DUNIACACAMARBA |
- Demi Perubahan, Mizz Nina Lepaskan Semuanya
- Lanjut Tawaran Lelong DARA
- Guru Jelajah Afrika dengan Kapcai
- Felixia Yeap, Gadis Playboy Bunny Berazam Ikuti Kelas Agama Tahun Depan
- Akta GST Tidak Halang Kenaikan Harga Barang
- “Mana anak Rosmah dapat banyak duit beli kondo?" - Rafizi
- Emel Palsu: Rafiz Minta Polis Siasat 4 'Blog Umno'
- Apabila RM12,000 Sebulan Masih Tidak Cukup untuk Hidup Senang di Malaysia
- Kisah Di Balik Gambar Ini...
Demi Perubahan, Mizz Nina Lepaskan Semuanya Posted: 30 Dec 2013 06:17 AM PST Nina Lepaskan Semuanya [UM] RAMAI terpesona apabila Mizz Nina mengambil keputusan berhijab, tidak kurang yang terkejut dengan perubahan drastik dirinya itu. Sementelah dia sebelum ini bukan sahaja terkenal dengan gaya lincah di pentas malah sanggup bereksperimen dengan penampilan. Imej seksi begitu sinonim dengan dirinya. Namun kini Mizz Nina selesa bergaya sopan sesuai sebagai seorang muslimah. Perubahan berlaku selepas dia pulang dari Mekah awal Oktober lalu bersama suaminya, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh. Meski diaju bertubi-tubi mengenai penghijrahannya itu, apalagi tatkala penyanyi bertaraf antarabangsa ini rancak menghangatkan dunia hiburan menerusi kolaborasinya dengan bintang hip hop Korea, Jay Park untuk lagu Around The World, Nina ini cuma tersenyum dan memilih untuk berdiam diri. Bagaimanapun pada satu sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nina berkongsi rasa dan isi hatinya mengenai imej barunya itu. Seolah-olah memberi isyarat yang dia mahu membuka lembaran baru dalam hidupnya sejajar dengan kehadiran tahun baru, Nina menganggap perubahan itu bukan satu penghijrahan yang terpaksa atau dipaksa. Sebagai kewajipannya, Nina mahu memenuhi tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin sebagai muslimah. "Ini bukan hal baru. Saya hampir dua tahun saya memikirkan untuk berhijab. Saya cuma mahu menjadi seorang Muslimah yang lebih baik dan saya sedang cuba untuk ke arah itu. "Saya akui mula-mula rasa gugup sebab saya tak biasa bertudung namun saya sangat suka melihat orang pakai tudung. Cantik! "Kadang-kadang ada masa saya curi-curi mencuba pakai tudung dan tonton tutorial di YouTube. Semakin lama, semakin saya rasa yakin. "Selepas pulang dari Mekah tempoh hari, saya bulatkan hati dan tetapkan iman untuk berhijab penuh kerana Allah Taala," katanya. Menurut Nina, keadaan itu juga menjadi semakin mudah kerana setiap kali menghadiri kelas mengaji al-Quran dan menghadiri majlis-majlis keagamaan, dia akan menutup aurat. Merasakan imej itu kini sudah sebati dengan dirinya, Nina juga tidak mahu masyarakat melihat dia mencari publisiti mahupun disamakan dengan pandangan serong bahawa artis bertudung sekadar mahu mengikut aliran semasa. Nasib selepas mati Melahirkan rasa kesyukuran kerana dibukakan pintu hatinya sebelum terlambat, wanita berusia 33 tahun ini yakin dan percaya bahawa ini adalah jalan hidup yang terbaik untuk semua umat manusia di dunia. "Seperti yang kita biasa dengar, 'Islam adalah cara hidup yang sempurna'. Itu adalah kebenarannya. Saya diberi hidayah ini, seribu rahmat dan kesyukuran hanya Allah SWT sahaja yang tahu," ujarnya merendah diri. Keinginannya untuk berubah ke jalan yang lebih diredai kata Nina, tidak seperti orang lain yang mungkin mendapat mimpi dan sebagainya. Hal ini cukup personal baginya sehingga dia tidak pernah memberitahu mengenai perkara itu sekalipun kepada orang terdekat. Kata Nina, hati dan fikirannya bergerak seiring untuk berfikir mengenai nasibnya selepas mati. "Dari saat itu saya fikir sudah tiba masanya untuk saya berada di jalan yang benar, di landasan agama Islam. "Tiada sesiapa yang paksa, saya sendiri yang memikirkan hal itu. Apa nasib saya selepas mati nanti? Cukupkah amalan saya untuk dibawa ke akhirat? Lengkapkah saya sebagai seorang isteri dan Muslimah saat masih hidup ini?" ujar Nina. Seiring dengan perubahannya itu kata Nina, orang yang paling gembira tentulah suaminya, Noh. "Sejujurnya, sejak saya berkahwin dengan Noh, dia tak pernah memaksa saya dalam segala hal," katanya ringkas. Jalan lebih baik Sebenarnya penyanyi ini lebih senang sekiranya orang tidak terlalu memberi tumpuan pada perubahan imejnya sahaja. Bagi Nina, itu bukan perkara pokok kerana fokus utama adalah ibadah dan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimah. Menganggap setiap hari adalah proses belajar untuknya kata Nina, dia tidak mampu menyembunyikan rasa tenang dan damai saat memulakan langkah memilih jalan ini. "Saya buat semua ini dengan hati yang terbuka. Setiap hari saya tanam azam mahu menjadi lebih baik dari semalam. "Ini bukan soal hijab sahaja. Janganlah cuma memandang luaran. Saya buat semua ini kerana Allah SWT sebab saya seorang Muslim. "Kalau boleh saya tak mahu orang bertanya hal hijab ini lagi. Cukuplah dengan penjelasan ini. Usaha saya untuk beribadah dan berubah untuk kebaikan. "Kalau ada yang terinspirasi dengan perubahan saya ini, Alhamdulillah. Baguslah, apa salahnya kita berubah bersama-sama. Itu lebih baik," katanya. - Siti Athirah Dzulkifly - 29/12/13 |
Posted: 30 Dec 2013 06:13 AM PST [HM] Rio de Janeiro: Catarina Migliorini, pelajar kolej berusia 23 tahun di Brazil yang menjadi tumpuan dunia kerana melelong daranya, kini mengiklankan lagi untuk melelong daranya itu. Pada masa sama, wanita itu juga menimbang untuk menerima lamaran seorang jutawan Arab. Pada 2012, seorang jutawan Jepun menawar Catarina AS$780,000 (RM2.6 juta) untuk membeli daranya menerusi lelongan secara online. Bagaimanapun, urusan jual beli itu gagal dan dia sekali lagi melelong daranya menerusi laman web VirginsWanted2.com. Tawaran itu dilanjutkan dari 12 Disember hingga 12 Februari. Catarina juga berkata, dia menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab. Tanpa mendedahkan identiti lelaki itu, Catarina memberitahu mereka saling berbual menerusi Skype dan menyifatkan lelaki berkenaan sebagai 'penganut Islam progresif.' "Saya mengambil keputusan untuk meneruskan tawaran itu. Pada masa sama, saya menerima lamaran daripada seorang jutawan Arab. dan kini menimbangnya kerana ia membabitkan perkahwinan. "Memandangkan musim panas menjelang dan sudah tentu banyak parti diadakan, saya mengambil keputusan untuk melanjutkan lelongan itu bagi sambil menimbang tawaran itu. "Jutawan Arab itu kelihatan begitu romantik dan menguasai 11 bahasa. Dia berumur antara 35 dan 40 tahun, kacak dan pintar. "Dia tinggal di rumah agam. Saya melihatnya menerusi skype," katanya. Bagaimanapun, menurut Catarina, lelaki itu tidak bersetuju dengan tindakannya melelong daranya sehingga sanggup menawarkan AS$1.5 juta (RM4.9juta) kepadanya supaya menghentikan lelongan itu, berkahwin dengannya dan berpindah ke negara asalnya. "Dia tidak suka dengan tindakan saya. Dia anggap tidak sesuai kerana saya cantik, muda, berbakat dan cerdik. "Dia mahu mengahwini saya dan mencadangkan kami bertemu di Malta supaya dapat berkenalan lebih rapat. "Malta negara berkecuali dan saya boleh membawa keluarga saya. Semuanya dia akan tanggung. "Saya suka berbual dengannya kerana dia penyayang, romantik dan pintar. Tetapi saya tidak mahu berkahwin kerana ia membabitkan wang yang banyak. " Ia membabitkan perasaan cinta dan saya tidak mahu terikat," katanya. - AFP - 30/12/13 |
Guru Jelajah Afrika dengan Kapcai Posted: 30 Dec 2013 06:01 AM PST [Bernama] GEORGETOWN – Seorang guru membuktikan dengan semangat 'Malaysia Boleh' segalanya mungkin termasuk menjelajah benua Afrika dalam tempoh 42 hari dengan menunggang kapcai (motosikal 110cc) se orang diri. Atas inisiatif sendiri, Mohammad Lasim Deraman, 47, memulakan perjalanan sejauh lebih 10,000 kilometer pada 15 Nov lepas di Cape Point iaitu kawasan paling selatan di benua Afrika, dan merentasi antaranya Tanzania, Bostwana, Zambia sebelum mengakhirinya di Mount Kenya, gunung kedua tertinggi di benua itu. "Saya pilih benua Afrika kerana keadaan geografinya yang mencabar dengan kawasan pergunungan, danau, sungai dan gurun yang saya rasa punya rahsia tersendiri," katanya dalam sidang media, di sini hari ini. Guru pendidikan khas di sebuah sekolah menengah di Cheras, Kuala Lumpur itu berkata sebelum ini beliau pernah bermotosikal menjelajah seluruh pulau Borneo serta kepulauan Indonesia. Menceritakan pengalamannya sepanjang jelajah di benua kedua terbesar dunia itu, Mohammad Lasim berkata antara yang membanggakannya ialah nama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad begitu dikenali oleh masyarakat di sana. Mereka cukup gembira apabila diminta bergambar bersama bendera Malaysia, kata anak jati Kota Baharu, Kelantan itu. Menurut Mohammad Lasim, pada awalnya beliau merancang ke tanah suci Makkah melalui Nairobi, selepas tiba di Moyale (bandar di sempadan Ethiopia dan Kenya) pada hari ke-34, namun terpaksa membatalkan hasrat kerana berlaku perang saudara di Nairobi. "Kedutaan juga menasihatkan saya berpatah balik kerana pertempuran melibatkan pertumpahan darah dan sangat berbahaya," katanya. Usai jelajahnya di benua Afrika, guru itu tidak terus pulang ke tanah air. Sebaliknya beliau menghantar kapcainya ke Thailand dan mengambil keputusan menjelajah negara Gajah Putih berkenaan yang dicapainya dalam tempoh tiga hari. Beliau kemudian menunggang ke selatan Thai dan memasuki negara ini pada 26 Dis lalu menerusi Bukit Kayu Hitam sebelum ke sini untuk bertemu rakan-rakan. Ditanya mengenai tip bagi yang berminat mengembara dengan kapcai, Mohammad Lasim berkata seseorang perlu tahu penyelenggaraan asas motosikal seperti menampal tayar sebelum berbuat demikian. Mengembara dengan kapcai ini suatu yang menarik kerana selain kos yang rendah juga memberi peluang kita berinteraksi dengan masyarakat setempat, katanya yang seronok dapat melihat kehidupan pelbagai etnik di Afrika termasuk etnik Zulu yang masih mengekalkan tradisi mereka termasuk tinggal di dalam pondok jerami. – 30/12/13 |
Felixia Yeap, Gadis Playboy Bunny Berazam Ikuti Kelas Agama Tahun Depan Posted: 30 Dec 2013 05:59 AM PST [TMI] Felixia Yeap, bekas Playboy Bunny berazam untuk mengikuti kelas agama (Islam) mulai tahun depan dan akan terus lebih banyak memakai hijab. "Felixia harap lebih banyak pakai hijab tahun depan... dan Alhamdulillah tidak akan 'let you down'," kata Yeap dalam slot Asssalamualaikum yang disiarkan oleh TV Al-Hijrah semalam. Dia juga berkata selalu bertanya kawan-kawannya tentang solat walaupun belum belajar secara khusus tentang Islam. Yeap, seorang model bukan Islam, yang tampil dengan memakai tudung warna krim dan jubah berwarna gelap diwawancara oleh pengacara TV Al-Hijrah Amin Idris dan Irma Hasmie. Jelitawan berusia 27 tahun dari Ipoh yang memulakan karier sebagai model sejak usia 19 tahun itu mula memakai hijab beberapa bulan lalu. Dalam wawancara dengan The Malaysian Insider sebelum ini, Yeap berkata beliau mula memakai hijab ketika menjadi model yang memerlukannya memakai tudung. Felixia Yeap (kiri) berkongsi pendapat dengan pengacara TV Al-Hijrah Amin Idris dan Irma Hasmie (kanan)."Saya mengidamkan untuk memakai tudung tetapi peluang tersebut hanya saya dapat pada tahun ini ketika mencuba nasib dalam temuduga komersil televisyen Celcom untuk sambutan Hari Raya. "Ia tudung berwarna biru dan saya jatuh cinta terus dengannya. Kemudian, saya mempunyai satu lagi peluang mengenakan tudung apabila menjadi model untuk sebuah butik Islam dalam pertunjukan fesyen semasa Hari Raya," katanya. Yeap, yang juga bekas guru tadika, memulakan kerjaya dalam pemodelan pada tahun 2005 apabila dia memasuki pertandingan Dewi Remaja yang dianjurkan oleh sebuah majalah tempatan dan menjadi salah seorang finalis ketika itu. Beliau kemudiannya menyertai banyak pertandingan ratu cantik lain dan di puncak kerjayanya telah dijemput untuk menjadi Playboy Bunny dan bekerja di sebuah kelab di Macau. Tetapi kerjayanya di kelab itu hanya bertahan sebulan apabila Yeap membuat keputusan untuk pulang ke tanahair bagi meneruskan kerjaya sebagai model. Ketika ditanya oleh pengacara TV Al-Hijrah semalam apa rancangan beliau untuk lima tahun akan datang ini, Yeap berkata, kalau boleh beliau mahu meneruskan kariernya sebagai model. "Tetapi dengan pakaian yang menutup aurat," kata Yeap yang fasih berbahasa Malaysia itu. Beliau yakin dengan memakai pakaian yang berhijab ia tidak menyekat rezeki beliau. "Rezeki itu ada di mana-mana sahaja. Kalau satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka," kata Yeap menjawab soalan Amin yang disokong oleh Irma yang juga tidak bertudung sebelum itu. "Saya sokong dengan Felixia. Dulu saya pun macam itu, orang kata akan hilang 'job'lah dan sebagainya. Tetapi tidak, akan ada rezeki kita," kata Irma menyokong Yeap. Ketika ditanya pengalamannya memakai hijab, Yeap berkata, dia tidak ada masalah dengannya kerana, "Saya takut sejuk. Bila pakai pakaian muslimah ini tutup semua, so tidak rasa panaslah". Ketika ditanya, apakah perasaan beliau ketika dikatakan fesyen berhijab ini ortodoks dan kuno, Yeap tidak bersetuju dengannya. "Felixia rasa busana muslimah lebih banyak 'styling', macam selendang yang saya pakai dan baju jubah ini, fesyennya lebih banyaklah sekarang dan tidak nampak 'boring'," katanya. Menurutnya juga, sekarang ini, hampir semua waktu beliau di luar akan memakai hijab walaupun bukan semasa bekerja sebagai model. Ketika ditanya apa reaksi kawan-kawannya, Yeap berkata, ada yang tidak boleh menerimanya tetapi beliau berkata, "Alhamdulillah banyak yang boleh terima". – 30 Disember, 2013. P/s: Salut. Moga diberikan Allah hidayah. |
Akta GST Tidak Halang Kenaikan Harga Barang Posted: 30 Dec 2013 05:48 AM PST [KD] KUALA LUMPUR 30 DIS: Tidak ada peruntukan dalam rang undang-undang GST ( RUU cukai barangan dan perkhidmatan) untuk mengekang kenaikan harga barang, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli. "Dalam RUU GST 2009 yang dibekalkan kepada ahli parlimen, tidak ada satu pun Bahagian atau Fasal menyatakan peniaga wajib menurunkan harga sekiranya peniaga telah menuntut cukai input dari pembelian dan kos perniagaannya," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN. Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang mengatakan kerajaan cuba menurunkan harga barang dengan pengenalan GST. "Pandangan beliau itu cetek tidak mengambil kira suasana praktikal apabila GST dilaksanakan. Mungkin kerana beliau tidak pernah pun berkhidmat di dalam sektor perniagaan," kata Rafizi. Menurutnya kerajaan minoriti BN hanya melakukan propaganda dengan menyatakan pengenalan cukai GST akan menyebabkan harga barang turun. Sedangkan, kos yang ditanggung peniaga juga akan meningkat dan mengurangkan keuntungannya. "Walaupun peniaga boleh menuntut kembali cukai GST yang dibayar ke atas pembelian dan kos perniagaannya disebabkan kenaikan harga barang secara keseluruhan, cukai GST yang dituntut itu tidak mencukupi untuk menampung kenaikan kos perniagaannya. "Dalam keadaan BN hanya berharap supaya peniaga menurunkan harga tanpa ada peruntukan undang-undang untuk mengekang kenaikan harga, sudah tentu peniaga tiada pilihan lain kecuali menaikkan harga untuk memastikan perniagaan mereka tidak lingkup," tegasnya. - Ainuddin Othman - 30/12/13 |
“Mana anak Rosmah dapat banyak duit beli kondo?" - Rafizi Posted: 30 Dec 2013 05:45 AM PST [KD] PETALING JAYA 30 DIS: Anak Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Shahriz Abdul Aziz perlu menjelaskan kepada umum sumber kewangannya sehingga boleh membeli unit kondominium USD33.5 juta (RM110 juta) di New York seperti dilaporkan portal Sarawak Report. "Berdasarkan gaji beliau yang bekerja dengan KPMG dan HSBC London selama lapan tahun, memang tidak logik beliau mampu beli kondo semahal itu. "Kecuali gajinya mencecah berjuta-juta ringgit sebulan, baru dia mampu membeli kondo tersebut menggunakan duitnya. "Saya jangkakan jumlah yang beliau boleh simpan dalam setahun berdasarkan gaji beliau selepas ditolak perbelanjaan adalah sebanyak RM 150 000 sahaja," katanya dalam satu sidang media di Pejabat KEADILAN. Kata Rafizi, Riza juga perlu menjelaskan penglibatan beliau dalam bidang pelaburan perfileman di Hollywood dengan jumlah yang besar. "Beliau menceburi bidang pelaburan perfileman menggunakan wang pelabur dari Asia dan Timur Tengah. "Jadi, kita nak tahu siapa pelabur dalam syarikatnya yang mempunyai wang sebanyak itu dan bermurah hati memberinya wang membeli kondo tersebut. "Mengikut laporan yang kita baca dalam Sarawak Report dan lain-lain, cara beliau melabur tidak secara konvesional iaitu memerlukan sokongan bank, jaminan dan lain-lain," ujarnya. Tambah Rafizi, beliau akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan ada laporan yang mengaitkan penglibatan syarikat tersebut dalam isu ini. "Saya akan dapatkan penjelasan. Walaupun berdasarkan pengalaman saya, amat sukar untuk memperoleh jawapan daripada pihak 1MDB," katanya. - Ainudin Othman -30/12/13 |
Emel Palsu: Rafiz Minta Polis Siasat 4 'Blog Umno' Posted: 29 Dec 2013 10:03 PM PST [MK] Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli hari ini membuat laporan polis terhadap empat blog Umno yang didakwa menyebarkan emel palsu yang bertujuan mencetus huru-hara. Rafizi berkata beliau membuat laporan terhadap blog yang menggunakan alamat theunspinners.blogspot.com, theflyingkick.blogspot.com, bidaman.blogspot. com serta badutrakyat.blogspot.com. Beliau mendakwa blog berkenaan bertanggungjawab menyebarkan satu emel palsu sejak 27 Disember lalu, yang menyebabkan beliau disiasat polis semalam. MP Pandan itu juga mendakwa, emel palsu mengenai rancangan untuk memasang bom di beberapa tempat di Kuala Lumpur yang kononnya dialamatkan kepadanya itu direka oleh "blog Umno" tersebut. "PDRM tanpa menyemak terlebih dahulu kesahihan emel rekaan itu terus memanggil saya untuk memberi keterangan dan disiasat," katanya dalam satu sidang media hari ini.Beliau juga kecewa apabila Polis DiRaja Malaysia (PDRM) masih belum menyatakan sama beliau merupakan saksi ataupun orang yang disyaki dalam siasatan ke atas sebaran emel palsu tersebut. "Sehingga sekarang, pegawai penyiasat yang mengambil kenyataan saya tidak boleh mengesahkan sama ada saya hanya seorang saksi atau suspek," katanya. - Radzi Razak - 30/12./13 Laporan lanjut di sini. |
Apabila RM12,000 Sebulan Masih Tidak Cukup untuk Hidup Senang di Malaysia Posted: 29 Dec 2013 06:13 PM PST [TMI] Berapakah gaji yang diperlukan untuk hidup di Malaysia? Inilah persoalan yang sukar dijawab sejak kebelakangan ini namun bergaji RM12,000 sebulan di Pulau Pinang tidak menjanjikan hidup yang selesa. Caroline Wong, 34 seorang kerani tinggal bersama suaminya seorang pengurus jualan dan anak perempuan mereka yang masih kecil. Setiap hujung bulan, mereka mendapat RM12,000 sebagai pendapatan bulanan namun sejak kebelakangan ini mereka berasa ia sudah tidak mencukupi. "Kami kini terpaksa makan di rumah dan tidak boleh lagi membeli barangan mahal termasuk pakaian berjenama sebagaimana dahulu," cerita Wong kepada The Malaysian Insider. Menurut Wong semua orang kini terpaksa berjimat dengan cara mengurangkan perbelajaan di mana perlu untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup. Wong berkata, dia dan suaminya terpaksa membayar RM4,000 untuk rumah dan kereta, RM1,500 untuk makanan dan RM1,500 lagi untuk penjagaan, makanan dan susu anak perempuannya. Dia juga terpaksa membelanjakan RM750 untuk insurans dan kad perubatan keluarga; RM700 untuk petrol; RM600 untuk bil telefon, broadband dan wifi; RM120 untuk Astro; RM140 untuk air dan elektrik; dan RM110 untuk pembantu rumah yang datang mengemaskan rumah mereka setiap minggu. "RM500 lagi kami terpaksa simpan setiap bulan bagi cukai jalan dan insurans kereta. Bulan Mei nanti, kami terpaksa membelanjakan RM1500 sebulan lagi untuk anak kedua kami yang bakal lahir," cerita Wong. Inilah nasib yang dialami Wong sekeluarga yang tinggal di Pulau Pinang, bandar raya paling mahal kos sara hidupnya di Malaysia. Semua ini dirasai oleh Wong menjelang tahun 2014 yang akan menjelang tidak lama lagi. Mulai Januari 2014, semua rakyat negara ini terpaksa menerima cabaran baru dalam mengharungi kehidupan apabila pelbagai harga barangan dan perkhidmatan akan dinaikkan lagi. Dengan status keseluruhan pulau sebagai kawasan tarikan pelancong, kos sara hidup Wong dan keluarga jauh lebih tinggi berbanding tinggal di lain-lain tempat hatta ibu negara Kuala Lumpur. Inilah hasil kajian yang diperoleh wartawan The Malaysian Insider di seluruh negara tentang kos sara hidup. Kajian yang dibuat mulai pertengahan Disember ini merangkumi Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Baru, Kuala Terengganu, Klang, Kuching dan juga Alor Setar. Perkara yang dikaji pula adalah harga barangan keperluan harian seperti ayam, sayuran seperti sawi dan cili merah, ikan, kadar sewa rumah dan juga keperluan pendapatan minima untuk hidup sempurna. Kajian ini dibuat menjelang tahun 2014, di mana rakyat bakal menghadapi kenaikan kadar tarif elektrik, tol, sewa bas sekolah, kadar cukai taksiran dan sebagainya. Dengan harga yang sudah tinggi berbanding pendapatan rakyat, tahun 2014 bakal menjadikan mereka lebih terbeban lagi apabila harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan. Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pengguna Kebangsaan (Fomca), Datuk Paul Selvaraj, kerajaan bertanggungjawab untuk mengurangkan impak ini. "Harga barangan ditentukan oleh pasaran dan bergantung kepada pengguna untuk mengawal perbelanjaannya. "Memang tanggungjawab kerajaan untuk meminimakan impaknya kepada pengguna, namun pada sesetengah keaadaan, ia adalah tanggungjawab individu," katanya. Dengan kadar sewa rumah serta harga rumah yang tinggi dan harga barangan keperluan harian yang agak mahal, seseorang memerlukan gaji sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan untuk tinggal di sebelah pulau di Pulau Pinang. Ia dikira paling tinggi berbanding bandar-bandar lain di Malaysia. Turut mengiringi Pulau Pinang adalah bandar perindusrian Bintulu di Sarawak dan Paka di Terengganu. Namun, harga barangan di Pulau Pinang jauh lebih rendah jika mereka tinggal di tanah besar iaitu di Seberang Prai. Mungkin kerana itulah ramai penduduk Pulau Pinang tinggal di tanah besar walaupun bekerja di pulau. Mungkin ini juga menjadi punca kesesakan berlaku setiap hari di jambatan Pulau Pinang dan feri sehingga menyebabkan jambatan kedua terpaksa dibuat untuk disambungkan ke pulau Mutiara itu. Harga sekilo ayam di pasar George Town adalah RM9 berbanding RM7.00 di Kuala Lumpur, RM6.50 di Klang. Kadar sewa rumah juga tinggi di Pulau Pinang. Sebuah rumah teres satu tingkat tiga bilik di Tanjung To Kong disewa dengan kadar RM1,000 sebulan. Namun kadarnya lebih rendah di Batu Kawan atau Nibong Tebal yang boleh diperolehi sekitar RM500 sebulan. Walau kos sara hidup agak rendah di Kuala Terengganu, namun harga barangan keperluan hariannya antara yang tertinggi berbanding bandar-bandar lain di Semenanjung Malaysia. Harga ayam di Kuala Terengganu adalah RM7.50 sekilogram berbanding Kuala Lumpur RM7.00 dan Klang hanya RM6.50. Begitu juga harga ikan, walaupun Terengganu ramai nelayan, tetapi harga ikannya antara yang termahal, mungkin kerana kesegarannya. Harga ikan kembong di pasar Chabang Tiga, Kuala Terengganu adalah antara RM10.00 ke RM15.00 sekilogram bergantung kepada kualiti ikan itu. Namun oleh kerana kos sewa rumah dan jalan raya tanpa tol di Kuala Terengganu, ia menyebabkan kos hidupnya tidaklah terlalu tinggi. Dengan pendapatan RM2,500 sebulan, sebuah keluarga boleh hidup di Kuala Terengganu dengan memiliki sebuah kereta dan rumah sewa. Namun di Paka dan Kerteh yang terletak di daerah Kemaman, kos sara hidupnya agak tinggi. Ini kerana kedua-dua bandar ini menjadi tempat tinggal pekerja industri gas dan petroleum. Ia memberikan kesan pahit kepada penduduk tempatan yang terpaksa bersaing untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan pekerja industri yang mempunyai pendapatan lebih baik berbanding mereka. Keadaan sama berlaku di Sarawak, bandar Bintulu dan Miri yang menjadi pusat industri gas dan petroleum yang menjadikan penduduk bandar ini terpaksa menghadapi kos sara hidup yang tinggi. Harga rumah di kawasan ini naik mendadak di samping harga barangan meningkat dengan ketara. Ikuti laporan Kos Sara Hidup untuk bandar-bandar seluruh Malaysia yang disediakan pasukan The Malaysian Insider sebelum kita menyambut kedatangan tahun 2014 yang serba mencabar. – 29 Disember, 2013. |
Posted: 29 Dec 2013 05:56 PM PST Kerana pengorbanan Letchumee, kata PAS [MK] Anggota keluarga kepada seorang penyokong PAS beragama Hindu memilih membalut keranda seorang saudara mereka dengan bendera parti Islam itu kerana perjuangan dan pengorbanannya mendiang. Malah, Letchumee Mutusamy meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan untuk membuka akaun bank untuk Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) kawasannya. Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua DHPP Kota Raja Rashmanan Subramaniam kepada Malaysiakini semalam. Menurutnya, Letchumee, meninggal dunia apabila motosikal yang digunakannya berlanggar dengan sebuah lori treler ketika dalam perjalanan ke sebuah bank di bandar Klang. Rashmanan berkata, Letchumee yang meninggal dalam usia 56 tahun itu bergiat aktif bersama PAS, terutamanya dalam isu membela nasib wanita dan keluarga, walaupun berlainan agama. "Sebagai ketua DHPP Kota Raja, pemergiannya buat saya rasa kehilangan orang kanan, beliau seorang yang mempunyai personaliti kepimpinan, termasuk dalam pilihan raya umum ke-13. "Sebab itu kita sepakat balut keranda dengan bendera PAS," kata Rashmanan. Menurutnya lagi, mendiang selalu mengadakan program bersama Anggota Parlimen Kota Raja Mariah Mahmud dan terlibat sambutan kaum India dengan masyarakat setempat seperti pesta Ponggal. Dr Mariah: Kami macam adik beradik Sementara itu, Dr Mariah (bawah) berkata, pemergian mendiang dirasakan suatu kehilangan memandangkan keakraban hubungan mereka. Justeru, beliau yang hadir pada hari pengebumian memaklumkan kepadaMalaysiakini, permintaan keluarga mendiang untuk menggunakan bendera PAS untuk membalut keranda dipersetujui sebagai tanda penghormatan terakhir. "Pada hari pengebumian itu, keluarga mendiang memohon untuk menggunakan bendera PAS, takkan kita nak kata tak boleh, kita semua sepakat membenarkan. "Bagi saya ini satu penghormatan buat beliau dan penghormatan bagi PAS. Lagipun dia penyokong kuat PAS, dia rasa dekat dengan parti. Kita dan macam adik beradik kemesraan itu dah lama wujud. "Ia sama seperti penghormatan terakhir diterima tentera pada hari pengebumian," kata Dr Mariah. Jawab sindiran di Internet Bagaimanapun, terdapat persepsi negatif yang dilontarkan pembaca di alam maya berhubung perkara itu dan mengaitkannya dengan isu agama dan politik. Ada sebahagiannya yang menyindir langkah itu, antaranya komen seorang pemilik Facebook: "Kalau balut (guna) bendera PAS dapat syurga ke? Dr Mariah bagaimanapun menjelaskan, langkah itu tidak menyentuh isu akidah sebaliknya sebagai tanda penghormatan terakhir untuk mendiang. "Ia juga tiada kena mengena dengan akidah," kata pemimpin Muslimat PAS itu. "Saya hargai perjuangan beliau dan keluarga selama ini walaupun dia tahu kita parti PAS perjuangkan Islam tapi atas kemahuan mereka nak menunjukkan rasa bangga menjadi sebahagian daripada PAS maka mereka letak (kedudukan) atas sekali bendera PAS." - Farah Noor Samat- 28/12/13 |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan