Selasa, 28 Januari 2014

.

.


Ceteknya minda sesetengah ahli Dewan Pemuda PAS

Posted: 28 Jan 2014 02:40 AM PST

SUSUPAN SDNJA                                                                             

Realiti bahawa Dewan Pemuda PAS terbelah kepada dua fraksi, ortodok dan modern terbayang di dalam reaksi dibuat oleh anggota sayap kanan PAS berhubung kekosongan kerusi DUN Kajang dan pengumuman Anwar Ibrahim sebagai calon PKR dalam pilihan raya kecil itu.

Sekurang-kurang dua orang anggota Pemuda PAS, setakat ini, membuat kenyataan kurang manis berhubung keputusan PKR itu sebaik sahaja Anwar diumumkan sebagai calon. Ketua Pemuda PAS Selangor, Syarhan Humaizi Abdul Halim mengeluar kenyataan awal berbau ancaman akan memboikot pilihan raya kecil bakal diadakan itu.

Katanya sekiranya PKR tidak memberi penjelasan munasabah mengenai pengosongan kersui berkenaan jentera pilihan raya Pemuda akan diarah agar tidak memberi kerjsama kepada pilihan raya itu.



Seorang lagi anggota Pemuda Pas yang membuat kenyataan dikira kurang manis ialah Pengarah Pilihan Raya Pemuda, Mohd Sany Hamzan yang menyifatkan pilihan raya berkenaan mengejutkan dan ianya menyebabkan rakyat meluat dengan kerakusan kuasa dalam PKR.

Sebagai sekutu kepada Pakatan Rakyat, kedua-dua anggota pemuda itu tidak sepatut mengeluarkan kenyataan berkenaan secara melulu yang boleh menyinggungkan perasaan orang lain. Kenyataan-kenyataan bersifat negatif itu menggambarkan kecetakan Pemuda PAS dalam memahami sepak teranjang politik. Ia juga menunjukkan Pemuda PAS kurang ilmu diplomasi.

Mereka juga boleh dianggap biadap kerana tidak menghormati konsensus politik yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti. Apakah pandangan pemuda lebih tajam daripada pandangan pucuk pimpinan, Abdul Hadi Awang, Mohamad Sabu dan lain-lain?  Apakah mereka tidak tahu bahawa peristiwa hari ini sudah dibincang peringkay pucuk pimpinan? Mungkin mereka tidak diberitahu kerana budak-budak memang tidak perlu diberi tahu awal-awal.

Tetapi senario yang berlaku sudah boleh ditafsirkan. Adalah menyedihkan sebagai orang muda lambat untuk memahami apakah motif dan keperluan disebalik pengosongan kerusi Kajang itu. Kalaulah begitu rendahnya pemikiran Pemuda PAS sukarlah untuk PAS bergerak lebih jauh lagi apa lagi untuk menawan Selamngor secara bersendirian. Kenapa Pemuda harus mempersempitkan akal politik mereka?

Berpandukan kepada dua pandangan itu tidak hairanlah kalau peristiwa di Kota Damansara berlaku yang menyebabkan kerusi yang sepatutnya menjadi milik Pakatan Rakyat terlepas. Sikap dan tindakan begitu, persis marahkan nyamuk membakar kelambu adalah sikap orang bodoh. Di Damansara kerana terlalu tamak dan degil akhirnya ayam terlepas tangan tertinggal tahi.

Kenyataan mereka berdua itu juga seolah-olah bercanggahan dengan keputusan pucuk pimpinan parti yang mana ia boleh dianggap sebagai biadap.

Apakah mereka tidak sedar sidang akhbar pagi tadi dihadiri sama oleh dua pimpinan tertinggi PAS, Naib Presiden, Salahuddin Ayub dan Pengarah Pilihanraya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli. Kehadiran mereka itu sudah menjelaskan kedudukan di sebalik apa yang berlaku. Pemuda yang dianggap sebagai ansrollah harus cekap membaca peristiwa.

Cara mereka membuat kenyataan bernada mengkritik dan mencemuh PKR itu tidak menggambarkan mereka sebagai anggota parti Islam yang lebih kepada soal-soal adat dan pekerti.  Mereka lebih kurang pemuda Umno sahaja. Cari itu juga bukan memupuk semangat kerjasama dalam keadaan memerlukan kerjasama. Apakah jenis manusia yang boleh dinamakan apabila membuat kerenah disaat kawan menghadapi perang?

Ancaman untuk memboikot pilihan raya kecil itu juga mendahului keputusan pucuk pimpinan. Seharusnya ketua Pemuda PAS Selangor itu memerhati apa yang berlaku dan apakah tindakan pucuk pimpinan. PAS adalah milik semua orang dan bukan hanya milik kalangan Pemuda PAS Selangor sahaja.

Tanggungjawab ahli PAS baik di mana mereka berada adalah secara kolektif. Sebab itu bila ada sesuatu pilihan raya semua ahli PAS akan turun. Jadi apa-apa keputusan berhubung dengan Pakatan Rakyat, semua ahli PAS terlibat dan jangan hanya PAS Selangor merasakan ianya hak mereka secara eksklusif dan boleh berbuat apa yang disukai. Bukankah Islam itu sejagat sifatnya?

Kalau tindakan untuk menunjukkan kita lantang, berani, dan prihatin agamatetapi ia dengan bertenggek di atas nafsu sarakah ia tidak memberi guna apa-apa pun. Pemuda PAS Selangor juga patut membuat kajian dan tahu kronologi macam mana mereka mula mendapat kerusi di Selangor.

Justeru apa-apa keputusan yang dibuat dan diambil oleh pucuk pimpinan hendaklah dihormati dan biarlah penuh hikmah. Cara ketua pemuda PAS Selangor itu seakan tidak mengerti untuk bertindak secara sopan dan sangat cetek dalam memahami seluk belut politik. Pandanglah sesuatu itu dari berbagai dimensi.

Sikap atau kealpaan sebegitulah yang boleh menjejaskan PAS dan menyebabkan orang akan mencemuhi PAS. Gerakan politik yang dipersetujui oleh PAS menerusi Pakatan Rakyat adalah atas dasar dan prinsip politik yang rencam dan bukan peraturan jemaah, hendaklah disedari. Fahami akan hakikat ini. Yang perlu dikenang dalam perjuangan bukan kecemerlangan masa depan yang dibayangkan tetapi kesusahan masa lalu yang diharungi. Saya percaya ada kalangan Pemuda PAS hari ini tidak sempat melalui banyak liku-liku kesusahan Pakatan sebelum ini.

Kesimpulan persepsi atau realiti Dewan Pemuda PAS berpecah kepada dua kelompok tampak jelas dengan sikap dua oknum Pemuda itu. Dewan Pemuda PAS sebelum ini dilihat dikuasai oleh dua kelompok yang tidak sehaluan dan mempunyai pandangan dan uslub politik berbeza. Sepihak lebih bersikap ortodoks mahu mengekalkan pemahaman konversional, manakala sepihak lagi yang modern yang terbuka.

Pertentangan inilah yang sedang berlaku bakal menjadi masalah dalam PAS dan kenyataannya dua orang pimpinan Pemuda PAS itu menggambarkan situasi tersebut. [wm.kl.6:27 pm 28/01/14]

Anwar diumum tanding di Kajang tetapi belum tahu apakah dia MB Selangor

Posted: 27 Jan 2014 10:26 PM PST

ULASAN TERBARU                                                                         

Apakah motif dan tujuan Adun Kanjang Lee Chee Cheh mengosongkan kerusinya semalam sudah terjawab seperti mana yang dijangkakan beberapa jam lalu. Siapa yang bakal bertanding di kerusi itu juga sudah diketahui, orangnya tidak lain dan tidak bukan, adalah Anwar Ibrahim.

Sidang media umumkan Anwar calon di Kajang.
Pengumuman nama Anwar itu dibuat sendiri oleh MB Selangor, Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang akhbar khas di pejabat PKR di Petaling Jaya pagi ini yang dikira terpaksa dihadiri Khalid. Kesediaan Khalid mengumum nama Anwar dan akur dengan pengunduran beliau secara paksa itu, menunjukkan beliau merestui Anwar dan menunjukkan ada konsensus di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat.

Sebelum ini Khalid berkata dia sedia berundur sekiranya semua pihak setuju. Cuma satu beliau tidak sebut dan kaitkan batang tubuh Sultan Selangor individu yang akan mengesahkan mengikut tradisinya seseorang yang akan diangkat sebagai menteri besar Selangor itu.

Jika kita anggap apa yang berlaku hari ini memuktamadkan riyawat Khalid didalam politik ia berkesudahan dengan Khalid tanpa memberi penghormatan kepada sesiapa. Ini kerana pengunduran Khalid itu setelah didesak. Kenapa Khalid tidak berundur tanpa berlaku 'pertumpahan darah'. Bukankah dikatakan bijak kalau beliau memberi laluan kepada Azmin Ali. Bukankah walaupun beliau bersikeras tetapi akhirnya terpaksa turun juga.

Khalid menolak menjadi protoganis kepada parti di dalam hal ini. Dia mengambil sikap berdegil sehingga memaksakan beliau disingkir secara tektikal. Walaupun dengan cara apa beliau tetap akan direkod sejarah sebagai dipaksa turun. Andainya beliau memilih jalan terpuji, berundur tanpa diadakan pilihan raya kecil alangkah hebatnya dan agungnya Khalid. Dan akan dilihat lebih hebat lagi kalau beliau juga mengosongkan serentak kerusi DUN Pelabuhan Klang dan kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang disandangnya.

Tidak ada apa yang hendak diperkatakan lagi. Kain kafan telah diikat, keranda telah dipaku, hanya menunggu nisan saja akan dicocok. Hampir separuh ceritanya sudah hampir tamat tetapi kesudahan keseluruhannya belum ada. Proses seterusnya penamaan calon dan berpilihan raya. Selepas itu kalau menang proses perlantikan Anwar sebagai MB akan dilakukan.

PAS dan DAP sebagai rakan kongsi PKR dalam Pakatan Rakyat tidak banyak memberi pandangan. Kedua-dua akur atas semangat kerjasama. Kebetulan yang terlibat itu orang PKR, Khalid Ibrahim orang PKR Anwar dan Lee Chee Cheh juga orang PKR. DAP dan PAS hanya menjalankan tanggungjawab sebagai rakannya sahaja.

Sebenar tadi saya bercakap dengan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang mewakili PAS menghadiri sidang akhbar berkenaan. Bila ditanya apakah PAS memberi pandangannya mengenai agenda (transisi) jawatan MB itu, jelasnya, PAS sudah memberi tahu apa yang sepatut diberi tahu.

"Kita telah menyatakan apa yang kita hendak katakan dari perspektif kita termasuk beberapa kebimbangan dan beberapa kemungkinan. Kita menghormati apa yang diambil oleh PKR itu sebagai rakan dalam satu Pakatan. Jadi tugas dan tanggungjawab kita sudah lepas," ujarnya.

Iya begitulah sikap yang harus ada kepada PAS atau DAP, memberi pandangan bila diminta dan dirasakan perlu. Saya bertanya Salahuddin apakah pandangan itu diterima? Beliau tidak memberi jawaban tepat hanya berkata; nampanya PKR dan Anwar yakin dengan apa yang mereka putuskan, jadi kita kena setuju sahaja.

Saya menyoal Salahuddin, apa guna Anwar atau PKR memanggil DAP dan PAS menyertai sidang akhabr itu, atau memberi pandangan berhubung tindakan yang dianggap merbahaya itu, tetapi pandangan-pandangan itu tidak diterima, Salahuddin hanya terdiam. Saya berkata kepadanya, kalau begitu tidak perlu meminta pandangan, kalau ia tidak didengari.

Salahuddin tidak menolak spekulasi rasa bahawa akan ada 'bongol' dalam proses perlantikan Anwar kelak. Apabila saya kata, apakah PAS juga akan menyerahkan nama wakilnya sebagai calon MB setelah Khalid melepas jawatan, beliau terdiam dan enggan mengulas. Saya dapat mentafsirkan bahawa PAS akan berbuat begitu kalau mereka diminta.

SPR dijangka sudah menerima surat pemakluman pengosongan kerusi DUN Kajang berkenaan. Esok atau lusa akan ada kenyataan rasmi dari SPR serta mesyuarat bagi menentukan pilihan raya kecil berkenaan. Saya menjangka SPR akan bermesyuarat selepas raya Cina nanti, dan mengumumkan tarikh pilihan raya itu pertengahan akhir Februari.

Diyakin awal Mac pilihan raya selesai diadakan dan pertengahan Mac kita akan menyaksikan apakah kesudahan solusi politik yang diambil oleh PKR dan Anwar ini terhadap proses menukar Menteri Besar yang dikatakan tidak berperasaan politik itu. Selamat maju jaya. Kenapa Mat Maslan tersengeh tu. [wm.kl.2:14 pm 28/01/14]

Kaedah singkir Khalid yang berisiko?

Posted: 27 Jan 2014 07:27 AM PST

RENUNGAN MALAM                                                                           

Politik Selangor khasnya sudah mulai mendidih kandati hawa Semenanjung waktu ini agak dingin. Hati para pemain utama politik negeri itu juga sudah mulai meruap kepanasan. Bekas hati yang semakin hangat kini,  ialah bekas hati Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim (foto). Usaha untuk meluncurkan beliau dari kerusi MB sudah sampai ke stage four. Sudah pasti sejak siang tadi dan membawa ke malam-malam seterusnya Khalid akan diserang 'insomnia' yang teruk.

Dalam pada itu Khalid sendiri juga sudah mula mencari tapak dan mengejapkan kedudukannya. Kilas samping dan sarungnya sedang dikejapkan. Dia tentu sudah sedia menghadapi apa saja kemungkinan. Dan tentunya dia juga sedang berfikir mengenai dirinya, tentang maruah dan kejayaanya.

Pengosongan kerusi DUN Kajang oleh Lee Chin Cheh hari ini membuka dan 'membaharkan' segala cerita. Desas desus siang tadi rupa-rupanya benar. Konsensus yang diambil oleh pimpinan PKR telah pun dilaksanakan. Lee Chin Cheh sudah pun mengutuskan surat pengosongan kerusi dan Speaker DUN Selangor juga sudah mendedahkannya. Jadi 'budu' kini sudah terdedah kepada umum. Lalat dan langau sudah berterbangan menghidu dan mencari arah.


Apa dilakukan itu seakan menjawab apa yang saya persoalkan di dalam posting sore tadi. Saya menegaskan Khalid hanya boleh diganti dengan Anwar Ibrahim menerusi pilihan raya kecil. Ertinya kalau Khalid lepas jawatan lusa, (seperti diura-urakan) Anwar tidak akan naik secara automatik, dan Selangor akan kekosongan MB sekurang-kurangnya tiga minggu.

Bermain api di Selangor

Esok katanya Anwar akan membuat pengumum penting mengenai apa yang berlaku seterusnya. Apakah beliau sendiri akan bertanding atau ada calon lain? Walaupun siapa yang akan bertanding di DUN Kajang, atas niat hendak menggantikan Khalid, keputusan diambil itu sungguh berani. Saya menyifatkan PKR amnya, dan terutamanya Anwar khususnya berani bermain dengan api politik di Selangor. Mungkin tindakan ini satu keterpaksaan yang terpaksa.

Dari segi teorinya nampak senang dan simple untuk dilakukan. Kosong kerusi, Anwar tanding menang dan kemudian angkat sumpah jadi MB. Riwayat politik Khalid Ibrahim pun berlalu begitu sahaja bagaikan kulit pisang dilontar dari atas komuter. Itulah yang difikir dan dikira. Bagi mereka yang benci Khalid mungkin sudah bertepok tangan sambil ramai-ramai menyanyikan lagu 'lenggang kangkung'.

Namun tidak begitu dalam hitung dan firasat akal politik saya. Untuk mengehelkan Khalid dari jawatan itu bukan semuda membuka kulit kacang atau menjatuhkan glass skrin kereta menerusi button automtiknya. Bagi saya menurunkan Khalid dari kerusinya tidak ubah seperti menurunkan glass skrin kereta Proton secara manual. Iya ketat, tersekat-sekat dan terhalang atau tidak akan turun terus. Maka kalau kebetulan kereta itu airconnya rosak maka orang didalamnya akan kepanasan dan 'belengah-tangah'.

Apakah PKR dan Anwar sendiri mengira hal-hal dan halangan begini. Iya, Khalid dilihat dungun dan gagap dalam politik. Tetapi kita kena ingat Khalid kini berada dalam dunia politik. Jawatan disandangnya jawatan diperolehi menerusi politik. Ia bukan jawatan lantikan seperti CEO di mana-mana GLC. Sebagai jawatan politik dan berada dalam lingkaran api politik, Khalid pasti akan ikut bermain politik dan telah memahami sepak teranjang politik.

Khalid si lembu kenyang

Dalam tilikan saya Khalid sudah pun bermain politik. Dia sudah menukarkan warna dirinya sebagai seorang eksekutif yang berjalan atas prinsip dan undang-undang, tetapi turut belajar dan pandai meniti atas dawai berkaran dalam politik. Sudah lebih lima tahun dia menjadi MB, akar rambut dan akar tunjang politiknya sudah mencekam. Kenapa saya kata begitu. Sebab kalau dia masih lurus dan gentlemen seperti semasa dia di dalam korporat sudah lama dia melepaskan jawatan MB itu secara suka rela. Sudah berbagai cara dilakukan untuk membuang dia dari situ, disindir, dihentam, perli dan sebagainya, tetapi apa yang beliau lakukan? Beliau hanya buat lembu kenyang sahaja dan terus menggupal kertas menjadi burung sambil berkata 'cubaan cubaan'.

Politik Khalid adalah politik lembu kenyang. Khalid bukan saja setakat mengamalkan itu. Dia boleh berlaku begitu tanpa menghirau dan menghormati kehendak orang parti kerana dia ada kekuatan lain. Dia didokong oleh kuasa lain yang menjadikan dia terus selesa dan terus berdegil dari kedudukan itu. Mustahil kalau tidak ada mengadakan Khalid tenang menghadapi situasi itu. Apakah PKR atau Anwar sendiri memikir hal ini semasa-masaknya?

Mungkin orang merasa malu alah untuk menyebut apakah kuasa yang digunakan Khalid untuk kekal di bangunan Sultan Abdul Aziz pusat pentadbiran kerajaan Selangor Darul Ehsan itu? Biarlah saya sebut. Dari penelitian saya dan melihat kepada arca politik Selangor, Khalid bukan bersendirian di situ mempertahankan kedudukan dan kuasanya melainkan ada tangan-tangan ghaib yang memayung kedudukannya. Terus terang saya sebut beliau mungkin dilindungi oleh payung kuning?

Bagi saya ada bukti untuk menunjukkan hal ini. Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas gereja baru-baru ini sudah pasti kerana ada blassing daripada Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Sikap ini ternyata apabila Mais menyokong penuh tindakan itu. Apakah kita lupa siapa yang berkuasa ke atas Mais? Bukankah Sultan?

Begitu juga dengan pemecatan Azmin Ali sebagai lembaga pengarah PKNS yang menjadi misteri sampai kini. Atas blassing dan arahan siapakah insiden itu terjadi? Khalid tidak mengaku ia adalah arahannya, Pengurus Besar Othman Omar pula mengatakan keputusan memecat Azmin itu dibuat oleh Exco. Yang mana satu betul. Tetapi kenapa Othman membuat surat pemecatan Azmin. 'Cikcup' begini harus dikaji dan diteliti dan diselami akan dalangnya.

Iya dari segi perlembagaan dan amalan sultan tidak boleh campur tangan dalam hal ehwal politik. Sultan hanya melaksanakan tanggungjawab menurut kuasa undang-undang yang diberikan kepadanya. Sultan menjalankan tanggungjawab atas nasihat Menteri Besar dan majlis perajaan negeri. Apakah ianya berjalan lurus dan jujur seperti diperutukan undang-undang itu? Jawabnya tidak. Secara tersurat sultan berada bawah perlembagaan tetapi dari segi amalan dan tradisinya sultan tetap berada atas perlembagaan. Mitos dan adat istiadat lebih tinggi dari protokol politik.

Saya memikir hal lain akan berlaku kelak dalam usaha untuk menyingkirkan Khalid dengan cara seperti diaturkan sekarang ini. Apa kata dan apa akan jadi kalau sekiranya Sultan Selangor tidak menerima perletakan jawatan oleh Khalid sebagai MB Selangor? Tidakkah itu akan jadi huruhara. Dan kalau niat Anwar diletakkan bertanding di DUN Kajang itu untuk dilantik jadi MB tiba-tiba berlaku huru hara itu, semisalnya Sultan tidak memberi perkenan, bukankah ia memalukan?

Jangan rugi segantang laba secupak

Elok juga sebelum formula dirancangkan ini berjalan, PKR dan Anwar sendiri memikirkan kemungkinan-kemungkinan ini.  Sesiapa pun tidak mahu berlaku sesuatu yang boleh merusutkan lagi keadaan yang membawa rugi segantang laba secupak atau yang dikendur keciciran yang dikejar pula tak dapat. Ataupun mungkin sudah ada understanding dengan Sultan Selangor? Perkara yang kena diingatkan, perlantikan seseorang MB itu akan dilakukan dihadapan Sultan, walaupun ada kaedah-kaedah lain tetapi afdalnya angkat sumpah ialah di istana.

(Harapnya sudah ada perbincangan konkrit dan sulit dengan pihak istana Selangor).

Bagi saya formula diambil itu sesuatu yang amat berat, berani dan bahaya sekali. Risikonya seperti mana saya sebutkan itu. Bukan saja PKR tetapi rakannya, DAP dan Pas juga bagaikan meniti bara api dan tidur atas kaca. Tentu kedua-dua parti itu juga memikirkan implikasinya.

Mungkin ianya sudah diambil kira kemungkinan-kemungkinan lain juga, perbalahan sesama sendiri misalnya. Khabarnya Pas tidak begitu suka dengan tindakan untuk menghalau Khalid itu. Dalam satu segi Pas bersetuju kalau Khalid tidak menjadi MB, tetapi penggantinya bukan dari PKR atau DAP. Pas juga ada hati untuk mengemukakan wakil rakyatnya sebagai MB.

Boleh jadi pakar-pakar (master mind) politik dalam PKR tidak begitu bimbang dan takut dengan protes Pas itu. Mungkin mereka sudah mengira, Pas tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengganggu proses penggantian Khalid dengan Adun PKR itu. Mungkin sudah dikira Pas tidak berkemampuan kalau sekalipun parti itu berpakat dengan Umno untuk melakukan pengkhiatan. Sebabnya orang-orang di dalam Pas kini semuanya istiqamah dengan perjuangan dan setia dengan persahabatan tidak seperti beberapa kerat yang sudah tiada itu?

Jika Pas ada niat hendak berpakat bersama Umno dengan harapan wakilnya diberikan jawatan MB, ia tidak akan kesempaian kerana jumlah kerusi kedua-dua parti itu tidak mencukupi. Pas hanya menang 15 kerusi manakala UBN 12 kerusi. Jika dicampur baru ada 27 kerusi dimana masih berkurangan dua atau tiga kerusi untuk membentuk kerajaan secara mudah.

Boleh jadi hal ini sudah dihitung oleh PKR. Dengan mendapat sokongan padu dari DAP, PKR boleh menerajui kerajaan. DAP mempunyai 15 kerusi manakala PKR 14 kerusi, kalau dicampur ia menjadi 29 kerusi dimana kedudukan lebih dua kerusi berbanding dengan Pas dan UBN.

Atas realiti itulah mungkin PKR sanggup melakukan formula itu dengan mengira mereka mendapat kelebihan dua kerusi. Tetapi kedudukan itu sesuatu yang tidak selamat untuk PKR dan DAP. Sekiranya Khalid Ibrahim yang ditendang itu berpihak kepada Pas dan UBN, kedudukan PKR - DAP semakin menipis hanya berkelebihan satu kerusi sahaja.

Tetapi itu tidak mungkin akan berlaku. Sekiranya Pas berhajat berbuat demikian saya berani mengatakan bukan semua calon Pas sedia untuk berhijrah ke dalam Umno. Bagaimana pun kemungkinan dan sifir-sifir atau matemetika politik begitu harus diambil kira dan hendaklah senantiasa menjadi ingatan dan kewaspadaan kepada PKR dan Anwar juga.

Si gagap boleh jadi hero

Sekali lagi saya sarankan agar PKR dan Anwar khasnya dan Pakatan Rakyat amnya memikir sedalam-dalam apa yang saya kemukakan ini. Yang saya bimbang kerja untuk membuang Khalid tidak akan jadi semudah itu. Sebab Khalid ini adalah MB bukan CEO kepada Guthire. Ingat dalam politik banyak sandiwara dan kerenahnya. Banyak liku dan simpang siurnya. Khalid meskipun gagap tetapi dalam politik dia boleh diangkat menjadi hero. Dengan kuasa, kedudukan dan perempuan seseorang itu boleh hilang gagapnya.

Orang-orang yang selama ini menghentam, mengkritik kepimpinannya boleh bertukar angin sekelip mata sahaja apabila mereka memikirkan Khalid boleh dijadikan alat perkakas dan modal untuk mereka. Tidak musathil Umno akan mengusung Khalid bagaikan raja. Akan membela Khalid sebagai hero, pemimpin jujur, berjiwa rakyat dan berbagai nama protoganis lagi. Jangan bersangka kebencian Umno kepada Khalid selama ini tidak boleh bertukar arah. Justeru sebaik-baik penyelesaian ialah Khalid perlu berundur secara nature. Pujuk dan bermunajatlah agar Khalid berundur dengan cara terhormat.

Saya cuplikan sedikit sejarah yang berlaku di negeri saya, Kelantan kira-kira 35 tahun lalu atau tepatnya tahun 1977 di mana bekas MBnya bernama Mohamad bin Nasir telah dinobat sebagai hero dan sebagai pemimpin jujur oleh rakyat yang didalangi Umno. Walhal Mohamad Nasir ketika itu hanya seorang pemimpin 'kemacar' yang sedia menjadi alat kepada musuh Pas. Tetapi bila berlaku salah congak, salah tindakan dan salah teknik, kononnya untuk menyelesaikan masalaah dengan memecat Mohamad Nasir dan diganti dengan Wan Ismail Wan Ibrahim ia membawa natijah yang dukalara. Akhirnya isu Mohamad Nasir menyebabkan kerajaan Kelantan berusia 18 tahun jatuh tersungkur.

Saya secara peribadi sangat perit dan perih untuk melihat berulangnya apa yang berlaku di Kelantan 35 tahun lalu (1977), dan juga apa yang berlaku di Terengganu 50 tahun lalu (1964) dan apa yang berlaku di Perak lima tahun lalu (2009), dimana peristiwa-peristiwa jatuhnya kerajaan disebabkan krisis politik sesama sendiri dan tindakan penyelesaian kemelut politik yang tidak dilakukan secara fatanah. Apakah Pakatan Rakyat kini sedang menanti ambang kejatuhan kerajaanya di Selangor? Walahu'alam. [wm.kl.10:57 pm 27/01/14]

Tiada ulasan: