Jumaat, 28 Februari 2014

.

.


Harap Khalid tidak jadi seperti Mohamad Nasir

Posted: 28 Feb 2014 12:30 AM PST

GAMBARAN JUMAAT                                                                    

Apa yang menjadi kebimbangan saya diawal-awal berhubung pelan perubahan MB Selangor menerusi projek Kajang Move nampaknya sedang membunga. Walaupun cuaca negara dan Selangor kering berapi, tetapi bunga-bunga kebimbangan itu sedang mengembang bagaikan hendak berputik.

Perhatikan Najib dan Muhyiddin tersenyum lebih.
Saya mengatakan tindakan PKR melakukan pelan berkenaan berisiko tinggi, dan satu tindakan yang berani. Rujuk: http://msomelayu.blogspot.com/2014/01/kaedah-singkir-khalid-yang-berisiko.html Keberanian itu mungkin, kerana keadaan sudah terdesak dan sedang parah. Pakar politik dan berjois dalam PKR melihat apa yang sedang bergelora di bawah kerajaan yang dipimpin oleh Abdul Khalid Ibrahim membimbangkan?

Dan perkembangan hari ini berasaskan kebimbangan saya itu, meyerlahkan bukan mudah untuk Anwar dinobat menjadi MB Selangor.

Sekurang-kurangnya, beberapa syarat tertentu dilihat oleh master mind yang merancang pelan berkenaan yang meletakkan transisi itu mudah. Ini termasuk melihat kepada Perlembagaan negeri Selangor yang tidak menghalang anak luar Selangor untuk tidak boleh dilantik menjadi menteri besar. Ia juga dilihat kepada kedudukan Sultan berhubung perlantikan seseorang MB yang berada di bawah perlembagaan, dimana sultan hanya diminta memberi perkenan.


Sultan tidak boleh langsung menentukan sesiapa, melainkan menerima petunjuk dari parti politik yang menguasai DUN Selangor. Itu kehendak perlembagaan. Jadi pelan itu tidak akan terhalang. Begitulah yang disuluh, tetapi menerusi konvensyen tidak begitu.

Maka ia tidak boleh dipandang remeh peranan sutlan dalam hal sepenting ini (perlantikan MB) dan selalu terjadi. Apa yang berlaku di Terengganu dan Perlis, sebelum ini di Pahang, dan juga Kelantan menunjukkan sultan 'ada kuasa' mutlak. Dari segi budaya dan tradisi sultan masih berada di atas Perlembagaan. Di sinilah wujud konflit di antara kuasa perlembagaan dengan adat tradisi.

Atas alasan itu, saya katakan proses transisi ia bukan mudah. Kesukaran ini pula ditambah dengan situasi bila mana, kedudukan PKR di Selangor tidak kuat dan tidak memperolehi majoriti. PKR hanya ada 14 kerusi saja dimana kalau dicampur dengan DAP 15 menjadi 29 kerusi. Jumlah kerusi itu tidak kuat sekiranya Pas enggan memberi kerjasama atas terperasaan mereka juga berhak atau terliur kerusi berkenaan.

Sekiranya Pas mungkir persepakatan, Pas bergabung dengan Umno, kedudukan kerusi jadi 28 - 29 atau akan jadi 28 - 28 jika Khalid tiba-tiba melayang kepada Umno-Pas. Dengan kedudukan ini ia menimbulkan masalah dan mungkin klimesknya membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor. Kalau ini terjadi maka khiamatlah dunia politik kita.

Kemungkinan ini tidak tidak mustahil. Pas bukan rakan yang mutlak baik kepada PKR atau Anwar dalam hal ini. Saya mengatakan ini berdasarkan kepada apa yang berlaku dan sudah diketahui oleh semua orang. Sekurang-kurangnya sudah dua kali Anwar hendak dikhianati oleh Pas. Tidak perlu disebut, dan orang terlibat cukup ingat.

Perlu dinyatakan tindakan begitu tidak boleh disalahkan oleh Pas.  Kalau berlaku apa yang dibimbangkan itu atau Pas sendiri ada cita-cita ke atas Selangor dan dianggap mengkhianati Anwar ia tidak boleh disalahkah. Itulah sepak terang politik dan silat politik yang perlu difahami oleh semua dan diuruskan dengan penuh licit dan tektikal. Kadang-kadang politik memerlukan daya diplomasi yang cukup tinggi. Mengatasi diplomasi Amerika dengan bekas Soviet Union.

Saya sendiri sering mengatakan, di dalam politik tidak ada kejujuran dan keikhlasan. Perjanjian di dalam politik bukan untuk disetiai tetapi untuk dimungkiri. Pas tidak salah kalau mereka juga bercita-cita besar. Salah satu tekti dan strategi politik ialah mengambil kesempatan dari keadaan yang ada. Perbuatan menikam belakang atau menangguk diair keruh, dan sebagainya adalah perkara biasa dalam politik. Ianya dihalalkan dalam politik yang juga turut diamalkan sama oleh mereka menganggapkan diri sebagai ustaz dan digolong dalam kabilah ulamak.

Hari ini apa yang terkemundang didalam kepala saya, sudah terjadi. BN sudah mula berkempen untuk mengukuhkan kedudukan Khalid. Setiap tindak tanduk Khalid dipantau dan dicari ruang untuk menyusuk dan menghasut. Langkah Kahlid menyelesaikan masalah pengurusan air Selangor dengan Pusat mendapat pujian melangit oleh wakil BN.

Pengerusi Umno Selangor, Noh Omar, puji kata langkah Khalid itu bijaksana. Ketua pembangkang DUN Selangor juga kata ianya bagus. Begitu juga MCA, tumpang semangkuk memuji Khalid ikhlas demi rakyat. Mereka puji bersabab kerana ingin menangguk di air keruh. Biasalah kalau ada batang pokok condong ia akan dijadikan tempat kera bermain dan bersuka hilai. Khalid kini sudah menjadi kayu bongkok oleh sang kera.

Kenapa saya kata begitu, kerana pendekatan Khalid sebelum ini untuk membantu rakyat Selangor beri air percuma, wujud skim kemasyarakat itu dan ini, mereka tidak pernah pun puji. Bahkan semua program diperkenalkan Khalid dikritik habis-habisan. Budak-budak pro Umno pula sampai pijak kepala lembu di hadapan pejabat Khalid kerana melepaskan geram. Khalid juga digelar sebagai MB gagap?

Keadaan sudah berubah apabila Khalid menanda tangani MoU menyelesaikan masalah pengurusan air di Selangor dan membenarkan projek Langat 2 diteruskan. Bukan saja kalangan Umno haprak, tetapi Perdana Menteri, Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin sendiri ikut menebengkan diri berada di belakang majlis penandatangani Mou berkenaan? Kenapa?

Situasi yang ditunjukkan itu memberi satu tafsiran baru. Khalid juga mungkin seronok kerana idea penyelesaiannya berjaya. Tanpa dimenghitung imolikasi politik Pakatan Rakyat, Khalid bangga. Dari satu sudut penyelesaian isu pengurusan air itu memberi kemenangan kepadanya sendiri dan dari satu sudut ia berjaya mengenepikan pandangan-pandangan lain yang mahu ianya tidak diteruskan sebelum diadakan perbicangan. Apabila Langat 2 dibenarkan, kerajaan Pakatan Rakyat hilang satu 'senjata'.

Hal-hal ataupun soal tektik dan strategi beginilah yang naif bagi Khalid dan menyebabkan pentadbirannya tidak disenangi.

Apa yang boleh ditafsirkan dengan MoU itu apakah Khalid juga sudah mengkhianati Anwar? Kalau beliau iklhas dan mempunyai semangat parti dia akan tangguh sehinggakan berlaku persalinan MB Selangor. Tetapi kenapa beliau lakukan dalam keadaan dikatakan tergesa-gesa dan tempoh penmuktamadannya pendek?

Apakah Khalid sudah perlahan-lahan mengkhianati Anwar setelah dia merasakan dia dikhianati dan Anwar tidak membantunya? Umum tahu Anwar tidak ada masalah peribadi dengan Khalid. Yang bermasalah dengan Khalid ialah Mohamed Azmin Ali. Tetapi mungkin Khalid sedang dituba bahawa pelan transisi MB itu memberi muka kepada Azmin tetapi tidak kepadanya?

Adalah malang kalau ini yang sedang berlaku dan dirasai Khalid. Pelan yang dibina untuk Anwar dan menguatkan PKR dan Pakatan Rakyat serta sebagai kuasa ke Putrajaya itu boleh tembengkalai. Ia kini terletak kepada sejauh mana kejujuran dan integriti Khalid. Kalau beliau terpedaya dengan pujuk rayu pihak-pihak tertentu dan juga Umno ia boleh menghuru harakan keadaan.

Apa yang menjadi ibu kepada kebimbangan saya, dan saya yakin juga Anwar, sebelum ini mungkin akan menjadi kenyataan. Apa dimaksudkan ialah peristiwa yang berlaku di Kelantan tahun 1977 senario di sebalik kejatuhan kerajaan Pas Kelantan. Peristiwa inilah menganggu pemikiran saya dan minda pemimpin Pakatan Rakyat lain juga.

MB Mohamad Nasir yang diundi tidak percaya di DUN Kelantan tetapi enggan melepaskan jawatan. Umno telah bangkit membelanya dan menobatkan beliau sebagai hero dan tokoh yang jujur. Gara-gara itu kerajaan Kelantan menjadi tidak stabil dan tidak mempunyai MB yang dipercayai. Akhirnya berlaku huruhara dan darurat diistyharkan.

Dalam tempoh darurat itu beberapa tokoh Umno telah berunding dan mengagaskan sebuah perti politik bernama Berjasa untuk dijadikan wadah dan alat kepadanya. Mohamad Nasir menjadi presiden Berjasa. Dalam pilihan raya 1978 Berjasa bertanding, menang 11 kerusi dan bergabung dengan Umno membentuk kerajaan bersama.

Apa yang berlaku kepada Mohamad Nasir di Kelantan 1977 boleh dipraktikan di Selangor. Teori menjatuhkan Kelantan dengan memuja MB yang enggan berundur walaupun didesak parti masih relevan untuk diulang tayang semula di Selangor. Generasi muda tentu akan terpengun melihat filem ini kalau ia diulang tayang. Mereka boleh mengambil faham dan iktibar atas apa yang ada.

Khalid boleh dijadikan protoganis oleh Umno. Dia boleh diangkat menjadi wira rakyat di Selangor dan seorang MB yang jujur dan ikhlas. Dia boleh dipergunakan untuk menuimbulkan keadaan tidak tenteram di Selangor dan MAGERAN boleh diistyharkan. Apa lagi sebuah perkhabaran terlatas di telinga saya cukup membimbangkan. Kononya ada seseorang sedang mendekati Khalid dan menasihati agar tidak melepakas jawatan MB. Dan kalau Khalid dipaksa juga, orang itu menyarankan kepada Khalid agar berjuang membela diri dan rakyat kononnya.

Khalid dicadangkan tubuh parti baru atau mengambil mana-mana parti sebagai wadah perjuangannya. Parti itu kemudian hendaknya menyertai BN. Khabarnya orang itu sedang rancak mengatur strategi dan memasang jarumnya. Dia memberi jaminan akan membantu Khalid? Siapa? (Saya nak jelaskan disini dia bukan orang Pas tetapi pernah minta nak bertanding atas tikit Pas).

Kalau ini berlaku, Anwar akan menangis dan riwayat politiknya akan termusnah dalam sandiwara dicipta dan direstui olehnya sendiri bernama Kajang Move itu. Kajang Move ada dua persimpang menggeser (move) Anwar ataupun Khalid. Tetapi apa boleh dibuat  kalau takut dilambung ombak jangan berumah di tepi pantai. Kemenangan dan kuasa itu akan diperoeleh menerusi sebuah perjuangan yang tidak tahu mengenal putus asa dan menerima kekalahan. '

Hendakanya Khalid tidak menjadi Mohamad Nasir dan biarlah dikenali sebagai MB yang tidak ada parut-partu hitam ke atas batang tubuh dan tawarikh politiknya. [wm.kl.3:49 pm 28/02/14]

Razak Abbas minta bersemuka dengannya

Posted: 27 Feb 2014 08:07 PM PST

JENAKA JUMAAT                                                                                

Presiden Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan (KPKK) Abdul Razak Abbas mencabar sesiapa yang tidak senang dengannya dan cuba mengaitkan penubuhan kelab itu sebagai ruang untuk beliau mencari makan agar bersemuka dengannya, bukannya mengkritik dari dalam gelap.

Abdul Razak presiden KPKK.
Katanya dengan membuat tuduhan liar di dalam media sosial 'tidak acik' kerana tuduhan itu merupakan persepsi sahaja dan kerja seperti itu adalah kerja para hantu dan polong.

"Saya kesal kenapa hubungkan peribadi saya dengan kelab. Kelab ditubuhkan untuk menyokong kerajaan, bukan ada agenda di sebaliknya," katanya penuh kekesalan ketika menghubungi saya menerusi telefon semalam.

Katanya apabila bersemuka dengannya nanti semua perkara dapat dijelaskan dengan tertib dan akan hilang rasa sangsi dan ragu terhadap peranan dan tanggungjawab kelab berkenaan.



"Sayuti tolong tulis dan katakan abang Jak sedia untuk bersemuka di mana-mana sahaja. Atau orang yang membuat tuduhan melulu itu menghubungi sendiri abang Jak. Sedap sikit main weh.. Dan kalau hendak bertemua pun boleh, kita buat satu majlis, semua bloger dan facebooker yang tidak senang dengan KPKK boleh datang, dan abang Jak sedia menanggung semua kos," katanya serius.

Elok juga kalau mana-mana pihak yang keliru dan sangsi dengan penubuhan kelab yang belum sampai tiga bulan itu menyahut cabaran Razak bagi mencari sesuatu yang tuntas dan bagi mengelakkan saling membuat kenyataan berdasarkan ilusi.

Menurut Razak antara perkara yang dibangkitkan menerusi blog dan facebook mengenai beliau dan KPKK, ialah kononnya KPKK ditubuhkan untuk tempat beliau cari makan, balak dan juga lombong biji.

Disamping tuduhan itu, ada sindiran terhadapnya. Katanya ada yang hendak berdoa supaya angin bertiup kuat dan menyelak kain, (nak ssuka saya bila sampai bab ini), dan juga ada yang mencadangkan supaya sebutir huruf "K" dibuang biar menjadi KPK, iaitu doman kepada Kompleks Perkayuan Kelantan.

Paling dikesali kelab itu juga dituduh kononnya masih bersifat haram kerana ia tidak didaftarkan. Menurutnya sekiranya orang membuat tuduhan itu tidak menarik balik kemungkinan tindakan mahkamah akan diambil. Wah wah..

"Sakit weh.. kalau dituduh begitu, niat kita baik untuk mempertahankan kerajaan pimpinan YAB Datuk Ustaz Haji Ahmad bin Yaakub dan Datuk Mohd Amar bin Nik Abdullah, tetapi dianggap lain," katanya.

Dalam kesempatan itu bekas calon Pas menentang Tengku Razaleigh di Gua Musang itu juga menjelaskan kenapa KPKK ditubuhkan di era Ahmad Yaakub dan tidak ada semasa zaman Tokguru Nik Aziz.

Menurutnya, di masa Tokguru Nik Aziz memerintah dulu tidak ada orang yang hendak mengacau kerajaan Kelantan, maka ia tidak perlu ditubuhkan. Berlainan hari ini jelasnya ada pengacau, dan ada tangan-tangan ghaib yang cuba menganggu kerajaan Kelantan.

"Ada tangan-tangan ghaib yang cuba hendak menganggu kerajaan pimpinan Datuk Ahmad Yaakub, maka kita tubuhkan kelab untuk mempertahankannya," tegas Razak. Mempertahankan pemimpin yang adil dan Islam adalah menjadi tuntutan umat Islam, tambahnya.

"Hari ini katanya selepas kelab ditubuhkan kita sudah dapat mengenal pasti para pengacau itu yang merupakan pelesit. Satu persatu kita sudah kenal pelesit-pelesit yang menganggu ini," kata Razak sambil menganologikan pengacau sebagai pelesit.

Katanya pelesit-pelesit itu nanti akan dimasukkan ke dalam botol satu persatu kemudian akan dihanyutkan ke laut samudra yang luas.

Dalam usaha untuk memasukkan pelesit ini ke dalam botol, menurutnya ia akan memanggil Penghulu Bunian turun ke bumi dan dengan kuasa dan kesaktian yang ada kepada Penghulu Bunian itu dia akan memasukkan pelesit-pelesit ini di dalam botol.

Razak mengambil kisah apa yang berlaku dalam filem Sumpah Orang Minyak lakonan P Ramlee yang menjadi orang minyak selepas melangar sumpah dengan Penghulu Bunian yang kemudian mengganas, merogol anak dara untuk memulihkan rupanya yang kembali huduh itu, dan akhirnya ditangkap oleh bomoh dimasukkan ke dalam botol dan dihanyutkan ke laut.

"Kita akan tangkap weh... dan bila sudah dimasukkan dalam botol, semua cerita akan berakhir," katanya lagi sambil ketawa.

"Tolonglah Sayuti, tolong jelaskan perkara ini. Kita bukan nak cari gaduh, tetapi sama-sama hendak mendokong kerajaan Kelantan Darulnaim," serunya sekali lagi meminta saya blogkan kenyataannya ini.

Tentang pertemuan dan majlis bersemuka itu katanya ia serius, kalau boleh diadakan seberapa segera yang boleh kerana kita hendak menjernihkan keadaan. "Janganlah soal-soal peribadi dibawa sama, dan kalau hendak berjumpa di mana-mana pun boleh, di Kuala Lumpur pun boleh," katanya.

KPKK merupakan kelab yang ditubuhakan untuk membela kerajaan Kelantan dalam berdepan dengan apa-apa serangan terhadap kerajaan Kelantan. Langkah pertama diambil kelab ini ialah cuba menyelesaikan kemelut di antara KIAS dengan Che Ibrahim Mohamed. Tindakan kelab itu dilihat sebagai berat sebelah dan tidak berlaku adil menyebabkan tujuan penubuhannya dipersoal.

Kelab ini selain dianggotai oleh veteran kebanyakan bekas parti Semangat 46, ia juga dianggotai sama oleh seorang CEO Ladang Rakyat, sebuah syarikat GLC Kelantan, manakala timbalan presidennya Mohd Sobree Shafee. Bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas dilantik menjadi penasihat.

Sobree dalam satu majlis di Damansara, Petaling Jaya berbapa malam lalu juga turut melahirkan rasa terkilan kerana ada suara-suara sumbang mengkritik kelab berkenaan kononnya ia adalah satu talian tektikal untuk tempat mencari makan.

Dalam hal ini saya ada pandangan tersendiri. Semua pihak perlu memberi masa dan peluang kepada kelab ini. Sejauh mana tindakan berat sebelah atau dijadikan ruang cari makan, boleh dipantau dari masa ke semasa. Apabila kelab ini terbukti senget sebelah, nah..ketikalah ia boleh dikritik. Bagilah peluang.

Tidak adil kalau seorang kanak-kanak yang baru lahir dan masih duduk dalam 'nikar' dan belum baligh kita telah hendak menghukumnya sama akan menjadi Hang Nadin atau pun Raja Mendeliar. [wm.kl.11:47 am 28/02/14]

Marahkan SPAD, pengusaha lori akan mogok?

Posted: 27 Feb 2014 05:55 AM PST

ISU MALAM                                                                                         

Ariffin sedang menyampai ucapan.
Para pengusaha lori pengakutan melahirkan rasa tidak senang dengan tindakan melampau Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang melakukan tindakan kuatkuasa yang melampau ke atas lori-lori pengakutan khasnya yang berkapasiti besar sehingga menyebabkan mereka berdepan dengan masalah dan mengalami kerugian.

Tindakan SPAD didakwa mengatasi tindakan penguatkuasa pihak Polis dan juga Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) dimana sesetengah langkah penguatkuasaan yang sebelum ini dikawal oleh Polis dan JPJ kini bertukar tangan kepada suruhanjaya itu.


Mereka juga mengadu tindakn SPAD telah menganggu tugas-tugas JPJ dan Polis dan seakan-akan suruhanjaya berkenaan dalam kemabukan kuasa.

Ariffin menyerahkan memorandum kepada Adun Basrah.
Ekoran rasa tidak puas hati itu, kira-kira 40 orang pengusaha lori berat di kawasan Timur hari ini telah berbincang untuk menubuh persatuan pengusaha-pengusaha lori Timur Barat bertempat di Kuantan Pahang. Perjumpaan itu pertama kali dan ianya turut dihadiri oleh Adun Semambu, Lee Chean Chungdan Adun Basrah, Adnansura Rabu.

Menurut Ariffin Mahmood merupakan salah seorang pengusaha lori yang menjadi jurucakap, memberi tahu, perbincangan hari ini untuk menubuhkan sebuah persatuan bagi mencari jalan untuk mengatasi masalah dihadapi oleh pengusaha lori yang makin tertekan.

"Kita sedang ke arah hendak menubuhkan sebuah persatuan bagi dijadikan makenisme untuk menyuarakan masalah kami le peringkat tertinggi dari masa ke semasa. Alhamdulilah kehadiran dan sambutan untuk penubuhan persatuan ini mendapat sambutan menggalakkan dari para pengusaha," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, dalam masa terdekat ujarnya, para pengusaha lori juga akan menyerahkan satu memorandum kepada menteri atau Perdana Menteri di Parlimen. Memorandum ini juga diberikan kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan ahli-ahli Parlimen.

"Mungkin memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri sendiri apabila pihak SPAD tidak mengubah sikap melampau mereka dengan tindakan yang menyusahkan kami pengusaha lori. Kami akan ramai-ramai turun dan pergi ke parlimen untuk menghantar memorandum," tambahnya lagi.

Sementara itu jelas seorang pengusaha lori dari Kuantan, dikenali dengan Kenny, masalah mereka sudah pun diajukan kepada Menteri Besar Pahang, Adnan Yaakub baru-baru ini. Menurutnya MB itu sudah memberi jaminan untuk mengatasi masalah mereka. Bagaimana pun jaminan itu tidak mendapat perhatian daripada pihak SPAD.

"Kami mengucap terima kasih kepada Datuk Seri Adnan kerana pernah mendengar rintihan kami. Kami tahu beliau tidak ada kuasa, hanya setakat sedia membantu mengatasi masalah kami saja," kata pengusaha itu.

Tekan Ariffin lagi sekiranya masalah itu tidak selesai dengan baik, pihaknya tidak ada pilihan lain melainkan akan melakukan tindak mogok secara besar-besaran.

"Mungkin tindakan mogok akan diambil kerana kami tidak tahan untuk menanggung kerugian kerana tindakan melampau pihak SPAD. Bagaimana tindakan itu adalah jalan akhir," katanya.

Beliau juga menjelaskan awal Februari lepas persatuan pengusaha lori kawasan Utara juga telah mengadakan pertemuan dengan pihak SPAD berhubung isu dan masalah yang sama.

Ariffin menyebut antara masalah pengusaha lori ialah sering disaman dan dikenakan denda mencecah ribuan ringgit. "Bayangkan kalau kena bayar denda mencecah RM7,000 atau RM10,000 ringgit, macam mana hendak hidup?" Soal beliau kesal.

Apa dibimbangkan katanya, jika maslaah ini berlarutan ialah kepada pengusaha Bumiputera yang baru memulakan perniagaan, dimana mereka tidak akan mampu untuk membayar denda yang bernilai ribuan ringgit itu. "Kalau mereka jual lori pun untuk membayar saman itu mungkin ia tidak mencukupi," katanya.

Bagaimana pun ujar Ariffin pihaknya menghormati usaha SPAD memantau lori demi keselamatan, pengguna lain, atau kebersihan jalan raya dan alam sekitar, tetapi janganlah melampau sangat sehingga menjadikan kami tidak boleh 'berkikuk'" sambungnya. [wm.kl.9:41 pm 27/02/14]

Tiada ulasan: