Amiruddin Hamzah 
ALOR SETAR - Kerajaan negeri digesa mengambil tindakan undang-undang sekiranya benar berlaku penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dalam pengurusan anak syarikat Insaniah Holdings Sdn Bhd (IHSB).

Ketua Pembangkang Dun, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, kerajaan negeri perlu bertindak tegas dalam menangani perkara itu termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika perlu.

"Kalau berlaku penyelewengan yang dikesan dalam IHSB, saya minta kerajaan negeri ambil tindakan undang-undang," katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Beliau yang juga Adun Anak Bukit berkata, biarpun perkara itu perlu diberi perhatian serius, namun perkara berkaitan kegagalan pembayaran gaji kepada kakitangan IHSB juga tidak wajar diabaikan.