DIALOG RAKYAT |
- Fatwa 'bughah' Harussani tak boleh pakai
- Sikh akan terus guna 'Allah' untuk Tuhan
- Pegawai Wisma Putra didakwa buat tuntutan palsu US126,681
- Polis panggil Harussani isu 'bughah', halal darah
- AMK: KPDNKK kata rungutan rakyat di laman sosial bukan aduan rasmi
- Penghakiman Bersih 3.0 atas semangat Perlembagaan, jamin hak berhimpun
- Bersih 3.0: Anwar, lima lagi dilepas tanpa bebas
- Jangan polemik isu tulisan jawi
- Turun: Bukti belia peka nasib sendiri, rakyat
- Salah laku: Mahkamah tolak rayuan Muhammad Shafee
- Sosma Memadai Tangani Tindakan Pelampau - Nancy
- Saya Harap ISA Dikembalikan - KPN
- Umno-BN perlu henti mangsakan rakyat untuk kurang hutang negara
- Prof Dr Amir: Jangan salah subsidi sebab hutang negara tinggi, Jerman juga ada subsidi
- Waris pelajar syiling RM64 terima sumbangan Iskandar
- Harga makanan kantin sekolah naik, Kerajaan Pusat patut turun padang
- Isu serbuan JAIS: Najib talam dua muka
- Tambang bas naik, budak sekolah demo
- Kerajaan BN makin terdesak, gunakan sekolah sebar propaganda politik
Fatwa 'bughah' Harussani tak boleh pakai Posted: 10 Jan 2014 06:54 AM PST DR MUHAMMAD NUR MANUTYULASAN Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, sekali lagi mengejutkan rakyat Malaysia apabila beliau mengeluarkan satu fatwa kontroversi pada awal Januari, 2014 yang lalu. Fatwa itu menyatakan bahawa para peserta demonstrasi pada malam 31 Disember yang ikut serta bersama dengan orang ramai yang telah berhimpun menyambut kedatangan Tahun Baru 2014 sebagai "bughah" (pemberontak). Justeru itu, beliau berkata bahawa "darah mereka adalah halal." Sesungguhnya fatwa tersebut telah mengundang pelbagai reaksi hangat. Banyak pihak merasa dukacita, resah dan gelisah dengan fatwa Tan Sri Harussani. Implikasinya sangat serius. Sesungguhnya fatwa mufti Perak itu terlalu keras bunyinya, sehingga para demonstran boleh dikategorikan sebagai "pengganas". Kita bersetuju dengan pendapat pelbagai pihak di negara ini bahawa jika tidak diambil langkah tegas oleh pihak berkuasa, fatwa tersebut boleh mengundang pelbagai kesan negatif yang berkemungkinan menjejaskan ketenteraman orang awam. Apabila seorang mufti berbicara pada khalayak ramai, apatah lagi dengan kedudukannya sebagai seorang mufti terkanan yang telah berkhidmat lebih 30 tahun, maka ia dilihat oleh orang awam sebagai satu fatwa rasmi yang boleh dipegang. 'Bughah' dari perspektif fuqaha' Menurut Imam Taqiyuddin Abi Bakr Muhammad al-Husainiyy, pengarang kitab Kifayatul Akhyar, perkataan 'bughah' dalam istilah syara' adalah merujuk kepada segolongan umat Islam yang melawan dan menderhaka kepada ulil amri (pemerintah), iaitu pemerintah/ kerajaan yang adil yang menjalankan hukum-hukum syariat Islam. (Kifayatul Akhyar, Jilid 2, ms. 122) Sementara itu pula Said Haji Ibrahim berpendapat bahawa "... Dalam ilmu ketatanegaraan Islam, 'bughah' ialah perbuatan sekumpulan dan segolongan umat Islam yang memberontak untuk menentang dan menderhaka kepada ulil amri. Ini dinamakan "jarimah siasiyyah". (Kanun Jenayah Islam, 1996, Kuala Lumpur, 1996, ms. 151) Di samping itu jenayah dalam politik tidak boleh berlaku kecuali:-
Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan berbuat aniaya terhadap golongan yang lain maka perangalilah golongan yang berbuat aniaya itu sehingga golongan itu kembali, kepada perintah Allah. Jika golongan itu telah (kembali kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya denga adil dan berlaku adillah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil (Surah al-Hujurat: 9). Dalam hemat kita, kumpulan demonstran itu tidak boleh dikategorikan sebagai pemberontak kerana hujah-hujah berikut:
Mengenai persiapan senjata, pandangan Profesor Dr Wahbah al-Zuhaili, ilmuan fiqh ternama, menyatakan bahawa kesahihan bagi seseorang atau kumpulan dapat diistilahkan sebagai "bughah" hanya dengan kewujudan senjata yang banyak sehingga pihak pemerintah terpaksa membekalkan senjata dengan banyak untuk tujuan mempertahankan diri. Justeru, banyak wang dan persiapan ketenteraan yang diperlukan bagi menghadapi pemberontak. (Dr Wahbah al-Zuhaili, Tafsir al-Munir, Damsyiq: 2007, Jilid 13, ms, 571) Dalam hubungan ini, Mufti Perak telah menampakkan kegopohannya dalam pembuatan fatwa. Beliau sewajarnya mengemukakan beberapa dalil syara' dengan panduan nas-nas qat'iy di dalam al-Qur'an, al-Sunnah dan lain-lain sumber ilmiah yang muktabar. Wajar berbincang Tan Sri Harusani sewajarnya berbincang dahulu dengan pelbagai pihak terutama dengan Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Ahli-ahli jawatankuasa Fatwa Syar'iyyah Negeri Perak dan lain-lain pegawai di Jabatan Mufti Perak. Bagaimanapun, fatwa Mufti Perak jelas tidak merujuk kepada para ulama/ilmuan lain. Islam menganjurkan amalan syura demi mendapatkan muwafakat terbaik dan dapat keberkatan dari Allah SWT. Al-Qur'an mencatatkan: "Sedang urusan mereka diputuskan dengan mesyuarah." (Surah Assyura: 38) Oleh kerana hujah-hujah yang dikemukakan tidak kuat, maka jalan keluar yang terbaik bukan untuk mempertahankan fatwa tersebut; seperti yang disebut oleh Tan Sri Harusani dalam akhbar Sinar pada awal Januari lalu. Mufti Perak sewajarnya mempraktiskan perintah Junjungan Muhammad SAW seperti yang disebut dalam sebuah hadis sahih: "Katakan perkara baik atau diam." Selain itu, kegopohan fatwa Mufti Perak jelas menunjukkan beliau hanya bersandar kepada maklumat yang belum dapat dipastikan kesahihannya. Maklumat yang diterima dari media perdana di negara ini perlu disaring sebelum dapat diterima pakai. Allah berfirman yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu."(Surah al-Hujurat: 6) Sejak fatwa tersebut disiarkan di dalam media, ia telah menimbulkan reaksi pasif masyarakat terhadap institusi mufti. Statusnya sebagai pembimbing umat mulai dipersoalkan keabsahannya. Bagi masyarakat Islam yang tidak memahami ajaran Islam, fatwa tersebut menimbulkan ketakutan terhadap agama Islam dan bukannya keinginan untuk mendampinginya. Islam dari segi jauharnya adalah agama yang sangat menekankan wujudnya kedamaian, keamanan dan kesejehteraan sesama insan. Fatwa yang menyebut "darah mereka adalah halal" membawa konotasi bahawa nyawa manusia begitu murah harganya walhal memelihara nyawa adalah sebahagian dari tujuan utama dalam maqasid syari'ah (objektif syari'ah). Mengenai kehormatan diri bagi sesorang manusia tidak dibunuh dengan sewenang-wenang, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "...Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan akan dia telah membunuh manusia seluruhnya."(Surah al-Ma'idah: 52) Tingkatkan kewibawaan Dalam konteks zaman yang serba mencabar, Tan Sri Harusani selaku seorang mufti dan lain-lain penjawat jawatan mufti di negara ini wajar mempertingkatkan kewibawaan mereka sebagai seorang mufti yang benar-benar berautoriti dan berfungsi dengan berkesan dalam pembuatan hukum. Dalam hubungan ini, barangkali ada baiknya untuk para mufti merujuk sebuah karya penting al-Qardawi yang berjudul al-Fatawa al-Shazzah (Fatwa-fatwa Janggal). (Kaherah: Dar as-Shuruq, 2010) Dalam buku ini, antara lain, beliau menyebut bahawa seorang mufti jangan terjebak dalam pembuatan pembuatan fatwa yang janggal (shaz). Yang dimaksudkan dengan fatwa janggal ialah fatwa yang terkeluar daripada manhaj yang digunakan pakai secara komprehensif oleh para fuqaha' dalam pembuatan hukum sejak beberapa abad lalu. Dalam hubungan ini, satu lagi perkara yang wajar diambil oleh para mufti menurut al-Qaradawi iaitu sikap tidak tergesa-tergesa mengeluarkan fatwa dan bergegas pula memberikan jawapan kepada setiap soalan. Para fuqaha' pada zaman silam jarang sekali menghasilkan fatwa-fatwa yang janggal. Al-Qaradawi menegur sikap pasif sebahagian mufti kerana "mengelamun diri kononnya menguasai ilmu dalam semua perkara, tetapi kurang meraikan kewarakan, suka menjawab soalan-soalan yang paling kusut. Walhal Sayyidina 'Umar al-Khattab menunjukkan satu sikap terpuji sebagai seorang pemimpin dan sekaligus seorang yang punya autoriti dalam agama Islam yang menghayati amalan syura dengan lain-lain sahabat yang diistilah sebagai ahli Badar bagi menyelesaikan soalan-soalan syara' yang sukar dan sulit, maka beliau akan menghimpun semua kepada Ahli Badar." (Al-Qardawi, al-Fatawa al-shazzah, ms 8) (Yang dimaksudkan dengan Ahli Badar adalah para peneraju awal Islam yang terdiri dari para sahabat yang berjuang menegakkan Islam dan sekaligus mereka juga adalah ilmuan-ilmuan yang berotriti dalam ha ehwal Islam). Demikianlah ketelitiannya seorang sahabat utama Junjungan Muhammad SAW dalam memutuskan kedudukan hukum. Fatwa juga boleh menjadi janggal (shaz) apabila sesuatu fatwa dibuat oleh orang yang bukan ahlinya. Al-Qaradawi menyatakan bahawa seorang mufti itu pada hakikatnya bertanggungjawab sebagai seorang nabi (yaqumu maqam al-nabiyy) dalam usaha menerangkan kepada orang ramai hukum hakam dan pengajaran Islam. Justeru, seorang mufti tidak dibenarkan untuk mengeluarkan satu fatwa yang berkaitan dengan makhluk ciptaan-Nya, menguraikan halal dan haram, perkara yang disyara'kan atau tidak disyara'kan, kebaikan dan keburukan kecuali setelah memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk menjadi seorang mufti. Oleh yang demikian, bagi seorang mufti yang punya kelayakan atau kebolehpercayaan, harus mempunyai penguasaan ilmunya dalam disiplin al-Quran dan al-Sunnah, penguasaan bahasa Arab, ilmu usul fiqh dan maqasid shari'ah, qias dan 'ilal (sebab), ijma' dan ilmu khtilaf adalah penting untuk menjamin pengistanbatan hukum yang tidak dapat digugat oleh sesiapa Selain penguasaan ilmu-ilmu Islam warisan dan kontemporari, bagi seorang mufti, ia hendaklah mempunyai rasa takut terhadap Allah, iltizam dengan hukum-hukum-Nya serta berakhlak mulia. (al-Qardawi: ms 26) Telaah pelbagai rujukan Imam Shafie dalam satu pandangan yang dipetik oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam Kitab al-Faqih wa al-Mutafaqqih berkata: "Seseorang itu tidak boleh memberi fatwa dalam agama Allah kecuali mereka menguasai Kitab Allah dengan penguasaan ilmu nasakh dan mansukh, muhkam dan mutashabih, ta'wil dan tanzil, makkiy dan madaniyy, penguasaan hadis dalam segala kategori, pengusaan bahasa Arab, syair-syair Arab, ilmu ikhtilaf dan tidak kurang pentingnya, mufti mesti memiliki "al-malakah" (bakat semula jadi). (al-Qardawi, ms 128) Selanjutnya, dalam era perkembangan pesat ilmu pengetahuan, maka tidak wajar bagi seorang mufti mengandaikan dirinya tahu segala jenis ilmu. Walhal al-Qur'an membicarakan tentang tabii manusia yang tidak diberi keupayaan oleh Allah SWT mengetahui semua jenis ilmu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "...Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit." (Surah al-Isra': 85) Lihat sahaja amalan para sahabat Rasulallah SAW dalam pembuatan sesuatu hukum. Lazimnya mereka berhenti sejenak untuk memberi jawapan. Antara amalan terpuji mereka ialah kesukaan bertanya pendapat lain-lain sahabat. Al-Qaradawi meminta para mufti banyak menelaah pelbagai rujukan sebelum membuat fatwa halal atau haram. Meskipun seorang mufti itu sudah membuat rujukan muktabar, tetapi dalam hal khusus yang menyangkut dengan keperluan berlakunya keringanan (rukhsah) untuk seseorang ataupun kelompok, maka pandangan-pandangan alternatif boleh dijadikan hujah. (al-Qaradawi, al-Fatawa as-Shazzah, ms 133) Seperti yang disebut pada awal makalah ini, fatwa Tan Sri Harusani bercitra keras. Hari ini, selain al-Qaradawi, semakin ramai ulama dan cendekiawan Muslim seperti Syaikh Taha Jabir al-'Ilwaniyy, Dr Wahbah al-Zuhaili, Dr Muhammad al-Zuhaili, Rashid Ghannoushi, Dr Hassan al-Turabi, Syaikh Ahmad al-Raysuni, Dr Jamal 'Atiyyah dan lain-lain begitu memprihatinkan kepentingan ilmu fiqh dan fatwa yang dikeluarkan dapat dibina diatas prinsip "membuka ruang yang lebih mudah", bukan bersifat "menimbulkan lebih banyak kesukaran". Al-Qardawi menggesa para fuqaha pada zaman ini mempraktiskan prinsip "al-taysir fil fatwa wa tabsyir fi al-da'wah" (mengintai ruang mempermudahkan sesuatu dapat berlaku dalam pembuatan fatwa serta menceriakan sebaran Islam). Dalam pembuatan fatwa, al-Qaradawi menyarankan para fuqaha' perlu menggunakan prinsip al-istislah dan al-istihsan jika tidak terdapat nas-nas qat'iyy. (al-Qaradawi, al-Wasatiyyah al-Islam, Kaherah: 2008, ms. 45) Inilah manhaj Nabawi dan para sahabah. Junjungan Muhammad SAW bersabda menurut riwayat Sayyidina Anas: "Kamu hendaklah memudahkan segala sesuatu dan jangan menyulitkan, ceriakan dan jangan menakutkan). Juga, sebuah lagi lagi hadis sahih dari Junjungan Muhammad (s.a.w) yang berbunyi: "Sesungguhnya aku diutuskan dengan agama hanif yang penuh dengan kesucian." Fahami perubahan zaman, suasana Firman Allah yang bermaksud: "Allah menghendakki kemudahan bagimu, dan tidak kesukaran bagimu." (Surah al-Baqarah: 185) Persoalan penting yang perlu kita ajukan, mengapa prinsip tersebut diperlukan dalam masyarakat dunia pada hari ini? Dalam hubungan ini, al-Qaradawi memberikan beberapa rasional tentang keperluannya. Antaranya, syariat Islam dibina di atas prinsip keringanan, menolak kesukaran, berciri rahmah dan bertolak ansur. Sehubungan itu, para mufti dikehendaki memahami tabi'i peredaran zaman dan suasana persekitaran yang sentiasa berubah. Prinsip kemantapan (al-thawabit) dan keanjalan (al-mutaghayyirat) sangat penting difahami secara berimbangan. Hakikatnya manusia moden sedang berhadapan dengan pelbagai masalah baru yang lebih rencam dan rumit dari zaman silam. Al-Qaradawi memberikan contoh tentang kedudukan bagi seorang murtad yang wajar dikenakan hukuman ringan dengan hanya bertaubat. Demikianlah juga dengan perbuatan minum arak. Hukuman ta'zir sudah memadai. (al-Qaradawi, Khitabuna fi al-'Asr al-'Aulamah, ms. 137) Institusi mufti di negara ini berperanan penting untuk membentuk fikrah Islam dalam kalangan rakyat dengan menggunakan pendekatan prinsip wasatiyyah. Para mufti hendaklah mempamerkan hukum Islam yang realistik dengan mengaplikasikan fiqh realiti semaksimum yang mungkin. Sebagai contoh, peranan Majlis Islam Eropah menampakkan satu kemajuan besar di bidang fatwa. Para fuqaha' di benua Eropah telah berjaya megeluarkan fatwa-fatwa penting yang bersifat "solving problem" dengan menggunakan pendekatan maqasid syari'ah dan 'illah (sebab) dalam sesuatu hukum. Jadi, pembuatan fatwa berjalan secara tabii, bukan menunggu berlakunya sesuatu masalah. Adalah jelas bahawa faktur utama yang menyebabkan kejayaan pembuatan fatwa di Eropah itu ialah kerana para fuqaha' di sana dapat menggabungkan ilmu warisan Islam (at-turath) dengan ilmu keislaman semasa. Selain itu, mereka juga proaktif dengan wacana-wacana ilmu. Jadi, fatwa tidak menjadi jumud dan boleh dipersoalkan sehingga dijadikan mainan orang sebagai "fatwa songsang". Di Malaysia, kekerapan wacana ilmiah bagi mendapatkan pendapat baru sangat kurang walhal para mufti amat perlu menghambat maklumat-maklumat terbaru. Kita melihat para mufti acap kali memberi respon secara spontan dalam sesuatu permasalahan agama terutama yang berkaitan dengan persoalan aqidah dah dan hukum. Selain pendekatan legalistik, para mufti sewajarnya serius mengambil pendekatan mendidik daripada menghukum. Pendekatan legalistik tanpa diikut serta dengan proses pembinaan ilmu di dalam masyarakat, akan hanya menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan akhirnya perpecahan masyarakat semakin berlaku dengan meluas. Fatwa Harussani bersifat peribadi Inilah kesan buruk yang sedang kita rasai sekarang. Kecenderungan mengambil pendekatan keras akan hanya mengundang kebinasaan. Inilah pesan Nabi Muhammad SAW kepada umatnya. Sabda baginda: "Binasalah orang yang bersangatan dalam membuat sesuatu perkara." (Hadis sahih). Maknanya ketaksuban kepada satu pemikiran tanpa menggunakan hujah-hujah yang kuat, membawa padah yang buruk. Beberapa pendekatan fiqh seperti yang disarankan oleh al-Qaradawi wajar digunapakai dalam pembuatan hukum pada masa kini dan mendatang. Sesungguhnya kegunaan pelbagai pendekatan fiqh iaitu fiqh al-awlawiyyat (fiqh menurut senarai keutamaan), fiqh al-muwazanah (fiqh perimbangan), fiqh al-maqasid al-syari'ah (fiqh maqasid), fiqh al-taghyiir (fiqh perubahan), fiqh al-waqi' (fiqh realiti) dan fiqhat-ta'addudiyyah (Fiqh Kepelbagaian) dapat memperkuat hujahan fatwa baru dalam isu-isu yang kompleks, antaranya, dalam subjek ketatanegaraan. Rumusannya, fatwa Tan Sri Harussani tidak dapat dikategorikan sebagai boleh dipakai. Yang jelas, fatwa tersebut lebih bersifat peribadi. Sewajarnya, ia perlu dirujuk kepada Majlis Fatwa kebangsaan kerana isu yang dibahaskan adalah merupakan persoalan-persolan penting iaitu pemberontak dan penghalalan darah mereka. Justeru, ia perlu dirungkai secara rasional dengan merai'kan segala prinsip dan menggunakan manhaj syara' yang komprehensif. Proses pembuatan hukum akan hanya berkesan jika ia dilakukan secara berjamaah bukan lagi secara individu. DR MUHAMMAD NUR MANUTY adalah ketua penerangan PKR. |
Sikh akan terus guna 'Allah' untuk Tuhan Posted: 10 Jan 2014 06:51 AM PST MALAYSIAKINIMasyarakat Sikh akan menggunakan kalimah Allah untuk merujuk kepada Tuhan kerana tidak ada larangan berhubung penggunaan kalimah ke atas mereka, kata peguam kanan Karpal Singh. "Ia terdapat dalam kitab suci Sikh, Guru Granth Sahib, dan selama ini ia sudah ada. Kami akan terus menggunakannya. "Saya tidak nampak sebarang masalah yang timbul, kerana sehingga ini ia tidak pun berbangkit," kata Karpal. Pemimpin DAP itu ditanya mengenai penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat Sikh, ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendengar kes hasutan terhadapnya hari ini, berikutan enakmen di Selangor yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah tersebut. |
Pegawai Wisma Putra didakwa buat tuntutan palsu US126,681 Posted: 10 Jan 2014 06:49 AM PST MALAYSIAKINIDua pegawai Wisma Putra (Kementerian Luar) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memperdaya Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat kerana mengemukakan penyata perbelanjaan palsu berjumlah US$126,681 tiga tahun lepas. Shahril Effendi Abd Ghany, 48, dan Mohd Hadtamizi Abu Bakar, 47, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosbiahanin Arifin. Shahril Effendi yang ketika itu berkhidmat sebagai timbalan ketua perwakilan Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC didakwa mengemukakan dokumen palsu iaitu penyata perbelanjaan wang pendahuluan sempena Sidang Kemuncak APEC 2011 di Honolulu, Hawaii dari 3 hingga 16 Nov 2011 dan resit rasmi Aloha Way Transportation bertarikh 3 November 2011, berjumlah US$126,681. Tertuduh didakwa telah mengesah dan mengaku membayar US$126,681 sebagai deposit sewaan kenderaan kepada Syarikat Aloha Way Transportation semasa persidangan itu, sedangkan jumlah sebenar yang dibayar adalah US$88,500. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia, 3516 International Court N.W, Washington DC, Amerika, pada 8 Disember 2011. Mohd Hadtamizi, yang ketika itu berkhidmat sebagai penolong pegawai tadbir di Washington DC, didakwa bersubahat dengan Shahril Effendi melakukan kesalahan sama di lokasi dan tarikh yang sama. Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai butir matan palsu atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi. Rosbiahanin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah serta menetapkan 10 Februari untuk sebutan semula kes. Shahril Effendi yang kini bertugas selaku pegawai tadbir diplomatik di Putra dan Mohd Hadtamizi yang kini bertugas sebagai penolong pegawai tadbir, di tempat sama, membayar ikat jamin itu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala Shahril Effendi diwakili peguam Shamsul Sulaiman dan Mohd Hadtamizi diwakili peguam Ridha Abdah Subri. Di mahkamah sama, seorang peneroka hutan mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menawarkan rasuah wang tunai RM20,000 kepada Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang. Tan Meng Lee, 43, didakwa menawarkan rasuah itu kepada Abdul Rahim Sulaiman, 50, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atasnya (tertuduh) yang melakukan penerokaan secara haram di Hutan Simpan Sungai Terla, Kampung Raja dan tanah kerajaan di Blue Valley, kedua-duanya terletak di Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands. Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tanah kerajaan di Blue Valley, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands antara 4 petang dan 5 petang 7 Oktober 2013. Dia didakwa mengikut Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. Rosbiahanin membenarkan Tan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Februari untuk sebutan semula kes. Dia membayar ikat jamin. Pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam S. Devanandan. Sementara itu, dalam kes lain, Muhdalena Ahmad, yang didakwa mengamuk bersama-sama seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai di luar kompleks Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada Julai 2012, hari ini diperintah membela diri terhadap empat pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen Putrajaya. Hakim Mohamed Kamil Nizam memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Muhdalena, 29, atas empat pertuduhan. Empat pertuduhan itu ialah melakukan ugutan jenayah terhadap polis bantuan Kpl Ridzuan Megat Ahmad di Kompleks 'B' JPM pada 9 Julai 2012, memiliki sebilah parang, mengingkari perintah Ridzuan supaya meletakkan senjata dan gagal mematuhi nasihat seorang menteri supaya mendapatkan pas atau permit sebelum memasuki premis berkenaan yang merupakan kawasan larangan. Mohamed Kamil menetapkan 13 Februari untuk wanita itu membela diri. Hakim juga menetapkan dua lagi tarikh - 24 Februari dan 25 Februari - untuk mendengar keterangan dua pakar psikiatri iaitu Umi Adzlin Silim dari Hospital Putrajaya serta Pengarah dan Perunding Psikiatri Forensik Hospital Bahagia, Ulu Kinta Dr Rabaiah Mohd Salleh. Peguam yang mewakili Muhdalena, M Visvanathan memaklumkan mahkamah anak guamnya itu akan memberikan keterangan secara bersumpah dan beliau juga akan memanggil dua psikiatri itu sebagai saksi pembelaan. Semasa menyampaikan keputusannya, Mohamed Kamil berkata keterangan Ridzuan membantunya dalam membuat keputusan bahawa Muhdalena telah mengugut untuk mendatangkan bahaya kepada pegawai polis bantuan itu, berdasarkan keterangannya bahawa tertuduh dan rakan lelakinya telah membuat ugutan dan menyerang walaupun diarah meletakkan senjata. Ridzuan dalam keterangannya berkata rakan Muhdalena, Khalil Afendi Abd Hamid menjerit "Polis jangan masuk campur, kalau tak, mati", dan selepas itu kedua-dua mereka meluru ke arahnya, memaksanya melepaskan tembakan. "Walaupun Ridzuan seorang anggota polis bersenjata tetapi dengan mengambil kira tertuduh tidak berhenti walaupun diberi amaran tiga kali dan sebaliknya terus meluru ke arahnya, saya faham keadaan itu boleh menyebabkan Ridzuan bimbang akan nyawanya," katanya. Mohamed Kamil berkata tiga pegawai polis di tempat kejadian dan rakaman CCTV membuktikan Muhdalena bersenjatakan parang di tempat kejadian. Beliau juga memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen bagi pertuduhan ketiga dan keempat terhadap Muhdalena. "Seorang saksi pihak pendakwaan Mohd Sukri Baharudin, anggota polis bantuan yang bertugas di pintu utama kompleks itu dalam keterangannya menyatakan Muhdalena masuk ke kawasan itu tanpa mendapatkan kad atau permit," kata Mohamed Kamil. Muhdalena didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan Kompleks B, JPM pada kira-kira 2.30 petang, 9 Julai 2012. Muhdalena dan Khalil Afendi, 47, dilaporkan mengamuk di luar kompleks JPM dengan bersenjatakan pedang samurai sebelum mereka ditembak dan Khalil meninggal dunia kemudiannya akibat kecederaan. Bagi pertuduhan melakukan jenayah ugut mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, dia berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Pertuduhan memiliki senjata mengikut Seksyen 7 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, membawa hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya. Muhdalena juga berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya mengikut Akta Tempat Larangan dan Kawasan Larangan 1959.- Bernama |
Polis panggil Harussani isu 'bughah', halal darah Posted: 10 Jan 2014 06:43 AM PST MALAYSIAKINIKetua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria telah dipanggil memberi keterangan berhubung kenyataannya yang menyifatkan peserta himpunan membantah kenaikan harga barang pada 31 Disember lalu sebagai 'bughah' dan "halal darah". "Kita sudah panggil pun... Ia bukan panggil orang tertentu saja, kita panggil semua. (Yang) mengancam keselamatan yang kita panggil. "Tak kira siapa sahaja," katanya dalam wawancara dengan media di Bukit Aman hari ini. Diminta menyatakan bila tokoh agama itu dipanggil memberi keterangan, Khalid berkata: "Saya tidak ada tarikhnya. Tapi kita sudah panggil (beliau untuk memberi keterangan)," katanya. Pada yang sama juga, pihaknya juga sedang menyiasat kenyataan Paderi Lawrence Andrew berkaitan penggunaan kalimah Allah di Selangor. "Siasatan sedang dibuat termasuk apa yang disebut oleh Father Lawrence. "Sebarang kenyataan yang boleh mengancam keselamatan negara, siasatan akan kita buat (siasatan)," katanya lagi. Sementara itu, Khalid menafikan dakwaan polis mengeluarkan kenyataan bahawa perhimpunan pada 31 Disember untuk menggulingkan kerajaan sebaliknya ia telah diuar-uarkan oleh media alternatif. "Adakah kami perlu berdiam diri mengenainya? Adakah kami perlu kata, 'itu main-main sahaja'. "Itu adalah satu seruan yang serius. Jadi, adakah saya tidak perlu mengambil tindakan? Tidak. "Jika tiada tindakan diambil, langkah menyekat dibuat, ada pihak nanti akan megatakan serian itu benar dan menyeratinya, masa itu sudah terlambat kita ambil tindakan," katanya. |
AMK: KPDNKK kata rungutan rakyat di laman sosial bukan aduan rasmi Posted: 10 Jan 2014 06:34 AM PST KEADILAN DAILYPUTRAJAYA: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) kesal dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi & Kepenggunaan (KPDNKK) yang menyatakan rungutan rakyat di media sosial bukan aduan rasmi kenaikan harga barang. "Menteri kata tiada aduan sebelum ini, sedangkan ada banyak rungutan melalui Facebook dan twitter. "Facebook dan twitter tidak dianggap rasmi di peringkat Kementerian. Walhal, sudah puluhan ribu keluhan rakyat di laman sosial. "Jadi AMK ambil peranan untuk panjangkan hasrat dan rintihan rakyat ke peringkat kementerian," kata Naib Ketua AMK, Nazree Yunos kepada Keadilandaily. AMK hari ini menyerahkan memorandum bagi membantah secara rasmi siri kenaikan harga barang dan perkhidmatan ke KPDNKK. Memorandum diterima Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Basaruddin Sadali di Anjung Bistari, Menara KPDNKK Putrajaya. Tegas Nazri, sebagai kelompok muda yang paling terkesan dengan kenaikan harga barangan, AMK hadir bagi menyatakan bantahan secara rasmi bahawa aduan dari badan atau perwakilan orang ramai bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan kos sara hidup. "Kita harap selepas ini tiada respon daripada Menteri yang menyatakan tidak ada aduan," katanya. |
Penghakiman Bersih 3.0 atas semangat Perlembagaan, jamin hak berhimpun Posted: 10 Jan 2014 06:27 AM PST KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Rakyat tidak perlu gentar dan gerun dengan momokan pemerintah yang menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) untuk menakutkan dan menafikan hak kebebasan berhimpun yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Adun Batu Caves, Amiruddin Shari berkata, keputusan mahkamah hari ini yang melepaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lima yang lain dari tuduhan mengambil bahagian dalam himpunan Bersih 3.0 adalah precedent (dahuluan) bagi kes susulan berkaitan. "Jelas sekali mahkamah bertindak berasaskan tuntutan Perlembagaan yang memaktubkan hak untuk berhimpun sebagai hak asasi rakyat di negara. "Penghakiman hari ini merupakan satu isyarat yang baik buat rakyat," kata Amiruddin dalam kenyataannya. Katanya, keputusan tersebut membuktikan peruntukan yang termaktub dalam PAA bersifat autokratik dan bertentangan dengan semangat Perlembagaan yang menjamin kebebasan berhimpun. Mahkamah Rayuan minggu lalu memutuskan bahawa perintah majistret Kuala Lumpur, Zaki Asyraf yang melarang perhimpunan 'Bersih 3.0 Duduk Bantah' sebagai tidak sah. "Sehubungan itu, rakyat tidak perlu lagi gentar dan gerun dengan momokan pemerintah yang sering menggunakan akta tersebut untuk menakutkan dan menafi hak kebebasan berhimpun yang sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Amiruddin. |
Bersih 3.0: Anwar, lima lagi dilepas tanpa bebas Posted: 10 Jan 2014 04:30 AM PST SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama lima lagi, hari ini dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur daripada pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 berhubung perhimpunan Bersih 3.0, dua tahun lalu. Memetik laporan sebuah portal berita, Hakim Ahmad Bache, dalam penghakimannya, turut menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu permohonan di Mahkamah Persekutuan. Ahmad Bache, berkata permohonan pembelaan dibenarkan kerana pertuduhan adalah tidak berasas dan cacat. Pada 22 Mei 2012, Anwar, 65, dituduh secara bersama-sama dengan Mohamed Azmin Ali, 49, dan Badrul Hisham, 35, menyertai protes jalanan di Dataran Merdeka pada 28 April tahun yang sama dan mereka didakwa mencetuskan huru-hara di ibu negara. Ketiga-tiga mereka turut menghadapi pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim dengan cara menghasut mereka untuk mengalih penghadang besi di Jalan Raja pada hari sama. Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000, jika sabit kesalahan. |
Jangan polemik isu tulisan jawi Posted: 10 Jan 2014 04:28 AM PST GEORGETOWN - Mana-mana pihak tidak wajar menimbulkan isu atau polemik mengenai tulisan jawi pada papan tanda nama sekolah seperti yang ditimbulkan baru-baru ini. Setiausaha Kelab Warisan Malaysia (Keris) Pulau Pinang, Mohamad Nor Suhaili Jamali berkata, tulisan jawi tidak memberi makna untuk berdakwah kepada orang bukan Islam kerana ia adalah tulisan yang sedia ada dan digunakan sejak zaman penjajahan British lagi. Bahkan, penjajah itu juga tidak pernah menghalang orang Melayu menggunakan tulisan jawi sebagai lambang kemunikasi perhubungan. "Saya berharap lembaga sekolah itu tidak mempolemikkan isu papan tanda ke arah politik dan biarlah ia dilaksanakan dengan baik. "Mungkin ada muslihat tertentu kerana ia dibangkitkan ketika suasana masih panas berkaitan isu Kalimah ALLAH," katanya kepada Sinar Harian, hari ini. Beliau mengulas surat yang dihantar Sister of the Infant Jesus, Celina Wong kepada pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Mertajam agar menanggalkan tulisan jawi yang terdapat pada papan tanda yang diletakkan pada pagar sekolah. Dalam surat itu, Wong memaklumkan bahawa ia bukan amalan di sekolah mubaligh dan tidak dibenarkan sama sekali. Ia juga memaklumkan bahawa ia bukan sekolah kerajaan tetapi sekolah mubaligh yang menggunakan Bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar serta bukan pengantar jawi. Isu ini menjadi panas apabila dipaparkan dalam beberapa blog termasuk salinan surat yang dihantar kepada pengetua sekolah. Bagaimanapun, Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Ahmad Tarmizi Kamarudin sebelum ini menjelaskan bahawa pengetua sekolah itu berhak untuk tidak mengikut arahan itu kerana sekolah terbabit di bawah pentadbiran jabatan. Beliau berkata, jika tidak berpuas hati dengan papan tanda itu, Sister terbabit boleh membuat aduan kepada kementerian pendidikan atau jabatan pendidikan melalui persatuan mubalighnya. Sementara itu, Pengetua SMK Convent Bukit Mertajam, Che Azizah Ismail dilaporkan berkata bahawa papan tanda itu sudah dipasang sejak 11 tahun dan tidak wajar ditimbulkan sekarang ini. Menurutnya, papan tanda itu tidak akan diturunkan sebaliknya terus dipertahankan kerana ia hanya membabitkan tulisan nama sekolah. Mohamad Nor Suhaili berkata tulisan jawi tidak mampu menggugat kepercayaan pelajar bukan Islam di sekolah itu sebaliknya hanya menjadi saluran perhubungan dalam kalangan pelajar Islam. Beliau berharap lembaga sekolah tidak terus memainkan isu itu ke arah politik sebaliknya membiarkannya berjalan seperti biasa dan bersama-sama menumpukan usaha kementerian bagi membangunkan modal insan berkualiti dalam kalangan pelajar sekolah. "Sekolah sebagai pusat integrasi perpaduan tidak seharusnya dilibatkan dengan pelbagai fahaman politik atau fahaman yang boleh mengganggu gugat kefahaman rakyat. "Keputusan Pengarah Pendidikan dilihat langkah tepat dan tegas dalam menyelesaikan isu berkenaan," katanya. |
Turun: Bukti belia peka nasib sendiri, rakyat Posted: 10 Jan 2014 04:26 AM PST SHAH ALAM – Himpunan Turun bagi membantah kenaikan kos sara hidup pada sambutan ambang tahun baru lalu yang disertai majoriti anak-anak muda bukti golongan itu peka bukan saja pada nasib diri sendiri malah masa depan rakyat. Menurut penganalisis politik, Dr Maszlee Malik, ia sesuatu yang boleh dibanggakan ekoran anak-anak muda tidak hanya memikirkan nasib diri sendiri sahaja. "Jadi, dalam Turun, anak muda ini lebih menyuarakan isi hati mereka. Kalau mereka tidak hadir pada himpunan itu, kita tahu mereka akan menghadiri konsert. "Tapi kita lihat di satu tahap, anak muda kita mula peka terhadap nasib mereka dan juga masa depan rakyat secara majoritinya," katanya kepada Sinar Harian Online. Beliau yang merupakan pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjelaskan, melalui media sosial seperti Twitter dan Facebook membolehkan anak muda mudah difahami. Katanya, penglibatan mereka dalam himpunan tersebut hanya untuk menyatakan bantahan kenaikan harga barang. "Melalui dunia media sosial, kita boleh fahami pemikiran dan juga trend dalam kalangan anak muda. Mereka yang turun itu risaukan realiti yang berlaku ini menjejaskan kualiti hidup mereka dan masa depan. "Apa yang akan berlaku? Kos yang meningkat tapi gaji tidak meningkat. Ia memberikan suatu kesengsaraan kepada orang-orang muda," katanya. Dalam menangani soal peningkatan kos sara hidup, beliau tidak menolak dakwaan orang muda boleh bekerja lebih daripada satu pekerjaan untuk mendapat pendapatan lebih. "Mungkin orang kata, orang muda boleh berusaha lebih dan sebagainya. Betul, mereka boleh bekerja lebih daripada satu pekerjaan untuk mendapatkan pendapatan lebih tapi mereka akan hilang fokus. "Apabila hilang fokus, apakah nilai kepada profesionalisme yang sepatutnya kita nak lahirkan?," soalnya. Beliau menambah, rakyat Malaysia mempunyai amalan demokrasi yang amat tinggi. Mengambil contoh dalam pilihan raya lepas, Mazlee berkata, suara majoriti lebih berpihak kepada pembangkang, namun, sistem sedia ada tidak membenarkan pihak yang dapat undi popular memerintah, sebaliknya peluang kepada pihak yang menang kerusi Parlimen tertinggi. "Di tahap itu pun, rakyat kita boleh terima, jadi, tahap kesabaran dan kematangan rakyat kita tak boleh dipandang remeh atau diperlekehkan. "Oleh itu, sebarang tuduhan bahawa golongan yang tidak berpuas hati turun untuk mengguling dan sebagainya, saya rasa tidak selari dengan realiti," katanya. |
Salah laku: Mahkamah tolak rayuan Muhammad Shafee Posted: 10 Jan 2014 04:20 AM PST KUALA LUMPUR - Peguam terkenal Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah hari ini gagal mengetepikan keputusan Lembaga Tatatertib Peguambela dan Peguamcara, yang mengenakan denda terhadapnya berhubung salah laku profesion. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zaleha Yusof menolak rayuan Muhammad Shafee setelah mendapati mahkamah itu tidak patut campur tangan dalam keputusan lembaga berkenaan berkaitan wawancara Muhammad Shafee dengan sebuah organisasi media. Zaleha berkata, mahkamah bersetuju dengan responden (Majlis Peguam) bahawa artikel berkenaan mengandungi kata-kata dan kenyataan berbentuk memuji perayu dan firmanya, yang melampaui skop atau maklumat yang dibenarkan Akta Profesion Guaman. "Pada pendapat saya, apa yang penting di sini ialah pandangan Majlis Peguam tentang yang diperuntukkan di bawah Peraturan 15(1)(b) Peraturan-peraturan Publisiti dalam Profesion Guaman 2001. "Saya berpendapat mahkamah tidak patut campur tangan dalam keputusan Majlis Peguam itu. Oleh itu, saya menolak rayuan ini tanpa perintah membayar kos," katanya. Muhammad Shafee memfailkan rayuan terhadap keputusan lembaga itu pada 5 Oktober 2012 yang mendapatinya melanggar Seksyen 94(3)(k) Akta Profesion Guaman dan memerintahnya membayar RM5,000 kepada Tabung Tatatertib. Dalam saman pemula yang difailkannya pada 16 Nov 2012, Muhammad Shafee mendakwa lembaga itu mendendanya RM5,000 berikutan aduan yang dibuat presiden Majlis Peguam ketika itu K. Ragunath pada 23 Sept 23 2010 bahawa beliau membuat publisiti tentang diri dan firmanya dalam satu temu bual dengan The Star. Dua artikel berkenaan yang bertajuk 'Counsel rests his case' dan 'Keeping within the letter of the law', tersiar pada 27 September 2009. Lembaga itu mendapati Muhammad Shafee membuat publisiti tentang diri dan firma peguam caranya dengan cara yang melanggar Peraturan Publisiti Dalam Profesion Guaman 2001. Muhammad Shafee diwakili peguam Sarah Abishegam, manakala Majlis Peguam oleh peguam Tan Sheong Leong. - Bernama |
Sosma Memadai Tangani Tindakan Pelampau - Nancy Posted: 10 Jan 2014 04:08 AM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah memadai untuk pihak berkuasa menangani sebarang tindakan yang mengancam keselamatan negara. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata justeru, tiada keperluan untuk undang-undang baharu ataupun mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dimansuhkan pada 2012. Beliau berkata, rakyat juga perlu memberi peluang untuk melihat Sosma berfungsi dan setakat ini pelaksanaan Sosma belum nampak kelemahannya lagi. "Kalau terdapat kelemahan, kita akan tambah baik," katanya kepada pemberitaketika ditemui pada majlis makan tengah hari yang dihos oleh isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk isteri Perdana Menteri Turki, Emine Erdagon di Pusat Kraf di sini, Jumaat sempena lawatannya ke Malaysia. Nancy berkata demikian apabila diminta mengulas cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya melaksanakan semula ISA untuk menangani tindakan puak pelampau di negara ini. Dalam isu berlainan, Menteri itu berkata, sebanyak 16,394 individu bankrap telah diberi pelepasan oleh Jabatan Insolvensi tahun lepas. Selain individu yang telah melangsaikan hutang mereka, pelepasan itu diberikan kepada individu bankrap yang membuat bayaran hutang secara konsisten setelah mendapat persetujuan dari pemiutang, katanya. Nancy berkata, kempen kesedaran mengenai peranan Jabatan Insolvesi yang giat dijalankan juga membawa hasil positif. Antaranya ia berjaya menggalak 9,938 individu untuk memfailkan Penyata Hal Ehwal dengan jabatan itu pada tahun 2013 berbanding 8,553 orang pada tahun 2012,katanya. - BERNAMA |
Saya Harap ISA Dikembalikan - KPN Posted: 10 Jan 2014 04:05 AM PST KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berharap agar Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dikembalikan semula sebagai undang-undang yang akan menjamin keselamatan lebih baik untuk rakyat. "Undang-undang semasa seperti SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012) adalah baik tetapi apa yang buruknya mempunyai undang-undang tambahan seperti ISA ini. "Saya menyokong ISA dan mana-mana undang-undang yang boleh membantu polis dalam menjadikan negara ini lebih selamat," katanya pada sidang media di Bukit Aman pada Jumaat. "Saya seorang pegawai penguatkuasaan undang-undang ... sudah tentu saya akan mengharapkan undang-undang yang boleh membantu saya dalam menjalankan tugas. "Bagaimanapun, saya mematuhi tujuan Parlimen dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada. Dalam pada itu, saya juga berharap Akta Pencegahan Jenayah (PCA) turut akan diperkenalkan tidak lama," katanya. ISA dimansuhkan pada tahun lepas dan kumpulan terakhir lapan tahanan telah dibebaskan dari Pusat Tahanan Kamunting pada minggu lepas. Sosma diperkenalkan tahun lepas bagi memastikan keselamatan awam dijamin. |
Umno-BN perlu henti mangsakan rakyat untuk kurang hutang negara Posted: 09 Jan 2014 04:21 PM PST Oleh: AFEEQA AFEERA SHAH ALAM : Kerajaan Umno-BN digesa supaya tidak terus memangsakan rakyat dengan mengenakan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan untuk mengurangkan hutang negara akibat perbelanjaan besar pentadbirannya. Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata tindakan kerajaan menarik pelbagai subsidi serta mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang sangat 'regresif' disifatkan sebagai tidak adil terutama kepada golongan berpendapatan rendah. Kesan daripada itu katanya, negara diramal mencatat inflasi ke paras 2.9 peratus untuk tahun 2014 dan terus melonjak ke paras setinggi 3.3 peratus pada tahun 2015. "Ramalan inflasi ke tahap Harga Pengguna (CPI) mencecah 3.3 ke 3.5 peratus adalah ganas dan sangat munasabah bahawa lebih ramai akan mengalami kesukaran untuk mengekalkan kos dan gaya hidup yang sudah terbiasa terutama bagi mereka yang kurang disiplin menguruskan kewangan. "Saya tidak boleh bayangkan, di samping kenaikan harga barang dan servis yang menggila nanti ditambah dengan kenaikan kos pinjaman, maka rakyat seumpama sudah jatuh ditimpa tangga," katanya dalam satu kenyataan kepada Selangor Kini. Beliau berkata demikian sebagai respon kepada kajian Ketua Ekonomi RAM Holdings, Dr Yeah Kim Leng yang berpendapat lebih ramai rakyat Malaysia bakal muflis berikutan pemotongan subsidi kerajaan serta kenaikan harga barangan untuk menyelesaikan masalah kewangan negara. Akhbar Singapura, Straits Times pula melaporkan terdapat lebih 60 rakyat diisytiharkan muflis setiap hari sehingga September, iaitu naik daripada 53 sehari pada 2012. Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata kadar pinjaman semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka turut naik sekaligus meningkatkan ansuran bulanan kereta, rumah dan pinjaman peribadi. Katanya tindakan itu akan menyebabkan semua institusi perbankan negara turut menaikkan kadar pinjaman purata mereka dalam semua bentuk pinjaman dan ia dikhuatiri bakal 'melahirkan' lebih ramai rakyat muflis di negara ini. "Kenaikan perkara asas oleh BNM akan menyaksikan beban hutang dan bayaran ansuran bulanan meningkat apabila semua institusi perbankan menaikkan kadar pinjaman mereka. Berapa ramai lagi akan muflis? "Apakah kesan dan impak sosial apabila rakyat mengubah cara hidup mereka untuk memastikan cukup saraan bulanan mereka?" katanya lagi.EZY |
Prof Dr Amir: Jangan salah subsidi sebab hutang negara tinggi, Jerman juga ada subsidi Posted: 09 Jan 2014 04:19 PM PST Oleh: NAZLI IBRAHIM SHAH ALAM : Langkah Kerajaan BN memotong subsidi barangan keperluan utama merupakan faktor penyebab kenaikan berantai barangan pengguna yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat. Kerajaan sepatutnya memikirkan langkah lain yang mampu menjimatkan lebih banyak perbelanjaan kerajaan seperti mengkaji pemberian subsidi ke atas syarikat penjana tenaga bebas (IPP) dan mengawal pembaziran yang banyak berlaku dalam urus tadbir kerajaan. Pakar Ekonomi di Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Amir Hussin Baharuddin, berkata Kerajaan Pusat tidak patut menyalahkan pemberian subsidi sebagai punca peningkatan hutang negara. "Ada orang yang pandai nak merealisasikan kos dan subsidi. Katanya tak payah subsidi tetapi saya nak tekankan di negara maju seperti Jerman juga mereka ada subsidi. "Syarikat besar ini dia meminta menambah pendapatan tatkala dia sedang dalam keuntungan, sepatutnya sama-samalah susah," kata Dr Amir Hussin. Dr Amir Hussin merupakan salah seorang panelis Wacana Sinar Harian siri ke 25 yang membincangkan tajuk Kejutan Ekonomi Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 yang diadakan di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini. Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli dalam program sama berkata, tindakan Kerajaan Pusat mengambil setiap sen wang dari saku rakyat tidak menggambarkan pertumbuhan ekonomi dalam keadaan baik. "Kita tengok setiap tahun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pertumbuhan ekonomi yang baik lima peratus, empat peratus, kaya ini dan itu tetapi pada masa sama pertumbuhan ekonomi yang dicanangkan BN itu kesan tak sampai kepada rakyat. "Rakyat tanya sekarang ini kalau betul pertumbuhan ekonomi bagus, negara kaya macam ini kenapa kerajaan nak berkira walau harga 20 sen subsidi gula pun kerajaan mahu ambil dari rakyat," kata Rafizi lagi. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Malaysia (PAC), Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata Kerajaan Pusat bertindak secara tidak telus dengan menaikan harga sesuatu barangan secara mengejut sekaligus menimbulkan kemarahan rakyat. Wacana yang menarik minat kira-kira 200 hadirin yang memenuhi dewan itu dipengerusikan penganalisis politik dan juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Maszlee Malik. EZY |
Waris pelajar syiling RM64 terima sumbangan Iskandar Posted: 09 Jan 2014 04:16 PM PST Oleh : AFIX REDZUAN SHAH ALAM : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cempaka, Iskandar Abdul Samad menyerahkan sumbangan bantuan kepada waris pelajar yang terpaksa membayar yuran persekolahan dengan menggunakan duit syiling sebanyak RM64.00 bertempat di Taman Dagang, Ampang. Iskandar melalui laman sosial Facebook memaklumkan, bantuan diserahkan kepada 'Pak Long' dan 'Mak Long' yang juga datuk dan nenek pelajar berkenaan. Katanya, sebelum ini pihak DUN pernah menziarahi keluarga berkenaan sebanyak dua kali selain menghulur bantuan sumbangan. "Mereka juga pernah menerima bantuan seperti Jom Shopping, bantuan Hari Raya dan membeli kasut sekolah, baru-baru ini," katanya menerusi laman Facebook miliknya. Selain itu, Iskandar turut memaklumkan perkara itu akan diketengahkan kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk permohonan bantuan yang sesuai. Kisah menyayat hati pelajar Sekolah Agama Integrasi Ar-Rahmaniah Taman Dagang mendapat perhatian pengguna laman sosial Facebook sejak semalam. Menurut paparan di laman sosial, datuk pelajar berkenaan membawa punjut syiling yang bernilai RM64.00 untuk membayar yuran persekolahan. Namun, jumlah berkenaan tidak mencukupi untuk membayar jumlah yuran berkenaan dan atas inisiatif guru, mereka menambah wang untuk melengkapkan jumlah yuran. Ibu pelajar berkenaan meninggal dunia sejak umurnya sebulan sementara bapa dipenjara kerana masalah dadah, manakala neneknya masih bekerja sebagai pembantu kebersihan dan akan tamat kontrak pada bulan Jun ini sementara datuknya sudah tidak berdaya hanya menerima bantuan PERKESO RM350.-NFN- |
Harga makanan kantin sekolah naik, Kerajaan Pusat patut turun padang Posted: 09 Jan 2014 04:13 PM PST Oleh: Naeem Raffi SHAH ALAM : Pengusaha-pengusaha kantin terpaksa menaikkan harga sajian makanan sekirannya mereka terus dibebankan dengan lambakan kenaikan harga barangan di pasaran sehingga menjejaskan kos operasi mereka. Setiausaha Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah-Sekolah Malaysia, Hamzah Omar, berkata ia bagaimana pun berlaku pada kadar yang minimum dan tidak membebankan mana-mana pihak khususnya ibu bapa. "Selaku organisasi yang bertanggungjawab kepada pengusaha kantin ini, kami sentiasa memantau dan memastikan agar setiap pengusaha kantin mematuhi kontrak dengan mengekalkan harga tanpa melakukan perubahan harga sesuka hati "Namun, apabila harga barangan dipasaran melambung naik, sedikit perubahan harga makanan terpaksa dilakukan pengusaha kantin. Itu pun dinaikkan pada kadar minimum bagi menampung kos operasi mereka dan bukannya untuk membuat keuntungan berlibat ganda," jelasnya ketika dihubungi Selangor Kini. Mengulas lanjut, Hamzah berkata proses sebut harga dan pemberian tender dari sekolah kepada pengusaha kantin sudah cukup membuktikan hanya pengusaha terbaik dilantik dalam memastikan semua pihak khususnya ibu bapa tidak terkesan. "Setiap kali sekolah buka sebut harga dan tender baru, sekurang-kurangnya berbelas pengusaha akan memohon. Jadi mereka perlu bersaing dan hanya pengusaha yang memberi sebut harga terbaik akan dipilih oleh sekolah dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD)," "Ini bermaksud, kenaikan harga yang minima itu adalah persetujuan bersama antara sekolah dan PPD. Kenaikan harga yang minima itu, pada saya adalah sangat wajar ekoran lambakan kenaikan harga barangan yang melambung naik hari ini," jelasnya. Menjawab keluhan ibu bapa berhubung kenaikan harga makanan di kantin menjelang tahun ini, Hamzah berkata para pengusaha kantin juga terkesan dan bukan sewenangnya mahu mengambil kesempatan meraih keuntungan. "Kita faham beban yang ditanggung semua ibu bapa ini. Namun, ibu bapa juga perlu memikirkan beban yang ditanggung pengusaha kantin. "Mereka ini pun terdiri dari kalangan ibu bapa yang turut memerlukan sumber pendapatan,"katanya. Sebelum ini, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata Kerajaan pusat perlu mengawal harga makanan di kantin sekolah bagi mengelakkan ibu bapa mengalami bebanan dengan kenaikan kos sara hidup di negara ini. Katanya, Kerajaan Pusat perlu memikirkan kaedah untuk membantu ibu bapa bagi memastikan pembelajaran anak-anak tidak terjejas. EZY |
Isu serbuan JAIS: Najib talam dua muka Posted: 09 Jan 2014 04:05 PM PST KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran mengecam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyeru keharmonian tapi langsung tidak merujuk serbuan haram Jabatan Agama Islam (JAIS) terhadap Persatuan Alkitab Malaysia (BSM), baru-baru ini. Beliau berkata, berdasarkan apa yang diucapkan Najib itu, ia bukan saja mengecewakan semua rakyat Malaysia, malah menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawabnya sebagai pemimpin negara. "Najib sehingga kini masih enggan bersuara dan hanya mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk kepada serbuan JAIS dengan menyatakan bahawa isu yang boleh memusnahkan keamanan dan keharmonian mesti ditangani melalui dialog serta kedaulatan undang-undang. "Tapi apakah beliau sedar fakta bahawa tindakan JAIS ke atas BSM itu merupakan pelanggaran terhadap Penyelesaian 10 Perkara yang diputuskan Kabinet? "Bagaimana Najib boleh memilih untuk mengelak dan berfikir ia mencukupi untuk membuat kenyataan demikian? Mengapa beliau tidak mengarahkan saja penjawat awam agar menghormati dan menerima Penyelesaian 10 Perkara?," katanya dalam kenyataan, semalam. Naib Pengerusi DAP Kebangsaan itu turut menegaskan, serbuan terbabit juga memalukan dan menjejaskan nama negara di mata dunia. Tegasnya, jika Najib adalah seorang pemimpin yang benar-benar prihatin, beliau sepatutnya menunjukkan keberanian politik dan melakukan perkara sebetulnya demi kepentingan negara. "Beliau tidak sepatutnya memilih untuk hanya kekal popular tetapi harus sentiasa melindungi jaminan perlembagaan untuk kebebasan beragama. "Saya juga berharap beliau tidak melihat isu ini seperti apa yang dinyatakan Pengerusi Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN), Tan Sri Samsudin Osman iaitu 'seperti seorang bapa, MPPN tidak harus menyalahkan anak-anak tetapi boleh mengatakan ia adalah amat dikesali dan tidak berlaku lagi'. "Saya sama sekali tidak bersetuju dengan kenyataan Samsudin kerana bapa yang bertanggungjawab dan baik mempunyai kewajipan memberitahu anaknya mengenai perkara betul dan salah serta membezakan benar atau salah," ujarnya. -Roketkini.com |
Tambang bas naik, budak sekolah demo Posted: 09 Jan 2014 04:04 PM PST Ibu bapa dan pelajar mengadakan bantahan secara aman terhadap tindakan pengusaha bas menaikkan tambang bas sekolah secara mendadak baru-baru ini. BAGAN DATOH – Ambil kesempatan! Itu antara reaksi tidak puas hati sebahagian besar ibu bapa pelajar dari sembilan lokasi dekat sini, berhubung kenaikan tambang bas sekolah mulai pertengahan Januari ini.Kata mereka, kenaikan tambang bas hingga RM25.97 bagi setiap pelajar itu, dilihat tidak muhasabah sehingga membebankan ibu bapa. M Sundrawali, 42, berkata, dia dimaklumkan kenaikan tambang bas sekolah itu selepas anaknya di tingkatan tiga diberikan notis oleh pemandu bas pada minggu lalu. Menurutnya, anaknya juga dimaklumkan kenaikan tambang bas itu akan bermula pada pertengahan Januari ini. "Apa yang memeranjatkan saya apabila tambang bas yang dinaikkan terlalu tinggi buat kami penduduk kampung di sini. "Ini kerana, pengusaha bas sekolah mengenakan bayaran sebanyak RM44.85 bagi seorang pelajar di kawasan estet berbanding RM32 sebelum ini. Jelas sekali harga baharu dikenakan pengusaha bas membebankan kami (ibu bapa)," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Sembilan lokasi terbabit adalah Kampung Baru, Kampung Bunga Raya, Estate, Perumahan Awam, Kedai Sungai Dulang, Kunci Air Sungai Dulang, Lorong Sujakyah, Sek. Tanah Lalang dan Kampung Tanah Lalang Darat. Terdahulu, sekumpulan pelajar dan ibu bapa mengadakan perhimpunan aman di Pekan Sungai Dulang, di sini sebagai simbolik protes berhubung keputusan Persatuan Perusahaan Bas Sekolah Hilir Perak menaikkan kadar tambang bas. Sundrawali berkata, mereka faham kenaikan harga tambang disebabkan dengan kadar kenaikan harga minyak 20 sen bagi satu liter tetapi caj baharu yang dikenakan ke atas setiap pelajar agak membebankan mereka yang berpendapatan kecil. Bagi seorang ibu kepada tujuh anak, Sulasiah Moktar, 42, dari Taman Perumahan Awam berkata, kadar tambang bas sekolah baharu dibuat pengusaha itu, jelas menyusahkan ibu bapa berpendapatan rendah. Katanya, dia yang tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami menganggap kenaikan tambang bas sekolah memberi kesan kerana kenaikan sebanyak RM16.89 berbanding RM32 sebelum ini. "Apa yang merunsingkan kami, dua anak kami bersekolah yang menggunakan khidmat bas sekolah tersebut dan terpaksa membelanjakan RM97.78 setiap bulan dan ianya memberi kesan terhadap perbelanjaan hari kami. "Jika pengusaha mahu menaikkan kadar tambang bas, biarlah berpatutan kerana kami di sini hanya berpendapatan kecil, apatah lagi keluarga saya mempunyai ramai anak-anak yang perlu bersekolah," katanya, Manakala seorang bapa kepada tiga anak, V Kannapan, 47, berkata, dengan gaji diterima kira-kira RM900 hasil bekerja di sebuah ladang kelapa sawit berhampiran di sini, kurang senang terhadap kenaikan itu kerana menyifatkan ia amat membebankan. "Apatah lagi, kadangkala pengusaha bas sekolah tidak mementingkan keselesaan penumpang tetapi mengenakan bayaran sangat mahal. "Saya terpaksa membelanjakan RM89.70 untuk dua orang anak yang menggunakan khidmat bas sekolah dan harga itu tidak berbaloi apabila ibu bapa mempunyai tanggungan ramai anak yang bersekolah," katanya. Sementara itu, seorang penduduk, Abu Salleh Sabdin, 47, berkata, walaupun anaknya tidak menggunakan perkhidmatan bas sekolah itu, rungutan ibu bapa mengenai kenaikan tambang bas memberikan mesej jelas kepada pihak berkaitan untuk ambil tindakan segera. Katanya, ini kerana kebanyakan penduduk di kawasan itu hanya bekerja sebagai nelayan pantai mahupun bekerja sendiri dan pendapatan yang diterima rata-rata kurang daripada RM700. Menurutnya, notis yang diberikan oleh pengusaha bas itu memberikan kadar tambang bas berbeza mengikut jarak satu-satu kampung itu. "Semakin kampung itu jauh, semakin mahal tambang bas sekolah mereka kenakan sebagai contoh kadar bayaran dikenakan bagi pelajar yang ditinggal di Kampung Tanah Lalang Darat dikenakan sebanyak RM56.97 berbanding RM32 sebelum ini. "Kenaikan yang dikenakan itu terlalu mahal dan sebahagian penduduk di kawasan ini tidak mampu dengan kadar tambang bas sekolah yang baharu ditetapkan pengusaha," katanya. Ketua Pemuda Pas Kawasan Bagan Datoh, Mustafa Saifuddin berkata, kenaikan yang dikenakan pengusaha bas melebihi daripada 40 peratus. Katanya, kadar kenaikan tambang bas itu juga diragui kerana tiada arahan atau surat pekeliling membenarkan pengusaha menaikkan harga tambang. Menurutnya, pihaknya meminta kepada pengusaha bas untuk mempertimbangkan semula kadar tambang bas yang dikenakan ke atas setiap pelajar yang menggunakan khidmat mereka kerana ianya jelas membebankan ibu bapa mereka. "Saya faham kenaikan itu selaras dengan kenaikan harga minyak serta servis perlu dilakukan tetapi jangan naikkan tambang bas sekolah terlalu tinggi dan drastik," katanya. Sinar Harian akan mendapatkan maklum balas daripada pengusaha bas hari ini. |
Kerajaan BN makin terdesak, gunakan sekolah sebar propaganda politik Posted: 09 Jan 2014 04:03 PM PST KUALA LUMPUR: Kerajaan secara senyap didapati mula mengarahkan semua sekolah meletakkan potret pemimpin negara dan negeri di dalam kelas kononnya untuk menyemai semangat patriotisme di kalangan pelajar. Namun, arahan yang dikeluarkan hanya membabitkan negeri yang diperintah BN dan ia menimbulkan tanda tanya apakah agenda tersembunyi di sebaliknya apabila mereka mengenepi serta menolak potret pemimpin negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR). Dalam laporan portal The Malaysian Insider, difahamkan satu pekeliling daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dihantar melalui sistem aplikasi WhatsApp atau menerusi lawatan pegawai pendidikan daerah yang menyatakan sekolah 'digalak' meletak gambar Yang Di Pertuan Agong, Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, Ketua Menteri dan Menteri Besar. Arahan tidak rasmi itu mendapat tentangan orang ramai termasuk pentadbir sekolah dan ibu bapa yang menyifatkan ia sebagai satu lagi langkah pembaziran kerana KPM sepatutnya memberi tumpuan kepada latihan lebih baik untuk guru seperti dicadangkan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan. Pimpinan DAP baru-baru ini turut mempersoal dan menuntut perjelasan pihak kementerian mengenai arahan tidak masuk akal yang diberikan itu. Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua menegaskan arahan itu jelas tidak jauh bezanya dengan propaganda politik ala-Nazi. "Ini hanya memperlihatkan sikap kurang keyakinan diri atau narsis. Ia juga tidak lain adalah sebahagian agenda propaganda politik seperti yang diamalkan Mao Zedong sebagai sebahagian usaha indoktrinasinya. "Kementerian harus memberikan penjelasan segera," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP. Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok pula menyatakan, arahan kerajaan itu tidak mempunyai kewajarannya dan jelas hanya bermotifkan politik semata. "Kalau satu bingkai sahaja sudah menelan belanja berpuluh ringgit, berapa kos yang terpaksa ditanggung sekolah untuk membingkai potret ini bagi setiap bilik darjah? "Kenapa pula mesti dalam bilik darjah? Tidak cukupkah gantung potret di dewan sekolah, pejabat dan bilik guru?," soalnya. -Roketkini.com |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan