Peniaga nafi caj harga mahal  
Fauziah (kiri) menunjukkan laporan polis dan bil sebenar dicaj terhadap ahli rombongan VVIP itu.

KOTA BHARU - Peniaga restoran yang didakwa mengenakan caj bayaran mahal berjumlah RM6,000 kepada ahli rombongan VVIP ketika singgah bersarapan di kedai itu Sabtu lalu, menafikan laporan media kelmarin.

Sebaliknya, pemilik restoran Selera Daun Pisang, Fauziah Awang Noh, berkata jumlah rombongan berkenaan yang dilaporkan media, dalam kuantiti 50 orang sebenarnya melebihi 100 dan pihak VVIP itu telah membuat pesanan sebelum singgah di kedai makan berkenaan kira-kira jam 8 pagi.

"Saya amat kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan pihak berkenaan dalam laporan media cetak dan elektronik, dengan menuduh saya meletakkan harga yang mahal terhadap 100 rombongan VVIP dengan caj RM60 untuk seorang adalah tidak benar.

"Harga sebenar ditetapkan RM17 untuk seorang, dengan hidangan nasi putih selain lauk pauk seperti gulai ayam, ayam kampung goreng, gulai itik serati, ikan kering goreng, sayur campur termasuk pelbagai jenis air untuk rombongan itu dan dipersetujui oleh wakil rombongan," katanya kepada pemberita.

Fauziah berkata demikian dalam sidang media khas di restorannya, di sini, semalam.

"Melalui pemerhatian saya pada hari kejadian, jumlah rombongan bertambah memandangkan mereka datang dalam kumpulan yang berasingan dan mungkin dalam kapisiti 200 hingga 400 orang kerana ada yang turut membungkus makanan dan minuman untuk dibawa pulang.