Rabu, 5 Februari 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Eh! Camry yang baru berusia tiga tahun dah ditukar Perdana?

Posted: 05 Feb 2014 08:52 AM PST


Kalau tak silap aku pada bulan Ogos 2010 kerajaan negeri Kedah dibawah pimpinan PAS telah membelanjakan RM1.2 juta bagi pembelian lima kereta Toyota Camry dan empat kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner.

Pembelian kenderaan baru itu bagi menggantikan kereta lama, iaitu Proton Perdana V6 Eksekutif yang sudah tidak lagi ekonomik digunakan berikutan kerap rosak dan kos membaikinya agak tinggi.

Malah ada di antara kereta terbabit sudah berusia 10 tahun pada tahun itu dan patut dilupuskan, tetapi ia masih digunakan kerana tiada ganti.

Keputusan membeli kereta import itu berikutan peratusan susut nilai harganya lebih rendah, berbanding model Proton Perdana V6 Eksekutif, selain penyelenggaraannya lebih mudah dan murah.

Itu adalah antara alasan Kerajaan PAS/PR Kedah untuk menggantikan Perdana dengan Camry.


Ianya dijadikan isu oleh kebanyakkan media tunggangan UMNO kerana dua tahun sebelumnya iaitu pada tahun 2008, Menteri Besar Kedah ketika itu , Allahyarham Datuk Seri Azizan dilaporkan berkata, pihaknya bercadang mengekalkan penggunaan kereta Proton Perdana V6 Eksekutif sebagai kereta rasmi kerajaan negeri.

Tapi setelah UMNO/BN merampas kembali Kedah, Camry yang berusia tidak sampai empat tahun itu telah dijual  pula oleh Kerajaan UMNO/BN.

Alasannya selain lebih murah berbanding kereta jenama lain, kerajaan negeri juga bernasib baik kerana mendapat kereta Proton Perdana berkenaan dalam tempoh singkat.

Apa punya alasan entahlah...

Mungkin kerana kerajaan negeri Kedah dibawah pimpinan Mukhriz sudah kaya raya.. jadi bagi mereka kereta yang berusia tak sampai empat tahun itu perlu digantikan kerana dianggap sudah usang..

Laporan berkaitan..

Semua Exco kerajaan negeri Kedah akan menggunakan kereta Proton Perdana 2.4 L sebagai kereta rasmi, menggantikan Toyota Camry yang dibeli semasa pentadbiran PAS.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata 10 buah kereta Proton Perdana itu akan digunakan bermula Mac ini, manakala Toyota Camry yang lama akan dijual kepada bekas Exco terdahulu pada harga berpatutan.

"Kita telah menilai lima jenama kereta untuk menggantikan kereta Toyota Camry ini dan akhirnya kita pilih Proton Perdana sebagai kereta rasmi exco...termurah daripada jenama lain (yang dinilai)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ganjaran kepada atlet Kedah di Alor Setar yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-16 2013 di Kuala Lumpur.

Mengenai penjualan Toyota Camry kepada bekas Exco (semasa Kedah ditadbir oleh PAS), beliau berkata ia adalah amalan biasa yang pernah dilakukan sebelum ini.

"Saya pula masih menggunakan kereta yang telah dibeli semasa zaman pentadbiran Ustaz Azizan (bekas Menteri Besar Kedah Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak) iaitu kereta jenis Mercedes Benz S Class kerana kereta ini masih lagi dalam keadaan elok," katanya.

Mukhriz berkata, selain lebih murah berbanding kereta jenama lain, kerajaan negeri juga bernasib baik kerana mendapat kereta Proton Perdana berkenaan dalam tempoh singkat - Bernama

Perkara ini tidak boleh dianggap membazir kerana ianya dilakukan oleh Kerajaan Negeri pimpinan UMNO/BN.. Ianya hanya dianggap membazir jika dilakukan oleh Kerajaan Negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat..

Kesavan buat laporan polis berhubung surat peletakan jawatan palsu

Posted: 05 Feb 2014 01:04 AM PST


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hutan Melintang, S Kesavan membuat laporan polis hari ini berhubung satu surat peletakan jawatan yang mendakwanya meletak jawatan dan meninggalkan PKR, di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Terdahulu, Kesavan bersama Naib Presiden PKR, N Surendran, Adun Teja, Chang Lih Kang dan Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing berjumpa Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S K Devamany berhubung isu itu.


Chang berkata Speaker memaklumkan surat peletakan jawatan itu palsu dan pihaknya akan membuat laporan polis berhubung isu tersebut.

Semalam, spekulasi mendakwa Kesavan meletakkan jawatan berdasarkan surat yang diedarkan kepada media.

Dalam surat itu, Kesavan menyatakan beliau keluar dari PKR serta merta kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan parti.

Kesavan yang bimbang tentang surat itu menyifatkan surat peletakan jawatan itu sebagai sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Biar saya jelaskan bahawa saya masih setia kepada PKR dan Pakatan. Devamany berkata surat itu dihantar kepada pejabat Speaker, tetapi bukan daripada Kesavan.

"Pendirian kami selagi dia sendiri tidak menyerahkannya, kami tidak akan bertindak," katanya.

Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata Kesavan dilihat sebagai mangsa terbaru siri surat palsu dan kenyataan media yang direka bagi mengelirukan orang ramai dan mencemarkan imej parti ~ The Malaysian Insider

Gambar dari Twitter YB Chang Lih Kang

Pilihan raya kecil DUN Kajang 23 Mac

Posted: 04 Feb 2014 08:51 PM PST


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang, manakala penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.

Ia diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor yang dikosongkan berikutan peletakan jawatan ADUNnya, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lepas.

Ini bermakna tempoh kempen akan berjalan selama 12 hari bagi PRK yang pertama bagi tahun ini, yang bakal menyaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding untuk menganggotai DUN Selangor.

Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.

Kerusi itu dikosongkan oleh Lee sebagai satu langkah oleh parti itu untuk membawa Anwar memainkan peranan yang lebih aktif dalam kerajaan negeri Selangor.

Langkah itu dilihat bakal memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih jawatan menteri besar Selangor dari Tan Sri Khalid Ibrahim - dalam usaha Pakatan Rakyat untuk menguasai Putrajaya serta menamatkan persengketaan antara Khalid dengan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali di Selangor.

BN masih belum membuat keputusan mengenai calonnya bagi kerusi tersebut dan terdapat desas-desus sama ada Umno atau MCA perlu bertanding kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan kepada MCA.

Ia adalah pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 ekoran peletakan jawatan secara sukarela dan bukan disebabkan oleh kematian wakil rakyatnya.

Ia juga merupakan PRK ketiga dalam tempoh lapan bulan sejak pilihan raya umum ke-13 selepas PRK DUN Kuala Besut, Terengganu dan DUN Sungai Limau di Kedah.

Dalam PRK tersebut, BN mengekalkan DUN Kuala Besut, manakala PAS pula berjaya mengekalkan DUN Sungai Limau.

~ Malaysiakini

Harakahdaily Online kena klon..

Posted: 04 Feb 2014 07:23 PM PST


Harakah telah memulakan edisi Internet (lihat contoh di http://harakah4.tripod.com) seawal tahun 1997. Selain akhbar edisi Internet, sistem berita berasaskan elektronik, HarakahTV pun pernah dilancarkan oleh Almarhum Ustaz Fadhil Mohd Noor dalam usaha awal PAS untuk memiliki radio dan TV sendiri. 

HarakahTV, akhirnya mati dalam tempoh tak sampai setahun ia dilancarkan. Projek WebTV ini telah dihidupkan semula pada Ogos, 2006 diatas nama TVPAS bagi menghadapi PRU ke-12. Selepas PRU ke-12, TVPAS diserahkan kepada Harakah pada 2009.

Malah pada 2009 juga, harakah memperkenalkan akhbar digital atau electronic paper (epaper) Harakah yang sama seperti Harakah versi cetak secara online yang boleh dilanggani pada alamat http://epaper.harakah.net.my

Apabila kerajaan mengenakan sekatan terhadap penerbitan Harakah pada tahun 2000 daripada dua kali seminggu kepada 2 kali sebulan, Harakah telah bersedia dengan versi internet yang boleh dilayari setiap hari, dinamakan Harakahdaily.

Portal berita internet Haraakah ini pada mulanya menggunakan domain, harakahdaily.com (http://www.harakahdaily.com) tetapi kemudiannya beralih kepada harakahdaily.net (http://www.harakahdaily.net) dengan kunjungan pelawat melebihi 100,000 (pageview) sehari dan pada masa peristiwa tertentu seperti muktamar, BERSIH dan sebagainya boleh melebihi 150,000 pengunjung sehari.

Disebabkan populariti berbanding Harakah yang diuruskan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, begitu terkenal dan mendapat tempat yang baik di hati pelayar, ada pihak yang tidak bertanggungjawab cuba membuat penyamaran di dunia maya dengan mengambil kesempatan mendaftarkan portal mereka dengan domain harakahdaily.my (http://www.harakahdaily.my) dengan disclaimer yang kecil dibahagian bawah yang mana jarang dibaca oleh ramai pelayar;

DISCLAIMER: Laman web www.HarakahDaily.my tiada kaitan langsung dengan akhbar Harakah ataupun dengan laman web rasmi Harakah www.harakahdaily.net walau dengan apa cara sekalipun.

Apakah yang mereka harapkan daripada penyamaran dalam dunia maya ini? Pihak kami telah mengetahuinya tetapi kesal dengan ketidak pekaan agensi seperti MCMC, MyNIC dan lain-lain badan berkuasa terhadap internet diMalaysia boleh membenarkan dot.my yang melambangkan Malaysia didaftarkan begitu mudah oleh pihak-pihak yang tiada kaitan dengan PAS.

Selain daripada portal penyamaran harakahdaily.my, pihak kami juga memantau aktiviti hackers dan cybertrooper Umno/BN yang menjadikan Harakah sebagai sasaran mereka untuk melakukan sabotaj terhadap operasi internet harakah untuk menghalang berita-berita alternatif disebarkan oleh portal Harakahdaily mendapat sambutan yang baik.

Cuba lihat dan kaji berita-berita yang dipaparkan oleh klon harakahdaily ini. Tidak banyak bezanya kan? Tidak dipastikan apa motif pemilik domain ini? Hanya kerana sedikit wang iklan? Atau apa yang menyebabkan mereka berusaha untuk klon harakahdaily ini?

Bukan harakahdaily sahaja yang cuba di klon, malah identiti bank dan sebagainya juga diklonkan untuk memperdaya pengguna atau pelayar di dunia maya ini. Tindakan mereka ini tidak akan berakhir di sini sahaja, malah usaha mereka akan dipergiatkan lagi pada masa depan dengan mengklon facebook, Twitter dan sebagainya bagi membuat penyamaran dan mengelirukan khalayak pengguna internet.

Untuk mengurangkan kesan kepada pengguna internet yang tidak sedar kepada penipuan dan penyamaran identiti seperti ini, pihak harakah sedang membangunkan satu portal atau Gerbang MyHarakah sebagai one stop center atau rujukan utama bagi aktiviti internet Harakah secara Online.


~ Shuhaimie Embong Detikdaily

30 kakitangan PKNS bukan dipecat cuma tak disambung kontrak..

Posted: 04 Feb 2014 05:37 PM PST


Sepatutnya pihak yang mahu menjadikan perkara ini sebagai isu, fahami dulu apa yang dimaksudkan dengan 'Kakitangan Kontrak', bukannya menjadikannya sebagai modal untuk menyerang pentadbiran  Kerajaan Negeri Selangor..

Tidak terdapat definisi khusus bagi menjelaskan maksud pekerja kontrak di dalam Akta mahupun undang-undang bertulis yang lain.

Namun, mengikut kamus Oxford, pekerja kontrak ditakrifkan sebagai buruh atau pekerja kontrak dan biasanya merujuk kepada pekerja yang diambil bekerja untuk tugas tertentu bagi suatu tempoh tertentu.

Penamatan tempoh khidmat mereka bergantung kepada pihak yang mengambil mereka bekerja dan ianya boleh ditamatkan bila-bila masa.. ikut suka depa..

Lagipun pelantikan secara kontrak itu bukan bermakna satu jaminan kakitangan diserap sebagai tetap, ini perlu difahami sejak awal apabila seseorang menandatangani tawaran kerja kontrak.

Justeru, jika kontrak disambung, ia wajar dianggap 'bonus' tetapi jika tidak disambung mereka perlu menerimanya dengan hati terbuka.

Hak dan budi bicara perlu difahami dalam isu ini, hak pekerja kontrak mematuhi kontrak serta menikmati segala bayaran yang diperuntukkan undang-undang, manakala aspek disambung atau tidak adalah budi bicara majikan.

Penyambungan kontrak bukan hak pekerja, malangnya seperti biasa, media tunggangan UMNO baik TV3 mahupun Utusan cuba mensensasikan isu ini..

Utusan melaporkan..

SHAH ALAM 4 Feb. - Masa depan hampir 30 kakitangan kontrak PKNS Holdings Sdn. Bhd. (PHSB) iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kelam apabila kesemua mereka dipecat serta-merta tanpa sebarang alasan daripada pihak pengurusan.

Difahamkan kesemua kakitangan terbabit menerima surat arahan pemecatan itu selepas menghadiri satu perjumpaan dengan pihak pengurusan syarikat berkenaan pada kira-kira pukul 9 pagi hari ini.

Surat arahan pemecatan bertarikh 3 Februari 2014 tersebut (semalam) ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Norazlina Zakaria.

Wakil kepada kakitangan yang terlibat, Dr. Alif Aiman berkata, mereka terkejut dan tidak menyangka sama sekali menerima arahan sedemikian daripada pihak pengurusan PHSB yang didakwa dibuat tanpa mengikut prosedur.

Menurutnya, pemecatan itu dianggap sebagai satu tindakan penganiayaan terhadap kakitangan berikutan arahan tersebut bukan sahaja dibuat tanpa sebarang notis awal, malah pengurusan syarikat berkenaan juga tidak memberikan sebarang alasan mengapa tindakan itu diambil.

"Ini yang kami kesalkan. Kami datang kerja pada hari ini tiba-tiba kami dipanggil dalam satu perjumpaan oleh pihak pengurusan dan diberitahu perkhidmatan kami telah ditamatkan.

"Sehingga saat ini kami tidak tahu apa sebab syarikat berhentikan kami. Kami tidak melakukan kesalahan atau melanggar apa-apa peraturan syarikat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Alif yang merupakan Pengurus Kanan Pemasaran PKNS, berdasarkan surat tersebut, pihaknya hanya dimaklumkan mengenai tindakan itu yang dibuat selaras dengan perubahan dan hala tuju PKNS bagi menyusun semula organisasi dan sumber manusia termasuk PHSB.

"Ada antara kami telah berkhidmat selama tiga tahun, ada juga yang baru berkhidmat selama empat bulan. Bayangkan apa nasib dan perasaan kami diberhentikan begitu sahaja. Kalau kami melakukan sebarang kesalahan, mengapa tidak dikenakan surat tunjuk sebab, adakan siasatan dalaman?

"Akibat tindakan ini, kami hilang punca pendapatan. Bagaimana kami nak tanggung kehidupan keluarga, biayai persekolahan anak-anak, bayar bil, bayar pembiayaan rumah, kenderaan dan sebagainya? Apakah pihak PKNS dan kerajaan negeri memahami nasib kami ini?

"Selama ini kerajaan negeri menyatakan mereka membela kebajikan rakyat, namun dalam kes kami ini, apakah kerajaan negeri benar-benar berpegang kepada apa yang diperkatakan mereka sebelum ini? Kami juga rakyat," tegasnya.

Menurut Alif, mereka akan membawa perkara itu kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor, esok.

Sementara itu, seorang kakitangan yang enggan dikenali memberitahu, keputusan PHSB memecat mereka secara tiba-tiba dipercayai dibuat oleh Pemangku Pengurus Besar PKNS, Azlan Md. Alifiah atas arahan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, tindakan tersebut mungkin berkait rapat dengan arahan kerajaan negeri sebelum ini yang menukarkan Pengurus Besar PKNS, Datuk Othman Omar dan Setiausaha PKNS, Norita Mohd. Sidek susulan pertikaian arahan penyingkiran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali daripada jawatan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu.

Pada perenggan yang kedua terakhir jelas menunjukkan mengapa isu penamatan kontrak mereka ini dijadikan isu besar oleh media tunggangan UMNO.

Hakikatnya mereka bukannya dipecat.. cuma tidak dilanjutkan kontrak, itu dua perkara yang berbeza tu...

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan hampir 30 kakitangan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).

Beliau ketika ditemui berkata keputusan itu dilakukan sendiri pihak pengurusan PHSB dan menganggap tiada sebarang pemecatan pekerja berlaku melainkan pemberhentian disebabkan mereka tidak melanjutkan kontrak kakitangan terbabit.

Abdul Khalid berkata menerusi nota yang diberikan kepadanya, pihak pengurusan PHSB memaklumkan tindakan itu adalah sebagai langkah untuk menentukan jumlah pekerja yang sesuai dalam organisasi berkenaan memandangkan pekerja yang diberhentikan itu adalah pekerja kontrak.

"Itu adalah keputusan pengurusan PHSB dan saya percaya pasti ada sebabnya malah pada saya konsep dipecat boleh jadi tiada tetapi konsep tidak diteruskan pelantikan boleh jadi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat negeri Selangor anjuran Jabatan Agama Islam Selangor di Shah ALam malam tadi.

Ketika diminta mengulas sama ada pemberhentian itu ada kaitan dengan isu dalaman yang dihadapi PKNS kini, Abdul Khalid turut menafikan ia disebabkan perkara berkenaan malah kes itu masih lagi dalam proses pendengaran yang dikendalikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor - Sebahagian dari laporan Bernama

Hmmm.. rasanyalah kalau Anwar pegang jawatan MB Selangor tu.. hari-hari kita akan dengar berita yang negatif saja pasal Selangor ni...

Tiada ulasan: