Sabtu, 22 Februari 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


EGM MCA Ahad ini mungkin tidak sah, kata pengkritik

Posted: 22 Feb 2014 04:40 AM PST

Oleh EILEEN NG


Mesyuarat agung luar biasa MCA yang diadakan pada tahun lalu untuk menetapkan sama ada pemimpin MCA perlu menyertai barisan Kabinet atau tidak. Gambar fail.Mesyuarat agung luar biasa MCA yang diadakan pada tahun lalu untuk menetapkan sama ada pemimpin MCA perlu menyertai barisan Kabinet atau tidak. Gambar fail. 


























Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA Ahad ini untuk mendapatkan sokongan ahli agar pemimpinnya boleh kembali memegang jawatan kerajaan boleh menjadi tidak sah kerana notisnya tidak mengikut peraturan, kata pengkritik.

Datuk Seri Liow Tiong Lai menggunakan kuasanya sebagai presiden sebagaimana yang ditetapkan dalam perlembagaan parti itu untuk memendekkan notis panggilan mesyuarat kepada tujuh hari sahaja untuk membolehkan perwakilan mengundi resolusi 3-dalam-1 untuk menyertai semula kerajaan Barisan Nasional di peringkat pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Bagaimanapun, perlembagaan MCA itu menyatakan memendekkan notis itu hendaklah dibuat melalui satu resolusi dalam EGM, di mana ia tidak dinyatakan dalam notis yang dihantar kepada perwakilan.

Namun, pembetulan itu hanya dinyatakan dalam program di mana pengkritik berkata ia tidak betul.
"Jika mereka teruskan EGM tanpa resolusi yang spesifik untuk membetulkan arahan presiden, maka resolusi 3-dalam-1 itu akan bercanggah dengan perlembagaan.

"Ia boleh menyebabkan EGM ini terbatal," kata peguam yang juga timbalan pengerusi biro Negeri Sembilan, Tan Foong Luen kepada The Malaysian Insider.

Selain itu, ada juga ahli yang tidak senang dengan keputusan parti untuk mengadakan EGM.

Semalam, kira-kira 10 ahli MCA membuat protes dengan duduk dan menaikkan poster di depan ibu pejabat MCA di Kuala Lumpur mendesak bahawa masa tidak sesuai lagi untuk pemimpin mereka menerima jawatan Kabinet.

Bekas presiden Datuk Seri Chua Soi Lek dan bekas naib presiden Gan Ping Sieu juga melahirkan rasa tidak senang mereka dengan masa untuk mengadakan EGM, kerana ia boleh mengganggu persiapan MCA untuk hadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 23 Mac ini di samping cara resolusi 3-dalam-1 disediakan.

Bagaimanapun, Ketua Biro Undang-undang MCA, Tay Puay Chuan menolak pandangan Tan dengan mengatakan proses untuk memperbetulkan notis yang pendek dinyatakan dalam program dan ia  dihantar kepada semua perwakilan bersama notis EGM.

"Perkara pertama yang akan kami buat adalah memperbetulkan notis singkat sebelum memulakan pengundian untuk resolusi.

"Saya tidak nampak sebarang sebab untuk mengatakan notis ini tidak betul atau EGM ini tidak sah," katanya.

Tan bagaimanapun berkeras berkata, perkara itu perlu menjadi sebahagian daripada agenda EGM dan mesti dimasukkan ke dalam, bukannya dalam program.

"Program bukan resolusi, mereka salah jika melakukan ini," katanya.

EGM Ahad ini diadakan selepas empat bulan EGM pada 20 Oktober lau diadakan di mana ahli menyokong menyertai kerajaan di peringkat negeri dan kerajaan tempatan tetapi menolak pemimpin mereka menerima jawatan Kabinet.

Parti senior dalam BN itu memutuskan untuk tidak memegang sebarang jawatan kerajaan selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, iaitu hanya menang tujuh daripada 37 kerusi Parlimen dan 11 daripada 90 kerusi DUN yang mereka tandingi.

Sabitkan Karpal langgar kebebasan bersuara, kata pakar antarabangsa

Posted: 22 Feb 2014 04:27 AM PST

OLEH V. ANBALANGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


The International Commission of Jurists (ICJ) turut bersama dengan peguam Malaysia tidak setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Karpal Singh (gambar) atas kesalahan menghasut, dengan mengatakan ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa dan taraf kebebasan bersuara bagi para peguam.

Penasihat Undang-Undang Antarabangsa ICJ bagi Asia Tenggara, Emerlynne Gil berkata pensabitan ini memberi mesej kepada peguam di Malaysia bahawa mereka tidak bebas untuk memberi pendapat tentang isu undang-undang.

Gil berkata, pensabitan Karpal bermula dengan sidang media awal tahun 2009 di mana beliau didakwa mengatakan perkara yang menghasut apabila mempersoalkan kekuasaan Sultan Azlan Shah dalam menyingkirkan Menteri Perak pada masa itu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Kes ini satu lagi tanda kerajaan Malaysia tidak mempunyai rasa hormat terhadap prinsip kebebasan bersuara," kata Gil dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Karpal bertindak memenuhi fungsi beliau sebagai seorang peguam, iaitu memberi pendapat kepada pihak awam dalam perkara berkaitan dengan undang-undang.

Prinsip utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam fungsi peguam, khususnya menyatakan bahawa peguam, seperti mana-mana rakyat lain, mempunyai hak kebebasan bersuara dan memberikan pendapat.

Beliau berkata peguam punyai hak untuk 'mengambil bahagian dalam perbincangan hal berkaitan dengan undang-undang, pentadbiran dalam penghakiman dan menggalakkan dan melindungi hak manusia' tanpa rasa takut atau sekatan profesional atau akibat daripada tindakan mereka yang sah di sisi undang-undang.

Sementara itu, Majlis Peguam Malaysia mengatakan hak rakyat dalam kes ini, seorang senior dan peguam berpengalaman untuk memberi pendapat tentang persoalan perundangan berada dalam skop kebebasan bersuara dan dijamin di bawah Persekutuan Perlembagaan.

"Hak Perlembagaan haruslah ditafsirkan secara subjektif, manakala sekatan di atasnya perlu ditafsirkan dengan ketat," kata naib presiden badan tersebut, Steven Thiru dalam satu kenyataan.

Beliau berkata Perlembagaan memberi kebenaran kepada Putrajaya untuk membuat perundangan, termasuk Akta Hasutan yang menyekat kebebasan bersuara, tetapi menekankan undang-undang tersebut perlu ditafsirkan dengan ketatnya untuk memastikan "hak asas tidak menjadi tidak bermakna lagi."

Steven berkata Akta Hasutan yang digubal pada 1948 itu merupakan satu 'penghinaan kepada perundangan' dan direka untuk menekan dan menghukum rakyat.

"Akta ini bertentangan dengan prinsip demokrasi dan idealnya kerana menyekat dan menjadikan jenayah sebarang perbincangan yang munasabah dan sederhana tentang isu nasional yang penting," kata Thiru, yang mewakili sebanyak 13,000 peguam dalam organisasinya di Semenanjung.

Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen berkata sabit kesalahan Karpal menjamin kembalinya autoritarian dan penganiayaan politik.

Paulsen berkata ini jelas mengikut rayuan P Uthayakumar yang ditolak awal minggu ini, serta untuk hasutan.

Beliau berkata kembalinya autoritarian dan penganiayaan politik ini berlaku selepas  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melakukan beberapa siri perubahan demokratik yang akhirnya hanya aktiviti penjenamaan semula dan semestinya – palsu.

Semalam, hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Paduka Azman Abdullah mendapati Karpal bersalah kerana mengatakan perkara berbaur hasutan terhadap Sultan Perak ketika krisis Perlembagaan pada 2009.

Hukuman ditangguhkan kepada 7 Mac bagi pasukan pembelaan Karpal untuk bersiap sedia bagi pengurangan hukuman.

Di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Karpal kini menghadapi denda berjumlah RM3,000 ke atas, atau penjara selama tiga tahun.

Sabitan kesalahan Karpal mungkin akan menyebabkannya melepaskan jawatannya sebagai ahli parlimen Malaysia, kerana Perlembagaan sudahpun menyatakan bahawa ahli boleh disingkirkan daripada Parlimen jika disaman lebih daripada RM2,000 atau dipenjara lebih daripada setahun.

Karpal, 73 tahun, sudah membela beberapa kes berprofil tinggi, termasuklah kes ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang perbicaraannya atas kesalahan liwat mengundang kritikan berat daripada Malaysia serta antarabangsa. –

SPR: Maklumat palsu disebar di PRK Kajang

Posted: 22 Feb 2014 04:20 AM PST

MALAYSIAKINI


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai penyebaran maklumat serta gambar tertentu oleh pihak tidak bertanggungjawab tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang termasuk kehadiran beberapa bas persiaran ke kawasan itu.
  
Kenyataan SPR hari ini menyebut laporan dan gambar itu disebar dengan tujuan menimbulkan persepsi bahawa akan berlaku manipulasi dalam PRK Kajang termasuk menggunakan warganegara asing sebagai pengundi.
  
"Laporan itu juga dikaitkan dengan kelewatan tarikh PRK Kajang. Bagi SPR laporan itu sengaja ditulis sebagai strategi untuk memburukkan SPR," menurut kenyataan itu.
  
Pada 19 Februari lalu, sebuah portal media menerbitkan artikel bertajuk 'Perkembangan Pelik di Kajang, SPR Patut Minimakan Ruang Manipulasi' yang antara lain mendakwa Solidariti Anak Muda Malaysia telah mengesan beberapa bas persiaran menurunkan warga Myanmar di hadapan stesen Keretapi Tanah Melayu di Kajang.
  
SPR menyifatkan laporan itu sebagai tidak berasas sambil memberi jaminan perjalanan semua pilihan raya dibuat secara telus berdasarkan undang-undang dan peraturan yang ada.
  
Kenyataan itu menyebut berdasarkan laporan itu, penulis artikel tidak faham dan sengaja memutarbelitkan gambar serta fakta untuk mengelirukan orang ramai bahawa SPR tidak telus.
  
"Sekiranya beliau tidak faham atau tidak jelas berhubung penjalanan pilihan raya, beliau boleh berjumpa dengan SPR dan bukannya mengelirukan orang ramai dengan pelbagai tuduhan," menurut kenyataan itu.
  
Selain itu SPR menegaskan tiada petugasnya yang termasuk dalam kategori pengundi awal dalam pilihan raya itu, sebaliknya pengundi awal bagi PRK Kajang hanya melibatkan 1,197 anggota polis.
  
Menurut kenyataan itu lagi pelantikan petugas PRK Kajang dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya yang dilantik SPR dan bukannya oleh Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor atau Ibu Pejabat SPR.
  
"SPR tidak boleh campurtangan dan menetapkan siapa yang akan dipilih untuk bertugas.  Perkara itu terpulanglah kepada budi bicara Pegawai Pengurus Pilihan Raya berdasarkan syarat dan panduan yang ditetapkan oleh SPR," menurut kenyataan itu.
  
Menjelas lanjut tentang isu petugas PRK Kajang, SPR memaklumkan sebanyak 65 peratus daripadanya diambil dari luar Kajang dan mereka juga bukan pengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai langkah untuk mengurangkan jumlah pengundi pos.
  
"Baki 35 peratus lagi adalah petugas-petugas yang terdiri daripada pengundi-pengundi di Kajang. Bagi petugas-petugas PRK yang juga pengundi di DUN Kajang, mereka diberi pilihan sama ada untuk mengundi secara biasa atau memohon untuk mengundi melalui pos.
  
Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Januari lepas.
  
SPR menetapkan 11 Mac untuk penamaan calon dan pengundian pada 23 Mac bagi pilihan raya kecil itu.
  
Barisan Nasional menamakan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon manakala PKR meletakkan penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.- Bernama

Guru penganjur mansuh PBS diarah tukar sekolah

Posted: 22 Feb 2014 04:18 AM PST

MALAYSIAKINI


 
 
Pengerusi Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) yang menganjurkan himpunan mendesak pemansuhan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) hari ini, mendakwa beliau ditukarkan tempat bertugas serta-merta "tanpa sebab munasabah".

Mohd Nor Izzat Mohd Johari, seorang guru matapelajaran Pendidikan Seni Visual yang mengajar di Jerantut berkata beliau menerima surat pertukaran bertarikh 17 Februari itu semalam (21 Februari).

Menurutnya, surat yang ditandatangani pengarah Jabatan Pendidikan Daerah itu mengarahkannya bertukar serta-merta.

Namun, beliau hairan dengan tarikh surat itu yang lebih awal berbanding tarikh serahannya, iaitu semalam.

"Saya sedikit keliru kerana tanpa sebab munasabah (saya) cuba ditukarkan (sekolah).

"Alasan yang diberikan adalah alasan klise iaitu khidmat saya diperlukan di sana (tempat baru)," katanya yang merahsiakan nama sekolah beliau mengajar sekarang dan nama sekolah baru tempatnya akan bertugas.

Menurut Izzat, beliau akan kembali mengajar di sekolah sekarang pada Isnin depan kerana sedang mendapatkan nasihat guaman tentang arahan pertukaran itu.

Pada masa sama, ia juga tidak mematahkan semangatnya untuk terus mendesak pemansuhan PBS menerusi 'Himpunan 222: Mansuh PBS' pada jam 1 tengah hari ini di Masjid Bandar Baru Bangi, katanya.

Pemimpin PAS dilarang lagi masuk ke S'wak

Posted: 22 Feb 2014 04:13 AM PST

MALAYSIAKINI





Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Mazlan Aliman dilaporkan dilarang lagi daripada memasuki Sarawak hari ini.

Menurut posting di Facebook beliau, perintah larangan itu datang dari Pejabat Ketua Menteri.


Katanya, beliau ditahan pihak berkuasa Imigresen apabila tiba di Lapangan Terbang Sibu pada jam 11.25 hari ini.

Penjelasan yang diberikan, katanya, ialah ia atas perintah Pejabat
Ketua Menteri.

Mazlan berkata beliau percaya larangan itu berkaitan dengan perhimpunan Sarawak mengenai hak-hak tanah yang akan dirasmikan oleh Presiden PAS di Beting Maro esok.

Ini adalah kali kedua Mazlan dilarang masuk ke Sarawak. Kali pertama beliau dilarang masuk ke Sarawak ialah pada 6 Julai 2011 di Lapangan Terbang Miri.

PERKASA tolak jemputan, tak iktiraf MKPN

Posted: 22 Feb 2014 04:08 AM PST

MALAYSIAKINI


 
 
NGO pendesak Melayu, PERKASA menolak jemputan untuk menghadiri sesi dialog Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) di Dewan Bahasa kerana ia tidak mengiktiraf MKPN, kata Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali.

Menurutnya, PERKASA dijemput secara rasmi untuk menghadiri sesi tersebut melalui faks yang diterimanya kelmarin.

"Bagaimanapun PERKASA tidak akan hadir kerana kami tidak iktiraf MKPN.

"Kami tidak iktiraf MKPN kerana dianggotai beberapa orang penggerak Comango yang memperjuangkan LGBT dan lain-lain perkara yg bercanggah dengan Islam dan Perlembagaan Persekutuan," kata Syed Hassan dalam satu kenyataan.

"PERKASA percaya MKPN tidak akan berjaya memainkan peranannya untuk perpaduan kerana beberapa anggotanya akan perjuangkan perkara-perkara yang pasti tidak akan diterima oleh orang Islam, Melayu dan Bumiputera," tambahnya.

Menurut Syed Hassan, PERKASA percaya perpaduan di Malaysia hanya wujud jika ekonomi negara tidak dimonopoli oleh sesuatu kaum sahaja.

"Kami percaya perpaduan sepenuhnya juga akan wujud jika sekolah-sekolah hanya ada satu aliran sahaja. Jika sekolah satu aliran di utamakan, murid-murid yang  berbagai kaum sudah boleh bergaul sesama mereka.

"Mana mungkin mereka kenal satu sama lain jika sekolah berasingan," tegasnya.

PERKASA juga, tegasnya, percaya perpaduan negara hanya wujud jika undang-undang tegas diambil terhadap mereka yang pertikaikan Perlembagaan Persekutuan, menghina agama yang dianuti rakyat negara ini, menghina Raja-Raja Melayu dan sebagainya yang boleh mendatangkan ketegangan antara kaum.

Oleh itu, tegas Syed Hassan, PERKASA melihat sesetangah anggota MKPN tidak mampu memastikan  perkara-perkara di atas dapat direalisasikan.

"Jadi, buat apa PERKASA buang masa untuk hadir ke majlis dialog itu," tambahnya.

PERKASA, tegas Syed Hassan, kesal isu rampasan Bible bahasa Melayu yang menggunakan Kalimah Allah di Selangor menjadi perkara penting kepada MKPN, sedangkan dalam terma dan rujukan MKPN menjelaskan isu-isu antara agama tidak dibincangkan dalam MKPN  kerana ianya telah mempunyai platformnya sendiri.

"Dalam terma dan rujukan MKPN menyatakan isu-isu agama telah mempunyai Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama ( JKMPKA ) yang telah ditubuhkan oleh Jemaah Menteri pada 24 Februari 2010.

"Bagaimanapun JKMPKA juga ditolak oleh NGO-NGO Islam sebelum ini.

"Tetapi isu Kalimah Allah telah menjadi perkara pertama dibincangkan oleh ahli MKPN dan mengeluarkan kenyataan pertama MKPN mengkritik JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) apabila Bible Melayu yang ada Kalimah Allah dirampas di Selangor baru-baru ini.

"Ini menunjukan MKPN tidak tegas dalam menuruti terma dan rujukan MKPN dan jelas berat sebelah bila isu agama yang tidak berpihak kepada majority anggotanya," tegasnya.

Kritikan MKPN, jelas Syed Hassan, jelas membela penganuti lain dan memperlekehkan undang-undang yang melindungi kepentingan Islam.

"Maka sudah jelas di peringkat awal lagi MKPN bertindak  secara tidak adil dan tidak jujur dalam tugas yang diamanahkan," tambahnya.

Himpunan mansuh PBS, ada 'menyorok' elak media

Posted: 22 Feb 2014 04:05 AM PST

MALAYSIAKINI


 
 
'Himpunan 222: Mansuh PBS' anjuran Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) berjaya diadakan di Bangi walaupun sebilangan hadirin dipercayai guru, hadir secara menyorok-nyorok untuk mengelak sebarang liputan media serta sorotan lensa dan kamera video.

Bertempat di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, himpunan yang diadakan bagi membantah pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pada asalnya dijangkakan berlangsung di perkarangan parkir masjid.

Namun, himpunan itu berlangsung di satu bilik mesyuarat masjid berkenaan dan diadakan dalam format sidang media selama dua jam bermula sekitar jam 2.30 petang.

Majlis yang menarik kehadiran kira-kira 100 orang itu diacarakan bekas guru, Mohd Zai Mustafa yang kini bergerak aktif bersama Majlis Kebajikan dan Pembangunan Pendidikan Malaysia, sebuah pertubuhan yang menurutnya menyelia kira-kira 400 buah sekolah agama rakyat.

Dakwanya, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) ada mengeluarkan arahan agar guru-guru tidak menyertai himpunan tersebut.

"Ada arahan daripada NUTP supaya para pendidik tidak hadir dalam perjumpaan ini," katanya.

Sebilangan hadirin wanita yang duduk di bahagian hujung dewan kelihatan memakai purdah bersama kaca mata hitam, menyukarkan wajah mereka dicam jika majlis petang tadi didokumentasikan oleh pihak kementerian pelajaran.

Pengerusi SGMM, Mohd Nor Izzat Johari, dalam ucapannya turut membuat gesaan kepada polis Cawangan Khas, yang dakwanya turut hadir pada sidang media itu, untuk "memikirkan masa depan anak-anak mereka" yang terkesan akibat pelaksanaan PBS.

Pelaksanaan PBS dikritik sebahagian guru kerana didakwa mengurangkan masa pengajaran dan pembelajaran kerana guru-guru terpaksa menghabiskan banyak masa melakukan tugas memasukkan data bagi penilaian berterusan murid-murid.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaannya ditangguhkan sehingga bulan April ini.

Turut hadir memberikan sokongan tadi adalah Anggota Parlimen Serdang, Ong Kian Ming; Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat; Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abdul Manan, bekas calon pilihan raya kecil Tenang serta bekas guru, Normala Sudirman, koordinator Jingga 13 dan bekas guru, Fariz Musa; serta aktivis Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Zul Hazmi.

Tiada ulasan: