Khamis, 30 Januari 2014

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Taktikal Anwar Mematikan Langkah Najib Dan Umno?

Posted: 29 Jan 2014 06:17 PM PST

TAKTIKAL PERCATURAN YANG MEMEGUN LAWAN !
Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Saya tidak pasti sama ada Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) pernah bermain catur atau tidak, ataupun beliau sememangnya pemain catur professional.

2) Dalam permainan catur professional, 'pawn' tidak akan dikorbankan tanpa sebarang hasil kepada strategi. Berbeza dengan catur yang dimain oleh orang kampung, mengorbankan 'pawn' adalah perkara biasa. Kau makan aku, aku makan kau balik.

3) Pemain catur professional tidak akan mengorbankan 'pawn' secara sia-sia. Pasti ada langkah seterusnya yang boleh mengikat pergerakan lawan, ataupun mengucar-kacirkan strategi lawan. Sekalipun hanya 'pawn' terkorban, musuh akan tersentak dan berfikir panjang apa yang akan berlaku seterusnya.

4) Sayugia, Adun Kajang adalah 'pawn' yang dikorbankan dalam percaturan terbaru. DSAI dianggap pencatur professional oleh lawannya. Lawan DSAI juga adalah professional, bukan pencatur kampung. Biasanya pencatur kampung memandang sinis dengan terkorbannya satu 'pawn'. Tetapi pemain catur lawan DSAI ini memilih untuk berhati-hati. Tidak membuta-tuli untuk mengikut rentak catur DSAI.

5) Buktinya, sehingga hari ini SPR masih kelu. PERKASA belum bersuara. Dato Seri Najib juga masih berstatus tunggu dan lihat. Hanya juak-juak kecil mereka sahaja yang bersuara mengkritik DSAI. Muhyiddin juga mengeluarkan kenyataan selamat. Nyata mereka terkejut dan terkedu sejenak dengan tindakan DSAI - mengorbankan pawn secara percuma.

6) Pelbagai andaian dibuat oleh penyokong PR dan BN. Ada yang mengatakan ia adalah poliking yang membazir duit rakyat. Ada pula yang menyindir DSAI tidak dapat jadi PM, jadi MB Selangor pun jadilah. Ada yang mengancam untuk memboikot PRK Kajang. Ada yang bersetuju langkah ini sebagai menyelamatkan Selangor, supaya tidak jatuh seperti Kedah. Ada pula yang terkial-kial membuat fiqh muwazanat untuk menghalalkan tindakan DSAI. Ada yang secara sinis berkata - keputusan multaqa ulamak pas benar - kaji semula hubungan dengan PKR.

7) Jika dilihat sebagai percaturan politik, saya lebih cenderung untuk menyokong strategi DSAI. Musuh sudah tercari-cari formula untuk terjemahkan percaturan ini. Mereka hanya meroyan dengan kempen Anwar mahu jad MB Selangor. Walhal belum tentu DSAI bertanding, jika bertanding menang, belum tentu jadi MB. Setahu saya, sejak dahulu hingga hari ini, belum pernah DSAI bercita-cita untuk jadi MB Selangor. Tetapi meroyannya mereka ke arah itu, cuba menggambarkan DSAI gila kuasa. Biarkan.

8 ) Namun jika dilihat sebagai mata kepala rakyat marhaen, memang tidak patut. Rakyat diasak bertubi-tubi dengan masalah keewangan, masalah kenaikan harga itu ini, tiba-tiba terpaksa bertarung dalam satu lagi PRK. Politiking lagi! Jika ada strategi hebat sekalipun, rakyat tidak memandang ke arah itu. Mereka terkejut kerana pilihanraya kecil secara tiba-tiba, tanpa ada kematian. Mungkin penduduk Kajang berbeza pandangan, memandangkan laba-laba besar bakal turun ke tempat mereka.

9) Pemuda PAS Selangor mengancam untuk memboikot PRK Kajang. Mungkin ini adalah manifestasi kekecewaan terhadap strategi yang dilaksanakan itu tidak diberitahu mereka, ditambah pula mereka bersama dengan rakyat marhaen melihat isu ini. Marah tidak salah. Tetapi mengancam untuk memboikot itu agak keterlaluan, seolah-olah Pemuda PAS Selangor yang membuat keputusan, bukan PAS Pusat.

10) Apa pun yang berlaku, kita berharap ia adalah batu loncatan untuk kepentingan rakyat. Saya pernah diberitahu oleh seorang mentor suatu masa dahulu, bahawa dalam negara kita, ada tiga pemimpin yang genius saling boleh membaca strategi antara satu sama lain. Ustaz Fadzil Noor, Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim.

11) Ustaz Fadzil Noor dapat membaca strategi Dr Mahathir. Dr Mahathir dapat membaca strategi Anwar Ibrahim. Dr Mahathir memerlukan Anwar Ibrahim untuk menterjemah strategi Ustaz Fadzil.

Perginya Ustaz Fadzil, meninggalkan Anwar dan Dr Mahathir dan Anwar bercakaran. Ustaz Fadzil sudah memberi amaran kpd Anwar bahawa percaturannya masuk ke dalam UMNO adalah langkah yang silap. Ustaz Fadzil Noor tahu silat pencak Dr Mahathir yang Anwar tak nampak. Akhirnya Ustaz Fadzil betul, Anwar dikhianati. Kini Anwar sekali lagi berdepan dengan Dr Mahathir melalui proksinya - Najib.

Najib sedang berdepan dengan Anwar - yakni anak didik Ustaz Fadzil dan Dr Mahathir. Sehingga kini Najib masih membisu.

Pandangan Pembaca Kerabu Bersuara Isu Kajang

Posted: 29 Jan 2014 04:35 PM PST

Parti Islam SeMalaysia ( PAS ) memang menang satu kerusi sahaja di Pulau Pinang dalam pilihanraya lalu, tetapi suatu realiti yang tidak boleh dipandang remeh ialah kemenagan rakan-rakan dalam pakatan rakyat yang lain adalah hasil daripada sokongan padu ahli dan penyokong PAS yang merupakan undi penentu di beberapa DUN dan Parlimen.

Manakala di Selangor pula tidak dapat dinapikan bahawa berjayanya  PAS memenangi banyak kerusi tentulah hasil sokongan ahli dan penyokong Parti Keadilan Nasional dan DAP sama .

Dulu, ketika tersebar sahaja berita pertemuan sulit Al-Marhum Ustaz Fadhil Muhammad Nor President PAS ( diiringi oleh Ustaz Nakhai Ahmad )  dengan Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ( diiringi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim )  riuh rendah dan gegak gempitalah sebahagian penyokong PAS. Mereka ingin tahu butir-butir perbincangan dan sebab-sebab pertemuan. Mereka merungut kenapa tidak diberitahu mereka terlebih dahulu tentang pertemuan ini !

Al-Marhum Ustaz Fadhil dalam ceramahnya di Markaz PAS Pulau Pinang dengan suara yang agak tinggi dan lantang mengatakan " Apa ertinya saya dilantik menjadi president jika setiap perkara yang saya hendak lakukan mesti diberitahu kepada ahli. Apa itu cara kita melayani president kita !!!?  " Agak panjang leterannya pada malam itu. Dilihat ahli PAS dapat menerima pandangan Al-Marhum dan keadaan menjadi reda selepas itu.

Peristiwa Kajang, agak mustahil president PAS tidak ada sedikit pun maklumat awal mengenainya. Biarlah kita hormati diplomasi president yang kita sayangi dan Barisan Kepimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat yang bermati-matian berjuang demi merialisasikan impian kita bersama.

Apakah kejatuhan Pakatan Rakyat Kedah yang diterajui oleh PAS sudah benar-benar sembuh dari kotak kesedihan kita. Apakah peristiwa pertukaran Kerajaan Perak hasil penyeberang tiga wakil rakyat dulu tidak lagi menjadi iktibar untuk kita.

Dari jauh, kita lihat suasana Selangor kian gawat. Pegawai-pegawai Pengurusan Teringginya kelihatan berada diwadi lain.... Seperti juga dihadapi oleh Kelantan era awal sembilan puluhan dulu .... Kedah semasa pemerintahan al-Marhum Ustaz Azizan bagitu juga  Trengganu ketika pemerintahan Ustaz Abdul Hadi  .... Dipihak lain Perdana Menteri sendiri menjadi ketua agungnya.

Langkah Pakatan Rakyat memberi tanggung jawab utama kepada calon perdana menterinya sendiri mendepani suasana getir ini amat disanjung tinggi.

Lagi Kes Kanak-kanak 10 Tahun Dirogol Dan Diliwat

Posted: 29 Jan 2014 04:23 PM PST

Kanak-kanak dirogol, liwat

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

MUAR 29 Jan. - Malang buat seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun apabila diperlakukan secara kejam oleh seorang lelaki yang bukan sahaja merogol malah meliwat mangsa dan dipaksa melakukan seks oral di Bakri di sini semalam.

Tidak cukup dengan itu, mangsa yang enggan mengikut kemahuannya dipukul dan kemaluannya ditoreh suspek dengan senjata tajam sehingga mengakibatkan kanak-kanak berkenaan terpaksa menerima 18 jahitan.

Lebih menyedihkan kejadian tersebut berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menaiki basikal berseorangan menggunakan jalan pintas ke sebuah sekolah agama di Bakri di sini, melalui kebun getah, pukul 3 petang.

Semasa dalam perjalanan, mangsa ditahan suspek berusia 37 tahun, kira-kira 250 meter dari Jalan Mahmud di sini, sebelum dipaksa menaiki kereta lalu melarikannya.

Insiden itu disedari seorang pekebun yang hanya sempat mencatat nombor pendaftaran kereta tersebut dan bertindak menghubungi polis.

Menurut sumber, mangsa kemudian dibawa ke sebuah tempat pembuangan sampah lalu dirogol, diliwat dan dipaksa melakukan seks oral di dalam kereta.

"Mangsa turut dicederakan suspek apabila enggan menurut kemahuan lelaki itu," katanya ketika ditemui di Bukit Bakri, sini hari ini.

Kata sumber itu lagi, selepas kejadian, suspek membawa mangsa ke sebuah stesen minyak di Bukit Bakri dan sepasukan polis yang mendapat maklumat berhubung nombor pendaftaran kereta tersebut bertindak menahannya kira-kira pukul 5 petang.

Ujarnya, mangsa diselamatkan dalam keadaan baju sekolahnya berlumuran darah, ketakutan dan tidak bermaya sebelum dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) dan menerima 18 jahitan di bahagian kemaluan.

Melalui siasatan awal katanya, suspek mengaku mengambil dadah sebelum melakukan perbuatan tersebut dan direman bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati jarak antara rumah kanak-kanak malang itu dengan sekolah agama terbabit kira-kira dua kilometer yang perlu melalui kawasan belukar, kebun sawit dan kebun getah.

Menurut penduduk tempatan yang enggan dikenali, mangsa menggunakan jalan tersebut setiap hari kerana merupakan jalan pintas dengan mengambil masa kira-kira 10 minit untuk ke sekolah.

Katanya, jalan tersebut sunyi tetapi penduduk tidak mempunyai pilihan lain kerana merupakan jalan paling dekat.

Tiada ulasan: