Rabu, 5 Februari 2014

.

.


Rumah Ahmad Yaakub diserbu kali kedua?

Posted: 04 Feb 2014 10:08 PM PST

TANYA TENGAHARI                                                                       

Apa sudah jadi? Malam semalam khabarnya seramai 50 orang dengan berkereta sebanyak 13 buah menyerbu ke rumah MB Ahmad Yaakub di Kubang Batang, Tumpat. Mereka adalah ahli-ahli dan penyokong PKR kawasan Jeli yang datang memprotes penarikan balik jawatan Penyelia DUN yang diperuntukan kepada PKR di Dun Kuala Balah, Jeli.

Masalah tidak akan selesai dengan termenung.
Bekas calon Kuala Balah dalam pilihan raya lalu, Ramlan Mat telah dilantik menjadi penyelia Dun kira-kira tujuh bulan lepas, tiba-tiba belum genap setahun perlantikan itu ditarik balik. Siapakah dalang disebalik penarikan balik itu? Pas atau pun anggota PKR sendiri yang dengki? Khabarnya perlantikan Ramlan turut disanggah oleh ahli PKR sendiri.

Malang Ahmad Yaakub belum sampai setahun menjadi Menteri Besar sudah dua kali rumahnya diserbu oleh mereka yang tidak berpuas hati dengan tindak tanduk dan keputusan kepimpinanya. Katanya, rombongan 50 orang itu datang merayu kepada Ahmad Yaakub agar membatalkan penarikan jawatan penyelia Dun itu.



Keputusan penarikan itu akan diputuskan dalam mesyuarat Exco hari ini. Mungkin ia sudah pun dikafankan.

Ramlan Mat, dipecat sebagai penyelia.
Alasan yang mereka berikan kenapa Ramlan perlu diberikan jawatan itu kerana beliau baru memegangnya dan kebetulan pula kalah dalam pilihan raya umum lalu dimana pemberian jawatan itu dianggap standard dan amalan biasa dalam kerajaan Pas. Tetapi standard itu nampaknya berlaku kepada calon Pas sahaja tetapi tidak untuk calon PKR.

Sebagai contohnya calon PKR di Pengkalan Kubur, Saharun Ibrahim tidak dilantik menjadi penyelia atau diberi apa-apa jawatan saguhati walaupun beliau kalah di situ.

Peristiwa serbuan malam semalam tidak akan kesudahan. Ahmad Yaakub perlu berbuat sesuatu. Katanya Ahmad memberi alasan jawatan itu hak Pas. Alasan itu bukan jawaban bijak dan tepat kerana kalau ia sudah kepunyaan Pas kenapa dilantik Ramlan awal-awal lagi. Sepatutnya awal-awal lagi beliau tidak diberikan jawatan berkenaan. Di sini menyerlahkan pentadbiran kerajaan lemah dan tidak bersistematik dan cakduh.

Cara dilakukan itu seakan mempermain-mainkan Ramlan sahaja dan ia sudah tentu memalukan. Fahamlah politik ala orang kampung dan bagaimana sikap orang kampung, bila berlaku hal demikian ia memalukan kerana diejek dan ditejel. Bagi politik kampung jawatan penyelia samalah dengan Datuk Bandar. He he..

Persoalan kini apakah Pas masih memerlukan PKR bersama mereka. Kalau Pas merasakan PKR sudah tidak diperlukan dan kewujudannya menjadi darah dalam daging, ambil keputusan konkrit nyahkan PKR. Habis cerita. Putuskan hubungan dengan PKR jangan ada sebarang konsensus atau kerjasama sama. Biarlah PKR merana dan hidup bersendirian. Cara itu juga baru PKR sedar apakah mereka mempunyai kekuatan untuk hidup atau sememangnya selama ini menumpang Pas seperti didakwa.

Tidak menjadi dosa kalau menceraikan PKR. Usahkan parti politik laki bini pun kalau sudah hilang persefahaman ada pihak berlaku curang dan bermain kayu tiga, perceraian dihalalkan.

PKR juga seharusnya kena sedar diri sendiri. Untuk apa lagi menagih dan merayu kasih kepada orang yang tidak sudi. Kerajaan Pas Kelantan dan Pas sendiri tidak melayani dan mempedulikan mereka, sepatutnya tahulah untuk membawa diri. Jangan jadi hidung tidak mancung pipi pula tersorong-sorong. Turunlah rumah dan tinggallah jemburan orang sebelum kita disimbah dengan air panas.

Sudah banyak yang Pas lakukan tidak wajar dan perlekehkan PKR. Tidak perlu disebutkan satu persatu sebab semua sudah tahu. Baru-baru ini Setiausaha PKR Negeri, Hisomuddin katanya cuba menghubungi Setiausaha Politik MB, Wan Nik Wan Yusuf untuk minta berjumpa dengan Ahmad Yaakub. Puas ditelefon, diberi sms dan whatsapp tetapi tidak dibalas oleh setiausaha politik berkenaan.

Cukup itu tanda bagi mu untuk merasai bagaimana orang tidak peduli dan tidak ada masa untuk melayani kamu. Apakah PKR menanti satu muktamar Pas Kelantan untuk memutuskan perhubungan baru hendak bertindak. Harapnya PKR dalam hal ini ada air muka. Kalaupun tidak hendak menjaga pimpinan negeri tetapi jagalah air muka ketua umum mereka, Anwar Ibrahim.

Manakala kejadian serbu rumah seperti malam tadi ia memberi imej buruk kepada Ahmad Yaakub sebagai MB bertaraf ustaz dan ulamak. Itu adalah kali kedua. Kali pertama seawal dia menjadi MB, kejadian begitu sudah berlaku bilamana berpuluh-puluh penyokong Husam Musa datang menyerbu ke rumahnya bertanya fasal Husam tidak dilantik sebagai jemaah Exconya.

Walaupun Ahmad dapat mengatasinya dengan bersikap lembu kenyang, atau pisang buruk, tetapi kejadian itu memalukan. Apa lagi orang-orang gedebe juga dipanggil bagi mengawal keadaan dan menghadapi sebarang kemungkinan. Rumah seorang ulamak selalunya dikerumuni orang dan rakyat untuk bertanya masalah agama, hukum hakam dan sebagainya, tetapi berbeza dengan keadaan rumah Ahmad Yaakub orang datang bertanyakan masalah jawatan dan sikap dolak dalihnya. Malulah.

Saya ingin menyebut disini, kalau Ahmad Yaakub lemah tidak berdaya, lemah tenaga batin dan tenaga fizik atau pun hilang semangat, berundur sahajalah. Serahkan tanggungjawab dan amanah itu kepada timbalannya yang nampak lebih berani dan tegas. Tenguk pemecatan Che Ibrahim Mohamed dilakukan sendiri oleh Mohd Amar tanpa berselindung dan meletakkan beban itu ke atas CEO Kias. Berdosa kalau kita memikul amanah tetapi kita sendiri tidak bersikap amanah. [wm.kl.1:51 pm 05/02/14]

Pilihanraya kecil Dun Kajang 23 Mac

Posted: 04 Feb 2014 08:43 PM PST

TERKINI                                                                                                 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 23 Mac 2014 sebagai hari mengundi pilihan raya kecil DUN 25 Kajang, manakala 11 Mac hari menamakan calon. Selama 12 hari tempoh kempen diberikan, satu jangka masa agak panjang memandangkan ia pilihan raya kecil.

Pilihan raya di kerusi berkenaan diadakan ekoran pengosongan dilakukan Lee Chee Cheh wakil PKR bagi membolehkan Ketua Umum PKR, Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Dun berkenaan. Dalam pilihan raya umum lalu Chee Cheh menang dengan majoriti besar lebih 6,824.

Seperti mana telah maklum keperluan Anwar bertanding di situ ialah antaranya sebagai jalan penyelesaian pertikaikan di antara MB Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dengan Mohamed Azmin Ali. Ekoran tiada kata putus dan persefahaman di antara kedua pemimpin itu mengatasi krisis dalam PKR, maka Anwar menjadi penyelesaiannya dengan mengambil jalan tengah.



Saya percaya ramai yang akan menyerahkan kertas penamaan calon pada 11 Mac nanti. Selain Anwar mewakili Pakatan Rakyat, tentu BN akan mengemukakan calonnya. Bagaiamana pun sehingga catat ini diperbuat UBN masih belum mengesahkan apakah mereka akan ikut sama bertaruh atau pun tidak.

UBN dikatakan serba salah sama ada hendak meletak calon atau tidak memandangkan selera rakyat waktu ini. Najib Razak sudah tentu tidak mahu dikutuk rakyat sekiranya UBN kalah nanti sedangkan harapan untuk UBN menang begitu tipis. Dalam masa sama Muhyiddin Yaasin beriya mahukan UBN meletakkan calon. Motifnya sudah jelas kerana beliau mahu imej Najib terus buruk dengan kekalahan kelak.

Selain itu dipercayai lebih lima orang calon bebas akan turut sama meletakkan calon. Dalam pilihan raya umum lalu seramai tiga calon bebas bertanding di kerusi berkenaan semuanya hilang wang pertaruhan termasuk Berjasa yang didokongi oleh Isma.

Beberapa NGO yang memperjuangkan Melayu dan Islam juga dikatakan akan turut meletakkan calon masing-masing. Barang kali pilihan raya kecil Dun Kajang akan mencatat sejarah sebagai pilihan raya disertai ramai calon kerana ingin menumpang glamour Anwar Ibrahim. [wm.kl.12:45 pm 05/01/14]

Serikandi Rejimen Ke-10 PKM kembali ke Rahmatullah

Posted: 04 Feb 2014 06:19 AM PST

BELASUNGKAWA                                                                               

Bekas ketua Angkatan Wanita Sedar (Awas) Nurkiah Mahmood Baginda (foto) telah meninggal dunia jam 4:45 petang ini di kediamnanya di perkampungan perdamaian Chulabhron Pattana 12, Shukirin Selatan Thailand.

Nurkiah juga merupakan balu kepada salah seorang pemimpin kanan Rejimen Ke-10 PKM, Abu Samah Mohd Kassim yang telah meninggal dunia kira-kira empat tahun lepas.

Nurkiah memimpin Awas selepas Aishah Ghani yang ketika itu ketua Awas meninggalkan gerakan itu selepas akta dharurat diistyharkan.

Kekosongan jawatan itu dipenuhi oleh Nurkiah. Nurkiah bersama suaminya Abu Samah meneruskan penentangan ke atas penjajah dengan memasuki hutan berjuang secara gerila yang bermarkaz di sempadanan Malaysia - Thai.

Sejak ketiadaan suaminya Nurkiah sering uzur, dan kedua belah matanya sudah tidak nampak. Allahyarham juga tidak mempunyai cahaya mata dan hidup secara bersendirian selepas suaminya tiada. Makan minumnya dijaga oleh seorang anak angkatnya dan rakan-rakan sepejuangan di perkampungan berkenaan.

Jenazahnya akan dikebumikan di tanah perkuburan Sungai Golok, esok. Al fatihah. [wm.kl.10:17 pm 04/02/14]

Tiada ulasan: