Ahad, 26 Januari 2014

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Siapa agaknya yang gantung kain rentang 'Jesus anak Allah' ni?

Posted: 26 Jan 2014 07:30 AM PST


Kain rentang yang menunjukkan penggunaan kalimah Allah dalam konteks agama Kristian ditemui sekurang-kurangnya oleh dua gereja di Pulau Pinang hari ini.

Ia bertulis "Allah is Great, Jesus is the son of Allah" (Allah Maha Besar, Jesus anak Allah).

Penggantungannya dilihat berpotensi meningkatkan ketegangan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri itu.


Ketua Menteri Lim Guan Eng menulis di Twitter, pemimpin-pemimpin gereja menyatakan rasa sedih mereka dengan kewujudan kain rentang itu.

"Bercakap dengan ketua polis Pulau Pinang, rondaan akan ditingkatkan sekitar gereja. Kain rentang itu jelas berniat membangkitkan ketegangan antara umat Islam dan Kristian," tulis Lim.

Beliau juga menyebut, gereja-gereja di negeri Pulau Mutiara itu kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menggantungkan sepanduk itu dan laporan polis sudah dibuat.

Ia setakat ini dikesan digantung dekat gereja Katolik St John Britto di George Town dan Church of the Nativity of the Blessed Virgin Mary di Butterworth.

Sementara itu Bernama melaporkan..

Umno Pulau Pinang menyifatkan tindakan menggantung kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di beberapa kawasan di Pulau Pinang hari ini adalah cubaan untuk mewujudkan keresahan dan ketegangan antara agama di negeri ini.

Sambil mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Zainal Abidin Osman berkata pihaknya percaya kain rentang itu adalah tindakan provokatif paling tinggi dan sangat biadap.

"Kami mengambil ketetapan bahawa perbuatan itu dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin timbulkan suasana tidak sihat di negeri ini.

"Kami mengutuk sekeras-kerasnya tindakan itu dan Pemuda Umno telah membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Perhimpunan Umno Negeri di Kepala Batas hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden penggantungan kain rentang berbaur provokasi berhubung kalimah Allah di beberapa pagar gereja di kawasan pulau di negeri ini.

Difahamkan kain rentang yang bertulis "Allah is Great" (Allah Maha Besar), "Jesus is the son of Allah" (Jesus adalah anak lelaki Allah) digantung di luar perkarangan gereja di Lebuh Farquhar, Sungai Pinang, Pulau Tikus dan Gelugor.

Berikutan kejadian itu, Zainal Abidin berkata orang Islam dan Kristian di negeri ini diminta bertenang dan tidak mengambil sebarang tindakan melulu atau marah sebagai reaksi kepada tindakan itu.

"Kita biarkan polis menyiasat secara terperinci dan ambil tindakan terhadap pihak yang begitu biadap bertindak sedemikian," katanya.

... Gambar kat atas tu, satu datangnya dari Anil Netto manakala satu lai dari Blogger UMNO ..

Baca juga ' Kepala Babi pernah dilontar British untuk mencetuskan Rusuhan Kaum '

Gambar-gambar sekitar Himpunan TURUN 2.0 di Seberang Jaya..

Posted: 26 Jan 2014 05:43 AM PST


Ni apa yang Malaysiakini laporkan... Orang ramai pelbagai kaum hari ini berkumpul di Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang bagi menyatakan bantahan terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup.

Mereka membawa kain rentang dan melaungkan slogan menentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), menuntut harga penurunan harga barangan keperluan asas serta mengejek kenyataan kangkung perdana menteri.

"Kangkung turun" antara laungan yang kedengaran dalam perhimpunan itu. Selain kangkung, pelbagai sayur-sayuran turut dikandar ke perhimpunan itu, sekali gus menjadikannya penuh warna warni.


Wakil rakyat pembangkang Lee Khai Loon yang terkenal dengan flash mob kangkungnya sebelum ini turut kelihatan, selain Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramzli dan exco Pulau Pinang Dr Afif Bahardin.

Ni sedikit gambar dari himpunan TURUN 2.0 petang tadi untuk dikongsi bersama...


Dari gambar-gambar di atas..

Cikgu Man, ADUN Lunas sanggup berkereta dari Kedah merentas sempadan semata-mata untuk bersama rakyat dalam himpunan ini..

Cikgu Fariz Musa juga berkereta dari Terengganu dan bertolak pada jam 4.00 pagi dair Terengganu ke Pulau Pinang untuk sertai himpunan ini..

Chegu Bard pula aku tak tahu dia datang dari mana sebab nak tanya tak sempat jumpa pun dia..

Manakala Rafizi pula terbang dari KL ke Pulau Pinang semata-mata untuk memberikan ucapan dalam himpunan ini, selesai berucap bergegas ke lapangan terbang untuk pulang ke KL..

Tetapi selain dari YB-YB dari PR Pulau Pinang yang turut hadir untuk bersama rakyat ini iaitu TKM1 Hj Rashid, Dr. Afif, Sim Tze Tzin, Khai Loon, Lau Chee Kiang dam Ong Chee Wen...

Kemana agaknya lain-lain individu yang kini bergelar YB yang sebelum PRU13 lalu sering menjerit 'Demi Rakyat' dan mendakwa akan bersama rakyat dalam apa jua situasi dalam berbagai ceramah?

Adakah mereka hanya bersama rakyat hanya sebelum PRU sahaja? setelah mereka bergelar YB rakyat tak dipedulikan mereka?.. bak kata orang Penang "Mampuih pi kat hang!!"

Isu yang dibawa disini ialah isu kenaikkan harga barang yang membebankan rakyat.. jika rakyat perlu memperjuangkannya secara sendirian apa gunanya 'Wakil Rakyat'?

Adakah kerana hidup mereka selesa kini maka rakyat dibiar memperjuangkan sendiri nasib mereka?

Jika benar begitu... ingatlah "RAKYAT HIRED! RAKYAT FIRED!!"

Lagi gambar-gambar dan video perarakan silalah lihat di SINI

Najib Kangkung! Najib PM tak guna! kata Blogger Pro UMNO

Posted: 25 Jan 2014 08:30 PM PST


Desakan supaya Perdana Menteri Najib Tun Razak meletakkan jawatannya semakin mendapat momentum di kalangan blogger pro- Umno, menndakan satu isyarat terhadap wujudnya usaha bersepadu dari dalam parti UMNO sendiri untuk mengeluarkan Perdana Menteri keenam itu dari Seri Perdana.

Panggilan nama yang jelek seperti "Najib kangkung" dan "PM tidak berguna" sedang menjadi buah mulut di kalangan para blogger pro- Umno seperti OutSyed The Box, The Unspinners dan Apanama sejak bulan lalu, dan mereka tidak menunjukkan tanda-tanda akan surut ke belakang.


"Saya harap Najib boleh membaca tulisan kami. Letak jawatan dan pergi berambus .... Kita akan melihat beliau terburai tidak lama lagi ... Hari demi hari manusia kangkung itu akan dihiris dan dipotong-potong jadi buah dadu. Oleh orangnya sendiri, " demikian tulis blogger terkenal Syed Akbar Ali di dalam satu postingnya minggu lepas.

Blogger Apanama pula menulis pada 8 Jan: "Kerajaan / kepimpinan hari ini kelihatan lebih teruk daripada kepimpinan zaman gelap Abdullah Ahmad Badawi ...

"Lebih baik Najib ambil tahu apa yang berlaku di peringkat akar umbi. Saya khuatir bahawa jika anda gagal untuk mencerna sentimen / fikiran / kesetiaan Kerajaan / penyokong kuat BN di kalangan rakyat, anda akan terpaksa turun seperti mana Pak lah telah lalui."

Serangan siber dari kalangan ahli Umno ini adalah imbauan terhadap tekanan serupa yang telah mereka lakukan ke atas bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi pada tahun 2007; penulis blog pro- Umno yang sama mendakwa peletakan jawatan Abdullah dahulu adalah hasil-usaha mereka di dalam "konpsirasi membawa beliau turun".

Penganalisis politik tidak menafikan bahawa tulisan blogger berkenaan mempengaruhi 'cara masyarakat siber melihat pemimpin mereka, menggambarkan Najib, sepertimana ke atas Pak Lah, sebagai orang yang bebal yang terpisah daripada realiti.

Namun Profesor Dr James Chin dari Sunway Monash University berkata adalah tidak mungkin Najib akan turun sebagaimana cara Abdullah turun meskipun wujud serangan maya ini, kerana ketika ini belum ada calon yang sesuai yang sedang menunggu bagi menggantikan Najib.

"Apa yang blogger itu tulis mungkin mencerminkan sentimen beberapa ahli dalam Umno, yang mahu Najib meletakkan jawatannya. Tetapi pada masa ini, ia kelihatan belum mungkin Najib dapat diturunkan.

"Oleh kerana dalam Umno, nampaknya beluam ada sesiapa yang sesuai untuk mengambil alih peranan Perdana Menteri. (Timbalan Perdana Menteri) Muhyiddin ( Yassin ) tidak dilihat sebagai cukup mampu untuk menjawat jawatan itu," demikian kata penganalisis politik itu kepada FMT.

Beliau menegaskan bahawa jika Muhyiddin telah dilihat sebagai calon yang berpotensi, blogger tersebut tentu sudah melancarkan serangan pada pemilihan Umno tahun lalu, di mana waktu itu wujud peluang terbuka untuk Muhyiddin menjatuhkan Najib.

Apa yang dikehendaki oleh blogger pro- UMNO dan "tuan yang membiayanya" mahu, menurut Chin, ialah kebangkitan semula era Mahathir dan politik "orang-kuat".

"Blogger ini diupah oleh kem pro-Mahathir dalam Umno yang mahu seorang pemimpin yang kuat seperti Mahathir yang boleh menekan mereka yang menentang dengan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Tetapi mereka hidup dalam mimpi. Di dalam struktur yang Umno ada sekarang, tidak mungkin lagi untuk Umno melahirkan seorang menteri yang sedemikian, "kata Chin.

Sementara itu, Profesor Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata desakan untuk Najib meletakkan jawatan oleh para blogger pro-UMNO hanya akan mendapat perhatian jika ia adalah sebahagian daripada seruan yang lebih luas yang dibuat oleh masyarakat terbanyak.

"Masalahnya ialah bahawa ia hanyalah satu percikan yang lemah. Ia hanya setitis air yang jatuh ke lautan. Ia hanya akan mempunyai kesan jika seruan itu juga dibuat oleh pemimpin-pemimpin negara, oleh intelektual, rakyat kelas menengah, penjawat awam dan golongan elit politik, "kata Agus.

"Pada ketika ini, saya melihat tidak ada kesan ke atas landskap politik," katanya.

Tambahnya penulis blogger pro- Umno yang anti- Najib ini boleh mendapat pengaruh yang lebih jika mereka memusatkan kegagalan Najib berasaskan isu-isu, dan bukan terhadap hal-hal peribadi.

"Tetapi saya tidak fikir buat masa ini ia cukup untuk mempengaruhi pendapat orang ramai, kecuali jika blogger Umno tersebut bekerjasama dengan NGO-NGO lain dalam usaha bersepadu untuk membawa Najib turun, " kata Agus.

Terjemahan dari Free MAlaysia Today oleh Greenboc

Barang Naik: A. Kadir Jasin bidas pemimpin UMNO lagi..

Posted: 25 Jan 2014 06:36 PM PST


Datuk A Kadir Jasin menyifatkan pemimpin yang mempersendakan kesulitan rakyat dalam berdepan dengan kenaikan harga barang sebagai "cetek akal".

Tanpa menamakan individu tertentu secara spesifik, bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press itu menegaskan, isu kenaikan harga adalah suatu yang serius dan sesuatu realiti dihadapi rakyat bawahan ketika ini.

"Kenaikan harga adalah suatu yang sangat serius, sesiapa yang mempersendakannya adalah cetek akal.

"Kenyataan sesetengah pemimpin tentang kenaikan harga, sesiapa yang mempersendakannya adalah berfikiran cetek," kata Kadir kepada The Malaysian Insider bagi mengulas isu kenaikan harga barang yang menjadi keluhan rakyat.

Isu kenaikan harga barang tidak terbendung susulan pengurangan subsidi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pengumuman kenaikkan tarif elektrik berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerima kritikan keras daripada rakyat dan pemimpin parti sendiri ekoran keputusan tidak popular itu yang dilakukan secara drastik.

Program Rasionalisasi Subsidi yang dilakukan pentadbiran Najib didakwa meningkatkan kos sara hidup dengan peningkatan kos bahan api, kenaikan tarif elektrik, dan pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan berkuatkuasa pada April 2015.

Secara tidak langsung mengakui tekanan yang dihadapi kerajaan, Najib selepas mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada Jumaat mengumumkan peruntukan RM20 juta bertujuan menstabilkan harga barang di pasaran.

"Adakah jumlah peruntukan 20 juta itu memadai untuk menstabilkan kenaikan harga barang yang begitu meluas?

"Saya ingat satu hari rakyat Malaysia membelanjakan berbilion untuk beli minyak, beli makanan, bayar bil elektrik dan bayar tol. Jadi, adakah 20 juta itu memadai?" soal Kadir mengulas tentang peruntukan yang diumumkan Najib itu.

Kadir turut menggesa kerajaan supaya bertegas dalam isu kenaikan harga barang dengan mengenakan hukuman lebih berat.

"Tak cukup dengan menyeret peniaga ke mahkamah kerana proses ini mengambil masa yang agak panjang.

"Lebih berkesan jika perniagaan mereka ditutup ataupun disita jika mereka didapati membuat keuntungan berlebihan dan menyorok barang," katanya.

Dalam pada itu wartawan veteran itu juga mahu kerajaan sedia ada mementingkan hak rakyat dan bukannya bersikap seperti kerajaan sepenuh masa dalam menangani isu-isu yang dibangkitkan.

"Malah saya berasa Umno wajib bercakap bagi pihak rakyat dan jangan hanya bercakap seolah-olah Umno adalah kerajaan sepenuh masa.

"Umno bermula daripada rakyat, maka Umno wajib ambil berat tentang hak rakyat," katanya.

Kadar inflasi di Malaysia melonjak daripada 2.9% pada November kepada 3.2% pada Disember 2013, berpunca daripada pengurangan subsidi dan dijangka meningkat pada tahun 2014.

Kadar tersebut adalah yang tertinggi sejak November 2011, purata peningkatan setiap tahun inflasi naik daripada 1.9% pada November kepada 2.1% pada Disember.

Kenaikan harga bahan api, tarif elektrik, air dan gula, antara lain mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga barang-barang lain turut meningkat.

Putrajaya juga sebelum ini mengumumkan beberapa langkah pengurangan penjimatan susulan kritikan tidak berjimat ketika rakyat dibebani dengan kenaikan harga barang.

Di antaranya adalah mengurangkan elaun hiburan dan perjalanan menteri serta pegawai kanan kerajaan selain membekukan pengubahsuaian pejabat. ~ The Malaysian Insider

Tiada ulasan: