Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi hari ini memperolok-olok pembangkang berhubung peruntukan beberapa projek pembangunan di DUN Kuala Besut yang diberikan selepas kempen pilihan raya kecil kawasan itu bermula.

"Ya memang, semua projek di seluruh negara adalah kerana PAS minta, DAP minta, dan PKR minta. Itulah, maka kerajaan BN cukup baik hati. Atas dasar permintaan pembangkanglah, itulah semua projek di Malaysia dilakukan.

"Sebab kerajaan BN ini tidak ada perancangan agaknya pada pandangan mereka. Hanya mereka sahaja yang pintar kononnya.

"Sedangkan BN mempunyai keprihatinan yang tinggi terhadap keperluan rakyat. Tidak kira, keperluan itu datang daripada akar umbi, atau pegawai kerajaan asalkan untuk rakyat, maka inilah yang dipenuhi oleh kerajaan BN," kata Zahid.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung PAS yang mendakwa pemberian peruntukan RM377 juta oleh kerajaan dilakukan ekoran tindakan mereka yang membangkitkan beberapa perkara isu sempena kempen pilihan raya kecil kawasan itu.