Zairil Khir Johari 
KUALA LUMPUR – DAP hari ini tidak menolak wujudnya unsur 'ugutan' dalam arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengarahkan parti itu menjalankan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) jika tidak mahu parti itu dibatalkan pendaftarannya.

Timbalan Setiausaha Publisitinya, Zairil Khir Johari mendakwa kenyataan berbaur ugutan itu bukan sahaja dikeluarkan oleh pihak ROS bahkan ia kerap kali diulangi oleh pihak kerajaan sedangkan tuduhan mereka tidak berasaskan termasuklah isu pengundi hantu dan perwakilan tidak menerima notis.

"Kita buat semula pemilihan CEC ini kerana tidak mahu parti kami dibatalkan dan risikonya agak tinggi.

"...amaran itu diulangi oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan ROS, walaupun tuduhan mereka tidak berasas dan tidak pernah didapati bersalah, namun ia seolah-olah cuba mengugut parti kita," katanya kepada Sinar Harian Online, di luar Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan DAP menjalankan semula pemilihan CEC pada hujung bulan ini setelah ROS tidak mengiktiraf penyandang jawatan DAP yang dibentuk pada pemilihan parti 15 Disember 2012.