. |
Dr Wan Azizah jangan saja asyik bawa kipas Posted: 13 Jan 2014 04:57 PM PST ULAS ISU Walaupun pemecatan Mohamed Azmin Ali sebagai ahli Lembaga Pengarah PKNS adalah atas urusan rasmi kerajaan Selangor dimana ia terletak di bawah bidang kuasa Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar, tetapi ia tidak dapat dielakkan dari ditafsirkan sebagai ada kena mengena dengan parti. Ini kerana kerajaan Selangor itu dibina atas suara rakyat menerusi demokrasi. Dalam hal ini PKR harus bertanggungjawab ke atas apa-apa perkara berbangkit di atas apa yang berlaku ke atas Azmin itu. Azmin adalah Timbalan Presiden PKR, dimana kedudukan beliau jauh lebih tinggi dan gah dari Khalid Ibrahim. Khalid hanya selaku Ketua Cabang PKR Kuala Selangor saja dan tiada apa-apa kedudukan didalam pimpinan pusat. Disebabkan kerajaan Selangor itu bukan ditubuhkan menerusi akta pertubuhan syarikat, atau perbadanan, yayasan dan lembaga, sebaliknya ia ditubuh menerusi politik (pilihan raya), maka kerajaan Selangor berada di bawah bidang kuasa parti politik. Sepandai mana Khalid menjadi MB, segala keputusan, polisi dan dasar yang hendak digubal dan diambil mestilah perlu persetujuan parti. Beliau harus mendapat panduan dan pandangan parti atau setidak-tidaknya dimaklumkan kepada parti. Dalam kontkes kerajaan Selangor sebagai kerajaan Pakatan Rakyat bersama, DAP dan PAS semua keputusan perlu mendapat pandangan parti-parti berkenaan. Khalid tidak boleh pandai-pandai berbuat sesuatu tanpa persetujuan parti. Prosuder dan hakikat ini hendaklah difahami betul-betul oleh Khalid dan jangan berdegil. Melanggari prinsip dan amalan ini bakal membawa bencana kepada kerajaan dan parti PKR. Rakyat dibawah memerhati apakah keputusan dan tindak tanduk MB itu selari dengan kehendak dan aspirasi mereka. Khalid jangan sesekali menjadikan jawatan MB sebagai hak peribadinya bersama beberapa ahli lembaga pengarah dan dia adalah CEO kepada syarikat sendirian berhad. Berbalik kepada apa yang berlaku ke atas Azmin itu, apakah 'pemecatan' Azmin itu diatas restu parti PKR atau ianya adalah keputusan bersendirian Khalid atas nasihat orang-orang tertentu? Disebabkan Azmin tidak memberi suasana kondusif kepada pentadbirannya, dan sering mengkritik polisi dan pendekatan Khalid, maka Khalid bertindak demikian? Apa lagi kalau Khalid menerima pandangan bukan daripada peribadi parti sebaliknya peribadi yang berkepentingan dan mereka yang sakit hati dengan Azmin maka keadaannya akan menjadi huduh. Dalam hal ini, perkara besar begitu, kerana melibatkan maruah dan integriti pemimpin, sewajar kalau Khalid tidak hanya mendengar penasihat di kiri dan kananya sahaja atau dari mereka yang rapat dengannya sehingga boleh membetulkan kedudukan songkok dan sampingnya yang tinggi rendah, tetapi beliau mestilah mendapat nasihat lebih jauh dari itu. Khalid perlu terlepas dari perasaan takut atau irihati kerana dimomokkan tetapi harus melihat kepentingan ramai. Dalam hal ini Dr Wan Azizan Wan Ismail sebagai presiden parti hendaklah dirujuk terlebih dahulu. Tidak ada guna Wan Azizah tercokol di situ kalau beliau tidak dirujuk. Dr Wan Azizah pula kalau tidak dapat berbuat sesuatu, menegur Khalid dalam hal-hal tidak wajar, tidak ada gunanya beliau berada di situ. Jika bersikap lunak dengan Khalid kerana ada apa-apa kepentingan ia sesuatu yang busuk bagi Wan Azizah. Mungkin budi Khalid kepada Azizah dan keluarga tidak relevan dijadikan timbang tara dalam tindakan untuk tidak menegur Khalid. Kalau hanya begitu, atau Wan Azizah tidak mampu dan tergamak untuk menegur, eloklah Wan Azizah melepas jawatan. Lebih malang lagi kalau Wan Azizah hanya memberi kuasa namanya selaku presiden kepada orang-orang tertentu untuk bertindak bagi pihaknya termasuk ke atas Azmin. Selaku presiden Wan Azizah harus ada pandangan sendiri dan bersikap lebih adil dan saksama dan lebih tegas. Isu-isu membabitkan pemimpin seperti Azmin itu harus ada suara daripada Wan Azizah. Beliau berhak memanggil Khalid atas nama presiden menyelesaikan apa yang berlaku. Hari ini pemecatan Azmin sudah mula menjadi isu. Katanya pemecatan dibuat pada 13 November tahun lalu dan suratnya baru dihantar pada 8 Januari. Kontreks beliau sebagai ahli lembaga pengarah PKNS akan tamat pada Februari 2015. Azmin kini secara tidak langsung sudah dipersenda-sendakan oleh pihak musuh. Sama ada Azmin relevan atau tidak menjadi timbalan presiden, tetapi kerana beliau masih berada di situ maka wajar beliau dibela selagi dia bergelar presiden. Azmin juga berhak untuk menjadi MB Selangor jika diukur dari segi kedudukan dan senioritinya. Jadi kalau beliau mempunyai cita-cita itu ia tidak salah. Sesungguhnya jawatan itu pantas untuknya berbanding Khalid jika dinilai kepada pengorbanan dan penglibatan dalam usaha merampas Selangor dari Umno. Apakah suara Dr Wan Azizah sudah diatasi oleh suara orang lain menyebabkan beliau hanya mendiamkan diri sahaja? Dr Wan Azizah kena bersuara. Sebagai presiden, beliau kena ambil tahu dan bukan hanya membawa kipas ke mana-mana majlis untuk mengipas kepanasan badan. Apa yang berlaku di Kelantan terhadap PKR di sana, di mana ahlinya tidak selesa dengan tindakan kerajaan Pas yang meremehkan kewujudan PKR, perlu juga beliau jenguk silau dan bertanya khabar. Presiden bukankah tugasnya menjaga parti dan sebagai isteri menjaga Anwar. Azizah perlu mengetahui fungsi dan tanggungjawab ini. Apakah Wan Azizah ada memainkan peranan ini? Kalau beliau hanya ingin menjadi 'queen' di dalam PKR dengan jawatan presiden elok lepaskan saja jawatan. Dibimbangi kalau beliau tidak dapat menjalankan fungsi sebagai presiden kedudukannya akan dicabar kelak dengan tujuan memperkasakan parti. Hubungan Wan Azizah dengan Anwar Ibrahim sebagai suami yang kebetulan pula menjadi penasihat umum parti itu tidak boleh dijadikan sandaran. Dalam konteks organisasi dan perlembagaan Wan Azizah lebih berkuasa dari Anwar. Anwar hanya sekadar menjadi penasihat saja. Dan apakah ada nasihat dari Anwar berhubung tindakan Khalid terhadap Azmin. Sesuatu yang perlu senantiasa disedari dan diinsafi kerajaan PKR Selangor wujud adalah atas susah lelah rakyat yang digemburkan dengan semangat reformasi yang bermula pada tahun 1998 setelah Anwar dinyahkan dari Umno. Sejarah merakam semua mengenai peristiwa ini. Semua orang perlu sedar dimanakah Khalid Ibrahim ketika itu. Berapa kalau beliau turun ke Jalan Tunku Abdul Rahman mengepalai tunjuk perasaan untuk menjatuhkan Dr Mahathir Mohamad dan mengoyangkan Umno. Berapa kali beliau keluar masuk lokap. Atau apakah Khalid berjasa besar dengan memberi wang untuk membolehkan gerakan refomasi bergerak? Atau beliau telah membayar Anwar dengan wang di zaman kegelapan Anwar selepas dipecat? Kalau jawatan Khalid sebagai MB itu diganjarkan dengan wang maka tidak hairanlah kalau apa yang berlaku kini sedang berlaku, Azizah hanya memerhati sambil mengipas-ngipas badan sahaja tanpa berbuat sesuatu. Masa masih ada untuk Dr Wan Azizah mengatasi kemelut yang berlaku ini. Beliau masih ada kuasa untuk menandak empangan PKR yang bakal pecah ini. Sesuatu yang perlu diingat pengaruh Azmin didalam PKR jangan diperkecilkan. Mungkin benar Azmin dibenci oleh sesetengah kumpulan, dimomokkan sebagai tidak disukai sultan dan sebagainya, tetapi rakyat khasnya mereka yang mengharungi perjuangan rakyat akan tetap bersamanya. Kalau pernyataan dan analisis ini tidak percaya, cubalah, sebab rakyat dibawah bukan seronok dengan retorik tetapi mereka suka kepada realiti. [wm.kl.8:39 am 14/01/13] | ||
Akhir Najib mengangkungkan dirinya sendiri Posted: 13 Jan 2014 07:59 AM PST SEBELUM TIDUR
Dalam mata saya Najib tidak mempunyai apa-apa keistimewaan yang boleh patut meletakkan dia ditempat dia berada hari ini. Apa yang ada kepadanya hanya memiliki keluarga bangsawan dan dia sendiri adalah putera dalam sebuah keluarga bangsawan. Ayah dan ibunya adalah anak bangsawan. Najib tidak ada modal diri (aset) yang besar seperti gagasan, rekod kepimpinan lampau dan sebagainya untuk dijadikan cagaran untuk dia menjadi pemimpin. Dia hanya memiliki itu saja. Dia seorang bangsawan. Najib pernah kecewa dengan panggilan ini, dan menafikan, dia menerima dia adalah anak biasa sahaja. Bekas setiausaha politiknya Fatmi Che Salleh pernah menjelaskan hal ini kepada saya, dan menghuraikan yang Najib bukan seorang bangsawan. Tetapi sejarah dan DNA tidak dapat dinafikan, siapa dia sebenarnya. Sebagai anak bangsawan Najib dipuja dan didendang dengan lagu-lagu perhambaan kepadanya. Dia dilindungi dan ditantang bagaikan minyak penuh. Anak petani, penoreh getah, anak nelayan sangat memuja dan terpesona dengannya. Sifat dan perangai semula jadi orang Melayu, akan menyanjung anak bangsawan, sedia menjadi hamba dan kuli. Kalau Najib masuk ke kampung orang kampung akan meletaknya atas tandu dan ramai-ramai dan bergilir-gilir mengusung Najib takut terpijak tahi ayam monir. Dalam sebuah buku saya, saya pernah persoalkan mengenai kebolehan Najib untuk menjadi seorang pemimpin berdasarkan latar belakang dan sejarah hidupnya. Saya melihat Najib tidak mampu memenuhi keperluan dan tidak mempunyai kriteria sebagai seorang pemimpin untuk membela rakyat seperti di Malaysia ini khasnya, dimana orang Melayu rata-rata masih miskin dan setengahnya berfikiran primitif yang sangat memerlukan pembelaan. Argumen saya mudah sahaja, Najib tidak pernah tahu hal kehidupan orang bawah, soal kemiskinan, penderitaan dan sebagainya tidak pernah dikecapi dengan lidah kehidupannya. Hujah saya lagi, macam mana Najib hendak merasai denyut nadi rakyat semua itu sedangkan dia tidak pernah melaluinya. Najib tidak pernah digigit pacat, lintah dan nyamuk. Jadi rasa-rasa, kemiskinan dan kesengsaraan dia tidak tahu sebab dia bangsawan. Dia tidak pernah memakan pisang tenggala rebut, beras 'jemah' atau pun ubi setelor bakar. Apa yang dia makan ialah kek dan ayam goreng (fried chiken). Sebagai anak bangsawan juga Najib tidak pernah melaku dan menguruskan sendiri hal-hal dirinya; pakai kasut, ambil makanan, kancing baju dan sebagainya, semua dilakukan oleh abdi atau amah. Saya percaya kalau Najib meminta agar ada orang membasuh duburnya, ada puteri Umno dari kampung pedalaman yang mahu membuatnya. Kalau pun Najib mengetahui dan cuma memahami sifat, rupa diri dan kesangsaraan orang miskin hanya melalui novel dan hikayat atau menonton filem-filem dokumatasi di zaman ayahandanya, Razak Hussein. Itu sahaja. Dan kalau setakat menonton dan membaca, tanpa hayati sendiri sejauh mana sangat mengenalkan dia dengan erti kemiskinan dan kepayahan hidup. Dari kronologi perjuangannya pula Najib tidak pernah berlatih untuk menjadi pemimpin. Najib tidak diacuankan dengan apa-apa wadah dan idealisme perjuangan. Dia bukan aktivis apa-apa dan tidak berpengalaman dalam memimpin apa-apa persatuan. Dalam kontkes orang Melayu, hanya dua saja menjadi matlamat, perjuangan demi bangsa dan Islam. Untuk bangsa apakah wadah perjuangan Najib? Apa yang dia tahu mengenai sejarah perjuangan orang Melayu. Dan apalah medan juang yang beliau pernah turuni? Najib tidak pernah memasuki persatuan-persatuan yang sinonim dengan bangsa Melayu seperti bahasa dan kebudayaan. Dia tidak pernah menjadi mana-mana ahli persatuan belia, sukan, ataupun seni mempertahankan diri. Malahan di zaman kecil dan remajanya dia bersekolah di sekolah Inggeris dan di luar negara. Di universiti dia tidak pernah terlibat dengan gerakan pelajar yang membela isu-isu melibatkan rakyat dan negara. Isu-isu kemiskinan, kesusahan, jauh sekali dari mindanya. Pendeknya Najib tidak pernah ditanam dengan semangat agama dan bangsa. Pemikiran Najib adalah pemikiran sekular dan gaya 'orang mudah' - orang kaya. Kalaupun dia mula mengenali nasionalis Melayu apabila dia menyertai Umno. Penyertaaan itu pun secara kebetulan sahaja selepas ayahnya meninggal dunia tahun 1976, apabila beliau dipilih menjadi calon pilihan raya kecil menggantikan ayahnya. Sebelum itu dia asing dengan Umno dan juga politik. Dalam Umno, Najib naik bukan dengan mengharungi perjuangan. Dia tidak naik dari bawah. Jauh sekali dengan melalui jalan-jalan berliku seperti pejuang bangsa lain. Dia naik di dalam Umno umpama masuk ke rumah tanpa membasuh kaki dan pecat kasut. Dia disung masuk ke dalam rumah Umno. Dari jawatan sebagai timbalan ketua pemuda Umno hinggalah kepada ketua, naib presiden, timbalan presiden dan presiden. Dari menjadi menteri besar Pahang membawa kepada timbalan menteri, menteri, timbalan perdana menteri hinggalah ke perdana meteri kini. Najib melalui jalan mudah, atau pun diberi atas rasa hormat tinggi kepada jasa-jasa bapaknya. Jalan mudah itulah menyebabkan dia tidak sempat merasai apa itu perlawanan, apa itu perjuangan dan apa itu jatuh dan bangun dan seterusnya merasai keperitan dalam hidup. Kalau pun Najib melalui sungai memeritkan ialah alam rumah tangga dimana dia menceraikan isteri pertamanya Tengku Puterian Zainah dan berkahwin dengan Tengku Rosmah Mansor. Justeru bila dia menjadi PM, dia ambil mudah segala hal. Beliau melihat dengan mata tanpa menjamah sesuatu dengan anggota. Beliau juga tidak ada pemikiran besar yang hendak dibawa dan dikemukakan kepada negara. Dia hanya berteori dan beretorika saja. Sudah hampir lima tahun beliau jadi perdana menteri apa gagasan dan visi yang dibawa? Apa yang dilakukan hanya mencitpa slogan, 1 Malaysia dan transformasi. Setakat slogan tanpa pengisian sesiapa pun boleh lakukan. Itupun transformasi dilakukan diragui oleh banyak pihak termasuk partinya sendiri. Cara Najib banyak menghabiskan wang negara dari mengembungkan perbendaharaan negara. Stail anak bangsawan tidak tahu bekerja tetapi menghabiskan harta. Dia masih belum ada jasa dan budi membanggakan. Apa dilakukan asyik menjual budi dan bakti ayahnya membangunkan Felda. Di mana-mana dia pergi dia sering membangkitkan jasa dan bakti ayahnya. Tindakannya memberi wang 1 Malaysia kepada rakyat untuk mendapat sokongan dikirtik oleh veteran Umno. Bekas ketua Penerangan Umno Malaysia, Hussein Ahmad tidak berkenan dengan cara Najib berpolitik yang disifatkan sebagai politik memelihara anak harimau yang mana akhirnya membahayakan diri. Kata Hussein Ahamd cara Najib gunakan wang, mengumumkan projek itu dan ini untuk meraih sokongan tidak ubah seperti orang memelihara anak harimau yang kena memberi daging setiap hati. Politik itu kata Hussein bahaya kerana sampai satu peringkat Najib tidak mampu menyediakan daging menyebabkan harimau itu akan membahamnya setelah tiada makanan (habuan) lain. Mahathir juga mengkritik penggunakan wang kerajaan oleh Najib untuk menagih undi. Walaupun beliau juga berbuat hal yang sama di eranya, tetapi nilainya tidak seteruk Najib. Najib terpaksa menggunakan wang kerana dia tidak ada nilai tambah untuk menarik perhatian rakyat. Mahathir menyifatkan BR1M diperkenalkan Najib tidak memberi untung banyak kepada Umno dan ianya perbuatan sia-sia. Ini diukur kepada sokongan rakyat di dalam pilihan raya lalu di mana UBN mendapat 47% undi popular berbanding sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat melebihi 52%. Apalah yang Najib sebagai anak bangsawan dapat lakukan melainkan mengamalkan politik mudah dan boros begitu? Hari ini ketika rakyat di ambang dibaham kenaikan kos sara hidup ekoran langkah diambil Najib ia menzahirkan rupa diri dan mempamirkan akalnya yang sebenarnya. Semasa menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Kemaman kelmarin Najib menempelak rakyat yang asyik menyalahkan kerajaan dengan kenaikan harga barangan tanpa mahu melihat faktor-faktor lain. Najib dalam ghairah membela dirinya menyebut, kerajaan telah membuat berbagai inisiatif untuk mengawal harga barangan dan ia sudah menampakkan kesan apabila harga kangkung sudah mulai turun. Najib menyebut kangkung sebagai membuktikan bahawa langkah transformasi dilakukan memberi kesan yang baik. Kenapa Najib harus mengambil kangkung sebagai perbandingan? Apalah yang ada kepada kankgung sejenis sayuran macam rerumput itu. Kenapa tidak mengambil perkara lain. Mungkin kalau anda dapat menyelami apa yang hendak saya bercerita tentang Najib ini, anda tidak perlu merasa lucu dan terkejut dengan perbandingan Najib itu, kerana setakat itulah daya fikir Najib sebagai perdana menteri. Ia sepanjang akar kangkung dan setinggi pucuk kangkung saja tidak lebih dan tidak kurang dari itu. [wm.kl.11:29 pm 13/01/14] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan