DIALOG RAKYAT |
- MB: JAIS akan maklum Kerajaan Negeri tindakan pemeriksaan premis bukan Islam
- MB arah peguam jumpa Sin Chew Daily minta penjelasan dakwaan ‘letak jawatan’
- Kristian pedalaman Sabah tidak diperdaya masuk Islam, kata jabatan agama
- Jual babi: Guan Eng tuduh Umno mengapi-apikan isu perkauman
- Putrajaya mungkir janji, kata Majlis Gereja Malaysia
- Gelapkan gambar babi tindakan lucu KDN
- Inflasi berpunca dari pengurangan subsidi
- Harta Taib Mahmud lebih RM60 bilion, bila nak siasat?
- Kalah PRU 14 Adalah Baik Untuk UMNO
- Peningkatan Mendadak Kes Denggi Membimbangkan
- Bot bawa 18 penumpang karam, seorang masih hilang
- Telahan PR kerajaan punca barang naik adalah tepat
- Undi tidak percaya Najib, BN perlu fikirkan rakyat
- SPR: Kedudukan selamat, Tian Chua kekal MP
- Yayasan Diraja Sultan Mizan nafi anjur lawatan MB ke Antartika
- Harun Taib meninggal dunia
- Cuaca sejuk dijangka kembali normal
- RON 95 untuk golongan miskin, Ku Nan bankrap idea
- Kita bangga dengan Syeikh Ahmad Yassin, kenapa tidak dengan Ustaz Harun?
MB: JAIS akan maklum Kerajaan Negeri tindakan pemeriksaan premis bukan Islam Posted: 25 Jan 2014 03:38 AM PST Oleh: Mohd Ezli Mashut BANDAR TUN RAZAK : Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah menyatakan persetujuan bahawa sebarang tindakan pemeriksaan dalam pelaksanaan enakmen negeri itu terhadap premis bukan Islam akan merujuk kepada Kerajaan Selangor. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata ia adalah penting bagi memastikan tindakan itu tepat bagi memelihara perpaduan rakyat di negeri itu yang memerlukan penilaian daripada pelbagai aspek sebelum sebarang tindakan dilakukan JAIS. Katanya, Kerajaan Selangor tidak akan campurtangan dalam siasatan JAIS berhubung isu pemeriksaan terhadap pejabat Bible Society Malaysia (BSM) baru-baru ini. "Jika Kerajaan Negeri campur tangan maka ia adalah tidak wajar jadi kita akan harap siasatan itu dijalankan dengan cepat dan keadilan dapat dilaksanakan," kata Abdul Khalid. Beliau berkata demikian ketika ditemua media dalam program mengedarkan buah limau kepada peniaga dan orang ramai di pasar pagi Taman Alam Damai, Cheras sempena Tahun Baru Cina, di sini. Dalam program itu Abdul Khalid turut beramah mesra dengan masyarakat sekitar Bandar Tun Razak serta para peniaga di kawasan itu. Sebelum ini, Abdul Khalid menyeru JAIS supaya meneruskan siasatan secara profesional dengan mengambil kira sensitiviti penganut agama Kristian di negeri ini. Katanya, Kerajaan Negeri juga akan terus memainkan peranan dengan mengadakan perbincangan bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS bagi memastikan penguatkuasaan di masa akan datang dijalankan secara tertib dan bertanggungjawab. Pada masa sama, Kerajaan Negeri juga akan mengadakan perbincangan bersama ketua agama bukan Islam bagi memberi pemahaman mengenai Enakmen Kawalan Pengembangan Agama Bukan Islam 1988.EZY |
MB arah peguam jumpa Sin Chew Daily minta penjelasan dakwaan ‘letak jawatan’ Posted: 25 Jan 2014 03:36 AM PST Oleh : AFEEQA AFEERA KLANG : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah mengarahkan peguamnya untuk mengadakan pertemuan bersama akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily bagi mendapatkan penjelasan berhubung dakwaan beliau meletak jawatan yang dilapor akhbar itu baru-baru ini. Kata Abdul Khalid pertemuan yang akan berlangsung selepas sambutan Tahun Baru Cina itu adalah untuk menyelesaikan salah faham yang timbul berkenaan berita itu kerana ia mengelirukan rakyat. Katanya isu perletakan jawatan tidak timbul kerana beliau berada di Pulau Carey, Selangor bersama ahli Exco dan pegawai kanan negeri untuk sesi percambahan minda semasa berita itu ditimbulkan. "Spekulasi ini tidak baik dan kita minta penjelasan daripada Sin Chew bagaimana cerita itu boleh timbul kerana ia akan menyusahkan dan mengelirukan rakyat. "Minggu depan kita akan jumpa mereka supaya bila ada jawapan kita akan selidik," kata Abdul Khalid selepas menghadiri program Jom Shopping peringkat DUN Pelabuhan Klang di Giant Bukit Tinggi, di sini hari ini. Beliau berkata Kerajaan Negeri mengagihkan sebanyak 400 kupon bernilai RM100 setiap satu kepada 56 DUN untuk program Jom Shopping Tahun Baru Cina pada kali ini.EZY |
Kristian pedalaman Sabah tidak diperdaya masuk Islam, kata jabatan agama Posted: 25 Jan 2014 03:21 AM PST Penduduk tiga buah kampung di Pitas; Kampung Layung Maliau, Dowokon dan Sosop tidak dipaksa untuk memeluk Islam, menurut sumber Jabatan Agama Islam Sabah semalam. Enggan mendedahkan identitinya, sumber itu memberitahu Jabatan Agama Islam Sabah diminta penduduk kampung berkenaan membantu pihak yang berminat untuk memeluk Islam. "Pihak itu menyediakan semuanya termasuk penyertaan beberapa badan bukan kerajaan (NGO). Pegawai jabatan agama di sana hanya untuk tujuan pendaftaran dan pemelukan Islam," katanya. Menurut sumber itu, senarai 100 nama penduduk kampung bersama nombor kad pengenalan diserahkan terlebih dahulu kepada pejabat agama di Pitas untuk pemeriksaan. "Satu majlis kemudiannya diadakan bagi upacara pertukaran agama itu. Memandangkan ia melibatkan jumlah yang besar, kami memutuskan untuk mengadakannya di masjid semasa hari tahun baru," katanya. Beliau turut menafikan tuduhan penduduk kampung tidak diberitahu tentang pertukaran agama dan tujuan mereka ke sana. "Semasa penduduk kampung tiba, mereka diberikan taklimat tentang Islam dan sebab dibawa ke sana. Kami turut memberikan ceramah selama satu jam." Sumber itu berkata daripada 100 yang hadir, hanya 36 bersetuju untuk bertukar agama. "Jika mereka diperdaya, semuanya akan bertukar," katanya. Berhubung wang yang diberikan kepada penduduk kampung bernilai RM100 kepada dewasa dan RM50 kepada kanak-kanak, sumber itu berkata wang diberikan bukan sebagai ganjaran memeluk Islam. "Wang diberikan atas perjalanan mereka yang jauh dari kawasan pedalaman menghadiri majlis itu. Wang diberikan kepada 100 penduduk kampung yang hadir," katanya. Berhubung janji RM800 kepada penduduk kampung, katanya jabatan agama tidak menjanjikan sedemikian. "Kami tidak berurusan dengan wang. Kami bukan penganjur. Kami ke sana hanya membantu urusan pendaftaran," katanya. Berdasarkan laporan sebelumnya, masalah timbul setelah mualaf itu kembali ke kampung halaman mereka. "Media melaporkan ia satu helah. Laporan polis sudah dibuat kepada pihak yang membuat dakwaan demikian. Kami tidak akan mencampuri urusan itu," katanya. Pada masa ini, pendaftaran 36 mualaf itu sedang diproses. Pejabat Agama Pitas turut menulis satu surat memberi penjelasan berhubung insiden itu kepada jabatan agama negeri. "Kami tidak tahu apa yang berlaku selepas majlis itu atau apa yang telah dijanjikan kepada penduduk kampung. Namun mereka yang menghadiri majlis ke masjid tidak diperangkap. Tiada yang dipaksa atau sebagainya," katanya. The Malaysian Insider melaporkan baru-baru ini sekumpulan penduduk kampung diperdaya untuk memeluk Islam. Mereka mendakwa ada yang memberitahu seseorang dari Kuala Lumpur mahu memberi bantuan kewangan RM800. Apa yang diperlukan adalah memberikan nama dan nombor MyKad kepada pihak itu. Mereka kemudian diminta pergi ke pekan pada hari tahun baru untuk menerima bantuan. Keesokan harinya, 33 penduduk kampung meredah jalan berlumpur menuju ke bandar. Sesampainya di sana, mereka dikehendaki pergi ke masjid. Salah seorang daripada mereka mendakwa diminta menandatangani borang dan tiada yang menerangkan kandungan borang itu. Selepas urusan itu selesai, kumpulan itu diberikan sampul mengandungi RM100 dan RM50. Sumber Jabatan Agama Islam Sabah mendakwa kejadian kemasukan Islam secara beramai-ramai jarang berlaku dan biasanya ia dilakukan di pejabat agama. "Tiada masalah pertukaran agama sebelum ini. Ini kali pertama saya mendengar ada yang diperdaya," katanya |
Jual babi: Guan Eng tuduh Umno mengapi-apikan isu perkauman Posted: 25 Jan 2014 03:18 AM PST Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (gambar) menuduh Umno mengapi-apikan isu perkauman dalam isu kontroversi penjualan daging babi secara terbuka di negeri tersebut. Lim berkata penjualan daging babi di Lebuh Chulia, Jalan Kuantan, dan Jalan CY Choy telah berjalan sejak Barisan Nasional (BN) memerintah lagi bagi menyangkal tuduhan oleh Islamic Solidarity and Charity Organization (Isco) sebelum ini. "Penjualan babi secara terbuka berjalan sejak dahulu lagi ketika BN berkuasa dan tidak pernah jadi isu. "Lagipun, kawasan tersebut dihuni oleh penduduk majoriti bukan Islam sebanyak 90% dan bukannya majoriti kampung masyarakat Melayu," kata Lim dalam satu kenyataan bagi menjawab Isco. Lim juga mengecam Umno yang sengaja menjadikan isu tersebut berbaur perkauman dengan menuduh kerajaan negeri tidak mengambil tindakan ke atas peniaga daging babi tetapi peniaga Melayu pula ditindas. "Ia adalah salah dan rasis untuk Umno menyalahkan peniaga babi sahaja. "Polisi kerajaan negeri adalah pihak berkuasa tempatan boleh bertindak bila-bila masa ke atas penjaja haram tanpa mengira bangsa dan agama tanpa tertumpu kepada perniagaan tertentu sahaja," tegas Lim susulan Umno cuba mengalihkan isu sebenar menjadi isu perkauman. Lim kemudian menasihati Umno supaya belajar daripada parti Islam, PAS yang lebih menghormati hak bukan Muslim dan menjaga sensitiviti penganut agama lain tanpa perlu mencetuskan kebencian. "Malah di Kelantan dengan 95% majoriti penganut Islam, daging babi boleh dijual tanpa masalah atau bantahan. "Tiba masanya Umno belajar daripada PAS untuk menghormati hak dan sensitiviti bukan Islam," terangnya lagi. Isco sebelum ini mendakwa penjualan daging babi secara terbuka tidak menghormati sensitiviti umat Islam di Pulau Pinang. Kumpulan tersebut mendesak Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil tindakan ke atas peniaga dan menghentikan aktiviti penjualan daging babi tersebut secara terbuka. Setiausaha Agung DAP tersebut juga was-was dengan sikap kerajaan Umno-BN yang dilihat cuba menghalang amalan penganut bukan Islam dan bukan Melayu di Malaysia, terutamanya selepas penapisan gambar babi dalam International New York Times baru-baru ini. "Adakah langkah ini cuba meningkatkan tekanan sedia ada dengan menambah sekatan kepada penganut bukan Islam dan bukan Melayu? " soal Lim. Dalam pada itu, Lim juga menggesa semua rakyat di Pulau Pinang tidak termakan dengan hasutan dan api perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu bagi menjaga keharmonian yang sudah sedia terjalin sejak sekian lamanya di negeri tersebut. "Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan terikut-ikut dengan ekstremis ini dan hasutan perkauman oleh Umno ini. "Kami juga menggesa supaya orang ramai mengabaikan permintaan Umno tersebut demi menjaga keharmonian sesama kaum," katanya lagi. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk dari PKR Lee Khai Loon sebelum ini juga menjadi mangsa perkauman Umno gara-gara tarian parodi "flash mob" kangkung yang dianjurkannya. Para penyokong Umno yang berhimpun di depan pusat khidmat rakyatnya telah bersikap ganas selain menjulang sepanduk yang berunsurkan provakatif, memainkan isu rusuhan 13 Mei sambil melaungkan kenyataan rasis dan keagamaan. |
Putrajaya mungkir janji, kata Majlis Gereja Malaysia Posted: 25 Jan 2014 03:15 AM PST Majlis Gereja Malaysia (MGM) mendakwa Putrajaya memungkiri janji dalam penyelesaian 10 perkara apabila menegaskan kerajaan negeri boleh membelakangi janji yang dimenterai tersebut. Merujuk kepada kenyataan perdana menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak semalam, MGM menegaskan undang-undang negeri tidak bole melanggar polisi yang dicapai dalam penyelesaian 10 perkara. "Kristian di Malaysia mula melihat Putrajaya tidak konsisten dalam mematuhi janji yang dibuat kepada penganut ini," kata Setiausaha Agung MGM, Dr Hermen Shastri kepada The Malaysian Insider hari ini. Sambil melahirkan kekecewaan dengan pendirian Najib dalam isu berbangkit, Hermen berkata beban tanggungjawab berada di atas bahu Putrajaya untuk menguatkuasakan dasar yang mereka sendiri persetujui. Najib menegaskan sebelum ini penyelesaian 10 perkara membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Injil adalah sah di Sabah dan Sarawak, termasuk di negeri lain yang tidak melaran penggunaan kalimah tersebut di kalangan bukan Muslim. "Bagaimanapun, di seluruh negeri lain, penggunaan kalimah Allah bergantung kepada enakmen negeri tersebut, sebagai contoh di Selangor," kata Najib sebelum ini. Hermen berkata Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama dan terpulang kepada Putrajaya untuk melihat sama ada ia telah dipatuhi. "Kristian harus dibenarkan untuk mengamalkan agama mereka dengan aman," katanya lagi. 10 daripada 13 negeri di Malaysia memiliki enakmen menghalang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan beberapa perkataan Arab lain, pengecualian hanya di Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Kerajaan Barisan Nasional (BN) menguasai lapan daripada 10 negeri tersebut, sementara Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan ditadbir oleh Pakatan Rakyat (PR). Baru-baru ini, kemelut kalimah Allah dibangkitkan semula susulan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas premis Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara. Susulan kontroversi tersebut, pelbagai pihak termasuk peguam mengkritik tindakan tersebut yang disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Pada Oktober tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan larangan Kementerian Dalam Negeri ke atas akhbar Katolik Herald daripada menerbitkan menggunakan perkataan Allah dalam edisi Bahasa Malaysia. Sepuluh peratus daripada 29 juta penduduk Malaysia adalah orang Kristian. Hampir dua pertiga daripada mereka adalah Bumiputera dan sebahagian besarnya tinggal di Sabah dan Sarawak, di mana mereka secara rutin menggunakan bahasa Melayu dan bahasa-bahasa asli dalam amalan agama mereka, termasuk menggambarkan Tuhan sebagai "Allah" dalam sembahyang dan kitab mereka. Selain orang-orang Kristian Bumiputera dari Malaysia Timur, sesetengah daripada mereka telah berpindah ke Semenanjung untuk tinggal dan bekerja, Orang Asli Kristian di Semenanjung juga biasanya menggunakan bahasa Melayu dalam ibadah mereka. |
Gelapkan gambar babi tindakan lucu KDN Posted: 24 Jan 2014 09:21 PM PST Azuan Ab Rahman KUALA LUMPUR : Tindakan menggelapkan gambar dua ekor babi dalam akhbar The New York Times adalah satu tindakan yang melucukan dan tidak perlu kerana hanya melibatkan haiwan biasa yang tidak memaparkan aksi melampau. Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil ketika dihubungi menyatakan, tindakan lucu tersebut adalah bukti, sikap dan tindakan tidak logik Kementerian Dalam negeri (KDN) melaksana tapisan sesuatu bahan untuk disiarkan. "Ini melucukan, bukti sikap tidak logik KDN melaksanakan tapisan yang kita anggap tidak menyeluruh. "Dalam kes ini gambar haiwan tersebut digelapkan tetapi dalam sesetengah majalah hiburan tiada penapisan dibuat terhadap gambar yang kurang sopan. "Seringkali bila ada sesuatu berita atau rencana yang disiarkan dapat memberi kesan kurang baik kepada kerajaan, ia sering digelapkan. "Sebelum ini beberapa perkataan dan paparan contohnya dalam majalah The Economist digelapkan kerana memberi terhadap tanggap tertentu terhadap kerajaan," katanya. Pada 2011 KDN memadam laporan perhimpunan Bersih 2.0 dalam majalah The Economist keluaran 16 Julai dengan menggunakan dakwat hitam kekal. "Kenapa digelapkan mereka tidak jelaskan," kata Fahmi. Justeru, kata Fahmi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi perlu tampil menjawab mengapa sesetengah perkara walaupun tidak perlu ditapis namun digelapkan Sedangkan dalam hal lain dibiarkan walaupun seharusnya kandungan yang dipaparkan itu memerlukan tapisan. Muka haiwan berkenaan dalam artikel bertajuk "Demand grows for pigs raised outside" (Permintaan untuk babi yang diternak di luar kian meningkat) serta satu lagi gambar di muka surat 19 dihitamkan serta menimbulkan persoalan apakah haiwan itu terlalu sensitif sehingga perlu digelapkan. |
Inflasi berpunca dari pengurangan subsidi Posted: 24 Jan 2014 09:15 PM PST Azuan Ab Rahman KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menarik sebahagian subsidi kepada rakyat dikenalpasti punca meningkatnya inflasi, kata ahli panel ekonomi Institut Rakyat, Azrul Azwa Ahmad Tajuddin. Beliau mengunjurkan inflasi akan naik sekitar 3.5 peratus bagi 9 bulan pertama tahun ini yang diukur berdasarkan indeks harga pengguna (CPI). "Jika tidak ditangani segera akan menyebabkan kuasa beli rakyat semakin menyusut dan menyebabkan pengguna mengambil sikap berhati-hati," kata Azrul (gambar) kepada Keadilandaily. Tambahnya ia memberi kesan negatif terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang akhirnya menyebabkan ekonomi negara lembab. "Berdasarkan peningkatan CPI, saya menjangkakan unjuran tahap inflasi negara pada 2014 sekitar 3-4 peratus, dimana 9 bulan pertama kadar inflasi saya ramalkan akan lebih dari 3.5 peratus. "Peningkatan ini berpunca dari tindakan kerajaan mengurangkan subsidi terutama berkaitan bahan bakar seperti LPG, petrol dan disel selepas Barisan Nasional menang pada pilihan raya lalu," katanya. Kerajaan menurutnya membentangkan belanjawan tidak bertanggungjawab tanpa mempedulikan nasib rakyat walaupun tahu kesan yang bakal ditanggung. "Semasa membentangkan belanjawan kerajaan harus tahu kesan pengurangan subsidi kepada rakyat. "Seharusnya ada pelan pemulihan bagi mengatasi masalah berkaitan langkah tersebut seperti (dicadangkan dalam belanjawan (alternatif) Pakatan Rakyat," jelasnya. |
Harta Taib Mahmud lebih RM60 bilion, bila nak siasat? Posted: 24 Jan 2014 09:13 PM PST KEADILAN DAILY KUCHING: Angkatan Muda KEADILAN Sarawak menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat harta kekayaan Ketua Menteri Sarawak, Tan Seri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya yang berjumlah lebih RM60 bilion. Timbalan Ketua AMK Sarawak, Zulhaidah Suboh berkata, ratusan laporan polis dan SPRM dibuat, namun tiada satu pun siasatan dan tindakan diambil. "Jika benar kedua-dau jabatan itu badan bebas rasuah dan berintegriti, maka mereka harus bertindak segera," kata Zulhaidah dalam kenyataan. Sebelum ini, seorang akauntan bertauliah Andrew Heng, 39, mendedahkan anak lelaki Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib mempunyai kepentingan dalam 85 syarikat asing, termasuk Sakthi International yang berpangkalan di California. Perkara itu diketahui ketika pendengaran tuntutan harta sepencarian isteri Bekir, Shahnaz A Majid dalam tuntutan perkahwinan RM100 juta, ekoran penceraian mereka. Kata Zulhaidah (gambar) kekayaan keluarga Taib tidak mungkin diperolehi tanpa manipulasi hasil bumi selama 30 tahun oleh kedudukan Ketua Menteri yang paling lama berkuasa di Malaysia itu. "Mana mungkin Taib hanya akan makan gaji sebagai Ketua Menteri boleh memiliki kekayaan yang di luar jangkauan. "Pendedahan demi pendedahan dibuat Sarawak Report berkenaan Taib Mahmud dan keluarga tetapi tidak pernah menunjukkan sebarang maklum balas. "Taib Mahmud akan memastikan bahawa tidak seorang pun anak-anak beliau ketinggalan daripada menjadi jutawan hasil daripada kerakusan mengaut hasil negeri. "Sebaliknya kian agresif menelanjangkan terus hasil bumi Sarawak dan tanah adat rakyat negeri ini untuk mengisi kantung dan perut keluarga di kala rakyat sedang merintih sengsara," kata Zulhaidah. |
Kalah PRU 14 Adalah Baik Untuk UMNO Posted: 24 Jan 2014 09:10 PM PST shahbudindotcom Di kala semakin ramai yang melahirkan kebimbangan mengenai kelemahan kepimpinan Najib bakal menyebabkan UMNO dan BN tewas dalam pilihanraya umum akan datang, generasi muda dalam parti itu pula merasakan kekalahan adalah ubat paling mujarab untuk memulihkan UMNO daripada segala penyakit yang sudah sekian lama bersarang didalamnya. Bagi mereka, kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, gagal meraih undi popular dan hilang beberapa negeri, ternyata tidak mampu mengubah sikap dan perangai pemimpin UMNO untuk menjadi lebih baik dan disenangi rakyat, bahkan majoriti pemimpin yang mempunyai kuasa masih tidak banyak berbeza antara sekarang dengan era 80an atau 90an dahulu. Paling ketara ialah perubahan yang diharapkan juga tidak berlaku dalam diri Perdana Menteri dan pemimpin kanan parti dan kerajaan. Mereka masih menampilkan sikap boros, suka berbelanja mewah, mudah melupakan janji yang dibuat ketika mahu mendapatkan sokongan dan hanya menjadikan rakyat penting ketika sebelum pilihanraya sahaja. Dengan mewarisi kerajaan yang lemah sebaik menjadi Perdana Menteri pada 2009 dan kemudian keputusan pilihanraya 2013 menjadi lebih buruk lagi, Najib seharusnya segera berubah dan menampilkan kualiti kepimpinan yang lebih baik jika tidak mahu nasib lebih buruk menimpa BN dalam pilihanraya 2018 nanti. Namun, penampilan Najib bukan saja mengecewakan malah lebih teruk berbanding sebelum PRU 13. Slogan rakyat didahahulukan dan kononnya BN tidak pandai menipu rakyat, ternyata hanya tinggal janji. Bukan saja satu demi satu kenaikan kos hidup rakyat dilakukan, bahkan banyak janji-janji yang diucap dengan penuh manis sebelum pilihanraya, akhirnya bertukar menjadi tuba di mata rakyat. Dalam masa yang sama, berikutan timbulnya isu demi isu berkaitan politik, ekonomi, agama, keselamatan dan sebagainya pula tidak cuba diselesaikan berasaskan prinsip ketegasan serta keberanian, malah dengan membiarkan isu demi berlarutan dalam masyarakat, Najib dan kerajaan seolah-olah suka melihat rakyat hidup dalam perbalahan dan perkelahian. Yang lebih malang lagi, di ketika Najib diminta berubah dan menunjukkan ketegasannya atau kemungkinan berhadapan risiko kehilangan kuasa dalam PRU 14, beliau ternyata masih berdegil dan ingin terus berpaut pada kuasa walaupun pada hakikatnya kuasa kerajaan yang ada hanyalah minoriti dan semakin rapuh pula umpama kayu yang sudah mula disarangi anai-anai. Apabila Najib sendiri tidak mahu berubah, sudah tentulah pemimpin lain juga tidak akan berubah. Apabila Najib dan keluarga terus berbelanja mewah, tentulah tidak timbul rasa segan di kalangan menterinya untuk berparti hari jadi mewah serba merah atau mengadakan kenduri kahwin dua hari dua malam di ketika rakyat diminta berjimat cermat dan mengikat perut bagi mengimbangi kenaikan kos sara hidup. Lantaran tidak terpamer tanda-tanda keinginan daripada Najib dan semua pemimpin UMNO untuk berubah, ramai yang merasakan bahawa kekalahan dalam PRU 14 nanti mungkin merupakan ubat paling berkesan untuk memulihkan semula UMNO dan menjadikannya tampil dengan lebih baik lagi. Hilang majoriti, hilang beberapa negeri dan hilang undi popular rupa-rupanya tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada UMNO dan para pemimpinnya. Barangkali hanya setelah kalah, hilang kuasa dan kemudian diikuti dengan sebahagian besar pemimpinnya tiada pilihan selain mengundur diri dan kenal erti bersara, barulah UMNO diyakini mampu tampil dengan wajah baru yang lebih baik dan segar bagi menghadapi perjuangan yang seterusnya. Oleh itu, bagi sebahagian ahli UMNO, terutamanya generasi muda, kekalahan dalam PRU 14 adalah petanda baik bagi kesinambungan serta kelangsungan parti itu. Ini kerana, tambah mereka, tanpa kekalahan mutlak, tidak akan berlaku perubahan hakiki dari segi kepimpinan, kesedaran, budaya serta sikap di kalangan mereka yang menjadi pemimpin UMNO. Sebab itu, sementara semakin ramai yang bimbang dengan kelemahan kepimpinan Najib dan memberi amaran tentang kuasa yang mungkin hilang, generasi pemimpin muda dalam UMNO tidak begitu kisah tentangnya. Ini bukanlah bermakna mereka tidak bimbang tentangnya tetapi kerana merasakan itulah satu-satu cara untuk memulihkan UMNO, mampu menjadikannya tampil lebih baik dan ruang akan lebih terbuka untuk diketuai oleh bakat-bakat muda yang lebih berpotensi serta berwibawa. Berbanding terus berkuasa yang hanya menjadikan wajah UMNO menjadi bertambah buruk, kekalahan sebaliknya akan memberi ruang perubahan dan transformasi untuk berperanan dengan lebih baik. |
Peningkatan Mendadak Kes Denggi Membimbangkan Posted: 24 Jan 2014 09:02 PM PST KAJANG: Terdapat peningkatan membimbangkan dalam kes demam denggi di negara ini apabila bilangan kes dicatatkan lebih tiga kali ganda dalam tempoh yang sama tahun lepas. Sehingga Rabu, sebanyak 6,155 kes telah dilaporkan, peningkatan sebanyak 243 peratus dalam tempoh yang sama pada tahun 2013. Bilangan kematian juga telah meningkat dua kali ganda, dengan 10 kematian dilaporkan setakat ini berbanding hanya lima pada Januari tahun lepas. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Selangor mempunyai paling banyak kes denggi dengan 3,168 kes, membentuk 51 peratus daripada jumlah kes. "Dua daripada 10 kematian adalah di daerah Hulu Langat," katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan 'panas' denggi di sini, Jumaat. Kuala Lumpur dan Putrajaya masing-masing mencatatkan 666 dan 502 kes. Terdapat 333 kes di Negeri Sembilan, Melaka 241 kes, Kelantan 173 kes, Pulau Pinang 166 kes, Sabah 110 kes, Terengganu 100 kes, Sarawak 85 kes, Kedah 66 kes, Pahang 53 kes dan Perlis 20 kes. Beliau berkata kenaikan mendadak kes ini amat membimbangkan dan menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam memastikan rumah dan persekitaran tidak menjadi tempat pembiakan bagi nyamuk Aedes. "Secara umumnya, masyarakat amat sedar mengenai bahaya denggi tetapi mereka masih cenderung untuk mengabaikan tempat-tempat yang boleh menjadi tempat pembiakan Aedes," katanya. Angka-angka terkini peningkatan jangkitan denggi mungkin menunjukkan ia akan menjadi lebih teruk pada tahun ini, jika usaha-usaha untuk memusnahkan nyamuk Aedes tidak dipergiatkan. Sebanyak 43,346 kes telah dicatatkan tahun lepas, dengan 92 kematian. "Selangor mempunyai bilangan kes paling tinggi iaitu 23,852 atau 55 peratus dengan 25 kematian," kata Dr Subramaniam, sambil menambah daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak dikategorikan sebagai kawasan panas denggi. Lebih empat juta premis diperiksa di seluruh negara dan kira-kira 15,000 kompaun telah dikeluarkan berjumlah RM7.7 juta. "Kementerian akan meningkatkan usaha, terutamanya di kawasan panas denggi melalui usaha berterusan Ops Gempur Aedes bagi memusnahkan tempat pembiakan nyamuk," kata Dr Subramaniam. "Dari 1 hingga 22 Januari, kira-kira 168,000 premis telah diperiksa di seluruh negara dan 411 kompaun telah dikeluarkan dengan denda berjumlah RM205,500," katanya. Langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi ancaman denggi termasuk kawalan biologi menggunakan semburan Bacillus thuringiensis israelensis (sejenis bakteria) untuk membunuh larva nyamuk. "Kami akan menggunakan lebih semburan temephos ( racun perosak ) untuk membunuh larva dan nyamuk dewasa serta perangkap autocidal (satu kaedah baru untuk memerangkap dan membunuh larva dan nyamuk)," katanya. Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor, Dr Rose Nani Mudin memberitahu 'The Star' bahawa peningkatan dalam kes denggi adalah disebabkan pelbagai faktor. "Sejak kebelakangan ini, terdapat lebih banyak kes di peringkat global dan penyakit ini disebarkan lebih cepat kerana pergerakan manusia. "Faktor lain adalah cuaca. Air hujan yang terkumpul dalam tong sampah, walaupun sedikit seperti satu sudu teh, cukup untuk nyamuk Aedes untuk membiak," katanya. Dr Rose berkata kira-kira 70 peratus daripada kawasan pembiakan Aedes adalah di kawasan perumahan kerana nyamuk tertarik kepada kawasan berpenduduk padat. |
Bot bawa 18 penumpang karam, seorang masih hilang Posted: 24 Jan 2014 09:01 PM PST BINTANGOR: Dua bot panjang yang membawa 18 orang, yang sedang dalam perjalanan untuk satu upacara pengebumian, karam di Sungai Sian awal hari ini selepas dipukul ombak daripada sebuah kapal yang melalui kawasan itu. Bagaimanapun, 17 daripada mereka dapat menyelamatkan diri atau diselamatkan oleh bot yang melalui kawasan itu manakala seorang lagi yang berumur 28 tahun masih hilang dalam kejadian 6.50 pagi itu. Mangsa dikenali sebagai Kenny anak Bisa, seorang penyelia ladang kelapa sawit, dari Rh Usop di Sungai Sian. Dia menaiki bot panjang kedua yang sedang dalam perjalanan untuk upacara pengebumian saudara mereka, seorang wanita tua, di tanah perkuburan Iban di Nanga Bangkit, Selidap. Operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk rumah panjang masih dijalankan. Insiden ini merupakan tragedi kedua membabitkan bot panjang di negeri ini. Sabtu lepas, sebuah bot panjang dengan membawa 27 tetamu dari Kampung Tekajong di Daro, bahagian Mukah, yang sedang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan di sebuah kampung berdekatan Kampung Saai, karam di Batang Lassa selepas dipukul ombak. Dalam kejadian itu 16 orang terselamat, 10 disahkan mati dan seorang lelaki berumur 55 tahun masih hilang. Operasi mencari dan menyelamat masih berjalan bagi mengesan mangsa. - Bernama |
Telahan PR kerajaan punca barang naik adalah tepat Posted: 24 Jan 2014 08:59 PM PST KUALA LUMPUR: Telahan Pakatan Rakyat selama ini mengatakan kenaikan harga barang berlaku kerana sikap boros dan kegagalan kerajaan dalam menguruskan ekonomi negara adalah tepat. Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad berkata, kemarahan rakyat yang membuak-buak hari ini terhadap kenaikan harga barang ternyata telah mencipta sejarah tersendiri pada hari ini. Malah katanya, seluruh rakyat negara ini diperingkat akar umbi bukan sahaja penyokong Pakatan Rakyat bahkan penyokong Umno BN turut merungut dengan kenaikan harga barang ini. "Nampaknya Najib Tun Razak tersepit dengan isu ini. Beliau seolah-olah hilang punca sehinggakan hendak turut ke pasar-pasar kononnya hendak melihat harga barang di pasaran," katanya kepada Harakahdaily. Bagi Idris tindakan Perdana Menteri itu hanyalah bersifat kosmetik sahaja kerana dengan turun padang ianya tidak akan menyelesaikan masalah kenaikan harga barang. "Sepatutnya selesaikan dari sudut asas iaitu kembalikan semula subsidi yang dipotong iaitu subsidi minyak yang memberi kesan berantai yang melibatkan kenaikan harfa semua jenis barang. "11 cadangan yang dicadangkan sebelum ini juga bersifat kosmetik . Soal ketirisan dan boros itulah yang patut ditangani dan diselesaikan," katanya. Justeru katanya, Najib perlu bertindak pro kepada rakyat dan mengambil pendekatan yang bijak antaranya memperbaiki kelemahan sebagaimana yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara. Terdahulu, Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin turut membidas kerajaan yang boros dan tidak bijak menguruskan negara menjadi punca berlakunya kenaikan harga barang. |
Undi tidak percaya Najib, BN perlu fikirkan rakyat Posted: 24 Jan 2014 08:58 PM PST KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) diharapkan tidak memikirkan soal politik semata-mata, sebaliknya meletakkan kepentingan rakyat dan negara untuk bersama-sama mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad Shah, yang menyokong penuh gesaan untuk mengemukakan undi tidak percaya itu, berkata terlalu banyak isu kritikal yang melanda negara, namun tidak dapat diselesaikan sebaiknya oleh Najib. "Kalau PM tidak sanggup memainkan peranan dalam menyelesaikan segala isu kritikal di negara ini, termsuk isu kalimah Allah, kenaikan harga barang dan pelbagai krisis lain, eloklah jika kita mencari ganti Perdana Menteri bagi memastikan kapal kita memiliki nakhoda yang benar-benar ada hala tujunya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily. Sehubungan itu, katanya Ahli Parlimen BN perlu sedar dan berani untuk bersama-sama menyokong usaha untuk mengemukakan undi tidak percaya ini demi masa depan negara dan generasi akan datang. Kelmarin, Ketua Penerangan PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengajak ahli parlimen BN bersama-sama mengemukakan undi tidak percaya atas kegagalan Najib mentadbir negara ini dengan lebih baik. Mahfuz, dalam kenyataannya semalam berkata usul tidak percaya itu wajar dilakukan demi kepentingan negara dan rakyat, di mana negara tidak mampu lagi mempunyai PM 'kangkung'. Sementara itu, saranan tersebut turut disokong sepenuhnya oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang berpandangan terdapat banyaknya salah laku yang dilakukan Najib sepanjang tempoh pentadbiran beliau. Katanya, dengan pelbagai masalah rakyat yang tidak dapat diselesaikan, selain skandal dan kontroversi tanpa henti membabitkan kedudukan dan hak istimewa isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor memang sewajarnya Najib digantikan. "Semestinya saya sokong kerana telah jelas banyak kontroversi sejak Najib menatdbir negara ini dengan salah laku urus tadbir, selain kedudukan dan hak istimewa isterinya, Rosmah yang tidak sewajarnya diterima. "Sebelum ekonomi negara ini semakin teruk, eloklah digantikan Perdana Menteri yang baru yang boleh berperanan dan berkhidmat untuk rakyat dn negara," tegas Khalid. Sebelum ini, bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menyarankan agar bekas PM, Tun Mahathir Mohamad dilantik ke kabinet Malaysia. Saranan itu seolah-olah memperlihatkan bahawa ahli kabinet yang sedia ada tidak mampu menangani dan mentadbir negara sehingga memerlukan Mahathir untuk bersama-sama membantu kabinet Najib. Zainuddin yang melontarkan idea tersebut di blognya berkata, pengalaman lebih 20 tahun Mahathir dalam memimpin negara dan mengendalikan soal keselamatan dengan jayanya, tidak seharusnya dibazirkan begitu saja oleh Najib. Katanya, cadangan ini bukannya untuk mengembalikan Mahathir kepada kedudukan kerusi Perdana Menteri tetapi perlu diberikan kuasa dalam kabinet untuk membantu Perdana Menteri dan kerajaan dalam menangani isu keselamatan, perkauman, agama dan ekonomi yang kian meruncing sekarang |
SPR: Kedudukan selamat, Tian Chua kekal MP Posted: 24 Jan 2014 08:56 PM PST KUALA LUMPUR - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof mengesahkan Naib Presiden PKR, Tian Chua kekal sebagai ahli Parlimen Batu walaupun Mahkamah Sesyen semalam mendapati beliau bersalah. Tian berhadapan pertuduhan melanggar Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959, dua tahun lalu. Beliau dikenakan hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000. Menurut Abdul Aziz, kelayakan sebagai ahli Parlimen akan hilang sekiranya mereka yang berkenaan dihukum penjara lebih setahun dan denda RM2,000. Tian dituduh melakukan kesalahan itu di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL), Jalan Semarak, jam 2.39 pagi, pada 29 April 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Kawasan Larangan 1959 (Akta 298), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. Seramai sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan manakala pembelaan mengemukakan dua saksi. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Mohamed Yusoff, manakala peguam Eric Paulsen mewakili Tian. Hakim Mahmud Abdullah memerintahkan Tian atau nama sebenarnya Chua Tian Chang, 51, menjalani hukuman penjara itu bermula semalam. Bagaimanapun, Mahmud membenarkan permohonan peguam Eric Paulsen yang mewakili Tian untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu selesai. Tian mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan tidak mematuhi perintah pegawai polis, Deputi Superintendan A Rajagopal untuk beredar dari kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan larangan mengikut Perintah Kawasan-Kawasan Larangan 1975. |
Yayasan Diraja Sultan Mizan nafi anjur lawatan MB ke Antartika Posted: 24 Jan 2014 08:48 PM PST HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) semalam menafikan ia menganjurkan lawatan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said ke Antartika. "Lawatan itu bukan anjuran YDSM, dan ia tiada kaitan dengan program yayasan," kata Setiausaha Kerja YDSM Mohd Azrul Ismail dalam kenyataan semalam. Beliau berkata yayasan itu hanya menjalankan kerja amal bagi memberi sumbangan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi, kesejahteraan hidup dan pendidikan rakyat, selain melakukan program penyelidikan sejarah, pembangunan seni warisan serta pemuliharaan alam sekitar negeri itu. Pada 15 Jan lepas, akhbar melaporkan satu kenyataan bahawa Ahmad akan mengetuai lawatan ke Antartika selama 15 hari anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi melalui inisiatif Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM). Kenyataan itu, yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Terengganu, menyatakan lawatan itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama Instituto Antartico Chileno (INACH). - Bernama |
Posted: 24 Jan 2014 08:44 PM PST KUALA TERENGGANU - Ketua Dewan Ulama Pas Datuk Harun Taib, 71, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahiran (HSNZ) di sini pada jam 12.17 awal pagi ini. Menurut Pengarah HSNZ Tengku Ramlah Tengku Senik, Allahyarham meninggal akibat sindrom kegagalan fungsi pelbagai organ (MODS). "Allahyarham meninggal jam 12.17 pagi ini akibat kegagalan fungsi organ dalaman (MODS)," katanya di sini. Allahyarham pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Manir selama empat penggal bermula 1982 (Pilihan Raya Umum ke-6) sehingga 2004 pada PRU-11 dan sepanjang tempoh itu hanya sekali kalah pada PRU-7. Allayarham meninggalkan seorang isteri dan lima anak. Sementara itu, menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, jenazah Allahyarham dikebumikan pagi ini di Markaz Tarbiah Kubang Lembik, Manir di sini. Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan antara pemimpin Pas yang hadir. - Bernama |
Cuaca sejuk dijangka kembali normal Posted: 24 Jan 2014 08:40 PM PST SHAH ALAM – Cuaca sejuk yang melanda beberapa negeri Pantai Timur beberapa hari lalu, dijangka kembali kepada bacaan asal menjelang minggu depan. Pengarah Pusat Ramalan Cuaca, Jabatan Meteorologi, Muhammad Helmi Abdullah berkata, perubahan cuaca berlaku akibat tiupan angin timur laut kencang dari China yang sedang mengalami musim sejuk. "Untuk tempoh dua hingga tiga hari ini, negeri-negeri di Pantai Timur masih akan terkesan dengan cuaca sejuk ini namun menjelang minggu depan ia kembali kepada cuaca asal. "Litupan awan kurang di seluruh semenanjung Malaysia sepanjang minggu ini turut membantu merendahkan suhu pada waktu malam dan awal pagi," katanya . Menurutnya, cuaca sejuk di kawasan Kuala Krai yang mencatatkan rekod bacaan 17 darjah Celcius semalam meningkat hari ini kepada 19 darjah Celcius. Kata Helmi, negeri-negeri lain seperti di Pantai Barat semenanjung Malaysia dijangka tidak akan mengalami cuaca sejuk. "Negeri-negeri lain di Semenanjung tidak akan menghadapi cuaca sejuk kerana tiupan angin ini dihalang struktur permukaan bumi bergunung ganang daripada sampai ke negeri-negeri di Pantai Barat," katanya. Ketika ditanya, kemungkinan negeri-negeri di Pantai Timur akan kembali dilanda hujan lebat akibat perubahan cuaca, beliau menafikan sebaliknya mengatakan tiupan angin kencang akan menyebabkan laut bergelora dan membahayakan kepada nelayan yang turun ke laut. Beliau menyangkal dakwaan sesetengah pihak mengatakan salji akan melanda Malaysia akibat cuaca sejuk luar biasa yang sedang berlaku. Menurutnya, video yang tersebar luas di laman sosial blog dan Facebook memaparkan kejadian salji berlaku di Indonesia adalah tidak benar. |
RON 95 untuk golongan miskin, Ku Nan bankrap idea Posted: 24 Jan 2014 08:37 PM PST ALOR SETAR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar membidas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) berkaitan cadangan menjual bahan api RON 95 hanya untuk golongan miskin. Menurutnya, kenyataan itu disifatkan satu lagi cakap-cakap pemimpin kerajaan yang sudah bankrap idea untuk melihat mekanisme yang terbaik bagi meringankan beban rakyat selepas mereka sendiri yang mencetus punca kenaikan kos sara hidup rakyat. Baginya, itulah satu lagi cakap-cakap pemimpin kerajaan yang melalut dan pekak badak. "Mereka tak fahamkah masalah dan keluhan rakyat rakyat di bawah yang mana melihat harga minyak RON 95 itu sendiri pada masa ini sudah begitu mahal yang telah naik dari masa ke semasa," katanya pada sidang media di Markas PAS Derga, dekat sini semalam. Tambahnya, tidak adil untuk mengklasifikasikan penggunaan kenderaan itu berdasarkan kereta berkuasa kuda kecil atau besar. "Orang kaya sendiripun mungkin mempunyai beberapa buah kereta termasuk kereta kecil. Kalau kereta kecil maka mereka pun layak membeli minyak RON 95," jelasnya. Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat itu lagi, isu pokok yang perlu diambil perhatian oleh kerajaan ialah harga bahan api di negara ini khusunya RON 95 sudah cukup membebankan rakyat, bukan sahaja golongan miskin malahan kepada seluruh rakyat. "Tengku Adnan kena ingat, kalau dia guna kaedah orang kaya guna RON 97 dan orang miskin guna RON 95, orang kaya ni kebanyakannya adalah golongan pengusaha atau peniaga. "Bila golongan ini pula terbeban, mereka akan memindahkan beban itu kepada golongan pengguna di peringkat bawah termasuk golongan miskin. Maka bebanan ini akan berterusan dan bertingkat-tingkat," katanya lagi. |
Kita bangga dengan Syeikh Ahmad Yassin, kenapa tidak dengan Ustaz Harun? Posted: 24 Jan 2014 08:29 PM PST "Dr… Minta maaf, ana nak menyusahkan doktor sikit," suara sahabat baik saya, Haji Hassan Wahid yang berkhidmat sebagai pembantu peribadi Almarhum Ustaz Datuk Harun Taib kedengaran di hujung talian telefon sehari sebelum menjelang Muktamar Tahunan PAS ke-56 pada Jun 2010 yang berlangsung di Kota Bharu. "Silakan Haji… kalau ana boleh tolong, insya Allah ana bantu," jawab saya penuh rasa ukhuwwah dan persahabatan. "Macam ni Dr, klinik Dr ada tak kerusi roda. Ustaz nak pinjam untuk guna masa Muktamar nanti. Kerusi roda yang guna di rumah sekarang dah rosak," pinta sahabat saya ini. "Ooo…minta maaf, kerusi roda tu tak ada di klinik sekarang. Tapi Haji jangan bimbang. Serah pada ana, ana akan cari sampai dapat. Esok bila dah sampai di Kota Bharu, call ana dan mari ambik kerusi di klinik." Kalau tak silap saya, masa tu dah petang hari khamis. Esoknya Jumaat semua kedai tutup. Saya terus menelefon Dr Ramli Mamat, sahabat baik yang memiliki sebuah klinik di Wakaf Che Yeh untuk bertanya kalau-kalau beliau memiliki sebuah kerusi roda yang boleh dipinjamkan sementara. Sekarang YB Dr Ramli Mamat adalah Exco Kerajaan Kelantan. "Wheel chair tu, ambo ada Dr Man, tapi buruk sangat. Dok tergamok nak bagi pinjam ko Ustaz…" jawab Dr Ramli. "Ginilah…Dr Man tolong cari dengan supplier, kosnya biar ambo bayar," Dr Ramli menawarkan khidmatnya bila saya maklumkan, yang nak guna wheel chair itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat. "Tak apa Dr Li, terima kasih banyak-banyak. Bukan masalah kos. Cuma masa semput sangat, takut tak sempat nak cari." Lantas saya menelefon beberapa orang pembekal peralatan perubatan. Alhamdulillah, seorang daripadanya memiliki barang yang saya hajati ini. Ada lagi masalahnya, sekarang beliau berada di luar Kelantan dan hanya akan sampai balik ke Kota Bharu menjelang tengah malam. "Tak apa… tengah malam atau dinihari, bila sampai call saya, saya akan pergi ambik!" Syukur kepada Allah, hajat seorang ulama yang sebenarnya terlalu murah nilainya dapat saya tunaikan. Apa sangat nilai kerusi roda RM300 untuk kegunaan seorang mujahid sejati yang sedang keuzuran ketika itu. Sebenarnya Almarhum Ustaz Harun sudah lama uzur sebelum dari Muktamar PAS tahun 2010 lagi. Tapi beliau tetap menggagahkan diri untuk hadir walaupun ucapannya dibacakan oleh Timbalannya. Seingat saya yang masih agak baru di dalam saf kepimpinan PAS dan menjadi perwakilan ke Muktamar, hanya Almarhum seorang yang berada di atas pentas dalam keadaan berkerusi roda. Pernah kedengaran di telinga saya orang yang merungut, "Ustaz Harun tu dah uzur, masih nak pegang jawatan lagi. Berilah kepada orang lain yang lebih sihat." Saya menjelaskan dengan rasa sedikit terkilan atas anggapan sebegitu. "Kita selalu bangga bila menceritakan perjuangan Syeikh Ahmad Yassin yang berkerusi roda dan memimpin Hamas berhadapan dengan Israel sehingga syahid. Kenapa kita tidak boleh bangga dengan Ustaz Harun yang berkerusi roda tetapi masih sedia berjuang. Sepatutnya awak yang sihat malu dengan diri awak sendiri. Tubuh saja sihat, tetapi dengan kesihatan yang awak ada, mana bahagian untuk Islam?" Bagi saya, insan hebat sepertinya, bukan setakat berkerusi roda, kalau terbaring di tempat tidur pun, kita masih perlukan buah fikirannya sekalipun jasadnya sudah tak berdaya. Lemahnya sekujur jasad seorang pejuang di jalan Allah adalah kerana tenaga yang telah dicurahkan demi untuk melihat syariat Allah ditinggikan. Buat Almarhum Tuan Guru Datuk Harun Taib… Pulanglah kepangkuan Tuhanmu dalam keadaan redha dan diredhai. Dengan rahmat Allah, kamu adalah dalam kalangan hamba yang soleh dan tempatmu adalah di syurga. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan