Selasa, 7 Januari 2014

Addin

Addin


Berita Memalukan Yang Tidak Di Siarkan Di Utusan Online

Posted: 07 Jan 2014 08:00 AM PST

Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (JUST), Dr Chandra Muzaffar hari ini menarik balik kenyataan berunsur fitnah yang dibuatnya terhadap Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penarikan balik kenyataan tersebut dibuat Chandra di Kamar 3, Mahkamah Tinggi Sivil, Kompleks Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur pada pendengaran kes saman RM10 juta yang difailkan Anwar terhadap Chandra lebih 5 tahun lalu.

Tiada sebarang kos dan ganti rugi ditetapkan mahkamah. "Pihak defendan dengan ini menarik balik keseluruhan perkataan-perkataan seperti yang dinyatakan di dalam perenggan 4(I)B dan 4(II)B di dalam pernyataan tuntutan terpinda," ujar peguam Firuz Hassan, yang mewakili Chandra di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohammad bagi memohon penyelesaian terhadap kes saman berkenaan.

Anwar Pada 6 Mac 2008 mendakwa Chandra telah membuat komen berunsur fitnah terhadapnya dalam satu forum bertajuk "Malaysia Decides 2008″ anjuran Star Publication Berhad di Menara Star,Petaling Jaya pada Mac 2008.

Kenyataan berunsur fitnah oleh Chandra itu kemudian disiarkan oleh akhbar The Star dengan tajuk "Disaster if Anwar is PM" (Malapetaka besar, jika Anwar jadi PM).

Pada penghakiman hari ini, Anwar hadir dengan diwakili Peguam N.Surendran dan Latefa Koya. ~kd


Iklan C (ii)



Ini Penjelasan Dr. Asri Mengenai Hukum Muslim Membela Hak Non Muslim

Posted: 07 Jan 2014 05:03 AM PST

Ada yang bertanya saya mengenai hukum muslim membela hak non-muslim. Mereka merasa seakan berdosa seorang muslim itu berpihak kepada non-muslim yang menuntut hak dari muslim, sekalipun non-muslim itu di pihak yang benar.

Ini kerana mereka merasakan membela hak non-muslim yang menuntut dari muslim bagaikan mengkhianati saudara seakidah ataupunukhuwwah islamiyyah (Islamic brotherhood).

Anggapan mereka bahawa muslim itu mesti setia bersama muslim sekalipun saudara muslimnya di pihak yang salah. Membela hak non-muslim yang berselisah faham dan tuntutan dengan muslim itu bagaikan satu pengkhianatan.

Ini sebenarnya anggapan yang tidak tepat. Memang benar orang muslim itu bersaudara. Kecintaan antara kita amat tinggi. Kita membantu antara satu sama lain. Namun, ini tidak bererti kita diizinkan untuk menindas atau merampas hak mereka yang tidak seagama dengan kita.

Pendirian al-Quran

Kefahaman Islam tidak boleh hanya berdasarkan emosi, tetapi hendaklah berasas hujah dan dalil yang dibuktikan oleh al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Islam adalah agama sejagat (universal). Inilah yang menjadikan ajaran itu contoh dan memimpin kehidupan manusia dengan adil dan saksama. Keadilan Islam yang merentasi sempadan agama, bangsa dan geografi.

Inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) :

"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan". (Surah al-Maidah: ayat 8).

Bahkan al-Quran menyebut dalam ayat yang lain: (maksudnya)

"dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami (Allah) memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan" (Surah al-An'am ayat 108).

Al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya al-Jami' li Ahkam al-Quran ketika menafsirkan ayat di atas menyebut:

"Kata para ulama: Hukum (larangan mencerca sembahan golongan non-muslim) kekal dalam umat ini dalam semua keadaan selagi seorang kafir (unbeliver) terhalang dari mencerca Islam ataupun Nabi a.s. ataupun Allah, maka tidak halal untuk muslim mencerca salib mereka, atau agama mereka atau gereja mereka. Jangan melakukan sesuatu yang membawa ke arah tersebut kerana ia sama dengan menggalakkan maksiat" (7/61, Beirut: Dar al-Fikr)

Akhlak Nabi Muhammad

Jika kita melihat kepada pendirian Nabi Muhammad s.a.w, kita dapati baginda adalah sebaik dan semulia-mulia insan dalam berinteraksi dengan semua pihak, termasuk mereka yang tidak beriman dengannya (unbelievers). Justeru itulah kedatangan Nabi Muhammad ke alam ini dianggap sebagai rahmat untuk seluruh alam yang meliputi muslims, non-muslim, manusia, haiwan, tumbuhan, alam sekitar dan segalanya.

Dalam hadis, Nabi Muhammad s.a.w bersabda:

"Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu'ahid (rakyat non-muslim) ataupun mengurangkan haknya, ataupun membebankannya di luar kemampuannya, ataupun mengambil sesuatu (hak) daripadanya tanpa kerelaannya, maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat". (Riwayat Abu Daud, sahih).

Dalam hadis ini Nabi Muhammad s.a.w memberi amaran kepada sesiapa yang melakukan apa sahaja bentuk penindasan kepada warga non-muslim yang berada di bawah pentadbiran muslim. Baginda memberikan jaminan kepada non-muslim yang tertindas itu bahawa baginda sendiri akan berhujah menentang muslim yang zalim pada Hari Kiamat kelak. Demikian indahnya keadilan Tuhan yang dinyatakan oleh Islam. Keadilan yang rentas sempadan agama, kaum, puak dan segala sempadan kehidupan.

Maka tidak hairanlah jika Islam dalam sejarahnya menjadi agama yang paling pantas diterima oleh masyarakat manusia di dunia ini. Keindahan budi dan sikap. Sikap Islam ini ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w pada lebih 1430 tahun yang lalu, pada masa masyarakat dunia belum membicarakan tentang toleransi agama. Pada zaman kekejaman atas nama Tuhan berlaku di setiap lapisan masyarakat manusia, Nabi Muhammad membawa sikap yang begitutolerant sekali. Bahkan menjadikan hubungan baik antara penganut agama itu ada nilai dosa dan pahala di sisi Tuhan. Inilah yang membawa Islam menjadi kuasa yang dihormati dan manusia masuk ke dalamnya berbondong-bondong. Namun, apabila semua ini hilang dari akhlak kaum muslimin, maka kita sentiasa berada di belakang, merasa tertekan dan offensiveselalu.

Teladan Sahabat

Pesanan Nabi s.a.w ini menjadi pegangan para pemerintah selepas baginda yang mengikuti jalan baginda. Marilah merenung surat Khalifah 'Umar bin al-Khattab kepada gabenornya di Mesir iaitu 'Amr bin al-'As. Dalam surat itu 'Umar menyebut:

"Ketahuilah wahai 'Amr, sesungguhnya Allah melihat engkau dan amalanmu. Sesungguhnya Allah berfirman dalam kitabnya "(mereka berdoa: wahai Tuhan) jadilah kami pemimpin orang-orang yang bertaqwa" (Surah al-Furqan:74) tujuannya agar dicontohi. Sesungguhnya (wahai 'Amr) bersamamu terdapat ahl zimmah (rakyat non-muslim) dan 'ahd (non-muslim yang mengikat perjanjian). Rasulullah s.a.w telah berpesan mengenai mereka. Baginda juga berpesan mengenai kaum qibti (Coptic) dengan menyebut: "Aku berpesan agar kamu berbuat baik kepada kaum qibti kerana bagi mereka hak perlindungan dan hubungan rahim (keluarga)". Kekeluargaan mereka disebabkan Nabi Ismail a.s. dari keturunan mereka. Nabi s.a.w juga bersabda: "Ketahuilah! sesiapa yang menzalimi mu'ahid (rakyat non-muslim) ataupun membebankannya di luar kemampuannya maka aku menjadi penentang sesiapa yang berbuat demikian itu pada Hari Kiamat". Jaga-jaga wahai 'Amr jangan sampai Rasulullah itu memusuhimu kerana baginda akan menentang musuhnya…sesungguh aku ini takut jika seekor unta yang berada di bawah wilayahmu mati tersesat jalan lalu aku ditanya oleh Allah pada Hari Kiamat" (Kanz al-'Umal 5/760).

Di manakah hendak kita cari ketelusan dan ketulusan yang seperti itu. Ramai yang mengakui pemerintah muslim tapi bukan sahaja tidak kisah jika unta mati, bahkan tidak peduli jika rakyat terbunuh tanpa sebab yang sah.

Dalam riwayat dari Sa'sa'ah, berkata: Aku bertanya Ibn 'Abbas:

"Kami berjalan di tanah ahl zimmah (rakyat non-muslim) lalu kami ambil apa yang terdapat padanya". Tanya Ibn 'Abbas: "Tanpa sebarang harga?". Jawabku: "Ya". Tanya Ibn 'Abbas lagi: "Apa pendapat kamu?". Kami jawab: "Halal, tiada masalah". Kata Ibn 'Abbas: "Kamu bercakap macam dengan ahlul kitab (seperti yang al-Quran ceritakan dalam Surah Ali-'Imran: 75) "(mereka berkata) Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang ummi (buta huruf) dan, mereka selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui". (al-Qasim bin Salam, al-Amwal. 1/395).

Inilah Islam. Inilah keindahannya. Sikap yang benar dan adil untuk semua. Terlalu banyak riwayat dalam sejarah kegemilangan Islam jika hendak dinukilkan mengenai keadilan Islam kepada penganut agama lain. Islam yang seperti itu tidak defensive tetapi sentiasa maju ke depan mempengaruhi pemikiran manusia yang berakal.


Iklan C (ii)



Berita Memeranjatkan Ini Memang Sudah Dijangka.. Saksikanlah

Posted: 07 Jan 2014 04:37 AM PST

Aduan yang dibuat oleh anggota polis yang tidak puas hati dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) enam bulan lalu menghasilkan penyiasatan ke atas kira-kira 60 anggota polis yang dipercayai terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah.

Operasi anti-rasuah, salah satu yang terbesar sejak kebelakangan ini, adalah usaha bersama antara SPRM, Bank Negara Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja.

Seorang pegawai kanan SPRM memberitahu The Malaysian Insider, semua yang terlibat adalah anggota polis yang berpangkalan di Kuala Lumpur, dan mereka disyaki menerima rasuah daripada pengendali perniagaan haram di ibu negara.

Perniagaan ini adalah daripada perjudian di kafe siber, rumah urut dan sarang pelacuran, kata pegawai itu.

Bergantung kepada jenis perniagaan, setiap pengendali menyumbang antara RM10,000 dan RM50,000 sebulan kepada anggota polis untuk mengelakkan pusat kegiatan mereka dirampas dan diganggu, katanya.

Pergerakan anggota polis penyangak ini juga sangat tersusun di mana setiap yang terlibat mempunyai kawasan tersendiri untuk mengutip bayaran bulanan.

"Setelah semua yuran dikutip, ia akan diagihkan berdasarkan ahli kanan dan polis berpangkat tertinggi mendapat bahagian terbesar," kata pegawai SPRM itu.

Beliau mendedahkan bahawa anggota polis yang tidak puas hati menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menerima rasuah bulanan sebelum ini dan mereka berada di bawah seorang pegawai polis berpangkat 'Datuk'.

Pegawai polis berpangkat 'Datuk' ini dipindahkan ke urusetia polis di Bukit Aman bagi membolehkan siasatan ke atas aktivitinya selama ini.

Katanya lagi, anggota polis itu mendedahkan lingkaran kegiatan ini apabila dia tidak berpuas hati dengan ganjaran bulanannya.

"Dia mahu lebih dan apabila dia tidak menerimanya, dia mendedahkan kegiatan ini," kata pegawai SPRM itu.

Datuk ini pada mulanya dipanggil oleh SPRM, yang kemudiannya menemui lebih daripada RM6 juta dalam pelbagai akaun.

Bagaimanapun, pegawai SPRM itu memberitahu The Malaysian Insider bahawa RM6 juta itu hanya sebahagian kecil daripada jumlah yang sebenarnya.

Selepas siasatan diteruskan, SPRM merampas kenderaan mewah seperti Range Rover Evoque (RM400,000), Nissan Skyline (RM388,000), Toyota Vellfire (RM450,000), BMW 7-siri (RM800,000) dan Mercedes-Benz E-class (RM400,000) daripada suspek.

SPRM juga mendapati anggota polis ini menubuhkan pelbagai syarikat palsu, dengan menamakan ahli keluarga mereka dan saudara-mara sebagai proksi pengarah.

Syarikat ini menggunakan dana haram tersebut untuk membeli pelbagai hartanah, termasuk rumah kedai dan kondominium.

Setelah dijejaki pelbagai syarikat palsu ini, SPRM menemui semuanya membawa kembali kepada anggota polis berpangkat 'datuk' itu.

Selain hartanah dan kenderaan mewah, polis turut merampas sejumlah besar wang tunai, barang kemas dan emas daripada beberapa anggota polis itu.

"Serbuan serentak telah dijalankan di rumah semua suspek. Pemeriksaan latar belakang yang menyeluruh telah dijalankan ke atas setiap anggota polis yang rumahnya diserbu," kata pegawai SPRM itu.

"Akaun bank mereka telah diteliti, termasuk urus niaga di tahun kebelakangan ini, semua hartanah yang mempunyai nama mereka atau ahli keluarga mereka, pinjaman, lawatan ke luar negara, perbelanjaan bulanan dan tahunan mereka dan kawan-kawan rapat mereka semuanya disiasat."

Tidak mahu mengulas lanjut mengenai jenis hartanah yang dibeli oleh polis ini dengan menggunakan syarikat palsu ini, pegawai itu berkata majoriti hartanah terletak di Lembah Klang dengan nilai berjumlah berpuluh-puluh juta ringgit.

"Anggota polis dari Kuala Lumpur yang dipindahkan ke tempat lain akan terus menerima bahagian mereka daripada rasuah itu untuk memastikan mereka menjaga kepentingan bersama. Bahagian mereka akan dimasukkan ke dalam 'gaji' bulanan dengan baik."

Pegawai itu mendedahkan, SPRM sedang mempersiapkan kes terhadap anggota polis ini dan siasatan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

Dalam pada itu, Bukit Aman dijangka mengumumkan perpindahan besar-besaran anggotanya yang melibatkan pegawai kanan polis.

Ianya tidak jelas sama ada berkaitan dengan siasatan ini atau salah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian awam daripada operasi anti-rasuah. ~tmi


Iklan C (ii)



Kenyataan Penuh Fatwa Songsang Harussani

Posted: 06 Jan 2014 07:51 PM PST

Merujuk kepada laporan akhbar Berita Harian dan portal Malaysiakini bertarikh 2 Januari 2014 yang menyatakan di halaman utama bahawa Perhimpunan Haram Di Dataran Merdeka "Penderhaka", peserta perhimpunan sebagai "bughah" iaitu penderhaka terhadap pemerintah adil.

Sementara di halaman 10 akhbar Berita Harian ditulis pernyataan "sepatutnya semua peserta perhimpunan ditangkap kerana menderhaka kepada kerajaan dan dari hukum syarak dihalalkan golongan bughah".

Akhbar Sinar Harian bertarikh 5 Januari 2014 di halaman utama dan kedua juga sarat dengan pandangan saya berkenaan isu "bughah" dan demonstrasi.

Kenyataan-kenyataan tersebut telah diterbitkan menerusi media arus perdana dan dikatakan menjadi polemik dan kecelaruan kepada masyarakat.

Pada dasarnya, ianya adalah kenyataan daripada saya apabila ditemubual oleh wartawan akhbar Berita Harian dan Sinar Harian namun, kenyataan panjang saya kepada Berita Harian berhubung perkara tersebut dipendekkan malah difokuskan hanya kepada isu demonstrasi " Turun" sahaja.

Sedangkan terdapat isu lain termasuk penganjuran Konsert di Ambang Tahun Baru "ditiadakan" sebagai bahan berita.

Diizinkan ALLAH saya dapat menatap isu dan berita perihal demonstrasi setiap kali ianya dianjurkan oleh pelbagai pihak di Malaysia.

Setiap kali penganjuran demonstrasi dilaksanakan, maka saya akan dihubungi untuk memberi ulasan terhadapnya.

Apa yang menggusarkan saya ialah apabila berlakunya demonstrasi dalam skala yang besar di negara ini maka, majoriti para pesertanya adalah orang Melayu yang beragama Islam.

Maka, secara jelasnya akan berlaku pertembungan antara dua pihak yang mana kedua-duanya merupakan warga Muslim.

Jika berlaku pertembungan tersebut sudah tentu ia akan menghasilkan kemudaratan ke atas pihak-pihak, di samping akan menguntungkan mereka yang berkepentingan dan yang menangguk di air yang keruh.

Nasihat dan peringatan

Oleh yang demikian, selagi diberi amanah saya tidak akan berputus asa untuk menegur dan mendamaikan kedua-dua kumpulan yang merupakan saudara-saudara saya. Sudah tentu ayat al Quran surah Al Hujurat ayat 9 menjadi panduan yang bermaksud :

"…Dan jika dua puak dari orang-orang beriman berselisihan, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya bersifat melampau (zalim), maka lawanlah puak yang melampau (zalim) itu sehingga ia kembali mematuhi perintah ALLAH; jika ia kembali patuh maka damaikanlah diantara keduanya dengan adil (menurut hukum ALLAH), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil…" .

Sebab penurunan ayat ini dengan satu riwayat daripadanya ialah perbalahan yang ditimbulkan oleh Abdullah bin Ubai yang menyemarakkan perbalahan dengan mengatakan bahawa kencing himar Rasulullah ketika Baginda SAW menziarahi Sa'ad bin Ubadah telah menyakiti beliau.

Dalam riwayat yang lain pula merekodkan perbalahan itu berlaku sesama golongan ansar.( tafsir Ibn Juza)

Saya berpandangan bahawa syarat "syaukah" yang sering dikaitkan dengan bughah masih dijadikan perbahasan seperti yang terkandung dalam kitab-kitab feqh contohnya kitab nihayatul Muhtaj.

Dalam kes Abu Bakar al Siddiq memerangi orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat juga memberi gambaran kepada kita bahawa tindakan memerangi mereka juga diambil walaupun golongan ini tidak mempunyai senjata namun ia didokong oleh sekumpulan manusia yang mempunyai bilangan ramai dan munasabah mencetuskan suasana tidak aman kepada pemerintahan.

Pembentukan negara kita berasaskan sistem demokrasi berparlimen.

Rakyat diberi hak untuk menentukan pemimpin yang mereka kehendaki berdasarkan sistem pilihanraya.

Oleh itu, adalah tidak wajar sama sekali rakyat dihasut untuk mencari mekanisme yang lain bagi menyatakan ketidakpuasan hati kerana negara ini mempunyai instrumen yang diakui untuk menyampai hasrat rakyat seperti Parlimen, Dewan Negara, Dewan Undangan Negeri ataupun mahkamah.

Tanpa menafikan hak rakyat untuk berhimpun secara aman sepertimana yang dilaungkan namun, rantaian demonstrasi yang telah berlaku mencatatkan sebaliknya.

Telah timbul kebimbangan kepada rakyat di sekitarnya kerana kemudaratan lebih terhasil daripada manfaat.

Larangan memberontak

Saya menekuni hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas'ud r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"Sesungguhnya akan timbul selepas aku sifat pentingkan diri ( daripada pemimpin-pemimpin kamu) dan perkara-perkara yang kamu ingkar ". Sahabat bertanya , " Wahai Rasulullah! Apakah yang engkau perintahkan kepada kami? Jawab Baginda SAW " Kamu hendaklah menunaikan hak yang diwajibkan ke atas kamu dan mintalah hak kamu daripada ALLAH ".

Imam Al Nawawi menyatakan bahawa terdapat dorongan di dalam hadis ini untuk dengar dan taat sekalipun pemerintah adalah zalim.

Sebagai rakyat, seseorang itu perlu memberikan hak pemimpin iaitu ketaatan dan tidak memberontak, bahkan dia perlu merendahkan diri kepada ALLAH dalam usaha menghapuskan kemudaratan pemimpin, menolak kejahatannya dan berusaha untuk membaikinya. Ini bertepatan dengan saranan Nabi Nabi SAW bahawa cara teguran terbaik adalah secara bersemuka.

"Seafdhal-afdhal jihad ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemimpin yang zalim." (HR Abu Daud)

Antara adab penting yang wajib diambil kira dalam menasihati pemimpin ialah member nasihat secara sembunyi, bukan secara terang-terangan berdasarkan hadith:

"Sesiapa yang ingin menasihati pemerintah berkenaanh sesuatu urusan maka janganlah dizahirkan secara terang-terangan tetapi hendaklah meminpin tangannya ke tempat yang sunyi sekiranya dia menerima nasihat maka niatnya telah tercapai tetapi sekiranya ia enggan menerima nasihat maka sesungguhnya orang yang memberi nasihat telahpun melaksanakan tugasnya."(HR Imam Ahmad)

Imam Ibnu Hajar Al Asqolani merakamkan dalam kitab Fathul Bari bahawa " para Fuqaha telah sepakat atas kewajiban untuk mentaati pemimpin yang berkuasa dan untuk berjihad bersamanya.

Ketaatan kepadanya lebih baik daripada memberontak kerana dapat mengelak daripada tercetusnya pertumpahan darah dan memberi ketenangan kepada orang ramai ".

Belum pun ditinjau dari sudut istilah syara', perkataan bagha dari sudut bahasa sudah pun membawa maksud kerosakan, melampaui batas, hasad dan kezaliman. (Maqayis lughah, Mukhtar al Sihah dan lisan al arab).

Laporan Berita Harian hanya melaporkan pandangan saya tentang kerisauan saya tentang kesan bagha para penunjuk perasaan walhal saya juga membuat teguran yang sama kepada perbuatan bagha penganjur pesta maksiat sempena sambutan awal tahun.

Jika dikatakan demonstrasi adalah cara terbaik untuk menggerakkan kerajaan yang lalai, maka saya fikir itu bukanlah cara yang bersesuaian kerana saya tidak rela dengan apa yang berlaku di Mesir di mana kerajaan yang sah digulingkan secara kekerasan berpunca daripada demonstrasi yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

Apa yang merisaukan saya adalah sekiranya demonstrasi ini menjadi tindakan biasa dan jalan pintas terhadap sebarang ketidakpuasan hati segelintir rakyat.

Maka, keamanan dan kestabilan ekonomi, politik dan masyarakat tidak akan berlaku.

Seperti dimaklumi, mekanisme menurunkan kerajaan secara aman telah disediakan secara terhormat dan demokratik serta telah terbukti mampu dibuat secara aman damai. Buktinya ialah terbahaginya negeri-negeri di Malaysia ini di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Kerisauan saya ini saya zahirkan dengan mengulangi ketetapan para ulama yang menggambarkan betapa usaha menjatuhkan kerajaan yang sah secara kekerasan itu sangat bahaya kepada kesatuan ummah bahawa golongan bughat ini boleh diperangi setelah diajak berdamai seperti direkodkan dalam pelbagai kitab termasuk al fatawa al kubra karangan Ibn Taimiyyah.

Semoga tanah air kita terselamat dari golongan ini dan menyelamatkan kita semua.

Saya menyeru semua umat Islam berhati-hati dari terjebak menjadi 'ayam laga' kepada pihak-pihak yang berkepentingan melalui perkakas-perkakas media dan sebagainya kerana mereka sangat irihati jika umat Islam bersatu dan bersepakat. Ingatlah pesanan dan ancaman Rasulullah SAW :

Jika datang kepada kamu sekumpulan manusia dengan seorang pemimpin yang bertujuan untuk merobek kekuatan kamu dan memecahbelahkan Jemaah kamu maka bunuhlah ia. (Hadith Riwayat Muslim)

Hadith ini sebagai peringatan serius Nabi SAW agar dikekalkan penyatuan ummah dan segala usaha memecahbelah umat patut ditangani secara tegas dan tuntas.

Kesimpulannya, sekiranya berlaku percanggahan pandangan terhadap isu ini , ianya merupakan pemahaman dan penilitian saya terhadap isu dan kaitannya dengan realiti semasa di negara ini.

Saya tiada niat lain kecuali mencari redha ALLAH dan melihat perpaduan umat Islam terus terpelihara khususnya dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa. ~sh


Iklan C (ii)



Anwar Ibrahim Kecam Harussani

Posted: 06 Jan 2014 06:15 PM PST

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengecam Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mendakwa peserta himpunan Turunkan Kos Sara Hidup (Turun) baru-baru ini sebagai "bughah" dan halal darah mereka.

Anwar mempersoalkan pendirian Mufti Perak itu ketika rakyat Malaysia terbeban dengan pelbagai kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

"Bila orang kaya rompak, tindas rakyat, kamu diam. Saat rakyat tertindas di bawah, kamu cela. Kamu mewakili siapa sebenarnya.

"Ini tidak adil. Sepatutnya dengar dulu penjelasan daripada orang yang datang demonstrasi sebelum memutuskan hukuman," katanya yang dipetik daripada Keadilan Daily di program pidato The Asian Renaissance di Centre for Reform Democracy & Social Initiatives, semalam.

Anwar berkata, Harussaini gopoh dan keterlaluan menuduh peserta himpunan membantah kenaikan harga barang pada malam tahun baru 2014 di Dataran Merdeka sebagai bughah dan dihalalkan darahnya untuk dibunuh.

"Walaupun ini pendapat peribadi mufti, tapi kena ingat bahawa ia keterlaluan.

"Masalah orang dicincang (dibunuh) di Mesir, dan Syria berpunca daripada pendapat yang sebegitu. Memang bahaya," katanya sebagaimana dilaporkan oleh Selangorkini.

Katanya, kenyataan itu akan mendatangkan persepsi negatif terhadap masyarakat bukan Islam.

"Hendak jatuhkan hukum itu, dia patut rujuk kepada Jawatankuasa Majlis Fatwa dan ulama, bincang baik-baik terutama dalam isu bughah ini.

"Kita patut ambil sikap menyampaikan dengan baik, bukan menghukum. Isu ini menyebabkan kekeliruan di kalangan umat dan kebencian bagi bukan Islam," katanya.

Walaupun dikecam oleh pelbagai pihak, Harussani mempertahankan kenyataannya itu.

Turut menyokong kenyataan beliau adalah Pegawai Agama Kementerian Dalam Negeri, Zamihan Mat Zin.

Mufti Perak itu berkata, kenyataan asal beliau adalah berdasarkan demonstrasi yang berhasrat untuk menggulingkan kerajaan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat tetapi nama "guling kerajaan" ditukar kerana tidak mendapat sokongan ramai dan diganti dengan Turun.

"Bughah atau darah halal disebut dalam konteks membahayakan nyawa orang lain dan niat mereka mahu menggulingkan kerajaan. Mereka kata mereka benar tetapi cara mereka salah. Lihat sahaja pada hari kejadian, polis menjumpai pelbagai senjata seperti parang dan bom buatan sendiri.

"Saya kaitkan dengan firman Allah dalam surah Al-Hujurat, ayat 9 yang bermaksud: Dan jika dua puak daripada orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satu berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga dia kembali mematuhi perintah Allah; jika dia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah)," katanya seperti dilapor akhbar Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Zamihan berkata, pandangan yang dikeluarkan oleh Harussani berhubung peserta perhimpunan pada 31 Disember lalu tidak dihuraikan dengan baik sehingga mendatangkan pelbagai andaian.

Katanya, Harussani membuat kenyataan tersebut selepas membuat pertimbangan terhadap beberapa aspek dan perlu dianggap sebagai peringatan supaya tidak terlalu ghairah mencari perubahan yang mana akhirnya hanya akan mengundang mudarat. ~tmi


Iklan C (ii)



Pemimpin Pakatan Rakyat Wajib Baca Ni..

Posted: 06 Jan 2014 06:14 PM PST

Mana-mana pemimpin tidak kira daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (Pakatan) harus bersama-sama menanam sikap terbuka menerima pandangan atau kritikan yang disuarakan rakyat dalam membaikpulih pentadbiran mereka, kata penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Agus Yusoff.

Ini katanya, wujud keadaan pada hari ini apabila golongan pemimpin hanya selesa menerima pujian dan penghargaan daripada orang-orang sekeliling mereka sehingga bertindak pejam mata dengan kesengsaraan dan bebanan rakyat akar umbi.

Agus berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bahawa kerajaan yang suka berprasangka buruk terhadap rakyatnya apabila dikritik tidak harus menjadi kerajaan.

"Saya setuju dengan apa yang Dr Asri cakap. Sudah sampai masanya, siapa pun kita untuk buka lembaran baru dalam politik, gaya dan cara baru dalam politik.

"Masalah kita disini bukan setakat itu sahaja. Adanya pemimpin kita yang alergik dengan pandangan yang berbeza dan ada pemimpin hanya suka kepada pujian yang melambung. Ini masalah.

"Selagi kita tak mengubah sikap ini, jiwa kita tak besar dan kita takkan dapat ubah kelemahan dan kekurangan pentadbiran kita sedia ada.

"Sebab pandangan kritikal dan analitikal serta berbeza ini yang baik untuk negara ini kadang-kadang datang dari rakyat marhaen," katanya ketika dihubungi Antarapos.

Asri semalam melalui posting di akaun Facebooknya selain itu turut berkata, jika sikap sedemikian berterusan di dalam pentadbiran kerajaan, maka tidak mustahil apabila rakyatnya mula membenci pemerintah sedia ada.

Malah tambahnya, kritikan yang disuarakan rakyat tidak semestinya bermaksud mereka memihak kepada mana-mana parti parti politik, khususnya pembangkang.

Agus bagaimanapun berkata, kenyataan itu mungkin muncul akibat sikap berdiam diri kerajaan persekutuan dalam isu kekecewaan rakyat yang kini berdepan dengan isu kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan.

"Ia tidak perlu (spesifik) mana-mana kerajaan. Kalau kerajaan, ada kerajaan pembangkang, ada kerajaan BN di peringkat pusat dan negeri.

"Kita rujuk kepada semua kerajaan dan pemimpin. Tapi di peringkat pusat, itulah masalahnya sebab kita bungkam dengan bantahan rakyat. Kita lari jauh dari aspirasi rakyat," katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Agus turut meminta individu atau pihak yang ingin mengkritik pentadbiran kerajaan menggunakan cara yang betul agar ia tidak memalukan mana-mana pemimpin seterusnya akan menimbulkan kebencian.

"Pada sesiapa yang kritik atau tegur kerajaan, jangan kita sumpah peribadi sebab ini boleh timbul kebencian. Ini silap. Tak boleh. Bantah kepada polisi kerajaan, bukan kepada personaliti dan peribadi orang. Malu orang," jelasnya. ~antarapos


Iklan C (ii)





Tiada ulasan: