MIMPI SENJA |
- Najib tidak harus dipertahan lagi
- 6 tahanan terakhir ISA dibebaskan hari ini
- Jiwa saya luluh, dunia rasa gelap, bila saya dikatakan mengandung luar nikah - Siti Nor Hidayah 23
Najib tidak harus dipertahan lagi Posted: 04 Jan 2014 06:42 PM PST Majoriti rakyat dan hampir semua kelompok masyarakat hidup dalam keadaan tertekan dan tidak gembira lagi sekarang ini. Tidak seperti sebelumnya, tahap kegembiraan rakyat kini berada pada kadar paling rendah sekali, malah sesetengahnya mungkin negatif kegembiraannya. Rakyat biasa yang berpendapatan rendah dan sederhana sedang memikul kos sara hidup yang lebih tinggi daripada biasa akibat kenaikan pelbagai jenis barang dan perkhidmatan sejak kebelakangan ini dan terus bertambah seiring dengan kedatangan tahun 2014. Mereka yang ingin meluahkan perasaan terhadap kerajaan akibat kenaikan itu bertambah lagi tertekan hidupnya apabila digelar "bughah" atau penderhaka dan dikategori sebagai halal darahnya untuk dibunuh. Walaupun fatwa dan pendapat daripada Mufti Perak, Harussani Zakaria mengenai hal ini masih boleh dipertikai, diperdebat dan disangsikan, hakikatnya agama bukan lagi dipergunakan untuk menggembirakan umat, sebaliknya lebih dijadikan alat untuk membodek dan pengampu penguasa demi kepentingan peribadi. Isu mengenai kalimah Allah yang muncul kembali dan diikuti dengan serbuan Jais terhadap sebuah gereja serta disusuli pula dengan aksi demonstrasi Umno Selangor mengenainya, turut menjadikan penganut Islam dan Kristian tidak lagi gembira dan harmoni kehidupannya. Berterusannya isu ini tanpa penyelesaian telah meletakkan kedua-dua penganut Islam dan Kristian hidup dalam kesangsian dan kegelisahan. Dalam masa yang sama, pejuang-pejuang Umno di peringkat bahagian dan cawangan pula terus dibebankan dengan kerja-kerja tambahan yang berpunca daripada kelemahan pemimpin di atas. Setelah satu demi satu isu muncul mengenai pemimpin di atas, terutama yang melibatkan Najib dan keluarganya, kini isu kemewahan dan pemborosan timbul kembali dengan pendedahan mengenai jet mewah Perdana 2 atau NR2. Walaupun ada penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri mengenai penyewaan jet itu, ia tidak menafikan sama sekali kewujudan jet yang sedang disewa itu. Penjelasan PMO lebih merupakan suatu pengakuan terhadap pendedahan mengenai jet itu yang disertakan dengan kewajaran mengapa penyewaan itu dilakukan. Semua isu yang timbul berkaitan dengan pemimpin, keborosan dan kemewahan Najib serta kelemahan kerajaan, secara tidak langsung menambahkan lagi beban pemimpin akar umbi dalam berhadapan dengan rakyat. Mereka kini bukan saja sudah kekurangan masa untuk diri sendiri dan berusaha menambah kekuatan Umno, bahkan banyak masa asyik dihabiskan untuk menjawab pelbagai dakwaan yang timbul mengenai Najib, Rosmah dan keluarganya saja. Ini menyebabkan adanya pemimpin Umno di peringkat akar umbi yang mula mengambil sikap berkabung atau berdiam diri kerana merasakan sudah letih menjawab satu demi satu isu mengenai karenah pemimpin di atas, manakala sesetengahnya mula bersikap lantang dan melemparkan kritikan terhadap Najib dan kerajaan. Satu-satunya kelompok yang mungkin sedang gembira ialah golongan kroni yang menjadi pengampu dan penasihat Najib kerana semua isu yang timbul ini menambahkan lagi peluang untuk memenuhkan kantung dan membesarkan perut masing-masing. Namun demikian, semua isu yang timbul ini jelas memperlihatkan hanya satu perkara, iaitu kelemahan Najib sebagai Perdana Menteri. Jika beliau mempunyai sikap tegas dan berprinsip serta tidak membiarkan elemen-elemen pelampau menguasai kepimpinannya sejak dari awal, banyak isu tidak akan muncul sebenarnya. Dalam isu kalimah Allah dan kebenaran mengedar Bible dalam Bahasa Melayu, ia lebih berpunca daripada sikap 'double standard' Najib dalam menguruskan isu tersebut serta terlalu dipengaruhi oleh keinginan untuk memperolehi sokongan politik daripada penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak. Di suatu ketika, Kristian dilarang menggunakan kalimah Allah dan Umno dipergunakan untuk bersuara bagi memperlihatkan perjuangan Islam Umno tetapi di ketika yang lain, kalimah Allah dibenarkan untuk penganut di Sabah dan Sarawak, malah Bible dalam bahasa Melayu turut dibenarkan. Dalam isu 'bughah' yang dilemparkan oleh seorang mufti terhadap mereka yang berdemontrasi di Dataran Merdeka, ia tidak lain berpunca daripada sikap Najib yang mempamerkan dirinya suka dibodek dan diampu. Kiranya daripada awal Najib sudah menunjukkan dirinya seorang yang tegas, menjulang kebenaran dan tak makan dek bodek, pastinya tidak sesiapa mahu membodeknya. Malah, tidak mungkin juga seorang mufti mahu menjual agama semata-mata untuk menjaga perut dan kedudukannya. Dalam pelbagai isu yang muncul berkaitan diri dan keluarganya pula, ia juga memperlihatkan kelemahannya yang paling ketara sebagai pemimpin. Tidak pernah kita mempunyai pemimpin selemah beliau. Sementara isu-isu sedia ada terus menimbun dan menjadikan kedudukan Umno, BN dan kerajaan semakin lemah hari demi hari, tidak mustahil lebih banyak lagi isu-isu baru yang lebih kronik bakal muncul dan terus membebankan rakyat. Di ketika beliau mengumumkan 11 langkah berjimat cermat, tiba-tiba terdedah mengenai penyewaan jet baru dan penambahan seorang lagi duta khas iaitu Ahli Parlimen Bintulu sebagai Duta Khas bertaraf menteri ke Asia Timur, ia sekali lagi menampakkan wajah talam dua muka Najib dan seolah-olah banyak lagi pekung yang bakal terdedah. Di ketika berbangga dengan penjimatan yang kecil, pemborosan yang lebih besar sedang dilakukan rupa-rupanya. Sebelum lebih banyak terdedah dan keadaan menjadi lebih parah, hakikatnya Najib tidak harus dipertahankan lebih lama lagi. – shahbudindotcom.blogspot.com, 4 Januari, 2014. |
6 tahanan terakhir ISA dibebaskan hari ini Posted: 04 Jan 2014 05:30 PM PST Enam tahanan terakhir Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Taiping, Perak akan dibebaskan hari ini, umum Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata mereka terdiri daripada anggota kumpulan pengganas Darul Islamiah (DI) Sabah yang ditangkap pada 14 November 2011. "Mereka terdiri daripada tiga rakyat Malaysia, dua rakyat Indonesia dan seorang rakyat Filipina," katanya dalam kenyataan dua perenggan. Rakyat Malaysia yang akan dibebaskan terdiri daripada Adzmi Pindatun, Mohd Nazri Dollah dan Bakar Baba. Warganegara Indonesia terdiri daripada Muhammad Adnan Umar dan Darto Bandu, sementara warganegara Filipina ialah Muadz Hakim. Pembebasan tahanan ISA ini berikutan pemansuhan akta tersebut dan digantikan dengan penguatkuasaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 pada 31 Julai 2012. - Bernama |
Jiwa saya luluh, dunia rasa gelap, bila saya dikatakan mengandung luar nikah - Siti Nor Hidayah 23 Posted: 04 Jan 2014 01:16 AM PST Langkawi: Seorang gadis trauma dan menanggung malu susulan tindakan Hospital Langkawi (HL) di sini, yang didakwa cuai mengendalikan pemeriksaan ke atasnya sehingga menyebabkan dirinya dituduh mengandung anak luar nikah. Siti Nor Hidayah Abdul Rahman, 23, berkata dia kecewa dengan tindakan doktor yang merawatnya ketika itu yang menuduhnya mengandung anak luar nikah sedangkan berlaku kesilapan pada ujian dijalankan. Justeru, Hidayah yang bekerja di sebuah hotel di sini, menuntut HL memohon maaf atas kecuaian dilakukan sehingga menyebabkan maruahnya tercemar dan dia tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang. Mengulas kejadian itu, beliau berkata, pada 24 Disember lalu, dia ke Klinik Kesihatan Kuah, di sini, bagi merawat kesakitan dialami pada bahagian kanan perut, sebelum dirujuk kepada seorang doktor. Katanya, hasil pemeriksaan, doktor terbabit memaklumkan ada sedikit masalah pada ovari kanannya yang dikesan lebih besar berbanding saiz di sebelah kiri dan doktor berkenaan mengesyaki mungkin disebabkan bengkak, sebelum dia diberikan ubat. Pada masa sama, doktor terbabit turut mengambil sampel darahnya, sebelum dia dibenarkan pulang tetapi selepas seminggu, kesakitan itu masih dirasai. Rujuk pakar sakit puan "Pada 31 Disember, saya sekali lagi ke klinik sama, sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan di HL. "Saya menjalani ujian imbasan pada perut dan ujian air kencing di Unit Kesihatan Ibu dan Anak, sebelum doktor memberitahu ada masalah pada saluran kencing, namun puncanya tidak dapat dikenal pasti. "Saya dimasukkan ke wad dan keesokan harinya jam 10 pagi, tiga pegawai Pejabat Agama Islam Daerah Langkawi (PAIDL) datang menemui dan bertanyakan pelbagai soalan tidak masuk akal. "Paling mengejutkan, pegawai terbabit menuduh saya mengandung anak luar nikah. Ketika itu, jiwa saya luluh dan dunia rasa gelap, apatah lagi kata-kata pegawai terbabit turut didengar pesakit lain dalam wad sama," katanya. Hidayah berkata, ketika soal siasat dilakukan, beliau beberapa kali cuba meminta penjelasan jururawat dan doktor mengenai status ujian air kencingnya yang dikatakan positif mengandung, tetapi tidak dilayan kakitangan terbabit. Perlu siasatan lanjut "Saya tertekan apabila pegawai agama itu menyerahkan notis supaya hadir di PAIDL untuk siasatan lanjut dan meminta saya berdiam diri. "Saya hanya menangis dan kemudian meminta ujian air kencing kali kedua dilakukan," katanya. Hidayah berkata, hasil ujian kedua itu menunjukkan beliau tidak mengandung dan dibenarkan pulang selepas tiga hari berada di wad. "Saya rasa difitnah dan dianiaya secara melulu sehingga menjatuhkan maruah sebagai gadis yang belum berkahwin. Saya mahu mereka memohon maaf dan kini berbincang dengan keluarga untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya. Sementara itu, Pengarah Hospital Langkawi, Dr Mansor Ismail, ketika dihubungi berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu dan berjanji mengambil tindakan sewajarnya jika aduan itu benar. SUMBER |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan