Ahad, 22 Disember 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Tanjung yang berlumpur

Posted: 22 Dec 2013 04:52 AM PST

USTAZ ROSLI ABDUL JABAR


Kerja-kerja memasak berlanjutan selama 12 hari, berakhir pada 15 Dis, namun kerja-kerja membersihkan rumah mangsa berlarutan sehingga ke hari ini, atas permintaan, jika ada. Hampir 10 ribu bungkusan barangan dan beras telah diedarkan termasuk juga di Kampung Semangat, Ubai, Kg Belukar, Kg Pahang dan Cherok Paloh yang berada didalam DUN Inderapura. Ada sebahagiannya saya sendiri yang menghantarnya, ada juga rakan-rakan Unit Amal. Terkadang tu rasa malu juga dengan sebahagian sikap masyarakat Melayu dalam kawasan saya, sesetengah tu umpama orang Somalia yang sepertinya kebuluran sangat, bila masuk je lori, menderu datang mengejar lori dan berebut-rebut barangan, ish .. takde akhlak sungguh lah. Saya minta semua bersabar dan saya akan hantar kerumah masing, tapi tak nak berganjak juga, tetap juga bergayut ditepi lori, tak kira lelaki atau perempuan, serupa je.

Seorang rakan daripada Kuala Lumpur, dia dan rakan-rakan bawa dapur gas dan barangan dapur, dia berhasrat untuk cuba bagi sendiri dan meminta izin dari saya, saya benarkan. Lori langsung tak dapat bergerak, diserbu, semua nak ambil dapur, sepertinya semua rumah rosak dapur, seorang terkadang ambil dua tiga biji, sampai kepada peringkat mereka memanjat lori, setelah habis separuh lori, rakan saya terpaksa menutup pagar lori dan cabut lari, sebab kelihatannya barangan hanya berkisar pada orang yang sama. Sangat memalukan, dia datang ke rumah saya dan menurunkan sebahagian yang lain "maaf deh, itu lah sebahagian rakyat ana".. dia ketawa dan ligat menggelengkan kepala "fuhh, teruk betul, macam artis ana kena serbu, bukan nak autograf, tapi nak dapur gas", katanya sambil ketawa. Namun keadaan ini tidak berlaku di Sungai Isap, orang Sungai Isap kelihatannya agak lebih tabah dan lebih berdisplin. Tak hairanlah, kerana Masjid dan Surau di Kawasan ini agak makmur dengan majlis ilmu menjadikan mereka sabar dengan dugaan dan memiliki kemuliaan diri. Kemiskinan jiwa ini hanya boleh diubati jika mereka kembali kepada Islam, ini adalah diantara tanggungjawab saya, InsyaAllah saya mencuba sedaya upaya.

Kerja-kerja pembersihan bermula dari 6 Dis, saya pun turut serta membantu rakan-rakan Unit Amal, rumah pertama yang saya bantu bersihkan ialah rumah Allahyarham Tuan Haji Jamin di Sg Isap Damai, beliau meninggal pada 5 dis, ketika banjir masih besar dan ketika saya sedang gawat untuk menghantar nasi ke Masjid Sg Isap Damai. Saya tak sempat pergi menziarahi jenazahnya yang di kebumikan di Bukit Ubi, namun terasa juga kehilangannya, sebab dia adalah orang yang sering juga menyumbang untuk Ma'had Tahfiz Darul Fikri dan sosok tubuhnya sentiasa kelihatan ketika saya berkuliah di Masjid Sg Isap Damai dan Surau RRM Permatang Badak. Saya memilih rumah beliau sebagai rumah pertama yang saya bantu untuk mengambil kesempatan mengucapkan takziah pada Isterinya Kak Pah dan juga anak-anaknya.

Pelbagai peristiwa berlaku ketika kerja pembersihan rumah mangsa, ada sebuah rumah tu, tak lah besar sangat, masih sebahagiannya belum dibaik pulih, saya terjumpa sebuah bekas berisi barangan kemas, disebabkan berselut, saya hampir membuangnya, tapi terlintas hati nak bukak dulu, rupanya barangan kemas, semuanya emas, berat juga tu, saya jangkakan mungkis ratusan ribu kot, rupanya tuan rumah dah melilau mencari, "Alhamdulillah Ustaz, nasib baik jumpa, akak dah puas mencari" .. nampak kelegaan dan kegembiraan di wajahnya. Almari tempat dia menyimpan barangan kemasnya pecah, bekas itu agak hanyut dan tenggelam dalam selut di penjuru rumah bersama timbunan barangan lain. Masa air naik, dia tak ambil tahu pun pasal barang tu, nak selamatkan diri je, sempat juga saya selitkan tazkirah kepadanya "begitulah kak, walau banyak manapun pun harta kita, berapa mahal pun emas kita, dia tak dapat jadi penolong kita, yang tolong kita adalah Allah swt, masa akak ditimpa banjir, emas akak semuanya tenggelam, lansung tak dapat tolong akak, begitulah kalau kita mati nanti, emas ni tak boleh buat apa-apa kecuali amal dan aqidah kita je yang jadi harta untuk bebaskan diri dari neraka" .. dia angguk "betul Ustaz".

Ada juga yang malu-malu, bila saya sendiri yang bersihkan rumah mereka, "Ustaz gi lah rumah orang lain", ngapa nya?.. tanya saya.."malulah Ustaz, ada ke wakil rakyat dok cuci rumah saya" .. kata dia, saya kata "sekarang tak jadi wakil rakyat dah, saya sekarang adalah Unit Amal", saya nak cuci juga rumah ni" ..dia pun diam. Sebenarnya kalaulah orang memahami betapa antara sebab yang mendatang ketenangan jiwa ialah apabila kita dapat membantu manusia yang sedang kesusahan, nescaya manusia ni tak kan duduk diam apabila melihat saudaranya yang ditimpa kesusahan. "Barang siapa yang membantu orang yang kesusahan, nescaya Allah swt akan melapangkan kehidupannya". Saya dah biasa dengan kerja kasar begini, lagi pun inilah antara kerja Unit Amal, saya kan Unit Amal, dah hampir 25 tahun saya jadi Unit Amal, dari belum kawin sampai sekarang dah 11 anak tetap juga jadi Unit Amal, pastu apa nak hairan ..Unit Amal cuci rumah..biasalah tu..

6 Dis, saya semakin mendapat kekuatan, kerana dua buah surau lain yang turut sama memasak untuk diagihkan kepada mangsa, malahan dua buah bot rakan kami dari Kempadang telah berjaya dibawa ke Sungai Isap, ini memudahkan kami untuk menghantar makanan dan keperluan lain ke Sungai Isap Damai dan juga kawasan-kawasan lain walaupun bukan dalam kawasan saya seperti pedalaman Kampung Badak dan Kg Chendering. Terkadang orang memohon bantuan bukan kerana kawasan tetapi kerana mengenali saya, saya pun ambil sikap tak kisah, selagi ada saya bagi, saya pun tak suka dan tak minat nak simpan hak orang, barang-barang yang banyak ni bukan saya punya, semuanya untuk mangsa banjir. Orang UMNO yang dok kat Kampung saya ni pun datang jugak, bukan UMNO biasa tapi UMNO gred A, dari jauh dah berbau, saya kenal sangat mereka ni, sebab mereka ni sekampung. Keadaan saya pulak semakin sibuk, pimpinan dari seluruh negara datang ke rumah termasuk Dato Sri Presiden dan beliau sempat turut serta berjalan kaki menghantar sumbangan dari rumah ke rumah di Sungai Isap Taman Murni bersama Ust Dato Tuan Ibrahim, Ust Yusof Embong, Ust Suhaimi Saad dan beberapa pimpinan yang lain, rasa bangga gak bila TGHH dok pikul plastik ada gambar saya.

Tak tidur malam dibuatnya, hampir sepanjang masa talipon berbunyi dan tetamu datang samada untuk bertugas ataupun menghantar bantuan dari jauh dan dekat, samada organisasi parti, ngo atau orang perseorangan. Semua PAS Negeri-negeri menghantar bantuan samaada tenaga ataupun sumbangan, juga dari DAP Pahang, DAP Yong Peng dan DAP Teratai, persatuan-persatuan Cina juga datang menghulurkan sumbangan, persatuan pemandu-pemandu bas sekolah dan macam-macam lagi ngo yang datang, entah apa nama pun saya dah tak ingat, yang pasti UMNO tak de. Dengan bantuan surau-surau juga pihak kami boleh menyediakan lebih 2500 bungkus nasi sehari untuk diedarkan. Alhamdulillah juga berkat selama ni berkuliah di Masjid-Masjid dan Surau-Surau, banyaklah Masjid Surau dari seluruh negara menghantar sumbangan begitu juga rakan-rakan termasuk juga rakan FB, bebanan menjadi sangat ringan dek pertolongan orang ramai, hingga ketikanya ruang rumah saya tidak boleh dilalui lansung kerana dipenuhi barangan.

Aduan kekurangan makanan masih berlaku, di SEMSAS ada mangsa yang menghubungi bahawa mereka tidak dibekalkan makanan, saya dimaklumkan lebih 300 orang mangsa dari Sg Isap yang ditempatkan disitu, yang ramainya daripada Seri Damai dan pengurusan disitu diketuai oleh geng UMNO Seri Damai, disebabkan orang Sg Isap bukan orang kawasan tersebut, maka keutamaan diberikan kepada orang Seri Damai, kebiasaannya orang Sg Isap tak dapat apa-apa, Alhamdulillah mereka menghubungi saya dan setiap hari pihak saya menghantar bekalan kesana. Kini saya dah agak bebas bergerak untuk menghantar bekalan, bot dah ada, kenderaan darat pun dah boleh bergerak walaupun trafik masih perlahan, bekalan boleh dihantar mengikut permintaan, tenaga pun dah ramai, anggota Unit Amal pun dah mula bertugas, Ust Saharudin pun dah boleh bertugas untuk membantu saya, banyaklah pusat penempatan yang dapat kami hantarkan bantuan seperti Sg Isap, Chung Ching, SEMSAS, Medan Warisan, SK Tanah Putih, SK Belukar, SK Permatang Badak, Chendering dan juga kawasan-kawasan rumah kampung yang masih terperangkap tiada bekalan makanan.

Kerja-kerja menghantar sumbangan dari rumah-kerumah juga bermula, sebanyak hampir 10 ribu bungkusan telah diedarkan dalam masa 8 hari, namun ada juga yang mengadu tak dapat, saya pun tak boleh berbuat apa-apa sebab mungkin mereka tiada dirumah dan yang menghantar itu bukannya saya, tetapi Unit Amal dari luar, pastinya mereka tidak mahir dengan perumahan disini hingga ada yang tertinggal ataupun tempat yang sama berulang kali. Ada juga insan jenis tamak, dah dapat pun kata tak dapat, ada juga UMNO gred A yang sombong dan tidak mahu menerima sumbangan dari PAS dan ada pulak cerita dari seorang anggota Unit Amal yang saya tugaskan untuk menghantar sarapan pagi, setiap bungkusan ada air mineral, roti saiz besar dan sardin, bila bagi bungkusan dia buka "hari-hari roti, takde makanan lain ke, dah tiga hari asyik roti je, tak nak lah" , sabar je lah, itu hanya kes terpencil, hampir keseluruhannya menerima dengan senyuman dan ucapan terima kasih, berhadapan dengan manusia yang ramai begitulah, kita tak mungkin akan dapat menyempurnakan kehendak orang ramai. Isteri dan anak-anak kita yang hanya beberapa orang itu pun kekadang kita gagal nak puaskan hati mereka, inikan pula ribuan manusia.

Pada 5 Dis, air telah mula menurun, tetapi terlalu perlahan, sms masih bertalu tentang keadaan mangsa-mangsa banjir yang berada di Pusat Penempatan, makanan tak cukuplah, susu bayi tak adalah dan macam-macamlah aduannya yang hanya menambahkan rasa kasihan, namun air masih dalam, bot Unit Amal masih bertugas untuk memindahkan mangsa banjir di Kawasan baru yang dinaiki air, rakan-rakan dari sebelah Kempadang masih gagal untuk menyeberangi banjir yang menutupi jalan untuk sampai ke Sungai Isap bagi membawa bot yang lain. Bungkusan nasi ditambah lagi, kerja-kerja memasak semakin bertambah dan memenatkan, melebihi kenduri kawin, cumanya, Alhamdulillah petugas semakin ramai, ahli-ahli PAS cawangan Seri Damai turut datang membantu terutama muslimat.

Sebelah petang saya menerima panggilan daripada Ust Husni, beliau terperangkap dan berada di tingkat atas rumahnya, antara jelas dan tidak jelas beliau memaklumkan bahawa ada seramai lebih 300 orang mangsa yang berada di Masjid Sungai Damai, dari semalam belum makan. ya Allah, sedihnya rasa, saya dan rakan-rakan segera memasak lagi untuk mereka, setelah siap dibungkus, saya menghubungi rakan Unit Amal untuk menggunakan bot, tapi malangnya mereka berada di Teluk Mahang untuk memindahkan mangsa dan sememangnya bot awam tidak dibenarkan untuk beroperasi oleh pihak bomba pada waktu malam, sementelah lagi, baru sahaja ada dua orang anak beranak yang mati lemas disitu. kami sampai di Permatang Badak seusai solat maghrib, memohon jasa baik bomba, namun sepertinya keberatan, macam-macam alasan, alasannya baik tapi mengecewakan, mujurlah ada seorang lelaki yang baru saya kenali pada malam itu, dia 'lelaki bermulut laser', setelah saya ceritakan padanya, lalu dia segera bertemu dengan pihak bomba, entah apa yang dileterkannya, pihak bomba bersetuju untuk membawa saya kesana, dia tak kenal saya, begitu juga pihak bomba dan saya pun tak pernah kenal mereka.

Kami memunggah nasi kedalam bot bomba, bersama saya juga seorang lelaki yang membawa banyak bekalan makanan, beliau dari K.L ... Beliau membawa makanan untuk Ibu Bapa dan keluarganya yang berada di Penempatan Sg Isap setelah dimaklumkan mangsa menghadapi masaalah dengan bekalan makanan, beliau dah sampai disitu sejak jam 2.00 petang lagi, beberapa kali beliau minta tolong dengan pihak bomba dan pertahanan awam untuk diizinkan bealiau menaiki bot bomba untuk menghantar makanan, tapi hampa. Kami dibawa dengan bot bomba yang besar, tetapi hanya lima orang sahaja yang dibenarkan untuk naik, saya turut naik bersama seorang rakan dan lelaki tersebut, bersama dua orang pihak bomba, bot melalui Permatang Badak, saya bertanya kepada pihak bomba "kenapa melalui jalan ini, jauh, kenapa tak melalui laluan biasa, lebih jelas dan mudah", dia diam dan meneruskan perjalanan. Saya pun diam kerana menganggap bahawa dia dah tahu jalan tu, sebab dia dah dua hari bertugas". Bot besi yang begitu besar bergerak perlahan, sesekali tersangkut pokok-pokok menjalar, hingga ada ketikanya kami terpaksa turun untuk menolak bot.

Agak mengecewakan apabila bot yang dah hampir sampai ke jambatan permatang badak tidak dapat meneruskan perjalanan, saya dimaklumkan kipasnya pecah, terkena jalan, tidak dapat dibayangkan betapa kecewanya saya, terbayang-bayang wajah yang saya kenali, sedang menunggu makanan daripada kami di Masjid Sg Isap Damai. Kami terpaksa bantu pihak bomba menolak bot untuk kembali semula ke Simpang Permatang Badak, tempat mula kami bergerak, hampir satu kilometer kami terpaksa menolak bot besi yang begitu besar, nak patah pinggang rasanya bila ada ketikanya terpaksa mengawal bot agar tidak hanyut bila bertembung dengan arus deras. Sabar dan terus sabar dan terus tolak, akhirnya sampai juga semula ke Jalan Besar, saya diminta agar memohon pertolongan dengan pihak bomba yang lain di Simpang Sungai Isap pula, terpaksa pulak punggah semula makanan dan barang-barang kedalam lori untuk dibawa ke Simpang Sungai Isap.

Pihak bomba bersetuju untuk menghantar dengan bot yang lebih kecil, ketika baru nak memulakan perjalanan, datang pulak sorang Ketua Pemuda Bahagian UMNO, saya lihat dia buat pengarahan pada pihak bomba, bomba pulak sepertinya bekerja untuk dia, saya bagitahu padanya supaya diberikan keutamaan pada saya untuk menghantar makanan ke Sungai Isap Damai, saya ceritakan padanya tentang keadaan mangsa disana yang dah tak makan nasi selama dua hari.."Ok lah YB , YB pergi hantar dahulu", saya pun tak pasti apa akan berlaku jika saya tiada disitu, namun saya dah tak berdaya, cuma arahkan anak buah saya Ust Afif untuk mewakili saya, saya dimaklumkan oleh anak buah saya, bahawa nak sampai ke Masjid Sg Isap Damai pun pihak bomba singgah di tempat lain beberapa kali, hinggakan makan masa hampir sejam setengah untuk sampai ke Masjid Sg Isap Damai, dah lah tolak bot dan punggah semula barang tadi dah makan masa hampir dua jam, sangat menyakitkan hati. Bot bomba, tentera, pertahanan awam, polis berlambak-lambak dalam negeri Pahang, semuanya dibeli dengan cukai rakyat kenapa tak digunakan untuk membantu rakyat di Sg Isap, hinggakan sebiji bot bomba terpaksa buat berpuluh-puluh kerja?.

Begitu juga dengan bekalan makanan, mengapa masih tak mencukupi, apakah pihak tentera, polis atau mana-mana agensi yang memiliki kemudahan untuk memasak, tak boleh nak masak dan dihantarkan ke situ?, kenapa masih mengharapkan pihak JKKK untuk memasak di pusat penempatan dalam keadaan kelengkapan yang agak minima, dah la tu rumah JKKK pun tenggelam air juga, pastinya dia pun kelam kabut juga, pastu pulak sesetengah tu dok pelihara syaitan, hinggakan dalam keadaan begitu pun masih nak berdendam dengan orang PR hinggakan berlakunya sikap dikriminasi. Lebih kurang jam 12 malam, saya terima SMS "terima kasih ustaz, nasi dah sampai, inilah nasi yang pertama kami makan sejak semalam", ngalir jugak air mata lelaki saya, bukannya apa, dok fikirkan kasihan kat anak-anak kecil, cuba kalau kena kat anak-anak kita sendiri, apa perasaan?, kalaulah sekiranya kelambatan dan kelemahan pengurusan banjir ini adalah berpunca dari sikap balas dendam kerajaan kepada PR, apa yang saya boleh katakan "memang mereka ni sepertinya takde hati perut lansung" .......

Pada pagi 4 Dis, saya pulang dari batu 3 dengan mengharung air ke Kampung Seri Damai, sebak dada melihat Masjid Al Fatah yang sebahagian besarnya ditenggelami air, lebih sebab disepanjang berjalan kaki melihat ribuan manusia berada dijalanan, ada yang menangis, ada yang kelihatan tenang, ada yang kelihatan tension, pelbagai wajah kelihatan. Saya sempat bertanya dengan beberapa orang "kenapa tidak berada di penempatan" ada yang menjawap "dari semalam tak dapat makan-makan lagi, sebab tu mereka keluar juga, moga-moga dapat cari kedai untuk membeli makanan", tapi malangnya semua kedai tutup, kelihatan semuanya mundar mandir, ada juga yang memang dihantar ke situ kerana pusat penempatan penuh, menunggu arahan dari pihak bomba, kasihan sungguh ...akhirnya saya sampai juga kerumah dengan menumpang sebuah motorsikal di Permatang Badak, tiada apa difikirkan kecuali saya mesti segera membantu.

Saya tidak memikirkan untuk melawat pusat penempatan, kalau saya pergi dengan tangan kosong hanya akan menambahkan kesedihan sahaja, apatah lagi banyak sms yang diterima, mereka mengadu kelaparan, tidur atas simen, anak-anak tiada pampers dan macam-macam. Bagi saya, saya mesti cuba selesaikan apa yang penting dahulu, mereka lapar, anak-anak kecil kelihatan menangis mungkin kelaparan, tak berguna kalau saya hanya sibuk berkeliaran di Pusat Penempatan untuk tunjuk muka, tetapi hanya sekadar jual muka semata-mata tapi tak dapat menolong, lebih baik saya berbuat sesuatu yang dapat ringankan beban mereka. Dua orang pembantu yang mengikuti saya kata "nanti apa kata orang, kalau ustaz tak pergi pusat penempatan" .. saya kata "takpe, kita buat yang penting dulu dan buat sesuatu kerana Allah swt, bukan manusia, yang penting ikhlaskan diri, nanti Allah swt sendiri akan bagitahu kepada mereka". Kalau sekadar nak tunjuk muka, baik saya berdiri je kat tepi jalan, simpang masuk ke Sg Isap tu, tapi apa kerja pun tak jadi, dah la rakan-rakan jadi mangsa banjir, takkan saya yang mampu bergerak dan mengatur kerja, nak tercegat je, konon tunjuk muka .. rasanya kalau sekadar nak tunjuk muka je kat tepi jalan, sama je taraf saya dengan tiang letrik kat tepi jalan Sungai Isap tu, tercegat je, tapi takde faedah lansung.

Tanpa bertangguh sesampainya di rumah saya segera ke Pasar Ikan Jaya Gading, Alhamdulillah jalan kerumah saya telah boleh dilalui, agak menghairankan sebenarnya, sebab kebiasaannya air banjir di Kampung saya agak sukar untuk surut, tetapi kali ini, ianya surut dalam masa sehari, ini memudahkan saya untuk berulang alik kepasar. Saya kerahkan seluruh keluarga saya untuk turut membantu, juga Ustaz-ustaz kat Darul Fikri, kami memasak sebanyak yang boleh, selesai memasak kami hantarkan kepada penghuni jalan di Sungai Isap, sedihnya bila lihat mereka berebut-rebut, kemudian masak lagi, hantar lagi, masak lagi, hantar lagi, masak lagi tak henti-henti hingga malam, hantar sebanyak mungkin makanan yang boleh. Lauk tak kira dah, asalkan boleh alas perut. Bantuan masih belum datang, gunakan segala duit yang ada untuk beli barangan basah, panggilan talipon dari seluruh negara hampir menyebabkan saya tak boleh berbuat apa-apa, kerja nak jawap talipon je, tangan kanan pegang senduk, tangan kiri pegang talipon, tak jawap tak boleh, kerana itulah cara untuk saya dapatkan bantuan luar.

Saya mencuri ruang masa untuk menghubungi sahabat-sahabat seluruh negara untuk mendapatkan bantuan, disamping saya update perkembangan semasa dalam FB, Alhamdulillah bermula dari petang 5 Dis, bantuan mula datang dan mencurah-curah setiap hari, rombongan yang pertama datang menghantar bantuan ialah daripada Temerloh. Ma'had Tahfiz Darul Fikri menjadi sangat sibuk selepas itu dengan kehadiran ratusan petugas dan kenderaan keluar masuk untuk menghantar bantuan makanan dan sebagainya. Sms masih lagi bertalu dengan aduan dari pusat penempatan terutama di Sungai Isap, Tanah Putih dan SK Chun Ching, semua peti undi di tempat ini telah dimenangi oleh PAS pada PRU yang lalu. Terlalu banyak aduan atas sikap diskriminasi ketua kampung dan JKK yang mengetuai pusat penempatan, saya akan dedahkan pengakuan mangsa nanti. Begitu juga dengan jentera kerajaan yang terlalu maksima untuk membantu mangsa dalam banjir yang begini besar, apakah ini adalah balas dendam terhadap kawasan-kawasan yang dikuasai oleh PR ?...

Pada pagi 3 Dis, saya dah rakan-rakan Unit Amal Kuantan termasuk Ayah Ngah (Imam Masjid Al Fatah) memulakan kerja-kerja memasak, jentera PAS Tanjung Lumpur kebanyakkannya sudah tidak dapat bersama kerana rumah mereka telah dinaiki air terutama yang tinggal di Sungai Isap dan Tanah Putih, ada sebahagian dari mereka telah berpindah ke Pusat penempatan mangsa banjir, tak mungkin mereka dapat membantu saya, jalan untama ke Rumah saya pun dah dinaiki air ke paras pinggang, namun saya keluar juga mengharung air ke Masjid Al Fatah untuk bersama dengan Unit Amal memasak untuk mangsa banjir. Sewaktu kami mula memasak air diperkarangan Masjid Al Fatah hanya separas buku lali, air begitu cepat naik, hinggakan api dapur gas yang digunakan untuk memasak terpadam beberapa kali akibat dinaiki air, bila padam kami alas dengan batu, terpadam lagi, alas lagi, entah berapa kali terpadam dan kami alas lagi dengan batu sehinggalah siap membungkus lebih kurang pukul 3.30 petang, ketika itu air didalam Masjid Al Fatah telah pun hampir mencecah paras pinggang. Hari tu kali pertama saya solat zohor dalam air bersama Ust Yusof Embong (Tim Pesuruhjaya PAS Pahang)

Saya dan rakan-rakan menghantarnya ke penempatan Sekolah Sg Isap Taman Murni dengan menaiki bot, saya terus ke kantin sekolah, bertemu dengan Dato Tengku Zul (calon BN yang menentang saya waktu PRU 13 baru ni), kami berbual seketika, bertanya khabar dan perkembangan semasa berkaitan banjir, mungkin beliau adalah ketua operasi penempatan mangsa banjir, saya balik dan berjanji untuk membantu menghantar bantuan makanan ke Pusat tersebut. Selesai menghantar makanan, kelihatan air semakin naik dengan mendadak, hari semakin malam, kebetulannya pulak malam tersebut air pasang besar, saya minta Ust Saharudin menghantar saya balik, bimbang juga kat Isteri dan anak-anak yang masih kecil, namun jalan kerumah saya telah dipenuhi air hingga keparas dada dengan arus yang sangat deras, pihak bomba tidak membenarkan sesiapapun melalui jalan tersebut, memang begitulah keadaan di Kampung saya hampir setiap tahun. Talian talipon pulak agak terganggu, bila tanya isteri keadaan dirumah, entahlah dengar tak dengar, bunyi macam ok jer, saya pun berpatah balik, lupakan soal mereka.

Malam tu saya tinggal di Pondok Pemuda Al Kalthumiah, bt 3, panggilan talipon hampir tak henti-henti dari rakan-rakan jamaah, terutama dari Sungai Isap, ada yang terperangkap, ada yang minta tolong ambil mereka dan macam-macam lagi, untuk berjalan kaki ke Sungai Isap dah tak boleh, bot yang digunakan oleh Unit Amal terpaksa pergi membantu mangsa, bukannya sekejap, apatah lagi di tengah malam yang gelap diiringi pula oleh hujan lebat, jalan dah terputus, rakan-rakan dari Kempadang dan sebelah Tanjung Lumpur tidak dapat membantu kerana terputus hubungan, Tanjung Lumpur pula dinaiki air pasang, Sg Soi dan Kempadang pun dinaiki air juga, buntu juga saya dibuatnya untuk mendapatkan tenaga membantu saya. Semua jalan untuk ke Kuantan terputus, sedihnya bila baca sms rakan yang mengharapkan pertolongan, tiada apa yang boleh saya lakukan dalam keadaan begini kecuali perbanyakkan berdoa. Tamparan hebat bagi saya bila semua jentera PAS dan Unit Amal tidak dapat membantu saya kerana kesemua rumah mereka telah dinaiki air termasuk rumah Ust Saharudin (Pengarah Jab Amal Negeri), beliau juga berpindah, bawa lari isteri dan anak-anaknya, saya terputus hubungan dengannya selama dua hari disebabkan tiada line talipon, saya pun tak tahu beliau dimana, entahkan hidup atau mati.

Malam tu tak lena tidur, namun dek keletihan terlelap juga seketika di Pondok Pemuda, tapi tak boleh lama, baru nak terlelap, air naik membasah tubuh, lari pula ke tempat lain, pun serupa juga, akhirnya dah tak de tempat boleh tidur, tunggu je la sampai pagi sambil memikirkan apakah tindakan yang akan dibuat esok , saya menghubungi pihak bomba dan polis untuk bertanya tentang perkembangan semasa, namun takde jawapan lansung, kecewa juga saya dibuatnya. Saya mengharapkan dalam keadaan begini sepatutnya pihak keselamatan 'all out' untuk membantu rakyat, dengan segala kemudahan yang mereka ada hasil dari cukai rakyat, mereka boleh gunakan segala jenis kenderaan darat, air dan udara untuk membantu rakyat, bukannya selalu pun, apalah salahnya gunakan helikopter untuk selamatkan mangsa yang terperangkap dan mengapa dalam keadaan banjir yang begini besar, bot yang digunakan untuk membantu mangsa hanya boleh dibilang dengan jari sahaja, dah habis ke bot dalam negeri Pahang ni, saya sempat bertanya kepada anggota bomba dan pertahanan awam, kenapa hanya sebanyak ini sahaja bot yang digunakan?, jawapannya 'tiada arahan menyeluruh' , jika benar tiada arahan menyeluruh ertinya kerajaan tidak all out untuk membantu mangsa, kerajaan apakah ini ........

Musim tengkujuh dah mula berlabuh, memang saya agak risau juga, takut-takut banjir besar akan berlaku, rupanya apa yang saya bimbangkan benar-benar terjadi. Saya dan Unit Amal Kuantan sememangnya dah menubuhkan jawatankuasa untuk persiapan menghadapi kemungkinan banjir, memang setiap tahun pun kami begitu semenjak tahun 2001 lagi, selepas banjir besar di Sungai Isap. Masa tu memang kelam kabut dibuatnya, kami tiada persediaan, sebab tak pernah berlaku dan lansung tak terduga ianya akan berlaku di Sungai Isap, saya memegang jawatan sebagai ketua Dewan Pemuda PAS Kaw Paya Besar, masa tu Sungai Isap berada di dalam DUN Penur yang dimenangi oleh PAS, banjir naik dengan mendadak, rumah saya di Kampung Seri Damai juga dinaiki air separas pinggang, namun bila dengar keadaan yang buruk di Sungai Isap, saya segera turun untuk membantu.

Air mula naik sebelah pagi, saya sampai di Taman Guru hampir waktu asar, orang dah ramai kat Masjid Al Hidayah Batu 5, semua mereka belum makan sejak pagi, saya dan beberapa orang rakan dok bincang macamana nak masak, maklum tiada persediaan, nak pergi beli makanan bukannya senang, dalam keadaan jalan dah dipenuhi air, kereta pulak jem dan banyak yang tersangkut tengah jalan, agak sukar nak pergi, nak jalan kaki, jauh la pulak, nak menghala ke Kuantan dah tak boleh, dalam keadaan begitu saya ternampak sebuah ambulan, saya menahannya dan minta tolong dengan pemandu ambulan supaya bawa saya ke pasaraya di Taman Tas untuk membeli bahan makanan, agak lucu juga, saya beli mee hon, dapur, gas, kuali dan bahan-bahan memasak dengan menaiki ambulan, masa balik dari pasaraya, pemandu memasang siren kecemasan agar kami cepat sampai, kami memasak di Markas Taman Guru, walaupun air dah naik tapi kami tetap juga goreng mee hon "mee bodo" je, kasihan kat orang, terutama kanak-kanak yang dah lapar.

Keadaan yang hampir sama juga berlaku pada banjir 2013 baru-baru ni, apa yang berlaku diluar jangkaan, saya tak menduga banjir kali ini begitu besar dan cepat, dah la tu, meliputi pulak seluruh Kuantan, hingga melibatkan hampir semua rumah anggota Unit Amal dan jentera PAS Kuantan. Pada 2 Dis baru ni, saya sepatutnya berkuliah di Jerantut, saya bertolak ke Jerantut lebih kurang jam 5.30 petang, ketika itu hujan lebat, hati sentiasa berdebar-debar takut berlaku banjir, ketika saya sampai di Gambang, melihat hujan begitu lebat dan tidak henti-henti saya mengambil keputusan untuk berpatah balik. Saya pulang kerumah untuk solat maghrib dan menukar pakaian, terus ke Sg Isap dan memang betul, apa yang saya resah kan betul-betul terjadi, air dah mula melimpah masuk kedalam rumah terutama di Sg Isap Damai, malam tersebut saya dan rakan-rakan sempat untuk membantu 2 keluarga di Sg Isap Damai untuk berpindah.

Setelah itu saya ke Tanah Putih untuk meninjau keadaan disana, Alhamdulillah sahabat-sahabat pemuda dan Unit Amal bertindak pantas untuk mengawasi jalanraya agar kenderaan melalui jalan alternatif kerana jalan di Tanah Putih sebelum jambatan Sungai Kuantan telah dipenuhi air dan tidak selamat untuk dilalui, saya turut sama membantu sehingga tengah malam, saya , Ust Sahrudin (pengarah Jab Amal Negeri Pahang) dan anggota Unit Amal Kuantan berkumpul pula di Masjid Al Fatah untuk perbincangan persiapan seterusnya sehingga lah kami segera ke Kg Kurnia kerana telah dimaklumkan air naik dengan mendadak disana, kami sempat membantu memindahkan sebuah keluarga ke PASTI Al Fatah .. hampir pagi barulah kami pulang kerumah masing-masing. Pada esoknya 3 Dis seawal pagi kami telah berkumpul di Masjid Al Fatah untuk memulakan kerja-kerja memasak setelah dimaklumkan telah ramai mangsa yang berpindah ke penempatan mangsa banjir, tiada lain yang difikirkan kecuali kebimbangan apa yang berlaku pada tahun 2001 itu berulang, takut mangsa kelaparan, kalau masa tu mungkin saya tidak dipersalahkan, cuma mungkin rasa bersalah kalau tak membantu, tetapi 2013 saya bukan lagi ketua pemuda tapi saya adalah YDP PAS Kuantan yang juga sebagai ADUN, saya mesti berusaha sedaya upaya untuk membantu rakyat dan pengundi saya.

Masa yang berbaki beberapa jam untuk menunggu pagi 3 Dis lansung tidak melelapkan mata, kalau dulu, waktu muda-muda, masa sedang segak, banjir adalah kegembiraan bagi saya, maklum takde tanggung jawap, apa yang saya fikirkan ialah mengatur strategi untuk menahan pukat, memasang 'taut', meredah hutan memburu ikan baung dan tapah kat dalam hutan belakang rumah saya. Bila musim banjir memang lumayan, seronok dapat ikan sungai, besar-besar pulak tu, orang kena banjir, itu dia punya pasal, saya tak fikir pun pasal orang, maklum 'tengah tolol'. Bila ingat-ingat 'bodohnya aku', serupa je macam memerang yang dok cari ikan sampai lupa kesusahan orang lain, sedangkan kalau saya susah bukan ikan-ikan tu yang menolong saya, malahan manusialah yang akan menolong saya, doa dan solatkan jenazah saya bila saya mati, cari ikan tak salah, tapi kalau sampai tak tolong orang dalam kesusahan rasanya susah sikit nak menjawap di hadapan Allah swt bila mati nanti, apatah lagi kalau dah jadi wakil rakyat, terpaksalah lupakan semua kesukaan saya, sebab PAS Tanjung Lumpur menang bukan dengan sebab undi dari ikan tapi rakyat.

(*)  Ustaz Rosli ialah Adun Tanjung Lumpur, Kuantan.

Tokoh wartawan: PM pernah janjikan kebebasan akhbar

Posted: 22 Dec 2013 04:27 AM PST

 
MALAYSIA KINI



     
 
Tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin membangkitkan semula janji yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberi peringatan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung tindakan keras pihak kerajaan ke atas satu akhbar mingguan The Heat.

Kadir berkata, Najib dalam satu tulisan di laman web rasmi perdana menteri antara lainnya menyebut mengenai reformasi, termasuk menamatkan Ordinan Darurat, ISA dan paling khusus adalah pemansuhan sekatan ke atas lesen penerbitan.

Namun, Kadir memerhatikan bahawa tindakan yang dikenakan ke atas The Heat, yang digantung permit penerbitan sehingga satu tarikh yang tidak dipastikan, menunjukkan percanggahan pada janji Najib.

"Dengan mengarahkan penggantungan (permit) The Heat, Menteri Dalam Negeri mungkin terlupa (atau tidak tahu) bahawa PM membuat janji yang kuat untuk menyokong kebebasan.

"Apa pun, PM juga pernah memberitahu bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir," kata Kadir dalam tulisan di blog kadirjasin.blogspot.com.

Tambahnya, tindakan yang dikenakan ke atas The Heat menunjukkan para pemimpin politik tersebut masih belum mendapat pengajaran dari tekanan yang dilakukan ke atas penulis blog ketika pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Katanya, para pemimpin politik antara lainnya menggelarkan penulis blog yang giat mengkritik kerajaan pada masa itu sebagai golongan "goblok" yang bermaksud "bodoh", dan juga "penembak curi".

Ia secara tidak langsung memberi publisiti kepada blog berkenaan apabila serangan tersebut dilaporkan secara meluas di media yang dikawal kerajaan, kata Kadir.

Beliau menimbulkan perkara itu bagi membayangkan nasib akhbar The Heat – yang baru menerbitkan beberapa keluaran – dan turut menyebut mengenai kesan Operasi Lalang 1987 ke atas akhbar pada masa itu.

Katanya, akhbar berbahasa Melayu Watan gulung tikar dan gagal dihidupkan semula selepas dikenakan tindakan serupa oleh kerajaan pada waktu itu.

Kadir turut mempertahankan haknya untuk mengritik pentadbiran negara, ekoran teguran dari rakan-rakan dan pembaca blognya agar agar berlembut apabila menulis mengenai Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

"Saya beritahu mereka, memandangkan kita adalah rakyat, tentu ada kerajaan. Rakyat memilih kerajaan dan membayar cukai.

"Maka ia adalah hak dan keistimewaan untuk memberitahu kerajaan apa yang kita rasakan," katanya lagi yang masih tertanya-tanya mengenai sebab sebenar tindakan ke atas akhbar The Heat.

Perwakilan gesa Najib contohi Mandela

Posted: 22 Dec 2013 04:24 AM PST

 

 

Seorang perwakilan MCA menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mencontohi pejuang anti-apartheid Nelson Mandela dengan menghentikan dasar berasaskan kaum.

Wakil Kedah Lee Yean Wang berkata dasar afirmatif bawah Dasar Ekonomi Baru boleh dijustifikasi apabila ia diperkenalkan pada 1970 kerana kadar kemiskinan di kalangan bumiputera pada masa itu melebihi 60 peratus, bukan seperti masa kini.

Berucap ketika perbahasan di mesyuarat agung tahunan MCA hari ini, beliau memulakan ucapanya dengan meminta para perwakilan berdiri beberapa ketika untuk memperingati Mandela.

"Hari ini kadar kemiskinan di kalangan bumiputera bawah 5 peratus. Adakah kita perlu mempertahankan 95 peratus yang lain dengan dasar yang tidak adil ini disebabkan yang 5 peratus itu? Saya rasa tidak perlu.

"Kita baru saja memperingati Mandela. Saya saya perjuangan menentang diskriminasi kaum ini tidak harus berhenti dengan kematiannya, jadi saya seru pemimpin kita untuk menyampaikan perkara ini kepada perdana menteri.

"Saya harap satu hari nanti, Najib akan menghentikan dasar berasaskan kaum ini dan menjadi seperti Mandela," katanya.

PERKASA mahu ukur prestasi PM bantu Melayu

Posted: 22 Dec 2013 04:21 AM PST

 

 


NGO pendesak Melayu, PERKASA mengumumkan untuk menubuhkan mekanisme untuk mengukur prestasi perdana menteri dan jemaah menteri dalam mentadbir negara dan membela kepentingan orang Melayu

Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali berkata, indeks berkenaan akan memberi petunjuk kepada masyarakat sekiranya tindakan para pemimpin tersebut merugikan orang Melayu.

"Saya nak tanya siapa hendak menentukan KPI (petunjuk utama prestasi)perdana menter dan timbalan perdana menteri dan menteri-menteri Kabinet?

"Saya hendak akhbar laporkan, KPI PM, TPM dan menteri-menteri Kabinet akan ditentukan PERKASA!

"Kita akan laporkan kepada rakyat dasar-dasar yang merugikan orang Melayu dan kenapa tiada tindakan terhadap orang yg menghina Islam," kata Ibrahim dalam persidangan agung tahunan kali keempat pertubuhan itu di ibu negara pagi ini.

Tambahnya, PERKAS juga akan menegur tindak-tanduk dan polisi Umno dan BN secara terbuka apabila mengambil kira  situasi ekonomi negara yang disifatkkanya "berada dalam keadaan yang membimbangkan".

"Macam-macam (harga barang) naik dan keadaan ekonomi negara kalau kita baca statistik berada dalam keadaan yang cukup membimbangkan.

"Dulu kita tak tegur secara terbuka kerana kita takut jadi tarik rambut dalam tepung, tepuk berselerak.

"Sekarang kita akan tegur secara terbuka tak ada segan silu - sama ada Umno sensitif atau tidak - sebaik sahaja selesai perhimpunan agung kali ini.

"Dulu saya kawal mulut saya, sebab kita tak mahu tepung berkecai, tetapi kali ini kita akan bersuara," kata Ibrahim

Rafizi ke Hong Kong awal Januari siasat akaun Gani Patail

Posted: 22 Dec 2013 04:08 AM PST

Ainudin Othman

rafizi_HK



PETALING JAYA : Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli akan ke Hong Kong awal Januari 2014 untuk memeriksa akaun bank Peguam Negara (AG), Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ini berikutan dakwaan dibuat dalam akuan bersumpah (SD) bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim bahawa wujud unsur rasuah dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Puteh hingga negara kalah di dalam tuntutan tersebut.

"Saya akan ke sana pada awal tahun hadapan (Januari) memandangkan sekarang penduduk Hong Kong sibuk membuat persiapan Krismas.

"Masa yang sesuai dalam minggu pertama atau kedua Januari," kata Rafizi kepada Keadilandaily ketika ditemui di ibu pejabat KEADILAN.

Katanya, beliau akan tetap ke sana walaupun tidak mendapat surat kuasa daripada Gani.

"Saya sudah hantar surat rasmi kepada beliau pada 19 Disember lalu dan hanya menunggu jawapan daripada pihak beliau berhubung syarat-syarat yang saya tetapkan.

"Jika tidak mendapat surat kebenaran daripada beliau, saya akan bekerjasama dengan pihak di Hong Kong bagi memastikan urusan siasatan ini berjalan lancar," ujarnya.

Menurut Rafizi, beliau sedang mencari masa yang sesuai dengan jabatan dan individu yang terbabit di sana.

"Siasatan melibatkan beberapa pihak dan salah satunya ialah 'Security of Justice'," katanya.

LFL: Ada beratus pendakwaraya, kenapa AG lantik Shafee?

Posted: 22 Dec 2013 04:06 AM PST

KEADILAN DAILY



KUALA LUMPUR: Lawyer for Liberty (LFL) menggesa kerajaan menarik lantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai ketua pendakwaraya dalam kes rayuan pembebasan Fitnah II, kerana pejabat Peguam Negara (AG) mempunyai ratusan pendakwaraya.
ERIC_PAULSEN - Copy
"Ini mengukuhkan persepsi orang ramai bahawa pejabat AG berpihak dan bertindak atas arahan Umno untuk mendakwa pembangkang dan mencipta tuduhan politik.

"Pejabat AG mempunyai ratusan timbalan pendakwaraya yang berkelayakan. Shafee takkan mampu memberikan perbicaraan yang adil. Lantikan Shafee sebagai pendakwaraya mesti ditarik semula," kata jurucakap LFL, Eric Paulsen (gambar).

Kata Eric, Shafee adalah peguam Umno yang terkenal dan muncul di mahkamah sebagai penasihat dalam banyak kes melibatkan kepentingan Umno.

Shafee juga menjadi peguam kepada bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, Perdana
Menteri Najib Razak, isterinya Rosmah Mansor dan musuh-musuh politik Anwar.

Malah, Shafee sendiri terlibat dalam beberapa perbicaraan melibatkan kes fitnah berprofil tinggi yang difailkan Anwar.

LFL

"Tujuan dakwaan jenayah bukannya untuk menyabitkan sesuatu tuduhan, tetapi meletakkan perbicaraan dengan adil, bebas dengan mengemukakan semua bukti kepada mahkamah sebelum sesuatu keputusan dibuat.

"Manakala pendakwaraya bukan menentukan kesalahan, melainkan memastikan seseorang tertuduh menerima perbicaraan dengan adil," kata Eric.

Berdasarkan pelbagai fakta didedahkan kata Eric, Shafee tidak boleh melaksanakan peranannya sebagai pendakwaraya tanpa curiga, prejudis dan campur tangan politik.

"Tarik semula pelantikan Shafee sebagai pendakwaraya dari mengetuai pejabat AG dalam kes ini," tegas Eric.

Hampir 130,000 muflis bukti kegagalan BN

Posted: 22 Dec 2013 04:02 AM PST

Oleh: Ain Ismail


KUALA LUMPUR : Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata kelemahan dasar kerajaan menjadi faktor utama hampir 130,000 diisytiharkan muflis dalam tempoh tujuh tahun.

Beliau berkata masalah kewangan akibat peningkatan gaji yang perlahan, kos sara hidup yang tinggi dan beban hutang isi rumah menjadi faktor ramai individu diisytiharkan bankrap.

Shamsul_AMK

"Mereka yang terperangkap adalah kelas pertengahan berpendapatan isi rumah 4,000 ke atas yang menjadi kelompok paling ramai muflis dan mereka tidak mendapat bantuan dari kerajaan.

"Kelas pertengahan ini yang mengunakan kad kredit, ada yang pinjam along kerana pendapatan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan asas,"

"Pada masa sama kerajaan terus membebankan rakyat dengan mengumumkan siri kenaikan harga barang, tol, minyak dan lain-lain. Keadaan ini menyumbang iklim ekonomi yang tidak seimbang dengan pendapatan dan perbelanjaan rakyat," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil.

Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak minggu lalu mengumumkan seramai 129,640 diisytiharkan muflis dalam tempoh 2005 hingga 2012. Daripada jumlah itu, sebanyak 68,299 adalah individu berusia di bawah 45 tahun.

Antara faktor menyebabkan muflis adalah kegagalan membayar balik pinjaman sewa beli kenderaan, pinjaman perumahan, pinjaman peribadi dan perumahan.

Menurut Shamsul, kerajaan tidak mempunyai idea baru untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan gagal menguruskan wang rakyat hingga berlaku ketirisan saban tahun.

"Di negara lain, cukai yang tinggi diterjemahkan kerajaan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur seperti pengangkutan awam untuk meringankan ekonomi rakyat.

"Keadaan ini tidak berlaku di Malaysia apabila harga kereta mahal dan rakyat tiada pilihan. Kerajaan juga tidak ada mekanisme untuk mengawal harga rumah yang semakin tinggi," ujarnya.

Justeru beliau menyeru kerajaan mengambil langkah mengatasi masalah ini seperti membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mebantu rakyat yang berdepan masalah hutang.

Malah, institusi zakat juga, katanya perlu diperkasakan bagi membantu golongan itu yang dikategori sebagai asnaf.

GST lebarkan jurang pendapatan seperti kapitalis AS- Anwar

Posted: 22 Dec 2013 04:00 AM PST

Oleh: Ainuddin Othman


 KUALA LUMPUR - Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu rakyat negara ini mengalami nasib sama di Amerika Syarikat di mana jurang ekonomi yang kian melebar antara golongan kaya dan miskin.

Katanya, Pakatan Rakyat membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bukan kerana sistem cukai itu , tetapi kerana ia lebih memihak kepada tauke-tauke besar dan kroni.

Anwar

"Di antara kecaman kuat terhadap sistem kapitalis di Amerika Syarikat ialah kerana pertumbuhan ekonomi itu memberi manfaat kepada golongan kecil.

"Saya ke sana baru-baru ini dan meneliti laporan terkini 2010 hingga 2012. Kekayaan yang bercambah itu mencecah trilion ringgit tetapi dimanfaatkan oleh kurang dari satu peratus rakyat di sana," katanya ketika berucap semasa pelancaran kempen 'Faham GST – Tolak GST' di Kelab Sultan Sulaiman, Kg Baru malam tadi.

Kempen berkenaan turut menampilkan Presiden Pas, Datuk Seri Abd Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, pimpinan Pakatan yang lain beserta beberapa NGO.

Abdul Hadi dalam ucapannya mengatakan GST sebagai zalim  kerana dikenakan kepada semua golongan rakyat sama ada kaya atau miskin.

"Islam menetapkan zakat ini kena pada orang yang kaya dan berada untuk diagihkan kepada mereka yang tidak berada.

"Percukaian dalam Islam yang dikenakan termasuk kepada orang Islam menetapkan sekiranya sumber negara sudah cukup, maka cukai dihapuskan," tegasnya.

Sementara itu, Lim Kit Siang pula membidas pihak yang mengatakan negara akan muflis jika GST tidak dilaksanakan.

"Apa yang menyebabkan suatu negara muflis bukan sebab ada cukai seperti GST atau tidak tetapi kerana negara itu korup, rasuah, banyak pembaziran, keborosan dan mempunyai kerajaan yang tidak baik," katanya.

PM,dengarlah isi hati kami ini...

Posted: 22 Dec 2013 03:57 AM PST



Oleh Mohd Zaki Zakaria



Suka saya mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib berkaitan sikap kerajaan BN berhemah berbanding cara PR yang lebih mementingkan tindakan populis dalam polisi kerajaan mereka.

PM menegaskan 1.4 juta penjawat awam adalah tulang belakang dan teras pentadbiran mesti memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan supaya persepsi kepada kerajaan lebih meyakinkan.

Pada saya, penegasan ini tidak akan mendorong penjawat awam memberikan perkhidmatan terbaik apalagi memaksa persepsi rakyat untuk mengatakan kerajaan BN amat berhemah dan bagus.

Secara sedar ataupun tidak, penjawat awam juga merupakan rakyat yang hanya diberikan tugas untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Dasar ini ditentukan oleh PM.

Oleh itu, andainya PM ingin meningkatkan mutu perkhidmatan penjawat awam dan mengubah persepsi rakyat ke arah yang lebih baik, maka PM wajib menggariskan dasar-dasar yang bagus untuk rakyat dan dilaksanakan oleh penjawat awam.

Akhirnya, penjawat awam juga merasa selesa dengan dasar-dasar tersebut. Barulah timbul rasa menghargai antara penjawat awam dan rakyat kepada kerajaan.

Lalu apakah dasar yang dilaksanakan oleh PM tidak bagus untuk rakyat? Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan amat sinis maksudnya.

Apa yang saya fahami sekarang, rakyat memang didahulukan untuk menanggung segala bebanan kerajaan sedangkan pencapaian kemajuan dan ekonomi negara diutamakan tanpa menuntut pengorbanan PM dan menteri-menteri.

Bila negara mengalami masalah kewangan, maka rakyatlah terdahulu perlu mengorbankan poket mereka. Rakyat wajib berjimat cermat. Rakyat dimomokkan dengan kewajipan berjimat cermat.
Sekiranya boros, umpama berkawan dengan syaitan. Sedang PM dan pak menteri terus mewah dengan harta negara bagaikan harta sendiri.

Atas nama rasionalisasi subsidi, harga minyak dinaikkan, harga barang-barang melambung, caj elektrik naik, harga tol juga ingin dinaikkan lagi dan entah apa lagi harga yang akan meningkat.

Yang pasti, penjawat awam, penjawat swasta dan rakyat marhaen sudah lama menahan penderitaan kesusahan ini. Padahalnya, masalah kewangan Negara akibat salah urus oleh PM sendiri.

Ada yang mencabar pak-pak menteri membelanjakan hanya RM2,00 dalam sebulan tanpa mengambil gaji dan berbagai elaun lain yang angkanya belasan ribu. Rasailah keperitan yang kami rasakan.

Cukupkah RM2,000 ini untuk membayar sewa flat, membeli keperluan isi rumah, membayar sewa beli kereta, petrol, tol, bil-bil, susu, pampers dan kos asuhan anak-anak? Bagaimana pula rakyat yang bergaji kurang RM2,000?

Apakah kami boleh menggores kad kredit bila gaji kami tak cukup atau kami boleh meluluskan peruntukan tambahan atau kami boleh mengisi borang claim seperti pak-pak menteri?

Hemat saya, lebih baik kerajaan yang populis dari kerajaan berhemah PM kerana yang populis itu lebih mementingkan kebajikan rakyat. Ia takkan popular kalau rakyat terbanyak benci dan rakyat hanya sayang bila kerajaan menjaga kebajikan mereka.

Sudah terbukti kerajaan populis PR tidak bankrap, malah lebih cemerlang dari kerajaan berhemah PM yang sebelumnya. Penjawat awam pula akan melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan lebih baik bila mereka merasakan dasar tersebut untuk kebaikan mereka jua. Kepada PM, dengarlah isi hati kami rakyat ini.

(*) Penulis ialah Ketua Unit Media Baru, Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Matinya suara mahasiswa pasca PRU-13: Dah jadi UMNO?

Posted: 22 Dec 2013 03:49 AM PST

 Oleh: Hafiz Zainuddin

maxresdefault


BAKAR diri, Boazizi, graduan itu sudah mati. Dari satu pekan kecil bernama Sidi Bouzid, api kemarahan masyarakat tercetus dan merebak hingga runtuhnya empayar Presiden Zainal Abidin Ali pemerintah Tunisia. Debu-debu suci Sahara menjadi saksi letusan Arab Spring sampai singgah ke negara Timur Tengah yang lain. Itu kisah benar dicatat sejarah seorang manusia, anak muda yang nekad dan kecewa, memanifestasikan pembebasan.

Malaysia? Walaupun sebelum ini ada yang terlalu optimis terhadap gerakan rakyat yang disebut-sebut Malaysian Durian, ia jauh untuk menjadi mampu. Malaysian Durian gagal. Yang tinggal hanya durian Bota timbang kilo laku terjual di Pasar Pudu.

Kebangkitan anak muda, mahasiswa atau yang selalu Hishamuddin Rais, tokoh NGI itu petik "Dunia ini milik anak muda akhirnya.." tidak kesampaian.

Sebabnya mudah, anak muda Malaysia, graduan IPTA dan IPTS sibuk menamatkan pengajian demi sebiji kereta dan kahwin cepat. Wacana hanya tinggal wacana, bila timbul polemik, wacana lagi.

Maka, berwacanalah sampai mati dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap jadi entiti 'maha kuasa'.

Apa lagi Pakatan Rakyat boleh buat? Apa lagi mahasiswa, anak-anak muda pemimpin masa depan ini mampu buat? Siapa ikut kata siapa, siapa buat kerja siapa? Perlukah begitu? Atau slogan idealisme mahasiswa sudah lama masuk lombong?

Bukan anarkisme?

Sekitar tahun 1970-an negara memiliki ramai aktivis siswa yang handal. Baik pidato, baik tindakan. Perjuangan mereka jelas demi masyarakat miskin lagi tertindas, menolak hegemoni pembodohan pemerintah dan menjadi contoh buat zaman.

Memang, kita tidak mahu negara jadi kacau dengan huru-hara yang akhirnya menjadi laluan mudah situasi anarkisme.

Kewujudan anarkisme dalam tempoh yang sedikit pun sudah cukup menjadikan Bukit Bintang lengang. Kedai-kedai Arab tutup, operasi rumah urut tergendala dan taukeh di Low Yat boleh bungkus. Tak siapa mahu menyusahkan sesiapa.

Pasca 2000 lebih buruk daripada tahun 1970-an. Masyarakat dibelit dengan pelbagai kemelut ekonomi dan penindasan secara melampau seperti kemiskinan, kenaikan harga barang, GST, mangsa salah guna kuasa, monopoli dan rasuah. Negara makin dipenuhi miskin bandar, miskin muda bandar dan keruntuhan sosio-masyarakat akibat manipulasi kapitalisme hingga menyebabkan kelimpahan pekerja asing tak terkawal.

Dalam saat kritikal ini, kita layak meluahkan rasa sedih dan malu bila golongan siswa lebih suka main instagram di McD.

Kita bukan mahu melihat mereka turun dalam aksi sepanjang masa sampai mati bergelimpangan ditembak tentera seperti di Tianmen Square Beijing tahun 1989.

Tapi yang sedih, masyarakat kita tidak lagi melihat kecenderungan mahasiswa untuk menyuarakan, keluar daripada ruang selesa mendidik dan beraktivisme bersama masyarakat, paling tidak buatlah gerakan sukarelawan kempen dan bengkel kitar semula misalnya.

Aset jadi asap… bila Timbalan Menteri mengaku 'graduan kita kurang intelek'

Akibat mahu kahwin, cepat dapat anak atau kerja kerajaan, peranan mahasiswa jatuh martabat.
Walaupun kelembapan mahasiswa kita boleh disalahkan kepada kerajaan BN atas segala macam ugutan dan suapan pelbagai maklumat sesat dalam kem Biro Tata Negara (BTN), adakah mereka tidak mampu untuk berfikir sebelum menyerahkan seluruh hidup semata-mata mahu jadi produk manusia bagi mengisi kehendak pasaran?

Bermula daripada hal itu, perkara lain pula timbul. Kelmarin, Timbalan Menteri Pelajaran, P Kamalanathan pada majlis 'An evening with CEOs: Towards Future Industrious Colloborations' anjuran Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata, secara langsung mengakui "ketidakbolehan pasaran graduan di negara ini adalah kelemahan intelektual…"

Lucunya beliau berkata, ketidakbolehan pasaran graduan itu pula tidak dikaitkan dengan kelemahan sistem di institusi pendidikan tinggi (IPT) kerana katanya pembentukan peribadi yang berkeyakinan dan berkeupayaan harus bermula di peringkat pendidikan rendah dengan proses yang membabitkan ibu bapa, guru, masyarakat dan pemerintah.

Maksudnya, seolah-olah Kamalanathan menyalahkan semua pihak bila daya intelektual graduan Malaysia lemah. Baiklah, Kamalanathan sudah salahkan semua pihak, kita pula jangan jadi bebal untuk salahkan orang selain mula bertindak.

Bangkit tidur

Mahasiswa bangun melawan bukan cerita asing dalam sejarah nasional. Nama-nama tokoh gerakan mahasiswa zaman itu seperti almarhum Yunus Ali, Abu Zer, Kamaruzzaman Yacob, Hishamuddin Rais, Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim dan ramai lagi sangat sinonim dengan kebangkitan mahasiswa sekitar 1970-an. Dan bersebabkan itu jugalah kerajaan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bertujuan mengekang kebangkitan mahasiswa yang kini dimansuhkan semula.

Hero mahasiswa pra-pilihanraya umum ke-13, Adam Adli muncul pada saat kebobrokan UMNO-BN memuncak sejalur dengan gerakan Bersih, Mansuh PTPTN, PPSMI, Occupy Dataran dan Himpunan Hijau. Bermula daripada tindakan beliau menurunkan bendera gambar Perdana Menteri Najib Razak, namanya terus mengharum sebagai hero siswa disebut orang dan gadis. Bersumberkan tindakan berani itu, maka, gelanggang universiti kita terkocak. Tambah berkocak lagi apabila seorang lagi mahasiswa, Bavani berjaya menggugat kesabaran penceramah Sharifah Zohra yang popular dengan slogan 'Listen' tiga kali itu.

Justeru, berlakulah sedikit anjakan dalam masyarakat kampus. Sesuai dengan kehangatan pilihan raya, aktivis siswa dari pelbagai arah mula bersuara daripada isu hal ehwal pentadbiran universiti hinggalah turun ke jalan raya menuntut pendidikan percuma.

Namun, pasca PRU ke-13 yang memperlihatkan PR kecundang menawan Putrajaya. Anehnya, suara mahasiswa semena-mena juga menyusut. Hampir tak kedengaran. Mungkin sesekali adalah sedikit tenggelam timbul. Jadi kita tertanya-tanya, apa mungkin kelompok aktivis mahasiswa yang konon mendakwa diri mereka sebagai aktivis non-partisan sebenarnya hanya alat parti politik? Kalau mahsiswa yang dianggap bakal pemimpin generasi masa depan tidak berdaya bangkit melepaskan masyarakatnya daripada tekanan regim BN, tak perlulah berbangga.

Tahun 2014 bakal menjelma bersama 1001 lagi pengharapan dan kemungkinan. Dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil, manakan mampu parti politik sahaja bertekak dalam Parlimen? Inilah peluang terbaik golongan siswa menebus semula suara mereka yang tenggelam dan menumpul.

Perjuangan mahasiswa bukan perjuangan parti politik, maka anda harus bersedia menjadi benteng unggul anak bangsa. – Roketkini.com

Kerajaan serius kawal penjualan ubat haram

Posted: 22 Dec 2013 03:24 AM PST

 
Operasi bersepadu memerangi laman web yang mengiklan dan menjual produk tidak berdaftar dengan KKM.

 

Bahagian 1
Ubat haram



PETALING JAYA: Pelbagai langkah telah diambil oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi (BPF), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memerangi laman web yang dikesan mengiklan dan menjual produk tidak berdaftar.

Bahagian ini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis DiRaja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam Operasi Pangea V dan Pangea  VI dalam usaha menutup laman web yang dikesan melanggar akta-akta yang dikuat kuasakan oleh KKM.

Operasi ini dijalankan secara bersepadu dan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dari lebih 100 negara di seluruh dunia dan dikoordinasikan oleh Interpol, kata Timbalan Metteri Kesihatan Datuk Seri Helmi Yahya..

"Sepanjang Operasi Pangea V dijalankan dari 25 September 2012 sehingga 2 Oktober 2012, sebanyak 99 laman web telah disenaraikan kepada pihak SKMM untuk menyekat dan seterusnya menutup laman web tersebut.

"Di dalam operasi Pangea VI yang bermula dari 18 sehingga 25 Jun 2013 sebanyak 163 laman web telah disenaraikan untuk disekat dan ditutup daripada diakses oleh orang awam," katanya..

Di samping operasi-operasi yang dijalankan secara berkala, KKM sentiasa memantau kewujudan laman web dan laman sosial yang melanggar akta-akta yang dikuatkuasakan dari segi penjualan dan pengiklanan.

Ini dilakukan bagi melindungi pengguna dari terjebak dan percaya kepada promosi-promosi dan iklan-iklan yang kebanyakannya sengaja direka tanpa sebarang asas dan bukti saintifik.

Helmi berkata sepanjang tahun 2012, sebanyak 2,133 permohonan iklan telah diterima oleh Bahagian Perkhidmatan Farmasi dan dari jumlah tersebut, hanya 1,676 permohonan diluluskan oleh Lembaga Iklan dan Ubat (LIU) untuk tujuan pengiklanan.

Sebanyak 314 surat amaran telah dikeluarkan kepada syarikat dan penerbit pengiklanan yang dikesan melanggar Akta Ubat (Iklan dan Jualan) 1956 dan peraturan-peraturannya meliputi pelbagai kesalahan, katanya

Harga murah pikat pembeli

Posted: 22 Dec 2013 03:21 AM PST

 
Mudah dibeli di kaki lima dan melalui internet.

 

Bahagian 2
Ubat haram



PETALING JAYA: Ubat termasuk ubat tradisional yang diragui ketulinannya   mudah diperolehi dan harganya murah.

Ubat ini diragui kerana tidak ada kelulusan Kementerian Kesihatan.

Sesetengahnya pula diimport tetapi tidak diketahui dengan jelas isi kandungannya.

Pelbagai jenis ubat dijuaI tetapi yang paling popular ialah ubat untuk lelaki kerana ia dijual secara terbuka termasuk Viagra.

Ia tidak memerlukan pengesahan surat doktor. Bukan sahaja boleh dibeli di kaki lima tetapi di kedai runcit dan jamu.

Seorang peniaga di Pudu menjual Viaga hanya RM5 sebiji.

`Powernya sama'

"Saya jual murah kerana dapat terus dari pembekal, selain tidak menyewa bangunan yang mahal.

"Tetapi `power'nya sama dengan yang dibeli farmasi atau klinik," katanya lagi ketika ditemui minggu lalu.

Apabila ditanya adakah ia memberi kesan sampingan, penjual tersebut memberitahu, sepanjang berniaga tidak pernah ada orang datang mendakwa mereka terkena sakit sampingan.

Seorang lagi peniaga memberitahu, orang muda tidak membeli ubat kaki lima tetapi diminati oleh orang tua dan warga emas.

"Orang tua suka beli di sini kerana harga murah dan senang di dapati.

"Mereka malu nak ke klinik kerana akan ditanya pelbagai soalan ," katanya.

Ubat-ubat begini juga diiklankan secara meluas melalui internet.

Jangan beli ubat yang tidak dilulus

Posted: 22 Dec 2013 03:18 AM PST

 
Biro Pengawalan Farmaseutikal menasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan ubat tradisional di internet

 

Bahagian 3
Ubat haram



PETALING JAYA: Orang ramai dinasihatkan tidak membeli dan menggunakan ubat sama ada semula jadi atau sebaliknya yang tidak diluluskan oleh jabatan farmaseutikal,  Kebangsaan Kementerian Kesihatan.

Beberapa produk semulajadi (tradisional) mengandungi bahan kimia, termasuk racun berjadual yang tidak dibenarkan.

Penggunaan produk semulajadi (tradisional) yang dicampur palsu dengan bahan kimia boleh menyebabkan kesan serius, kata  laman web Biro Pengawalan Farmaseutikal.

Beliau turut menasihatkan, orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan iklan-iklan ubat tradisional yang semakin marak di internet.

Katanya, pihaknya tidak boleh melarang atau mengawal penjualan.

Bagaimanapun, seorang pegawai jabatan itu berkata, orang ramai boleh membuat aduan kepada bahagian penguatkuasa jika masih ada ubat yang diharamkan di pasaran.

'Buat siasatan'

"Pihak kami akan membuat siasatan mengenai perkara tersebut," katanya.

Beliau juga memberitahu, penjual tidak boleh mengedarkan ubat mereka ke pasaran selagi tidak mendapat pengesahan dari jabatan.

Mereka yang ingkar akan diambil tindakan tegas termasuk tindakan undang-undang, tambahnya lagi.

"Jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesihatan orang lain.

"Jangan buat alasan lambat mendapat kelulusan, mereka menjual terlebih dahulu," katanya.

Pegawai tersebut juga menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan operasi merampas ubat palsu dan terlarang untuk memastikan orang ramai tidak terbeli ubat palsu.

Perkasa vs Umno, taring siapa lebih tajam

Posted: 22 Dec 2013 03:15 AM PST

 
Adakah Najib Tun Razak akan tunduk kepada tunduk kepada Ibrahim Ali.




PETALING JAYA: Perkasa bakal mengaum lebih kuat bagi memberitahu Umno bahawa taringnya boleh mencederakan parti yang sedang berkuasa itu.

Datuk Ibrahim Ali secara terang -terang memberi amaran bahawa Perkasa boleh menggantikan Umno untuk membela orang Melayu dan agama Islam.

Tokoh veteran itu meminta  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberhentikan retorik yang sedang didendangkan.

Ibrahim nampak berani kerana beliau mendakwa Najib dan Umno menang kerana Perkasa.
Sama ada ia satu gertakan atau tidak, hubungan Perkasa dan Umno adalah seperti orang bercinta.
Benci tapi rindu.

Umno memerlukan Perkasa untuk mendapatkan pengundi Melayu yang kini terbelah tiga.

Umno terpaksa bersaing dengan PAS dan PKR untuk meneruskan survival parti.

Umno jika sendirian sangat untuk mendapatkan undi Melayu terutama pada pilihan raya umum lima tahun lagi.

Meski menang 89 kerusi parlimen, ia bukan jaminan kerusi itu kekal milik Umno dalam  pilihan raya umum 14.

Pengundi muda tidak sepenuhya memilih Umno seperti dibuktikan dalam pilihan raya kecil Sungai Limau baru-baru ini.

Pengundi Melayu elit  juga begitu. Di sinilah Umno  memerlukan Perkasa.

Perkasa memang menyokong Najib dan Umno seperti yang telah dilakukan dalam pilihan raya 5 Mei lalu.

Malangnya Umno tidak mahu memandang malah melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Perkasa.
Umno rela membantu NGO yang jauh kecil dari Perkasa yang sesetengahnya hidup pada nama sahaja.

Namun adakah ugutan Perkasa itu menggerunkan Umno atau tidak lebih seperti anjing menyalak bukit.

Falsafah pemerintahan BN ‘kroni dibantu, rakyat dibeban’ – Kian Ming

Posted: 22 Dec 2013 03:12 AM PST

IMG_2908


KUALA LUMPUR: Dengan segala kenaikan harga barang dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 2015, jelas falsafah pemerintahan BN adalah 'kroni dibantu, rakyat dibeban'.

Berucap pada majlis pelancaran kempen 'Faham GST, Tolak GST' di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru semalam, Ahli Parlimen DAP Serdang, Ong Kian Ming berkata, kenaikan dan pelaksanaan GST hanya akan menambah kekayaan kroni BN.

"Sebagai contoh, kerajaan kurangkan subsidi gula sebanyak 34 sen, tapi pada masa sama hanya beri dua syarikat untuk kawal pasaran gula, salah satunya milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhari.

"Saya tanya (Perdana Menteri) Najib, kenapa tidak perluaskan pasaran gula, tingkatkan persaingan agar harganya boleh diturunkan. Dia tak mahu buat kerana nak bantu kroni, bebankan rakyat," katanya.

Katanya lagi, pengumuman kenaikan tarif elektrik baru-baru ini juga akan meningkatkan keuntungan pemegang-pemegang saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta syarikat yang terlibat dalam pembekalan tenaga.

"Ketika ia diumum, harga saham TNB naik melonjak. Semalam, harganya naik (sehingga) RM11.04. Ada yang hadir di sini miliki saham? Yang dapat manfaat hanya orang kaya yang melabur dalam TNB. Pembekal tenaga juga boleh caj harga tinggi untuk bekalan.

"Pada 2015, anggaran keuntungan TNB akan naik sehingga RM5.7 bilion. Yang dapat manfaat adalah pegawai tinggi TNB, dan pemegang saham utama, Khazanah yang dimiliki kerajaan, bukannya rakyat," katanya.

Kempen 'Faham GST, Tolak GST' dilancarkan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pimpinan yang turut berucap antaranya adalah Lim Kit Siang; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan AJK Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad, serta pemimpin-pemimpin NGO.

Lebih mengecewakan, kata Kian Ming lagi, segala hasil yang diperolehi kerajaan daripada kenaikan itu kemungkinan besar tidak akan sampai kepada rakyat.

"Saya yakin hasil tidak akan disalurkan kepada rakyat. Mereka akan bazirkan dengan beli jam dinding dengan harga RM380, walau pun nilainya hanya RM100. Ini adalah amalan BN dulu, kini dan selama-lamanya," katanya lagi, merujuk kepada ketirisan yang didedah dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Satu siri jelajah seluruh Malaysia akan diadakan bagi memberi pemahaman kepada rakyat, berhubung cukai yang akan dilaksanakan bermula 1 April 2015. – Roketkini.com

Jangan salahguna agama untuk politik – Dr. Asri

Posted: 22 Dec 2013 03:08 AM PST

1383734_10152038950252990_940857473_n


SHAH ALAM – Rakyat turun ke jalanraya dan mengadu kepada Tuhan kerana kerajaan sudah tidak lagi mendengar keluh kesah mereka, bukan bermakna rakyat mahukan sebarang bentuk negara tetapi mahukan keadilan.

Demikian analisa bekas mufti Perlis, Prof Madya Dato' Dr Mohd Asri Zainul Abidin terhadap revolusi berganda di Mesir yang akhirnya menyaksikan Presiden ke-lima negara tersebut, Dr Mohamad Morsi digulingkan.

Beliau mengulas lanjut soal meletakkan label 'negara Islam' yang bagi beliau bukanlah perkara yang terlalu penting.

1486787_10152451821343852_1814983829_n

Pakistan pun ada enakmen undang-undang Islam, tetapi lihat negara dia punyalah kotor. Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada Islam. New Zealand lebih Islam daripada Pakistan," ujarnya dalam wacana 'Ikhwan Muslimin: Musuh atau kawan' di sini, hari ini.

Dr Asri turut berkata bahawa Islam tidak wajar dipergunakan untuk tujuan politik, malah menegaskan bahawa daripada Islam disalahgunakan bagi tujuan politik lebih baiklah agama dipisahkan daripada urusan politik.

Beliau berucap di wacana anjuran PTS Media Group membedah buku terbitan syarikat terbabit, 'Di Sebalik Ikhwan Muslimin' terjemahan tulisan Douglas Thompson hasil wawancara bersama Youssef Nada, strategis kewangan Ikhwan.

Sekularisme tidak memusuhi Islam

"Kerana sekularisme lah orang Islam boleh berdakwah di Eropah," tambahnya lagi sambil berkata umat Islam kini fobia dengan konsep sekularisme akibat daripada momokan kisah Mustafa Kemal Ataturk yang memodenkan Turki sehingga memberi mudarat kepada Islam.

"Kalau Mustafa Kemal itu benar-benar sekular, dia tidak akan masuk campur dalam urusan agama langsung," ujarnya menerangkan salah faham umum terhadap konsep tersebut.

Perkara 2 dalam Fasal Matlamat-matlamat yang termaktub di dalam perlembagaan DAP meletakkan kerangka sekular sebagai matlamat parti DAP demi kedaulatan undang-undang, nilai demokrasi dan hak saksama.

Wacana tersebut turut menampil Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong; mantan presiden ABIM Tuan Haji Ahmad Azam dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Ustaz Khalil Abdul Hadi sebagai ahli panel. – Roketkini.com

Dengan GST dan inflasi, Pakatan mahu tawan undi pedalaman

Posted: 21 Dec 2013 09:25 PM PST

OLEH SHERIDAN MAHAVERA

Orang awam mendengar ceramah anti GST menerusi kempen 'Faham GST, Tolak GST' di Kuala Lumpur pada 20 Disember, 2013. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.Orang awam mendengar ceramah anti GST menerusi kempen 'Faham GST, Tolak GST' di Kuala Lumpur pada 20 Disember, 2013. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.
























Pemimpin PAS, Dr Idris Ahmad berkata, kenaikan kos sara hidup dan harga barang akan menjadi penentu kepada masa depan politik di kawasan pedalaman Perak.

Biasanya, kebanyakan penduduk kampung adalah penyokong tegar Barisan Nasional (BN), tetapi dengan kehimpitan hidup disebabkan pengurangan subsidi gula, petrol dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), situasi ini bakal berubah.

Dr Idris berkata, sebagai contoh, penyokong tegar Umno yang beliau temui sudah meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap kerajaan pilihan mereka dan mereka sudah mula rasai kenaikan kos hidup disebabkan harga petrol dan gula yang lebih mahal.

"Mereka sudah marah. Ini belum GST lagi," katanya yang juga merupakan Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Pandangan Idris mencerminkan perasaan kebanyakan pemimpin dan aktivis Pakatan Rakyat (PR) di seluruh Malaysia.

Peningkatan kos hidup dan cukai baru GST yang dirasai semua termasuk penduduk luar bandar, akan memecahkan cengkaman psikologi BN terhadap mereka.

Tetapi, pemimpin PR sedar mereka menghadapi cabaran dan rintangan yang tinggi.

Ini kerana mereka perlu menagani kemisikinan dan kekurangan maklumat penduduk kawasan pedalaman yang selama ini menyebabkan orang kampung masih menjadi penyokong BN.

Keperitan hidup semakin mencengkam

Buat masa sekarang, rasa tidak puas hati masyarakat terhadap BN sudah menjadi satu realiti.

Sebuah tinjauan pendapat dilakukan badan bebas Merdeka Center pada 4 - 12 Disember menunjukkan 47 peratus daripada mereka yang dikaji menyatakan kekecewaan terhadap peningkatan kos sara hidup.

Kajian itu dilakukan selepas pentadbiran BN mengurangkan subsidi petrol dan gula, serta mengumumkan kenaikan harga tol dan tarif elektrik.

Ia juga selepas Bajet 2014 meluluskan pelaksanaan GST yang akan berkuatkuasa pada April 2015.
Sebanyak 49 peratus responden melahirkan rasa tidak puas hati dengan hala tuju negara berbanding dengan 41 peratus yang berpuas hati.

Majoriti atau 45 peratus daripada 49 peratus yang tidak puas hati itu berkata perasaan mereka disebabkan inflasi dan keadaan ekonomi yang tidak baik.

Lebih mengejutkan, 45 peratus daripada responden yang duduk di luar bandar melahirkan rasa tidak puas hati dengan hala tuju negara.

Tambahan pula, jumlah responden Melayu yang mengatakan mereka berpuas hati dengan kerajaan menurun daripada 67 peratus kepada 52 peratus.

Keputusan kajian itu memberi peluang kepada PR, khususnya PAS, kerana ia adalah pesaing utama Umno dalam mendapatkan sokongan pengundi Melayu-Islam luar bandar.

Seperti yang pernah dikatakan oleh pemimpin PAS Terengganu, Nik Zawawi Nik Salleh, PAS mendapat banyak sokongan daripada pengundi Melayu-Islam di bandar semasa Pilihan Raya Umum 2013.

PAS berjaya memenangi hampir semua kerusi kawasan bandar di Terengganu, Kelantan, Perak dan Selangor. Berlaku juga peningkatan sokongan bagi parti Islam itu di Johor dan Pahang.

"Melayu bandar tolak Umno. Masalah kita adalah di kerusi luar bandar. Ia bukan isu Melayu atau bukan Melayu. Ia adalah isu pendedahan dan pendidikan.

"Malah, di sesetengah kawasan luar bandar kita lihat bukan Melayu pun sokong BN," katanya.
 
Emosi sahaja tidak guna  
Kemeja T dengan logo Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama serta logo anti GST dan TPPA dijual sempena kempen 'Faham GST, Tolak GST'. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.Kemeja T dengan logo Presiden Amerika Syarikat Barrack Obama serta logo anti GST dan TPPA dijual sempena kempen 'Faham GST, Tolak GST'. - Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli.
Dalam suasana beginilah, PR dan beberapa NGO melancarkan kempen anti-GST bertajuk "Faham GST, Tolak GST", pada 20 Disember.

Kempen itu akan menyaksikan road-show di adakan di seluruh negara kata, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin. SAMM adalah NGO yang menjadi pengerak utama kempen tersebut.

Salah satu objektif adalah untuk melawan kempen media kerajaan yang cuba meraih sokongan rakyat terhadap GST, kata Badrul Hisham.

"Kerajaan mahu rakyat terima GST tetapi masih ramai yang tak tahu GST itu apa. Jadi kita mesti berusaha untuk rakyat faham apa itu GST," katanya.

Dalam kajian Merdeka Center sendiri sebanyak 55 peratus responden berkata, mereka tidak pasti impak GST terhadap mereka.

Walaupun pelancaran kempen tersebut seumpama ceramah mega dengan siri ucapan daripada pemimpin PR, road show di negeri-negeri bakal menggunakan format lain bagi menyebar informasi dalam bentuk yang mudah difahami.

Ia akan terbuka kepada masyarakat tetapi peserta utamanya adalah daripada kalangan pemimpin akar umbi PR, aktivis setempat dan ketua kampung yang sehaluan dengan gagasan itu. Ini kerana merekalah yang akan menjalin hubungan harian dengan masyarakat desa.

Pemimpin seperti Idris mengalu-alukan peluang daripada roadshow itu untuk membekalkan jentera parti dengan mesej GST dan inflasi yang akan dibawa kepada orang kampung.

"Kita tidak mahu orang marah sahaja kerana barang naik. Emosi macam ini selalunya tidak lama. Orang boleh emosi tapi bila BN datang tabur BR1M, hilanglah marah tu.

"Apa yang kita perlu bagi adalah pendedahan dan pendidikan," kata Idris.

Fenomena emosi ini juga dapat dilihat di dalam kajian Merdeka Center apabila sebanyak 57 peratus daripada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 masih menganggap bahawa negara berada hala tuju yang betul.

Walhal golongan ini yang selalu merasa keperitan inflasi.

Oleh itu, PR akan berusaha untuk menangani jurang kesedaran itu dengan menunjukkan bagaimana himpitan harga tinggi sekarang dan selepas GST adalah kesinambungan daripada undi yang diberi oleh orang kampung kepada BN.

Pada masa sama, PR akan menawarkan rancangan bagaimana ia akan menangani inflasi. Ini seperti mengkaji semula perjanjian lebuh raya dan penjanaan kuasa bagi menurunkan harga tol dan tarif elektrik.

Melalui pendekatan inilah PR berjaya meraih undi daripada Melayu-Islam bandar di dalam Pilihan Raya Uum 2013 iaitu menunjukkan bagaimana seorang pengundi mempengaruhi pembentukan sebuah dasar dan dasar itu datang kembali dan memberi impak kepada kehidupan pengundi itu.
"Kita mahu lahirkan pengundi yang cerdik. Seperti di kawasan bandar di mana mesej kita sampai melalui internet. Ini supaya emosi itu bertahan lama dan membawa kepada kesedaran dan ia diterjemahkan di peti undi.

"Kesedaran ini yang kita mahu, supaya bila dapat BR1M banyak mana pun, pengundi tetap buat pilihan yang betul," katanya

Malaysia bankrap 9 tahun lagi?

Posted: 21 Dec 2013 09:21 PM PST


Malaysia


PERKARA paling menakutkan untuk kita bayangkan ialah jika negara jatuh bankrap yang sudah pasti akan membawa rakyat kepada suatu kehidupan yang memeritkan, terpaksa menganggur dan harga barang melambung.

Itulah gambaran diberikan Makmal Rasionalisasi Subsidi (MRS) yang menjangka hutang negara meningkat 100 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 jika dasar pemberian subsidi diteruskan.

Menurut MRS, Malaysia mungkin akan bankrap dalam tempoh sembilan tahun akan datang jika polisi yang diamalkan sekarang diteruskan dengan mengambil kira jumlah pembiayaan subsidi ditanggung kerajaan mencecah lebih RM70 bilion setahun.

Subsidi boleh dimansuhkan jika rakyat mampu membeli barangan keperluan asas pada harga sebenar.
Malangnya, sebahagian besar rakyat masih tergolong dalam kelompok berpendapatan sederhana dan miskin.

Golongan ini masih memerlukan bantuan daripada kerajaan dalam bentuk subsidi untuk meneruskan kehidupan kerana kos sara hidup tinggi, terutama mereka yang tinggal di bandar besar.

Kerajaan seharusnya bersedia menyemak semula pendapatan semua sektor pekerjaan di negara ini kepada nilai munasabah supaya masyarakat boleh berkompromi sekiranya subsidi ditarik semula.

MRS ditubuhkan untuk mengkaji langkah sesuai dalam merasionalisasikan pemberian subsidi agar kesan pemansuhan atau pengurangannya tidaklah sehingga menjejaskan kehidupan rakyat disampaing berupaya mengukuhkan ekonomi negara.

Langkah yang seperti ini sangat penting untuk memastikan negara kekal berdaya saing sekali gus mewujudkan iklim pelaburan yang telus dan mapan.

Mengikut cadangan makmal itu, pemberian subsidi antara aktiviti perdagangan yang tidak menguntungkan.

Ia menimbulkan kesan ke atas ekonomi Malaysia yang sedang membangun.

Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai bahana yang akan menimpa negara dalam tempoh sembilan tahun akan datang jika negara masih mengekalkan subsidi termasuk antara kesan jangka panjang yang dijangkakan jika polisi itu diteruskan.

Kalau benar disebabkan subsidi negara boleh jatuh bankrap, rakyat sudah tentu rela ia dihapuskan.
Ini kerana tiada rakyat yang mahu negaranya bankrap sekali gus lebih teruk menjejaskan berbanding kehidupan yang dilalui sekarang.

Bagaimanapun timbul persoalan dalam isu tingkat pendapatan, apakah dengan apa yang diperolehi majoriti hari ini, rakyat Malaysia mampu hidup selesa dalam keadaan kos hidup mencanak sedangkan tangga gaji di takuk lama?

Usaha kerajaan melalui Model Ekonomi Baharu (MBE) dilihat cuba menumpukan peningkatan pendapatan per kapita rakyat menjelang 2020 dan mempertingkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah serta sederhana rendah kepada 40 peratus sepanjang MBE dilaksanakan.

Bagaimanapun, apakah kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup secara purata tahunan?

Jika kenaikan pendapatan per kapita rakyat selari dengan penghapusan subsidi secara berperingkat oleh kerajaan, mungkin ia tidak akan menjejaskan kehidupan rakyat secara keseluruhannya.

Bagaimana jika penghapusan subsidi tidak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat?

Apakah kerajaan boleh beri jaminan jika subsidi dihapuskan, negara lebih kompetitif dan pendapatan rakyat akan meningkat?

Atau adakah kerajaan perlu cari jalan memastikan negara kompetitif dan pendapatan rakyat meningkat serta kemudian baru hapuskan subsidi berperingkat?

Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi media semalam, bahawa kerajaan sedang mencari jalan melindungi dan mengurangkan kesan kenaikan kos hidup (dalam konteks ayat beliau merujuk kepada kenaikan tol dan tarif elektrik) secara tidak langsung menjawab persoalan itu bahawa kerajaan pada masa ini belum menemui sebarang mekanisme sesuai untuk mengatasi masalah itu.

Atas sebab itulah, di sebalik tindakan mengurangkan atau menghapuskan subsidi yang sebagaimana disebut perdana menteri bahawa sesuatu yang tidak mungkin dapat dielakkan, rakyat di mana-mana juga menjerit dan membantah kerana berasa hidup semakin terhimpit.

Inilah yang meresahkan sebahagian besar rakyat yang ber-pendapat kerajaan harus mencari langkah paling sesuai untuk menangani masalah ekonomi sebagaimana yang dilakukan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri pada era kemelesetan ekonomi 1987 dan 1997, bukan dengan terus meletakkan beban kepada rakyat.

Lebih-lebih lagi isu pembaziran, ketirisan, rasuah dan kecekapan masih menjadi isu pentadbiran kerajaan.

Sedangkan negara semaju Amerika Syarikat (AS) pun masih memberi subsidi dalam pelbagai sektor industri dan perkhidmatan sebagai mekanisme perlindungan industri negaranya.

Subsidi tanaman jagung, kerajaan AS memberi sebanyak AS$73 billion sepanjang tempoh 2006 hingga 2009.

Walaupun ia menyebabkan barangan komoditi negara sedang membangun terjejas, tetapi dari segi pertanggungjawaban AS terhadap industri dan rakyat, tidak boleh dipertikaikan.

Dalam konteks negara kita, bolehkah kerajaan memberik statistik pulangan dari segi daya saing dan gandaan yang bakal diperolehi daripada langkah penghapusan subsidi? Bolehkah kerajaan mengunjurkan peningkatan pendapatan rakyat hasil tindakan ini?

Kalau kenaikan tepung tahun depan sebanyak 20 sen dan tahun seterusnya 25 sen, maka sehingga 2015, harga tepung akan meningkat kepada RM1.20 iaitu lebih 50 peratus kenaikan. Ini belum dikira lain-lain barang kawalan. Apakah ini selaras dengan unjuran pendapatan per kapita rakyat ditetapkan MBE bagi tempoh sama?

Kalau pendapatan kita tinggi, secawan kopi berharga RM10 pun tidak menjadi masalah, satu kepala bufet RM100 pun tidak berbeban.

Sama juga dengan harga minyak, bagi yang mampu dan mempunyai kereta yang cukai jalannya RM2,000 atau RM10,000 pun tidak menjadi masalah jika minyak RM2.50 seliter.

Sejauh manakah MRS yang akan dilaksanakan membantu golongan miskin dan berpendapatan sederhana?

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatan kuasa yang serius dan komited memantau kenaikan harga barangan untuk menyekat kenaikan harga.

Katanya, bukan rakyat yang patut berjimat cermat tetapi kerajaan harus mengurus perbelanjaan lebih efektif.

Perkasa beri amaran ganti Umno jika parti itu gagal bela Melayu

Posted: 21 Dec 2013 09:17 PM PST

OLEH LEE SHI-IAN

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (kiri) dan Tengku Razaleigh Hamzah di Persidangan Agung Perkasa ke-4. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 22 Disember, 2013.Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali (kiri) dan Tengku Razaleigh Hamzah di Persidangan Agung Perkasa ke-4. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.
























Perkasa hari ini memberi amaran bakal menggantikan parti Melayu terbesar Umno jika mereka gagal mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Bercakap dalam Persidangan Agung Perkasa ke-4, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali, berkata Umno menunjukkan bahawa mereka lemah dan "tidak bertaring" dalam mempertahankan hak Melayu.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, jika Umno gagal dengan Agenda Pemerkasaan Bumiputera, Perkasa tidak teragak-agak untuk mengambil alih peranan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu.

"Jika Umno penat, letih dan tidak bertaring, kami daripada Perkasa boleh ambil alih tempat kamu," kata Ibrahim disambut dengan sorakan hampir 500 perwakilan pertubuhan itu dari seluruh negara di Pusat Islam, Kuala Lumpur, hari ini.

Longgokan Sampah Sebabkan Kesesakan Di MRR2

Posted: 21 Dec 2013 09:13 PM PST


MSTAR ONLINE


Kesesakan lalu lintas berlaku di Jalan Lingkaran Tengah 2 berhampiran Stesen Pemindahan Sisa Pepejal Taman Beringin, Kepong pada Sabtu. Longgokan sampah berkenaan menyebabkan kesesakan lalu lintas di kedua-dua arah.
 
 
KUALA LUMPUR: Gara-gara Pusat Pemindahan Sampah di Taman Beringin ditutup awal pada Sabtu kerana kerosakan mesin pemampat, kira-kira 2,000 tan sampah dilonggok di bahu Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2) berhampiran Kepong.

Longgokan sampah itu menyebabkan kesesakan jalan yang agak teruk di kawasan berkenaan selain penduduk dan pengguna jalan raya terpaksa menghidu bau tidak menyenangkan.

Bernama difahamkan kontraktor sampah melonggokkan sampah yang dikutip mereka di situ kerana tiada pilihan selepas tidak dimaklumkan lebih awal mengenai penutupan pusat tersebut.

Sementara itu tinjauan di situ petang ini mendapati sebahagian besar sampah sudah dibersihkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang menerima aduan daripada penduduk.

"DBKL akan siasat perkara ini, saya harap penduduk dapat bersabar sementara menunggu kerja-kerja pembersihan dijalankan," kata Ketua Pengarah DBKL Datuk Salleh Yusop ketika dihubungi.
Beliau juga tidak dapat memberi jangkaan bila pusat pemindahan sampah itu akan dibuka kembali.

Sementara itu, seorang penduduk Gan Chun Wai, 35, berkata beliau menyedari keadaan tersebut pada pukul 8 pagi ketika hendak memulakan perniagaan.

"Semasa saya buka kedai saya tengok sudah banyak longgokan sampah yang dibuang di bahu jalan dan kami mengadu kepada DBKL," katanya.

Tinjauan Bernama juga mendapati segelintir penduduk mengenakan topeng muka kerana tidak tahan dengan bau busuk daripada saki-baki longgokan sampah di kawasan berkenaan. - BERNAMA

Ketengah Rugi RM2 Juta Akibat Banjir

Posted: 21 Dec 2013 09:10 PM PST

 MSTAR ONLINE
 
 
HULU TERENGGANU: Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengalami kerugian kira-kira RM2 juta akibat banjir baru-baru ini apabila buah sawit dari beberapa ladangnya tidak dapat dipungut untuk diproses.

Pengurus Besar Ketengah, Wan Mat Amin Wan Daud berkata, Ketengah mempunyai tiga ladang besar di wilayahnya di Kemaman iaitu Ladang Ketengah Perwira, Ketengah Jaya dan Ladang Rakyat yang kesemuanya ditenggelami banjir bermula 2 Disember lepas.

"Semasa banjir, 80 peratus wilayah di daerah Dungun dan Kemaman terjejas teruk melibatkan kawasan beribu-ribu hektar. Selain buah sawit, ada anak pokok sawit yang baru ditanam turut musnah ditenggelami air.

"Selain itu, tiga rumah orang kampung dalam wilayah Ketengah di Air Puteh, Kemaman turut dihanyut banjir, bagaimanapun kerugian keseluruhan belum dapat dipastikan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan memancing Jelajah Tasik Kenyir di sini.

Beliau berkata, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersetuju menggantikan rumah yang dihanyutkan banjir itu dengan segera melalui Program Bantuan Rumah di bawah kementerian berkenaan.

Wan Mat Amin berkata, Ketengah mengeluarkan bantuan segera bagi membantu penduduk kampung yang dilanda banjir dengan menghantar bekalan makanan melibatkan kos RM50,000 ke pusat pemindahan dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Selain itu, agensi berkenaan Ketengah turut mengadakan gotong-royong selepas banjir membantu membersih rumah penduduk.

Beliau berkata Ketengah mempunyai bilik gerakan banjirnya di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dengan skuad banjirnya sendiri melibatkan 100 kakitangan dan pertubuhan sukarela untuk membantu mangsa yang terlibat. - BERNAMA

Pas cadang mas kahwin dinaikkan

Posted: 21 Dec 2013 09:02 PM PST


Tuan Ibrahim Tuan Man  
Tuan Ibrahim Tuan Man


TEMERLOH - Pas Pahang meminta Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) menyemak semula kadar mahar perkahwinan di negeri ini sebanyak RM22.50 yang dianggap terlalu rendah.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu itu timbul semasa Mesyuarat Pertama Badan Perhubungan Pas Pahang, di sini apabila Pas Kawasan Pekan mengusulkan nilai mas kahwin dinaikkan kerana hampir semua harga barang meningkat.

Menurutnya, Pas negeri akan memanjangkan usul ini kepada Muip dan harap ada pertimbangan untuk menaikkannya kepada satu nilai yang berpatutan mengikut keadaan semasa.

"Pas Pekan cadangkan nilai mas kahwin dinaikkan pada kadar RM220.50, kami akan panjangkan perkara ini," katanya pada sidang media, di sini.

Tuan Ibrahim berkata, Pas Pahang telah menerima usul itu dan berpendirian perlu ada semakan semula oleh Muip.

"Harga minyak (bahan api) pun setahun sampai tiga kali naik, jadi patut dah usul ini disemak semula," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, seramai 2,000 sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Unit Amal Pas, Royalti (R) Anak, Anak Pahang di Perantauan dan Briged Nisa' membantu mangsa banjir di Pahang, baru-baru ini.

Menurutnya, sebanyak RM90,000 kutipan mangsa banjir akan diagihkan kepada Pas Kawasan yang terlibat banjir.

"Ini akan digunakan untuk membeli kelengkapan pakaian dan program Back To School kepada mangsa banjir," katanya.

PR dakwa kena pinggir

Posted: 21 Dec 2013 09:00 PM PST

Howard menunjukkan Manifesto PR tertera dasar yang didakwa diciplak untuk pembentukan konsultasi awam RKK Pekan Ipoh.


IPOH –Wakil rakyat PR mendakwa dipinggirkan dan tidak diberi peluang untuk menyumbangkan pandangan dalam pembentukan konsultasi awam Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pekan Ipoh yang diadakan baru-baru ini.

Adun Pasir Pinji, Howard Lee berkata, inisiatif BN mengambil dasar utama PR yang termaktub dalam Manifesto PR pada PRU lalu amat dialu-alukan tetapi beliau kecewa kerana orang awam tidak dilibatkan.

"Sepatutnya pelan rancangan besar seperti itu dipamerkan di tempat awam dan jika fokus kepada pelancongan, pameran itu perlu dibawa ke kawasan ramai pelancong supaya mereka boleh menelitinya.

"Perkara ini telah dilaksanakan oleh Penang Institute dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mempamerkan pelan induk pembangunan untuk 10 tahun akan datang di pasar raya, bukan sahaja di Pulau Pinang malah di Kuala Lumpur," katanya.

Howard berkata, pelan tersebut akan lebih sempurna melalui pindaan dicadangkan oleh orang awam yang akan mempunyai perasaan kepunyaan terhadapnya.

Beliau berkata, beliau kecewa kerana pada asalnya PR yang mencadangkan perbincangan dan dasar-dasar inovatif mengenai desentralisasi serta penglibatan awam daripada segi pembuatan dasar.

Katanya, walaupun tidak dijemput pada pameran tersebut, beliau dan beberapa pakar dalam bidang tertentu tetap akan memberi maklum balas terhadap cadangan serta rancangan dipamerkan.

"Saya harap pihak berkenaan pada masa akan datang, jika terdapat program atau aktiviti melibatkan kepentingan awam sesuatu kawasan, jangan lupa untuk menjemput wakil rakyat walaupun fahaman politik berbeza," katanya.

T'ganu mahu sekolah terlibat banjir dibuka 1 Jan

Posted: 21 Dec 2013 04:22 PM PST

 
MALAYSIA KINI

 
 
Kerajaan negeri mahu memastikan sekolah yang terlibat dengan banjir sama ada tenggelam atau dijadikan pusat pemindahan dapat dibuka apabila sesi persekolahan bermula 1 Jan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata kesemua sekolah berkenaan kini sedang dibersihkan sementara peralatan sekolah yang musnah sedang digantikan.

"Ada sesetengah sekolah sudah dibersihkan dan kita akan pastikan sekolah-sekolah ini boleh digunakan pada hari pertama persekolahan.

"Bagi penggantian peralatan sekolah, kita telah mengambil tindakan drastik yang mana semua sekolah di bawah kerajaan negeri akan dibekalkan peralatan sebelum 1 Jan," katanya kepada Bernama di Dungun.

Ghazali berkata kerugian yang dialami sekolah di bawah Kementerian Pendidikan akan diuruskan kerajaan pusat manakala sekolah di bawah kerajaan negeri akan dibaik pulih oleh kerajaan negeri.

Sebanyak 19 buah tenggelam akibat banjir dan 33 buah dijadikan pusat pemindahan.- Bernama

PKR: Harga barang naik, Najib akan diturunkan

Posted: 21 Dec 2013 04:20 PM PST

MALAYSIA KINI


 
 
Pakatan Rakyat memberikan kata dua kepada Datuk Seri Najib Razak agar menghentikan siri kenaikan kos sara hidup, atau berhadapan risiko kehilangan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa terdekat jika terus berbuat demikian.

Amaran keras itu dilontar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang percaya kedudukan Najib sekarang semakin goyah, berdasarkan dapatan tinjauan badan pengkaji Merdeka Center, baru-baru ini.

"Dalam banyak-banyak yang naik, ada satu yang turun - populariti Najib yang semakin turun.

"Kalau dia berani naikkan apa-apa lagi, dalam masa tiga atau empat bulan ini dia akan terpaksa turun daripada jadi perdana menteri.

"Kalau berani dia naikkan harga barang, kita akan turunkan Najib Razak daripada kerusi perdana menteri," kata anggota Parlimen Pandan itu di ibu negara lewat malam semalam.

Beliau berkata demikian pada pelancaran kempen 'Faham GST, Tolak GST' yang disempurnakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tinjauan Merdeka Center mendapati populariti Datuk Seri Najib Razak di kalangan pengundi menjunam 10 mata kepada 52 peratus dalam bulan Disember dan merekod tahap paling rendah sejak dilantik sebagai perdana menteri pada September 2009.

Tinjauan itu dibuat selepas pengurangan subsidi bahan bakar pada September 2013, pembentangan belanjawan negara 2014 sewaktu kerajaan mengumumkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenyataan tambahan berkenaan kenaikan tarif elektrik yang bermula pada Januari 2014.

Terkini, pemilik hartanah di Kuala Lumpur bakal berhadapan kenaikan kadar cukai taksiran bermula bulan Januari 2014.

Sidang khas bincang aset negara

Sementara itu, Anwar dalam ceramahnya berkata beliau akan menggesa Najib mengadakan sidang khas Parlimen bagi membincangkan kemungkinan aset negara dijual untuk memperbaiki kadar defisit negara seperti dilaporkan Bank Dunia.

Menurut Anwar, perkara itu dipersetujui pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menerusi mesyuarat yang berlangsung sebelum pelancaran kempen malam tadi.

"Jadi hari Isnin surat akan sampai kepada Datuk Seri Najib, kena ada sidang khas parlimen (untuk bincangkan) kenapa jual aset negara," kata Anwar.

Terdahulu, beliau melancarkan kempen 'Faham GST, Tolak GST' di kawasan padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.

Walaupun hujan turun renyai-renyai sehingga menyebabkan padang basah dan lecak seperti sawah padi, majlis itu tetap berjaya menarik kehadiran kira-kira 500 orang yang setia menunggu sehingga acara selesai.

Majlis yang bermula pada jam 9.30 itu hanya selesai kira-kira sepuluh minit sebelum jam 12 tengah malam.

Turut hadir adalah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, penasihat anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Tiada ulasan: