MIMPI SENJA |
- Enam sekeluarga dari UK tiba di Malaysia selepas perjalanan darat 155 hari
- [Jalan-Jalan] Jom ke Maldives
- "Hantu" di Kota Kemuning
- Henti sebar gambar Haji dan Hajah
- Baru padan muka hangpa ... aku pun sama la ... hahaha
Enam sekeluarga dari UK tiba di Malaysia selepas perjalanan darat 155 hari Posted: 14 Dec 2013 10:27 PM PST DECEMBER 14, 2013 Setelah mengharungi perjalanan sejauh 25,500 kilometer dari United Kingdom dalam tempoh 155 hari, satu keluarga rakyat Malaysia seramai enam orang hari ini tiba di tanah air. Jamalullail Ismail, 44, dan isterinya Sofinee Harun, 38, serta empat anak mereka, Puteri Sabeera, 17, Muhammad Syameem, 16, Sumrah, 13, dan Ahmad Seif, 10, tiba di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam kira-kira 12.30 tengah hari tadi setelah mengharungi perjalanan di 26 negara. Jamalullail, seorang jurutera yang telah menetap di United Kingdom sejak 15 tahun lepas, berkata pengembaraan "By Road to Malaysia" itu menggunakan kenderaan karavan Mercedes Sprinter 1998 memberikan mereka pengalaman berharga. Keluarga itu yang menetap di Seaham, Sunderland terpaksa melalui pelbagai kepayahan terutama masalah birokrasi dan perubahan cuaca di banyak negara sejak memulakan perjalanan pada 13 Julai lalu iaitu 4 Ramadan di United Kingdom. "Suhu di Itali musim panas sampai 50 darjah Celcius, dahlah masa tu bulan puasa. Setiap negara ada cabarannya... macam di Iran kena rompak dua kali, dan hampir diculik. "Banyak cabaran diplomatik... syukur Kedutaan Malaysia di negara-negara itu banyak menolong. "Ada juga negara yang sepatutnya tak boleh masuk, tetapi duta di sana menggunakan kuasa diplomatik untuk membolehkan kami melalui negara tersebut. "Ada masalah diplomatik, ada negara tak 'friendly'," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Taman Tema Darul Aman di Jitra hari ini. Bagaimanapun, ada juga layanan yang baik daripada rakyat negara-negara yang dikunjungi seperti dibenarkan meletakkan kenderaan untuk tidur di stesen minyak, malah mereka disediakan makanan. "Pengalaman saya, kita orang Malaysia ni dapat layanan istimewa. Ada sesetengah tempat orang luar susah nak masuk tetapi bila saya cakap orang Malaysia, mereka benarkan masuk," katanya. Katanya mereka sekeluarga membelanjakan sekitar GBP60,000 (RM315,857) untuk perjalanan itu termasuk kenderaan. Jamalullail, yang berasal dari Teluk Intan, Perak, berkata beliau cukup gembira dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia terhadap usaha beliau menerusi Facebook. "Dalam Facebook 'By Road to Malaysia' ada 21,000 followers. Takde satu pun komen negatif, semuanya positif. Ini yang menguatkan semangat kami untuk menyempurnakan usaha ini," katanya. Selain itu, Jamalullail juga sanggup berhenti kerja sebagai jurutera mekanikal di Seaham bagi merealisasikan hasratnya itu walaupun beliau boleh memohon cuti sabatikal sepanjang tempoh tersebut dan menerima bayaran gaji sebanyak 70%. Sementara itu, Sofinee, yang berasal dari Perlis, berkata antara cabaran sukar dialami sepanjang perjalanan itu adalah kerana hampir semua negara, stereng kenderaan adalah di sebelah kiri. "Semua negara, stereng kenderaan sebelah kiri kecuali United Kingdom dan Thailand (serta Malaysia). Untuk itu, sebelum memotong saya yang duduk sebelah pemandu kena tengok keadaan jalan dulu," katanya. Terdahulu, ketibaan mereka di sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam disambut oleh kaum keluarga mereka yang telah menunggu sejak pukul 10 pagi. – Bernama, 14 Disember, 2013. |
Posted: 14 Dec 2013 08:33 PM PST oleh NIEZAM ABDULLAH APABILA sebut sahaja Maldives, saya percaya bagi pengembara bajet, mereka mungkin merasakan pulau ini bukanlah sebuah destinasi pilihan untuk dikunjungi. Kebanyakan pengembara menganggap Maldives hanya sesuai bagi mereka yang gemarkan percutian mewah ataupun bertaraf lima bintang. Ini kerana Maldives itu sendiri dilihat sebagai sebuah destinasi percutian yang eksklusif dengan keadaan laut, pasir dan pantainya yang begitu luar biasa. Maka kos untuk menjejakkan kaki ke sebuah pulau di lautan India ini juga sering kali dianggap tinggi apatah lagi kedudukan bandar-bandarnya yang berselerak dengan 1,190 buah pulau. Tetapi persepsi itu salah sama sekali kerana Maldives menyediakan percutian untuk semua peringkat iaitu daripada percutian 'ciput' sehinggalah kepada mewah. Tempat-tempat penginapan yang disediakan serendah RM80 sehinggalah kepada RM2,000 bagi satu malam. Malah ada juga yang lebih daripada itu. Semuanya bergantung setakat mana kita mampu berbelanja untuk bercuti. Terdapat kira-kira 105 tempat penginapan yang menyediakan pelbagai kemudahan sama ada untuk percutian bersama teman, keluarga ataupun berbulan madu. Ia bukanlah satu halangan untuk kita memilih lokasi ini sebagai destinasi percutian terutamanya bagi mereka yang cintakan suasana pantai dan gemarkan aktiviti laut seperti menyelam skuba dan sebagainya. Identiti Maldives sebenarnya menarik. Ia sebuah negara kecil dengan populasi penduduknya dianggarkan berjumlah kira-kira 350,000 ribu orang. Agama rasminya adalah Islam dan tidak sukar mencari makanan halal. Menyedari pelancongan merupakan salah satu tarikan kepada negara ini, maka pemerintah terpaksa memperkenalkan dua undang-undang berbeza untuk rakyat dan juga pelancong. Bagi pelancong, mereka dibenarkan untuk meminum arak dan melakukan aktiviti-aktiviti sosial yang ditegah oleh agama Islam dan bagi penduduk pula mereka harus menghormati pelancong kerana ia adalah sumber pendapatan kepada negara. Namun begitu penduduk harus mematuhi undang-undang Islam yang diamalkan termasuklah bersedia dihukum sebat di khalayak sekiranya ada di antara mereka ditangkap atas kesalahan melakukan zina. Maldives menggunakan mata wang Rufiyaa (MRF). Setiap AS$1 dolar bersamaan MRF15.42. Bagaimanapun bagi memudahkan pelancong berbelanja, mata wang dolar Amerika Syarikat turut diterima untuk berurus niaga. Pada Oktober lalu saya berkesempatan mengunjungi pulau itu bersama AirAsia X yang baharu sahaja membuka destinasi penerbangannya pada 28 September lepas. Perjalanan selama kira-kira empat jam itu membangkitkan rasa teruja apabila pesawat bersedia untuk mendarat kerana air laut dan kecantikan pantai sudah dapat dilihat dari udara. Dari lapangan terbang, saya dan para rombongan dibawa ke sebuah pulau kecil iaitu Kandooma Fushi yang terletak sebelah Selatan ibu negara Maldives iaitu Male. Mengambil masa kira-kira 40 minit perjalanan dengan bot laju ke destinasi berkenaan, kita akan dapat melihat pulau-pulau kecil yang kebanyakannya menempatkan rumah penginapan menarik dan berbeza antara satu sama lain. Destinasi percutian pilihan saya ialah di Holiday Inn Resort Kandooma, sebuah resort atas pulau kecil yang unik. Resort ini menyediakan 160 buah vila dengan empat gaya berbeza sama ada vila dengan suasana pantai dan taman, rumah atas pantai, penginapan keluarga atau vila atas air. Harga penginapannya di antara RM900 sehingga RM1,500 bagi satu malam. Ia mungkin mahal kerana resort ini bertaraf lima bintang. Tetapi jika anda mampu, mengapa tidak mencubanya. Kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menikmati kemudahan lima bintang, agensi pelancongan di Maldives turut memberi ruang kepada pengembara bajet untuk menikmati kemudahan di resort seperti itu. Ini kerana mereka menyediakan pakej menarik untuk pelancongan bajet. Contohnya jika anda menginap di hotel berharga RM80 semalam, anda boleh mengeluarkan sedikit belanja dalam jumlah tertentu untuk menikmati makan tengah hari di pulau A, makan malam di pulau B dan seterusnya melakukan aktiviti pantai di pulau C yang mana kesemua resort di pulau-pulau itu adalah lima bintang. Ia lebih menjimatkan kerana walaupun ada menginap di sebuah hotel bajet tetapi anda tetap memperoleh peluang merasai kenikmatan di tempat-tempat mewah. Langkah itu adalah salah satu usaha kerajaan Maldives untuk menggalakkan lebih ramai pelancong pelbagai peringkat menggunakan peluang sepenuhnya bercuti di pulau-pulau di negara berkenaan. Mungkin ada yang menganggap menghabiskan masa lima hari di sebuah pulau kecil yang hanya ada sebuah resort agak membosankan, tidak seperti Pulau Langkawi yang boleh dijadikan sebagai tempat beli-belah. Persepsi itu harus dibuang jauh kerana Maldives bukan destinasi seperti itu sebaliknya ia lebih memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar sukakan pantai dan laut. Sama seperti kebanyakan pulau lain, pelbagai aktiviti dapat dilakukan sepanjang berada di Maldives antaranya menyelam skuba, bersnorkel untuk melihat batu-batu karang, memancing di waktu malam, BBQ dan juga menikmati permainan pantai. Bagaimanapun tanpa aktiviti itu, percutian ke Maldives turut bermakna kerana air laut yang jernih berlatarkan langit membiru merupakan satu tarikan luar biasa yang mampu mempesonakan. Ditambah lagi dengan hembusan bayu laut bersama putih pasir pantai, benar-benar membawa satu pengalaman baharu kepada pengembara. Saya percaya, sekali anda berpeluang untuk menikmati percutian ke pulau eksklusif ini, sukar untuk anda padamkan betapa pulau ini benar-benar indah dan menakjubkan. Bagaimana hendak ke Maldives? Bermula 28 September 2013, AirAsia X memperkenalkan perjalanan terus dari Terminal Tambang Murah (LCCT), Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Ibrahim Nasir, Maldives. Ia mengambil masa kira-kira empat jam dengan jumlah penerbangan empat kali seminggu iaitu pada hari Selasa, Khamis, Jumaat dan Ahad. Pihak AirAsia X turut memperkenalkan kadar tambang promosi dari semasa ke semasa yang mana ia jauh lebih murah daripada kebanyakan syarikat penerbangan lain. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda boleh melayari www.airasia.com bagi mendapatkan maklumat promosi yang ditawarkan. |
Posted: 14 Dec 2013 05:25 PM PST Shah Alam: Penyebaran imej seorang wanita berambut panjang di sekitar Kota Kemuning, di sini, sejak beberapa hari lalu, menimbulkan misteri dalam kalangan penduduk setempat. Imej dalam foto itu kini dikatakan tersebar luas pengguna telefon pintar dan dipercayai dirakam di sebuah kawasan pembinaan sekitar bandar raya ini sebelum diperoleh seorang penduduk. Beberapa penduduk yang melihat gambar itu memberi pelbagai reaksi kerana sehingga kini tidak diketahui siapa merakam imej berkenaan. Penduduk Shamsudin Daim, 40, berkata, imej dalam foto itu dipercayai dirakam pada waktu siang ketika beberapa pekerja menyiapkan kerja menambak tanah di sebuah tapak pembinaan. GAMBAR yang dirakam seorang lelaki dengan imej wanita berambut panjang di Kota Kemuning. Bagaimanapun, katanya, ketulenan foto itu tidak dapat disahkan kecuali selepas ia dinilai pakar dalam bidang teknologi fotografi atau grafik jika gambar berkenaan menggunakan teknik pertindihan. "Memang foto imej wanita berambut panjang itu tersebar meluas di sekitar Kota Kemuning. Cuma kita tidak tahu siapa merakamnya. Mungkin ia tulen atau mungkin juga tidak. Hanya pakar dapat menentukannya. "Namun berdasarkan imej diperoleh, memang tertera imej seorang wanita berambut panjang," katanya yang tidak mengetahui identiti perakam gambar itu. Sementara itu, Bilal Surau Al-Hidayah Jalan Kebun Jamal Sanusi, 50, yang turut melihat imej berkenaan berkata, tiada yang mustahil dalam kehidupan manusia, terutama membabitkan sesuatu yang ghaib atau di luar pengetahuan. "Cuma kita tidak boleh terlalu taksub selagi kita tidak tahu kesahihan gambar berkenaan atau sebaliknya. "Perkara begini kadangkala boleh menjejaskan akidah kalau kita tidak berhati-hati jika orang ramai mempercayainya bulat-bulat," katanya. - myMetro |
Henti sebar gambar Haji dan Hajah Posted: 14 Dec 2013 03:46 PM PST IPOH – Perkongsian sebuah gambar patung berhala menyerupai imej warak di laman sosial menggemparkan masyarakat Islam, hari ini. Gambar patung lelaki berkopiah dan wanita bertudung yang diperoleh daripada Facebook Nadi Rakyat Dot Net Official itu dikatakan diletakkan di sebuah lokasi di Lumut tanpa adanya perincian lokasi sebenar dinyatakan. Laporan portal www.ismaweb.net dipetik berkata, peletakan patung berimej sedemikian didakwa bertujuan menunjukkan rasa hormat kepada masyarakat Melayu. Pasangan patung yang turut diberi gelaran 'haji' dan 'hajah' itu mendapat pelbagai reaksi daripada pembaca yang rata-ratanya mahu siasatan lanjut dibuat bagi mengesahkan kesahihannya. Kerajaan negeri menggesa mana-mana pihak menghentikan segera sebarang perbuatan yang boleh mengundang kekeruhan dalam hubungan masyarakat majmuk di negara ini. Exco Pendidikan Islam, Mohd Nizar Zakaria berkata, perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ianya menyentuh nilai sensitiviti serta budaya masyarakat. Malah menurutnya, perkara berkenaan juga bakal mencetuskan nilai persepsi atau dari segi nilaian agama itu sendiri. "Berhati-hatilah dalam perkara seperti ini, sebaran dan perkongsian sesuatu yang belum tentu kesahihannya hanya akan mengundang kemarahan rakyat, jadi jangan dimuat turun secara sewenangnya," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Beliau turut memaklumkan, sedia untuk menyiasat sekiranya dakwaan gambar itu benar wujud. Walau bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada sebarang aduan diterima berhubung kewujudan patung berkenaan, malah maklumat patung itu turut diketahui melalui internet, semalam. "Jika betul ada, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan jabatan agama akan sedia siasat, Cuma kita khuatir jika ia tidak benar dan disebarkan atas maksud tertentu," katanya. Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar Lumut mendapati, rata-rata penduduk di sana tidak pernah melihat patung seumpama itu di mana-mana tokong di situ.Malah, ada antaranya memaklumkan, baru pertama kali melihat patung seumpama itu di internet. Seorang penduduk, Ling Chin Tong, 50, berkata, dia tidak pernah melihat patung berpakaian seumpama itu seumur hidupnya. "Saya memang tidak pernah melihat patung yang memakai kopiah dan tudung seperti di dalam gambar ini, saya tahu pun setelah melihat gambar yang ditunjukkan ini," katanya. Chin Tong berkata, selama ini, dia hanya melihat patung biasa (tanpa bertudung dan berkopiah) yang sering digunakan penganut agama itu untuk ditempatkan di rumah ibadat. "Jika patung seumpama ini memang saya tidak pernah lihat," katanya. Pendapat sama turut disuarakan Yew Kong Tung, 47. Kong Tung berkata, agak mustahil patung sedemikian ditempatkan di rumah ibadat mereka kerana semua masyarakat maklum ia menggambarkan imej Islam. "Ia dilihat seperti agak pelik dan seolah-olah tidak wujud, saya pergi ke mana-mana pun tidak pernah melihat patung seperti itu," katanya. Bagi Hong Chi Ping, 27, pula, patung dalam kepercayaan agama Buddha dianggap sebagai dewa. "Patung itu dipuja untuk mendapatkan kebaikan, namun saya tidak pernah melihat ia dipakaikan dengan kopiah dan tudung kerana kebiasaannya ia dibuat rambut sahaja," katanya. Seorang lagi penduduk, Haslinda Daud, 26, turut mengakui tidak pernah melihat patung sedemikian dan hanya mengetahui perkara itu di dalam internet. Sebagai penduduk tempatan katanya, dia juga tidak mengetahui sama ada patung itu wujud atau tidak. "Dalam laman sesawang semua orang bercerita mengenainya, jadi saya dapat maklumat pun dari situ. "Saya sendiri tidak tahu sama ada ianya wujud atau tidak. Siasatan harus dilakukan supaya isu berkenaan mendapat penyelesaian terbaik," katanya. Reaksi sama diluahkan Muhaiyudin Yusof, 31, yang mahu siasatan terperinci dilakukan sebelum sesuatu tindakan diambil. Menurutnya, langkah itu penting bagi mengelak, timbul isu lain yang boleh mengeruhkan hubungan antara kaum. "Perkara berkaitan Islam tidak seharusnya dijadikan permainan kerana ia melibatkan agama, siasatan terperinci harus dilakukan bagi mengetahui sama ada ianya benar-benar wujud atau tidak kerana kita tidak mahu timbul isu lain pula selepas ini," katanya. - Sinar Harian |
Baru padan muka hangpa ... aku pun sama la ... hahaha Posted: 14 Dec 2013 08:34 AM PST Ahad Disember 15, 2013 Kenaikan Tol Tahun Hadapan Tidak Dapat Dielakkan- Abdul Wahid KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011. "Bagaimanapun kadar itu tidak dinaikkan dan kerajaan membelanjakan RM400 juta untuk membayar pampasan untuk mengekalkan kadar sedia ada, yang boleh digunakan untuk perkara lain. "Telah tiba masanya untuk mengotakan perjanjan yang telah dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan mewarna dan melukis sambutan ulang tahun ke-50 Bangunan Parlimen di dataran Parlimen di sini, Sabtu. Abdul Wahid juga memberitahu kenaikan itu pada tahun hadapan, dapat mengelakkan daripada berlakunya peningkatan secara mendadak yang lebih membebankan rakyat, apabila masa untuk menyemak semula kadar baharu tiba. "Kenaikan tol juga bersikap adil pada pembayar cukai, kerana pampasan dibayar menggunakan wang cukai, sedangkan lebuh raya adalah laluan alternatif yang tidak semua pembayar cukai guna setiap hari," katanya. Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya. Sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana. Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu. Sementara itu, Abdul Wahid dalam ucapannya berkata sambutan yang julung kalinya diadakan itu dapat membuka pintu Parlimen kepada orang awam untuk melihat dengan lebih dekat keunikan seni bina bangunan itu yang merupakan salah satu ikon ibu negara. "Sambutan ini juga dapat membetulkan persepsi masyarakat bahawa Parlimen adalah kawasan larangan, sedangkan ia boleh dilawat jika dibuat surat permohonan atau melalui acara seperti ini," katanya. -BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan