Selasa, 7 Januari 2014

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pindaan Enakmen 1988 cetus krisis undang-undang, kata pakar perlembagaan

Posted: 07 Jan 2014 07:23 AM PST

THE MALAYSIAN INSIDER
 



































Pakar perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari (gambar) memberi amaran bahawa krisis perundangan akan berlaku sekiranya pindaan Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) Enakmen 1988 diteruskan.

Aziz berkata, walaupun secara teknikalnya pemerintah Pakatan Rakyat di Selangor boleh meneruskan pindaan tersebut, tetapi diragui ia akan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) beragama Islam lain.

"Saya berpendapat cadangan tiga Adun DAP tersebut akan mencetuskan krisis.

"Namun saya tidak pasti sama ada Adun beragama Islam daripada Pakatan Rakyat sanggup melakukannya, iaitu menyokong pindaan," kata Aziz yang merujuk kepada cadangan tiga Adun negeri Selangor baru-baru ini.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, pertikaian mengenai kuasa sultan berpunca semasa bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memegang tampuk kuasa.
"Kita mesti ingat pertikaian undang-undang mulanya dicetuskan oleh Umno.

"Tetapi lebih baik untuk mengingatkan sultan apa yang Dr Mahathir lakukan sejak sekian lama untuk mengikat kuasa mereka," katanya.

Beliau berkata, semasa pemerintahan Dr Mahathir pada 1994, sebarang rang yang dibentangkan akan menjadi undang-undang selepas 30 hari dipersembahkan kepada sultan walaupun ia tidak ditandatangani oleh sultan itu sendiri.

Aziz berkata, pindaan Enakmen 1988 tersebut akan menyebabkan krisis undang-undang di Selangor kerana ia boleh dicabar di mahkamah.

"Pindaan untuk melangkaui pemerintah (artikel 66(4A) Perlembagaan Persekutuan dibuat oleh Dr Mahathir pada 1994 tanpa perkenan Majlis Raja-Raja seperti diperuntukan dalam artikel 38 (4)).

"Dalam kata lain, peruntukan perlembagaan yang memberi dewan kuasa untuk melangkaui kuasa sultan yang diluluskan secara tidak sah oleh Dr Mahathir boleh dicabar di mahkamah, kemudiaannya tidak sah dan tiada kesan," katanya.

Selain itu, katanya, langkah meminda undang-undang kontroversi tersebut juga akan menimbulkan persoalan tentang bidang kuasa sultan sebagai ketua agama.

"Sultan mungkin enggan menandatangani rang tersebut walaupun Adun mempunyai kuasa tetapi ia berkaitan dengan agama dan sebagai ketua agama beliau mempunyai kuasa untuk menolak rang tersebut.

"Kemudiannya isu ini akan dibawa ke mahkamah semula," katanya.

Terkejut dengan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyerbu Persatuan Bible Malaysia, Yeo Bee Yin, Rajiv Rishyakaran dan Lau Weng San, yang masing-masing Adun Damansara Utama, Bukit Gasing dan Kampung Tunku berkata, enakmen itu hanya bertujuan mengawal penyebaran agama bukan Islam ke atas orang Islam.

Bekas imam hadapi dua tuduhan miliki buku ajaran Syiah

Posted: 07 Jan 2014 07:17 AM PST


THE MALAYSIAN INSIDER

Seorang bekas imam dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Muadzam Shah di Rompin hari ini atas dua pertuduhan menyimpan buku-buku mengenai ajaran Syiah pada September tahun lepas.
Abdullah Isa, 65, yang berasal dari Kelantan dan bertugas sebagai penyelia ladang di Keratong, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menyimpan buku-buku yang mengandungi ajaran Syiah yang bertentangan dengan fatwa dikeluarkan melalui Warta Kerajaan Negeri Pahang bernombor 1564 di No. 78, Kompleks Perumahan Risda Espeks Ulu Keratong, Muadzam Shah pada 2 petang, 27 September lepas.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa menyimpan buku-buku mengandungi ajaran Syiah yang bertentangan dengan mazhab-mazhab empat iaitu Syafi'e, Hanafi, Hambali dan Maliki pada tempat dan waktu yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 dan penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi setiap kesalahan.

Abdullah dalam rayuannya meminta Hakim Syarie Abu Kasim Pilus mengurangkan wang jaminannya kerana perlu menyara persekolahan tiga anaknya, selepas Timbalan Pendakwa Raya Syarie Shamsul Kamal Kamarudin memohon mahkamah mengenakan jaminan RM500 bagi setiap pertuduhan.

Abu Kasim kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 2 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. Dia membayar wang jaminan itu.

Pada 27 September lepas, pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Pahang menahan Abdullah selepas menerima aduan daripada orang awam yang mengesyaki tertuduh mengamalkan ajaran Syiah termasuk menyimpan barangan seperti buku dan tasbih yang menjurus kepada fahaman itu. – Bernama,

Jais ikut SOP ketika serbuan, Selangor akan wujud dialog antara agama

Posted: 07 Jan 2014 07:14 AM PST

Oleh Mohd Farhan Darwis

Salehin Mukhyi menjawab soalan pemberita berhubung serbuan Jais di pejabat PBM minggu lalu pada sidang media hari ini. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 7 Januari, 2014.Salehin Mukhyi menjawab soalan pemberita berhubung serbuan Jais di pejabat PBM minggu lalu pada sidang media hari ini. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli,



























Serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadap Persatuan Bible Malaysia (PBM) minggu lalu adalah berlandaskan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) pihak berkuasa agama berkenaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Salehin Mukhyi.

Salehin pada sidang media bersama Paderi Lawrence Andrew di pejabatnya di Shah Alam berkata, pihaknya akan mengkaji dan memperkemaskan semula SOP Jais dengan mengkehendaki badan penguatkuasa agama berkenaan memaklumkan kepada exco terlebih dahulu berhubung isu antara agama.

"Jais ikut SOP sedia ada. Buat masa sekarang, tindakan Jais itu betul. Serbuan yang dilakukan Jais adalah berdasarkan aduan orang ramai," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabak itu berkata, titah Sultan Selangor berkenaan larangan penggunaan perkataan Allah oleh kumpulan penganut agama bukan Islam juga perlu dipatuhi.

"Tuanku sebagai ketua agama. Maka, sebarang tindakan berkaitan enakmen itu, maka ia terpakai dalam konteks negeri Selangor, kita ikut titah Sultan Selangor," katanya merujuk kepada Enakmen 1988 iaitu Agama Bukan Islam di Selangor (Kawalan Penyebaran Agama Kepada Orang Muslim) yang melarang penganut agama lain menggunakan 35 perkataan termasuk Allah, Nabi dan Injil.

Minggu lalu, Jais menyerbu premis PBM di Damansara dan merampas 300 kitab Bible versi Bahasa Melayu dan Iban.

Salehin berkata, kitab Bible yang dirampas Jais itu turut mengandungi cop Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Adun Klang, Charles Santiago yang turut hadir di sidang media berkenaan turut mempersoalkan tindakan Jais menyerbu premis PBM sedangkan mereka mempunyai pilihan dengan mengadakan "perbincangan halus."

"Isu yang kita bangkitkan apa SOP Jais. Ini bukan kali pertama. Jais perlu bertanggungjawab. Cara menyiasat mesti halus. Serbuan itu salah," katanya.

Salehin berkata, pihaknya akan mendapatkan penjelasan daripada KDN berhubung kebenaran mengimport Bible berbahasa Melayu dan Indonesia ke Semenanjung Malaysia.

"Saya akan minta menteri memperjelas keputusan jemaah menteri untuk membenarkan import Bible dalam bahasa Melayu.

"Sejauh mana menteri beri kefahaman kepada negeri dan sejauh mana ia bertentangan dengan enakmen di negeri-negeri," katanya.

Sementara itu, Lawrence tetap dengan pendiriannya gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka.

"Kenyataan saya adalah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan. Setiap agama boleh melakukan upacara keagamaan mereka. Saya tidak boleh beritahu Islam, Buddha, Hindu, apa perlu mereka buat.

"Kami mahu dialog. Mari bina jambatan dan jadi seperti adik dan abang," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut terhadap kritikan dan kecaman beberapa pihak terhadap dirinya ekoran kenyataan tersebut.

Hujung minggu lalu, sekumpulan pertubuhan badan bukan kerajaan menganjurkan demonstrasi terhadap Lawrence dan menuntut permohonan maaf pengarang akhbar mingguan Herald itu.

Marina: Perkasa banyak mengarut

Posted: 07 Jan 2014 07:02 AM PST


Marina Mahathir  
Marina Mahathir


KUALA LUMPUR - Walau dikecam pelbagai pihak, termasuk dari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir mengambil pendekatan enggan layan.

Menurut Marina, beliau tidak akan membuang masa membalas komen yang dilemparkan terhadapnya ekoran hadir menyokong perhimpunan penganut Kristian di Gereja Our Lady of Lourdes di Klang, Ahad lalu.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai Perkasa kerana mereka banyak bercakap mengenai perkara mengarut," katanya dipetik sebuah portal, semalam.

Marina yang juga Ahli Lembaga Pengarah Sister in Islam (SiS) berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pertama Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Terdahulu, Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris mempersoalkan tindakan Marina menghadiri perhimpunan menyokong penganut Kristian tersebut.

Menurut Irwan Fahmi, Marina sengaja mahu mencetuskan kontroversi dan mencari publisiti murahan ketika isu berkaitan penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam hangat diperdebatkan.

Kes saman fitnah RM10 juta Anwar selesai

Posted: 07 Jan 2014 07:00 AM PST

SINAR HARIAN

Datuk Seri Anwar Ibrahim 
 Datuk Seri Anwar Ibrahim


KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah RM10 juta Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Dr Chandra Muzaffar selesai selepas presiden International Movement for Just World (JUST) itu menarik balik perkataan-perkataan berunsur fitnah berhubung artikel yang diterbitkan pada 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad merekodkan persetujuan itu selepas peguam N.Surendran, yang mewakili Anwar memaklumkan kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan bersama untuk menyelesaikan kes itu.

Peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, yang mewakili Dr Chandra memberitahu mahkamah, anak guamnya bersetuju menarik balik keseluruhan perkataan-perkataan berunsur fitnah yang dinyatakan dalam artikel itu.

Bagaimanapun, tiada sebarang kos dan ganti rugi ditetapkan mahkamah.

Dalam saman yang difailkan pada 6 Mac 2008, Anwar mendakwa Dr Chandra mengeluarkan komen-komen berunsur fitnah terhadapnya melalui forum dianjurkan Star Publication (M) Bhd, di Menara Star, Petaling Jaya, pada 3 Mac 2008.
  
Dalam pernyataan tuntutan itu, Anwar mendakwa komen itu diterbitkan akhbar The Star melalui artikel bertajuk 'Disaster if Anwar is PM' dan 'Chandra breaks silence on Anwar' yang diterbitkan akhbar The New Straits Times pada 5 Mac 2008.

Dr Chandra dalam pembelaannya menafikan mengeluarkan komen jahat, palsu atau memfitnah Anwar dan berkata ia disiarkan dengan perlindungan bersyarat.
  
Anwar, yang ditemani isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Dr Chandra hadir pada prosiding hari ini. - Bernama

Umno Cheras kesal tindakan Marina

Posted: 07 Jan 2014 06:58 AM PST


Syed Mehdhar Syed Abdullah  
Syed Mehdhar Syed Abdullah


SHAH ALAM – Umno Cheras melahirkan kekesalan atas tindakan aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir ekoran kehadirannya berhimpun bagi menunjukkan solidariti terhadap penganut Kristian di pekarangan Gereja Our Lady of Lourdes, Klang, Ahad lalu.

Sebuah portal melaporkan, Marina selain membawa sejambak bunga turut mempertahankan penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald meski pun pihak berkuasa agama dan mahkamah menghalang tindakan tersebut.

Menurut Setiausaha Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah, Marina tidak sepatutnya berbuat demikian memandangkan kedudukan beliau selaku anak kepada bekas Perdana Menteri.

"Tindakan Marina berbuat demikian dikhuatiri akan merosakkan nama baik dan kredibiliti bapanya selaku negarawan dan ikon kepada pembangunan negara dan rakyat.

"Umno Bahagian Cheras amat kesal dengan tindakan Marina memihak kepada penganut agama Kristian ketika mana sebilangan umat Islam berhimpun  di beberapa lokasi membantah penggunaan nama ALLAH," katanya yang dipetik dari blog Umno Cheras.

Sebelum ini, Marina membantah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang merampas kira-kira 300 Bible versi bahasa Melayu dan iban di Persatuan Bible Malaysia.

Mengulas lanjut, Syed Mehdhar berkata, anak bekas Perdana Menteri itu tidak sewajarnya berbuat demikian kerana dikhuatiri boleh menimbulkan persepsi buruk orang Islam terhadap beliau.

"Umno Bahagian Cheras bagaimanapun berharap isu Marina di gereja berkenaan tidak dimanipulasikan pihak tertentu untuk memburuk-burukkan nama baik Tun Mahathir," ujarnya.

"Marina melakukannya atas sifat peribadi, maka menjadi tanggungjawab beliau untuk berdepan dengan kemarahan umat Islam  di negara ini," katanya.

Johan Raja Lawak menang saman RM1j

Posted: 07 Jan 2014 06:53 AM PST

SINAR HARIAN


johan


KUALA LUMPUR - Johan Raja Lawak atau nama sebenarnya Mohammad Yazid Lim Mohamad Aziz dan isterinya hari ini menang dalam kes saman terhadap pengarah dan syarikat penerbitan drama dan filem berhubung kecederaan yang dialami pelawak itu dalam penggambaran di sekitar Negeri Sembilan.
  
Hakim Datuk Su Geok Yiam membuat keputusan membenarkan tuntutan saman Johan dan isterinya, Rozlinawaty Ismail dengan kos ditanggung oleh Mohd Javed Mohd Nizar dan syarikat penerbitan, Juara Filem Production Sdn Bhd selaku defendan.
  
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 23 Januari ini untuk menentukan jumlah ganti rugi dan kos yang akan diperoleh pasangan itu.
  
Mahkamah juga menolak tuntutan balas RM2 juta yang difailkan Mohd Javed, 37, dan syarikat penerbitan tersebut.
  
Pada 18 Julai 2010, Johan, 29, dan isterinya yang lebih dikenali sebagai Ozlynn Wati, 32, selaku plaintif memfailkan saman RM1 juta terhadap kedua-dua defendan dengan mendakwa Mohd Javed telah mengasari dan membaling gelas kaca sehingga menyebabkan Johan mengalami kecederaan di dahi kirinya ketika mereka berjumpa di sebuah restoran di Sikamat, Seremban pada pada 11 Mei 2010.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Johan mendakwa Mohd Javed juga bertindak menterbalikkan meja di hadapannya dan isteri di mana Johan turut mengalami kecederaan pada bahagian bawah mata kanan akibat ditumbuk seorang krew penggambaran yang dikenali sebagai 'Halim'.
  
Johan, juga pelakon dan pengacara mendakwa Mohd Javed dan Halim kemudiannya terus memukul dan menyepaknya dan perbuatan mereka telah dihalang Ozlynn yang menyebabkan isterinya itu turut dipukul.
  
Beliau juga mendakwa pengarah itu telah menulis dan menyiarkan e-mel berunsur fitnah terhadap mereka berhubung masalah yang ditimbulkan hingga mengganggu set penggambaran dan e-mel itu dihantar kepada Persatuan Seniman Malaysia pada 20 Mei 2010.
  
Pelawak itu mendakwa kata-kata yang disiarkan dalam email itu membawa maksud bahawa beliau tidak sesuai diambil bekerja sebagai pelakon kerana selalu lambat, tidak bekerjasama dan sering menimbulkan masalah kepada mana-mana pengarah hingga menyebabkan beliau dan isterinya diberhentikan sebagai pelakon dalam drama arahan pengarah itu.
  
Johan mendakwa, sehari sebelum kejadian itu (10 Mei 2010), beliau kehilangan ibu tersayang, Salwa Md Dani yang meninggal dunia akibat ketumbuhan otak dan selepas urusan pengebumian ibunya selesai di Ampang, Selangor, beliau dan isteri memutuskan untuk pergi ke lokasi penggambaran di sekitar Sikamat dan mereka tiba di lokasi penggambaran itu pada jam 4 petang, keesokannya.
  
Sehubungan dengan itu, kedua-dua plaintif menuntut ganti rugi am sebanyak RM1 juta, ganti rugi khas untuk perbelanjaan dan kos rawatan serta ganti rugi teruk.
  
Mereka juga memohon kenyataan maaf dikeluarkan secara terbuka oleh kedua-dua defendan menerusi akhbar dan televisyen tempatan, penarikan balik kesemua surat atau e-mel berbentuk fitnah yang dikeluarkan kepada kesemua persatuan industri, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
  
Pasangan itu diwakili peguam Suhaimi Saad dan Zahrin Ishak manakala kedua-dua defendan diwakili peguam Baljit Singh. - Bernama

Pekerja bank tak dibenarkan solat

Posted: 07 Jan 2014 06:49 AM PST


Logo National Union of Bank Employees (NUBE)  
Logo National Union of Bank Employees (NUBE)


SHAH ALAM - Sebuah bank komersial tempatan didakwa menafikan hak pekerjanya yang beragama Islam untuk mengerjakan solat di surau bank berkenaan sejak November tahun lalu.

Timbalan Presiden Kesatuan Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE), Abdul Jamil Jalaludeen berkata, pihaknya kesal ekoran tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa dalam menangani isu tersebut.

"Bank berkenaan menafikan hak pekerja Muslim untuk menunaikan solat sejak November. Pekerja ini kemudiannya dipecat apabila mereka memohon untuk menolak keputusan bank yang mahu memisahkan mereka daripada keluarga selepas mengeluarkan arahan penempatan semula.

"Pegawai Muslim di Kementerian Sumber Manusia, pihak berkuasa dan Umno gagal untuk melindungi kedaulatan Islam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, soal kalimah ALLAH mendapat pembelaan sehingga beberapa badan bukan kerajaan dan Umno membuat bantahan namun tiada reaksi diberikan ke atas isu penafian hak pekerja itu.

"Kami terkejut Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) malah badan bukan kerajaan termasuk Umno turut mengadakan bantahan di sekitar gereja.

"Tapi mereka gagal bertindak ke atas bank tersebut. Adakah bank berkenaan mengatasi undang-undang dan kedaulatan Islam?," katanya.

Fatwa Songsang Bughah: Lagi Laporan Polis Terhadap Harussani

Posted: 07 Jan 2014 06:44 AM PST


KELAB GREENBOC


Seremban: Isu bughah yang dicetuskan oleh Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terus dikecam apabila PAS Seremban hari ini membuat laporan polis ke atas beliau.

PAS Seremban menyifatkan kenyataan itu sebagai satu hasutan membunuh. Laporan polis di buat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Seremban.

Yang DiPertua PAS Seremban, MK Ibrahim Abdul Rahman berkata merujuk kepada kenyataan Harussani di dalam akhbar Berita Harian pada 02 Januari iaitu 'Kerajaan usah berlembut' dan kemudiannya kenyataan beliau di dalam akhbar Sinar Harian bertarikh 05 Januari iaitu 'Saya tetap dengan kenyataan' merupakan satu kenyataan yang menggugat keselamatan awam.

"Kenyataan Harussani dalam Berita Harian pada 02 Januari iaitu '…dihalalkan darah golongan bughah' adalah satu hasutan membunuh.

"Beliau yang berjawatan Mufti Negeri Perak boleh menyebabkan masyarakat menyalah tafsir dengan menyatakan kenyataan tersebut adalah fatwa.

Ianya juga boleh memberi kesan negatif kepada rakyat negara ini untuk melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah serta ketegangan orang ramai.

"Sedangkan tidak ada didalam mana-mana peruntukkan undang-undang boleh mengambil nyawa seseorang seperti itu.

"Tambahan pula, perhimpunan TURUN tersebut adalah perhimpunan aman dan mana-mana perhimpunan aman adalah dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

"Justeru itu saya memohon satu siasatan terperinci dapat dilakukan oleh pihak polis demi kepentingan awam, kata MK Ibrahim.

MK Ibrahim yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan berkata golongan yang dilabelkan sebagai bughah adalah golongan penderhaka yang mengistiharkan perang ke atas Yang DiPertuan Agong atau mengistiharkan perang ke atas negara Malaysia contohnya.

"Yang tak puas hati dengan kerajaan adalah perkara biasa yang berlaku di mana-mana negara. Kita protes kerana bantah kenaikan harga barang, elektrik, minyak dan sebagainya. Tak kan lah kita tak boleh nyatakan rasa tidak puas hati kita pada kerajaan dengan cara aman?

Turut hadir Timbalan Yang DiPertua PAS Seremban, Zakaria Sheikh Othman dan Ketua Pemuda PAS Seremban, Abu Zarin Abdul Rahman. -FMT


Bimbang 'darah ditumpahkan', peserta Turun buat laporan polis


Seorang peserta Himpunan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) di Dataran Merdeka, 31 Disember lalu, membuat laporan polis semalam berikutan bimbang dengan ancaman "darah mereka halal".

Laporan polis itu dibuat berikutan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mendakwa peserta himpunan pada malam 31 Disember lalu adalah 'bughah' dan halal darah mereka.

Peserta terbabit membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 3.00 petang semalam bersama Dewan Pemuda PAS Perak yang diketuai oleh Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss bersama Penolong Setiausahanya, Ustaz Hafez Sabri.

Khamisah Abdul Hamid, 55, berkata kenyataan Harussani itu mengancam keselamatan keseluruhan ahli keluarganya yang menyertai himpunan itu.

Beliau berkata, ramai yang mengetahui penyertaan mereka memandangkan tersiar gambar mereka di himpunan itu di akhbar.

"Kami sekeluarga rasa diancam dengan kenyataan Mufti Perak itu dan terpaksa melalui kehidupan yang tidak tenteram selepas fatwa itu dikeluarkan.

"Darah kami dianggap halal untuk dibunuh, ia adalah satu kenyataan yang menggalakkan berlakunya keganasan termasuk pembunuhan," katanya sebagaimana yang dipetik oleh Harakahdaily.

Sementara itu, Dr Raja Iskandar berkata, fatwa songsang yang dikeluarkan oleh Harussani sangat tidak bertanggungjawab, merbahaya dan melanggar kepentingan awam.

Katanya, ia mengundang berlakunya hasutan yang mendorong kepada terjadinya keganasan dan pembunuhan kerana mengeluarkan kenyataan darah peserta himpunan itu adalah halal.

"Beliau yang berjawatan Mufti Perak boleh menyebabkan masyarakat salah tafsir dengan menyatakan kenyataan tersebut adalah fatwa.

"Ia juga boleh memberi kesan negatif kepada rakyat untuk melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah serta ketegangan orang ramai sedangkan tidak ada dalam mana-mana peruntukan undang-undang boleh mengambil nyawa seseorang seperti itu," katanya.

Beliau berkata, polis diharap dapat membuat satu siasatan yang terperinci berhubung kenyataan itu demi kepentingan awam kerana ia berunsur hasutan ke arah melakukan keganasan.

Sebelum ini, pelbadai pihak mengecam kenyataan Mufti Perak itu termasuk membuat khutbah mengenainya ketika solat Jumaat minggu lalu.

Dewan Ulama PAS melalui Ketua Penerangannya, Dr Kahirudin Aman Razali juga mempertikaikan kenyataan itu.

"Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan bahaya apabila darah demonstrator ini diisytiharkan sebagai darah halal.

"Ia merupakan kenyataan yang sangat berbahaya yang boleh membawa huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat," kata Khairudin.

Turut membantah kenyataan itu adalah bekas Mufti Perlis, Dr Mohamad Asri Zainal Abidin
-TMI

Fitnah, Itu Saja Yang Mampu Dilakukan Oleh UMNO Sekarang Ini

Posted: 07 Jan 2014 06:42 AM PST


Speaker terima ugutan bunuh

KELAB GREENBOC
 
 
SUBANG JAYA – Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh Tseow Suan mendakwa beliau menerima ugutan bunuh berhubung fitnah berkenaan satu kenyataan yang kini tersebar luas di laman sosial.

Sambil menafikan beliau pernah mengeluarkan kenyataan 'duduk bersila baik untuk wanita sedang hamil', Hannah berkata, beliau juga terkejut menerima gambar itu daripada beberapa rakan di laman sosial Facebook.

"Ramai rakan saya bertanya sama ada saya pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya terkejut nampak gambar saya dikaitkan dengan gambar perempuan mengandung dalam LRT sedangkan saya memang tidak pernah menyentuh isu tersebut," katanya.

Gambar yang tersebar itu memaparkan wajahnya dan terdapat satu lagi gambar seorang wanita mengandung sedang duduk bersila di lantai dipercayai dalam tren transit aliran ringan (LRT).

Ramai yang menghubunginya memaklumkan tidak mempercayai kesahihan kenyataan dalam gambar terbabit yang dipercayai untuk mewujudkan sentimen perkauman.

Beliau juga mendakwa kesal dengan keadaan politik semasa yang membolehkan sesiapa membuat fitnah pada bila-bila masa.

Katanya, beliau pernah hamil dan tahu bahawa ketika mengandung memang sukar duduk bersila dan tidak mungkin beliau akan mengeluarkan kata-kata seperti itu.

"Perkara itu memang sukar hendak dikawal dan dihentikan, jadi saya minta orang ramai lebih berhati-hati membaca apa jua yang dipaparkan di media sosial," katanya.

Hannah menambah, beliau kini sedang mengenal pasti pihak yang melakukan perkara itu dan tidak teragak-agak mengambil tindakan mahkamah berhubung fitnah yang dikaitkan dengan dirinya.

Setakat semalam, beliau mendapat tahu ia ada disebarkan di beberapa laman sosial dan sebuah blog.

Berhubung ugutan bunuh pula, Hannah berkata, beliau akan membuat laporan polis untuk keselamatan diri.

"Bahaya orang yang main isu perkauman, disebabkan fitnah ada pula yang ugut hendak bunuh saya," katanya. -SH

Exco Pulau Pinang tuntut Utusan minta maaf atau disaman


Exco kerajaan negeri Pulau Pinang mengancam mahu menyaman akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, berikutan satu pertuduhan mendakwa beliau berlaku kasar di pejabatnya dekat Butterworth bulan lalu.

Pada 22 Disember lepas, akhbar tersebut menyiarkan berita bertajuk "Lelaki dakwa dipukul wakil rakyat DAP" dan lelaki itu dipercayai G. Paradase, 36, yang dipukul oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Utiliti, Kerja Raya Pulau Pinang Lim Hock Seng.

Laporan itu mendedahkan, Paradase pergi berjumpa Lim di pejabatnya di Jalan Raja Uda kira-kira jam 9.20 malam bagi meminta kebenaran mengadakan Pesta Ponggal.

Lelaki itu mendakwa beliau menunggu Lim selama dua jam yang kemudian ditengking, dipukul dan dihalau dari pejabat tersebut, lapor Utusan.

Sedih dengan insiden itu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Mak Mandin pada jam 10.30 malam.

"Semasa insiden itu, saya sedang bertemu dengan seseorang dan memintanya tunggu di luar. Saya tidak menengking atau memukulnya," kata Lim dalam satu sidang media di Pulau Pinang hari ini.

Exco Perumahan negeri Jagdeep Singh Deo, yang merupakan peguam terlatih berkata satu surat tunjuk sebab telah dikeluarkan kepada pengarang dan akhbar Utusan Malaysia (M) Bhd di Kuala Lumpur hari ini bagi meminta laporan itu ditarik balik dan permohonan maaf di muka hadapan.


Beliau berkata laporan tersebut telah menyebabkan Lim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Jermal dicemuh, dihina dan dan dimalukan di khalayak ramai..

"Pertuduhan itu tidak benar, salah dan fitnah. Lim tidak pernah menengking atau memukul pengadu seperti dalam laporan itu," katanya yang membaca surat tunjuk sebab di sidang media berkenaan.

Katanya, disebabkan dakwaan itu tidak benar, Utusan diminta menarik semula laporan itu tanpa syarat dan membuat permohonan maaf dalam tempoh seminggu serta membayar pampasan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

"Permohonan maaf dan penarikan laporan itu perlu dicetak di muka hadapam akhbar. Gagal berbuat demikian, peguam kami akan memulakan proses guaman tanpa merujuk terlebih dahulu kepada Utusan," katanya.
-TMI

ULASAN GB

FITNAH - itu saja yang mampu dilakukan oleh golongan UMNO ketika ini. Tetapi hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan - si pemfitnah akan terus terhgumban ke lembah kehinaan dan menerima balasan paling dasyat di dunia dan di akhirat.

Teruskan budaya memfitnah kamu, kemudian tunggu dan lihat apa yang bakal terjadi. Semakin banyak fitnah dilakukan semakin cepatlah UMNO dikuburkan. Allah tidak pernah berdusta, begitulah hukumNya.

Halal darah: Pemuda PAS Kelantan lapor polis

Posted: 06 Jan 2014 04:25 PM PST



 Salmah Mat Husain


KOTA BHARU: Pemuda PAS Kelantan turut membuat laporan polis ke atas kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan peserta Himpunan Turun 31 Disember 2013 lepas sebagai 'bughah' dan halal darah mereka.

Laporan polis tersebut dibuat serentak di seluruh negeri Kelantan oleh semua Dewan-Dewan Pemuda PAS Kawasan di negeri itu petang semalam.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli  Shaari, ketika ditemui berkata, laporan polis itu dibuat bertujuan memohon polis menyiasat dakwaan Mufti Perak itu yang disifatkan boleh menyebabkan huru-hara dan menghasut.

Bahkan katanya, jika dibiarkan tidak mustahil fatwa 'halal darah' yang dikeluarkan itu akan digunakan oleh pihak tertentu untuk mencetuskan kejadian yang tidak diingini.

"Hari ini sahaja, 6 kawasan di seluruh negeri Kelantan membuat laporan polis iaitu Pasir Mas, Rantau Panjang, Kuala Krai, Machang, Kota Bharu dan Pengkalan Chepa.

"Laporan polis ini dibuat di kawasan masing-masing. manakala selebihnya akan membuat laporan hari ini, katanya  ketika mengetuai rombongan Dewan Pemuda PAS Kawasan Pasir Mas dan Dewan Pemuda PAS Kawasan Rantau Panjang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas semalam.

Beliau berharap, dengan laporan polis yang dibuat di seluruh negeri itu, pihak keselamatan mengambil serius dan melakukan siasatan segera.

Katanya, sebarang kelewatan di dalam menyelesaikan siasatan itu akan menyebabkan rakyat beranggapan fatwa 'halal darah' itu diterima dan tidak merupakan satu kesalahan.

"Ianya juga akan mengelirukan rakyat berhubung perkara itu," ujarnya lagi.

Bughah: Peserta Turun rasa terancam, buat laporan polis

Posted: 06 Jan 2014 04:15 PM PST



 MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR


IPOH: Seorang peserta Himpunan Turun hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mendakwa peserta himpunan pada malam 31 Disember lalu adalah 'bughah' dan halal darah mereka.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini kira-kira pukul 3.00 petang bersama Dewan Pemuda PAS Perak yang diketuai oleh Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss bersama Penolong Setiausahanya, Ustaz Hafez Sabri.

Khamisah Abdul Hamid, 55, berkata, kenyataan Harussani itu telah mengancam keselamatan keseluruhan ahli keluarganya yang menyertai himpunan itu.

Menurutnya, ramai yang mengetahui akan kehadiran mereka memandangkan tersiar gambar mereka di himpunan itu di dada-dada akhbar.

"Kami sekeluarga rasa diancam dengan kenyataan Mufti Perak itu, kami terpaksa melalui kehidupan yang tidak tenteram selepas fatwa itu dikeluarkan.

"Darah kami dianggap halal untuk dibunuh, ianya adalah satu kenyataan yang menggalakkan berlakunya keganasan termasuklah pembunuhan," katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Dalam pada itu, Dr Raja Iskandar ketika ditemui berkata, fatwa songsang yang dikeluarkan oleh Harussani sangat tidak bertanggungjawab, merbahaya dan telah melanggar kepentingan awam.

Menurutnya, ianya mengundang kepada berlakunya hasutan yang mendorong kepada terjadinya keganasan hatta pembunuhan oleh kerana kenyataannya bahawasanya darah peserta himpunan itu adalah halal.

"Beliau yang berjawatan Mufti negeri Perak boleh menyebabkan masyarakat boleh salah tafsir dengan menyatakan kenyataan tersebut adalah fatwa.

"Ianya juga boleh memberi kesan negatif kepada rakyat negara ini untuk melakukan pembunuhan dan pertumpahan darah serta ketegangan orang ramai sedangkan tidak ada didalam mana-mana peruntukan undang undang boleh mengambil nyawa seseorang seperti itu," katanya.

Tegas beliau, pihak polis diharap dapat membuat satu siasatan yang terperinci tentang kenyataan itu demi kepentingan awam kerana ianya berunsur hasutan ke arah melakukan keganasan.

Petugas PAS usung rumah ahli Umno dihanyut banjir

Posted: 06 Jan 2014 04:14 PM PST



KHAIRIL ABDUL RAHIM 


KUANTAN: Bagi merealisasikan tema 'Rahmat Untuk Semua' berlainan anutan parti politik tidak menghalang PAS Kawasan Paya Besar melaksanakan kebajikan dengan bergotong-royong mengusung rumah hanyut akibat banjir besar yang bermula 3 Disember lalu.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Mohd Tarmizi Yahaya, dalam gotong-royong tersebut PAS kawasan bersama 120 orang daripada Unit Amal, ahli PAS cawangan dan penduduk kampung berjaya mengalihkan semula rumah milik seorang ahli Umno di Kampung Bukit Rangin di sini.

Katanya, rumah tersebut hanyut daripada tapak asal sejauh kira-kira 15 meter akibat banjir paling buruk yang melanda ibu negeri Pahang ini bulan lalu dan tersadai di tanah jiran sebelahnya.

"Alhamdulillah, hari ini (semalam) hanya dalam tempoh dua jam kami telah berjaya mengembalikan semula rumah hanyut itu ke tapak asal dengan kerjasama semua.

"Kami membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira parti, mana-mana pihak yang  memerlukan bantuan, kami sedia membantu sejak awal-awal banjir lagi," katanya.

Menurut Tarmizi, daerah Kuantan dilanda bencana banjir paling buruk dalam sejarah sehingga hampir 30,000 penduduk terpaksa dipindahkan  ke pusat pemindahan banjir.

Tambahnya, Kampung Bukit Rangin antara yang paling teruk terjejas kerana berada tidak jauh dari Sungai Kuantan.

Mohd Tarmizi berkata, sejak awal banjir atas inisiatif Unit Amal PAS Kawasan Paya Besar telah turun membantu seperti menyelamatkan nyawa dengan memindahkan mangsa, mengagihkan makanan kepada yang terputus hubungan hinggalah kepada banjir surut dengan bergotong-royong pula mencuci rumah mangsa dan memberi bantuan persekolahan.

"Ini ujian Allah kepada kita, tetapi dari sudut positif, kita dapat mengeratkan hubungan serta menjalin kerjasama antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, pemilik rumah yang hanyut, Wan Badrol Shah, 25, berkata, kejadian banjir penghujung tahun lepas merupakan yang terburuk pernah berlaku di kampung tersebut yang menyebabkan kebanyakan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

"Akibat arus deras, rumah milik keluarga saya hanyut, dan kami masih bersyukur kerana ia tidak dihanyutkan jauh.

"Sekurang-kurangnya ada harapan untuk kami membaiki dan berjayanya 'meletakkan' rumah ini ke tapak asalnya," katanya. 

Kos sara hidup naik, ulama harus santuni resah rakyat

Posted: 06 Jan 2014 04:11 PM PST

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berpendapat bahawa adalah sangat penting para ulama berperanan menjernihkan keadaan ketika umat menghadapi kemusykilan isu kenaikan kos sara hidup dan pelbagai kemelut hidup akibat kepincangan urustadbir pemerintah.

"Di kala umat sangat mengharapkan kefahaman dan keprihatinan dari pemerintah dan apabila umat hilang arah untuk menyalurkan aduan agar masalah mereka didengari, ulama adalah tempat umat mengharap dan mengadu," ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Katanya, rakyat mengharapkan ulama menegur umara supaya tidak terus mengenepikan keresahan rakyat.

Beliau berkata, untuk mendakwa penyaluran maklumat mengenai isu kos sara hidup kepada Perdana Menteri tidak diusahakan adalah tidak tepat.

Katanya lagi, suara rakyat, termasuk ahli akedmik dan pemimpin politik dari dalam dan luar kerajaan yang dikumpul dan disiar dalam media sepatutnya sudah cukup untuk PM memberi respons yang wajar terhadap keresahan rakyat.

Tambahnya, tidak timbul isu mahu menggulingkan kerajaan kerana rakyat hanya menuntut agar kos sara hidupkan diturunkan.

Menurut Azmi, sudah banyak pengajaran dari negara-negara di seluruh dunia apabila rakyat bangkit kerana pemerintah tidak telus dalam membuat keputusan dan akhirnya menambah beban rakyat.

Lagipun, ujar beliau perkataan mengguling kerajaan telahpun dinafikan oleh pihak yang penganjur perhimpunan dan siasatan telahpun dijalankan oleh pihak polis.

"Ternyata yang menjadi arahan polis ialah perhimpunan haram tidak boleh diadakan bukan soal hendak menggulingkan kerajaan.

"Jika tuduhan niat asal untuk menggulingkan kerajaan masih diungkit maka ia hanya persepsi yang perlu dibuktikan," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, perhimpunan Turun yang diadakan oleh pihak penganjur jelas bermakna mendesak pihak kerajaan menurunkan kos sara hidup bukan menggulingkan kerajaan.

Tegasnya, pilihan menubuh atau menukar kerajaan melalui pendekatan demokrasi masih menjadi pilihan rakyat.

"Rakyat sudah biasa dengan terlibat beramai-ramai dalam perhimpunan yang tidak dibenar oleh pihak keselamatan namun tidak berlaku usaha penggulingan kerajaan seperti yang diwar-warkan.

"Kerap ditegaskan bahawa perhimpunan yang hendak diadakan adalah perhimpunan aman," ujarnya.

Namun, kata beliau jika ada pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk melakukan provokasi ganas dengan bertindak liar atau membawa senjata maka ia harus disiasat dan bukan terus didakwa ia bukti pihak penganjur mahu melakukan kekerasan.

Oleh yang demikian, kata Mohd Azmi adalah tidak wajar ulama bersikap simplistik dengan membuat rumusan dari maklumat yang tidak tepat dengan hanya bersandar kepada media lalu mengeluarkan pandangan yang boleh mengelirukan umat dan menegangkan suasana.

"Kami sangat mengharapkan ulama dan pemimpin politik menyantuni resah rakyat agar penyelesaian yang lebih bermakna dapat dicapai dan supaya mengelakkan emosi saling mencabar dan menuding berterusan," katanya lagi.

ADUN DAP pertahan cadangan pinda enakmen S'gor

Posted: 06 Jan 2014 04:08 PM PST

MALAYSIAKINI




 Seorang daripada tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), yang dikecam pelbagai NGO, termasuk ketua pembangkang kerana mencadangkan Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 di Selangor dipinda, tetap mempertahankan pendiriannya.



ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin (kiri) berkata, perkara itu pandangan peribadi mereka, ekoran serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Persatuan Bible Malaysia (BSM).

"Ia pandangan peribadi kami dengan harapan menyelesaikan perkara ini supaya undang-undang selaras, dan ia bukan pandangan Pakatan Rakyat.

"Kami tidak berunding dengan pemimpin lain Pakatan sebelum mengeluarkan kenyataan," katanya kepada Malaysiakini.

"Saya pertahankan kenyataan dan pendirian kerana kami bekerja sebagai satu pasukan, tetapi tetap menghormati pandangan yang menentang cadangan sebegitu."

Pada Jumaat, Yeo bersama ADUN Kampung Tunku Lau Weng San dan ADUN Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan enakmen itu dipinda supaya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: