DIALOG RAKYAT |
- Tengku Adnan Akan Mati Kempunan Jika Hard Rock Tidak Dibuka Di Putrajaya
- Muhyiddin hina intelektualiti sasterawan
- Tiga anggota polis antara diberkas dalam kes samun
- MB: Kerajaan Selangor dan Pusat setuju ambil alih kawalan industri air mengikut Akta WSIA
- Pemimpin UMNO BN "Dibelasah" Kerana Berperangai Hipokrit!
- JAIS tak salah, tetapi tak berhemah
- Hidup susah, mati pun susah!
- Kertas siasatan diserah ke pejabat pendakwaraya
- Dr Mahathir: Pusat hiburan ringan tidak mengapa
- K'jaan didesak tutup terus Kem Kamunting
- MB: Isu sensitif mesti bincang dulu sebelum serbu
- Bible dipulangkan jika selari dengan '10 perkara'
Tengku Adnan Akan Mati Kempunan Jika Hard Rock Tidak Dibuka Di Putrajaya Posted: 08 Jan 2014 05:56 AM PST shahbudindotcomSelepas Presiden Perbadanan Putrajaya, Aseh Che Mat memohon maaf berhubung rancangan pembukaan pusat hiburan dan restoran Hard Rock Cafe di Putrajaya sehingga membangkitkan kemarahan ramai dan kemudian pengurusan Hard Rock pula mengumumkan tiada perancangan untuk membuka cawangan baru, semua pihak menyangka isu itu telah berakhir dan penduduk Putrajaya boleh meneruskan kehidupan malam mereka dengan aman dan tenteram. Rupa-rupanya ia belum berakhir. Ini berikutan kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang menyatakan Hard Rock boleh membuka cawangannya di Putrajaya jika memenuhi syarat yang ditetapkan iaitu tidak menghidangkan arak serta sajian hiburan yang mengghairahkan. Malah beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mencadangkan jika Hard Rock membuka cawangannya di Putrajaya, mereka boleh menyajikan hiburan dan persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock yang biasa dipersembahkan di mana-mana cawangannnya di seluruh dunia. Dalam masa yang sama, Tengku Adnan juga menpertahankan Aseh Che Mat yang menurutnya berniat baik mahu menarik pelabur menanam modal di Putrajaya. Apa yang tergambar daripada kenyataan Tengku Adnan ini ialah beliau nampaknya begitu teringin mahu melihat Hard Rock membuka cawangannya di Putrajaya sehingga sanggup mencadangkan sesuatu yang mustahil iaitu persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock tanpa batasan. Di ketika Aseh turut menjelaskan tiada cadangan dan pengurusan Hard Rock pula menyatakan tiada perancangan ke arah itu, Tengku Adnan seperti membuka laluan semula mengenainya. Cadangan persembahan nasyid bagi menggantikan muzik rock bukan saja ternampak lucu, tidak masuk akal dan menyerlahkan keghairahan tanpa sempadan Tengku Adnan terhadap Hard Rock, malah dalam masa yang sama menyingkap kewibawaan dan tahap pemikirannnya yang sebenar sebagai seorang pemimpin. Dalam erti kata lain, bertambahlah seorang lagi "menteri cap ayam" dalam kabinet Najib sekarang ini. Kalaulah benar mahu mengadakan persembahan nasyid, sebagai menteri dan Ahli Parlimen, beliau tidak perlu menunggu pembukaan Hard Rock untuk melakukannya. Soalnya sudah berapa banyak persembahan nasyid yang beliau telah anjurkan selama ini dan sudah adakah restoran atau tempat hiburan yang mengadakan persembahan nasyid di Putrajaya? Janganlah cuba untuk menunjuk-nunjuk lagak Islamik dalam isu Hard Rock. Lagi pula tidak mungkin Hard Rock bersedia membuka cawangannya jika tanpa minuman keras, alunan muzik keras, tarian terkinja-kinja dan pergaulan bebas yang memang menjadi imejnya di seluruh dunia. Hard Rock tanpa semua itu adalah umpama kedai mamak tanpa teh tarik dan kari atau restoran Arab tanpa hidangan nasi beriani dan shisa. Mustahil dan tidak masuk akal. Jika benar Tengku Adnan begitu ingin melihat persembahan nasyid di Hard Rock untuk menunjukkan Islamiknya beliau sebagai pemipin, beliau sebenarnya boleh memulakan dengan memberi arahan mengenai perkara tersebut di premis Hard Rock sedia ada di KL atau di lain-lain pusat hiburan yang bersepah di Jalan P Ramlee dan Bukit Bintang. Tidak pasti apakah yang begitu mengujakan mengenai Hard Rock ini di mata Tengku Adnan. Mungkinkah beliau merasakan kejayaan membuka cawangannya di Putrajaya merupakan pencapaian gemilangnya sebagai menteri dan Ahli Parlimen Putrajaya? Atau mungkinkan beliau merasakan dengan adanya Hard Rock akan menambahkan lagi tarikan Putrajaya di kalangan pelancong asing? Bagaimanapun di mata rakyat, kenyataan Tengku Adnan itu lebih menggambakan keterujaan dan keghairahannya untuk terus membuka cawangan Hard Rock di Putrajaya dan seolah-olah akan mati kempunan atau mati dalam keadaan mata tak terpejam jika gagal berbuat demikian. Di sisi lain pula, ia menggambarkan inilah level atau tahap kecedikan yang ada di kalangan menteri-menteri yang ada dalam kabinet Najib. Asal bercakap dan membuka mulut saja, akan terserlah kerendahan tahap pemikiran dan tiada wibawanya sebagai pemimpin (sebenarnya istilah yang tepat ialah bodoh, tapi tak sampai hati pulak). Beliau kini menjadi bahan persendaan baru di kalangan rakyat, setelah beberapa menteri turut diperlakukan sedemikian dan dipertikaikan sebelum ini. |
Muhyiddin hina intelektualiti sasterawan Posted: 08 Jan 2014 05:53 AM PST Sebagai seorang penulis dan sasterawan, saya rasa terhina dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin seperti disiarkan di Bernama dan beberapa portal berita dalam talian. Pada suatu majlis penyampaian hadiah di kediaman rasminya di Putrajaya semalam, beliau dilaporkan berkata bahawa golongan sasterawan sentiasa bersama kerajaan dan tidak pernah bersama pembangkang dalam membangunkan negara Malaysia. Kata-katanya ini bersifat menghina intelektualiti, jati diri dan maruah golongan sasterawan; seolah-olah sasterawan hanya berhak memilih antara "kerajaan" dan "pembangkang". Saya sedar bahawa bukan semua penulis di negara ini layak digelar "sasterawan". Malah, ada juga "penulis karya sastera" yang hanya menjadi penulis upahan kepada pihak tertentu atau bernaung di bawah politikus untuk mendapatkan bayaran, ganjaran dan upah. Kewujudan beberapa kerat penulis/sasterawan tidak bermaruah dan tidak bertulang belakang tidak bermakna pemimpin negara boleh sewenang-wenangnya membuat kesimpulan bahawa sasterawan memihak kepada "kerajaan" atau "pembangkang". Saya pernah dilantik oleh Muhyiddin menganggotai panel meminda novel "Interlok: Edisi Murid" pada 2011 tetapi tidak bermakna saya "bersama kerajaan". Nik Nazmi Nik Ahmad (ADUN Seri Setia) sering mengundang saya menyertai aktiviti bahasa, sastera dan dialog/forum tetapi tidak bermakna saya "bersama pembangkang". Bersama Rakyat Saya bersama-sama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menjalankan program memartabatkan Bahasa Malaysia bagi kanak-kanak dan remaja tetapi tidak bermakna kami "bersama kerajaan". Terkini, saya dan Kavyan terlibat dalam "Solidariti Kampung Chetti" bagi membantu kaum Chetti Melaka menguasai ilmu penulisan dan menyuarakan bantahan kepada kerajaan negeri, tetapi tidak bermakna kami "bersama pembangkang". Bernama melaporkan Muhyiddin sebagai berkata: "Sekiranya ada pihak yang mendakwa golongan sasterawan berada di haluan sana (berpihak kepada pembangkang) manakala pemimpin negara berada di haluan sini (kerajaan) … ia adalah dakwaan yang tidak benar." Saya tertanya-tanya apakah reaksi penulis dan sasterawan yang menghadiri majlis di mana Muhyuddin mengeluarkan kenyataan itu. Apakah tokoh-tokoh hebat seperti SN Dr Muhammad Haji Salleh, SM Zakir, Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan hadirin hanya mengangguk? Atau hanya mampu berdiam diri kerana tidak mahu segala habuan yang diterima daripada "haluan sini" (kerajaan) dihentikan jika sasterawan berani bersuara demi kebenaran di depan menteri? Pada pendirian dan pegangan saya, sasterawan dan penulis perlu berani bersuara mewakili rakyat (huruf besar disengajakan). Kedudukan sasterawan adalah bersama-sama Rakyat; bukan bersama-sama kuasawan, politikus dan kerajaan/pembangkang. Kalau mahu memilih antara "kerajaan" dan "pembangkang", lebih baik menjadi penulis upahan. Sasterawan adalah kelompok intelektual terpilih dan kedudukan mereka lebih tinggi berbanding politikus. Bakat penulisan adalah anugerah Tuhan yang terlalu tinggi nilainya. Bagai juak & orang suruhan Amat malang jika politikus mahu memperkotak-katikkan sasterawan dan melabelkan mereka sebagai "penyokong kerajaan" atau "penyokong pembangkang"; bagaikan sasterawan adalah juak-juak dan orang suruhan. SN Datuk A Samad Said, misalnya, pasti dilihat oleh Badut Paul Lathic sebagai "penyokong pembangkang" semata-mata kerana beliau berani dan lantang bersuara mewakili Rakyat, khususnya golongan minoriti tertindas. Nampaknya, bagi BN, sasterawan yang menjadi suara Rakyat adalah "penyokong pembangkang" manakala penulis (termasuk penulis upahan) yang menjadi pak turut dan tukang angguk serta akur pada segala kata BN adalah "penyokong kerajaan". Secara ironi, menurut laporan Bernama, Muhyiddin berkata: "Penulisan sastera antara cara membangunkan jati diri bangsa dan membentuk kematangan pemikiran rakyat. … suatu alat penting untuk membangunkan kesedaran rakyat dan suatu senjata besar untuk membunuh fahaman kolot dan mundur yang membeku dalam jiwa rakyat." Nah! Bukankah tanggapan Muhyiddin bahawa sasterawan hanya terbahagi kepada "penyokong kerajaan" dan "penyokong pembangkang" adalah secara terang-terangan "fahaman kolot dan mundur" yang perlu dipecahkan? Tidak mustahil, akan keluar berita di Bernama sendiri selepas ini bahawa wartawan "tersalah tafsir" kata-kata Muhyiddin dalam ucapannya. Untuk perhatian Muhyiddin dan para Badut Paul Lathic, saya bukan "penyokong kerajaan" mahu pun "penyokong pembangkang". Saya adalah penyokong Rakyat; khususnya minoriti yang anda tindas secara terancang menggunakan senjata politik dan perkauman. UTHAYA SANKAR SB adalah penulis sepenuh masa dan pemilik tunggal syarikat 'Perunding Media, Motivasi dan Penerbitan Uthaya'. Beliau turut bersuara lantang di www.uthayasb.blogspot.com] |
Tiga anggota polis antara diberkas dalam kes samun Posted: 08 Jan 2014 05:47 AM PST Tiga anggota polis adalah antara lima yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes samun di sebuah rumah di Taman Impian dekat Kuantan malam tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, anggota tersebut bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri. Beliau berkata kelima-lima suspek yang berusia antara 19 hingga 37 tahun itu kini direman dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. "Suspek telah mendatangi rumah mangsa kira-kira jam 10 malam ketika dia yang berusia 28 tahun dan empat yang lain sedang menonton televisyen. "Tiga daripada suspek memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis yang kemudiannya bertindak menggeledah rumah mangsa dan dilaporkan turut membelasah mangsa. "Suspek kemudiannya melarikan sebuah komputer riba dan dua buah jam tangan," katanya. Mohd Zakaria berkata mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan tidak lama selepas itu kesemua suspek berjaya diberkas di kawasan berhampiran rumah mangsa. Beliau berkata polis menemui semula barangan yang dilarikan itu. Pihak polis turut menyiasat sama ada mereka juga terbabit dalam kes samun lain di sekitar Kuantan, katanya.- Bernama |
MB: Kerajaan Selangor dan Pusat setuju ambil alih kawalan industri air mengikut Akta WSIA Posted: 08 Jan 2014 04:33 AM PST Oleh: SIRAJ ZAINI SHAH ALAM : Kemelut pengambilalihan industri air di Selangor bakal berakhir apabila Kerajaan Pusat bersetuju memberi kerjasama penuh kepada Kerajaan Negeri dengan mengguna pakai Seksyen 114, Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) bersama syarat lain. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pertemuannya bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus semalam, bersetuju dengan tertakluk kepada beberapa syarat iaitu Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melantik dua orang Pentadbir syarikat konsesi air bagi menjalankan pengurusan air. Katanya, dua Pentadbir yang dilantik adalah Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Suhaimi Kamaralzaman yang merupakan seorang akauntan bertauliah serta mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan industri air di Malaysia. Manakala, calon Pentadbir kedua adalah Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI), Faekah Husin yang merupakan peguam terlatih selama 20 tahun dan mahir dalam pentadbiran dan pengurusan hartanah. Abdul Khalid berkata, syarat yang dikenakan itu perlu kerana Selangor memiliki banyak aset air di negeri ini dan Kuala Lumpur. Katanya, Kerajaan Negeri bersetuju pada dasarnya bagi pelaksanaan pembinaan Loji Air Langat Dua dan kedua-dua Pentadbir dipertanggungjawabkan untuk merealisasikannya. "Perkara yang disebut di sini telah pun diperincikan kepada Menteri secara rasmi melalui surat yang saya hantar pagi ini," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini. Katanya, Kerajaan Negeri memberikan sepenuh komitmen sejak 2009, dengan mengadakan perbincangan berterusan bersama KeTTHA serta agensi berkaitan seperti SPAN dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Sebelum ini, Kerajaan Negeri menawarkan RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Konsortium ABBAS Sdn Bhd, Puncak Niaga Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd, untuk mengambil ekuiti syarikat konsesi air berkenaan. Walau bagaimanapun, perbincangan atas dasar 'willing buyer willing seller' seperti yang ditetapkan KeTTHA gagal dimuktamadkan pada tarikh tamat tempoh rundingan iaitu pada 31 Disember 2013. Abdul Khalid berkata, punca utama kegagalan penyelesaian itu adalah akibat jangkaan tidak realistik di kalangan pemegang saham yang berkenaan terhadap nilai ketara pegangan ekuiti mereka dalam syarikat konsesi air di Selangor. "Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh melakukan penyusunan semula industri perkhidmatan air kerana syarikat konsesi berkenaan gagal memberikan perkhidmatan yang baik dengan tarif berpatutan walaupun mengaut keuntungan tinggi," kata Abdul Khalid.EZY |
Pemimpin UMNO BN "Dibelasah" Kerana Berperangai Hipokrit! Posted: 08 Jan 2014 04:17 AM PST KELAB GREENBOCPimpin melalui teladan, pesan penganalisis kepada pemimpin BN Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memimpin melalui teladan dan peka dengan keadaan rakyat yang sedang dihimpit kos sara hidup meningkat atau kerajaan berdepan risiko kehilangan sokongan pada pilihan raya umum ke-14 nanti, kata penganalisis. Ahli politik juga perlu mengekang gaya hidup mereka seiring dengan permintaan Putrajaya agar berjimat, kata penganalisis, susulan kebimbangan orang ramai bahawa pemimpin kerajaan persekutuan BN tidak mengurangkan perbelanjaan mereka. Profesor Madya Shaharuddin Badaruddin dari UiTM, berkata ahli politik kedua-dua pihak perlu melaksanakan kata-kata mereka dengan mengurangkan perbelanjaan. Beliau berkata, ini adalah amat penting terutama ketika sambutan Maulidul Rasul akan datang bagi memperingati hari lahir Nabi Muhammad pada 14 Januari ini, yang membawa tema wasatiyyah atau kesederhanaan. "Ini adalah masa yang terbaik bagi mereka untuk menjadi contoh. Perkara yang terbaik untuk mereka lakukan sekarang ialah amalan kesederhanaan dan bukannya menunjuk-nunjuk," katanya kepada The Malaysian Insider. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan sambutan hari jadi mewah di sebuah hotel lima bintang di Kuala Lumpur pada Ahad lalu dan tetamu mendakwa ia menjadi sambutan Tahun Baru. The Malaysian Insider difahamkan, kosnya kira-kira RM120,000. Seorang lagi menteri merayakan sambutan perkahwinan anaknya selama dua hari berturut-turut di satu lagi hotel lima bintang di Kuala Lumpur bulan lalu, dengan disertai oleh raja-raja dan VIP serta dihiburkan penyanyi wanita terkemuka dari Indonesia. Beberapa penulis blog pro-Umno juga mempersoalkan Jabatan Perdana Menteri atas keperluan apa mereka perlu dua jet VIP, selepas ia mendedahkan bahawa Putrajaya menghabiskan RM180 juta untuk mengekal dan mengendalikan jet kerajaan bagi perjalanan rasmi pada 2012. Semua ini berlaku ketika rakyat dilanda kenaikan harga daripada elektrik kepada makanan, bahan api dan kos persekolahan. Harga bahan api, gula dan tarif elektrik naik selepas Putrajaya memotong subsidi manakala tambang pengangkutan awam akan dinaikkan tahun ini susulan daripada kenaikan itu. Selepas itu, kadar tol juga mungkin naik di samping cukai pintu untuk penduduk Lembah Klang, manakala cukai barangan dan perkhidmatan (GST) juga akan diperkenalkan pada 2015. Shaharuddin percaya perbelanjaan mewah oleh ahli-ahli politik akan mempunyai kesan kepada pilihan raya umum akan datang kerana rakyat Malaysia yang sudah merasakan keperitan ini kecewa berhadapan dengan berita ini. "Dengan harga setiap barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat, hidup adalah lebih sukar sekarang. Pada masa sama, ahli-ahli politik tidak melaksanakan apa yang mereka cakap, jadi pasti ini akan memberi kesan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya. Kerajaan BN yang Umno menjadi tunggak utamanya, hampir tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dengan hanya memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen, kurang tujuh kerusi berbanding pilihan raya umum 2008. Ia juga kehilangan undi popular, apabila mendapat hanya 47% berbanding dengan pembangkang 51%. Bagaimanapun, Umno memenangi 88 kerusi, meningkat daripada 79 sebelum ini, kerana sokongan daripada Melayu luar bandar dan Bumiputera. Penganalisis politik dari Universiti Putra Malaysia, Profesor Jayum Jawan mengecam perbelanjaan berlebihan itu dengan berkata mereka tidak memberikan contoh yang baik sebagai pemimpin. "Dalam masa kesusahan, mereka perlu berkorban. Cara hidup mereka tidak selari dengan seruan perdana menteri untuk hidup berjimat," katanya. Beliau berkata, rakyat Malaysia sudah bosan dan sudah tiba masa untuk rakyat mengundi mengikut perasaan mereka yang sebenar. "Mereka memberikan kerajaan banyak peluang dan tiba masa untuk mereka menilai semula sama ada mereka perlu terus memberi peluang kepada parti ini untuk memerintah," katanya. Penganalisis politik, Dr Oh Ei Sun, berkata cara politik Umno adalah pemimpin diperlukan untuk menunjukkan "kehebatan" mereka dan menunjukkan sifat murah untuk menarik penyokong. "Sehingga kita sampai masa sebenar untuk membuat perubahan, keadaan akan kekal begini. "Itulah sebabnya pengundi bandar tidak boleh berbuat apa-apa. Mereka tidak berpuas hati dengan apa yang mereka lihat apabila rasuah berleluasa dan ketidakcekapan jelas dalam kerajaan tetapi mereka tidak mampu untuk melaksanakan perubahan sebenar selagi penduduk luar bandar tidak bangun," kata penganalisis, S Rajaratnam dari Sekolah Pengajian Antarabangsa Singapura. Dr Oh juga percaya adalah sukar untuk mengekalkan kemarahan ini sehingga PRU14 yang hanya akan berlangsung empat tahun lagi. "Majoriti rakyat sudah pun menyatakan tidak suka mereka kepada BN dalam pilihan raya lalu tetapi ia masih tidak cukup untuk menukar kerajaan," katanya. -TMI
ULASAN GB Hukum kebenaran dan keadilan terus berjalan dan mendedahkan pekung hipokrisi pemimpin-pemimpin UMNO BN. Teruskan sikap hipokrit kamu itu, lebih cepat kamu akan dihumban keluar dari Putrajaya dan Parlimen Malaysia! |
JAIS tak salah, tetapi tak berhemah Posted: 08 Jan 2014 04:15 AM PST Penulis berasa terpanggil untuk memberikan penjelasan dari sudut perundangan, berhubung isu hangat diperkatakan, apabila sepasukan pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dibantu oleh anggota polis telah menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) di Damansara Kim. Semoga dengan penjelasan ini dapat menutup ruang pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan menangguk di air keruh dengan tercetus isu tersebut. Dalam serbuan tersebut, dilaporkan JAIS telah merampas 300 naskah Al-Kitab yang merupakan kitab Bible dalam Bahasa Melayu dan juga Bup Kudus, kitab Bible dalam Bahasa Iban. Antara perkara yang menjadi persoalan, adakah tindakan JAIS melakukan siasatan terhadap premis tersebut dan merampas kitab-kitab Injil yang disimpan dalam premis tersebut mempunyai asas dari sudut undang-undang? Kebebasan beragama yang terkawal Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam adalah agama bagi persekutuan. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan berbunyi: "Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan." Pengiktirafan Islam sebagai sebagai agama tertinggi negara, bukan sahaja terdapat dalam peruntukan-peruntukan perlembagaan, tetapi juga telah diperjelaskan melalui penghakiman-penghakiman yang diputuskan oleh mahkamah. Dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693, Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai: "Bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ia juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman". Secara harmoninya, penganut-penganut agama lain masih bebas untuk mengamalkan agama mereka, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 3(1) yang menyatakan: "Agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian persekutuan." Perkara ini ditekankan lagi dalam Perkara 11(1) yang berbunyi: "Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal(4), mengembangkan agamanya." Perkara 11(4) Perlembagaan pula berbunyi: "Undang-undang negeri dan mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, undang-undang persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan ugama antara orang-orang yang menganuti ugama Islam." Berdasarkan Perkara 11(4) tersebut, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan diberi kuasa oleh Perlembagaan untuk mengadakan undang-undang bagi mengawal atau menyekat apa-apa iktikad atau kepercayaan agama dari disebarkan di kalangan penganut agama Islam. Dengan erti kata lain, orang bukan Islam bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka, termasuk menyebarkan agama mereka di kalangan bukan Islam, tetapi agama mereka tidak dibenarkan untuk disebarkan kepada orang Islam, dengan apa cara sekali pun. Maka, berdasarkan sumber kuasa yang diberikan di bawah perkara 11(4), kerajaan-kerajaan negeri, khususnya dalam konteks negeri Selangor telah meluluskan undang-undang untuk mengawal pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam, iaitu Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No 1/1988). [Selepas ini dirujuk sebagai "Enakmen Kawalan".] Hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak yang belum menggubal undang-undang sedemikian. Dengan adanya enakmen ini, tindakan undang-undang boleh dikenakan ke atas perbuatan menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam di negeri-negeri yang telah mewartakan Enakmen Kawalan tersebut, termasuk di negeri Selangor. Tafsiran "agama bukan Islam" yang disebut dalam Enakmen Kawalan ini adalah luas meliputi agama-agama arus utama seperti Kristian, Hindu, Buddha, Sikh, Yahudi atau mana-mana cabang atau serpihan dari agama-agama tersebut. Termasuklah juga amalan menyembah roh datuk nenek, animisme, dan lain-lain yang tidak diakui oleh agama Islam sebagai berunsur Islam. Antara kesalahan-kesalahan yang termaktub dalam Enakmen Kawalan itu ialah: • Seseorang yang menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seseorang beragama Islam di bawah umur 18 tahun supaya menerima ajaran agama bukan Islam, atau supaya dia menyertai apa-apa istiadat, perbuatan menyembah, atau aktiviti keagamaan agama bukan Islam atau aktiviti yang dianjurkan untuk faedah suatu agama bukan Islam, maka ia adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM10,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya (Seksyen 5). • Seseorang yang mendekati orang Islam bertujuan mendedahkannya kepada apa-apa ucapan, pertunjukan, mengunjungi, mengatur, berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengannya, atau menghubungi dengan telefon, bagi maksud mendedahkan orang itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan mengenai agama bukan Islam, juga adalah kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan atau kedua-duanya (Seksyen 6). • Seseorang yang menghantar, menyerahkan, menyebabkan dihantar, diserahkan kepada seorang lain yang beragama Islam di dalam atau di luar negeri, atau dari luar negeri, menghantar atau menyerahkan kepada seorang yang beragama Islam di dalam negeri, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, atau bahan iklan bagi terbitan itu, yang mana tidak diminta oleh orang itu, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda RM3,000 atau penjara selama tempoh tiga bulan atau kedua-duanya (Seksyen 7). • Seseorang yang membahagi-bahagikan di suatu tempat awam, apa-apa terbitan mengenai agama bukan Islam, menyerahkan salinan terbitan itu kepada seorang Islam, juga adalah melakukan kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 8). • Seseorang yang membuat apa-apa tulisan yang diterbitkan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan terbuka, atau dalam suatu perhimpunan yang dirancang, atau dalam pernyataan yang diterbit atau disiarkan, menggunakan mana-mana perkataan yang khusus untuk umat Islam sebagaimana disenaraikan dalam Bahagian I (Jadual) Enakmen itu, atau terbitan atau virasinya, menyatakan atau memperihalkan sesuatu fakta, kepercayaan, idea, konsep, perbuatan, aktiviti, perkara, atau hal mengenai atau berkaitan dengan sesuatu agama bukan Islam adalah suatu kesalahan yang boleh dikenakan denda sebanyak RM1,000 (Seksyen 9). Antara perkataan-perkataan dalam Jadual yang dilarang dan telah diwartakan dalam Enakmen Kawalan tersebut yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam ialah: Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Walillahilham, Allahu Akbar, Insya-Allah allah, Astaghfirullahal Azim, Tabaraka Allah, Masya-Allah, Lahaula Walaquata Illabillahilaliyil Azim. Semua kesalahan-kesalahan di bawah Enakmen ini hendaklah disifatkan sebagai kesalahan-kesalahan boleh tangkap (seizable offence) bagi maksud Kanun Prosedur Jenayah, yakni pegawai yang diberi kuasa boleh menyiasat kesalahan di bawah undang-undang ini dan boleh menangkap tanpa waran mana-mana orang yang disyaki telah melakukan mana-mana kesalahan itu. Manakala, kes-kes berkenaan akan dibicarakan oleh seorang majistret yakni mahkamah sivil, bukan Mahkamah Syariah. Undang-undang kawalan pengembangan agama bukan Islam tersebut bukan sahaja boleh dikenakan terhadap bukan Islam, tetapi juga boleh dikenakan ke atas orang Islam yang bersekongkol dengan bukan Islam menyebarkan dakyah agama mereka, kerana Enakmen Kawalan itu tidak dihadkan pemakaiannya ke atas bukan Islam sahaja. Justifikasi tindakan JAIS menurut undang-undang Apakah tindakan JAIS tersebut berdasarkan kehendak undang-undang? Dalam Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No 1/1988) tersebut, kuasa untuk menyiasat dan menangkap tanpa waran terhadap mana-mana orang yang disyaki melanggar mana-mana peruntukan dalam Enakmen Kawalan tersebut diberikan kepada Pegawai bertauliah. "Pegawai bertauliah" ertinya pegawai awam yang diberikan tauliah oleh Raja atau Sultan secara bertulis menurut Seksyen 10 Enakmen tersebut, untuk menjalankan kuasa-kuasa di bawah Enakmen tersebut. Dalam isu ini, semasa proses siasatan di premis berkenaan, bukan sahaja terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) JAIS, tetapi juga pegawai polis. Jika pegawai-pegawai yang melakukan siasatan itu adalah terdiri daripada pegawai awam yang diberikan tauliah oleh sultan sebagai pegawai bertauliah, maka proses siasatan tersebut tidak lah salah dari sudut undang-undang. Sekalipun tiada pegawai bertauliah yang hadir sekali, berdasarkan maklumat yang diterima yang mana PPA mempunyai sebab untuk mengesyaki pelakuan sesuatu kesalahan boleh tangkap berlaku dalam sesuatu premis, berdasarkan Seksyen 57 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Selangor 2003, PPA diberikan kuasa untuk pergi ke premis tersebut untuk menyiasat serta mengambil apa-apa langkah perlu. Tidak menjadi persoalan dari sudut undang-undang, sama ada premis itu milik bukan Islam atau orang Islam atau tidak dapat dipastikan milik siapa. Yang pentingnya ialah kesalahan disyaki berlaku dalam premis tersebut. Seksyen 11 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk menggeledah mana-mana premis yang mana orang yang disyaki melakukan kesalahan itu berada, dengan syarat orang yang tinggal atau berada di tempat itu memberikan kebenaran atau kerjasama untuk PPA masuk menjalankan penggeledahan. Dan dalam kes ini, orang yang berada dalam premis tersebut sendiri memberi kebenaran untuk PPA JAIS masuk membuat siasatan. Seksyen 15 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 juga memberikan kuasa kepada PPA untuk memeriksa pesalah dan menyita segala barang bukti yang dijumpai. Jadi, pada pandangan saya, tindakan JAIS masih dalam kerangka kepatuhan kepada peruntukan undang-undang, dan bukan bertindak di luar kuasa yang diberikan, atau cuba berlaku tidak adil terhadap bukan Islam. Ada pihak-pihak tertentu yang menangguk di air keruh cuba memperbesarkan isu ini, cuba memperlekehkan tindakan pihak berkuasa, cuba memberikan imej buruk kepada institusi penguatkuasaan agama Islam, dan cuba mewujudkan perselisihan antara penganut Katolik dan Islam. Sebab itu ada pihak yang menggunakan istilah "serbuan" bagi menggambarkan tindakan JAIS itu suatu tindakan yang salah, tidak berlandaskan undang-undang dan zalim. Walhal, dalam undang-undang tiada istilah "serbuan", tetapi siasatan. 'Biar mahkamah putuskan' Siasatan dijalankan berdasarkan aduan yang diterima. Sama ada ada berlaku kesalahan atau tidak, perkara itu biar mahkamah yang putuskan jika ia dibawa ke Mahkamah. Bila wujudnya aduan, maka pihak berkuasa yang diberikan autoriti oleh pihak berkuasa negeri perlu bertindak termasuk mengambil tindakan-tindakan wajar yang dibenarkan oleh undang-undang semasa melakukan proses siasatan tersebut. Lagi pula, ia adalah suatu langkah pencegahan. Dalam kes ini, kelihatan boleh berlaku kesalahan di bawah Seksyen 9 Enakmen Kawalan Dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor, 1988 (Enakmen No 1/1988), iaitu "kesalahan berhubung dengan penggunaan perkataan-perkataan dan perbahasan tertentu yang bersumber Islam". Menerbitkan apa-apa tulisan atau menyatakan dalam apa-apa ucapan atau pernyataan awam, atau apa-apa ucapan dalam perhimpunan orang, atau menerbitkan atau menyiarkan apa-apa ucapan atau pernyataan yang menggunakan mana-mana perkataan khusus untuk orang Islam, yang dilarang digunakan oleh bukan Islam seperti dalam Jadual di dalam Enakmen tersebut, walaupun bukan dengan tujuan untuk menyebarkan ajaran agama lain kepada penganut agama Islam, ia tetap dianggap sebagai satu kesalahan di bawah Seksyen 9, Enakmen Kawalan tersebut yang membawa hukuman maksimum denda seribu ringgit. Meski pun kitab Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan perkataan Allah tersebut dikatakan hanya akan diedarkan kepada penganut Kristian sahaja, persoalan mudah yang boleh ditanya kepada diri kita sendiri, kenapa Kitab Bible dalam Bahasa Melayu itu disimpan dalam negeri Selangor? Adakah dapat dipastikan atau ada jaminan bahawa Bible berbahasa Melayu itu hanya untuk penganut Kristian sahaja? Semua maklum bahawa orang Melayu pada dasarnya beragama Islam. Jika Bible itu akan disebarkan kepada penganut Kristian sahaja, mengapa dicetak dalam bahasa Melayu? Adakah orang Melayu beragama Kristian? Maka, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa negeri, termasuk JAIS dan MAIS untuk menjaga kepentingan umat Islam di Negeri Selangor, daripada dakyah agama bukan Islam. Namun, pada pendapat penulis, JAIS sepatutnya lebih berhati-hati terutama apabila melibatkan pihak dari kalangan agama lain. Tindakan perlu lebih berhikmah dan berhemah, ibarat menarik rambut dari tepung. Rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Lebih-lebih lagi di mana setiap kecacatan atau kelemahan pihak-pihak berkuasa akan dimanupulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda tertentu. Allah berfirman: "Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk." (An-Nahl 16:125) Ini bukan kali pertama. Dua tahun lalu, iaitu pada 3 Ogos 2011, siasatan JAIS terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC), juga telah mencetus kontroversi yang sama. Sepatutnya perkara seperti ini tidak lagi berulang. Sabda Rasulullah SAW: "Jangan sampai kamu dipatuk oleh ular di dalam lubang yang sama dua kali." (Riwayat Abu Daud). MUSA AWANG presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). |
Posted: 08 Jan 2014 04:10 AM PST NAMPAKNYA memang sesuai 2014 dilabel sebagai tahun naik harga atau tahun ikat perut. Hanya beberapa hari kita masuk ke tahun baharu, sudah ada yang marah-marah kerana mendakwa pelbagai barang dan makanan sudah naik harga sekarang. Kalau belanja di setengah pasar raya yang menawar harga murah pun, kata mereka, anda kena bayar lebih 50 peratus sekarang. Maknanya, kalau dahulu pembaca budiman bayar RM300 sekarang kena bayar sekurang-kurangnya RM450 untuk barang yang sama. Entahlah sejauh mana ketepatannya. Saya akan buat tinjauan segera. Jika anda ada maklumat, sila kongsi dengan saya. Tapi yang pasti, banyak barang sudah naik harga dan tunggu masa untuk dinaikkan. Patutlah ramai kecut perut dan marah-marah. Kenaikan harga ini berlaku walaupun kenaikan kadar tol dan tarif elektrik belum diambil kira. Harga ais dah naik di banyak tempat di seluruh negara. Anda tidak perlu menjadi pakar ekonomi pun untuk mengetahui reaksi rantaian dan domino daripada kenaikan ini. Tentunya harga minuman, ikan, benda-benda dan perkhidmatan yang mengguna ais dan yang berkaitan dengannya telah naik dan akan menunggu giliran untuk naik. Bayangkan kembung yang beberapa bulan lalu cuma RM7 ke RM8 sekilo kini sudah mencecah RM18 sekilo. Kata menteri kalau harga ayam naik, jangan makan ayam. Sekarang harga ikan pula naik. Apa lagi tinggal untuk dimakan ya? Di sebuah negara yang saya melawat dahulu, saya diberitahu jika tidak ada RM30,000 'jangan' mati, sebab anda perlu bayar sebanyak itu untuk dapatkan kubur tetap. Kalau tidak, jasad saya akan ditanam di kubur awam dan dicampak ke laut tujuh tahun kemudian. Nampaknya betullah kata orang, hidup susah, mati pun susah! Di negara kita, insya-Allah, tidak seteruk itu, tetapi, saya akan selidik apakah harga nisan juga turut naik. Dalam keadaan rakyat berhadapan dengan tekanan hidup akibat peningkatan kos hidup, segala yang menyusahkan mudah mencetus kemarahan. Sebagai contoh, seorang rakan menceritakan dia pergi ke sebuah klinik kerajaan (perlu sebut lokasinya?). Alat x-ray di situ sudah rosak tiga bulan. Akibatnya, dia disuruh pergi buat x-ray di kawasan lain dan kembali untuk sambung pemeriksaan. Dia tidak kisah sangat walaupun dibuat macam bulu tangkis. Yang dia persoalkan, kenapa begitu lama tidak berganti sedangkan alat x-ray itu berharga RM10,000 sahaja? Saya tidak sanggup turunkan di ruang ini apa yang dia kata secara verbatim, tapi memadailah kalau saya sebut, dia hangat hati kenapa untuk perkara lain boleh belanja banyak, tapi untuk kepentingan kesihatan RM10,000 pun susah nak keluar. Saya terfikir, kita ada beribu klinik kerajaan di seluruh negara. Itu belum ambil kira hospital. Apakah sebuah klinik sahaja di negara ini hadapi masalah alat x-ray rosak tiga bulan tetapi tidak diganti? Saya juga baca dalam akhbar baru-baru ini, seorang pesara mengadu dikerah ke sana-sini untuk mendapatkan bekalan ubat kerana farmasi pusat perubatan di mana dia diperiksa tidak lagi memberi ubat. Sebenarnya, langkah mengurangkan perbelanjaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini agak menarik. Antara lain, elaun keraian menteri dan timbalan menteri dipotong 10 peratus dan penjawat awam daripada Jasa C ke atas antara 5 dan 10 peratus. Langkah lain termasuk pengurangan kadar makanan dan minuman di persidangan dan majlis rasmi kerajaan. Langkah seperti ini mungkin baik tetapi tidak cukup. Sebenarnya, penjawat awam, lebih-lebih lagi yang menjadi ketua, yang walaupun bukan berfungsi membuat untung, boleh membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan. Saya tahu di satu bahagian (perlu saya sebut nama?), atas inisiatif ketua dan kerjasama kakitangan beberapa tahun lalu, ia mampu menjimatkan kos kira-kira RM20,000 sebulan; maknanya RM240,000 setahun dengan menguruskan kerja yang dikontrakkan sebelum itu. Seorang bekas ketua jabatan di sebuah universiti menceritakan bagaimana beliau mengawal penggunaan elektrik di bangunannya hingga mampu jimat lebih RM10,000 setahun. Bayangkan betapa banyak penjimatan yang boleh dibuat jika langkah serupa dapat dilakukan secara meluas di seluruh negara. farush-khan@sinarharian.com.my |
Kertas siasatan diserah ke pejabat pendakwaraya Posted: 08 Jan 2014 03:57 AM PST Polis Selangor hari ini menyerahkan kertas siasatan berhubung kenyataan pengarang majalah mingguan Katolik, 'The Herald', Paderi Lawrence Andrew berhubung isu penggunaan kalimah Allah kepada pejabat Pendakwaraya. Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata 99 individu telah diambil keterangan bagi membantu dan melengkapkan kertas siasatan itu. "Kita dapat melengkapkan siasatan setelah memanggil pelbagai pihak termasuk Lawrence (Andrew) dan beberapa individu lain berhubung kenyataan paderi itu. "Kertas siasatan diserahkan pagi tadi dan akan diteliti pihak Pendakwa Raya untuk disiasat mengikut Seksyen 4, Akta Hasutan," katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam. Shukri berkata pihaknya mengambil keterangan daripada Andrew berhubung isu itu, semalam. "(Sehingga semalam) 101 laporan polis diterima di seluruh Selangor manakala selebihnya di negeri-negeri lain yang membantah kenyataan paderi itu," katanya. Andrew dipetik sebuah portal berita pada 27 Disember lepas sebagai berkata semua gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguan mereka. Sementara itu, Shukri berkata sepanjang 2013, Selangor mencatatkan 43,060 kes jenayah berbanding 40,076 pada tahun sebelumnya. Justeru itu, Polis Selangor akan memperkasa pasukannya untuk memerangi dan menurunkan kadar jenayah di negeri ini. "Kita akan menggembleng tenaga bagi tujuan ini, anggota yang ada bukan hanya terhad bertugas di pejabat semata-mata tetapi juga akan turun ketika operasi. "Saya menyasarkan penurunan lima peratus indeks jenayah tahun ini bagi kes perjudian, kegiatan pelacuran dan maksiat serta kes pinjaman wang haram," katanya. - Bernama |
Dr Mahathir: Pusat hiburan ringan tidak mengapa Posted: 08 Jan 2014 03:55 AM PST SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat hiburan ringan perlu diadakan di Putrajaya bagi menarik kunjungan orang ramai ke bandar raya pintar dalam taman itu. Malah menurutnya, kewujudan hiburan tidak bercanggah dengan idea asal penubuhan Putrajaya itu sendiri. "Saya cadang kepada pengurusan Putrajaya supaya diadakan kedai-kedai makanan dan barangan sepanjang jalan tengah Putrajaya. Dalam pada itu pusat hiburan ringan juga perlu diadakan. "... adanya hiburan ini tidak bercanggah dengan idea Putrajaya," katanya yang dipetik dari blog chedet.cc hari ini. Namun beliau tidak bersetuju sekiranya kedai arak dan tarian bogel disajikan di kompleks pentadbiran negara itu. "Saya tak pernah pergi ke Hard Rock Cafe. Mungkin ia tidak sesuai. Tetapi ia dan pusat hiburan lain boleh disesuaikan jika sanggup mengadakan hiburan yang tidak lucah. "Kita perlu kepada hiburan. Jika ada acara persandingan di dewan-dewan di Putrajaya tidak ada larangan terhadap hiburan," katanya. Menyingkap soal reka bentuk Putrajaya yang dipengaruhi ibu kota Perancis iaitu Paris, beliau membayangkan suasana Putrajaya kelak seperti Champs Elysees, boulevard utama yang melintasi tengah bandar Paris. "Boulevard ini mempunyai jalan tengah yang luas untuk lalu-lintas kereta dan dua buah jalan kecil antara jalan tengah dengan deretan bangunan di kiri kanan untuk pelawat ke kedai dan restoran.Tingkat bawah bangunan-bangunan ini terdapat kedai-kedai makan dan barangan dan juga pusat hiburan seperti Lido. "Memanglah restoran menjual barangan yang tidak halal... ia dipenuhi pembeli-belah tempatan dan pelancong dalam dan luar negeri sepanjang masa. Ramainya mereka di sini kerana terdapat kedai dan restoran mewah. "Kita tidak berhasrat meniru segala-galanya yang terdapat di Champs Elysees. Kita juga tidak ingin menjadi Putrajaya sebagai bandar pentadbiran yang penuh dengan pejabat kerajaan semata-mata," katanya. Sebelum ini, cadangan pembukaan Hard Rock Cafe (HRC) di Putrajaya, iaitu premis kelima di negara ini selepas Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka dan Kota Kinabalu, mencetuskan kemarahan dan bantahan ramai terutama penduduk Putrajaya. Sementara Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata, permohonan untuk membuka cawangan HRC hanya diluluskan jika ia mematuhi syarat-syarat ditetapkan termasuk tiada penjualan minuman keras dan menampilkan persembahan hiburan yang berlandaskan Islam. |
Posted: 08 Jan 2014 03:53 AM PST MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka hari ini menolak tuntutan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah untuk diiktiraf sebagai 'Sultan Melaka', kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron. Sambil meminta pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu itu, beliau berkata tuntutan Raja Noor Jan Shah mencabar Perlembagaan Persekutuan yang antara lain menyatakan Melaka satu daripada negeri ditadbir dan diurus wakil Persekutuan selaku ketua negeri iaitu Yang Dipertua Negeri Melaka yang dilantik Yang di-Pertuan Agong. Beliau berkata Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Melaka akan meneliti perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan dakwaan mengelirukan terhadap status kesultanan negeri itu. "Tuntutan sebegini dibuat semasa Melaka menjadi antara negeri termaju di Malaysia…ini tidak lain cubaan mengambil kesempatan terhadap kemakmuran dan keharmonian Melaka," katanya dalam sidang berita di Seri Negeri di sini, hari ini. Baru-baru ini, Idris menerima surat daripada Raja Noor Jan Shah yang mahu perbincangan dilakukan bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai 'Sultan Melaka' kerana mendakaw beliau telah mendapat pengiktirafan daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Idris turut kesal dengan tindakan Raja Noor Jan Shah yang cuba mengelirukan rakyat Melaka dan meminta semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya percaya dengan dakwaan tidak berasas melibatkan sejarah kesultanan di Melaka. "Saya juga memohon pihak media supaya melaporkan isu sebegini dengan penuh hati-hati dan bertanggungjawab supaya rakyat tidak terkeliru dengan dakwaan seperti ini," katanya. Menurutnya Melaka hanya mengiktiraf pingat, bintang dan darjah kebesaran yang diberikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob. "Kita tidak mengiktiraf pingat, bintang dan darjah kebesaran diberikan oleh pihak lain. Dalam isu Lembaga Adat Naning memberikan pingat baru-baru ini, kita mengiktiraf lembaga itu hanya sebagai sebuah kumpulan adat sahaja, kita tidak iktiraf mereka memberikan pingat-pingat sedemikian," katanya. Selain Lembaga Adat Naning, kerajaan negeri turut menerima laporan adanya individu dikenali sebagai 'Bonda Ratu Kerajaan Melayu Melaka' memberikan pingat kebesaran di negeri ini. "Mereka yang menerima pingat daripada pihak ini, kita akan pastikan tidak akan menerima pingat daripada Yang Dipertua Negeri Melaka… yang telah menerima (pingat daripada Yang Dipertua Negeri Melaka) kita akan lihat kemungkinan untuk tarik balik (pingat itu)," katanya. – Bernama |
K'jaan didesak tutup terus Kem Kamunting Posted: 08 Jan 2014 03:50 AM PST Tetapi walaupun selepas membebaskan kumpulan terakhir tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hujung minggu lalu, kerajaan enggan untuk menutup kem tersebut. Marah dengan langkah itu, Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menggesa pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menutup terus kem tersebut. "Jika kerajaan ikhlas tentang transformasi politik, kem Kamunting, yang merupakan simbol kekejaman ISA, mesti ditutup," kata pemimpin GMI, Syed Ibrahim Syed Noh. Beliau menjawab kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kem Kamunting kini akan menjadi pusat tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 dan pindaan Akta Pencegahan Jenayah 1959 dan Akta Dadah Berbahaya 1985. Sejak ISA secara rasmi berakhir 17 bulan lalu, 45 tahanan dibebaskan secara berperingkat dan kumpulan enam tahanan terakhir dibebaskan Ahad lalu, selepas mereka menjalani tahanan selama dua tahun penuh tanpa bicara. Bagaimanapun, Syed Ibrahim menyifatkannya sebagai satu kemenangan "pahit-manis" bagi GMI, yang telah berjuang menentang ISA selama 13 tahun. Katanya, pembebasan enam tahanan itu pada 5 Januari lalu menggambarkan sikap angkuh kerajaan yang enggan membebaskan mereka lebih awal walaupun di bawah tekanan rakyat. Beliau memberitahu pemberita bahawa ia juga dalam bidang kuasa menteri dalam negeri untuk membenarkannya. Walaupun ditubuhkan pada 2001 semasa era reformasi, menurut GMI, perjuangan untuk memansuhkan ISA bermula pada 1989, apabila NGO Suaram mula memperjuangkan hak tahanan politik selepas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengejutkan negara dengan "Ops Lalang" pada 1987. Walaupun gabungan 80 NGO itu mungkin membubarkan GMI, tetapi pergerakan baru untuk menentang "undang-undang zalim yang baru" dijangka muncul. Sementara itu, pasangan bekas tahanan ISA yang bekerja untuk GMI juga berkata keluarga mereka masih berjuang untuk membebaskan diri daripada bayangan menjadi bekas tahanan. Norlaila Othman ( kiri), yang suaminya ditahan dari 2002 hingga 2009, berkata bebas daripada Kamunting tidak sama dengan bebas daripada pemantauan Kementerian Dalam Negeri. Beliau memberi contoh bagaimana pergerakan suaminya sentiasa dipantau dan bagaimana sukarnya untuk mengekalkan pekerjaan apabila majikan mendapat tahu tentang sejarah ISA beliau. Norlaila mendakwa salah seorang daripada enam tahanan ISA yang dibebaskan hanya beberapa hari lalu, Nazri Dollah, telah didatangi polis. |
MB: Isu sensitif mesti bincang dulu sebelum serbu Posted: 08 Jan 2014 03:41 AM PST Menteri besar Selangor berkata, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu berbincang terlebih dahulu dengan exco negeri sebelum mengambil sebarang tindakan sensitif. Ini, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, agar tiada lagi masalah komunikasi berlaku. "Perkara ini ikut sensitiviti. Kalau hal-hal berkaitan serbuan ini perlu perbincangan. "Kalau nak tangkap orang tak puasa, tak perlu (perbincangan)," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini. Khalid berkata demikian ketika menjelaskan langkah memperkemas tatacara operasi standard (SOP) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) susulan serbuan dan rampasan Bible berbahasa Melayu ke atas Persatuan Bible Malaysia baru-baru ini. |
Bible dipulangkan jika selari dengan '10 perkara' Posted: 08 Jan 2014 03:24 AM PST Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu mendapatkan pengesahan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status Bible berbahasa Melayu yang dirampasnya daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) sebelum ini. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, KDN bertanggungjawab memastikan sama ada Bible itu selari dengan penyelesaian 10 perkara. Penyelesaian kabinet itu antaranya membenarkan pengimportan, penggunaan dan percetakan Bible dalam bahasa kebangsaan. Khalid berkata, Selangor mempunyai Enakmen Kawalan Pengembangan Ugama Bukan Islam 1988 yang menghalang penggunaan nama Allah dalam penulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan. "Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab ini memenuhi Penyelesaian 10 Perkara, kerajaan negeri akan mengarahkan JAIS untuk memulangkan semula kitab-kitab tersebut kepada BSM," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini. Perkara itu dimaklumkan Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco Selangor yang amat panjang hari ini, selama kira-kira 8 jam. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan