'Siapa yang kurang ajaq tu?'  
Kelihatan patung yang tidak berkaki digantung ditepi jalan Sungai Limau sempena kempen Pilihanraya Kecil N20 Dun Sungai Limau, Kedah.
KURANG ajaq, atau sebutlah apa sahaja... biadab, terhina, terkutuk, melampau - semuanya paling untuk menceritakan hal satu perbuatan keji dalam kempen PRK Dun Sungai Limau ini.

Ya, mungkin ramai sudah tahu perbuatan terkutuk itu ialah meletakkan di tempat-tempat awam patung bahagian pinggang ke bawah dengan sebelah kaki terpotong (kudung) dengan
tulisan 'KAKI USTAZ'.

Amat mudah untuk difahami bahawa sindiran itu dikaitkan dengan Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, seorang tokoh pemimpin yang amat disanjungi oleh kawan dan lawan
yang meninggal dunia pada 26 September lalu, antara lain bersabit komplikasi diabetes yang sebelum itu menjadi sebab kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.

Baru-baru ini, tercetus kontroversi ketika kempen PRK Dun Sungai Limau apabila Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa terlepas cakap mengaitkan penyakit yang dihidapi Azizan ketika mengulas isu kenaikan harga gula selepas kerajaan menarik balik subsidi harga bahan pemanis itu.

Susulan itu, anak Azizan, Mohamad Rafi'iy, 32, menuntut Muhyiddin meminta maaf kerana dikatakan menyentuh sensitiviti keluarganya yang masih bersedih atas pemergian bekas Menteri Besar Kedah itu.