DIALOG RAKYAT |
- Menjelang demonstrasi guru, Muhyiddin umum sistem penilaian pelajar dikaji semula
- Anwar tidak langgar mana-mana undang-undang pilihan raya, kata SPR
- Pengganti Taib Mahmud masih dalam penelitian rapi
- Satu lagi laporan polis dibuat terhadap NGO himpunan ‘Sembelih Ayam’
- Pimpinan MCA yang sepatutnya minta maaf kepada saya – Teresa Kok
- Demo sembelih ayam ancam ketenteraman'
- Rayuan liwat II: Anwar gagal ketepikan Shafee
- KJ: Segerakan siasatan 'insiden terowong'
- Wanita Umno PP pertahan anjuran tampar Teresa
- Umno kecoh isu Giat Mara Selayang, membisu kes Kolej Yayasan Felda
- Geramm: Permit fzdotcom itu ditarik balik, Kerajaan Pusat cabul kebebasan media
- McDonald’s tarik balik ‘iklan kangkung’
- Selangor terima RM564.6 juta peruntukan Marris baiki jalan
- Yayasan Sasakaawa minta maaf, pelawa Anwar ke Jepun semula
- Shafee perlu berundur dari terlibat kes rayuan Fitnah II
- Taib Mahmud lebih kebal dengan jawatan TYT Sarawak
- PAS Tegur PKR Henti Bincang Isu MB Selangor
- Calon PRK Kajang : UMNO Mampu Beri Kejutan
- Lima pelajar kolej didakwa bunuh pensyarah, bapa
- Mereka yakin menang sebab itu pilih Kajang
- Sinar Harian portal berita Melayu nombor satu
- Mahabbatur Rasul difitnah?
- Bangsawan samseng
- 'Saya tiru pelawak Hong Kong, bukan Rosmah'
- Sistem penilaian pelajar: PAS gesa kementerian bertindak sebelum guru berdemonstrasi
Menjelang demonstrasi guru, Muhyiddin umum sistem penilaian pelajar dikaji semula Posted: 11 Feb 2014 05:21 AM PST Muhyiddin yang juga menteri pelajaran mengumumkan perkara itu pada selepas mendapat reaksi buruk dari golongan guru yang mengancam untuk mengadakan demonstrasi hujung bulan ini. Katanya keputusan itu adalah bagi menangani segala permasalahan yang dibangkitkan guru berkaitan PBS. "Sebelum ini, guru mengadu mengalami masalah untuk memasukkan data berkaitan pelajar ke dalam sistem berkomputer PBS. "Sehubungan itu kita menangguhkan pelaksanaan aspek itu sehingga April tahun ini. "Hari ini kita buat keputusan untuk kaji semula pelaksanaan PBS secara menyeluruh," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini. Terdahulu, Muhyiddin mengadakan perbincangan lebih sejam dengan guru SMK Presint 8(1) bagi mendengar sendiri permasalahan mereka. Kumpulan pendesak guru merancang untuk mengadakan bantahan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada 22 Februari bagi mendesak Putrajaya menghentikan program penilaian tiga tahun pelajar. Bantahan yang jarang diadakan dari bidang perguruan itu menunjukkan rasa tidak puas hati warga pendidik yang semakin tinggi terhadap sistem PBS, kata jurucakap Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM). Himpunan ini dirancang juga biar pun berulang kali jaminan diberikan Putrajaya bahawa PBS satu keperluan kepada pembaharuan sistem pendidikan kebangsaan dan penambahbaikan kepada sistem akan diselesaikan April ini. Ketua kumpulan kerja SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari berkata bantahan #himpunan222kpmputrajaya akan diadakan pada 22 Februari di hadapan KPM di Putrajaya. "Kami mengadakannya pada Sabtu bagi memberi lebih banyak guru peluang menyertainya dan tidak lupa menjalankan tanggungjawab ini," katanya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Pahang | ||||
Anwar tidak langgar mana-mana undang-undang pilihan raya, kata SPR Posted: 11 Feb 2014 05:02 AM PST Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengatakan calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) tidak melanggar mana-mana undang-undang pilihan raya seperti didakwa sesetengah pihak berhubung isu berkempen awal kerana ketua pembangkang itu secara teknikalnya masih belum sah sebagai calon. Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sebelum hari penamaan calon, badan penggendali pilihan raya itu tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang berkempen sebelum tarikh ditetapkan karana tiada undang-undang yang memberikan kuasa kepada mereka berbuat demikian. "Sebelum penamaan calon, SPR tidak ada kuasa untuk mengambil tindakan kepada Anwar," kata Abdul Aziz apabila dihubungi The Malaysian Insider di Shah Alam. "Sekarang kuasa terletak kepada pihak polis untuk mengambil tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012," katanya. Menurut Abdul Aziz, calon bagi PRK Kajang hanya dapat diketahui selepas Pegawai Pengurus, Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman mengumumkan nama calon semasa hari penamaan calon pada 11 Mac akan datang. "Itu pun kalau ada pertandingan. Kalau tak ada orang hantar borang penamaan calon? Macam mana?" soal Abdul Aziz. Hari ini Majlis Peguam menggesa SPR mengambil tindakan terhadap parti yang memulakan kempen sebelum hari penamaan calon bagi PRK DUN Kajang. Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata SPR harus menguatkuasa undang-undang, tidak kira sama ada terhadap Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR). "Saya ucapkan terima kasih kepada Majlis Peguam kerana memberikan respon. Ini positif. Tapi mungkin mereka tidak faham. "SPR hanya boleh menasihatkan sahaja kepada semua pihak agar tidak berkempen. Sebelum penamaan calon, kuasa di tangan polis," katanya. Berita Harian hari ini melaporkan polis memulakan siasatan terhadap Anwar kerana gagal memberikan notis 10 hari sebelum berkempen awal di Kajang. Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata pihaknya tidak menerima sebarang notis daripada Anwar berhubung kempen beliau di Kajang seperti yang dikehendaki mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. Katanya, tindakan Anwar boleh disiasat mengikut akta tersebut kerana kempen rasmi PRK hanya boleh dilakukan selepas tarikh penamaan calon pada 11 Mac. Semantara Anwar menafikan langkah beliau melanggar undang-undang pilihan raya dan bertegas BN sudah melancarkan kempen agresif terhadap beliau melalui media kawalan mereka seperti TV3 dan Utusan Malaysia. Minggu lalu, SPR menetapkan tarikh 23 Mac untuk PRK Kajang dan 11 Mac untuk hari penamaan calon. PRK tersebut diadakan berikutan peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Adun Kajang, pada 27 Januari. | ||||
Pengganti Taib Mahmud masih dalam penelitian rapi Posted: 11 Feb 2014 04:53 AM PST MSO
Pengumuman oleh parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dua hari lepas yang Taib Mahmud akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Menteri yang dipegangnya selama 33 tahun tidak begitu mengejutkan masyarakat negeri bumi Kenyalang itu. Kebanyakan mereka menyambut pengumuman seperti biasa sahaja, seperti pengumuman keadaan cuaca. Tidak mengambil berat dan sesuatu yang menarik perhatian. "Acap kali sudah dia (Taib Mahmud) mahu letak jawatan, tetapi tidak pernah menjadi," begitu komen seorang politik veteran ketika minum kopi di kompleks Satok yang baru itu. Katanya bagi rakyat Sarawak berita seperti itu bukan sesuatu yang baru dan diberi perhatian.
Mengapa tidak katanya, sebelum ini Taib sudah pun berjanji akan letak jawatan dan diberikan kepada penggantinya. Setiap kali menjelang pilihan raya negeri, Taib berjanji kononnya tidak akan bertanding dan akan memberi laluan kepada tokoh lebih muda. Orang pun suka dan seronok mendengarnya. Tetapi ternyata bila dewan dibubar beliau bertanding lagi, menang dan angkat sumpah menjadi ketua menteri untuk kesekian kalinya. Masa pilihan raya negeri 2011 lalu juga meletus berita Taib tidak lagi akan menjadi KM. Pengerusi BN, Najib Razak sendiri sudah memberi isyarat agar Taib Mahmud perlu berundur dan pemimpin lebih muda dan bersih diperlukan untuk Sarawak. Bagaimana pun isyarat itu tidak diendahkan bahkan Taib mengancam pula Najib. Akhirnya Najib diam dan Taib terus jadi ketua menteri. Belum pun habis kiraan kerusi, sebaik BN mendapat kerusi majoriti di Dun, Taib sudah bergegas ke Astana berjumpa Tuan Yang Terutama (TYT) untuk angkat sumpah jadi KM. Masa beliau angkat sumpah tempoh hari mereka yang diandaikan akan jadi penggantinya tidak dijemput dan sampai setelah upacara selesai. Taib sendiri katanya kerana mahu cepat sampai tersalah pakai stokin. Saya ketika itu berada di Kuching. Kerana ulah dan sikap itu masyarakat Sarawak khasnya orang politik tidak mudah untuk percaya yang Taib segampang itu akan berhenti, jadi pengumuman oleh Setiausaha Agung PBB itu dianggap hanya sebagai gimik tahun baru Cina sahaja. Banyak faktor kenapa Taib dikatakan sukar untuk berundur atau takut untuk meninggalkan Petrajaya. Antaranya kerana berbagai penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukannya. Beliau dikatakan mempunyai harta ratusan billion dan merupakan orang terkaya di Borneo. Taib juga dikatakan mempunyai harta di luar negara. Beliau juga dikatakan bimbang dan gerun kerana ketika ini sedang disiasat oleh SPRM. Ramai yang percaya kedudukan sebagai KM menyebabkan kuasa SPRM menyiasat beliau terbatas. Jawatan itu menjadi tugu atau benteng untuk menyelamatkannya. Justeru kalau dia sudah tidak duduk di Petrajaya lagi, ia memudah dan memberanikan SPRM untuk terus menyiasat laporan yang dibuat ke atasnya. Itulah menjadikan pengumuman kononnya Taib hendak lepas jawatan dipandang sebagai satu sandiwara untuk menyejutkan hati mereka yang membencinya sahaja. Bagaimana pun apabila semalam, beliau sendiri menyatakan akan menghadapi TYT Sarawak, Abang Sallahuddin Abang Barieng untuk memberi surat letak jawatan dan nama penggantinya, menjadikan masyarakat dan pemerhati politik Sarawak merasakan kali ini Taib benar-benar akan berundur. Ia bukan lagi cubaan dan main-main. Apa lagi PBB juga sudah endorse yang beliau akan mengambil alih jawatan TYT yang dipegang oleh Sallahuddin dan akan tamat 28 Februari ini. Sekali lagi pertukaran jawatan itu merupakan pagar dan kubu baru untuk Taib melindungi dirinya dari diusik oleh SPRM atau mana-mana pihak. Bolehlah dianggap pengunduran beliau itu sebagai taktikal untuk mengukuhkan lagi kedudukannya. Sabtu ini dilaporkan Taib akan menghadap TYT dan menyerahkan surat perletakan jawatan dan juga menyembahkan nama penggantinya. Sabtu ini dinanti oleh semua pihak sambil berdoa biarlah ia menjadi kenyataan. Rakyat Sarawak sudah tidak mahu berketua menterikan Taib lagi, dan biarlah kisah mengenainya (pemerintahan) menjadi legenda seperti Bujang Senang ataupun Gunung Santubung. Persoalannya kini yang masih menyelimuti kepala rakyat Sarawak dan pemerhati ialah siapakah pengganti Taib? Siapakah bakal menjadi kuda hitam untuk memberi kekebalan kepadanya? Ada tiga nama yang disebut-sebut dan sedang diapungkan dalam pasaran saham Sarawak hari ini. Mereka ialah Adenan Satem, bekas pimpinan PBB, Abang Johari Openg yang merupakan timbalan presiden PBB dan Awang Tengah Ali Hassan, Naib presiden PBB. Ketiga mereka merupakan anggota Kabinet Taib Mahmud. Tiga nama ini menjadi pertarungan dan pertaruhan. Kumpulan dan penyokong kepada ketiga tokoh itu masing-masing melobi. Dari segi senioriti dan pengalaman Adenan menjadi pilihan golongan veteran di Sarawak. Mereka beranggapan Adenan lebih layak dan sesuai. Lagipun Adenan pernah dijanjikan oleh Taib sebagai penggantinya sejak lama dahulu. Sebuah akhbar arus perdana (PB) sudah yakin yang Adenan Satem akan menjadi ketua menteri. Bagaimana pun sedikit menjadi persoalan mengenai Adenan ialah beliau sudah agak berumur di mana usia sebegitu tidak akan banyak membawa perubahan masa depan di Sarawak. Manakala golongan teknokrat dan birokrat lebih menyukai Abang Johari. Johari dilihat seorang pemimpin yang sabar dan tenang serta sedia menahan hati dengan karenah Taib. Walaupun sesetengah tindakan Taib seperti mana disebut rakyat agak merungsingkannya, tetapi Johari mampu mengikut rentaknya. Beliau juga dianggap sang setia kepada parti bila mana walaupun beliau seakan dinafikan dari segi kedudukan, namun setia kepada Taib. Pihak Kuala Lumpur juga lebih berminat kepada Johari. Beliau dikatakan akan menjadi penyambut tamu sekiranya Umno ingin menyengkang kaki ke Sarawak seperti mana berlaku di Sabah dahulu. Sikap nasionalisme Abang Johari ini katanya kurang disenang Taib. Selain itu juga kerana masalah perbezaan etnik di antara mereka berdua. Sudah sedia maklum Taib kurang senang dengan keturunan "Abang" tetapi lebih suka kepada keturunan "Awang". Satu lagi nama yang menjadi sebutan ialah Awang Ali Hasan, naib presiden PBB. Sebenarnya tidak ramai yang tahu, siapa Awang Tengah bagi Taib Mahmud. Dalam sudut tertentu Awang Tengah menjadi prokasi kuasa kepada Taib Mahmud. Awang Tengah merupakan orang yang setia kepada Taib Mahmud. Beliau juga menganuti politik Taib Mahmud dimana kurang senang dengan Kuala Lumpur. Apabila Taib mengatakan Sarawak perlu diperintah oleh orang Sarawak ia menggambarkan Awang Tengah adalah penggatinya kerana Awang Tengah anti Umno, tidak seperti mana Abang Johari. Kesimpulannya masih belum tentu siapakah yang akan ditunjukki oleh Taib sebagai penggantinya. Apapun Taib akan memastikan penggantinnya nanti tidak akan membawa porak peranda kepada PBB itu sendiri dan boleh mengukuhkan kerajaan Sarawak di bawah BN. Bukan mudah juga untuk Taib Mahmud mencongak dan membuat keputusan kerana kalau tidak kena catur ia boleh menyebabkan PBB akan hilang kuasa di Sarawak. Yang dapat saya rasakan sekiranya Taib terus memilih kroninya untuk menguasai Sarawak, tidak dapat tidak pergolakan dan krisis politik akan berlaku di Sarawak. Krisis dan pergolakan itu kelak akan memberi masalah kepada PBB sebagai parti unggul di Sarawak untuk memerintah. Misalnya kalau bukan Abang Johari menjadi ketua menteri, sebaliknya diambil Awang Tengah, sudah pastikan dua marga ini akan berantakan. Di sinilah nanti ia membuka celah dan ruang untuk Dayak dan DAP menguasai politik Sarawak. Boleh jadi kalau Taib menyedari masalah ini maka Adenan Satemlah yang akan diambil sebagai orang tengah walaupun dia mahukan Awang Tengah. * Barang kali boleh juga dijadikan tip, semalam sewaktu saya turun dari kapal terbang dari Sarawak saya terserempak dengan Abang Johari. Dari jauh dia kelihatan tersenyum dan menyambut salam saya. "Dari mana ni?" tanyanya mesra. "Dari Kuching Datuk... insyaAllah Datuk akan jadi Ketua Menteri dan bila Datuk angkat sumpah nanti, saya akan ke Kuching lagi," balas saya sambil menduga dia datang Kuala Lumpur mungkin berjumpa Najib Razak. | ||||
Satu lagi laporan polis dibuat terhadap NGO himpunan ‘Sembelih Ayam’ Posted: 11 Feb 2014 04:41 AM PST MENTAKAB: DAP dan Pakatan Rakyat (PR) Pahang hari ini membuat satu lagi laporan polis ke atas enam NGO Melayu yang membuat demonstrasi serta provokasi melampau di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Laporan polis itu dibuat oleh Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Balai Polis Mentakab, pagi tadi. "Tujuan saya membuat laporan polis supaya mereka dapat menyiasat tawaran ganjaran RM1,200 oleh pihak tertentu itu yang jelas melakukan kesalahan jenayah mengikut Seksyen 505 dan Seksyen 506 Akta Jenayah. "Saya bersama rakan memohon kerjasama pihak polis untuk membuat siasatan segera dan sewajarnya terhadap sesiapa saja yang terbabit," katanya. Pada himpunan 5 hari lalu di Jalan Tun Perak berhampiran Puduraya, sekumpulan individu menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia telah melakukan provokasi melampau yang boleh mencetuskan ketegangan kaum. Selain menyembelih dan melumurkan darah ayam terhadap sepanduk tertera wajah pemimpin DAP dan PR, mereka juga menawarkan ganjaran wang tunai kepada individu yang berani menampar muka Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim. Insiden itu dikatakan sebagai respon terhadap klip video satira politik 'Onederful Malaysia' sempena Tahun Baru Cina yang dibuat Teresa. "Kami juga amat dukacita di atas penjelasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tidak menganggap perkara itu sebagai jenayah. Sedangkan, ia merupakan satu perkara berbahaya dan memudaratkan keselamatan Teresa," ujarnya. Ketua Pembangkang DUN Pahang itu juga kecewa dengan kenyataan Zahid kerana seolah-olah beliau menggalak orang ramai melakukan jenayah. Sehubungan itu, beliau memohon pihak berkuasa agama Islam dan Istiadat Melayu agar dapat mengenakan tindakan undang-undang terhadap NGO terbabit yang jelas memburukkan imej agama. -Roketkini.com | ||||
Pimpinan MCA yang sepatutnya minta maaf kepada saya – Teresa Kok Posted: 11 Feb 2014 04:36 AM PST KUALA LUMPUR,: Pimpinan MCA yang seharusnya memohon maaf kerana terus memutarbelitkan kandungan dan makna klip video satira 'One-derful Malaysia', kata Naib Presiden DAP Kebangsaan, Teresa Kok Suh Sim. Beliau merujuk kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong yang memintanya memohon maaf berhubung klip video itu, kononnya tidak ingin masyarakat 'menganggap budaya Cina adalah memaki hamun dan mempersenda orang lain ketika sambutan Tahun Baru Cina'. Teresa berkata, beliau telah jelaskan sejak daripada mula bahawa video itu adalah satira politik dan kandungannya mengenai isu yang diperkatakan rakyat saban hari. "Kandungannya bukan sahaja menunjukkan bagaimana rakyat memperolok ketidakcekapan dan kegagalan dasar kerajaan, ia juga mencerminkan sentimen mereka. "Jika pimpinan MCA tidak boleh terima satira politik dalam sistem demokrasi mahu pun kegagalan dasar kerajaan diperolok, tiada sebab untuk mereka putar belit makna, tujuan serta kandungan video itu," katanya dalam satu kenyataan. Beliau juga mendesak Wee agar menunjukkan kandungan video itu yang didakwanya sebagai 'memaki hamun orang lain'. Antara pimpinan MCA lain yang turut menyerang Teresa adalah Ketua Wanita, Heng Seai Kie yang mendakwa video itu mencemarkan imej pemimpin negara serta Ahli Parlimen Alor Gajah, Koh Nai Kwong yang menuduhnya mempersenda insiden Lahad Datu dan pihak keselamatan negara. Ahli Parlimen Seputeh itu turut membidas pimpinan MCA yang menyerangnya, pada masa sama mengambil ringan ancaman kecederaan yang dibuat sekumpulan NGO pro-Umno yang menggelar diri mereka sebagai Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia terhadapnya. Minggu lalu, NGO itu berhimpun berhampiran Jalan Tun Perak di sini, dan menyembelih beberapa ekor ayam dan melumurkan darahnya kepada kain pemidang yang tertera gambar pimpinan DAP, selain menawarkan RM1,2000 kepada sesiapa yang menampar Teresa dan merakamnya. "Daripada mengecam ancaman itu, Heng Seai Kie hanya berkata beliau membantahnya, malah bertanya kenapa ayam yang dijadikan korban apabila saya yang melakukan kesalahan. Wee Ka Siong pula merewang bagaimana video itu menjejas sambutan Tahun Baru Cina. "Pimpinan MCA sepatutnya rasa malu terhadap diri sendiri. Mereka yang sepatutnya memohon maaf kepada saya kerana memutar belit makna, tujuan dan kandungan video itu," katanya lagi. Roketkini.com | ||||
Demo sembelih ayam ancam ketenteraman' Posted: 11 Feb 2014 04:27 AM PST MALAYSIAKINIPerhimpunan sekumpulan NGO yang menyembelih ayam dan melumurkan darahnya pada poster beberapa pemimpin politik serta minggu lalu adalah ancaman kepada ketenteraman awam, kata Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong. Menurutnya, pihak berkuasa tidak bertanggungjawab seandainya tiada tindakan diambil ke atas kumpulan terbabit. "Majlis Peguam berpandangan yang demonstrasi oleh sekumpulan NGO melibatkan penyembelihan ayam dan melumur darahnya pada sepanduk dengan gambar pemimpin politik tertentu termasuklah rujukan kepada peristiwa 13 Mei secara tersurat atau tersirat - adalah satu bentuk pengapi-apian dan ancaman kepada ketenteraman awam. "Ia sangat tidak bertanggungjawab sekiranya pihak berkuasa tak ambil sebarang tindakan tegas dan segera," katanya pada sidang media pagi tadi. Christopher berkata tindakan pihak berkuasa yang kini seolah-olah mengheret kaki mereka untuk bertindak terhadap peserta himpunan itu, juga dilihat seolah-olah menggalakkan tindakan mereka. "Saya percaya terdapat banyak imej (perhimpunan itu) dan ia amat mudah untuk pihak berkuasa mengenal pasti pesertanya dan bertindak," katanya. Beliau turut "terkejut dan kecewa" dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyifatkan ganjaran untuk menampar MP Seputeh Teresa Kok sebagai bukan satu ancaman. "Anda tak perlu menjadi ahli sains roket untuk tahu bahawa menampar orang itu adalah satu bentuk serangan dan kesalahan jenayah," katanya sambil menambah pihak berkuasa wajar bersikap adil dalam menyelesaikan masalah sedemikian. "Majlis Peguam menyeru mereka yang berada dalam posisi kepimpinan untuk mempamerkan kepimpinan (dalam isu ini). "Hanya menerusi kepimpinan yang adil dan saksamalah kita mempunyai harapan untuk merungkaikan ketegangan yang melanda kita ini. "Pemimpin tidak sepatutnya - menerusi tindakan atau sikap berdiam diri mereka - turut sama menyumbang kepada ketegangan ini," katanya. | ||||
Rayuan liwat II: Anwar gagal ketepikan Shafee Posted: 11 Feb 2014 04:23 AM PST MALAYSIAKINIMahkamah Persekutuan Putrajaya sebulat suara menolak permohonan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetepikan peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Liwat II. Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, yang mengetuai lima anggota, berkata akuan bersumpah dan kenyataan yang dibuat bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim di luar mahkamah tidak boleh diterima sebagai asas untuk permohonan. Hakim-hakim lain mendengar rayuan itu adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Richard Malanjum, dan Hakim Mahkamah Persekutuan Suriyadi Halim Omar, Zaleha Zahari dan Jeffrey Tan Kok Wha. Ini percubaan kedua Anwar untuk mengetepikan Shafee dari pasukan pendakwaan, selepas beliau memperoleh fiat dari Peguam Negara Abdul Tan Sri Gani Patail Julai lalu. Pada 20 Disember, Mahkamah Rayuan telah menolak permohonan pertama Anwar untuk mengetepikan Shafee ketika menolak akuan berkanun Mat Zain. Rayuan pihak pendakwaan akan didengar di Mahkamah Rayuan esok. | ||||
KJ: Segerakan siasatan 'insiden terowong' Posted: 11 Feb 2014 03:30 AM PST MALAYSIAKINI Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) segera mengeluarkan hasil siasatan berhubung insiden dalam terowong yang membabitkan pasukan T-Team dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor Baharu pada 1 Februari lalu. Beliau berkata tindakan seorang pemain dan penolong jurulatih T-Team bersumpah Al-Quran di hadapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said di Kuala Terengganu malam tadi dilihat sebagai sesuatu yang amat serius, lapor Bernama Mereka mengangkat sumpah seperti disarankan Ahmad sebelum ini demi merungkai perkara sebenar yang berlaku. "Ada sesuatu yang berlaku, tetapi saya tidak tahu apa yang berlaku dan siapa yang terlibat, tetapi apabila ada pemain dan pegawai sanggup mengangkat sumpah, perkara ini bukan perkara remeh. "Saya ada menghubungi Datuk Hamidin Mohd Amin (setiausaha agung FAM) memaklumkan kepada beliau perkara ini adalah serius dan tidak boleh diketepikan. Kalau memang ada kejadian yang tidak diingini berlaku di Stadium Larkin, FAM kena membuat pertuduhan. "Jika ada kesalahan jadi perlu dihukum, hukuman itu haruslah tidak pilih kasih. Saya hanya menteri belia dan sukan, saya tidak boleh membuat sebarang hukuman. Sekiranya FAM tidak mengambil tindakan terhadap apa yang berlaku, kredibiliti FAM akan terjejas," beliau dipetik sebagai berkata. Khairy juga meminta FAM memperketatkan lagi kawalan keselamatan di stadium bagi mengawal tindakan agresif penyokong bola sepak tempatan. "Ada sekumpulan penyokong yang muncul boleh dikatakan sebagai samseng, saya juga telah memaklumkan kepada Datuk Hamidin yang saya bimbang perkara ini. Kerjasama dengan pihak PDRM perlu diperketatkan. "Bola sepak adalah sukan kelurga, ramai ibu bapa membawa anak-anak mereka menonton perlawanan, jadi bahaya kepada mereka jika penyokong menjadi agresif," katanya. Pada aksi Liga Super pada Jumaat lepas di Stadium Darul Makmur, Kuantan, penyokong JDT dan Pahang dilapor mencetuskan provokasi sehingga menyebabkan ada penyokong JDT cedera dipercayai terkena balingan objek keras. 'Gantung JDT daripada Piala Malaysia' Dalam perkembangan berkaitan, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Pahang menggesa JDT digantung daripada Liga Malaysia seandainya kekecohan melibatkan penyokong bola sepak berterusan. Penyelaras SAMM Pahang, Amirul Syazwan dalam kenyatannya berkata, kekecohan sewaktu perlawanan JDT menentang Pahang pada 7 Februari lalu yang berlaku akibat campur tangan pihak VVIP "tidak wajar berlaku dan seharusnya boleh dielakkan". "SAMM Pahang menggesa agar mana-mana pasukan yang mengundang campur tangan golongan VVIP ini digantung dari meneruskan penyertaan dalam liga Malaysia sekiranya sikap seperti ini gagal dibendung pada masa hadapan," katanya. Kekecohan melibatkan penyokong Pahang dan JDT pada Jumaat lalu selepas perlawanan tamat di Stadium Darul Makmur menyebabkan polis Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa meleraikan keadaan. Insiden itu yang kedua melibatkan JDT selepas insiden pertama di terowong menuju ke bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, pada 1 Februari lalu. | ||||
Wanita Umno PP pertahan anjuran tampar Teresa Posted: 11 Feb 2014 03:25 AM PST MALAYSIAKINIHampir dua minggu berlalu sejak video kontroversi kelolaan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok mencetuskan kemarahan, isu itu tidak sejuk-sejuk. Hari ini, ketua wanita Umno negeri pula menyertai barisan panjang pihak yang membuat laporan polis terhadap Teresa di balai polis Perda. Beliau mempertahankan tawaran RM500 oleh perkumpulan dikenali "Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia" untuk menampar Teresa yang didakwa menghina Melayu dan Islam dalam video Tahun Baru Cinanya. Selepas membuat laporan itu, Teresa berkata, kumpulan itu tidak boleh dipersalahkan kerana ia dilakukan ketika isu itu sedang panas. "Dia (Teresa) yang sepatutnya minta maaf kerana kekecohan yang dicetuskannya...," katanya sambil menegaskan peranan wakil rakyat DAP itu sebagai seorang pemimpin. Beliau diiringi kira-kira 20 anggota parti yang turut tidak berpuas hati dengan video itu. | ||||
Umno kecoh isu Giat Mara Selayang, membisu kes Kolej Yayasan Felda Posted: 11 Feb 2014 03:22 AM PST Oleh : NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM: Umno tidak ikhlas memperjuangkan nasib generasi muda Melayu sebaliknya hanya mengambil kesempatan dengan memutar belit isu Pusat Latihan Kemahiran Giat MARA Selayang bagi kepentingan politik mereka. Hal itu dapat dilihat apabila Umno sehingga kini membisu seribu bahasa dalam isu Felda memotong bajet daripada RM16 juta kepada RM5 juta untuk setahun bagi empat Kolej Yayasan Felda di Kelana Jaya (Selangor), Trolak (Perak), Mempaga (Pahang) dan Raja Alias (Negeri Sembilan), sekali gus berhadapan kemungkinan besar operasinya ditutup terus. Presiden Persatuan Anak-Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman, berkata Umno harus memperhalusi isu Giat Mara di Selangor dan mengamalkan pendirian yang tidak dwi-standard dalam dua isu terbabit. "Isu Giat Mara ini berbeza dengan Kolej Yayasan Felda kerana pusat itu daif dan tidak diurus dengan baik oleh Mara dan Menteri Besar Selangor juga memberi saranan dibaiki kerosakan dan dinaik taraf untuk keselesaan pelajar. "Perkembangan ini mengingatkan saya pada kertas cadangan penyenaraian Felda Global Venture Holding (FGVH) ke Bursa Malaysia yang jelas menyebut; Felda akan mengurangkan fokus terhadap pembangunan sosial. Hujahnya, FGVH adalah syarikat senaraian awam yang berteraskan perdagangan, selain tidak lagi terikat kepada perkhidmatan sosial seperti pembangunan modal insan. "Beli hotel, apartment, ladang dan pelaburan bernilai bilion ringgit dibuat dengan cepat, tetapi untuk pendidikan anak peneroka yang jumlahnya begitu kecil pun berkira," katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini. Mazlan berkata, sebelum ini setiap kolej terbabit diberi peruntukan RM5 juta setahun tetapi sekarang jumlah sama untuk dikongsi semua kolej, sekali gus memberi isyarat awal langkah penutupan seperti yang dilaporkan media. "Ini adalah kesan yang menjadi malapetaka kepada warga Felda khususnya anak peneroka yang dahagakan kursus dan latihan kemahiran. Pemotongan bajet terhadap Kolej Felda jika dilaksanakan akan membunuh impian ribuan anak peneroka seluruh negara dan dianggarkan kolej itu boleh menampung kira-kira 1,000 pelajar bagi setiap sesi pengajian "Mana pembangunan modal insan yang acapkali di banggakan (Ketua Pengarah Felda) Faizoull Ahmad? Apa gunanya MOU dengan Kolej West Cheshire & Universiti Chester yang dihebahkan lanjutan daripada Kolej Felda," katanya. Mazlan berharap Lembaga Pengarah Felda yang akan bermesyuarat minggu hadapan bukan sahaja membatalkan keputusan memotong bajet kepada kolej terbabit tetapi turut menambah mengikut keperluan pendidikan anak peneroka Felda.-NFN- | ||||
Geramm: Permit fzdotcom itu ditarik balik, Kerajaan Pusat cabul kebebasan media Posted: 11 Feb 2014 03:17 AM PST SELANGOR KINISelepas The Heat digantung, sebuah akhbar harian yang belum diterbit FZ Daily, milik syarikat media The Edge Communications Sdn. Bhd., pula menjadi mangsa dalam pencabulan hak kebebasan media. Malah, permit akhbar portal berita fzdotcom itu ditarik balik sebelum harian itu sempat pun memasuki pasaran. Menurut pemiliknya, ia ditarik balik beberapa jam selepas mahkamah memberikan kebenaran memulakan prosiding terhadap Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana menangguhkan permitnya yang dikeluarkan beberapa bulan lalu. Kenyataan pemiliknya, ahli perniagaan Datuk Tong Kooi Ong boleh dibaca di sini: http://www.tongkooiong.com/2014/02/approved-deferred-and-now-revoked.html?spref=fb Gerakan Media Marah (GERAMM) melihat tindakan KDN itu amat keterlaluan. Tambahan lagi, apabila dikatakan tiada sebarang sebab dinyatakan berhubung keputusan itu. KDN juga nampaknya tidak prihatin isu-isu kebebasan media di negara ini dan seolah-olah tidak belajar daripada kemarahan rakyat terhadap cengkaman kepada kebebasan media. GERAMM ingin mengingatkan kerajaan terhadap keputusan kes Malaysiakini lwn KDN yang dianggap sebagai duluan (precedence) kepada kes berkaitan permit penerbitan di Malaysia. Mahkamah Rayuan pada 30 Oktober 2013 sebulat suara menolak rayuan KDN terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolaknya, sekali gus bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum itu. Keputusan yang dianggap sebagai penanda aras itu dalam industri media di Malaysia itu juga jelas menyatakan bahawa permit penerbitan sebagai hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan dan bukannya keistimewaan yang boleh dirunding-runding oleh pihak kerajaan. Selain itu, dalam kes FZ Daily, GERAMM berpendapat kewibawaan The Edge Communications sebagai penerbit tidak harus dipertikaikan memandangkan ia sudah lama bertapak dalam industri ini dan berjaya mendapat kepercayaan rakyat. Kami ingin tegaskan lagi, pembatalan permit akhbar FZ Daily bukan perkara baru, sebaliknya rentetan siri-siri pencabulan dalam isu permit penerbitan, termasuk yang menimpa Malaysiakini, The Heat (2013), Suara Keadilan (2010) dan Harakah (2009). Sebagai menyatakan sikapnya, GERAMM menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya pengamal media tanpa mengira organisasi, yang cintakan kebebasan supaya menyarung kembali BAJU MERAH sebagai tanda bantahan kepada kerajaan dan sokongan kepada FZ Daily seperti kempen kami dulu ketika The Heat digantung penerbitannya. Kami cadangkan kempen ini diadakan setiap Rabu, bersempena dengan tarikh pembatalan permit FZ Daily yang dibuat pada Rabu, 5 Februari lepas. Kami juga mencadangkan kempen di Facebook dan Twitter dimulakan kembali menggunakan hashtag #FZDaily. Maklumat lanjut kempen GERAMM di Internet akan diumumkan kemudian. SIASATAN PADA WARTAWAN FZ.COM Seorang wartawan fzdotcom Azril Annuar disiasat polis hari ini (Selasa) untuk siasatan terhadap artikel yang ditulisnya berkaitan pilihan raya kecil Kajang. Tulisan berjudul "Analyst: Will Rafizi quit if Selangor is not toppled?", antaranya memetik pandangan penganalisis politik Khoo Kay Peng berhubung percaturan politik dalam isu itu. Beliau disiasat berhubung kenyataan pemimpin PKR itu yang mendakwa Umno Selangor boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama dalam isu kalimah Allah susulan bantahan parti Umno dekat sebuah gereja di Klang Berita siasatan polis boleh dirujuk di sini: http://www.fz.com/content/police-summons-fz-reporter-over-rafizi-article Artikel yang disiasat polis di sini: http://www.theedgemalaysia.com/in-the-edge-financial-daily-today/273808-will-rafizi-quit-if-selangor-is-not-toppled.html GERAMM menggesa polis agar menyegerakan siasatan agar tidak mengganggu tugas beliau sebagai wartawan dan bertindak adil dan profesional dalam siasatan terbabit. | ||||
McDonald’s tarik balik ‘iklan kangkung’ Posted: 11 Feb 2014 03:12 AM PST Oleh: Lizawati Madfa SHAH ALAM : McDonald's Malaysia mengambil tindakan menarik semula satu iklannya yang dilihat memperlekehkan kenyataan kontroversi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penurunan harga kangkung. Dipetik Malaysiakini, McDonald's memaklumkan portal berkenaan bahawa bahan iklan itu terlepas daripada saringan rasmi dan sebenarnya tidak diluluskan untuk pameran umum. "Akibat berlakunya kesilapan komunikasi, visual yang dihasilkan untuk iklan itu terlepas ke rangkaian restoran kami. "Namun, semua bahan berkaitan iklan berkenaan kini ditanggalkan," kata rangkaian restoran popular itu dalam satu kenyataan. Sebelum ini, beberapa hari selepas Najib mengeluarkan kenyataan berhubung penurunan harga kangkung, McDonald's dilihat meletakkan iklan yang didakwa merujuk kepada kenyataan itu di meja-meja restorannya di sekitar Lembah Klang. Antara lain, iklan berkenaan berbunyi; 'Harga sayur tidak turun tapi harga burger tetap turun'. Bagaimanapun, iklan itu ditanggalkan beberapa hari kemudian. Pada bulan lepas, Najib dalam satu ucapannya sewaktu di Terengganu seolah-olah kesal dengan tindakan orang ramai yang sering mengaitkan kenaikan harga barang dengan kerajaan. Sedangkan, katanya sesetengah harga barang berlaku kerana faktor luaran dan bukannya dasar kerajaan pusat. "Kangkung dulu naik sekarang sudah turun, kenapa tidak puji kerajaan," kata Najib.EZY | ||||
Selangor terima RM564.6 juta peruntukan Marris baiki jalan Posted: 11 Feb 2014 03:10 AM PST Oleh: Mohd Ezli Mashut SHAH ALAM: Kerajaan Selangor memperoleh RM 564.6 juta peruntukan daripada Sistem Maklumat Rekod Jalanraya Malaysia (Marris) untuk penyelenggaraan jalan seluruh negeri itu seperti termaktub dalam Perkara 109 (1)(b), Perlembagaan Persekutuan. Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan KemudahanAwam, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata peruntukan itu merangkumi jalan negeri, jalan bandaran, jalan perumahan murah, jalan kampung, jalan pertanian dan lorong belakang. Katanya, cadangan penggunaan melalui kaedah peruntukan Marris kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah RM3 juta untuk setiap Dewan Undangan Negeri menjadikan jumlah keseluruhan RM168 juta. "Cadangan peruntukan RM500 ribu kepada setiap Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor menjadikan jumlah RM4.5 juta," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini. Beliau berkata, peruntukan RM156 juta pula disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor. Katanya, peruntukan RM4 juta pula diberikan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor berdasarkan kepada permohonan yang dikemukakan kepada Perbendaharaan Negeri Selangor. "Peruntukan RM214.1 juta diberikan kepada PBT berdasarkan panjang jalan di kawasan berkenaan di bahagi dengan jumlah keseluruhan panjang jalan di seluruh PBT Selangor di darab baki lebihan peruntukan setahun selepas pengagihan kepada semua agensi," katanya. Dr Yunus berkata, kuasa berbelanja diberikan kepada Datuk Bandar, YDP PBT, Pegawai Daerah, Pengarah JKR dan Pengarah JPS untuk melaksanakan projek Marris bagi tahun 2014. Katanya, setiap senarai projek PBT, Pejabat Daerah, JKR dan JPS perlu disemak oleh jawatan kuasa teknikal dan disahkan jawatankuasa pentadbiran Marris sebelum perolehan dilaksanakan. "Oleh kerana penumpuan kerajaan negeri pada penggal ini adalah untuk pembangunan desa, maka disarankan peruntukan RM3 juta untuk setiap Dewan Negeri harus juga diberi penumpuan kepada projek penyelenggaraan jalan desa yang didaftarkan di dalam sistem dalam talian Marris," katanya. Beliau berkata, bagi penyelenggaraan jalan yang tidak mencapai piawaian minimum JKR dan tidak didaftarkan di dalam sistem dalam talian Marris maka ia perlu dirujuk Pejabat Daerah dan Tanah terlebih dahulu.-NFN- | ||||
Yayasan Sasakaawa minta maaf, pelawa Anwar ke Jepun semula Posted: 10 Feb 2014 09:25 PM PST KEADILAN DAILYPETALING JAYA : Pengerusi Yayasan Keamanan Sasakaawa (SPF), Jiro Hanyu meminta maaf kepada Ketua Umum Anwar KEADIAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas apa yang berlaku bulan lepas. Jiro meminta maaf keatas Anwar berhubung sekatan terhadap Ketua Umum KEADILAN, dari memasuki Jepun bagi satu forum mempromosikan demokrasi dan keamanan serantau 19 Januari lalu. "Saya meminta maaf atas yang berlaku ke atas Datuk Seri Anwar.Ssaya tidak dapat terima tindakan yang dikenakan ke atasnya, "Saya sebagai tuan rumah, rasa bertanggungjawab atas apa yang yang terjadi. Saya minta maaf atas malu yang ditanggung Anwar," kata Jiro pada sidang media di Hotel One World, Bandar Utama, hari ini. Beliau pada masa yang sama turut menjemput Anwar ke Jepun lagi sekali untuk menyertai forum dengan tema demokrasi dan Muslim 26 Februari depan. "Saya harap rancangan untuk mengadakan program bersama Anwar tidak akan terencat dengan insiden ini. "Saya harap Anwar boleh menerima jemputan ini. Saya harap apa yang berlaku bulan lepas tidak berulang lagi, "Kita tahu anwar sangat bagus bukan sahaja di Malaysia, tetapi di peringkat antarabangsa, " katanya. Dalam pada itu Anwar menghargai apa yang dilakukan pengerusi SPF. "Saya menghargai maaf yang dilakukan, dia pun sudah menjelaskan pendiriannya. "Insya Allah saya akan ke sana pada 26 Februari, tetapi dalam tempoh singkat," kata Anwar | ||||
Shafee perlu berundur dari terlibat kes rayuan Fitnah II Posted: 10 Feb 2014 09:22 PM PST Azuan Ab Rahman KUALA LUMPUR: Peguam Umno, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah perlu mengundurkan diri daripada terus bertindak sebagai pendakwa dalam rayuan kes fitnah II melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 12 Februari dan 13. Pengunduran Shafee perlu kerana beliau akan bergantung kepada testimoni DSP Jude Blacious Pereira yang merupakan saksi penting dalam kes tersebut. Sedangkan Shafee sendiri semasa mempengerusikan satu siasatan Suhakam berhubung penangkapan lima peguam bantuan guaman pada 7 Mei 2009 menyatakan Jude Pereira sebagai saksi yang tidak boleh dipercayai," kata ahli parlimen Padang Serai, N Surendran. Hasil siasatan rasmi mendapati Jude Pereira adalah pegawai penyiasat dalam kes Fitnah II dan saksi utama pendakwaan. Jude dinyatakan memberi keterangan yang tidak memuaskan, sama ada secara sedar, tidak bercakap benar atau mengalami masalah serius kehilangan ingatan. Malah pada Julai 2009, Shafee didakwa memberitahu pemberita bahawa isu utama dalam rayuan Fitnah II adalah isu bahan bukti yang mungkin terganggu. Dalam erti kata lain, ia berhubung kebolehpercayaan Jude Pereira yang didakwa telah membuka beg sampel yang mengandungi bahan bukti tersebut tanpa alasan wajar. Berdasarkan kesimpulan yang dibuat terhadap Jude Pereira dalam siasatan Suhakam, Shafee Abdullah perlu berundur dari bertindak sebagai pendakwa . "Jika Shafee tidak berundur, peguam Umno itu akan menggunakan hujah bahawa bukti yang dipegang Jude Pereira adalah dipercayai dan harus diterima diterima mahkamah walaupun Shafee sendiri meragui kebolehpercayaan terhadap Jude Pereira dalam kes Suhakam," kata Surendran. Tindakan itu kata N.Surendran penghinaan terhadap sistem keadilan negara dan pejabat pendakwa raya. "Tindakan tersebut juga melemahkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan selain menjejaskan hak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan perbicaraan secara adil," tambahnya Sehubungan dengan itu, N.Surendran mahu Shafee mengundurkan diri dari terus bertindak sebagai pihak pendakwa sebelum tarikh pendengaran rayuan kes tersebut. "Jika peguam Umno itu tidak mahu mengundurkan diri, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mesti bertindak menyingkirkan beliau," kata Surendran. | ||||
Taib Mahmud lebih kebal dengan jawatan TYT Sarawak Posted: 10 Feb 2014 09:20 PM PST KEADILAN DAILYKUCHING - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud akan lebih kebal dari sebarang tindakan undang-undang sekiranya dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak, kata Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) "Sekiranya berlaku, segala bentuk perundangan soal salahlaku yang dilaporkan terhadap Taib Mahmud akan menjadi lebih sukar dan terbatas. "Kedudukan TYT Sarawak akan menjadikan Taib lebih kebal," kata penyelaras SAMM Kuching, Azan Akmna dalam kenyataan. Akma berkata, SAMM Sarawak telah memberi tekanan kepada rejim Taib Mahmud untuk berundur dari takhta 'Rajah Putih Sarawak' selama lebih 30 tahun. Terbaru, SAMM dalam kempen 'Nyah Taib' membuat edaran puluhan ribu risalah, DVD kesedaran, himpunan aman dan perkhemahan bantahan di depan istana Taib Mahmud akhirnya membuahkan hasil apabila Ketua Menteri Sarawak itu mengumumkan pengundurannya. Sepanjang tempoh tersebut kata Akma. terbentuk kekayaan sebuah empayar keluarga yang menjarah hasil bumi negeri Sarawak berjumlah berbilion ringgit dengan aset di dalam dan luar negara "Persoalannya, dari mana datang kekayaan keluarga Taib tidak langsung disentuh," kata Akma yang turut mempersoalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak mengambil sebarang tindakan. Justeru SAMM Sarawak bertekad memastikan gerakan lebih besar disusun bagi menghalang usaha lantikan TYT kepada mana-mana \individu yang terbabit salahlaku rasuah dan salahguna kuasa. "Apatah lagi bagi mereka yang terlibat merompak hasi bumi Sarawak berpuluh tahun lamanya," kata Akma. | ||||
PAS Tegur PKR Henti Bincang Isu MB Selangor Posted: 10 Feb 2014 09:16 PM PST PETALING JAYA: PAS Selangor sekali lagi mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) supaya menghentikan perbincangan mengenai kedudukan Menteri Besar menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Mac depan. Setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman berkata PAS kesal kerana sekutu mereka itu masih membangkitkan isu jawatan Menteri Besar yang dikatakan bakal diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Sekali PAS Selangor ingin nyatakan pendirian agar isu Menteri Besar tidak dibangkitkan. "Bagi PAS, PRK Kajang dan jawatan Menteri Besar langsung tiada kaitan. Jangan bangkitkan isu berkenanaan di saat PAS sudah menggerakkan jentera membantu memenangkan PKR di Kajang," katanya kepada mStar Online di sini, Selasa. Beliau mengulas mengenai kenyataan Anwar dalam satu temu bual bersama Australia's Newsline baru-baru ini bahawa beliau sedang berunding untuk mengambil alih tugas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Anwar juga dilaporkan berkata beliau akan menggunakan Selangor sebagai model bagi membuktikan kepimpinannya. Sehubungan itu Ahad lalu, Abdul Khalid sendiri mengesahkan bahawa pihaknya masih dalam peringkat perbincangan sebelum membuat sebarang keputusan berhubung status Anwar yang didakwa bakal menggantikannya. Abdul Khalid berkata perbincangan lanjut juga akan diteruskan bersama pucuk pimpinan Pakatan Rakyat bagi mencapai kesepakatan sebelum perkara tersebut diputuskan. Kerusi DUN Kajang kosong selepas wakil rakyatnya, Lee Chin Cheh dari PKR meletakkan jawatan pada 27 Januari lepas. Pakatan pembangkang kemudian menamakan Anwar yang juga Ketua Pembangkang sebagai calon mereka bagi PRK itu. | ||||
Calon PRK Kajang : UMNO Mampu Beri Kejutan Posted: 10 Feb 2014 09:09 PM PST Safiq Yaacob KAJANG - UMNO Bahagian Hulu Langat mencadangkan agar pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) memberi peluang kepada parti itu untuk meletakkan calon menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.25 Kajang Mac ini. TImbalan Ketua Bahagian UMNO Hulu Langat, Datuk Markiman Kodiran berkata, selepas penilaian yang dilakukan beliau yakin jentera UMNO mampu melakukan kejutan pada PRK kali ini. "Kita mencadangkan agar UMNO diberikan peluang mewakili BN bagi PRK Dun Kajang Mac ini dan kita telah bersiap sedia menghadapi pihak pembangkang. "Dengan kekuatan sebanyak 49 peratus pengundi melayu dan hasil beberapa penilaian yang telah kita lakukan kita yakin jentera UMNO mampu melakukan kejutan memenangi pilihanraya ini," katanya kepada Rakyatnews di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Hulu Langat di sini. Markiman menjelaskan, beliau bagaimanapun akan akur dengan keputusan yang bakal diumumkan mengenai pilihan calon oleh pucuk pimpinan parti dan baginya kredibiliti dan kemampuan calon tersebut perlu dititikberatkan. "Setakat ini pucuk pimpinan sedang melakukan penilaian mengenai parti mana yang bakal bertanding dan senarai calon-calon itu sendiri. "Tetapi bagi saya, calon yang dipilih untuk BN mesti dilihat bersih dan mampu berkhidmat untuk rakyat khususnya pengundi tempatan," katanya. Sebelum ini, kerusi Dun Kajang terpaksa dikosongkan oleh bekas penyandangnya, Lee Chin Cheh dari PKR dengan meletakkan jawatan 27 Januari lalu. Chin Cheh memenangi kerusi itu pada PRU Mei lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada 23 Mac ini. Menurut Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof tempoh berkempen selama dua minggu bermula selepas tarikh penamaan calon yang dijadualkan pada 11 Mac. | ||||
Lima pelajar kolej didakwa bunuh pensyarah, bapa Posted: 10 Feb 2014 09:07 PM PST SHAH ALAM - Seorang pelajar kolej mengaku di Mahkamah Tinggi hari ini, mengikat kaki bapa pensyarah bahasa Inggerisnya, Omar Peter Abdullah, 56, sebelum mulut dan hidung ditekup dengan menggunakan kemeja T oleh tertuduh lain. Fadhil Rushdan Rahman, 20, yang menjadi saksi pendakwaan memberitahu dia menggunakan tali dan memakai sarung tangan ketika melakukan perbuatan itu selepas diarahkan oleh tertuduh iaitu rakan baiknya, Mohamad Sharafe Mat Noh, 21, pada malam 9 Mac, dua tahun lalu. Fadhil Rushdan memberitahu mahkamah dia melihat keadaan Omar Peter seperti meminta pertolongan sebelum badan pesara itu sejuk. "Mat Rof (Mohamad Sharafe) yang memeriksa keadaan badan Omar Peter dan mendapati ia sejuk serta tidak bernafas," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin. Pelajar jurusan Perbankan Islamic Kolej Antarabangsa Cybernatic Taman Maluri itu juga memberitahu, tertuduh Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau dikenali sebagai Boy mengikat tangan lelaki itu dengan menggunakan tali. "Tali dan sarung tangan itu diberikan oleh salah seorang tertuduh, tapi saya tidak mengingati siapa yang memberikannya," katanya. Sebelum itu, dia dan empat tertuduh yang lain dijemput oleh pensyarahnya, Zara Eleena, 23 untuk menuju ke rumah wanita itu yang terletak di Kinrara, Puchong, Selangor. Aidatul Azura : Apa tujuan kamu ke sana? Fadhil Rushdan : Saya dan yang lain diajak oleh Mat Rof untuk mengubati Miss Zara ( Zara Eleena) Aidatul Azura. : Ada kamu dimaklumkan Miss Zara sakit apa? Fadhil Rushdan. : Tidak. Aidatul Azura : Setelah sampai, apa yang berlaku. Fadhil Rushdan : Kami iaitu saya, Mat Rof, Boy, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 20, atau Shah serta Miss Zara memasuki rumah itu dan nampak bapanya yang sedang menonton televisyen di ruang tamu. Aidatul Azura : Selepas itu apa yang berlaku? Fadhil Rushdan : Lebih kurang lima minit selepas itu Zara dan Shah keluar untuk mengambil Muhamad Safwan Muhamad, 20, yang dikenali sebagai Chap dan ustaz di lapangan terbang. Fadhil Rushdan memberitahu semasa ketiadaan Zara Eleena, mereka bertiga ke dapur selepas bapa pensyarah itu menyuruh mengambil air minuman di dapur. Selepas keluar dari dapur, Fadhil Rushdan berkata, Boy ke tandas dan keluar dengan memakai sarung tangan serta menekup mulut Omar Peter sebelum lelaki itu ditarik ke dalam bilik hadapan. "Mat Rof mengacukan pisau dan menekup mulut serta hidung Omar Peter dengan menggunakan kemeja T yang berada di dalam bilik berkenaan sementara saya dan Boy diarahkan untuk mengikat kaki serta tangan dengan menggunakan tali," katanya. Dia memaklumkan lebih kurang 30 minit selepas itu, Zara Eleena sampai dan mahu berjumpa dengan ayahnya namun dihalang oleh Shah. Fadhil Rushdan memberitahu, Dia terdengar bunyi tulang patah datang daripada bilik belakang yang mana Shah dan Zara Eleena berada. "Boy memasuki bilik itu selepas Shah meminta tolong untuk menutup muka Miss Zara yang terbaring dengan menggunakan bantal. "Ketika terbaring, saya nampak Miss Zara meronta-ronta sebelum tidak bergerak," katanya. Ketika pemeriksaan balas peguam tertuduh pertama Shah, Afifuddin Ahmad Hafifi, dia berkata mengenali Zara Eleena sebagai pensyarah di kolejnya, Mat Rof sebagai rakan serumahnya manakala tiga lagi tertuduh sebagai kenalan biasa. Selain itu, ketika sesi pemeriksaan balas itu juga, Fadhil Rushdan menafikan dia yang mencuri kad bank dan mengeluarkan wang milik Zara Eleena. Afifuddin dalam soalannya berkata, sebenarnya Fadhil Rushdan yang merancang serta melakukan pembunuhan itu namun dinafikan. "Saya tidak bersetuju," katanya. Kesemua tertuduh yang juga pelajar kolej tersebut didakwa membunuh Zara Eleena di rumah nombor 28 Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, di antara jam 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012. Mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh bapanya, pesara syarikat kewangan, Omar di tempat sama, antara jam 11.30 malam 8 Mac dan 1.30 pagi keesokannya. Bagi kesalahan itu, kesemua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Perbicaraan bersambung esok. | ||||
Mereka yakin menang sebab itu pilih Kajang Posted: 10 Feb 2014 09:04 PM PST TAHUN 2008 menyaksikan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengosongkan kerusi Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk bertanding. Kali ini, situasi sama berlaku di Kajang apabila Lee Chin Cheh meletakkan jawatannya sebagai Adun bagi tujuan sama. Apakah benar peletakan jawatan Chin Cheh bagi memperkukuhkan parti atau sekadar memenuhi keinginan Anwar yang berhasrat untuk menjadi Menteri Besar Selangor, selain membuat persediaan untuk menakluki Putrajaya. Wartawan Sinar Harian, NORAWAZNI YUSOF bersama foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM menemu bual Dekan Pusat Pengajian Pasca Siswazah Unisel, Prof Dr Mohd Noor Nawawi bagi mengupas isu ini dan potensi Anwar untuk menjadi Menteri Besar Selangor jika memenangi kerusi Dun Kajang. Pada pandangan Prof, apakah tindakan Chin Cheh mengosongkan kerusi Dun Kajang boleh diklasifikasikan sebagai satu eksperimen dalam politik bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar? Dalam isu ini tidak timbul isu eksperimen politik kerana tindakan Chin Cheh mengosongkan kerusi Kajang mungkin telah diperbincangkan oleh PKR dan mungkin juga dalam Pakatan. Saya yakin keputusan dibuat selepas membuat penilaian, perbincangan, pemikiran dan pengiraan yang mendalam dan mereka yakin mampu mengekalkan kerusi itu dengan memberi laluan kepada Anwar. Saya yakin PKR telah membuat perhitungan dari segi pro dan kontra, dan akhirnya mereka membuat kesimpulan bahawa mereka mampu meraih kemenangan. Kalau mereka tidak yakin adalah mustahil keputusan untuk mengosongkan kerusi Kajang dibuat. Apa rasionalnya alasan peletakan jawatan Chin Cheh bahawa beliau tidak mampu untuk menjalankan tugas dan perkara sebegini tidak pernah berlaku sebelum ini kerana seseorang calon yang bertanding dalam pilihan raya seharusnya bersedia untuk menang dan berkhidmat kepada rakyat? Saya difahamkan keputusan Chin Cheh meletakkan jawatan berdasarkan pertimbangan yang sudah semestinya telah dibincangkan di peringkat parti. Tiada mana-mana wakil rakyat yang diberhentikan begitu sahaja tanpa alasan kukuh. Ini kerana setiap pemimpin yang dipilih dalam pilihan raya akan komited dengan parti dan begitu juga dengan tugasnya kepada rakyat. Kalau Chin Cheh berhenti sudah pasti ada alasannya. Saya yakin alasannya adalah untuk memperkukuhkan parti dan seperti yang dinyatakan oleh Anwar iaitu untuk menjadikan Kajang itu sebagai satu loncatan kepada Pakatan menawan Putrajaya. Oleh kerana Selangor adalah sebuah negeri yang cukup strategik, Anwar sebagai Ketua Pakatan (Rakyat) dan Ketua Umum PKR sewajarnya mengambil peluang bagi mencorakkan kerajaan Selangor. Apa yang dilakukan di Selangor ini, sekiranya berjaya akan memberi kesan atau impak kepada pusat. Dalam kes ini, kita boleh ambil contoh di Turki. Jika kita lihat apa yang terjadi di Turki pada mula kebangkitan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang mampu menukarkan Istanbul kepada satu 'model city' yang menjadi kebanggaan rakyat Turki akhirnya dia berjaya menangi kerusi di Turki dalam pilihan raya. Kita dapat lihat betapa besarnya agenda yang Erdogan lakukan di Istanbul sehingga dia berjaya mendapat tempat dalam pilihan raya. Perkara yang sama boleh terjadi di Selangor, jika ada strategik daripada Pakatan atau PKR, kemungkinan besar apa yang dinyatakan Anwar untuk ke Putrajaya menjadi realiti. Anwar telah menjalankan tugas dengan baik, sebab itu Anwar mampu menang dalam pilihan raya umum lalu. Kalau empat atau lima tahun lagi, PKR mampu mentransformasikan Selangor sebagai 'model state', saya percaya pilihan raya akan datang Pakatan tidak perlu banyak berkempen kerana rakyat akan melihat Selangor sebagai model. Justeru itu, saya yakin ini adalah agenda sebenar di sebalik peletakan jawatan Chin Cheh. Apakah tindakan untuk calonkan Anwar bertanding di Dun Kajang bagi menyelesaikan konflik yang berlaku antara Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim? Dalam dunia politik semestinya ada konflik tidak kira mana-mana parti politik atau individu. Kadang-kala akan timbul rasa tidak senang mahupun tidak puas hati. Begitu juga dengan Azmin dan Khalid mungkin ada perasaan yang tidak senang tetapi tidaklah sampai hubungan itu dimanipulasi dan cuba jatuhkan antara satu sama lain. Secara amnya, mungkin masyarakat melihat wujudnya konflik antara Azmin dan Khalid yang tidak dapat diselesaikan, namun sebagai pemerhati politik saya tidak nampak antara mereka ada salah faham. Kalau ada konflik pun mungkin melibatkan masalah peribadi, bukan melibatkan parti. Sepanjang pemerhatian, saya melihat hubungan Khalid dan Azmin amat baik. Sebagai contoh, Azmin adalah Pengarah Pilihan Raya Negeri dan Timbalan Presiden Parti. Azmin masih memberi peluang kepada Khalid memilih kerusi untuk bertanding, termasuk kawasan Ijok. Kalau benar mereka bermusuh, Azmin sebagai orang yang berkuasa dalam parti boleh melakukan apa sahaja seperti menyekat Khalid. Bagaimanapun, dalam konteks ini, Azmin tidak membuat apa-apa sekatan, malah memberi kebebasan untuk Khalid bertanding di mana-mana tempat yang Khalid rasa sesuai. Ini bermakna kemungkinan ada perkelahian antara mereka, tetapi saya yakin kedua-dua mereka ada kepentingan untuk menjaga keutuhan parti. Walaupun ada percanggahan pendapat, saya nampak ia semata-mata untuk mencapai keutuhan parti. Saya tidak melihat usaha daripada Azmin untuk menjatuhkan Khalid dan cuba merosakkan parti atau Khalid membuat sesuatu terhadap Azmin bagi tujuan yang sama. Jadi, kalau PRK ini diwujudkan untuk menyelesaikan konflik Khalid dan Azmin serta Anwar dijadikan orang tengah, saya rasa ia kurang tepat. (Saya) tak bersetuju dengan kenyataan itu. Trend di Permatang Pauh pada tahun 2008 dilihat telah berjangkit ke kawasan lain dan mungkin di Selangor. Apa pandangan Prof melihat trend meletak jawatan pemimpin politik semata mata untuk beri laluan kepada Anwar untuk mencapai cita-citanya? Ini bukan trend tetapi situasi politik memerlukan 'demand' terhadap sesuatu tindakan yang terjadi. Kalau tahun 2008 kita mesti faham, bahawa Anwar ketika itu baru keluar dari penjara dan beliau telah dinafikan hak politik untuk sekian lama kerana berada di penjara. Anwar adalah tokoh politik yang terkenal, berpengalaman dan sewajarnya beliau menjadi ahli parlimen dan mengambil alih kepimpinannya di Permatang Pauh. Isterinya, Dr Wan Azizah sememangnya berkebolehan, tetapi saya yakin Anwar mampu melakukan sesuatu yang lebih baik dari isterinya. Atas alasan itu Anwar bertanding di Permatang Pauh dan Dr Wan Azizah melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen pada ketika itu. Sekarang situasinya agak berlainan kerana Pakatan bercita-cita untuk ke Putrajaya. Jadi untuk pergi ke Putrajaya, inilah perkara yang harus mereka lakukan. Sebagai pemerhati politik, saya melihat keadaan ini bukan satu kepelikan dalam strategi politik kerana strategi sentiasa berubah mengikut situasi dan masa. Dalam keadaan sekarang ini, mereka dirasakan inilah situasi yang terbaik untuk buat perubahan dan tidak perlu tunggu empat atau 10 tahun akan datang, bagi mereka mencapai sasaran mereka. Adakah Anwar mempunyai potensi untuk menjadi Menteri Besar Selangor? Anwar ada potensi untuk menjadi Menteri Besar Selangor, sekiranya beliau menang dan parti membuat keputusan itu serta dipersetujui oleh DAP dan Pas. Selain itu, restu daripada Sultan Selangor juga penting bagi membolehkan Anwar menjadi menteri besar. | ||||
Sinar Harian portal berita Melayu nombor satu Posted: 10 Feb 2014 09:02 PM PST SHAH ALAM - Portal Sinar Harian terus menjadi laman berita berbahasa Melayu nombor satu di Malaysia, menurut data yang dikeluarkan oleh Malaysia Digital Association (MDA) untuk bulan Disember 2013. Data yang dikeluarkan MDA melalui khidmat comScore Media Metrix itu menunjukkan Sinar Harian menduduki tangga ke 11 daripada 30 laman sesawang tempatan yang menerima akses pengunjung (unique visitors) paling ramai. Secara keseluruhan, Mudah.com menduduki tangga teratas dengan jumlah pengunjung seramai 2,359,000 manakala RHB.com.my menduduki tangga terakhir dengan pengunjung seramai 345,000. Sementara untuk kategori portal berita, Sinarharian.com.my menduduki tangga ketiga selepas portal Thestar.com.my dan Malaysiakini.com dengan jumlah pengunjung seramai 763,000, sementara Malaysiakini seramai 838,000 pengunjung, (9 keseluruhan) dan The Star seramai 1,012,000 pengunjung. Sementara itu portal Themalaysianinsider.com menduduki tangga keempat dengan pengunjung seramai 693,000 (13 keseluruhan) dan Bharian.com.my menduduki tangga kelima dengan jumlah pengunjung seramai 612,000 (15 keseluruhan). Statisitik ini menunjukkan Sinar Harian menjadi portal berita berbahasa Melayu nombor satu berbanding portal akhbar lain. Laporan MDA juga menyebutkan bahawa Sinarharian.com.my menunjukkan peningkatan memberangsangkan setelah naik enam anak tangga daripada kedudukan sebelumnya. | ||||
Posted: 10 Feb 2014 09:00 PM PST ALOR SETAR - Program Malam Mahabbatur Rasul-Kedah Berselawat yang diadakan di Stadium Darul Aman, Sabtu lalu, menjadi bualan hangat pelbagai pihak. Ada yang kagum dengan penganjuran program yang julung kali diadakan dihadiri lebih 40,000 peserta, namun tidak kurang reaksi pihak-pihak tertentu yang cuba mencetuskan kontroversi daripada program anjuran kerajaan negeri dan Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK). Maklum balas daripada laman sosial menunjukkan reaksi positif yang menyanjung penganjuran program seumpama itu, namun timbul juga reaksi-reaksi negatif, antaranya mengaitkan program itu ditaja oleh syarikat perjudian. Sebelum majlis berlangsung, dikatakan pula sekolah-sekolah pondok pro Pas dilarang hadir ke majlis berkenaan. Pada masa yang sama, satu poster palsu yang diedit dengan memasukkan gambar isteri menteri besar, disebar sebagai bahan fitnah menerusi laman-laman sosial. Blog-blog pro Umno turut mengaitkan dakwaan itu sebagai kerja Pas. Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kedah, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, parti itu tidak pernah mengeluarkan arahan supaya ahli dan penyokong Pas memboikot program itu termasuk menghalang mana-mana sekolah pondok untuk turut serta. "Pas tidak halang jika ada ahli sertai program itu, kerana ia program keagamaan. Tidak ada arahan bertulis dikeluarkan," katanya. Menurutnya, parti itu juga tidak terlibat dengan tindakan pihak tertentu yang cuba memburuk-burukkan program itu dengan mengedarkan poster palsu. "Itu juga tiada kaitan dengan Pas. Ingin saya tegaskan, jika ada maklum balas dari laman sosial berhubung perkara itu, ia bukan kenyataan rasmi Pas, tetapi atas individu berkenaan. Aplikasi teknologi menerusi media baru seperti itu sukar dikawal," katanya. Mengulas dakwaan program itu ditaja syarikat judi, Amiruddin yang juga Ketua Pembangkang berkata, pihaknya tiada maklumat berkaitan perkara itu walaupun ia kini menjadi bualan ramai. "Kita akan siasat sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya. Pas tidak akan serang jika kenyataan itu belum sahih," katanya. | ||||
Posted: 10 Feb 2014 04:38 PM PST MALAYSIAKINIBangsawan ialah golongan yang berkedudukan mulia ataupun 'kononnya mulia' dari segi keturunan. Ini seperti mereka yang dari keturunan raja, sultan, khalifah, presiden, dan seumpamanya. Perkataan mulia itu juga kadang-kala lebih bersifat persepsi. Betapa ramai dalam sejarah pelbagai bangsa, golongan yang dianggap mulia hanya disebabkan keluarga mereka menjadi maharaja ataupun raja ataupun sultan, ataupun mana-mana pembesar padahal asal usul keturunan mereka sebelum itu mungkin perompak, lanun di laut ataupun penipu besar ataupun pembunuh yang kejam yang kemudian telah berjaya merebut kuasa dan diwarisi. Bahkan semasa berada di atas kuasa pun sebahagian golongan yang dianggap bangsawan itu meneruskan agenda merampok orang lain tetapi mungkin dengan berselindung di sebalik kuasa, ataupun menjadi 'perompak berlesen'. Ramai juga mereka yang bergelar diri bangsawan, ataupun merasa diri telah menjadi bangsawan itu menjadi sombong dan bongkak sehingga merasakan mereka boleh berbuat apa sahaja. Mereka memukul, memaki, mencedera, mengambil harta orang lain dan awam serta pelbagai cara hidup samseng diamalkan dalam gaya hidup mereka. Mereka sering merasakan mereka mesti menang dalam setiap persaingan. Mereka fikir mereka tidak boleh dipertikai dan dilihat kalah. Kehendak mereka by hook or by crook mesti tercapai. Apabila mereka merasa kecewa ataupun marah mereka mula bertindak zalim ke atas pihak yang lemah. Bangsawan seperti ini kita panggil bangsawan samseng. Mengajar bangsawan Samseng Dalam Kanz al-'Umal dan disebut juga dalam Futuh Misr wa Akhbaruha oleh Ibn 'Abd al-Hakam al-Misri yang menceritakan sejarah pembukaan Mesir, diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa seorang lelaki dari Mesir telah datang kepada Khalifah 'Umar bin al-Khattab di Madinah. Lelaki itu berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Aku meminta perlindunganmu dari kezaliman". Kata 'Umar: "Ya!" Kata lelaki itu: "Aku berlumba dengan anak gabenor Mesir (Muhammad bin 'Amr bin al-'As), lalu aku menang. Maka dia (anak gabenor) memukulku dengan cemeti sambil berkata: 'Aku anak golongan yang mulia'." Khalifah Umar bin al-Khattab menulis surat perintah kepada gabenor Mesir 'Amr bin al-'As meminta dia dan anaknya Muhammad itu hadir ke Madinah. Apabila mereka hadir, Umar memanggil lelaki dari Mesir tersebut. Lelaki itu datang, lalu Umar memberikan kepadanya cemeti dan berkata: "Pukul dia". Dia pun memukul sambil Umar berkata: "Pukullah anak golongan yang mulia". Kata Anas bin Malik yang menyaksikan kejadian itu: "Dia memukul dan kami suka dengan pukulannya. Dia tidak berhenti sehingga kami harap dia berhenti." Kemudian Umar berkata kepadanya: "Letakkan cemeti itu atas kepala botak bapanya (kepala 'Amr bin al-'As)". Lelaki itu berkata: "Wahai Amirul Mukminin! Hanya anaknya yang memukulku, aku telah pun membalasnya dan memadai." Kemudian Umar berkata kepada 'Amr bin al-'As: "Sejak bilakah engkau memperhambakan manusia sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?" Jawab 'Amr bin al-'As: "Sesungguhnya aku tidak tahu kes ini". Sama di sisi Tuhan Demikian Khalifah 'Umar mengajar kesombongan golongan bangsawan ini. Padahal 'Amr bin al-'As seorang sahabat Nabi SAW. Namun keadilan itu tidak mengenal keturunan dan latar harta. Semua manusia sama di sisi Allah. Kita semua dari keturunan Adam. Hanya yang lebih kerana nilaian kebaikan jiwa dan ketinggian budi. Nabi SAW menyebut: "Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas 'ajam (yang bukan Arab), atau 'ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan." (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, hadis berstatus hasan). Jika hendak dikira manusia yang mulia, maka khalifah empat bagi umat ini Abu Bakr, Umar, Uthman dan 'Ali merupakan insan-insan mulia yang dipilih memegang jawatan khalifah atas kemuliaan diri mereka. Bukan kerana keturunan mereka mendapatkan kuasa ataupun kerana pengaruh harta mereka yang banyak. Sebaliknya kerana kualiti diri mereka dan kemuliaan mereka yang nyatakan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Pun begitu mereka tidak pernah menyatakan "kami ini mulia, sahabat sahabat utama Nabi Muhammad maka jangan pertikai perbuatan dan tindakan kami. Siapa pertikai dianggap derhaka pada negara dan bangsa!". Sama sekali mereka tidak pernah berkata demikian. Sebaliknya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq pada hari dia memegang jawatan khilafah berucap: "Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku." (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361). Hanya mereka yang perasan sahaja merasakan diri mereka bangsawan yang tidak boleh dipertikaikan. Hanya bangsa ataupun individu yang bodoh, dungu dan feudal ataupun pengampu terlampau sahaja yang menganggap mengkritik golongan bangsawan istana itu satu kesalahan dan menggesa agar pengkritik diambil tindakan. Mereka yang seperti itu mempunyai masalah mental dan akidah sehingga seakan menganggap golongan bangsawan itu bagaikan maksum melebihi para nabi yang diutuskan oleh Tuhan. Pupus Perlu diingat, kesamsengan golongan bangsawan telah menyebabkan kebanyakan mereka pupus dari tampuk kuasa. Walaupun Parsi, Rome, China, beberapa negara Eropah, dan India pernah memiliki empayar dan kekuasaan yang luas, namun ke mana perginya maharaja-maharaja mereka? Kesemuanya pupus dibuang oleh kehendak rakyat apabila mereka dilihat sudah tidak relevan lagi. Mereka lebih banyak merosakkan dari memberikan manfaat kepada rakyat. Nepal juga telah membuang institusi raja mereka. Jika kita lihat istana-istana raja-raja Eropah serta pencapaian mereka, mereka bagaikan tidak akan tumbang. Maharaja-maharaja China dan Parsi pasti lebih gah dan hebat dengan tentera dan kemewahan harta dan wanita mereka. Tapi kesemuanya lenyap. Kesemua ini menjadi pengajaran kepada golongan bangsawan yang masih berkuasa dalam pelbagai bangsa agar menjaga adab dan ketertiban mereka, jangan samseng sehingga akhir mereka dicampak oleh rakyat sendiri dan bangsa sendiri. Salah satu sebab kejayaan bangsa Eropah adalah kerana mereka tidak membiarkan kezaliman raja-raja berterusan. Pembuangan sistem istana dan agama yang diperalatkan oleh istana telah membawa bangsa Eropah maju dan bebas dari cengkaman kezaliman. Inilah yang disebut oleh 'Amr bin al-'As ketika mengulas hadis Nabi SAW mengenai kiamat berlaku dalam keadaan Rom paling banyak rakyatnya. Kata 'Amr: "Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. "Kedua; Mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; Paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; Mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. "Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja." Golongan bangsawan sepatutnya menjadi manusia paling hormati dalam sesebuah masyarakat. Mereka paling mematuhi peraturan, paling santun kepada rakyat bawahan dan menjadi teladan kesopanan dan kehalusan budi, bahasa dan akhlak. Ucapan mereka menjadi ikutan, falsafah mereka menjadi pegangan, bahasa mereka menjadi ukuran. Jika bangsawan itu sekadar menunjukkan kesamsengan kepada rakyat, mendapat pelbagai harta dan tempat atas cengkaman kedudukan padahal ramai lain yang lebih layak, membazir harta awam, memukul sesuka hati orang biasa, mengambil apa saja yang mereka suka, mengungut sesiapa yang mereka mahu, memaki sesiapa yang mereka hendak, maka golongan bangsawan seperti itu sepatutnya dinyahkan dari sesuatu bangsa. "Sesuatu bangsa akan terus dalam belenggu kebodohan jika golongan bangsawan seperti itu masih dibiarkan. Golongan samseng yang menyakiti rakyat bukan sahaja patut dibuang, bahkan tidak layak pun untuk ditempatlan di muzium sejarah mana-mana bangsa pun melainkan dengan catatan hitam 'samseng'. PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis. | ||||
'Saya tiru pelawak Hong Kong, bukan Rosmah' Posted: 10 Feb 2014 04:35 PM PST MALAYSIAKINIPelakon wanita Lim Ching Miau yang berlakon sebagai "Mrs Jit" dalam video kontroversi 'Onederful Malaysia CNY 2014' dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur, untuk memberi keterangan esok. "Saya dipanggil di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah untuk memberi kenyataan kepada polis pada jam 2 petang," katanya Ching Miau. Mrs Jit - pakar feng shui dalam video itu digambarkan sebagai wanita gemuk berambut tebal yang menyukai barang kemas dan beg tangan. Watak-watak lain adalah Brother Wai - seorang lelaki yang mudah tersentuh dan mengalirkan air mata; dan Cik Yan Yan - pakar dalam pelancongan dan feng shui. Watak-watak tersebut memberikan nasihat melibatkan beberapa isu termasuk keselamatan, kekayaan, pendidikan dan ekonomi, menjadi topik dengan anekdot biasa kepada rakyat Malaysia . Antara lain, merujuk kepada cincin berlian, beg tangan berjenama dan harta tanah di New York dan juga beberapa bahan berita lain yang berkaitan pelancongan dan pendidikan vernakular. Walaupun tidak secara langsung, penonton video yang diterbitkan MP Seputeh, Teresa Kok mungkin mengaitkan watak itu dengan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah dan laporan pembelian pangsapuri oleh Riza Shahriz Abdul Aziz di New York bernilai RM100 juta. "Tidak, saya meniru Lydia Shum (seorang pelakon dan pelawak Hong Kong), dan saya tidak tahu kenapa watak itu dikaitkan dengan Rosmah. "Saya ingatkan saya kelihatan seperti Lydia. Saya sudah menonton lakonannya sejak saya kanak-kanak lagi," kata Ching Miau. | ||||
Sistem penilaian pelajar: PAS gesa kementerian bertindak sebelum guru berdemonstrasi Posted: 10 Feb 2014 04:30 PM PST PAS meminta Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin agar tidak menunggu sehingga golongan guru berdemonstrasi di hadapan pejabatnya sebelum mengambil tindakan atas Sistem Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dibantah mereka. Menurut Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar, Muhyiddin yang juga menteri pelajaran, perlu memberikan penyelesaian segera ke atas masalah ini, kerana ia sudah menjadi isu yang sangat besar di kalangan guru negara ini. "Jangan sampai guru membuat demonstrasi dahulu depan pejabat Kementerian Pelajaran, baru mahu buat sesuatu," kata Mahfuz dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini. Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar PBS ditangguhkan sehingga perundingan dibuat antara Kementerian Pelajaran dengan persatuan guru, dan mencapai kata sepakat mengenainya. Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Putrajaya pada 22 Februari bagi membantah SBA dan mendesak Putrajaya agar memansuhkan program penilaian tiga tahun pelajar itu. PBS mula dilaksanakan pada 2011 bermula dengan murid tingkatan satu, dan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan melahirkan murid cemerlang dalam pelbagai segi, berbanding berorientasikan peperiksaan. Akibat sistem ini, tiada peperiksaan akhir tahun dan setiap hari guru dikehendaki menilai pelajar berdasarkan enam tahap, bermula daripada aras pemahaman sehingga tahap tauladan. Data direkodkan ke dalam sistem komputer berpusat. Selepas ia dilaksanakan, pelbagai kritikan dibuat oleh tokoh pendidik, termasuk bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Diraja Ungku Aziz. Ungku Aziz merasakan jikalau tiada tangan-tangan gatal yang mengusik dan merombak sistem pendidikan Malaysia sesuka hati, beliau yakin dan pasti pendidikan negara tidak akan menjadi carca-merba seperti yang berlaku sekarang. Ekoran itu, Muhyiddin ketika memberikan ucaptama dalam Persidangan Agung UMNO 2013 memberikan janji untuk mula membuat Semakan Kajian PBS Online bagi memperbaikinya bermula April 2014. Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Mohamad Agus Yusuf berpendapat, guru seronok menjalankan tugas mereka selama ini, walaupun selain mengajar mereka menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas. "Namun, dengan terlaksananya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah pada tahun 2011, keseronokan guru berubah," katanya melalui akaun Facebook. Menurutnya, guru tidak senang dengan PBS bukannya kerana beban tugas yang bertambah, tetapi tidak tahan dengan kerenah merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem komputer berpusat. Ini kerana sistemnya lambat dan selalu tergantung. Keadaan inilah yang menyebabkan adanya guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian, katanya. "Saya menekankan keperluan peperiksaan ini kerana saya tidak mahu melihat pelajar menjadi semakin malas dan tidak suka berfikir. Bagi saya, UPSR dan PMR sudah elok, cumanya jika hendak menilai kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum, buatlah 50% peperiksaan dan 50% kokurikulum dan kerja kursus, selesai masalah," kata Agus. Kedua, kata Agus, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data, kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar. "Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer," katanya |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan