Sabah diceroboh
BAGAN DATOH - Kerajaan memberi amaran kepada pengganas Sulu supaya jangan cuba mengugut untuk masuk semula ke Sabah bagi tujuan membalas dendam selepas insiden pencerobohan Februari lepas.
  
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pasukan polis dan tentera yang bertugas di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sentiasa dalam keadaan bersiapsiaga bagi menghadapi sebarang ancaman daripada kumpulan itu.
  
"Jangan cuba mengugut kami. Jangan cuba untuk melakukan sesuatu kerana bukan sekadar pihak  polis dan tentera malah rakyat Malaysia akan bangun menentang ancaman daripada pengganas Sulu," katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 455 orang miskin dan orang kelainan upaya (OKU) kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Rungkup di sini hari ini.