Jumaat, 3 Januari 2014

.

.


Ahmad Yaakub perlu tiru stail Pak Dogol

Posted: 02 Jan 2014 08:59 PM PST

TAZKIRAH JUMAAT                                                                        

Sudah seminggu saya postkan dalam blog ini mengenai dakwaan oleh seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan yang melahirkan rasa kesal dan terkilan dengan sikap dolak dalih Ahmad Yaakub sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan dan juga Menteri Besar.

Ahmad Yaakub membisu terhadap posting ini.
Dakwaan itu memusatkan kepada beberapa janji-janji mulut yang didakwan dibuat kepada PKR Kelantan berhubung beberapa perkara, tetapi semuanya tidak dilunasi. Kerana sikap tidak menempati apa yang dijanjikan itu menyebabkan Ahmad dianggap sebagai berdolak dalih dan seolah-olah ikut meremehkan PKR Kelantan seperti mana dilakukan oleh setiausaha politiknya, Wan Nik Wan Yusuf.

Tidak perlu saya turunkan apa-apa yang dikatakan dolak dalih itu, penjengok boleh membacanya dalam intri yang lepas bertarikh 28 Disember 2013. Rujuk di sini:http://msomelayu.blogspot.com/2013/12/keadilan-kelantan-dakwa-ahmad-yaakub.html


Bagaimana pun apa yang hendak ditambah di sini, sedikit maklumat mengenai permintaan PKR mengenai jawatan penyelia Dun Pengkalan Kubur. Ahmad dikatakan berjanji untuk melantik orang PKR, ia dilafazkan di hadapan Anwar Ibrahim dalam satu perjumpaan mereka di kediman MB di JKR 10 Kota Bharu. Ertinya janji Ahmad itu bukan kepada pimpinan PKR Kelantan, tetapi kepada penasihat umum PKR sendiri.

Bayangkan kalau dengan Anwar sendiri pun beliau boleh berdolak dalih, apa lagi dengan para 'bocah-bocah' PKR di Kelantan. Bagi Ahmad dan anak-anak buahnya hanya kacang sajalah berdepan dengan bocah-bocah itu. Ia boleh diselesaikan dengan kalimah suci, InsyaAllah sahaja.

Biarlah. Apa yang saya hendak timbulkan di sini, kenapa Ahmad membisu ke atas dakwaan itu. Kenapa beliau tidak tampil menjawab atau menjelaskannya. Kalau dakwaan itu bohong, jawab dan katalah ianya bohong. Tetapi kalau ia benar mengaku sajalah, atau berikan alasan-alasan munasabah kenapa ia tidak dipenuhi? Tidak akan kurang darjat dan keilmuan beliau kalau mengakui kesalahan, bahkan sikap begitu akan menambahkan lagi integriti dan 'kemursyidan' beliau sebagai Ustaz.

Sebagai seorang ulamak, (untuk rekod Ahmad Yaakub adalah Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Malaysia), seorang yang 'fakih' agama dan tahu hukum berbohong. Juga kalau beliau tidak bertanggungjawab, tindakan itu boleh memalukan Pas. Beliau tidak boleh membiarkan isu itu tergantung begitu saja bagaikan pelamin tanpa mempelai, kerana ia menimbulkan pelbagai persepsi yang tidak baik. Orang boleh menganggap bahawa Dewan Ulamak Pas ini, pembohong dan hipokrit. Apakah ada fatwa oleh Dewan Ulamak Pas, dalam politik boleh berbohong?

Saya tidak fikir beliau tidak mengetahui apa yang saya tulis itu dan, beliau tidak membacanya sebagai alasan untuk tidak menjawabnya. Beliau pernah mengakui mengikuti blog dan penulisan saya. Apakah setelah menjadi MB beliau begitu 'lorak dan gaduh' untuk tidak membuka blog lagi? Boleh jadi juga, sebab jawatan MB adalah jawatan yang sibuk dan penuh dengan appoitment demi appoiment dan function dan demi function.

Betapa tidak, belum sampai setengah tahun menjadi MB, beliau sudah ke Italy dan beberapa buah negara Eropah. Beliau juga sudah mengunjungi Putrajaya. Masa Tokguruku Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi MB, lebih 20 tahun, tidak sekali pun Nik Aziz menghauskan tepak kasut memijak tangga pejabat Perdana Menteri kalau pun ingin mencari sesuap nasi untuk rakyat Kelantan. Nik Aziz usaha dengan kudrat iradatnya sendiri.

Tetapi apa yang tidak terbuat Tokguru Nik Aziz, berjaya dan terganak dilakukan Ahmad Yaakub, sebab itu Tokguru melahirklan rasa terkejut dan menganggap pertemuan itu sebagai luar biasa. Bagi yang arif menyelami makna dan makrifat mantik politik Tokguru akan mengerti dan memahami maksud keterujaan Tokguru atas peristiwa berkenaan. Tokguru ada kalanya tidak berterus terang dengan sesuatu, tetapi menggunakan kiasan untuk menegurnya. Kalau beliau memarahi seseorang bukan bermakna dia balun dengan tongkat tetapi cukup dengan memuji yang membawa maksud tersirat.

Selepas ke Putrajaya, Ahmad Yaakub terbang pula ke Seri Bagawan bersama beberapa Exco menghadap Sultan Brunei. Hebat. (Cerita di Brunei akan dikisahkan pada ketika lain macam mana proposal untuk 'meternak gambir' dikemukan).

Dan ternyata beliau sibuk dan lorak sekali. Kalaupun begitu jika ia bijak beliau boleh menyelesaikan banyak masalah dalam kesibukan itu. Tirulah perangai dan tingkah laku Pak Dogol dalam wayang kulit di mana Pak Dogol 'belan-belan jalan belan-belan memikir'. Maksudnya walaupun dalam keadaan sibuk, susah dan terganggu fikiran, tetapi Pak Dogol tetap masih berfikir kandati sambil berjalan. Sikap comfortable beginilah yang harus ada kepada seorang pemimpin. Dalam hal ini Pok Dogol nampak lebih pintar dari Ahmad Yaakub.

Kalaupun beliau sibuk, apakah persoalan yang diungkitkan itu tidak boleh dijawab oleh orang lain?
Bukankah beliau mempunyai beberapa orang pembantu dan pegawai yang memantau apa-apa jua perkembangan baik hal ehwal negeri Kelantan dan juga peribadinya.

Di pejabat MB di Kota Darunaim, beliau ada empat orang pegawai; Setiausaha Politik, Setiausaha Akhabr, Pegawai Khas, Setiausaha Sulit Kanan. Mustahil ke empat-empat orang pegawai ini tidak membaca apa yang saya tulis dan ungkitkan itu. Manakala di ibu pejabat Pas Kota Bharu pula beliau ada timbalan dan pembantunya. Beliau ada tiga orang Timbalan Pesuruhjaya, seorang setiausaha, seorang bendahari dan seorang ketua penerangan yang semua boleh membantunya.

Katalah pegawai di Pejabat MB itu tidak ada hak dan kuasa untuk melayani apa-apa yang diperkatakan mengenai diri Ahmad itu kerana ia dari sudut politik, dimana mereka hanya akan peduli mengenal hal-hal kerajaan saja, tetapi timbalan-timbalannya dan pembantunya di Ibu Pejabat Pas, seperti Mohd Amar Nik Abdullah, Nasarudin Daud dan lain-lain bertanggungjawab menyampaikan apa-apa yang terlalai oleh beliau itu.

Apakah semuanya tidak mengetahui atau sengaja mahukan Ahmad lemas di daratan dengan persoalan itu? Misalnya Nasaruddin sebagai ketua penerangan Pas seharusnya berfikir dan bertindak menjawab dan menjelaskan sesuatu megenai parti lebih awal dari orang lain. Apa guna anda menjadi ketua penerangan?

Adalah malang sekali di zaman IT dan kecanggihan maklumat, Ahmad Yaakub lambat atau kurang peka mengenai dirinya. Kalau beliau lambat ertinya beliau tidak cekap dalam pentadbiran. Kalau beliau sudah mengetahuinya, tetapi tidak menjawabnya bermakna beliau bukan seorang yang bersifat responsif (tak cakduh) dan tidak relaven menjadi MB dalam zaman sekarang ini. Zaman ini maklumat mengalir dalam minda manusia setiap detik. Sikap sedemikian juga memudahkan untuk Umno 'merukas' (panjat) belakangnya. Menjadikan MB bukan sahaja setakat meminitkan dengan perkataan "sila urus", tetapi perlu lebih concern dari itu.

Bagaimana pun, saya yakin dia sudah mengetahuinya tetapi sengaja tidak mahu menjawab dan sedia menjadi syaitan bisu. Kalau pun beliau geli geleman dengan blog saya tetapi persoalan yang dibangkit itu sudah bergelegak di luar sana.  Kenapa beliau enggan menjawab, inilah persoalan dan menyebabkan saya membuat catatan kurang manis ini.

Harus difahami apa yang dikemukakan itu ia bukan saja diperhatikan oleh orang-orang PKR Kelantan sahaja, tetapi ia dilihat dan diperhatikan sama oleh banyak orang. Blog saya boleh dicapai di mana-mana sahaja. Makanya apa yang didedah dan diungkit itu dipantau sama oleh orang PKR Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak.

Apakah menjadi amalan dan prinsip politik Ahmad Yaakub untuk mendiamkan dan mengambuskan isu? Kalau begitu orang akan pertikaikan dan mengheret isu-isu lain sama dengan isu PKR itu. Tentunya ia akan dihubungkan dengan pergolakan kecil yang berlaku semasa penyusunan kerajaan Kelantan selepas 24 jam selesainya pilihan raya umum ke-13 lalu. Amalan menimbus tahi seperti kucing jangan dilakukan. Tahi terselindung tetapi baunya melata.

Dengan sikap membisu itu orang akan boleh mengiyakan tohmahan bahawa memang ada agenda-agenda busuk Pas Kelantan untuk menganiayakan orang tertentu. Walaupun Ahmad sudah menjelaskan kedudukan sebenar sehingga mendedahkan surat yang dihantar kepada Sultan kemudian dicorrect oleh baginda, tetapi dengan menyembunyikan isu-isu dan persoalan lain menyebabkan orang boleh berfikir semula, betulkah apa yang berlaku itu seperti mana dilaporkan. Mungkin juga Ahmad menjawab dalam bahasa dia menjawab (berdolak dalih) kepada pemimpin PKR itu.

Isu berhubung PKR ini hendak tidak hendak Ahmad Yaakub kena jawab. Sama ada ia ada desakan daripada PKR atau tidak ini kerana umum sudah membuat tanggapan mengenai isu itu, Ahmad kena menjawab. Beliau kena jelas bagi membersihkan dakwaan ke atas dirinya itu. Seperti saya kata, kalau betul mengaku dan kalau tidak, jawab.

Sekiranya Pas Kelantan dibawah Ahmad Yaakub merasakan PKR tidak diperlukan kerana ia tidak memberi apa-apa untung dan laba, nah.. batalkan sahaja permaufakat itu. Penggalkan kepala PKR atau anggap mereka 'bughah'. Beberapa jawatan lantikan politik yang diserahkan kepada ahli PKR seperti Wan Zawawi Wan Ismail di PKINK, pecat dan ganti dengan orang Pas tulen?

Dalam pada itu Ahmad juga kena jelaskan kenapa Wan Zawawi diistimewakan begitu sekali. Tidak sampai enam bulan memegang jawatan Sumber Manusia telah dinaikkan pangkat menjadi timbalan Pengurus Besar. Apakah kedudukan itu atas arahannya ataupun orang lain? Kalau orang lain dimana peranan dan tanggungjawab beliau sebagai ketua. Jawabanlah sebelum soalan-soalan lain yang lebih menyerabutkan dikemukakan dari masa ke semasa.

Saya tidak bercadamng untuk mengheret isu-isu lain yang lebih mengejutkan berlaku di persekitaran MB itu. Saya masih ada rekod maklumat tersimpan mengenai sejak beliau menjadi Timbalan Menteri Kelantan, sewaktu menjadi pengerusi Jawatankuasa Tanah dan Balak dan sebagainya. Adca kes istimewa melibatkan Ahmad Yaakub. Saya tidak akan menjadi gila untuk menimbulkan semua itu, sekiranya beliau bersikap jujur, terus terang dan benar-benar ikhlas. Jangan berselindung di sebalik ucapan tawaduk INSYA-ALLAH. Kalau asyik Insya-Allah lama-lama Ahmad Yaakub akan digelar Menteri Besar Inysa-Allah pula.

Bagi saya menggunakan ucapan itu untuk tujuan berdolak dalih dan membohongi orang adalah satu kesalahan satu dosa.  [wm.kl.8:28 pm 02/01/14]

Tiada ulasan: