DIALOG RAKYAT |
- Terus asak bubar SPR, jangan berhenti!
- Ekoran kata Daim, resahnya hidup mati BN PRU14
- MB: Pelan tindakan lengkap bantu Selangor sasar pendapatan minimum isi rumah RM4,000
- Skim Mesra Usia Emas tampil idea baru untuk manfaat warga emas
- PAS tidak teruja ‘duduk sebumbung’ dengan Umno, pimpinan Najib ‘racun berbisa’
- Mahkamah Rayuan akan lawat tempat Beng Hock didapati mati
- Mesej palsu 'macai kangkung' sesakkan pejabat MP Shah Alam
- Sultan Johor menang bidaan W1N dengan harga RM748,000
- Ku Nan beri bayangan subsidi RON95 akan dimansuh?
- Isu kos sara hidup hangatkan pelancaran Ameerah WP
- Sayangnya Najib membaiki labu
- Isu 'Allah': PERKASA nasihat KJ jaga kementerian sendiri
- 'Fokus dapat sokongan, bukan lawan retorik pembangkang'
Terus asak bubar SPR, jangan berhenti! Posted: 24 Jan 2014 01:37 AM PST Pastinya bukan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah yang memulakan desakan agar ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terutama pengerusinya, Abdul Aziz Yusof meletakkan jawatan. Tuntutan sama telah dikemukakan sejak lama oleh pemimpin dan aktivis oposisi, juga NGO yang prihatin dengan kepincangan perjalanan demokrasi di negara kita. Namun begitu, ia hampir tidak menjadi berita lagi. Pakatan Rakyat sentiasa serius dengan isu ketempangan pilihan raya, terutama sikap SPR yang bertindak seolah-olah "satu lagi komponen parti dalam BN". Ahli-ahli SPR seperti menjadi agen parti pemerintah dan memudahkan Umno-BN mengalahkan seteru politik mereka dalam setiap kali pilihan raya. Selain itu, NGO seperti Bersih misalnya, berulang kali, sama ada sebelum PRU13 mahupun sebelumnya, membuat desakan agar seluruh ahli-ahli SPR meletakkan jawatan serta-merta bagi membolehkan satu jawatankuasa baru yang memenuhi aspirasi rakyat dapat dibentuk. Pengerusi baru Bersih 2.0, Marina Chin menuntut agar semua ahli SPR dipecat kerana masyarakat awam sudah kehilangan keyakinan kepada mereka. Katanya, petisyen akan dilancar selepas ini untuk membuat tuntutan itu dan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. Bagaimanapun, apabila kejengkelan terhadap badan pengendali pilihan raya itu turut disuarakan oleh pemimpin kerajaan seperti Saifudin, seperti ada sedikit kejutan sehingga Pengerusi SPR, Abd Aziz mengajak pemimpin Umno yang tidak berpuas hati berbincang secara tertutup. "Seperti yang sedia maklum badan ini ditubuhkan sebagai suruhanjaya bebas untuk melaksanakan tiga tanggungawab utama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia bukan untuk membantu mana-mana parti politik menang dalam pilihan raya. "Saya harap beliau (Saifuddin) bersabar dan saya sedia berbincang untuk mengetahui fakta dakwaan tersebut dan beliau boleh berjumpa saya di SPR," kata Aziz. Saifuddin dalam satu forum, 13 Januari lalu, berkata, Pengerusi SPR yang bebas sangat diperlukan ketika keyakinan awam terhadapnya semakin menurun. "Kita memerlukan sesaorang yang tekun, bebas dan seorang yang tidak bercakap bagi pihak BN. Awak tidak membantu BN sebenarnya," kata Saifudin merujuk kepada ahli SPR yang bercakap seolah-olah mewakili BN. Saya sendiri, melalui tulisan dalam Harakah dan Siasah, sebaik selesai Pilihan Raya Umum Mac 2004 - yang menyaksikan sikap memihak paling menjolok mata SPR kepada BN - menimbulkan isu "padang sama rata" secara berterusan, di samping turut mempersoalkan "sikap sambil lewa" parti-parti pembangkang ketika itu. Dalam satu pertemuan di Hotel Vistana, pada September 2004, yang dihadiri antara lain, pemimpin kanan PAS, Mohamad Sabu, saya meluahkan rasa kecewa dan aneh dengan aksi pasif oposisi yang rela "leher mereka disembelih SPR". Sebelum itu, menjelang PRU 1999, seorang bekas jeneral tentera, dalam forum anjuran Barisan Alternatif di Hotel Federal, Kuala Lumpur, melahirkan rasa hairan mengapa parti-parti pembangkang tidak serius menangani isu pengundi pos, walhal semua maklum Umno-BN mendapat manfaat besar daripada sistem yang mudah untuk dimanipulasi itu. Seminggu selepas PRU 2004, yang mengejutkan PAS dengan kekalahan Terengganu dan kehilangan kerusi Parlimen di Kedah, saya menulis artikel bertajuk "Mimpikah kita mengharapkan pilihan raya ini bebas dan adil?" Dalam tulisan itu saya, antara lain, menekankan: "Melihat tingkah laku (Pengerusi SPR) Rashid (Abd Rahman) terutama sikapnya yang suka bertelagah dan berkonfrontasi dengan pembangkang, saya langsung tidak mengharapkan apa-apa yang positif dari SPR kali ini. "Walhal kedudukan Rashid sebagai pengerusi SPR adalah tertakluk kepada keyakinan rakyat kepadanya. Maknanya, jika rakyat tidak lagi konfiden kepada Rashid, beliau boleh ditarik turun. "Sila rujuk Perkara 114(2) Perlembagaan: "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihanraya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihanraya yang mendapat kepercayaan awam." Bukan soal kekalahan PAS atau BA yang menarik minat saya tetapi isu pengendalian pilihan raya yang begitu buruk dan hodoh, terutama proses persempadanan semula (gerry mandering) kawasan Parlimen, yang secara nyata bertujuan untuk mengalahkan pembangkang. Difahamkan Setiausaha SPR ketika itu, Wan Ahmad Wan Omar menjadi dalang dan pencatur sebenar, bagi memberi kemenangan mudah kepada Umno-BN. "Pengerusi SPR sendiri, Rashid mengakui tugas strategik itu dimainkan oleh Wan Ahmad," kata sumber yang rapat dengan SPR. Bagaimanapun, Rashid, semasa mesyuarat agung Perkasa Wilayah Persekutuan, November 2013, mengakui bahawa dia sendiri mempunyai kaedah tertentu untuk memastikan Melayu (baca: Umno-BN) akan terus berkuasa. Iaitu melalui tiga kali proses persempadanan semula kawasan pilihan raya semasa beliau menjadi Pengerusi SPR. Tidak puas hati dengan artikel tersebut, menyusul tulisan saya, pada April 2004, bertajuk "Tuntut pilihan raya adil: Jangan hangat-hangat tahi ayam," Saya meneruskan leteran, dan saya masih ingat, turut didorong rasa marah (terhadap SPR dan BN) dan juga kesal (dengan pembangkang): "Bagi saya, apabila kita membincangkan soal kepincangan atau pencabulan terhadap pengurusan pilihan raya yang bersih dan adil, ia tidak seharusnya terbatas hanya selepas Parlimen atau Dun dibubar. "Perbahasan itu harus dibuat dalam ruang lingkup menyeluruh, misalnya merongkai segala sekatan ke atas kebebasan bersuara, bertanding di atas padang yang sama rata, jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan kerajaan sementara, memastikan tiada manipulasi pemerintah terhadap daftar pemilih dan perjalanan kempen yang tidak memihak kepada mana-mana parti yang bertanding. "Pembangkang tidak dikalahkan hanya dengan kempen jahat dan tidak beretika BN selama seminggu itu. Proses mengalahkan pembangkang yang mencatat prestasi membanggakan pada pilihan raya ke-11 sudah bermula pada awal Disember 1999, sebaik selesai PRU1999." Selain itu, daripada sekian banyak tulisan mengenai SPR, saya pernah menghuraikan "Peranan proaktif dan strategik Agong", pada Julai 2011, yang memperihalkan kedudukan penting baginda dalam amalan demokrasi kita, khususnya mempastikan semua anggota SPR mendapat kepercayaan awam. Soalnya, apakah jika tidak lagi menepati kriteria itu, maka Agong tidak boleh menamatkan khidmat mereka dan membiarkan rakyat terus curiga dengan kemampuan SPR untuk menjalankan tugas dengan adil dan berintegriti. Saya juga menyanggah Timbalan Pengerusi SPR, dengan tulisan "Hujah untuk pecat Wan Ahmad dari SPR," Jun 2013.dan sebelumnya, "Sokong Pengerusi SPR letak jawatan," April 2012. Secara peribadi - walaupun sebenarnya tanpa dirancang - saya memberanikan diri melakukan protes pertama secara terbuka, dengan mengoyak kertas undi, pada jam 3.15 petang, 8 Mac 2008, di Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, Pulau Timbul, Tunjang, Kubang Pasu, Kedah dengan disaksikan oleh wakil-wakil parti PAS, BN dan KeADILan termasuk beberapa petugas SPR dan Ketua Tempat Undi. Pada malamnya, selepas diumumkan PAS menerajui kerajaan negeri Kedah bersama Pakatan Rakyat, Allahyarham Ustaz Azizan Abdul Razak (yang kemudiannya dilantik menteri besar), yang saya temui di Kompleks PAS Kedah, Batu 9, menegur aksi protes saya itu. "Kalaulah Dun Bukit Kayu Hitam tempat anta mengundi itu kalah satu undi, antalah bertanggungjawab," katanya sambil ketawa. Kawasan Bukit Kayu Hitam dan Parlimen Kubang Pasu merupakan kubu kuat Umno, dengan kemenangan majoriti besar. Justeru, ketika SPR sibuk dengan proses proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, amat tepat sekali isu keyakinan awam terhadap badan yang sepatutnya bebas itu ditimbulkan semula. Pengerusi SPR, Aziz berkata, Pakatan Rakyat perlu menyokong persempadanan semula kerana ia untuk kebaikan semua pihak termasuk mereka. Waduh, siapa boleh mempercayainya lagi selepas "parti-parti pembangkang disembelih" pada 2003 dulu. Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan Pakatan tidak akan menyokong persempadanan semula kawasan pilihan raya itu kalau ia dikendalikan oleh ahli SPR yang ada. Bersih 2.0 pula menuntut dihentikan proses tersebut sehingga masalah berkaitan, misalnya membersihkan senarai pengundi dan perlantikan keanggotaan SPR yang baru, diselesaikan. II. Kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada wartawan Mingguan Malaysia baru-baru ini cukup menarik, khususnya bagi orang media seperti saya. Dana awam yang mengongkosi RTM misalnya telah disalahgunakan apabila ia diperkakaskan semahunya untuk propaganda pemerintah. Bekas Menteri Besar Kelantan itu dalam wawancara khas sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-83 menegaskan: "Negara kita ini mengamalkan demokrasi, jadi tidak ada sebab hubungan Pusat dengan negeri renggang. Yang peliknya, 23 tahun saya jadi Menteri Besar, saya tak pernah dapat bercakap dalam radio atau televisyen. "Rakyat kita makin cerdik, ramai yang keluar universiti tiap-tiap tahun dan ada kalanya, orang itu faham apa yang berlaku. Mana boleh sebuah kerajaan negeri tidak boleh bercakap menerusi radio atau televisyen dengan rakyat sendiri? "Perangai Kerajaan Pusat ini, dia nak suruh orang ikut dia sahaja, jangan dengar apa kata pembangkang sedangkan mana boleh manusia hidup tanpa membangkang. Kita dua beradik pun berbalah, suami isteri pun berbalah, sahabat handai pun berbalah, begitu juga rakyat dengan kerajaan." Kata kuncinya, selama 23 tahun menjadi MB, Tok Guru yang mendapat sokongan majoriti (dan dikasihi) rakyat dihalang daripada berhubung langsung melalui radio dan TV, yang dibiayai dana awam, dengan warga Kelantan sendiri. Sesuatu yang dilihat aneh di negara demokrasi lain tetapi sudah dianggap biasa di Malaysia. Itulah juga yang berlaku kepada Menteri Besar Selangor (Khalid Ibrahim), Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng) dan bekas MB Kedah (Ustaz Azizan Abd Razak) dan Perak (Nizar Jamaluddin). Hebat, 'kan negara tercinta ini? |
Ekoran kata Daim, resahnya hidup mati BN PRU14 Posted: 24 Jan 2014 01:34 AM PST KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno, sama ada secara terbuka atau sembunyi-sembunyi, ramai yang turut resah tentang hidup mati Umno dan BN dalam pilihanraya akan datang. "Bagi semua pemimpin ini, Umno, BN dan kerajaan selepas PRU13 lalu bukannya bertambah baik dan diterima oleh rakyat, sebaliknya menjadi semakin lemah, kalut dah hilang punca dalam mengurus banyak perkara, tulis Shahbudin Husin di dalam blognya, semalam. Menurutnya, walaupun jangka masa PRU14 masih ada empat tahun lebih daripada sekarang, tetapi sudah ramai yang bercakap mengenai kemungkinan Umno bakal kalah dalam pilihanraya itu. Ini, katanya kerana bekas Menteri Kewangan, Daim Zainuddin yang pandangannya mengenai politik jarang tersasar, secara terbuka berkata, BN akan kehilangan kuasanya jika PRU14 diadakan dalam suasana seperti sekarang di mana kelemahan kepimpinan Najib Razak begitu ketara dan diperkatakan oleh ramai orang. Tokoh Wartawan Negara, A Kadir Jasin pula membayangkan tiga senario yang bakal berlaku iaitu sama ada Najib berubah, beliau ditukarkan jika gagal berubah dan jika tiada apa-apa yang berubah, BN akan tewas dalam pilihanraya akan datang. Seorang lagi bekas wartawan iaitu Zainuddin Maidin yang juga merupakan bekas Menteri Penerangan, tidak jemu-jemu menyarankan agar bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad diberikan semula kuasa dan pengaruh dalam kerajaan, dengan terbaru mencadangkan agar dilantik sebagai Menteri Mentor bagi membantu Najib, suatu gambaran hakiki bahawa kepimpinan Najib begitu lemah dan tidak bermaya sehingga Mahathir yang sudah berusia 89 tahun dan lebih 10 tahun bersara, dirasakan perlu dipanggil semula untuk menyuntik 'ubat kuat' kepada Najib. |
MB: Pelan tindakan lengkap bantu Selangor sasar pendapatan minimum isi rumah RM4,000 Posted: 24 Jan 2014 01:32 AM PST Oleh : NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM : Misi menurunkan kadar kemiskinan luar bandar Selangor dijangka berjaya apabila satu rumusan dan pelan tindakan lengkap bagi menangani masalah itu berjaya dicapai dalam sesi percambahan minda yang diadakan Sime Darby Plantation Academy (SDPA), di Pulau Carey, baru-baru ini. Percambahan minda yang membabitkan Exco Kerajaan Selangor bersama pihak berkuasa tempatan dan jabatan kerajaan negeri itu antara lain mengupas strategi bagi mencipta peluang pekerjaan inovatif ke arah mencapai sasaran pendapatan minima isi rumah RM4,000. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan medianya berkata, pelan itu dilaksanakan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negeri yang terus mampan, di samping mengagihkan semula kekayaan negeri secara saksama. "Kita juga mengenalpasti fokus pertumbuhan kepada industri bernilai tinggi yang boleh menjana ekonomi mampan seperti eletronik dan elektrik berteknologi tinggi, bioteknologi, teknologi hijau, industri berkenaan kesihatan dan perubatan, pelancongan, pendidikan serta bidang penyelenggaraan juga baik pulih pesawat (MRO). "Kita sedang mempertimbangkan 'konsep pengkongsian keuntungan' yang sudah digunapakai secara meluas dalam industri minyak dan gas untuk disesuaikan bagi sektor kuari serta perlombongan. "Kita juga mengenal pasti lokasi strategik yang terdapat permintaan tinggi bagi perumahan mampu milik sebagai langkah mengatasi isu lonjakan harga rumah," katanya. Katanya, kerajaan negeri kini juga sedang meneliti pelbagai program latihan teknikal khusus untuk belia luar bandar dan setiap kampung akan diminta menghantar lima peserta untuk menjalani kursus dalam bidang perbidanan, perpaipan serta elektrikal. "Tambahan pula, kita diberitahu Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) pada sesi taklimat semalam bahawa Selangor dijangka mencapai pendapatan perkapita menepati definisi 'negara maju' menjelang 2016 dengan mengandaikan Senario A (Model Ekonomi Baharu) dan Senario C (berdasarkan prestasi pertumbuhan historikal Selangor). "Bersandarkan dua senario yang sama, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor diunjurkan berkembang masing-masing pada kadar 6.8 peratus dan 6.5 peratus secara purata antara 2013 dan 2023," katanya.-NFN- |
Skim Mesra Usia Emas tampil idea baru untuk manfaat warga emas Posted: 24 Jan 2014 01:28 AM PST Oleh : NAEEM RAFFI SHAH ALAM: Skim Mesra Usia Emas (SMUE) tampil dengan beberapa idea baru kepada kerajaan negeri untuk diperhalusi dalam memastikan warga emas yang berdaftar di bawahnya menikmati manfaat program ketika hidup dan selepas mereka meninggal dunia. Ketua Pegawai Operasinya, Kamsani Nasir, berkata sebelum ini ahli hanya menerima sumbangan (khairat kematian) selepas mereka meninggal dunia melalui dua fasa iaitu RM1,000 pada fasa pertama dan bakinya RM1,500 pada fasa kedua iaitu 60 hari selepas kematian. "Berbeza dengan cadangan baru ini, warga emas berdaftar akan menikmati nilai sumbangan yang sama ketika mereka masih hidup dan selepas meninggal dunia," katanya kepada Selangor Kini, di sini, baru-baru ini. Kamsani berkata, cadangan terbabit dilihat lebih berimbang selain membuka ruang untuk warga emas menikmati hasil negeri ketika hidup. Katanya, beliau percaya lebih ramai warga emas akan tampil mendaftarkan diri mereka dengan manfaat berimbang berkenaan. "Ini adalah usaha penyusunan semula bagi memperkemas operasi. Matlamat kita tetap sama dan tidak pernah berubah iaitu menghargai peranan dan jasa warga emas. "Selepas ini, kami akan membincangan cadangan ini lebih mendalam lagi dengan Exco Kebajikan, Rodziah Ismail untuk mendapatkan cadangan yang lebih murni sebelum diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diperhalusi," katanya.-NFN- |
PAS tidak teruja ‘duduk sebumbung’ dengan Umno, pimpinan Najib ‘racun berbisa’ Posted: 24 Jan 2014 01:26 AM PST Oleh : AFEEQA AFEERA SHAH ALAM: PAS memberi jaminan tidak akan bergabung dengan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk 'government of national reconciliation' kerana merasakan strategi bersama Pakatan Rakyat (PR) adalah paling berkesan. Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, berkata parti Islam itu tidak pernah teruja untuk 'duduk sebumbung' dengan BN kerana menyifatkan gagasan yang diterajui Datuk Seri Najib Razak itu penuh 'racun berbisa' waalupun 'manis' dipandang. Beliau berkata, rakyat Malaysia yang menyokong penuh PR juga tidak perlu bimbang kerana PAS tidak akan mudah termakan dengan agenda atau tawaran Umno. "Saya juga rasa tidak perlu bagi PAS, DAP dan PKR menamatkan kerjasama dalam PR yang begitu erat kerana ini masa terbaik untuk kita membina kerjasama supaya lebih kuat. "PAS tidak pernah sesekali bercadang membentuk kerjasama dengan BN atau mengeruhkan keadaan dengan keluar daripada jalinan ikatan kukuh sedia ada. "Namun, dalam soal membabitkan kepentingan negara seperti kebajikan atau pendidikan, kita bersedia menghulurkan tangan," katanya dalam satu wawancara khas bersama portal Roketkini, baru-baru ini. Sementara itu, ketika mengulas strategi khusus PR bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti, Salahuddin berkata, sebuah jawatankuasa khas sudah dibentuk sebagai asas untuk memperkukuh kekuatan sedia ada. Katanya, jawatankuasa itu bertujuan memberi fokus dan menggarap sokongan masyarakat Melayu luar bandar yang masih lagi rendah peratusannya menyokong PR. "Ini penting untuk dijadikan asas bagaimana harus kita bangunkan strategi atau idea baru dalam menghadapi PRU akan datang. "Kita ingin memperkukuh, memperkemas dan menyelamatkan kekuatan sedia ada, di samping mencari langkah supaya dapat melangkaui 'grey area' dan 'black area'," katanya.-NFN- |
Mahkamah Rayuan akan lawat tempat Beng Hock didapati mati Posted: 24 Jan 2014 01:17 AM PST PUTRAJAYA: Panel Mahkamah Rayuan tiga anggota yang mengendalikan rayuan berhubung keputusan terbuka Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Teoh Beng Hock, akan melawat tempat dia dikatakan terjatuh di Plaza Masalam. Tempat itu adalah bekas pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Datuk Mohammad Ariff Md Yusof, yang mempengerusikan panel itu, memerintahkan pihak yang terlibat dalam rayuan berkenaan mengatur pemergian mereka ke tempat itu bagi memeriksa tingkap yang dikatakan tempat pembantu politik DAP itu terjatuh daripada bangunan berkenaan. Satu tarikh sebelum 28 Mac akan ditetapkan bagi tujuan itu. Dua hakim lain yang menganggotai panel itu ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer. "Ini belum pernah berlaku," kata peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Meng Kee, abang kepada Teoh, sambil menambah bahawa inilah julung kalinya para hakim Mahkamah Rayuan akan melawat tempat kejadian dalam inkues. Dalam inkues berkenaan, koroner Azmil Muntapha Abas melawat tempat terbabit dua kali dan panel Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan menyiasat punca kematian Teoh, melawatnya sekali. Terdahulu, panel itu mendengar rayuan yang dikemukakan Meng Kee dan menetapkan 28 Mac untuk menyambung pendengarannya. Pada prosiding semalam, Gobind berhujah tentang standard bukti yang perlu diguna pakai Mahkamah Koroner untuk membuat dapatan berhubung homisid dalam sesuatu inkues. Katanya Mahkamah Koroner, yang mendengar inkues tentang kematian Teoh, terkhilaf apabila menggunakan ujian 'melebihi keraguan munasabah' yang meletakkan syarat ketat dan beban lebih berat di bahu keluarga simati untuk membuktikan teori mereka bahawa kematian itu adalah satu homisid, pada inkues berkenaan. Gobind berkata ujian sewajarnya yang perlu dilakukan Mahkamah Koroner ialah ujian keseimbangan kemungkinan, yang hanya memerlukan bukti bersifat berkemungkinan apabila membuat keputusan pada akhir inkuesnya. Beliau berkata inkues diadakan untuk mencari fakta dan tidak perlu seketat prosiding jenayah, yang berdasarkan ujian 'di luar keraguan munasabah' kerana pada akhir perbicaran jenayah, hukuman akan diberi. Gobind berkata inkues bukan prosiding jenayah atau sivil, tetapi prosiding separa jenayah dan oleh itu, perlu mengenakan bebanan pembuktian yang lebih ringan. Sementara itu, Hamid Sultan berkata Seksyen 328 Kanun Acara Jenayah tidak mengenakan secara khusus sebarang standard pembuktian. Oleh itu, katanya, ia bukanlah ujian di luar keraguan munasabah atau ujian keseimbangan kemungkinan, tetapi perlulah menggunakan stadard lebih rendah seperti 'syak yang munasabah'. Pada 5 Jan 2010, koroner berkenaan membuat keputusan terbuka bahawa kematian Teoh bukan akibat bunuh diri atau dibunuh dan tidak melibatkan pihak ketiga. Pada 21 Julai tahun berikutnya, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen (kini bersara), memutuskan bahawa kematian Teoh adalah akibat bunuh diri. Selepas itu, Meng Kee memfailkan permohonan mengikut Seksyen 323 Kanun Acara Jenayah di Mahkamah Tinggi pada 30 Sept 2011 agar keputusan koroner itu disemak semula. Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak permohonan semakan semula Meng Kee itu pada 1 Dis 2011. Pada 2 Feb tahun lepas, Meng Kee mendapat kelulusan Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu. Di luar mahkamah, Gobind berkata keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes ini akan mempunyai kesan besar terhadap cara inkues dilaksanakan pada masa akan datang. - Bernama |
Mesej palsu 'macai kangkung' sesakkan pejabat MP Shah Alam Posted: 24 Jan 2014 01:16 AM PST Khalid menjelaskan mesej palsu skim perumahan Selangor kepada pasangan dari Bandar Kinrara, Puchong yang berkunjung ke pejabatnya semalam. SAIDAH HAIRAN SHAH ALAM: Mesej palsu berhubung skim pembiayaan perumahan rakyat Selangor yang beredar di media sosial dan khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak beberapa minggu lalu menyebabkan pejabat Ahli Parlimen Shah Alam dikunjungi ramai penduduk yang mahu mendapatkan 'borang permohonan'. Sehubungan itu Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad mengutuk perbuatan tidak bertanggung jawab itu kerana ia menyusahkan rakyat. Menurut beliau, sejak Isnin hingga petang Khamis semalam, lebih 2000 orang membuat panggilan telefon ke pejabat beliau termasuk panggilan daripada Johor dan Melaka manakala premis pejabat beliau dikunjungi lebih 20 orang sehari bagi memohon 'skim' tersebut. Malah masih terdapat orang ramai yang datang untuk mendapatkan borang permohonan semasa sidang media di pejabat beliau berlangsung. Mereka yang sempat ditemui Harakah bukan sahaja datang dari sekitar bandaraya Shah Alam malah dari Bandar Kinrara, Puchong dan Cheras. Bagi Khalid, mesej palsu yang tersebar itu dilakukan pihak tertentu bertujuan memburuk-burukkan Kerajaan Pakatan Rakyat. Tujuan utamanya, tambah beliau adalah untuk mewujudkan persepsi bahawa kerajaan negeri hanya pandai membuat janji tetapi tidak tahu menunaikannya. "Dalam SMS itu ditulis `sebarkan' jadi saya harap orang semakin kenal dengan penipuan yang dilakukan. Saya ucapkan terima kasih kepada 'macai kangkung' kerana dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali Ahli Parlimen Shah Alam," katanya. Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat mengingatkan rakyat Selangor supaya berhati-hati dengan sebaran maklumat palsu kerana program perumahan sebesar itu perlu terlebih dahulu dilancarkan kerajaan negeri dan bukan dengan cara menghantar SMS atau Whatsupp. "Biar kita tapis maklumat dulu supaya jangan dimainkan oleh 'macai kangkung'," tegasnya. Bagaimanapun beliau menyedari bahawa keterujaan orang ramai untuk membuat panggilan mahupun berkunjung ke pejabat beliau bagi mendapatkan borang permohonan menunjukkan bahawa masalah perumahan di Selangor amat serius. Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan pusat dan kerajaan negeri supaya memberi lebih tumpuan kepada isu ini. Beliau juga mencadangkan polisi satu rakyat, satu rumah diperkenalkan bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat memiliki rumah sekaligus membendung spekulasi. Khalid juga menyedari bahawa cadangan ini sukar dilaksanakan ekoran kekhuatiran pelbagai pihak tentang unit-unit rumah yang tidak laku dijual. Kerajaan juga, tegas beliau perlu mengkaji dasar membenarkan warga asing membeli rumah ketika permintaan warga tempatan gagal dipenuhi. "Saya juga alu-alukan perancangan rumah mampu milik kerajaan Selangor tetapi kita perlu dasar yang lebih tegas," katanya. |
Sultan Johor menang bidaan W1N dengan harga RM748,000 Posted: 24 Jan 2014 01:14 AM PST HARAKAHDAILY KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, berjaya memenangi tender nombor Plat W1N dengan harga paling mahal RM748,000.00. Sultan Ibrahim yang dipetik New Straits Times bertitah, baginda tidak keberatan membayar RM748,000 untuk nombor yang paling diminati itu kerana menyedari jumlah yang dibayar akan disalurkan kembali kepada rakyat. "Orang-orang akan mendapat manfaat daripadanya. Jadi jumlah yang dibayar adalah kecil berbanding dengan faedah yang rakyat akan tuai," katanya dipetik akhbar berbahasa Inggeris itu. Baginda juga menjelaskan telah membida nombor melalui saluran yang betul, iaitu melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). "Beta diberitahu bahawa terdapat beberapa pembida yang berminat untuk W1N . "Beta tidak keberatan membayar untuk nombor plat kerana tahu bahawa jumlah yang dibayar akan disalurkan kembali kepada rakyat. "Beta bukan jenis yang melangkau prosedur untuk mendapatkan sesuatu dengan cara beta. Ini adalah sifat orang Johor, membayar untuk apa yang dikehendaki kerana semua orang patut mempunyai peluang yang sama rata dan seperti kata pepatah, 'hanya orang yang terbaik menang'," jelas baginda. Nombor plat W1N itu diletakkan baginda pada kereta model Proton Suprima S berwarna biru. Sebelum ini, Sultan Ibrahim juga memenangi bidaan bagi nombor plat WWW 1. |
Ku Nan beri bayangan subsidi RON95 akan dimansuh? Posted: 24 Jan 2014 01:11 AM PST KUALA LUMPUR: Rakyat bakal sekali lagi menjadi mangsa penipuan kerajaan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) mengumumkan dasar harga baru RON95 akan berkuatkuasa pada Mei atau Jun tahun ini. Dengan menggunakan alasan 'memastikan semua subsidi kerajaan dinikmati rakyat Malaysia yang layak', satu mekanisma akan diperkenal yang membolehkan hanya golongan susah mendapat subsidi petrol. "Gesaan ini pasti menimbulkan kegelisahan kepada golongan pertengahan apabila pemansuhan subsidi RON95 menjadi agenda sebenar," ujar Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduann dalam satu kenyataan. Justeru, tegasnya SAMM menolak sebarang usaha kerajaan menaikkan harga petrol RON95 walau dengan apa pun alasan. Katanya, rakyat sudah cukup menderita dengan pelbagai kenaikan kos sara hidup yang melambung dan berita pemotongan subsidi ini sangat tidak membantu meredakan keresahan rakyat. Tambahnya, SAMM percaya mekanisma bakal disusun akhirnya menjadikan rakyat Malaysia dipaksa tunduk kepada kerajaan. "SAMM jangkakan rakyat akan diarah memohon kad subsidi dan hanya yang bergaji tertentu sahaja layak memiliki kad tersebut. "Pada tahun 2011, Ismail Sabri ketika itu menjadi menteri bertanggungjawab pernah mencadangkan penggunaan mykad sebagai token pengantara untuk menikmati subsidi petrol," katanya lagi. Apa pun mekanismanya, ujar beliau SAMM menyeru kerajaan melihat kembali bagaimana ketirisan besar berlaku dalam agihan subsidi kepada nelayan. "Jika ketirisan subsidi diesel untuk nelayan tidak mampu dibendung, bagaimana pula agihan subsidi terhadap belas juta pemandu di Malaysia?" tanya beliau. Rakyat, katanya seolah-olah terpaksa mengemis di bumi sendiri untuk sesuap subsidi. Ini, katanya kerana pengagihan subsidi ini juga akan menjadi sebuah lagi 'BR1M' yang memaksa rakyat akur terhadap pemerintah sampai bila-bila. "Cukup sudah duga-menduga perasaan rakyat, SAMM yakin kali ini rakyat akan bangkit secara luar biasa setelah pemerintah tidak henti-henti mempermainkan rakyatnya. Lebih ramai yang akan memilih jalanraya, dan mungkin Putrajaya," katanya. |
Isu kos sara hidup hangatkan pelancaran Ameerah WP Posted: 24 Jan 2014 01:10 AM PST KUALA LUMPUR: Pentas wanita muda yang akan membicarakan isu kenaikan harga barang dari sudut pandang wanita akan diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak pada Ahad ini. Ceramah bertajuk 'Kenaikan Harga Barang Menggugat Kebebasan Wanita' akan menampilkan Ketua Ameerah Dewan Muslimat PAS Pusat, Faridah Samad dan Ketua Srikandi PRK, Siti Aishah Shaik Ismail. Ia diadakan bersempena perasmian pelancaran Ameerah Wilayah Persekutuan yang ditubuhkan pada akhir 2013, hasil persetujuan saf kepimpinan baru Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan (DMPWP) sesi 2013-2015. Majlis pelancaran akan bermula pada jam 2.30 petang dan akan dirasmikan oleh Faridah sendiri. Ketua DMPWP, Nuridah Salleh yang juga penasihat Ameerah Wilayah Persekutuan akan turut hadir menyerikan majlis. Majlis ini terbuka kepada semua wanita muda di sekitar Wilayah Persekutuan dan pendaftaran untuk menjadi ahli Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan dibuka. 100 orang terawal mendaftar sebagai Fan Club Ameerah Wilayah Persekutuan akan menerima cenderahati menarik. Sementara itu, Nuridah berkata, sudah tiba masanya wanita muda PAS di Wilayah Persekutuan digabungkan dalam satu organisasi bagi mendekati pengundi-pengundi muda di ibu kota. Menyahut seruan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi AWang agar muslimat memberikan tumpuan yang lebih kepada pengundi muda wanita, Nuridah berkata Ameerah Wilayah Persekutuan akan berusaha mengajak wanita muda agar cakna politik dan peka kepada isu-isu semasa khususnya berkaitan wanita. "Gerak kerja pilihan raya kena bermula dari sekarang secara tersusun. Jadi menjadi tugas Ameerah Wilayah Persekutuan mendekati wanita muda untuk menyedarkan mereka tentang kepentingan memilih pemimpin," katanya kepada Harakahdaily. Ameerah Malaysia ditubuhkan pada 1 Oktober 2011 dan dirasmikan oleh Tuan Guru Abdul Hadi sendiri di majlis sambutan 60 tahun PAS di Pulau Pinang. Ameerah Malaysia seterusnya melebarkan sayap ke seluruh negeri dan bergerak secara langsung sebagai tenaga musimat muda dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu. |
Posted: 24 Jan 2014 01:08 AM PST Shirzad Lifeboat TIDAK pasti berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang percaya tentang apa juga penjelasan Perdana Menteri Najib Razak mengenai apa jua perkara. Beberapa hari lalu, dengan wajah selamba yang sudah hilang seri dan komersialnya, Najib muncul di perhimpunan bulanan kakitangan Kementerian Kewangan. Bercakap kepada kakitangan kementerian berkenaan seolah-olah bercakap kepada seluruh negara, Najib tidak ketinggalan menyelitkan perihal ejekan dan cemuhan 'kangkung' yang diterimanya dari rakyat Malaysia pelbagai lapisan. Namun, seseorang boleh membayangkan berapa ramai percaya atau yakin dengan penjelasan beliau. Untuk menekankan kononnya beliau sememangnya faham konsep penawaran dan bekalan dalam pengurusan ekonomi makro (ekononi negara), menurut Najib tujuan beliau (dibaca, menarik dan mengurangkan subsidi; membiarkan kenaikan barangan dan perkhidmatan tanpa apa juga bentuk mekanisme kawalan; membiarkan matawang ringgit berada pada paras terendah di tukaran wang asing akibat simpanan luar yang terlalu berlebihan, iaitu bernilai sembilan bulan import tertahan berbanding tiga bulan import tertahan sebagaimana diamalkan oleh kebanyakan negara termasuk negara kaya dan maju; membiarkan hutang negara menghampiri had dibenarkan undang-undang sehingga pengkadaran kredit antarabangsa mengalami penurunan gred; dan macam-macam lagi), "bukan untuk membebankan rakyat, tetapi mencapai lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi yang tidak mungkin berjaya tanpa lonjakan ekonomi." obses perkataan Tidak dapat dinafikan kebanyakan ahli politik Umno terkena penyakit 'obses perkataan' apabila menjadi pemimpin dan apatah lagi apabila menduduki jawatan kerajaan. Perkataan kegemaran Najib ialah 'transformasi'. Sikit-sikit transformasi seolah-olah dengan jentik jari eknomi Malaysia boleh menjalani proses perubahan struktur semalaman. Tujuannya sudah tentulah bagi menceritakan kepada rakyat Malaysia dan dunia, dia tahu apa yang dilakukannya dan dia memiliki resepi yang tidak ada pada sesiapapun termasuk pakar ekonomi terulung sekalipun. Kini Najib bercakap tentang 'lonjakan negara maju dan berpendapatan tinggi'. Apakah Najib secara serius yakin, Malaysia akan menjadi negara maju dan rakyatnya akan berpendapatan tinggi' hanya dengan satu 'lonjakan'? Apakah usaha menyusun semula struktur ekonomi sesebuah negara seperti melonjakkan diri untuk melangkah longkang? Barangkali filem Hollywood 'The Transformer' memberikan inspirasi untuk Najib menggunakan perkataan 'transformasi'. Kepada minda Najib jika sebuah robot boleh ditukarkan sekelip mata menjadi sebuah trak gempur, maka perihal sama boleh digunakan untuk meyakinkan rakyat Malaysia. Justeru jika adapun sesuatu yang menyerlah tentang Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, ialah betapa beliau gemar mencipta atau memperkenalkan istilah baru yang bunyinya cukup 'bombastik' kepada rakyat kampung dan mereka yang kurang faham tentang ekonomi. Kini perkataan 'lonjakan' kian menjadi perkataan 'favourite' Najib. Walaupun tidaklah sebombastik 'transformasi' namun ia memberikan semacam 'ummph' kepada resipi ekonomi di awang-awangan beliau. bukan sekadar lonjakan Begitupun, setiap pakar ekonomi arif betapa untuk menjadikan sebuah negara miskin atau membangun kepada sebuah negara maju bukanlah boleh dibuat dengan hanya sekadar lonjakan. Malah jika terdapat usaha gigih ke arah lonjakan sekalipun, ia akan membawa padah. Contoh paling jelas adalah apabila China ketika dipimpin oleh Mao Zedong (yang tak arif tentang ekonomi) melancarkan kempen 'Lonjakan Besar Kehadapan' (The Great Leap Forward) di antara 1958 sehingga 1961 bagi mentransformasikan negara tersebut dari berasaskan ekonomi tani kepada ekonomi berasaskan industri. Akhirnya bukan sahaja kempen tersebut gagal, 'lonjakan' yang cuba dipaksakan oleh Mao ke atas rakyatnya mengakibatkan malapetaka berskala besar dalam apa yang dinamakan sebagai 'Great Chinese Famine' (Kebuluran Besar China) dan mengakibatkan sebanyak di antara 18 hingga 45 juta nyawa rakyat terkorban. Sejarahwan terkemuka Belanda Frank Dikotter dalam bukunya, Mao's Great Famine merumuskan Lonjakan Besar Kehadapan China bukan menghasilkan motivasi ekonomi tetapi sebaliknya "memotivasikan satu daripada penyembelihan beramai-ramai manusia terbesar dalam sejarah manusia". Lonjakan tajaan Najib bagi mentransformasikan ekonomi Malaysia belum sampai ke peringkat sebagaimana dialami dalam The Great Chinese Famine. Tetapi dengan kadar inflasi pasca-bajet meningkat pada angka 3.2 peratus Disember lalu (sebagaimana dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan) berbanding 1.2 peratus setahun lalu; kenaikan harga minyak sebanyak 10 peratus; tarif elektrik 15 peratus; pelbagai barangan dan perkhidmatan pelbagai peratus. Matawang ringgit yang terus melemah dengan penurunan 1.5 peratus lagi sejak awal tahun; dan cukai GST serta kenaikan tol lebuhraya yang bakal dikuatkuasakan; dan macam-macam lagi, tidak mustahil Malaysia dan rakyatnya sedang bergerak deras ke arah mala petaka ekonomi. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Jika urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya." Dalam sebutan masyarakat Melayu pula: "Bagai tikus membaiki labu." |
Isu 'Allah': PERKASA nasihat KJ jaga kementerian sendiri Posted: 24 Jan 2014 01:03 AM PST MALAYSIAKININGO pendesak Melayu, PERKASA menasihatkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin supaya jangan menjadi 'jurucakap Putrajaya' berhubung isu penggunaan kalimah Allah. Setiuasaha Agung PERKASA, Syed Hassan Syed Ali berkata ini kerana Khairy bukanlah perdana menteri atau menteri hal ehwal Islam. "Sebagai Ketua Pemuda Umno dan BN, selayaknya bercakap hak berkaitan parti, bukan hal urusan kerajaan kecuali kementerian kamu," katanya dalam satu kenyataan. Beliau menjawab kenyataan Khairy bahawa kabinet tetap dengan penyelesaian 10 Perkara berkaitan dengan penggunaan kalaimah 'Allah dalam Bible bahasa Melayu. Khairy membuat kenyataan itu selepas kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikritik kerana membisu berhubung kemelut yang berterusan itu, walaupun mendakwa telah membincangkan perkara itu beberapa minggu lalu. Isnin lalu, Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok menegaskan bahawa telah dilaporkan pada 9 Januari lepas bahawa Najib akan mengumumkan keputusan kabinet mengenai isu itu. Sehingga ini, perdana menteri belum membuat sebarang pengumuman mengenai keputusan kabinet itu. Sementara itu, Syed Hassan berkata, PERKASA ingin bertanya kepada Khairy apakah 10 perkara penyelesaian Putrajaya dalam isu Bible bahasa Melayu. "Tolong senaraikan 10 perkara itu? Apakah ada sebut kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu dalam 10 perkara itu?" soalnya lagi. Antara lain, penyelesaian 10 perkara itu membolehkan pihak gereja mengimport atau mencetak Bible bahasa Melayu dan juga membolehkan rakyat Sabah dan Sarawak menggunakan Bible tersebut di Semenanjung Malaysia. "Elok YB Khairy beri komen apa yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan ulang tahun kelahiran Tuanku baru-baru ini yang mana titah baginda bahawa kalimah Allah hanya esklusif untuk umat Islam sahaja. "Kami tak membaca di mana-mana media komen YB Khairy berkaitan titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong itu," tambahnya. Syed Hassan juga turut membidas Khairy, dengan berkata PERKASA masih menyimpan rekod bahawa Khairy antara orang terawal yang berada di sebuah gereja yang terbakar beberapa tahun lalu. "Tetapi tidak nampak muka di mana-mana masjid dan surau yang telah dilempar kepala dan isi babi sebelum ini. "Apakah itu perjuangan seorang ketua Pemuda Umno?" tanya Syed Hassan lagi. PERKASA juga mendesak menteri yang menjaga hal ehwal Islam, Datuk Seri Jamil Khir memperjelaskan 10 perkara yang dimaksudkan itu, apakah membabitkan kebenaran pengunaan Kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu. |
'Fokus dapat sokongan, bukan lawan retorik pembangkang' Posted: 24 Jan 2014 12:59 AM PST MALAYSIAKINITEMUBUAL Taktik menakut-nakutkan rakyat dengan retorik kaum dan agama tidak akan memenangi pilihan raya, kata ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed. Memberi contoh ugutan mengulangi peristiwa 13 Mei oleh beberapa NGO dan Umno Pulau Pinang, beliau berkata, parti itu sepatutnya fokus cuba mendapatkan sokongan dan bukan melawan kembali retorik pembangkang. "Baik Tan Sri Taib Mahmud lagi di Sarawak. Orang kata dia macam-macam tapi bila pilihan raya di Sarawak, keputusannya mantap. PBB bertanding 35 kerusi ADUN, 35 dia menang. "Kita di sini, cerita macam-macam, cakap macam-macam, jerit sana, jerit sini, ugut sana, ugut sini, tapi rakyat masuk pilihan raya tetap bagi undi kepada pembangkang. Bukan pasal pembangkang kuat pun," kata beliau dalam temubual dengan Malaysiakini. Beliau berkata demikian mengulas isu himpunan membantah tindakan ADUN Machang Bubuk dari PKR, Lee Khai Loon yang menyumbat kangkung kepada replika perdana menteri sewaktu flash mob anti kenaikan harga baru-baru ini. Himpunan disertai Umno dan PERKASA Pulau Pinang itu menyatakan tindakan Lee itu seolah menghina Melayu dan boleh mencetuskan perulangan peristiwa 13 Mei 1969. Bagaimanapun Nur Jazlan tetap membidas tindakan Lee tersebut yang disifatkan sebagai 'melampaui batas'. "Di internet, saya lihat video, lagu, parodi yang kelakar dan bijak di atas kenyataan PM berkaitan 'kangkung'. Satira politik itu normal. "Tapi untuk seorang wakil rakyat buat perkara itu, buat efigi, sumbat kangkung... arak ke merata tempat. Itu tunjukkan kekurangan karektor, lampaui batas. Kita (wakil rakyat) sepatutnya lebih terpelajar," katanya. Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC) turut mengatakan peristiwa 13 Mei tidak mungkin berulang khususnya di kawasan bandar kerana perbezaan sudut demografi, sosial dan ekonomi rakyat berbeza dari tahun 1969. "Apabila rakyat bertambah kaya, mereka akan jadi - maafkan saya katalah - pentingkan diri sendiri juga, kerana tak nak apa-apa berlaku yang menjejaskan keselamatan dan harta yang mereka ada," kata beliau. Nur Jazlan bagaimanapun mengakui isu kangkung ini menunjukkan betapa Umno semakin kehilangan sokongan dari rakyat. Beliau berkata tindakan pembangkang yang didakwanya menghasut rakyat membenci pemimpin menggunakan isu seperti ini bakal menjejaskan prestasi Umno dalam pilihan raya akan datang. "Tapi sekarang ni saya khuatir prestasi BN pada PRU14, tambah lagi dengan sekarang ni Datuk Seri Najib sendiri sebagai PM dimomok-momokkan kes Kangkung, di boo di stadium, kerana rakyat terbawa-bawa dengan persepsi negatif, padahal beliau bawa perkara baik...tapi rakyat tak terima. "Sebelum pilihan raya, Najib ialah aset tapi sekarang kritikan ditumpu pada perdana menteri," katanya. *Temubual ini dikendalikan bersama oleh Radzi Razak dan Koh Jun Lin |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan