Rabu, 25 Disember 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


PAS cuba singkir dua Adun BN Perak kerana langgar peraturan pilihan raya

Posted: 24 Dec 2013 10:41 PM PST

OLEH V ANBALAGAN, PENOLONG PENGARANG BERITA


Saman difailkan terhadap dua Adun Barisan Nasional Perak yang didakwa bukan penduduk tetap Perak pada hari pengundian. Gambar fail.Saman difailkan terhadap dua Adun Barisan Nasional Perak yang didakwa bukan penduduk tetap Perak pada hari pengundian. Gambar fail.























Tujuh bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), dua calon PAS Perak mengambil tindakan mahkamah untuk menyingkirkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) kerana tidak menjadi penduduk negeri itu semasa hari pengundian, 5 Mei lalu.

Saman difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 24 Februari 2014.

Salah seorang peguam dalam kes itu, Robin Lim, berkata saman difailkan terhadap Adun Manong dari BN, Mohamed Kamil Shafie dan Adun Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya kerana melanggar Artikel 30 Perlembagaan Perak.

Katanya, Adun negeri tersebut mesti menjadi penduduk tetap Perak semasa hari pengundian.
"Mereka menetap di Lembah Klang dan pemilihan mereka sebagai Adun bertentangan dengan Perlembagaan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Saman difailkan oleh Jamil Dzulkarnain yang tewas kepada Mohamed Kamil sementara satu lagi saman difailkan Misbahul Munir Masduki terhadap Shahrul Zaman.

Mohamed Kamil menang 231 undi majoriti sementara Shahrul Zaman menang dengan majoriti 613 undi.
Dalam tuntutan saman, plaintif Jamil dan Misbahul Munir berkata, Adun BN tersebut tinggal di luar Perak dan alamat di MyKad mengesahkan mereka bukan penduduk tetap negeri itu.

Plaintif mahu mahkamah mengisytiharkan Adun BN tersebut digugurkan daripada jawatannya sebagai wakil rakyat.

Mereka juga menggesa mahkamah mengeluarkan arahan bagi menghalang Adun berkenaan menghadiri mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, Adun berkenaan berkata, penyingkiran seseorang wakil rakyat perlu dibuat melalui petisyen pilihan raya.

Jamil dan MIsbahul Munir dalam kenyataan balas berkata, mereka tidak mencabar keputusan pilihan raya tetapi kelayakan dua Adun tersebut.

Semasa pilihan raya umum lalu, BN berjaya mengukuhkan penguasaannya di Perak selepas menang 31 kerusi DUN sementara Pakatan Rakyat (PR) memenangi 28 kerusi dengan DAP 18 kerusi, PAS (4) dan PKR (6).

Selepas PRU13, PAS memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan pilihan raya di kawasan DUN Pasir Panjang, Manong, Selama, Lubuk Merbau, Rungkup dan Manjoi.

Selain Lubuk Merbau, petisyen tersebut gagal dibicarakan atas alasan teknikal.

Mahkamah Persekutuan pada Isnin mengarahkan hakim pilihan raya mendengar semula petisyen Lubuk Merbau.

The Malaysian Insider difahamkan permohonan sama difailkan terhadap Adun Manjoi dari BN kerana tidak menjadi penduduk tetap Perak.

Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berjaya memenangi kerusi itu selepas menewaskan Asmuni Awi dengan majoriti 132 undi.

Rai kepelbagaian, tolak fahaman ekstremis, kata pemimpin PAS sempena Hari Natal

Posted: 24 Dec 2013 10:38 PM PST

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK


Penganut Kristian di Malaysia digesa terus kekalkan keharmonian dalam agama dan meraikan kepelbagaian masyarakat. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Disember, 2013.Penganut Kristian di Malaysia digesa terus kekalkan keharmonian dalam agama dan meraikan kepelbagaian masyarakat. - Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim.

























Penganut Kristian di Malaysia digesa meneruskan keharmonian dalam agama serta meraikan kepelbagaian dengan saling menghormati sebagai lambang kebesaran Tuhan, kata seorang pemimpin PAS sempena dengan Hari Natal yang disambut penganut agama berkenaan hari ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata sebagai umat Islam, beliau dididik dengan teladan para nabi termasuk Nabi Isa Ibnu Maryam bagi meraikan kepelbagaian dan hidup saling menghormati.

"Saya diajar melalui Al-Quran tentang kepentingan berpegang kepada agama tetapi pada masa sama menerima kepelbagaian dan saling menghormati.

"Saya sebagai rakyat Malaysia bersempena dengan sambutan Hari Natal menggesa tentangan terhadap ketidakadilan, rasis, ekstremis agama serta melaungkan kecintaan terhadap negara dengan menolak kezaliman," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid turut mengucapkan Selamat Hari Natal kepada penganut Kristian dengan harapan perayaan kali ini membawa kegembiraan dan kebahagiaan kepada semua rakyat Malaysia tanpa melupakan golongan miskin dan memerlukan.

Katanya, kepelbagaian dalam masyarakat hari ini menjadi asas pembentukan rakyat Malaysia selain Islam yang dinobatkan sebagai agama persekutuan menjadi tunjang kepada keharmonian agama dalam negara.

"Generasi terdahulu meraikan kepelbagaian sejak zaman Melaka menjadi pelabuhan antarabangsa terpenting kepada pedagang luar kemudian membangun menjadi masyarakat berkepelbagaian yang akhirnya membentuk negara Malaysia.

"Dalam usaha saya memperbaiki hubungan antara agama, ia tidak dilakukan dengan cara kasar tetapi menyampaikan mesej keamanan, kasih sayang dan bermaruah," katanya.

Mujahid dikenali sebagai seorang pemimpin PAS yang konsisten menganjurkan dialog antara agama terutama di antara umat Islam dan penganut Kristian.

Beliau baru-baru ini melancarkan sebuah buku yang menceritakan tentang usahanya bertemu dengan pemimpin gereja di seluruh negara.

Mujahid juga merupakan anak kepada bekas pemimpin PAS, Yusof Rawa yang pernah dilantik sebagai Duta Malaysia ke Arab Saudi.

Jais cari penganut Kristian guna kalimah Allah di Selangor

Posted: 24 Dec 2013 10:34 PM PST

OLEH MUZLIZA MUSTAFA

Mahkamah sejak Oktober lalu menetapkan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Gambar fail.Mahkamah sejak Oktober lalu menetapkan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam. Gambar fail.






















Hari Natal disambut di seluruh dunia tetapi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak terpengaruh dengan bahangnya apabila mereka memulakan gerakan mencari kumpulan penganut agama Kristian yang menggunakan kalimah Arab Allah secara tidak sah dalam upacara keagamaan mereka minggu lalu.

Sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan pada Isnin sekumpulan penganut Karistian didakwa menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka di sebuah hotel di Klang.
Baru-baru ini, Mahkamah Rayuan menetapkan Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk menyekat penggunaan kalimah itu.

Kerajaan dan penguatkuasa agama bukan sahaja menyekat penggunaan kalimah Arab itu kepada penganut Kristian akan tetapi sudah memulakan langkah untuk mengharamkan fahaman Syiah di Malaysia.

Baru-baru ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata, di Malaysia, hanya terdapat 1,500 penganut fahaman itu.

Dalam kes terbaru, Timbalan Pengarah Jais, Ahmad Zaki Arshad, berkata mereka masih belum mendapat bukti penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam upacara keagamaan mereka.

"Kami sedang meminta bantuan pihak pengurusan hotel untuk melihat rakaman CCTV bagi membuktikan kebenaran dakwaan itu. Kami tidak boleh bertindak hanya dengan bukti gambar dalam surat khabar," kata Ahmad Zaki kepada The Malaysian Insider.

Katanya, Jais juga akan mendapatkan kerjasama daripada penganjur majlis untuk membantu siasatan.
"Gambar bukan satu bukti yang kuat untuk kami bertindak," katanya.

Ahmad Zaki merujuk kepada laporan Utusan Malaysia pada Isnin yang turut menyiarkan gambar majlis itu tertera dengan perkataan "International Full Gospel Fellowship Keluarga Allah Satelit Nilai dan Satelit Puchong, 'Dari dalam gelap akan terbit terang'," sebagai latar belakang pentas dewan tersebut.

Difahamkan Jais menyiasat kes itu mengikut Seksyen 9 Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang menghalang bukan Islam daripada menggunakan kalimah 'Allah'.

Akhbar milik Umno itu melaporkan program tertutup itu dihadiri kira-kira 200 orang dan dianjurkan oleh International Full Gospel Fellowship. Laporan itu juga menyebut mereka yang hadir turut menyanyikan lagu menggunakan kalimah Allah.

Ini menyebabkan dua kumpulan Islam meminta pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan ini kerana menyalahgunakan kalimah Allah.

Dalam reaksi awal Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (Ikddas) dan Perkasa Selangor menggesa Jais menyiasat dan bertindak.

"Daripada sudut perundangan, jelas pengunaan kalimah Allah ini dilarang sama sekali digunakan oleh bukan Islam. Soalnya, jika benar penganjur terbabit menggunakan kalimah suci itu dalam program agama bukan Islam, Jais tidak perlu teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat," kata Presiden Ikddas, Rosdi Long kepada Utusan Malaysia.

Pengerusi Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, ia merupakan satu tindakan tidak wajar apabila bukan Islam menggunakan kalimah tersebut kerana Sultan Selangor sudah mengisytiharkan perintah mengenai perkara tersebut.

Sultan Sharafuddin Idris Shah yang merupakan pemimpin tertinggi agama di negeri tersebut mengisytiharkan bukan Islam dilarang menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan di Kitab Injil dan penerbitan mingguan Katolik Herald berbahasa Melayu.

Katanya, ini bertujuan menjamin kesucian agama dan umat Islam daripada dipengaruhi oleh doktrin atau ajaran agama lain.

Pada 14 Oktober, Mahkamah Rayuan menyokong keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk menggantung penerbitan akhbar Herald sekiranya masih berdegil menggunakan kalimah Allah.

Yang ini berkurap, yang itu pula berpanau

Posted: 24 Dec 2013 06:12 PM PST

Saya masih berpendirian yang berhimpun untuk menggulingkan kerajaan bukan cara yang boleh diterima ramai. Lebih dari 50 peratus rakyat mahukan perubahan kerajaan tetapi lebih dari 50 peratus dari rakyat juga tidak bersetuju menggulingkan kerajaan dengan cara berhimpun.
Tidak siapa yang tidak bersetuju yang kerajaan hari ini wajar diketepikan tetapi unt

uk mengajak rakyat berhimpun secara besar-besaran bukanlah caranya untuk perubahan itu. Pertamanya tindakan itu merupakan tindakan yang kurang baik kerana cara berhimpun dan memaksa kerajaan itu berubah itu bukanlah satu tindakan demokratik yang baik.

Keduanya kita telah berusaha untuk menggulingkan kerajaan melalui pilihanraya tetapi keputusannya masih berpihak kepada penyandang walaupun begitu hebat gerakan untuk mengenepikan kerajaan hari ini. Kekalahan dan kegagalan pihak yang ingin mengambil alih kerajaan tentunya bersebab.

Saya sendiri telah menjelajah keseluruh negara membantu usaha untuk menggantikan kerajaan ini sebelum pilihanraya yang lepas.. Tetapi dalam proses itu saya seperti orang lain juga dapat mengenal pasti sebab kenapa pihak yang membangkang masih gagal untuk mencapai niat menggantikan kerajaan yang rasuah dan tidak bermoral sekarang ini.

Sebagai rakyat kita harus memahami isu sebenar kenapa pembangkang menghadapi kegagalan dalam usaha mereka.

Kita cuba lakukan analisis yang realistik dalam isu ini. Apabila kita mengatakan pimpinan kerajaan sekarang ini perlu diganti, persoalan yang pertama yang harus dijawab ialah, siapa yang hendak menggantikan pimpinan negara sekarang ini? Benar pimpinan hari ini amat tidak sesuai untuk meneruskan pimpinan mereka, malahan kesemua yang ada dalam barisan kepimpinan UMNO yang tertinggi itu menjadi persoalan besar kepada rakyat.

Tetapi jika hendak menggantikannya siapa yang akan menggantikan mereka yang hendak diganti ini?

Adakah pasti nama-nama yang di sebut untuk menggantikan itu mempunyai moral dan kewibawaan yang secukupnya untuk menunjukkan kelainannya dari kepimpinan yang ada pada hari ini?

Apa kelainan yang perlu ada kepada pihak yang hendak menggantikan mereka yang sekarang ini?

Pertamanya moral pemimpin yang hendak menggantikan pemimpin yang kurang moral itu mestilah tinggi tanpa ada pihak yang mempersoalkan kewibawaannya. Yang hendak dipimpin ini adalah negara bukannya memimpin syarikat kilang padi atau persatuan sepak takraw.

Jika ramai dikalangan rakyat mempersoalkan kewibawaan dan ramai yang mempunyai persepsi buruk terhadap pemimpin itu, maka adalah terlalu tidak sesuai untuk dijadikan calon pengganti kepada seorang Perdana Menteri. Ini isu serius. Isu moral jangan sekali-kali diambil ringan dalam menentukan kepimpinan sesebuah negara.

Perjuangan dan apa yang terjangka jika pembangkang memenangi pilihanraya serta mengambil alih negara ini ialah dari segi asas perjuangan dalam pengisian kemerdekaan itu sendiri mesti berlainan. Jika isu yang dibangkitkan terhadap kerajaan itu isu perkauman yang telah di perbesarkan terhadap UMNO dan BN itu, penggantinya perlu membuktikan ianya benar-benar lain dari apa yang terhasil dari perjuangan UMNO dan BN itu.

Isu perjuangan 'multiracialism' merupakan isu besar dan ada komponen di dalam Pakatan Rakyat itu sendiri tidak lekang mulut pimpinan mereka mengakui partinya sebagai parti berbilang kaum, tetapi apa yang kita nampak jelas ia merupakan pembohongan yang amat besar dan terlalu jelas. Parti itu tetap dengan parti Cinanya dan ada sebuah negeri yang dikuasai oleh parti ini, tidak mempunyai seorang pun wakil Melayu di dalam Dewan Undangan Negeri nya.

Isu ini adalah isu berat kerana ia menjelaskan pada pandangan dan persepsi ramai yang melayu dan bangsa lain dalamnya hanyalah diperguna untuk menampal poster dan banting sahaja semasa pilihanraya sahaja. Melayu dikaburi dengan jumlah peruntukan lebih dari RM60 juta untuk majlis Agamanya. Sebuah negeri yang kaya tidak menjadi isu besar untuk memberikan peruntukan besar untuk agama Islam itu, waimma untuk memperuntukan RM100 juta sekali pun.

Yang mereka kehendaki ialah untuk memegang kuasa politik ditangan kaum nya sahaja. Mereka memahami sikap dan nilai orang melayu yang akan terpengaruh dengan peruntukan kewangan yang banyak itu sudah memadai untuk menyenangkan hati dan jiwa mereka. Pada pendapat parti itu, tidak seorang pun Melayu di negeri itu yang layak untuk duduk di dalam Dewan Undangan Negeri nya. Melayu di negeri itu semuanya dianggap bodoh dan tolol dan layak disuruh arah untuk menjadi penampal poster sahaja.

Maka tuduhan setengah pihak yang mengatakan orang Melayu akan terpinggir itu sudah mula menampakkan kebenarannya jika pembangkang dijadikan alternatif kepada kerajaan yang ada pada hari ini. Oleh itu dengan persepsi ini, mana mungkin pihak ini dengan mudah boleh meminta orang melayu khususnya untuk bertindak dengan risiko yang amat tinggi bagi mereka itu? Melayu akan terus berfikir, 'dari bangkong biarlah nangka', maka terus mengambil sikap tidak mahu melakukan perubahan yang mereka anggap amat berisiko itu.

Orang melayu hampir terjerat dengan strategi parti ini. tetapi hikmahnya bukan tidak ada. Hikmahnya, tuduhan setengah pihak yang parti ini hanya bermain dengan retorik murahan itu sudah ternyata benar dan kali ini amat payah bagi mereka melanjutkan janji dan retorik mereka itu dalam pilihanraya yang akan datang.

Orang Melayu yang berduyun-duyun mengekori mereka dalam pilihanraya lalu tidak akan keluar lagi seperti yang mereka lakukan dalam PRU yang lalu, melainkan mereka berjaya mencari isu lain untuk mengelirukan orang melayu dalam pilihanraya yang akan datang.

Parti ini telah menjadikan PAS sebagai mangsanya. Isu nama Tuhan yang dimainkan oleh DAP dalam pilihanraya yang lalu menjadikan PAS terpaksa berkedudukan 'defensive' dan sehingga habis pilihanraya, isu ini tidak mampu ditangai oleh PAS kerana isu itu merupakan isu yang sangat sensitif terutama sekali diluar bandar.

Oleh itu PAS terpaksa memilih untuk mempercayai orang lain dari orang Islam untuk berurusan siasahnya atau pihak Islam yang lemah didalam UMNO  dan BN itu jika PAS masih bermimpi untuk meningkat syiar agama Islam itu.

Setengah pihak sudah ada yang berkata, lemah dan busuk mana pun UMNO itu, ia masih ada bau Melayu dan Islamnya. 'Cincang air tidak akan putus', atau 'sebusuk-busuk daging jika di basuh boleh juga dimasak'.

Yang perlu 'daging yang terlalu busuk dalam UMNO itu wajar dibuang' agar ia berhenti dari membawa wabak penyakit rasuah, boros dan salah guna kuasa itu berterusan berlaku.

Kepimpinan kedua-dua pihak tidak meyakinkan. Teruskan berintrospeksi. Buat yang ada sekarang pilihan kita adalah diantara yang pekak dan yang bisu, atau diantara yang berkurap dan yang berpanau.

Kumpulan media lancar kempen mansuh Akta Mesin Cetak & Penerbitan

Posted: 24 Dec 2013 06:00 PM PST

KEADILAN DAILY

GERAMM



KUALA LUMPUR : Pengamal media yang terdiri daripada wartawan, penulis dan jurugambar melalui Gerakan Media Marah (Geramm) hari ini melancarkan kempen bagi memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA).

"Mansuhkan permit penerbitan yang diwajibkan mengikut Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (PPPA) yang tidak relevan lagi, malah ia dijadikan alat kawalan terhadap kebebasan pengamal media.

"Siasat semula dengan rapi insiden-insiden keganasan anggota-anggota polis terhadap pengamal media sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 pada 2012," antara kandungan petisyen Geramm dipetik.

mansuh_akta_mesin_cetak

Tegas Geramm, kerajaan digesa mendukung hak-hak kebebasan akhbar dan menarik penggantungan akhbar mingguan The Heat dan membenarkan beroperasi seperti biasa.

Geramm menuntut parti-parti politik, memberi akses sama rata kepada semua pengamal media tanpa pilih kasih untuk hadir membuat liputan berita dalam aktiviti atau sidang media masing-masing
Geramm turut menggesa kerajaan memohon maaf kepada pengamal media atas tindakan pencabulan hak kebebasan media selama ini.

Kempen bagi memansuhkan Akta Penerbitan & Mesin Cetak 1984 dibuat melalui tanda tangan petisyen dalam talian yang boleh dilayari melalui pautan ini.

Maklumat terkini, kenyataan media dan aktiviti Gerakan Media Marah (Geramm) boleh diiikuti melalui laman facebook dan twitter.

“AG sedia disiasat, kenapa SPRM tak bertindak?

Posted: 24 Dec 2013 05:57 PM PST

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga hari ini tidak melakukan sebarang tindakan, meskipun Peguam Negara, Tan Seri Abdul Gani Patail telah membuat tawaran terbuka bagi menyiasat akaun miliknya.
Shamsul Iskandar
"Gani Patail telah menawarkan dirinya untuk siasat akaunnya di Hong Kong. Jadi pihak SPRM dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) harus melakukan tindakan lanjut.

"Saya mendesak PDRM dan SPRM membentuk Suruhanjaya Khas Diraja yang terdiri daripada pegawai kanan yang berpengalaman.

"Memandangkan kes ini merupakan kes berprofail tinggi melibatkan seorang peguam negara," kata Shamsul kepada Keadilandaily.

17 Disember lalu, Gani Patail membenarkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli memeriksa akaun bank miliknya bagi membuktikan Peguam Negara itu sedia disiasat berhubung pendedahan sogokan berkaitan tuntutan bertindih Pulau Batu Puteh.

Manakala ahli parlimen Pakatan Rakyat 4 Disember lalu membuat laporan polis menggesa siasatan berhubung pendedahan tersebut berdasarkan perakuan sumpah (SD) bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.

SD tersebut mendedahkan wujud unsur rasuah melibatkan Gani dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Puteh hingga negara kalah dalam tuntutan tersebut.

"Sepatutnya orang yang dimaksudkan dalam akuan tersebut terlibat dalam siasatan, Tak cukup sekadar panggil Md Zain yang membuat akuan sumpah. Adakah terdapat dua undang-undang beralainan?

"Kalau seorang bekas pegawai polis dipanggil, mengapa orang yang berjawatan lebih besar (Peguam Negara) tidak dipanggil untuk siasatan?

"Ini menunjukkan undang-undang pilih kasih (double standard) kata Shamsul.

200 guru KAFA Terengganu dihentikan kerana dendam politik?

Posted: 24 Dec 2013 05:52 PM PST

KEADILAN DAILY

 

guru_kafa


KUALA LUMPUR: Tindakan Yayasan Islam Terengganu (YIT) menghentikan kontrak kira-kira 200 guru Kafa di negeri ini secara serentak seolah-olah agenda membalas dendam politik oleh pihak tertentu.

"Tindakan tersebut menghairankan kerana dibuat dalam jumlah yang besar.

"Seolah-olah satu agenda bagi membalas dendam politik oleh pihak tertentu," kata Ketua Penerangan Pas Terengganu, Mohd Nor Hamzah dalam kenyataan.

Justeru kata Hamzah, sekiranya tenaga pengajar kurang mahir dijadikan alasan, pemberhentan beramai-ramai tersebut bercanggah dengan keadaan sebenar.

"Kerana pencapaian Kafa Terengganu antara yang terbaik di Malaysia. Apa alasan yang sebenarnya?, soal Hamzah.

surat YIT
Surat penamatan kontrak guru KAFA oleh Yayasan Islam Terengganu

Hamzah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Bukit Payong berkata, penamatan kontrak secara besar-besaran ini memberi kesan kepada para pelajar keseluruhannya.

"Bukanlah sesuatu yang mudah untuk mencari guru pengganti dalam masa yang singkat dengan jumlah yang begitu besar.

"Apatah lagi tarikh bermulanya sesi persekolahan 2014 hanya tinggal lebih kurang seminggu," kata Hamzah.

Katanya, tindakan kerajaan negeri dan Yayasan Islam Terengganu memperjudikan nasib para pelajar.

Dalam pada itu, Hamzah mengingatkan rakyat Terengganu agar peka dengan perkembangan di negeri ini kerana tindakan seperti dilakukan YIT mungkin melibatkan ahli keluarga sendiri.

"Ia mungkin juga melibatkan saudara mara atau orang-orang terdekat dengan anda semua," kata Hamzah.

Kadar tol naik besar-besaran lepas Anwar dipecat BN

Posted: 24 Dec 2013 04:39 PM PST

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR : Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin yang memainkan peranan penting untuk membekukan kenaikan tol lebuh raya sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Menteri Kewangan.

SimAhli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, Anwar pada ketika itu menggunakan kuasanya untuk membekukan kenaikan tol sebanyak beberapa kali.

"Selepas beliau (Anwar) dipecat daripada kerajaan, kenaikan tol menjadi urusan setiap tahun, dan akhirnya membawa kepada kenaikan tol besar-besaran pada tahun 1999 hingga 2000," kata Tze Tzin dalam kenyataan.
Beliau berkata, semua perjanjian konsesi tol digubal dan diluluskan Unit Perancang Ekonomi di bawah kuasa Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tze Tzin yang juga Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN berkata, Menteri Kerja Raya yang bertindak menandatangani perjanjian konsesi berkenaan sebagai wakil kepada kerajaan Malaysia.

"Peranan Menteri Kewangan adalah untuk mentadbir kontrak selepas ia ditandatangani. Tidak syak lagi Anwar adalah Menteri pada tahun 1991 hingga 1998 iaitu semasa kontrak itu dimeterai, tetapi beliau hanya mewakili dasar yang ditetapkan BN dan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir," katanya.

Tambah beliau, kenyataan Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong mendakwa Anwar bertanggungjawab terhadap perjanjian konsesi lebuh raya di Malaysia membuktikan beliau (Tee Yong) mula mendapat suntikan 'viagra politik'.

saya_suka_bayar_tol

Bagaimanapun semangat yang ditunjukkan pemimpin MCA itu bagaikan 'tidak kena tempat' apabila terpaksa menuding jari kepada Ketua Umum KEADILAN untuk menutup kegagalan Barisan Nasional (BN) selaku pemerintah.

Tze Tzin menggesa pimpinan baru MCA supaya bangkit menentang kenaikan tol dan mempertahankan rakyat Malaysia daripada berdepan tekanan itu dengan menyertai perhimpunan rakyat pada 31 Disember ini.

Katanya, MCA perlu mencontohi Pakatan Rakyat Selangor yang mengarahkan anak syarikatnya selaku pemegang saham untuk membantah kenaikan kadar tol di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) baru-baru ini.

"Kerajaan Selangor yang memiliki pegangan saham melalui anak syarikatnya bertindak tegas untuk menghentikan kenaikan tol di Kesas.

"Bagaimana pula dengan MCA? Apa yang telah mereka buat?

"Jika mereka gagal untuk bersuara demi kepentingan rakyat, ia hanya mengesahkan persepsi ramai bahawa MCA tidak berkuasa dalam BN," katanya. – Selangor Kini

Bukti KDN sahkan Mat Sabu dambakan pemerintahan prorakyat,

Posted: 24 Dec 2013 04:34 PM PST



Oleh AHMAD LUTFI OTHMAN


Semasa saya masih dalam mood bercuti hujung tahun, sambil bersantai meneroka idea baru  memantapkan Harakah menjelang 2014, banyak pula gangguan yang membingitkan.

Iklim politik tidak pernah reda walaupun PRU13 baru enam bulan berlalu dan negara masih terkejut dengan banjir besar luar biasa di Kuantan dan Kemaman.

Masakan saya boleh berlepas diri daripada serangan besar-besaran Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi, bermula atas kapasitinya sebagai Naib Presiden Umno, yang cuba membunuh karektor Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, tidak lama selepas mendapat mandat baru dalam Muktamar PAS ke-59. Manakala Zahid kekal sebagai naib presiden paling popular dalam pemilihan sejurus sebelum itu.

Aksinya di hadapan perwakilan Umno dan jutaan penonton siaran langsung TV seolah-olah mengarahkan (atau mengajar) rakan sejawatnya dalam kabinet, Jamil Khir Baharom supaya menangkap Mat Sabu.

Satu tindakan angkuh (atau daripada satu segi seperti mahu mempermainkan Jamil). Seorang Perdana Menteri pun tidak wajar bertindak demikian kepada anggota kabinetnya.

Dua tiga teman wartawan bertanyakan saya, "benarkah Zahid ada masalah peribadi dengan Mat Sabu?" Mereka agak pelik mengapa menteri yang dilihat celupar dan berlagak samseng itu seperti sengaja mengapi-apikan perseteruan.

"Hairan ya, waktu Najib (Razak) mahu mewujudkan suasana lebih kondusif untuk perbincangan Umno-PAS, Zahid mengisytihar perang kepada orang no. 2 PAS," tambah seorang daripada wartawan tersebut.

Saya mengajukan soalan sama kepada Mat Sabu, walaupun saya sudah tahu jawapannya: "Tak ada masalah personal." Beliau tetap tenang tidak mahu melatah dengan perangkap. Dalam satu pertemuan dengan wartawan online, Mat Sabu sekadar berkata, isu-isu berkaitan Syiah hanya akan dijawabnya di mahkamah.

"Saya tak ada bergaduh personal, saya kalau jumpa mereka (pemimpin Umno) rapat semua termasuk yang paling kuat saya serang dahulu, Tan Sri Muhamad Muhd Taib (bekas Menteri Besar Selangor). Sekarang dia kawan baik. Macam Zahid Hamidi juga, tiada apa-apa personal dengan dia," katanya.

Seorang rakan karib, yang pernah rapat dengan Zahid, mempunyai persepsi lebih tajam: "Aku tak hairan kalau ada tokoh-tokoh Umno yang sedia gedebe berlagak samseng, tapi bagi orang macam Zahid, yang suka mempamerkan dirinya seperti watak beragama, selalu memetik satu dua ayat-ayat Quran, tetapi bertindak di sebaliknya, amat jelik sekali."

Penulis buku politik, Mohd Sayuti Omar dalam msomelayu.blogspot.com, ketika mengulas tindakan undang-undang Mat Sabu terhadap Zahid, merakamkan: "Zahid Hamidi harus diajar sama ada di mahkamah atau pun dalam politik. Orang seperti  Zahid tidak boleh dibiarkan dan dimaafi lagi. Perbuatan, tingkah lakunya sudah cukup untuk mengenali siapa dia sosok ini dan banyak kenyataan dan aksinya mencederakan keharmonian orang Melayu."

Tuduhan dan label Syiah memang menjadi-jadi mutakhir ini. Bukan sahaja Mat Sabu, saya sendiri turut terpalit.

Puncanya kerana Harakah dilihat tidak bersedia untuk mengkafirkan Syiah dan beberapa kali turut merakamkan penghargaan tinggi kepada pemimpin Revolusi Islam Iran, Imam Khomeini dan Setiausaha Agung Hizbullah Lubnan, Hasan Nasrallah.

Malah, apabila kami menyiarkan beberapa siri ulasan panjang dan menyeluruh Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang, dengan hujah dan sanggahan konkrit, tetapi dianggap sebagai bersikap lunak kepada Syiah, Harakah juga dipersalahkan.

Saya tertarik dengan kebijaksanaan Tuan Guru menangani isu ini, bagaikan seorang negarawan ulung, melihatnya dalam konteks politik antarabangsa yang cukup matang, dan berupaya mendedahkan perancangan licik kuasa-kuasa Barat untuk memusnahkan negara-negara strategik Timur Tengah.

Ketika rakyat dihadapkan dengan pelbagai isu kenaikan kos hidup yang cukup menekan, terutama menjelang tahun baru, bermula peningkatan harga bahan bakar, rasionalisasi subsidi gula, kadar tarif elektrik dan tol, cukai taksiran hartanah di Kuala Lumpur serta harga barangan asas yang mencanak tinggi, perhatian umum cuba dialihkan kepada persoalan yang mudah membakar sentimen.

Pengalaman saya yang sering berurusan dengan hospital juga mendedahkan kenaikan kos rawatan perubahan begitu memeritkan. Tempoh menunggu yang panjang di hospital kerajaan, selain kekurangan pakar, membuatkan ramai yang terpaksa memilih hospital swasta, apatah lagi yang ditimpa penyakit kronik, seperti kanser. Klinik kerajaan juga tidak menyediakan semua ubatan yang diperlukan. Pesakit terpaksa membeli di luar dengan harga yang tinggi.

Apakah serangan berterusan kepada Mat Sabu bertujuan untuk memusnahkan potensi tokoh mobilisasi rakyat itu daripada memberi tumpuan menggembleng kekuatan akar umbi, yang semakin muak dan jelak dengan kegagalan kerajaan menunaikan janji-janji pilihan raya? Dipercayai beliau akan menerajui siri demonstrasi besar-besaran, termasuk melibatkan golongan pekerja, selain himpunan Bersih 4.0.

Dalam pada itu, saya baru menyedari hampir semua lebuh raya di sekitar Lembah Klang akan mengalami peningkatan kadar tol bermula 1 Januari depan. Dan untuk laluan ulang-alik saya dari Ampang ke pejabat di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, khabarnya cadangan kadar untuk Lebuhraya Bertingkat Ampang (Akleh) akan meningkat daripada RM1.50 kepada RM2.50, iaitu kenaikan sekitar 67 peratus.

Lebih malang apabila menteri berkaitan, Abd Wahid Omar, meneruskan tradisi pemimpin gred B Umno-BN yang memberi kata dua kepada pengguna jalan raya agar tidak menggunakan jalan bertol jika tidak bersetuju dengan kenaikan kadar yang dicadangkan. Sudah hilangkah sentuhan nurani anggota kabinet Najib Razak terhadap penderitaan rakyat?

Pengarah Strategi KeADILan, Rafizi Ramli baru-baru ini mendedahkan, tanpa kenaikan kadar tol sekalipun, pemegang konsesi tetap meraih keuntungan berganda.

"Tidak banyak perniagaan di negara ini yang mencapai peratus untung bersih sehinga 61 peratus seperti Plus Berhad. Kos untuk menyenggara lebuh raya hanyalah 6 peratus daripada jumlah kutipan tol," tegasnya.

Lebuhraya Kesas, tambah Rafizi, mencatatkan keuntungan berganda sehingga 121 peratus secara terkumpul di antara tahun kewangan 2008 hingga 2013. Pada masa sama, walaupun kadar tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan tetap meningkat dan margin keuntungan kekal tinggi kerana jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya semakin meningkat.

Rupa-rupanya "bisnes tol" ini cukup menguntungkan! Kalau aliran trafik tidak seperti diunjurkan, pemegang konsesi akan diberikan pampasan, 'kan? Malah, dahulu dalam kes tol Jalan Kuching (kes klasik penswastaan lebuh raya yang cukup menguntungkan), tempoh konsesi dipanjangkan dengan alasan untuk melakukan penambahbaikan, seperti membanyakkan lorong, tetapi tidak dilaksanakan.

Terbukti elit Umno-BN memandang mudah dan meremehkan janji dan komitmen yang dilafazkan bagi membeli sokongan berterusan rakyat. Contoh paling nyata, dalam manifesto PRU13, BN menggariskan akujanji secara khusus untuk mengurangkan kadar tol dalam kawasan sekitar Lembah Klang secara berperingkat-peringkat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Seperti juga kes penggantungan mingguan berita The Heat, yang bercanggah dengan janji-janji keterbukaan dan transformasi politik Najib. Semasa naik takhta menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, dalam ucapan sulungnya, Najib turut membebaskan penggantungan permit Harakah tetapi kini akhbar yang mengkritik perbelanjaan boros beliau dan isterinya menerima padah.

Balik kepada tuduhan rasmi KDN terhadap Mat Sabu, yang menyenaraikan 10 bukti "gred B", melalui sidang akhbar Ketua Setiausaha, Abdul Rahim Mohamad Radzi, 12 Disember.

Banyak pihak meminta Harakah menyiarkan kembali tulisan Mat Sabu bertajuk Teladan Pemerintahan Nabi Yusuf, Khomeini, yang tersiar dalam sisipan Fikrah, 15 Julai 2008.

Pertama, harus dijelaskan, seperti lazimnya, pihak editor (yakni saya sendiri) yang memilih tajuk kolum Membedah Demokrasi itu, bukannya Mat Sabu.

Artikel separuh halaman itu cuba menggambarkan pemerintahan prorakyat, yang mengambil berat penderitaan dan kesusahan setiap warga, tanpa pilih kasih. Misalnya, semasa Mesir menghadapi krisis ekonomi dan catuan makanan, Nabi Yusuf a.s. memberikan layanan sama kepada keluarganya sendiri.

Keadilan dan kebijaksanaan Nabi Yusuf mengendalikan masalah ekonomi dengan tujuh tahun berjimat cermat membawa kemewahan untuk tujuh tahun berikutnya.

Mat Sabu juga mengemukakan contoh pemerintahan Mao Tse Tung, yang terpaksa membuat catuan makanan di seluruh pelosok China, selepas revolusi 1949. Pemimpin mengikat perut bersama rakyat yang ditimpa krisis makanan. China kemudiannya menapak untuk terus maju.

Contoh ketiga yang ditonjolkan Mat Sabu adalah kejayaan Khomeini berdepan kepungan Amerika Syarikat dan sekutunya, serta regim Arab, termasuk Saddam Hussein yang melancarkan serangan ke atas Iran pada 1980.

Kehidupan Ayatullah yang begitu sederhana, yang tinggal di sebuah rumah teres di utara Tehran, cukup dekat dengan rakyat yang terhimpit. Bagaimanapun, penduduk Iran reda dengan kesulitan yang menimpa disebabkan pemimpin mereka sedia susah bersama.

Tulisan itu turut menyentuh soal kenaikan 40 peratus harga minyak di Malaysia yang membawa kesusahan kepada rakyat. Meskipun Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri menyeru rakyat mengubah cara hidup ke arah kesederhanaan, tetapi ia tidak berkesan disebabkan gaya hidup beliau sendiri. Ditambah pula Laporan Audit Negara yang mendedahkan pembaziran dan penyelewengan di Kementerian Pertahanan yang diterajui Najib.

"Rakyat tahu bagaimana isteri beliau berbelanja terutama bila berada di luar negara. Dari mana wang begitu banyak dibelanjakan. Bolehkan orang seperti Rosmah menyeru rakyat supaya bersederhana dan ikat perut?

"Jauh sekali seruan Najib dibandingkan dengan Imam Khomeini dan Mao Tze Tung. Amat tidak boleh dibanding langsung dengan catuan ekonomi dan bekalan dibuat oleh Nabi Yusuf semasa menghadapi krisis makanan dan krisis ekonomi," Mat Sabu menutup tulisannya, yang dijadikan bukti oleh KDN.

Bagi saya, Mat Sabu konsisten dalam tulisannya, yang begitu prihatin dengan nasib golongan bawahan dan kepentingan pemerintah yang berjiwa rakyat. Kalau lima tahun lalu beliau tersentuh dengan harga sepinggan nasi kosong RM1.50, baru-baru ini dia mengeluh harganya sudah meningkat sampai RM3.00.

Bukti "gred B" itu sebenarnya lebih menyerlahkan sosok Mat Sabu sebagai pemimpin yang merakyat dan berhasrat tinggi untuk menyediakan Malaysia yang lebih sejahtera, adil dan damai buat setiap warganya.

Dan beliau menghargai kebaikan dari mana saja, tidak kira bersumberkan Khomeini, Mao Tze Tung, apatah lagi teladan unggul para Nabi yang sewajibnya diikuti.

UAE Sumbang US$10 Juta Untuk Mangsa Banjir Di Malaysia

Posted: 24 Dec 2013 04:30 PM PST

MSTAR ONLINE

 
KUALA LUMPUR: Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan mengarahkan supaya US$10 juta diperuntukkan bagi membantu mangsa banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia baru-baru ini.

Menurut Kedutaan UAE dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini, inisiatifini merupakan bantuan khusus kepada lebih 20,000 keluarga yang terjejas akibatbanjir besar yang melanda daerah Pekan dan Kuantan, Pahang.

"Persatuan Bulan Sabit Merah UAE akan melaksanakan inisiatif kemanusiaan inimelalui kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan," katanya.

Tambahnya lagi, bantuan berupa keperluan asas yang diperoleh daripada pasaran tempatan dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 100,000 rakyat Malaysia yang terlibat.

"Dengan bantuan ini, diharapkan mereka akan dapat pulang ke rumah dan menjalani rutin harian seperti biasa," katanya. - BERNAMA

Beribu-Ribu Ikan Timbul Di Pantai Tabisan Sabah

Posted: 24 Dec 2013 04:29 PM PST






KOTA KINABALU: Beribu-ribu ikan timbul di pesisiran pantai Kg Tabisan di bahagian Timur Sabah, Lahad Datu sekaligus menimbulkan persoalan mengenai petanda yang bakal berlaku hujung tahun ini.

Penduduk kampung rata-rata memungut ikan-ikan tersebut yang dikenali dengan nama ikan Tamban.

Bagaimanapun penduduk tempatan, Suzila Abdullah berkata, fenomena seperti ini telah berlaku sejak tiga tahun dulu.

"Tetapi tahun ini ia kelihatan berbeza kerana jumlah ikan yang timbul amat banyak," jelasnya.

Suzila berkata, dia percaya musim sekarang yang berombak kuat membuatkan ikan-ikan ini naik ke darat tetapi hanya dua atau tiga hari sahaja.

Ikan-ikan tersebut dipungut dan dimasak, manakala ada juga penduduk kampung yang menjual ikan tersebut di Lahad Datu ataupun ke daerah lain.

Ikan Tamban memang terkenal di kalangan penduduk kampung tersebut.

Stresnya wartawan cari jawapan

Posted: 24 Dec 2013 04:26 PM PST

norden mohamed
NORDEN MOHAMAD
 
MENGIKUT kajian di Careercast.com, kerjaya dalam bidang kewartawanan adalah di antara 10 kerjaya yang punyai kadar stres yang tinggi.

Wartawan foto menduduki tangga ke tujuh kerjaya paling stres, sementara wartawan akhbar pula di tangga kedelapan.

Kajian untuk tahun 2013 itu membariskan 10 kerjaya yang paling stres. Tugas sebagai askar berada di tangga pertama. Ini diikuti dengan kerjaya jenderal tentera, ahli bomba, juruterbang komersial, eksekutif perhubungan awam, eksekutif korporat, wartawan foto, wartawan akhbar, pemandu teksi dan anggota polis di tempat ke 10. Akhbar Sinar Harian telah menyiarkan penemuan ini dalam Edisi Isnin, 23 Disember lalu.

Benar. Tidak kiralah di kedudukan ke berapa pun, kerjaya di bidang kewartawanan atau persuratkhabaran, secara keseluruhannya sememangnya mempunyai kadar tekanan yang tinggi. Sama ada seseorang itu menjadi wartawan, sub-editor, wartawan foto, pereka grafik akhbar, pelukis, pencetak mahupun pengedar akhbar, ia adalah kerja yang penuh dengan adegan kejar mengejar dengan masa.

Jika kerjaya lain punyai deadline seminggu atau sebulan sekali, ataupun mengikut tempoh pelaksanaan sesebuah tugasan atau projek, kerjaya di bidang kewartawanan berdepan dengan deadline secara harian. Hari-hari perayaan adalah juga hari kerja seperti hari-hari yang lain. Semakin ada hari perayaan, semakin pentinglah akhbar itu diterbitkan kerana orang ramai lebih suka membaca pada hari cuti umum.

Namun ironinya, semakin kerap dan panjang cuti umum seperti pada hari-hari akhir tahun ini, semakin keringlah bahan berita yang sampai ke pengetahuan orang surat khabar. Namun, di antara orang penting yang boleh menjadi sumber berita adalah pak menteri. Mereka punyai pelbagai jawapan kepada banyak persoalan. Tetapi, andainya pak menterilah orang yang ingin ditemui, pada waktu inilah mereka sukar dihubungi kerana pada hujung tahun juga adalah masa bagi mereka bercuti.

Meskipun mereka kesemuanya berada di hujung jari, hanya tekan sahaja nombor telefon mereka dan suara mereka akan kedengaran menjawab panggilan, tetapi ada yang tutup telefon kerana tidak mahu diganggu. Maka tinggallah para wartawannya terkontang-kanting mencari jawapan.

Situasi begini biasa terjadi apabila pihak akhbar mahukan maklum balas mengenai sesebuah isu yang tercetus. Misalnya, bila terjadi banjir kerana parit besar tersumbat, masalah mendapat respons akan terjadi apabila panggilan telefon kepada pak menteri tidak berjawab.

Pegawai bertanggungjawab di jabatan itu mati-mati tidak mahu memberi respons kerana katanya, hanya bosnya yang boleh memberi jawapan bilakah parit tersumbat itu boleh dikorek. Sedangkan bukankah semua tugasan dalam ruanglingkup sesebuah jabatan itu ada prosedur operasi standard yang boleh menjadi rujukan?

Wartawan yang tidak mendapat jawapan seperti yang diharapkan itu akan bengang kerana petang nanti stresnya akan melonjak apabila editornya pula memberi komen dengan selamba, 'Kita terbit Sinar Harian, bukannya Sinar Mingguan. Kenapa tak dapat maklum balas pada kes yang mudah begini?'

Ada juga orang politik yang dihubungi tatkala tercetus isu berjanji akan memberi jawapan bila selesai mesyuarat. Namun, apabila hingga ke senja pun panggilan daripadanya tidak diterima, itu bukan petanda orang politik itu sudah terlupa, tetapi buat-buat lupa.

Membuat temujanji pula boleh menjadi satu masalah. Selain daripada jadual yang ketat orang politik yang ingin ditemui, panggilan wartawan akan ditapis oleh pegawai yang akan menjawab dengan pelbagai alasan yang menyukarkan temujanji dibuat. Kerana itulah jalan segera wartawan mendapat maklum balas ialah dengan menerjah ke majlis orang politik. Biarlah ia kelihatan menggesa, tetapi tugas wartawan ialah menghebahkan jawapan kepada pelbagai persoalan.

Membaca akhbar adalah seperti menonton cerita bersiri. Pembaca yang didepankan dengan persoalan pada hari ini perlukan jawapan pada hari esoknya. Andainya jawapan tidak diperoleh pada hari berikut, dia tidak akan berpuashati. Semakin lama jawapan tidak diperoleh, rasa jengkel, meluat dan akhirnya marah akan berkerak di dalam jiwanya.

Kerana itu, di antara tugas penting orang politik selain daripada berucap dan berdebat ialah menjawab. Walaupun akan timbul persoalan lain sesudah sebuah jawapan, yang penting ia menggambarkan keprihatinan orang politik terhadap kerisauan orang ramai. Samada sesebuah jawapan itu diterima atau tidak, ia berupaya mengubat segala prasangka.

Benar, bekerja itu lebih baik daripada bercakap. Benar, rakyat patut didahulukan. Tetapi jawapan pula harus didahulukan sebelum janji dapat dipenuhi.

Kambing bertanduk empat

Posted: 24 Dec 2013 04:22 PM PST


Kambing  
Kambing bertanduk empat (tengah) menjadi ternakan kesayangan Lachmanan.


JOHOL -  Kebiasaannya kambing hanya mempunyai sepasang tanduk. Tapi tidak bagi kambing jantan daripada baka Barbados campuran Malaysia milik A K Lachmanan ini.

Unik. Itulah yang dapat digambarkan oleh pemiliknya, dari kampung Masjid Tua, Air Mawang, dekat sini.

Lachmanan, 52, berkata, kambing tersebut disedari bertanduk empat selepas enam bulan dilahirkan.

Kini usia kambing istimewa itu mencecah setahun lapan bulan.

"Memang ia pelik dan unik, kerana sepanjang saya mengusahakan ternakan kambing sejak 30 tahun pengalaman, belum berjumpa lagi kambing memiliki tanduk empat. Keempat-empat tanduk itu tumbuh serentak," katanya.

Menurutnya, tidak berniat untuk menjual malah sangat menyayangi kambing isitimewa itu.

Sementara itu, pekerjanya, M Ratnan, 58, berkata, dia berasa teruja apabila pertama kali melihat kambing bertanduk empat.

"Saya sudah bekerja di ladang ini selama 17 tahun dan ini kali pertama melihat kambing bertanduk empat dan ia sungguh unik.

"Untuk memeliharanya  sama sahaja seperti kambing lain cuma yang berbeza tanduk sahaja," katanya.

Lachmanan memiliki 100 ekor kambing pelbagai baka seperti Black belly, Boer, biri-biri, kambing licin dan barbados. Setiap baka yang baik dibeli dengan harga mencecah RM2,000 seekor.

"Dulu ternakan kambing saya banyak tetapi selepas kejadian kes curi kambing sebelum Deepavali tahun ini menyebabkan jumlahnya berkurangan.

"Saya kehilangan 43 ekor kambing dari baka yang baik dengan anggaran kerugian RM20,000. Waktu itu, saya berada di hospital Putra Melaka kerana diabetes dan hanya dipantau oleh pekerja. Selepas pulang, saya dapati kambing saya dicuri dan terus buat laporan polis," katanya.

Lachmanan yang turut menternak lembu yang kini mencecah 140 ekor berharap kejadian itu tidak berulang.

"Menjadi seorang pengusaha ternakan, perlu ada kesabaran tinggi jika tidak, tiada hasil dan keuntungan.

"Bagaimanapun, saya tetap berbangga kerana pernah memenangi tempat pertama pertandingan baka terbaik sempena Hari Peladang peringkat negeri tahun 2009. Kambing baka black belly telah menambat hati hakim dan sekali gus menjadi pengalaman manis buat saya," katanya.

Posted: 24 Dec 2013 04:16 PM PST


Satiful-Bahri-Mamat


KUALA TERENGGANU – Perhimpunan Guling Kerajaan yang dijangka diadakan pada akhir bulan ini tidak mendapat perhatian daripada Pas apabila Pesuruhjaya Pas negeri, Satiful Bahri Mamat menjelaskan tidak tahu menahu mengenai perkara itu.

Ketika ditanya mengenai perkara itu yang turut dikaitkan dengan pembangkang, beliau menjelaskan langsung tidak mendapat maklumat mengenai perkara terbabit.

"Saya tiada maklumat mengenai perkara itu dan tidak tahu pula sama ada perkara itu disebarkan melalui laman sosial kerana maklumat itu pun tidak sampai," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perhimpunan yang dijangka diadakan di Dataran Merdeka menjelang tahun baharu 2014.

Beliau tidak menafikan Pas bakal menganjurkan perhimpunan mengecam Bangladesh berhubung hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan ke atas pemimpin parti Jamaat e-Islami, Syeikh Abdul Qadir Mullah.

Beliau yang juga Adun Paka berkata, perkara itu digerakkan di bawah Jawatankuasa Mobilisasi dan meminta mana-mana pihak yang mempunyai kelapangan untuk berada di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur, Jumaat ini.

"Sebelum ini di Terengganu, Pemuda Umno negeri  menganjurkan himpunan aman mengecam tindakan Bangladesh yang  menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap pemimpin tersebut, sedangkan sebelumnya, mahkamah negara itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tetapi disebabkan gesaan pihak tertentu termasuk nasionalis, ia telah diubah. Ini tidak adil. Mana boleh keputusan mahkamah dipengaruhi pihak lain," katanya.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, perhimpunan haram dirancang  31 Disember ini dilihat semata-mata bertujuan mengalih pandangan rakyat daripada beberapa pembohongan pembangkang setelah gagal menawan Putrajaya pada PRU13.

Beliau tidak menolak kemungkinan perhimpunan itu turut libatkan orang yang sama dengan beberapa perhimpunan sebelum ini.

Tiada ulasan: