DIALOG RAKYAT |
- Johor kembali cuti Jumaat, Sabtu mulai esok
- Jangan cakap “bukan salah Umno”
- Polis keluar garis panduan turun kadar jenayah
- DAP sokong Protes Pensel Merah, seru solidariti demi kebebasan media
- Naikkan harga barang, UMNO warisi perangai Abu Jahal
- Kalau guling kerajaan yang adil barulah bughah
- Penyokong Turun di Saudi turut protes kos sara hidup
- Najib umum 11 langkah bukan penjimatan tetapi "penjimakan"
- Peguam Negara: Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail ada cerita disebaliknya
- Peniaga parah ditembak dari jarak dekat
- 'Fatwa' Harussani songsang, menyesatkan - Dewan Ulamak
- Harga ikan kembung di Kedah naik 50 peratus
- PKR S'gor gerakkan anak muda ke demo wartawan
- MP: Harussani mufti tak ada umat
- Kalimah Allah: Tindakan Umno Selangor Pertimbangan Sendiri - Muhyiddin
- BERSIH: Ingat tuntutan akses sama rata media
- Dua pemimpin Bible Society dibebaskan
- Majlis gereja: Kamu tiada kuasa masuk premis non-Muslim
Johor kembali cuti Jumaat, Sabtu mulai esok Posted: 02 Jan 2014 07:04 AM PST SHAH ALAM - Esok 3 Januari 2014 (Jumaat) merupakan hari pertama negeri Johor memulakan cuti mingguan Jumaat Sabtu sepertimana yang diputuskan sebelum ini. Pertukaran cuti mingguan tersebut berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahukan cuti mingguan tersebut ditukar dari hari Sabtu Ahad kepada Jumaat Sabtu bagi memberi ruang kepada umat Islam memperbanyakkan amalan pada hari tersebut. Baginda bertitah, Jumaat adalah penghulu kepada semua hari dan umat Islam perlu mengambil peluang keberkatan hari Jumaat untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut. "Pada masa kini, kita dapat perhatikan golongan lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat. Waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu berehat dan tidur. "Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat menunggu imam selesai membaca doa. Kita sedia maklum, di Malaysia ini masih ada beberapa negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat malah Johor juga sudah mengamalkannya sebelum ini. "Oleh yang demikian, selepas menilai banyak pandangan, saya membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014," titah baginda sempena Istiadat Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Ke-55, di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, tahun lalu. Johor pernah menjadikan Jumaat Sabtu sebagai cuti mingguan sebelum negara mencapai kemerdekaan. Bagaimanapun cuti itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1994. Selepas 19 tahun mengamalkan cuti mingguan pada Sabtu Ahad, bermula esok, cuti berkenaan kembali semula kepada Jumaat Sabtu. Antara negeri yang mewartakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah. | |||||||
Jangan cakap “bukan salah Umno” Posted: 02 Jan 2014 07:01 AM PST Oleh Zulkifli Yahaya Makin hari makin bertambah jumlah para pemimpin politik dari pihak kerajaan yang bercakap memperbodohkan rakyat. Dah jadi satu koleksi lawak jenaka yang berenteran. Ada menteri yang bercakap, jika ayam mahal belilah daging atau ayam. Ada menteri yang cadangkan jika tak setuju kenaikan harga tol, sila guna jalan biasa tanpa tol. Waktu harga petrol naik mereka beritahu, sebenarnya harga petrol tidak naik cuma subsidi dikurangkan. Waktu harga gula dinaikkan mereka cakap, tujuannya supaya rakyat sihat tak kena penyakit kencing manis. Dalam pilihanraya kecil Sungai Limau kerajaan BN anjurkan pula jualan gula RM1.00 sekilogram. Memang hebat kelentong para pemimpin politik yang sedang memerintah Malaysia. Kalau ditakdirkan mereka masuk program Rajalawak, tergugat juga para pelawak sedia ada. Terbaru, bekas Naib Presiden UMNO yang pernah digantung keahlian kerana didakwa terbabit rasuah dalam pemilihan parti itu, Tan Sri Isa Samad turut menambahkan koleksi kenyataan jenaka berhubung isu tekanan kos hidup yang sedang melanda rakyat. Katanya, kenaikan harga barang bukan salah Umno. "Itu kita tak boleh elak, nak marah pada Umno sebab apa, kalau marah pada Umno harga tidak boleh turun... kos hidup (tidak boleh turun). "Kita minta masyarakat memahami kenapa kos ni naik, kenapa pengurangan subsidi itu terpaksa kita buat, demi untuk menjaga keadaan ekonomi negara," katanya. Begitulah Umno. Waktu mendabik dada bahawa negara berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dan memberi pelbagai bantuan untuk rakyat; maka itu adalah jasa Umno. Tetapi sewaktu rakyat terdera dengan bebanan kos hidup akibat kepincangan kerajaan mengurus ekonomi negara, maka itu bukan salah Umno. Umno adalah parti yang mendominasi kerajaan yang memerintah. Tanpa Umno tiadalah kerajaan Barisan Nasional. Mereka yang mencipta politik mentadbir negara. Mereka yang membangunkan negara dan mereka juga yang menghancurkannya. Janganlah yang baik-baik sahaja dari Umno manakala yang buruk bukan dari Umno. Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah kesan daripada tindakan kerajaan menaikkan harga minyak, gula, kadar tol, tarif elektrik, cukai pintu dan sebagainya. Semua itu membabitkan kos asas pengeluaran barangan. Peniaga terpaksa menaikkan harga barangan apabila kos pengeluaran bertambah. Mengapa kerajaan 'terpaksa' mengurangkan subsidi ke atas barangan tertentu? Kononnya kerana mahu menggunakan wang untuk menguruskan negara. Itu cuma alasan yang direka-reka. Sebenarnya hasil mahsul kekayaan negeri sudah cukup untuk menguruskan negara tetapi ia menjadi tidak cukup apabila negara diurus oleh pemboros wang rakyat. Perbelanjaan negara juga terpaksa menggunakan peruntukan yang besar untuk membayar kos tidak perlu kepada para 'penyamun' berlesen yang sudah berakar umbi dalam pemerintahan. Sama ada projek perlu dibuat dengan kos yang berkali ganda lebih tinggi dari kos yang munasabah, atau projek mewah tidak perlu yang sengaja dibuat untuk diagihkan kepada kroni; semuanya menggasak wang rakyat dalam jumlah yang sangat besar. Setiap tahun Ketua Audit Negara dedahkan ketirisan yang berlaku namun para pemimpin Umno yang memerintah kelihatan tidak mahu membetulkan penyelewengan. Tahun berikutnya ada lagi pendedan baru. Begitulah berlaku saban tahun kehilangan wang negara akibat diurus oleh sebuah kerajaan yang tiada integriti. Antara ketirisan juga ialah apabila BN menggunakan wang rakyat untuk memenangi pilihanraya umum. Penganalisis politik terkemuka yang melakukan kajian terhadap perjalanan politik Malaysia, Dr Bridget Welsh membuat penilaian bahawa BN menggunakan sebanyak RM2 billion untuk kempen mereka. Itu cuma satu contoh ketirisan wang negara. Belum kira pembaziran yang dibuat oleh Perdana Menteri, isteri, para menteri dan lain-lain. Sudah puas pemimpin Pakatan mendedahkan di pentas ceramah, namun mereka selamba saja menonjolkan wajah tidak bersalah. Kadangkala makin mendapat tempat pula dalam kerajaan atau Umno. Sharizat Jalil di mana keluarganya terbabit menjahanamkan RM250 juta wang rakyat terus diberikan mandat memimpin wanita parti rasuah itu. Ketirisan keseluruhan wang rakyat ini dianggarkan RM30 billion setahun. Jumlah sebesar itu boleh diguna untuk mengurus negeri Perlis lebih dari setengah abad. Kononnya penarikan subsidi untuk salur duit kepada pembangunan, soalnya mengapa subsidi orang awam saja yang ditarik? Misalnya dalam isu penarikan subsidi bekalan elektrik, mengapa pemberian subsidi kepada penjana tenaga bebas (IPP) sebanyak RM19 bilion setahun tidak ditarik? Umno memerintah Malaysia sudah terlalu lama. Kesan negatifnya ialah hilang keyakinan pihak luar terhadap sistem ekonomi Malaysia, akibat imej rasuah. Ranking indeks rasuah Malaysia tidak pernah baik, sentiasa corot. Kerajaan yang ada ternyata gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik. Ia menyumbang kepada kejatuhan nilai matawang Ringgit. Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang Malaysia telah terjunam. Peniaga negara kita terpaksa mengimport pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing, mereka mengguna Dolar US. Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang rendah. Barangan keperluan terpaksa diimport juga dari negara luar, maka harganya menjadi tinggi. Semua itu adalah kegagalan kerajaan yang didominasi Umno. Maknanya kelemahan kerajaan Umno itulah yang jadi punca terhadap kenaikan harga barang. Takkan tak mahu mengaku lagi?! | |||||||
Polis keluar garis panduan turun kadar jenayah Posted: 02 Jan 2014 06:56 AM PST KUALA LUMPUR - Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata pihaknya telah mengeluarkan beberapa garis panduan bagi menurunkan lagi kadar jenayah di negeri itu. "Garis panduan 2014 itu meliputi bagaimana untuk menurunkan kadar jenayah...membasmi kegiatan pelacuran dan maksiat, membasmi perjudian, menangani masalah kemasukan dadah di pintu-pintu masuk utama serta mengurangkan kes pinjaman wang haram atau dikenali along. "Kita menyeru supaya masyarakat dapat bekerjasama dengan pihak polis bagi membekalkan maklumat kepada kami untuk membasmi jenayah, katanya kepada pemberita selepas majlis serah tugas Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Selangor di IPD Ampang Jaya, hari ini. Pada majlis itu, Asisten Komisioner Khairuldin Saat menggantikan Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin sebagai Ketua Polis Daerah Ampang Jaya manakala Amiruddin akan mengisi jawatan Khairuldin sebelum ini sebagai Penolong Pengarah Pengurusan Aplikasi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS), Bukit Aman. Mohd Shukri berkata beliau yakin Khairuldin dapat meneruskan kecemerlangan yang telah dicapai oleh bekas ketua polis sebelum ini. "Kadar jenayah di daerah ini kebanyakannya terdiri dari kes 'high profile' dan bukan mudah seorang ketua polis untuk menangani kes seumpama itu," katanya. - Bernama | |||||||
DAP sokong Protes Pensel Merah, seru solidariti demi kebebasan media Posted: 02 Jan 2014 06:52 AM PST KUALA LUMPUR: Pemuda DAP Kebangsaan hari ini menyatakan sokongan kepada Protes Pensel Merah oleh kumpulan Gerakan Media Marah (GERAMM), di hadapan bangunan Majlis Peguam, Sabtu ini. Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong berkata, sokongan ini selaras dengan prinsip semangat setiakawan yang menjadi asas demokrasi berparlimen. "Hak memprotes ini telah dijamin perlembagaan negara, mana-mana kumpulan berhak untuk menyatakan bantahan sesuai menurut undang-undang yang diperuntukan. "Kami dengan tegas menolak campur tangan kerajaan menerusi agensi tertentu dengan niat mahu menyekat kebebasan media yang gigih melapor isu melibatkan kepentingan awam," katanya dalam kenyataan. Beliau yang juga Ahli Parlimen DAP Rasah turut menggesa pihak berkuasa menjalankan kewajipan dengan rasional dan profesional terhadap tindakan menggantung akhbar The Heat, baru-baru ini. "Pihak berkuasa perlu menjalankan tugas sewajarnya tanpa membiarkan agensi mereka diperalat pihak tertentu atas niat politik sempit. "Kita juga berharap, isu-isu yang melibatkan tahap keselamatan para wartawan ketika membuat liputan di sebarang demonstrasi aman diberi perhatian sebetulnya oleh pihak berkuasa," tegasnya. Katanya lagi, usaha GERAMM yang menjayakan protes secara matang dengan penganjuran forum dan protes secara terbuka harus diberi pujian. Beliau turut memohon semua pengamal media agar turut sama bersolidariti dengan turun menyertai himpunan. "Kami menyeru rakan-rakan media yang lain, baik media alternatif mahupun arus perdana untuk turut sama menyatakan sokongan kepada GERAMM," ujarnya. – Roketkini.com | |||||||
Naikkan harga barang, UMNO warisi perangai Abu Jahal Posted: 02 Jan 2014 06:50 AM PST KUALA LUMPUR,: Tindakan kerajaan menaikkan harga barang secara mendadak tanpa memikirkan penderitaan rakyat hampir menyamai kezaliman yang dilakukan Abu Jahal satu ketika dulu. Demikian kata Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto ketika menyampaikan ucapan ringkas dihadapan hampir 8,000 ribu rakyat dalam Himpunan Turun, semalam. "Kita semua hadir hari ini untuk mengugat keamanan Perdana Menteri, Najib Razak dan isterinya Rosmah. Mulai 2014 kita akan pastikan beliau tidak boleh tidur lena dengan segala tindakan kejam yang dilakukan. "Rakyat tidak mahukan kerajaan yang menipu, merompak dan menderhaka kepada warganya sendiri. "Perilaku zalim sebegini tidak boleh diterima, inilah dia pemerintahan ala-ala Abu Jahal tapi mengaku diri wasatiyyah," katanya. Kasthuri turut menegaskan, himpunan terbabit bukan pengakhiran selagi kerajaan tidak memenuhi permintaan rakyat. "Malam ini bukan kesudahan, kita ada misi besar iaitu mengambil semula hak yang telah dirompak. Ini adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat untuk berterusan mendesak pentadbiran Najib. "Marilah kita bersama-sama dari sekarang bekerja dan menyampaikan mesej ubah kepada masyarakat di kampung-kampung yang begitu kuat memuja serta masih memberi mandat kepada kerajaan yang tidak halal ini agar mereka dapat dikalahkan pada PRU akan datang," ujarnya. Turut hadir ialah Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong; Ahli Parlimen DAP Segambut, Lim Lip Eng; Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dan beberapa pimpinan Pakatan Rakyat lain. -Roketkini.com | |||||||
Kalau guling kerajaan yang adil barulah bughah Posted: 02 Jan 2014 04:54 AM PST KUALA LUMPUR: Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) mendesak Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria supaya perlu berlaku adil dalam mengeluarkan kenyataan. "Jangan hanya tahu salahkan rakyat semata-mata," ujar Presiden PMIUM, Mohd Bukhairy Sofian. Tambahnya, tujuan himpunan adalah untuk memberi isyarat kepada kerajaan rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang bukannya mengguling kerajaan. "Kalau guling kerajaan yang adil barulah bughah (pemberontak) namanya di dalam Islam," katanya. Beliau menambah, dalam keadaan negara yang menangung hutang yang banyak, pembaziran terus berlaku, adakah mufti tidak nampak perkara ini. "Adakah itu tidak zalim? Peruntukan untuk konsert di dataran merdeka sebanyak 15 juta, adakah mufti melihat ini sebagai langkah bijak menyambut tahun baru?" tanya beliau. Menurutnya, mufti harus berfungsi menasihati pemerintah, bukan mengampu semata-mata. "Orang di bawah dan rakyat begitu susah untuk mendapat sesuap nasi. Mereka tidak ada elaun dan dibayar gaji seperti mufti," katanya. Justeru, tegasnya PMIUM mendesak Harussani menarik balik label bughah dan harus memohon maaf kepada rakyat kerana menisbahkan mereka sebagai bughah (pemberontak) yang mana gelaran yang begitu menghina rakyat. | |||||||
Penyokong Turun di Saudi turut protes kos sara hidup Posted: 02 Jan 2014 04:46 AM PST AHMAD DANIAL KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyokong Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) di Jubail, Saudi Arabia turut bersama-sama mengambil kesempatan untuk menyatakan protes mereka terhadap kenaikan kos sara hidup yang sedang dialami oleh rakyat Malaysia dan menyatakan tahun 2014 adalah merupakan tahun sengsara buat rakyat. Solidariti untuk menyatakan protes ini bukan hanya dibuat di Malaysia malahan turut dirasai oleh rakyat Malaysia di Saudi dan di seluruh dunia untuk memberi mesej yang jelas kepada kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional bahawa rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi cintakan Malaysia dan mahu melihat Malaysia mempunyai kemampanan dari segi ekonomi yang stabil pada masa akan datang. Sekumpulan penyokong gerakan ini yang mula berkumpul pada jam 9 malam di Royal Commision, Jubail dan memegang sepanduk menyokong usaha orang ramai menyertai Turun dan segala usaha-usaha yang bakal dilakukan oleh Gerakan Turun secara demokratik untuk mengurangkan sengsara rakyat pada tahun 2014. Tahun 2014 merupakan tahun sengsara buat rakyat kerana kenaikan harga minyak sebanyak 30 sen seliter bagi RON95, kenaikan harga gula sebanyak RM0.34 sekilogram, kenaikan harga diesel sebanyak 20 sen seliter dan kesan daripada kenaikan ini akan menyebabkan seluruh harga-harga barang akan meningkat pada tahun 2014. "Kita rakyat Malaysia di Jubail Saudi Arabia mengingatkan kerajaan supaya mengkaji semula penstrukturan kenaikan harga tol, tambang teksi dan tren, kadar taraf elektrik, dan perlaksanaan GST kerana sekiranya perkara ini tidak dapat dikawal, seluruh rakyat Malaysia sama ada di dalam negara atau di luar negara akan menggembleng usaha dan tenaga untuk tidak teragak-agak menukar kerajaan pada PRU 14 yang akan datang," ujar jurucakap Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jubail yang tidak mahu namanya disiarkan menerusi e-mel. Beliau juga turut mengulas harga minyak di Saudi hanya 39 sen seliter bagi RON95 bebanding Malaysia RM1.90 seliter, sedangkan kedua-dua negara merupakan pengeluar minyak dan Malaysia mempunyai kualiti minyak yang lebih berkualiti daripada Saudi, tetapi menjualnya dan mengguna pakai minyak Saudi yang kualitinya lebih rendah berbanding Malaysia. "Di Arab Saudi juga tidak mengenakan sebarang tol, malahan kerajaan Saudi telah menetapkan gaji minimum rakyat Saudi sebanyak SAR5,000 (RM4,250) berbanding Malaysia menetapkan gaji minumum sebanyak RM900, di samping mengenakan tol, GST, kenaikan harga minyak dan pelbagai-bagai lagi kenaikan harga yang tidak munasabah dikenakan oleh rakyat," katanya. Menurutnya, Malaysia bukan seperti Saudi yang hanya bergantung kepada minyak, Mekah dan Madinah sahaja untuk menjana pendapatan ekonomi negara, tetapi Malaysia mempunyai pelbagai hasil bumi seperti minyak, hasil tani, kelapa sawit, dan lain-lain lagi tetapi masih mengenakan cukai dan kenaikan harga yang tinggi malahan perbelanjaan negara saban tahun sentiasa defisit. Sebab itu menurutnya, rakyat Malaysia di Jubail Saudi Arabia, mengesyaki terdapat urus tadbir yang lemah oleh kerajaan Malaysia dalam soal pengurusan harta negara dan mungkin ia berlaku disebabkan oleh pembaziran atau ketirisan yang tidak mampu dibendung oleh kerajaan. "Sekali lagi, kami sebagai penyokong gerakan Turun di Jubail Saudi Arabia menyeru seluruh rakyat terutama anak muda supaya bangkit dan menyatakan rasa amarah kita terhadap kenaikan kos sara hidup di Malaysia yang begitu menghimpit untuk menyelamat dan melihat Malaysia yang lebih baik dalam urus tadbir ekonomi negara pada masa yang akan datang," tambahnya. | |||||||
Najib umum 11 langkah bukan penjimatan tetapi "penjimakan" Posted: 02 Jan 2014 04:43 AM PST Menjelang terselaknya tabir tahun 2014 Najib Razak telah mengumumkan 11 langkah 'drastik' penjimatan dengan memotong elaun hiburan para menteri dan juga pemotongan elaun pegawai tinggi kerajaan. Pengumuman itu dibuat ketika rakyat riuh 'randah' dan menanti jaya atau tidak himpunan Mansuhkan Kos Sara Hidup (Turun) yang dipelopori anak-anak muda. Himpunan malam semalam di Dataran Merdeka disertai lebih 30,000 berjaya dan memberi mesej jelas kepada Najib sekiranya tidak diberi perhatian berhubung masalah rakyat Najib akan terus diserang. Tampaknya anak-anak muda sudah sedia bangkit untuk menjolok mentari kekuasaan Najib di sepanjang tahun ini. Syabas. Kejayaan himpunan itu menunjukkan 11 langkah drastik yang diambil Najib itu sedikit pun tidak menarik dan mengugah hati rakyat khasnya di kalangan anak-anak muda untuk bersimpati apa lagi berbangga dengan seorang perdana menteri seperti itu. Sebaliknya pengumuman 11 langkah itu menjadi satu ejekan di kalangan rakyat di semua lapisan. Walaupun Najib tidak berharap pengumuman itu akan menghentikan ura-ura mengadakan himpunan Turun itu, tetapi maksud disebalik pengumuman itu, ialah untuk mengendurkan keadaan. Harapannya apabila beliau membuat pengumuman itu himpunan itu dimansuhkan. Selain itu, ole-ole tidak berharga ia juga dibuat dalam keadaan terpaksa. Mungkin di sinilah maka ada orang meminta agar penasihat Najib ditukar kerana ia tidak boleh dipakai. Jelas sekali penasihat Najib tidak pandai membaca dan menghitung keadaan maka 11 langkah penjimatan itu umpama mencurah garam ke lautan saja. Pengumuman dibuat Najib itu bukan saja tidak menarik rasa hormat rakyat, jauh sekali untuk mengatakan Najib prihatin, kecuali dari kalangan orang-orang Umno yang telah disistemkan menerusi mesen Umno menganggap ianya hebat (orang Umno kalau pemimpin mereka buat semua hebat, termasuk projek lembu kondo, pembelian cincin atau pembelian kondo di New York), tetapi pengumuman itu juga diketawakan rakyat. Hahaha... Rakyat yang sudah mangli dan masak dengan tektik-tektik 'janji-tipu' atau 'tipu janji' tidak merasakan langkah penjimatan itu sebagai usaha yang ikhlas dan serius dari seorang perdana menteri. Rakyat sudah menghitung berapa sangat wang kerajaan diselamatkan dari langkah itu sedangkan ribuan jutaan wang kerajaan dimakan umpama darah merah memakan darah putih. (Secara senyap). Dari langkah penjimatan itu juga rakyat menghitung berapakah keuntungan dinikmati rakyat hasil penjimatan yang tidak seberapa itu dan lebih kepada tektik untuk mempesonakan rakyat. Rakyat juga tidak perlu tahu berapa harga menteri atau pegawai tinggi peringkat KSU dan KSN susut ekoran penjimatan itu tetapi berapa nilai tambah diperolehi mereka. Bukan saja rakyat yang celik, pegawai kerajaan sendiri tidak senang dengan pengumuman Najib itu yang dianggap sebagai tempang dan tidak adil. Seorang pegawai kanan kerajaan menghubungi saya meminta agar saya mengulas mengenai langkah penjimatan Najib yang tidak jimat itu, "Tuan bagilah ulasan mengenai langkah penjimatan itu, ulaslah mengenai ketempangannya," kata pegawai itu. Menurutnya, penjimatan yang dilakukan tidak banyak pun kerana kerajaan masih melakukan program-program yang menelan banyak kos seperti sambutan menjelang tahun baru yang ternyata membazir. Difahamkan kerajaan memperuntukan RM15 juta untuk program sambutan tahun baru? Beliau juga persoalkan mengapa pegawai G54 dan Jusa C sahaja yang ditarik kelayakan mendapat tikit kapal terbang bisnes kelas. Soal beliau mengapa tidak meliputi pegawai Jusa B dan Jusa A, serta wakil-wakil rakyat serta Exco? "Kalau pemotongan ini dibuat melibatkan semua pegawai tinggi, wakil-wakil rakyat dan Exco barulah adil," tegasnya. Apa yang sedih katanya, pegawai atau mereka yang termasuk dalam ketagori Jusa C adalah para professor yang dilihat lebih ikhlas dan tulus dalam membangun anak bangsa. Sepatutnya golongan ini dikecualikan. Dengan memotong elaun mereka ini juga menunjukkan kerajaan tidak prihatin di dalam soal ini. Berdasarkan langkah penjimatan yang tempang itulah bolehlah dianggap ia bukan penjimatan sebaliknya PENJIMAKAN, ertinya langkah itu menyedap dan menyeronokkan pihak tertentu termasuk Najib dan isterinya Rosmah saja. Sebagai penjimakan rakyat hanya syok melihatnya tetapi tidak sedikit dapat merasainya. Mengapa? Ahmad Maslan boleh tolong jelas. Haha ha. | |||||||
Peguam Negara: Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail ada cerita disebaliknya Posted: 02 Jan 2014 04:41 AM PST Isu menarik dalam tahun 2013 yang membabitkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail tidak memeranjatkan saya. Ia hanya menunggu masa untuk 'meletup' dan ia sudahpun bermula. Lima orang Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat telah membuat laporan polis berhubung pendedahan mantan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.Kita masih tidak dimaklumkan sama ada pihak polis telah memula atau membuka kertas siasatan. Kita tahu bahawa setiap laporan yang dibuat mesti disiasat. Dalam kes ini, ia membabitkan Peguam Negara dan laporan polis oleh Ahli Parlimen berdasarkan maklumat mantan pegawai kanan polis. Kita ingin tahu sama ada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, CP Datuk Hadi Ho Abdullah, yang akan bersara tidak lama lagi, telah mengarah siasatan dilakukan atau hanya berdiam diri tanpa sebarang tindakan. Maklumlah ia membabitkan Peguam Negara yang juga Pendakwa Raya. Jika siasatan tidak dilakukan, maka rakyat boleh menyatakan bahawa wujud dwi-standard dalam siasatan. Tanggapan atau andaian sedemikian mesti dibuktikan tidak betul oleh pihak polis. Setakat ini, siasatan nampaknya belum dijalankan. Saya masih ingat 'peristiwa' yang membawa kepada pelantikan Gani Patail selaku Peguam Negara kerana pada waktu itu saya bertugas di Pejabat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab keatas hal ehwal undang-undang. Jabatan Peguam Negara terletak dibawah seliaan atau tanggungjawab Menteri berkenaan. Pelantikan Gani selaku Peguam Negara (AG) turut membabitkan latar belakang yang menarik dan seolah-olah satu babak drama tv yang penuh dengan dendam kesumat, iri hati dan ampu-mengampu. Ia bukan satu kebetulan. Gani Patail adalah AG kelapan selepas Datuk Seri (kemudian Tan Sri) Ainum Mohamad Sa'aid, Tan Sri Mohtar Abdullah, Tan Sri Abu Talib Othman, Tan Sri Hamzah Abu Samah, Tan Sri Abdul Kadir Yusof, Tan Sri Cecil M. Sheridan dan Thomas Vernor Alexander Brodie. Datuk Seri Ainum merupakan wanita pertama dilantik AG dan penyandang jawatan paling singkat dalam sejarah tanah air, iaitu selama setahun sahaja. Kenapa dan mengapa ianya berlaku boleh diibaratkan sebagai sebabak drama yang skripnya ditulis selari dengan perancangan. Saya kata ia boleh diibaratkan bukan babak drama sebenar. Harap pembaca faham akan maksudnya. Saya maklum bahawa mantan AG Tan Sri Mohtar Abdullah, allahyarham, telah memperakukan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, iaitu Gani Patail, dilantik menggantikannya. Sebaliknya, Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) memperakukan kepada Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong supaya melantik Datuk Seri Ainum Mohamad Sa'aid. Pelantikan Ainum dibuat selaras dengan Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan, iaitu: "Yang diPertuan Agong hendaklah, atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang yang berkelayakan menjadi hakim Mahkamah Persekutuan sebagai Peguam Negara Bagi Persekutuan." Rupa-rupanya pelantikan Ainum kurang disenangi oleh segelintir pihak terutama yang berkhidmat dalam Jabatan Peguam Negara. Mereka mula berusaha untuk 'memaksa' Ainum 'keluar' dan bermulalah babak-babak yang halus dan terancang rapi. Umum mengetahui bahawa institusi udang-undang dan kehakiman ketika itu masih memperkatakan mengenai isu percutian mantan Ketua Hakim Negara Tun Eusof Chin dan Tan Sri Mohtar yang turut membabitkan seorang peguam yang dilihat sebagai 'berpengaruh'. Oleh itu, Dr Rais ingin membawa pembaharuan ke dalam Jabatan Peguam Negara. Tindakan Dr Rais rupa-rupanya tidak disenangi oleh pihak-pihak tertentu termasuk mereka yang berkhidmat di Jabatan Peguam Negara. Nama Ainum muncul setelah Dr Rais mengadakan rundingan dan perbincangan dengan banyak pihak termasuk dari institusi kehakiman dan beberapa orang peguam kanan. Dr Rais tidak membuat keputusan bersendirian untuk mencadangkan nama Ainum kepada Dr Mahathir Mohamad. Itu cara dia buat kerja, berunding sebelum membuat keputusan. Ainum ketika itu memegang jawatan timbalan ketua eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan sebelum itu, antara lain, pengarah eksekutif Pengkalan Holdings Berhad, dan pengarah bukan eksekutif Sime UEP Properties Bhd. Pelantikan Ainum sebagai Peguam Negara mengakibatkan beliau berhadapan dengan banyak aral serta rintangan. Beberapa pihak dalam Jabatan itu sendiri yang tidak senang dengan kemaraan beliau. Ini kerana Ainum, dalam jangka masa yang begitu singkat, memperlihatkan yang dia adalah seorang ketua yang penuh integriti dan kewibawaan. Tidak dinafikan ada pihak yang menaruh dendam dan marah terhadapnya. Ada pegawai dalam Jabatan Peguam Negara tidak selesa dengan taktik serta pentadbiran Ainum yang tegas. Pejabat Menteri sedar bahawa ada pegawai dari Bahagian Pendakwaan yang menyampaikan berbagai-bagai laporan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Samsudin Osman dan ada yang terus kepada Dr Mahathir. Mereka membelakangi Dr Rais selaku Menteri yang bertanggunggjawab atas hal ehwal undang-undang. Ada pegawai yang terus berjumpa Dr Mahathir untuk melaporkan apa yang berlaku dari hari ke hari di Jabatan Peguam Negara. Dr Mahathir berjaya dipengaruhi untuk melantik pengganti Ainum. Dalam tempoh setahun perkhidmatannya selaku Peguam Negara, kami di Pejabat Menteri dapat lihat perubahan pada wajah Ainum, dia jelas kelihatan letih seolah-olah mengalami gangguan kesihatan sedangkan pada awalnya dia begitu cergas dan bersemangat setiap kali ke Pejabat Menteri atas urusan tugas. Perubahan ini membuatkan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa Ainum menjadi mangsa ilmu hitam. Saya tidak berani menyatakan sama ada ianya benar atau tidak walaupun ilmu hitam dan amalan-amalan yang dipengaruhi syaitan itu wujud. Akhirnya, Ainum 'terpaksa mengalah' dan dia 'meletak jawatan' atas sebab kesihatan. Sama ada ianya sesuatu yang benar atau sebaliknya, hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Tetapi yang jelas, kedudukan kesihatan Ainum sihat dan dia tetap cergas dan bertugas hingga sekarang. Peletakan jawatan Ainum diganti oleh Gani Patail, secara efektif mulai 1 Januari 2002 dan apa yang saya tahu ia adalah kehendak Dr Mahathir sendiri. Pelantikan Gani menimbulkan banyak kontroversi, terutama dari sektor guaman. Peranan beliau dalam kes Dato' Seri Anwar Ibrahim dipertikai oleh Majlis Peguam dan beberapa parti pembangkang. Tetapi, semuanya tidak memberi kesan kerana Gani telahpun dilantik atas perkenan Yang diPertuan Agong. Sebagai seorang yang amat rapat dengan KSN ketika itu, Gani, dalam kebanyakan hal telah melangkaui Dr Rais yang sepatutnya dirundingi terlebih dahulu. Beliau lebih kerap berinteraksi dengan KSN. Ini jelas memperlihatkan kedudukan 'hubungan' antara Peguam Negara dan Menteri. Dr Rais pernah menyatakan bahawa antara Gani dan Ainum macam bumi dengan langit. Ainum berdiplomasi tetapi tegas. Apa yang dijanjikan lantas dilaksanakan. Gani pula sentiasa menggambarkan autoriti dan diplomasi bukan satu sifat utama beliau. Dr Rais menyifatkan Ainum sebagai seorang pegawai perundangan yang tegas dan dedikasi. Apakah benar Ainum menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa meletak jawatan? Saya kurang yakin dan sukar untuk mempercayainya. Jika benar dia sakit, masakan dia dilantik sejurus selepas itu sebagai Penasihat Undang-Undang Kumpulan, Corus Hotels Group United Kingdom dan kemudian menyertai Laura Ashley United Kingdom sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bersama? Ainum juga dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif Sime UEP Properties Berhad, ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad dan Pelaburan Hartanah Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad. Sudah pasti syarikat-syarikat gergasi dan bertaraf antarabangsa itu tidak akan melantik seorang yang menghadapi masalah kesihatan jika dia benar-benar sakit. Itulah jawaban saya kepada pertanyaan sama ada saya yakin dan percaya dengan alasan yang diberi untuk dijadikan alasan kenapa Ainum meletak jawatan sebagai Peguam Negara. Pelantikan Tan Sri Abdul Gani Patail selaku Peguam Negara ada cerita disebaliknya dan apa yang sedang dihadapinya sekarangpun ada cerita, jika pihak polis 'berani' menyiasat laporan polis yang dibuat terhadapnya.http://kudaranggi.blogspot.com/ | |||||||
Peniaga parah ditembak dari jarak dekat Posted: 02 Jan 2014 04:32 AM PST HARAKAHDAILY KULIM: Seorang peniaga perkakasan rumah cedera parah terkena tembakan dengan pistol dari jarak dekat ketika sedang minum di sebuah restoran di Taman Kempas Indah, di sini, malam tadi. Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam apabila dua lelaki menaiki sebuah motosikal berhenti di hadapan restoran tersebut dan seorang daripada mereka melepaskan beberapa das tembakan. "Tembakan itu mengenai badan mangsa yang berumur 46 tahun dari Taman Jati di sini. Keadaan lelaki itu dilaporkan stabil setelah diberi rawatan di Hospital Kulim," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Beliau berkata peniaga itu yang menjalankan perniagaan di Taman Kempas sempat lari sejauh 40 meter untuk menyelamatkan diri selepas ditembak sebelum terjatuh manakala penyerangnya memecut motosikal dan melarikan diri. Peniaga itu bernasib baik orang ramai berhampiran tempat kejadian membantunya dan menghubungi polis untuk dihantar ke Hospital Kulim, kata Ghuzlan. Katanya polis yang menyiasat kejadian itu menjumpai lima kelongsong peluru pistol di kawasan restoran tersebut. Polis mengesyaki serangan itu bermotifkan dendam. - Bernama | |||||||
'Fatwa' Harussani songsang, menyesatkan - Dewan Ulamak Posted: 02 Jan 2014 04:31 AM PST KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat menyifatkan kenyataan terbaru Mutfi Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang melabel perserta perhimpunan pada 31 Disember lalu sebagai 'bughah' (pemberontak) dan halal darahnya, sebagai fatwa songsang. Ketua penerangan dewan itu, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, 'fatwa' Harussani itu sangat mendukacitakan dan menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah. "Kenyataan Mufti Perak Tan Sri Harussani bahawa para demonstrator pada 31 dis 2013 di Dataran Merdeka baru-baru ini sebagai "bughah" dan "halal darah" amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan kegagalan seorang mufti memahami hukum bughah dalam Islam. "Ia satu penyelewengan fakta tentang hukum-hakam Islam yang sangat ketara dan menyesatkan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Menurut beliau, 'bughah' atau pemberontak dalam Islam ialah penentangan bersenjata oleh rakyat terhadap kerajaan Islam dan ia termasuk sebagai salah satu kesalahan jenayah hudud dalam Islam. Sedangkan katanya, peserta himpunan pada itu hadir dengan tangan kosong dan membawa sepanduk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap urus tadbir negara yang membawa kepada peningkatan kos hidup. Tambah beliau lagi, takrifan pemberontak dalam perlembagaan Malaysia merujuk kepada melancarkan peperangan kepada Yang dipertuan Agong sebagai ketua negara bagi Malaysia. "Adakah peserta perhimpunan 31 dis 2013 turun berhimpun dengan senjata menentang pemerintah? "Sangat jahil seorang mufti yang mengkategorikan mereka ini sebagai pemberontak. Lebih malang dan merbahaya apabila darah demonstrator ini pula diisytiharkan sebagai halal darah," ujar beliau lagi. Kenyataan mufti itu kata beliau lagi satu 'fatwa' yang sangat berbahaya yang boleh membawa kepada huru-hara kepada negara dan tergugatnya keharmonian antara rakyat. "Sangat dibimbangi "fatwa" seumpama itu membawa kepada pertumpahan darah sesama rakyat. "Saya menyeru seluruh pihak yang prihatin terhadap keamanan bernegara dan keharmonian bermasyarakat membantah kenyataan-kenyataan songsang seumpama ini," tegasnya. | |||||||
Harga ikan kembung di Kedah naik 50 peratus Posted: 02 Jan 2014 04:28 AM PST MALAYSIAKINIHarga ikan kembung di Kedah meningkat sehingga 50 peratus akibat perubahan iklim menyebabkan tangkapan merosot dan bekalan kurang di pasaran sejak tiga minggu lepas. Tinjauan Bernama di beberapa pasar di bandaraya ini dan Kuala Kedah mendapati ikan kembung yang biasa dijual di bawah RM8 sekilogram kini dijual antara RM10 hingga RM12 satu kilogram. Peniaga ikan Sahilan Mustafa, 45, berkata sebelum ini dia menjual ikan kembung antara RM5 hingga RM7 sekilogram tetapi kekurangan bekalan menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga. "Bekalan yang kami dapat sekarang tidak banyak, purata seorang boleh dapat 20 kilogram," katanya yang ditemui berniaga di Jeti Pasar Nelayan Seberang Kota, Kuala Kedah, dekat Alor Setar hari ini. Seorang lagi peniaga ikan di pasar sama, Normi Abd Ghani, 39, berkata dia tidak berniaga ikan hari ini kerana tidak mendapat bekalan berikutan ramai nelayan pulang dari laut tanpa hasil mencukupi. Seorang suri rumah Rosma Harun, 43, dari Kampung Pelam, Mergong berkata dia terpaksa pergi ke Pasar Nelayan Seberang Kota kerana harga ikan di pasar Mergong agak mahal manakala di pasar Kampung Berjaya tiada bekalan. Peniaga kedai makanan, Tan Guich Lam, 55, pula berkata dia masih mengekalkan harga biasa iaitu RM1 untuk seekor ikan kembung kepada pelanggannya walaupun harga ikan itu kini lebih mahal. Sementara itu, Bendahari Persatuan Penduduk Kampung Seberang Kota dan Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah, Ahmad Hashim berkata para peniaga dan nelayan telah diminta menetapkan harga yang berpatutan untuk hasil tangkapan mereka. Beliau berkata mereka diminta menjual ikan kembung tidak melebihi RM11 sekilogram. "Tidak ada alasan menaikkan harga. Kita yang berniaga bertanggungjawab dalam mengawal harga ikan," kata Ahmad sambil menambah bahawa bekalan ikan dijangka pulih seperti biasa pada hujung bulan ini.- Bernama | |||||||
PKR S'gor gerakkan anak muda ke demo wartawan Posted: 02 Jan 2014 04:26 AM PST MALAYSIAKINIPKR Selangor berikrar menggerakkan pelbagai pihak, terutamanya anak muda supaya menyertai "Protes Pensil Merah" anjuran sekumpulan wartawan bagi menuntut kebebasan media di Kuala Lumpur pada Sabtu ini. Setiausaha PKR negeri Amiruddin Shari (kiri) berkata, perhimpunan anjuran perkumpulan longgar wartawan Gerakan Media Marah (GERAMM) itu perlu disertai sebagai membantah kekangan kerajaan pada kebebasan media. Beliau juga percaya, penggantungan The Heat – yang membangkitkan kemarahan wartawan – disebabkan laporan muka depannya berhubung perbelanjaan mewah perdana menteri dan isterinya Rosmah Mansor. "...(Ia juga) turut menzahirkan realiti bahawa di saat rakyat sengsara berdepan dengan pelbagai beban kenaikan, pimpinan tertinggi negara masih tegar berbelanja secara mewah dan boros," kata Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves itu. KDN pada 30 Disember lalu menafikan penggantungan itu ekoran artikel bertajuk "All eyes on big-spending PM Najib" dan memberikan alasan pelanggaran peruntukan permit penerbitan. Protes kumpulan wartawan pada Sabtu ini akan diadakan di depan Majlis Peguam, Leboh Pasar Besar, Kuala Lumpur pada jam 2 petang. Matinya kebebasan media Mereka merancang memakai baju merah dan membawa pensel dengan warna sama untuk dipatahkan sebagai lambang matinya kebebasan media di Malaysia. GERAMM mengemukakan lapan tuntutan, antaranya membatalkan penggantungan The Heat dan menyiasat semula dengan rapi insiden keganasan polis terhadap wartawan dalam perhimpunan BERSIH 3.0. Dalam kenyataannya hari ini, Amiruddin juga berkata, kekangan media makin ketara kerana kerajaan cuba menutup kemelut kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat dari hari ke hari. "Tatkala rakyat dihimpit dan dibebankan dengan pelbagai kenaikan, kerajaan dilihat seolah-olah tidak mempedulikan rungutan massa, sebaliknya muncul beberapa anggota kabinet kerajaan yang mengeluarkan kenyataan memperlekeh dan meremehkan kesengsaraan yang ditanggung rakyat," katanya. Justeru, tambahnya, laporan "pemborosan" itu seperti dilakukan The Heat dan liputan media lain perlu dibahas dan didedahkan ke pengetahuan khalayak. "Isu ini bukan sekadar berkisar tentang kebebasan media bahkan turut melibatkan kepentingan rakyat terbanyak khususnya pada masa sekarang di mana akses kepada maklumat adalah hak asasi kepada setiap rakyat," katanya. Pemuda PAS: GERAMM ada alasan kukuh Sementara itu, Pemuda PAS hari ini turut menyatakan sokongannya terhadap perhimpunan anjuran GERAMM itu atas alasan membela golongan tertindas dan "menghambat mereka yang zalim dan bertindak keterlaluan". "Dalam hal ini, GERAMM ada asas yang kukuh mengadakan demonstrasi tersebut dan mereka berhak menyatakan sikap mereka apatah lagi ia berhubung kait dengan hak dan kebebasan rakyat," kata ketua dewan itu Suhaizan Kaiat (kanan). Dalam kenyataannya hari ini, Suhaizan juga berkata, walaupun KDN sudah menjelaskan bahawa penggantungan itu bersifat sementara, tetapi ia tetap menyekat kebebasan akhbar dan amat tidak demokratik. "Masyarakat bertamadun dan moden hari ini mengiktiraf kebebasan akhbar dalam ruang lingkup yang dibenarkan perlembagaan Malaysia, dan menolak kaedah rakus dan keterlaluan. "Menggantung akhbar berkenaan bukanlah kaedah demokrasi, malah ia mirip tindakan rejim diktator yang tersepit," katanya. Suhaizan juga berkata, KDN patut mengemukakan alasan yang kukuh ekoran tindakannya itu dan mengheret The Heat ke mahkamah jika benar akhbar itu bersalah. Jika tiada alasan lain boleh diberikan selain alasan teknikal, kembalikan semula hak penerbitan kepada The Heat dan kementerian serta pemimpin negara perlu belajar menghormati hak yang diberikan kepada rakyat di negara ini," katanya. | |||||||
MP: Harussani mufti tak ada umat Posted: 02 Jan 2014 04:22 AM PST MALAYSIAKINI Pemimpin Pemuda Pakatan Rakyat membidas Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyatakan bahawa sepatutnya semua peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan "dihalalkan darah golongan bughah (pemberontak)". Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Md Akin (bawah) menyifatkan kenyataan Harussani itu seperti 'seorang mufti yang tak ada umat (penyokong)' berbanding tokoh agama tersohor Dr Yusuf al-Qaradhawi. "Jika kita bandingkan dengan protes di Mesir, ada mufti Mesir, ulama kerajaan keluar kenyataan jangan (terlibat dalam) protes tapi Yusof al-Qardawi menyangkal dakwaan tersebut dan protes itu dihalalkan. "Maka pandangan mufti Perak ini, boleh digambarkan dalam konteks begitu yang (mana) beliau tidak mempunyai umat (untuk mendapat sokongan)," kata ahli parlimen Bukit Katil itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini. Shamsul juga berkata himpunan membantah kenaikan harga barang itu berlangsung dengan aman memandangkan ia berkait dengan masalah ekonomi, sekali gus tidak berniat untuk menjatuhkan kerajaan. "Ini bukan berlaku pertumpahan darah malah protes yang 50 peratus disertai orang muda berlaku aman. Pemimpin harus ditegur sekiranya mereka dalam sindrom penafian. "Dan ada hadis juga berkata raja atau pemimpin yang demikian harus ditegur demi iman kita. Yang ditegur adalah kenaikan harga dan juga perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan yang merupakan pembaziran, adakah teguran demikian dianggap pengkhianat?" kata Shamsul. 'Keras dan keterlaluan' Bersependapat dengan Shamsul, Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat berkata perhimpunan itu diadakan bagi rakyat menyatakan hasrat tidak tidak bersetuju dengan kenaikan harga barang sekali gus mendesak kerajaan supaya memberi perhatian. Bahkan, kata Suhaizan (bawah), tindakan Harussani yang menyifatkan peserta demonstrasi sebagai pemberontak (bughah) sebagai satu kenyataan yang "keras dan keterlaluan". "Dalam Perkara 10 perlembagaan negara, rakyat dibenarkan untuk berhimpun tanpa senjata. Perhimpunan yang dilaksanakan oleh anak muda bersama-sama rakyat jelata itu bukan nak menentang kerajaan. "Jadi saya tidak bersetuju dan tidak timbul bughah kerana kita bergerak dalam konteks demokrasi. Kecuali kalau membawa senjata untuk menggulingkan kerajaan. "Itu satu tuduhan yang keterlaluan. Terbukti ia himpunan aman dan bergerak dalam lingkungan perlembagaan. Apa masalahnya?" kata Suhaizan. "Kita tidak bersetuju. Pandangan itu terlalu keras terhadap anak muda. Kita hanya mahu kerajaan menyelesaikan masalah kenaikan harga barang tapi dituduh bughah pula," katanya. | |||||||
Kalimah Allah: Tindakan Umno Selangor Pertimbangan Sendiri - Muhyiddin Posted: 02 Jan 2014 04:13 AM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Tindakan Umno Selangor yang mahu membuat bantahan secara aman di semua gereja di negeri itu jika Paderi Lawrence Andrew enggan menarik balik kenyataannya mengenai pengunaan kalimah Allah, adalah berdasarkan pertimbangan mereka sendiri, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan perdana menteri berkata ini berdasarkan perundangan negeri itu serta "titah yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor." "Saya tidak fikir langkah yang dibuat oleh Umno Selangor itu bercanggah dengan perundangan negeri dan itu adalah keputusan mereka," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan hari pertama persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, di sini, Khamis. Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai kenyataan Umno Selangor bahawa mereka akan mengadakan bantahan secara besar-besaran menentang penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja di Selangor jika Andrew tidak menarik balik kenyataannya dan meminta maaf secara terbuka kepada umat Islam sehingga Sabtu ini. Editor akhbar mingguan Katolik 'The Herald' itu dilaporkan oleh sebuah portal berita pada Jumaat lepas sebagai berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya. Ini bercanggah dengan titah Sultan Selangor Sultan Shafaruddin Idris Shah dalam satu kenyataan pada 14 Disember yang antara lain menegaskan, semua rakyat, khasnya di Selangor, tanpa mengira kaum dan latar belakang, perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam seperti yang tertakluk mengikut peruntukan Seksyen 9, Bahagian 1, Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988. Muhyiddin berkata sebagai rakyat Selangor yang mendukung titah Sultan Selangor, "tidak boleh orang kata dia (Umno Selangor) bercanggah atau bertentangan." "Apa yang mereka lakukan itu tidak bertentangan tetapi selari dengan apa yang dituntut oleh Ketua Negeri kerana soal agama ini, walaupun ada dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi hak dan kuasanya terletak di bawah kuasa Sultan. "Bagi saya itu adalah urusan di peringkat sana (Selangor)," katanya. BERNAMA | |||||||
BERSIH: Ingat tuntutan akses sama rata media Posted: 02 Jan 2014 04:10 AM PST MALAYSIAKINIGabungan proreformasi sistem pilihan raya BERSIH hari ini berkata, kerajaan membuat kesilapan besar dengan "tindakan zalim" menggantung The Heat yang memberi kesan buruk. Menurut BERSIH, penggantungan tanpa alasan kukuh itu hanya dilihat sebagai langkah terkebelakang oleh masyarakat antarabangsa seiring dengan "kontroversi" dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu. BERSIH turut menyatakan sokongannya terhadap tuntutan kumpulan longgar wartawan, dikenali sebagai Gerakan Media Marah (GERAMM), yang mahu penggantungan itu dibatalkan segera. "Menutup mulut media sentiasa menjadi perbuatan tercela dan memberi kebaikan kepada kerajaan, lebih-lebih lagi apabila mereka mengisytiharkan Malaysia sebagai demokrasi terbaik di dunia," kata gabungan itu. BERSIH turut mengingatkan bahawa akses sama rata terhadap media juga menjadi salah satu daripada lapan tuntutan mereka ke arah pilihan raya yang bebas dan adil. | |||||||
Dua pemimpin Bible Society dibebaskan Posted: 02 Jan 2014 04:08 AM PST MALAYSIAKINIPengerusi Bible Society Malaysia (BSM) Lee Min Choon dan pengurus pejabatnya Sinclair Wong dibebaskan di Balai Polis Damansara hari ini selepas 90 minit di balai polis itu ekoran rampasan Bible berbahasa Melayu dari pejabat mereka di Damansara. Polis memaklumkan kepada kedua-dua pemimpin persatuan itu supaya melaporkan diri kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada 10 Januari ini bagi membantu siasatan sekalipun masih belum jelas sama ada tuduhan akan dikenakan kerana memiliki kitab itu. Mereka dijamin kepada setiausaha agung BSM Simon Wong dan Lee kemudiannya berkata beliau "terkejut" dengan serbuan yang tidak konsisten dengan penyelesaian 10 perkara kerajaan kepada kumpulan Kristian pada 2011. Lee dan Sinclair disiasat bawah Enakmen Bukan Islam Selangor (Pengawalan perkembangan terhadap Orang Islam) 1988, yang melarang bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah'. | |||||||
Majlis gereja: Kamu tiada kuasa masuk premis non-Muslim Posted: 02 Jan 2014 04:06 AM PST MALAYSIAKINIMajlis Gereja Malaysia (CCM) menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menghentikan serbuan pihak berkuasa agama Islam terhadap agama lain pada masa akan datang. Setiausaha Agung CCM Hermen Shastri berkata pihaknya bimbang dengan apa yang berlaku terhadap Bibles Society of Malaysia (BSM), sejurus bermulanya tahun baru ini. "CCM percaya pihak berkuasa agama Islam tidak mempunyai kuasa dalam undang-undang untuk memasuki premis sah penganut bukan Islam untuk tujuan pemeriksaan, penyelidikan atau serbuan. "Perlembagaan Persekutuan bawah Artikel 11(3) menjamin hak komuniti agama di Malaysia untuk memperkukuh dan mengekal institusi serta premis bebas mengamal dan mentadbir hal ehwal mereka. "CCM menggesa PM, menteri besar Selangor dan anggota Parlimen yang beragama Kristian bertindak segera untuk menghentikan tindakan sedemikian dan serbuan pada masa akan datang," kata Hermen dalam kenyataan. Pejabat BSM di Petaling Jaya hari ini diserbu Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sebanyak 321 Bible versi bahasa Melayu dalam 16 kotak dirampas. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan