan RM1.1 juta daripada tiga yayasan. Sumber berkata, bekas setiausaha politik dan pengarah salah satu yayasan itu dikaitkan dengan siasatan kerana dikatakan menggunakan wang yayasan yang sepatutnya digunakan untuk membantu golongan miskin itu bagi kegunaan politik. "Ia siasatan yang besar dan apa yang dilihat hanya di permukaan sahaja. Terdapat beberapa pihak dalam Umno yang tidak mahu kes ini dibawa ke mahkamah," kata satu sumber kepada The Malaysian Insider. Beliau merujuk kepada kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu yang berkata mereka menahan dua lelaki, termasuk seorang bekas setiausaha politik dengan gelaran datuk, dan dijangka mendakwa mereka pada Selasa lalu. Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, SPRM berkata terdapat kesilapan dan individu berkenaan akan didakwa pada tarikh yang belum ditentukan. Kedua-duana dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000. "Kuasa pendakwaan terletak pada Pejabat Peguam Negara dan apa-apa kenyataan SPRM hanya dikeluarkan selepas mereka bersetuju. "SPRM sudah bersedia tetapi tiada siapa tahu mengapa ada kelewatan. Ia mungkin berlaku minggu ini tetapi tiada siapa tahu," kata satu lagi sumber kepada The Malaysian Insider. Menurut kenyataan SPRM yang dikeluarkan oleh Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali, kedua-dua lelaki berusia antara 30-an dan 50-an itu akan didakwa mengikut Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Selasa lalu atas tuduhan pecah amanah melibatkan wang RM1.1 juta dan penipuan membabitkan RM1 juta. Menurut kenyataan itu, bekas setiausaha politik dan pengarah berkenaan ditahan pada pagi dan pada petang 27 Januari itu dibebaskan dengan wang jaminan. Katanya, ketiga-tiga yayasan yang terlibat dalam kes itu ditubuhkan pada 1980-an tetapi didaftarkan sebagai syarikat berhad dan bukan sebagai badan kebajikan. Kedua-dua individu berkenaan adalah pengarah dan pemegang amanah salah satu yayasan dan SPRM difahamkan cara wang itu dikeluarkan bertentangan dengan objektif yayasan. Menurut kenyataan itu, seorang pengarah bergelar Datuk turut ditahan bagi kesalahan di bawah Akta Syarikat dalam siasatan berkaitan dengan yayasan. Beberapa sumber dalaman Putrajaya berkata, Pejabat Peguam Negara mesti bertindak segera untuk menghapuskan tanggapan bahawa berlakunya pendakwaan terpilih dalam kes berprofil tinggi, merujuk kepada aduan bekas presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik bulan lalu. "Orang ramai memerhati kerajaan. Mereka mestilah adil dan mendakwa semua, bukan mereka yang berada di luar Umno sahaja," kata sumber dalaman. Difahamkan kes itu berkaitan dengan penahanan Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas setiausaha politik kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang disahkan September lalu ditahan bagi membantu siasatan SPRM. Suhaimi berkata, beliau disiasat atas dakwaan penyalahgunaan dana untuk golongan miskin di bawah program 1AZAM, bersama sekurang-kurangnya tujuh pegawai kementerian lain yang turut dipanggil. "Saya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan. Ya, saya ditahan tetapi maklumat yang diterbitkan dalam blog dan portal online tidak sepenuhnya benar," katanya. Laporan menyatakan SPRM merampas kira-kira 10 kenderaan mewah daripada Suhaimi, tetapi menafikan ia adalah miliknya. "Kenderaan itu bukan milik saya," kata ahli perniagaan berusia 54 tahun itu. "Sekiranya terdapat persoalan mengenai kekayaan dan rumah saya sebagaimana yang dinyatakan dalam blog, ia semua adalah hasil titik peluh saya. Saya seorang ahli perniagaan sejak 1995 dan wang yang ada datang daripada itu," katanya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Benta, Pahang. Program 1AZAM adalah inisiatif kerajaan di bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Ia diperkenalkan pada Januari 2010 untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan miskin tegar dalam sektor perniagaan, perkhidmatan dan pertanian. Jabatan Kebajikan Masyarakat membelanjakan RM1.35 bilion setakat ini untuk menyediakan bantuan kepada 473,928 penerima di seluruh negara. | |||
Hubungan Nazir, Najib berkocak? Posted: 02 Feb 2014 04:51 PM PST SEJAK sebuah tulisan berjudul 'Mengingati Ayahanda Saya, Tun Razak' sebagaimana dalam harian Sinar Harian atau versi Bahasa Inggeris, 'Remembering My Father, Tun Razak sebagaimana dalam harian The Star (keduaduanya edisi 14 Januari 2014) oleh Nazir, adik Perdana Menteri Najib Razak, sempena memperingati Tun Abdul Razak yang telah 38 tahun kembali ke rahmatullah, hubungan Pengerusi Kumpulan CIMB itu dengan abang beliau serta keluarga dilaporkan agak berkocak. Tidaklah dapat disahkan sama ada laporan itu hanya spekulasi atau sebaliknya. Dan jika ia bukan satu spekulasi, maka tidak juga dapat disahkah sekiranya ia hanya 'ribut dalam secawan teh' atau gelegakan gelora yang bakal mencetuskan perang saudara. Dan sekiranya Najib tidak begitu berkenan dengan apa yang ditulis oleh adiknya mengenai Allahyarham bapa mereka, maka tidaklah sesukar mana untuk memahaminya. Sebenarnya Nazir hanya merakamkan kembali apa yang pernah ditulis oleh penulis rencana, buku dan biografi mengenai Tun Razak. Perihal seperti: "Ayahanda saya memberitahu dengan jelas bahawa walaupun Seri Taman adalah kediaman rasmi kami, ia sebenarnya hak negara; bermakna, hak rakyat… Apa sahaja yang dibelanjakan untuk rumah itu adalah daripada tabung negara dan beliau tidak akan membenarkan negara menampung perbelanjaan bagi sesuatu yang tidak penting seperti kolam renang. "Apa akan rakyat fikir nanti?" tengking beliau," adalah kisah yang telah dibukukan sebelumnya. Dalam tulisan itu, Nazir juga menekankan prinsip ayahandanya, 'Rakyat Diutamakan'. Dan atas sebab yang hanya diketahui oleh penulis tetapi rasanya sedia difahami dan dimaklumi ramai, Nazir menutup rencananya dengan pepatah Malayu, "Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan," yang bermaksud "apabila kita tersesat, pulanglah ke tempat asal." Tidak mustahil, niat Nazir ikhlas dalam menyiarkan kembali apa yang pernah didokumentasikan oleh, misalnya William Shaw dalam 'Tun Razak: His Life and Times'. Rasanya tak ramai daripada kalangan generasi baru yang tahu kewujudan sebuah biografi seperti ini dan apatah lagi membacanya. Kempen membaca anjuran kerajaan Umno-BN pun sejak dulu sehingga terbaru (banyak tahun dulu) setakat kempen aje. Tak pernah ada promosi buku dan sebagainya. Pelik, kata Umno sayangkan pemimpin, kata Tun Razak seorang legenda, kenapa tak diterbitkan semula buku Shaw itu dan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Atau diupah sahaja seorang atau sekumpulan penulis untuk menghasilkan biografi rasmi Perdana Menteri kedua itu. Mustahil parti tersebut tidak memiliki dana untuk tujuan tersebut. Atau apakah sekiranya biografi seperti itu diterjemahkan atau diedarkan secara luas maka masyarakat daripada pelbagai generasi baru akan mendapati betapa perbezaan prestasi penyandang jawatan Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Najib Razak jika dibandingkan dengan Tun Razak ibarat langit dengan bumi. Oleh itu tak salahlah sekiranya Nazir menulis sedikit tentang ayahandanya. Tapi yang menjadi tak kena kepada Najib ialah apabila sumbangan Tun Razak kepada rakyat selaku Perdana Menteri diperingatkan semula, ia amat bertentangan dengan apa yang telah dilakukan dan tidak dilakukan oleh Najib sebagai Perdana Menteri. Nazir mengingatkan kita Tun Razak 'mengutamakan rakyat'. Hampir semua rakyat yang sempat dipimpin oleh beliau tahu 'mengutamakan rakyat' bukannya slogan kosong seperti 'rakyat didahulukan'. Sebaliknya ia adalah prinsip dan pegangan beliau. Maknanya, Tun Razak 'walks the talks' atau mengotakan janji dan cakap-cakapnya. Jika penulisan tentang beliau dipopular dan diedarkan kepada umum, ramai dapat melihat foto atau membaca bagaimana Tun Razak berbasikal, membonceng motosikal, berjalan kaki berkilometer di tengah panas atau malah turut sama berendam dalam kolam ikan air tawar. Ramai akan tahu bagaimana beliau melarang isterinya menaiki kapal terbang untuk ke Kota Bharu kerana tidak ada peruntukan untuk itu. Malah apabila ditawarkan oleh pemegang peruntukan kerajaan, Tun Razak menolaknya dan membiarkan isterinya menaiki kereta dengan perbelanjaan sendiri. Walaupun Tun Rahah adalah anak perempuan kepada Tan Sri Noah Omar, seorang tokoh politik terkemuka Johor di zamannya dan pernah dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat (dan bukannya daripada asal yang tak tahu entah dari mana atau dari kalangan orang biasa-biasa), dia sentiasa bersikap merendah diri. Tentu ada masih ingat gambar Tun Rahah menumbuk sambal dalam lesong sebagaimana tersiar dalam sebuah penerbitan di mana ketika itu Tun Razak sudah pun berjawatan tinggi dalam kerajaan dan Umno. Seperti suaminya, dia tidak menjadi seperti si kudung mendapat cincin. Pepatah Melayu menyebut bapa borek anak rintik dan idiom Inggeris pula 'like father like son'. Dan biasanya apabila si anak mewarisi kerjaya dan jawatan bapanya, maka si anak akan menjadi jauh lebih baik, lebih bijak, lebih berkebolehan dan lebih berkemampuan malahan juga lebih popular. Namun hal ini tidak berlaku kepada Najib. Jangan kata segala-galanya bersabit dengan jawatan Perdana Menteri yang dipegangnya lebih baik daripada ketika Tun Razak menyandang jawatan tersebut, atau setidaktidaknya menyamai prestasi bapanya, atau paling tidak pun adalah 10 peratus sebagai sagu hati bagi menunjukkan dia dari benih yang baik, sebaliknya segala tindakan dan keputusan kerajaan untuk rakyat yang dilakukan oleh Najib sama sekali bertentangan dengan Tun Razak. Tidak begitu mustahil rencana tulisan Nazir adalah rencana biasa memperingati seorang tokoh politik terkemuka tanah air yang juga merupakan ayahandanya. Namun, memandangkan keadaan Najib kian tidak popular di kalangan rakyat termasuk pengundi BN dan penyokong serta ahli Umno sendiri, maka kebaikan Tun Razak adalah kerugian buat beliau. Justeru ia memperkukuhkan lagi segala andaian dan spekulasi betapa hari-hari Najib selaku Perdana Menteri sudah boleh dibilang dengan jari. | |||
Letak calon sendiri, bukan Chong Wei Posted: 02 Feb 2014 04:45 PM PST SHAH ALAM - BN perlu percaya dengan tokoh yang dimiliki parti itu sekaligus tidak boleh meletakkan calon "bidan terjun" pada PRK Dun Kajang yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Timbalan Pengerusi 11, Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (Ikiam), Datuk Mustaffa Idrus berkata, BN tidak perlu meletakkan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang membayangkan seolah-olah parti itu ketandusan pemimpin. "BN juga tidak wajar meletakan Chong Wei kerana seolah-olah ketandusan pemimpin yang baik. "Pada saya Chong Wei popular pada bidangnya dan beliau tidak layak menjadi wakil rakyat dan ahli politik. "Jangan kita mempermainkan tokoh-tokoh yang ada, dan selama ini bekerja keras untuk rakyat. "Kita kena yakin dengan ahli-ahli politik kita sendiri...yang turut mampu mengalahkan Anwar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Isnin lalu, bekas Adun Kajang-PKR, Lee Chin Cheh telah meletak jawatan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut. Perkara itu telah diumumkan oleh Speker Dun Selangor, Hannah Yeoh. Susulan itu, PR telah melakukan satu pengumuman dengan meletakkan nama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Adun di situ. Bagaimanapun, BN masih belum memutuskan secara rasmi sama ada ingin meletakkan calon atau pun tidak. Walaupun parti komponen BN, MCA telah mempunyai senarai pendek yang akan diteliti termasuk nama Chong Wei yang menjadi cadangan pemimpin Umno Selangor. Dalam pada itu, Mustaffa juga berkata BN perlu meletakkan calon untuk memberi peluang kepada rakyat melakukan pilihan pada PRK Dun Kajang itu. "Inilah masanya rakyat sepatutnya menghukm PKR di Dun Kajang ini. "Andai BN tidak meletakkan calonnya, ini bermakna BN sendiri tidak mempercayai kebolehan sendiri dan mengaku kalah sebelum bertanding," katanya lagi. | |||
Video 'Onederful': Teresa enggan mohon maaf Posted: 02 Feb 2014 04:43 PM PST SHAH ALAM - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa kok hari ini menegaskan beliau tidak akan memohon maaf sekali gus mempertahankan video sempena Tahun Baharu Cina yang dilakonkannya hanya sebagai lawak jenaka yang disasarkan kepada kaum Cina. Menurutnya, video sempena sambutan Tahun Baharu Cina itu merujuk kepada isu semasa dan tidak berniat untuk memburukkan mana-mana pihak. "Minta maaf? Siapa makan cili dia terasa pedas. "Video itu dalam dialek Mandarin dan Kantonis, saya tujukan untuk golongan yang faham bahasa itu. "Saya juga hanya lakukan untuk tujuan lawak jenaka sempena Tahun Baru Cina, jangan serius sangat, ia hanya (watak) khayalan," katanya kepada Sinar Harian Online. Semalam, Pemuda Umno Wilayah Persekutuan mengecam tindakan Teresa ekoran penerbitan video berjudul 'Onederful Malaysia CNY 2014' yang disifatkan berunsur hasutan, mengancam perpaduan dan keharmonian negara ini. Ketua Pemudanya, Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, pihaknya mengutuk tindakan Teresa itu yang dianggap biadab. Mohd Razlan berkata, video berdurasi 11.39 minit itu mungkin dilihat sebagai jenaka oleh sesetengah pihak, bagaimanapun, ia tidak sepatutnya dilakukan oleh ahli Parlimen. "Kami mengutuk video ini yang bersifat perkauman. Kami kecam video ini yang boleh menggugat keharmonian rakyat," katanya. Pandangan sama turut dikongsi oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. "Saya berharap sungguh agar tindakan diambil tentang perkara ini. Keselamatan di negara ini antara perkara yang cukup penting," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini hari ini. | |||
Perjuangan Anwar masih mengalir dalam tubuh Zahid? Posted: 02 Feb 2014 04:36 PM PST HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Dalam suasana Umno dan BN masih kalut bagi menghadapi pilihanraya kecil Dun Kajang iaitu sama ada BN perlu bertanding atau tidak dan sama ada calon Melayu atau Cina yang perlu diletakkan bertanding di kawasan itu, Naib Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN berpegang kepada prinsip 'lawan tetap lawan' bagi menghadapi pilihanraya itu. Pendirian dan sikap tegas Zahid itu tidak ada yang peliknya, malah itulah kewajaran yang sepatutnya bagi mana-mana juga pemimpin politik, tulis Shahbudin Husin. "Tetapi yang menimbulkan sedikit pelik dan tanda-tanya ialah bila mana Zahid menggunakan ungkapan 'lawan tetap lawan' kerana semua orang tahu ungkapan itu begitu sinonim digunakan oleh Anwar Ibrahim sejak dipecat daripada Umno dan kerajaan pada 1998 lagi," tulisnya di dalam blog http://shahbudindotcom.blogspot.com/. Menurutnya, dalam kempen PRU 13, ungkapan itu menjadi lebih popular kerana Anwar hampr menyebutnya dalam setiap ceramahnya bagi menaikkan semangat dan menggelegakkan lagi darah perjuangan pengikut serta penyokongnya. Baginya, apabila Zahid tiba-tiba menggunakan ungkapan itu, sedangkan beliau boleh memilih menggunakan ungkapan lain atau setidak-tidaknya mengulangi frasa-frasa kata yang kerap disebut oleh Najib, timbul tanda-tanya mengenai kecenderungan dan kekagumannya terhadap Anwar Ibrahim. "Apakah beliau masih mengkagumi Anwar Ibrahim seperti dahulu?" tanya Shahbudin Menurutnya lagi, menyanjung ungkapan 'lawan tetap lawan' yang dipinjamnya daripada Anwar Ibrahim sebagai menunjukkan nilai perjuangan yang seharusnya didukung oleh Umno dan BN sekarang, ia turut menunjukkan pengiktirafan dan adanya kebersamaan beliau dengan bekas 'taukenya', malah seperti menunjukkan darah perjuangan Anwar masih mengalir dalam tubuhnya. | |||
Terengganu mahu FAM siasat insiden Piala FA Posted: 02 Feb 2014 04:34 PM PST TERENGGANU menyerahkan kepada pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyiasat insiden perlawanan pusingan kedua antara T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Johor Baharu semalam. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid berkata FAM perlu menjalankan siasatan terperinci berhubung punca pasukan T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua. "Sememangnya saya amat kesal dengan kejadian yang menimpa pasukan berstatus kelab ini sehinggakan pemain serta jurulatih kecergasan kami pun kena dipukul di tempat lawan," katanya ketika dihubungi Bernama di Kuala Terengganu hari ini. Wan Ahmad Nizam meminta FAM menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu dengan segera. Dalam laporan akhbar hari ini, perlawanan T-Team menentang JDT di Stadium Larkin malam tadi tidak diteruskan pada separuh masa kedua apabila T-Team dikatakan menarik diri. Tindakan itu dipercayai akibat pemain import kelahiran Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari oleh pengurusan tertinggi JDT ketika menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama. Pada masa itu, JDT mendahului 2-1 pada separuh masa. Dalam pada itu, Wan Ahmad Nizam berkata beliau telah mengarahkan pemain serta pengurusan T-Team untuk membuat laporan polis berhubung kejadian terbabit. Beliau berkata, pihaknya juga memohon bahagian pengurusan tertinggi T-Team mengemukakan laporan penuh berhubung kejadian itu serta mengarahkan mangsa membuat pemeriksaan kesihatan. Sementara itu ketua jurulatih T-Team, Mohd Azraai Khor Abdullah menggesa FAM supaya memindahkan perlawanan ulangan itu ke gelanggang berkecuali bagi mengelakkan insiden yang sama berulang. Beliau yang kesal dengan insiden bagaimanapun enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan ia menjadi lebih keruh dan menyerahkan sepenuhnya kepada FAM untuk menyiasat mengenai insiden di Larkin itu. "Saya juga perlu melihat dahulu kecederaan para pemain dan pegawai pasukan (T-Team) sebelum dapat membuat ulasan lanjut, namun adalah lebih elok sekiranya FAM sendiri yang menyiasat mengenai insiden itu," katanya. Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya dijangka menerima laporan perlawanan itu selewat-lewatnya esok daripada komisioner perlawanan, Zainal Mukri sebelum dapat mengambil tindakan selanjutnya. Hamidin berkata, beliau dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah akan mengadakan mesyuarat khas, Khamis ini, bagi membincangkan insiden berkenaan. "Kita akan turut memanggil komisioner dan pengadil perlawanan (Lismotia Mohem Mohd Tisan) dalam mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas. "Jadi, saya harap para media dapat bersabar sebelum keputusan muktamad diumumkan oleh FAM pada Khamis ini," kata Hamidin yang turut kesal dengan insiden tersebut.- Bernama | |||
Bolehkah harga sate diturunkan? Posted: 02 Feb 2014 04:32 PM PST BARU-baru ini, apabila PKR mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon parti itu dalam pilihan raya kecil akan datang di Kajang, penulis blog antipembangkang secara sinis berkata, antara benda akan diturunkan harga oleh Anwar adalah sate Kajang. Ini kerana pembangkang kerap mengkritik kerajaan Barisan Nasional sebagai penyebab harga barangan di pasaran naik. Tanpa sebarang maksud sinis, Sinar Harian cuba mengkaji, adakah benar harga sate boleh diturunkan, dari sudut perniagaan dan ekonomi? Jika boleh, tentu sekali ia adalah sesuatu yang menarik. Mungkin banyak lagi makanan atau barangan lain yang boleh diturunkan harganya jika semua pihak berfikir dan berusaha mencari jalan. Secucuk sate daging mahupun ayam kini berharga antara RM0.70 hingga RM0.80 dan ada juga mencecah RM1. Memang mahal, tetapi pemerhatian Sinar Harian di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menunjukkan pelanggan tidak kisah mengeluarkan sedikit wang untuk menikmati sate. | |||
Posted: 02 Feb 2014 04:24 PM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menuju ke ibu negara dilaporkan sesak sehingga petang Ahad berikutan pertambahan bilangan kenderaan selepas sambutan Tahun Baharu Cina. Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Berhad ketika dihubungi Bernama berkata keadaan itu dijangka berterusan sehingga Isnin. "Setakat 4.40 petang tadi, keadaan trafik di beberapa laluan dari kedua-dua arah (utara dan selatan) sesak. "Laluan paling teruk terjejas ialah dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Sungai Perak ke Terowong Menora, Seberang Jaya ke Juru, Juru ke Bukit Tambun, Gopeng ke Tapah, Bidor ke Slim River dan Tanjung Malim ke Rawang," katanya. Beliau berkata dari selatan ke ibu negara, trafik juga bergerak perlahan dari Pedas Linggi ke kawasan Rehat & Rawat Seremban. Jurucakap itu berkata trafik juga sesak dari Bangunan Sultan Iskandar Malaysia di Johor Baharu ke Singapura. Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan trafik bergerak perlahan dari Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi dan dari Genting Sempah ke Plaza Tol Gombak. Untuk maklumat lanjut dan terkini, sila hubungi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 atau talian LLM 1800-88-7752 atau layari www.twitter.com/plustrafik atau www.twitter.com/llminfotrafik. | |||
Video Teresa Kok Akan Disiasat - Polis Posted: 02 Feb 2014 04:22 PM PST MSTAR ONLINE KUANTAN: Polis akan menyiasat klip video berbaur sindiran sempena Tahun Baharu Cina yang didakwa membabitkan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang tersebar luas dalam laman 'Youtube' sejak Isnin lepas. Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid berkata pihaknya akan menyiasat sama ada kandungan klip video bertajuk 'Onederful Malaysia CNY 2014 Video Clip' berbaur fitnah, hasutan atau sebaliknya. "Kita akan siasat perkara ini bila ada laporan rasmi mengenainya diterima dan kita akan mengambil tindakan (jika didapati bersalah)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog bersama penduduk Kampung Seri Jaya Gading sempena Op Selamat IV Tahun Baharu Cina di sini, Ahad. Walaupun rakyat mempunyai kebebasan bersuara, Salleh berkata rakyat perlu mengelak daripada menimbulkan isu-isu berbaur fitnah atau hasutan supaya masyarakat pelbagai kaum dan agama hidup secara aman. Dalam video klip berdurasi hampir 12 minit itu, Teresa 'berlakon' sebagai pengacara yang menemuramah tiga tetamu mengenai Feng Shui pada Tahun Baharu Cina untuk tahun ini dan tetamu undangan Teresa pula mengeluarkan kenyataan menyindir dalam beberapa perkara, antaranya ialah sistem pendidikan negara dan isu keganasan di Sabah. Di KUALA LUMPUR, empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari membuat laporan polis meminta tindakan diambil terhadap wakil rakyat itu kerana didakwa menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta kerajaan menerusi klip video tersebut. Di MUAR, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata Teresa sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan bukan sebaliknya melakukan perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri sebagai anggota Dewan Rakyat. "Maklum balas dan komen terhadap klip video di Youtube memaparkan lebih banyak kejian daripada menyokong perbuatannya. "Orang ramai akan mentertawakan beliau sebagai Anggota Parlimen terlibat dalam video tersebut berbanding lawak bodoh yang diutarakan. "Kita nak tahu apa motif video itu dihasilkan ketika ramai sedang menyambut Tahun Baharu Cina," katanya pada majlis rumah terbuka Pengerusi MCA Bahagian Muar, Tay Puay Chua, di Pekan Seri Menanti, Parit Jawa di sini. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan