DIALOG RAKYAT |
- MB : Tiada kenaikan tarif air di Selangor walaupun Kerajaan Pusat naik kadar elektrik
- Adi Putra Jawab Kontroversi Skandal Gambar Lucah
- Kes Skandal Adi Putra: Suami Dakwa Polis Bias
- Guan Eng : BN Parti Tidak Berprinsip
- Zahid Hamidi harus diajar, caranya terserah
- BN cadang guna kaedah majoriti mudah tahun depan
- Mat Sabu: KDN yang perlu bukti tuduhan
- Tony Pua dipilih ketuai DAP Selangor
- Lelaki ditahan kes sumpit warga emas
- KDN: 20 pengakuan saksi direkodkan jadi bukti ‘gred A’ Mat Sabu Syiah
- Kajian sahkan Malaysia tidak mampu lahirkan pekerja berkemahiran tinggi – Lim Kit Siang
- DAP sedia serah maklumat, mahu ROS tarik balik larang buat keputusan
- Rakyat makin sengsara pelbagai kenaikan oleh Kerajaan Umno-BN
- MB jamin tidak lindungi sesiapa, alu-alu siasatan SPRM kes curi pasir
- MB : Tol naik akibat Kerajaan Pusat silap meterai perjanjian
- Kerajaan Pastikan Aspek Keselamatan Dipatuhi Sebelum JPP2 Dibenar Beroperasi - Najib
- Jenice Lee Dilarang Hadiri Konvensyen DAP
- Rugi peralatan sekolah cecah puluh juta
- Keluar parti biar kerana prinsip bukan kerana roti
- Ahmad Said kesal dilabel Robin Hood
- Warga asing dominasi seludup rokok di Selangor
- Semakan Kenaikan Harga Tambang Bas Teksi 2014 : Rakyat Malaysia Sudah Bersedia?
- Zahid Hamidi & KDN anjur sarkas paling menghiburkan
- KDN cuba tutup pemborosan Najib, Rosmah
- Kenaikan Tol Tahun Hadapan Tidak Dapat Dielakkan- Abdul Wahid
MB : Tiada kenaikan tarif air di Selangor walaupun Kerajaan Pusat naik kadar elektrik Posted: 15 Dec 2013 06:52 AM PST OLEH : Norhayati Umor SHAH ALAM : Kerajaan Selangor menyatakan komitmen untuk tidak akan menaikkan harga air walaupun kadar caj elektrik dinaikkan Kerajaan Pusat mulai 1 Januari 2014. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pendekatan itu diambil ekoran mahu membantu meringankan beban rakyat. "Walaupun Kerajaan Pusat mengambil langkah menaikkan caj elektrik tetapi Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk tidak menaikkan harga air," katanya dalam ucapannya ketika lawatan kerja ke Rumah Puteri Arafiah Seksyen 7, di sini. Hadir sama isterinya yang juga Yang diPertua Kebajikan dan Amal Wanita negeri (PEKAWANIS) dan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Rumah Puteri Arafiah, Puan Sri Salbiah Tunut. Turut hadir Ketua Pentadbir Perbadanan Menteri Besar (MBI), Rohany Datuk Talib dan wakil pengurusan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Norita Mohd Sidek serta Exco Kebajikan, Rodziah Ismail. Abdul Khalid berkata sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, rakyat perlu diberikan sokongan dalam menangani isu kenaikan ini. "Langkah itu diambil untuk menolong rakyat yang mana kita merasakan rakyat memerlukan sokongan dalam masalah ini," katanya. Tarif elektrik akan dinaikkan bermula tahun hadapan sebanyak 15 peratus. Kenaikan itu menjadikan harga baru untuk sekilowatt 33.54 sen di Semenanjung Malaysia. Manakala bagi Sabah dan Labuan, kadar baru naik sebanyak 16.9 peratus atau 5 sen daripada kadar semasa 29.52 sen/kwj kepada 34.52 sen/kwj. Sebelum ini, Abdul Khalid mengumumkan Kerajaan Negeri akan meneruskan subsidi air kepada 10 tahun akan datang.-EZY |
Adi Putra Jawab Kontroversi Skandal Gambar Lucah Posted: 15 Dec 2013 06:49 AM PST Pelakon Mohamed Hadi Putera Halim atau lebih dikenali sebagai Adi Putra yang dipalit dengan kontroversi mengenai isu yang mengatakan beliau telah menghantar gambar lucah kepada seorang perempuan memberitahu bahawa kes tersebut telah selesai. Adi berkata, pihak peguamnya telah menerima keputusan rasmi daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bahawa kes tersebut telah dianggap selesai dan tiada tindakan selanjutnya akan diambil. "Selepas siasatan selesai, keputusan rasmi hasil siasatan kes ini adalah diklasifikasikan sebagai 'no futher action' (NFA) dan ini jelas bermaksud tiada apa-apa pertuduhan ke atas diri saya. "Semasa siasatan dijalankan, saya telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan saya juga tidak membuat sebarang kenyataan atau komen yang boleh mengganggu siasatan pihak polis," katanya semasa sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. https://www.youtube.com/watch?v=RGrcRTkhI5Q Berikutan itu, Adi menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dibuat untuk mengaitkan dirinya dengan isu tersebut akan dianggap sebagai cubaan menjatuhkan reputasinya. Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang cuba mengaitkannya lagu dengan kes tersebut. "Sebarang kenyataan atau artikel bertulis yang bertujuan mengaitkan saya dengan alegasi-alegasi yang dibuat oleh pengadu dengan niat menjatuhkan maruah saya adalah salah di sisi undang-undang. "Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang menggunakan media cetak atau media elektronik semata-mata untuk merosakkan kerjaya saya. "Saya menegaskan aduan yang dikaitkan dengan diri saya ini telah selesai dan janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menimbulkannya lagi," ujarnya. Sementara itu, isteri Adi Putra, Aida Yusof berkata, beliau sebagai isteri kepada Adi sentiasa menyokong dan tidak mempercayai tuduhan yang dilemparkan kepada suaminya selepas mendengar mengenai isu tersebut. Katanya keputusan rasmi dari pihak PDRM tersebut merupakan suatu kelegaan bagi dirinya dan menyarankan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab tidak akan memanjangkan isu terbabit. "Saya mengamalkan prinsip kesabaran, saya sebagai seorang isteri sentiasa ingat bahawa aib seorang suami itu masing-masing perlu jaga dan disebabkan itu saya tidak mudah mempercayainya selepas mengetahui kenyataan dari pihak yang satu lagi. "Saya juga tidak merasa tertekan kerana saya tahu keadaan yang sebenarnya walaupun gosip yang pertama kali menyerang kami ini melibatkan pihak PDRM. "Saya rasa lega selepas keputusan tersebut berpihak kepada kami dan saya rasa pengadu tidak perlu mengaitkan suami saya lagi dalam perkara tersebut," katanya. |
Kes Skandal Adi Putra: Suami Dakwa Polis Bias Posted: 15 Dec 2013 06:44 AM PST Safiq Yaacob KUALA LUMPUR - Suami kepada Noraida Abd. Mutalib, wanita yang dikatakan mempunyai skandal kontroversi dengan pelakon, Adi Putra, Amiruddin Othman hari ini memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman pagi tadi susulan keputusan tiada tindakan selanjutnya (NFA) ke atas pertuduhan terhadap pelakon itu. Amiruddin berkata, laporan tersebut dibuat di bahagian tatatertib selepas pegawai penyiasat kes tersebut, Inspektor Fergie Din dilihat sebagai tidak profesional serta bias atau berat sebelah. "Susulan daripada keputusan NFA ke atas laporan yang telah dibuat, saya bersama isteri saya telah membuat satu laporan polis di Bukit Aman terhadap pegawai penyiasat di bahagian tatatertib kerana saya merasakan yang penyiasatan yang dilakukan tidak telus dan tidak profesional. "Mengapa saya rasakan siasatan tidak telus?Kerana pihak siasatan telah mengarahkan saya menarik balik laporan yang telah dibuat selain pegawai penyiasat terbabit kelihatan mesra bersama suspek yang hadir ke balai polis untuk memberi keterangan," katanya kepada pemberita semasa sidang media di Hotel Concorde di sini hari ini. Sementara itu, Noraida ketika ditanya mengapa beliau terus berhubung dengan Adi Putra selepas pelakon itu dikatakan mula menghantar pesanan berbaur lucah, beliau menjawab beliau melakukannya kerana terlalu teruja kerana telah meminati pelakon itu sejak sekian lama lagi. "Memang saya yang mula menghantar pesanan kepadanya tetapi lebih kepada ucapan selamat kerana saya tahu beliau sedang mengerjakan umrah. "Saya juga sudah berkata kepadanya supaya berhenti menghantar pesanan 'lucah' tersebut tetapi saya tidak sangka dia teruskan juga, dan saya terus layan beliau kerana saya sangat teruja selain sikap beliau yang romantik dan pandai memujuk,' ujarnya. Adi Putra atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim, 32, pada malam Khamis telah membuat satu sidang media menyatakan kes berkenaan telah digugurkan oleh pihak polis dan tiada tindakan lanjut atau 'no further action (NFA)' serta menganggap kes tersebut telah selesai. Adi menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang dibuat untuk mengaitkan dirinya dengan isu tersebut akan dianggap sebagai cubaan menjatuhkan reputasinya. Pada September lalu Adi didakwa menjalinkan skandal dengan isteri orang dan aktor itu disiasat polis selepas suami wanita berkenaan iaitu seorang ahli perniagaan dari Johor membuat aduan. Akhbar melaporkan, pelakon KL Gangster itu didakwa saling berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan wanita terbabit yang berusia 30 tahun walaupun baru seminggu berkenalan. Pelakon itu dikatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman Instagram dan kemudian mereka kerap berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp sejak 29 Julai lalu sehinggalah perbuatan berkenaan dihidu suami wanita itu. |
Guan Eng : BN Parti Tidak Berprinsip Posted: 15 Dec 2013 06:42 AM PST Aqilah Radzuankaidi SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menuduh Barisan Nasional (BN) sebagai parti yang tidak berprinsip dan mewujudkan perasaan benci dan bersikap perkauman sesama bangsa dan agama. Beliau berkata, BN adalah sebuah parti yang tidak bertanggungjawab dan menyalahkan "tsunami cina" kerana BN menang hanya 47% manakala lagi 51% Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum (PRU 13). "BN memang sebuah parti yang tidak berprinsip, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beri slogan 1 Malaysia, tetapi apabila berada di bawah pimpinan UMNO cakap 1 Melayu. "Laungkan slogan 1 Malaysia kemudian, salahkan "tsunami cina"" kerana BN hanya menang 47% , dan mempersoalkan pengundi Cina kerana tidak mengundi BN, sedangkan pengundi Cina hanya 25% sahaja,"katanya di Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor, Shah Alam. Tambahnya, selagi kerajaan dikuasai parti BN maka rasuah semakin berleluasa di Malaysia. Guan Eng dengan tegas berkata, memandangkan BN cuba untuk mengelak dan menutup kegagalan kerajaan membendung masalah rasuah, maka BN telah menaikkan isu lain seperti perkauman dan agama "Disebabkan hutang negara yang meningkat, BN tiada sebarang pilihan selain menaikkan harga barang seperti minyak, gula, cukai pintu, dan yang terbaru tol, kenaikan barang ini membebankan rakyat dengan kos sara yang semakin tinggi," jelasnya. |
Zahid Hamidi harus diajar, caranya terserah Posted: 15 Dec 2013 06:38 AM PST Yang sempat saya baca ada dua orang pengamal undang-undang (peguam) yang memberi pandangan atau nasihat kepada Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai cadangannya untuk saman Naib Presiden Umno Zahid Hamidi yang dianggap telah memfitnah dan memburukkan dirinya dengan fahaman Syiah. Zahid membuat dakwaan itu semasa di pentas Umno. Seorang darinya, Dr Zulqranian Lukman penguam muda yang meningkat naik dan juga aktivis Pas. Manakala seorang lagi Zaid Ibrahim seorang pengamal undang-undang berpengalaman dan terkenal serta bekas menteri undang-undang di zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Zulqranian memberi pandangan dari sudut prosuder perundangan berpandukan kepada kes-kes yang telah lepas berhubung keberkesanan (kejayaan) atas tindakan bakal dilakukan Mohamad Sabu itu. Mengikut hematnya bukan mudah Mohamad Sabu akan menang dengan saman itu. Beliau mengambil contoh macam mana Anwar Ibrahim sewaktu menyaman Mahathir Mohamad apabila Mahathir menuduh bekas TPM itu peliwat, ia dengan mudah ditolak mahakmah. Alasan yang diambil oleh mahkamah apa yang Mahathir kata itu sebagai termasuk dalam rukun-rukun, komen berpatutan (fair comment), atau kepentingan bersyarat (qualified privilege), kepentingan mutlak (absolute privilage) atau justifikasi (justification). Zulqarnaian tidak menyebut kemungkinan mahkamah tolak kerana pengaruh dan kedudukan Mahathir? Berdasar apa dilalui Anwar itu, Zulqarnain mengingatkan Mohamad Sabu agar tidak mudah mengambil tindakan mahkamah. Sebalik apa yang disarankan ialah, agar Mohamad terlebih dahulu menyelesaikan kes itu dengan membiarkan pihak KDN atau kerajaan negeri mendakwanya atas kesalahan disebut Zahid itu. KSU Kementerian Dalam Negeri, segeralah saman Mohamad Sabu sebab anda telah mendedahkan 10 bukti Mohamad Sabu sebagai Syiah? Sila... sila... Dalam kata lain menurut Zulquranian, Mohamad harus mendapat kata putus mengenai kedudukannya dari segi perundangan atau tafsiran agama mengenai Syiah baru membuat tindakan ke atas Zahid. Sesudah mahkamah menentukan dimana (jikalau) Mohamad didapati bukan seorang penganut ajaran Syiah seperti dituduh Zahid barulah saman boleh dikemukakan terhadap Zahid. Bagaimana pun beliau menyebut soal Syiah ini bukan mudah untuk ditetapkan oleh mahkamah. Cara itu bagi Zulqarnaian lebih kemas dan tuntas. Kalau berdasarkan kepada pandangan Zulqarnain yang bersifat akademik dan rasioanl itu seharusnya sebelum menteri "badigo' itu membuat tuduhan ke atas Mohamad Sabu beliau (Zahid) patut meminta KDN atau mana-mana kerajaan negeri mendakwa Mohamad Sabu dan biarlah mahkamah menentukan apakah timbalan presiden Pas itu Syiah atau tidak. Tidak beliau yang membuat tuduhan dahulu kemudian baru meminta bukti. Amalan dan stail demikian bukan sejajar dengan syariah Islam. Buruk dan jelek sangat orang yang dikatakan mendapat pendidikan agama, mampu hafal dua tiga kerat ayat-ayat Quran tergamak membuat tuduhan membuta tuli dan emosi. Orang seperti inilah yang dikatakan kail sejengkal tetapi lautan dalam hendak diduga. Mengaji belum khatam tetapi sudah mengembara jauh untuk menjadi guru? Ueekkkkk. Pandangan Zulqarnain itu lebih adil dan munasbah daripada pandangan Zaid Ibrahim. Zaid lebih tegas dan jelas katanya tidak ada guna Mohamad Sabu membuang masa dengan melayani karenah politik kayu Zahid Hamidi. Apa yang penting bagi Mohamad kepada Zaid, Mohamad Sabu harus menentang Zahid Hamidi dalam pilihan raya ke-14 kelak. Menurut pandangan Zaid, saman itu tidak memberi kesan kepada Zahid Hamidi sebalik ia boleh mencalarkan imej Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden Pas. Sesungguhnya martabat Mohamad Sabu dalam politik jauh lebih tinggi dari Zahid Hamidi hanya menjadi penyanyi lagu tiga kupang dalam Umno untuk mendodoikan Rosmah Mansor dengan kedudukan sebagai naib presiden saja. Menurut Zaid, sebaliknya Zahid lebih takut kepada Mohamad untuk berdepan dalam pilihan raya ke-14. Mungkin juga, sebab itulah Zahid beriya mahu membunuh karektor dan kepimpinan Mohamad Sabu. Mungkin pandangan Zaid itu berpandukan amalan dan sejarah perundangan di negara ini. Mungkin juga dia melihat apa berlaku kepada Anwar Ibrahim bila berdepan dengan Mahathir di mahkamah. Dalam keadaan mahkamah boleh dibeli, dirunding ... tidak mudah untuk Mohamad Sabu menang. Dan sebagai bekas peguam Umno dan menteri Umno Zahid tahu apa yang ada dalam kotak simpanan Umno. Kedua pandangan peguam itu boleh ditimbang terima oleh Mohamad Sabu. Kedua-dua pandangan itu munasabah dan postif. Tetapi apa yang perlu dilakukan sama ada menerusi saluran apa, dan bagaimana Mohamad harus mengajar Zahid Hamidi secukup-cukupnya. Kedudukan dia sebagai menteri KDN bukan lesen atau jaminan untuk dia kebal selama-lamanya. Perwatakan baiknya, mudah mesra bukan ufti untuk tidak menyerang dan membalas serangannya. Jahat harus dilawan dengan jahat. Yang pentingnya Zahidi Hamidi harus diajar sama ada di mahkamah atau pun didalam politik. Orang seperti Zahid tidak boleh dibiarkan dan dimaafi lagi. Perbuatan, tingkah lakunya sudah cukup untuk mengenali siapa dia sosok ini dan banyak kenyataan dan aksinya mencederakan keharmonian orang Melayu. Bencana besar yang dilakukan oleh orang ini ialah menghancurkan kerjaya dan masa depan Anwar Ibrahim. Anwar tidak akan musanah awal kalau bukan kerana nafsu besar Zahid Hamidi dan kuncu-kuncunya. Siapa yang mula mengkritik dengan biadab Mahathir Mohamad dalam perhimpunan agung kalau bukan Zahid Hamidi? Sifat oportunis yang dimiliknya yang suka mencari batas di antara dua lautan demi hidup meletakkan dia bukan seorang pemimpin yang boleh diharapkan. Orang mempunyai sifat begini ia boleh menjual bukan saja bangsa tetapi negara juga. Dia lebih mementingkan dirinya sendiri. Ada individu tertentu mengharapkan Zahid menjadi tokoh yang mempersatukan orang Melayu, Umno - Pas. Mereka ini mempercayai Zahid akan menjadi penyelamat. Penyelamat apa? Apa yang boleh diharap kepada orang talam dua muka. Kepercayaan itu diletak atas dasar hubungan peribadi mereka dengan Zahid. Namun matemetika politik Zahid tidak boleh diyakini dia akan muncul seperti mana diharapkan. Cara politik Zahid yang menggunakan PR sebagai modal dan aset tidak boleh dipakai dan dipercayai. Beberapa peristiwa masa lalu telah mengenalkan kita siapa Zahid kepada kita. Di sinilah ada kebenarannya kenapa Mahathir Mohamad menjera orang ini selama masa menjadi ketua pemuda Umno dahulu. Apa yang Mahathir nampak orang ini adalah talam dua muka, mempunyai dua ketua dalam satu masa. Ibrat mempunyai dua isteri satu dizahir dan satu lagi disembunyikan. Sifat-sifat ini juga sebahagian besar pemuda yang bersamanya dulu dalam Gerak Bakti Pemuda Umno menyumpah dan akan menjebeh bila disebut Zahid bakal menjadi PM ke lapan? Porahhh.... sumpah seorang yang dahulu menganggap Zahid adalah pemimpin dan heronya. [wm.kl.9:49 am 15/12/13] Masalah Zahid kini berdepan dengan Muhyiddin Yassin. Dia tahu yang Muhyiddin Yassin tidak akan mudah buntuk dipujuk dan jinak seperti Najib menerusi isterinya Rosmah. Kontau politik Zahid sudah diarifi oleh Muhyiddin. Jadi kerana merasa gerum dan mnelihat masa depannya gelap ini maka Zahid terpaksa memcipta isu yang dikira meletakkan dirinya lebih hebat dari Mu7hyiddin setidak-tidaknya dari aspek agama. XZahid suka kalau dia dikatakan tokoh bekerpreibarian agama di dalam Umno. Tetapi dalam masa sama dia tidak suka kalau dia didempetkan dengan sekolah agama Izuddin Shah kemudian Kolej Islam Kelang. Sebab itu dia berusaha mendapat 'doktor' untuk menjujung dirinya sebagai seorang ahli politik profesional. |
BN cadang guna kaedah majoriti mudah tahun depan Posted: 15 Dec 2013 06:20 AM PST PUTRAJAYA – Cadangan untuk mengguna pakai kaedah majoriti mudah berbanding sistem konsensus yang kini diamalkan Barisan Nasional (BN) dalam membuat keputusan akan dikemukakan pada mesyuarat Majlis Tertinggi BN pada tahun depan. Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perlembagaan BN perlu dipinda untuk membolehkan kaedah undi majoriti dilaksanakan. "Sekiranya sebuah parti komponen tidak bersetuju terhadap sesuatu cadangan maka ia tidak akan diteruskan (mengikut sistem konsensus). Saya sebagai Setiausaha BN akan mencadangkan agar mengkaji dan meminda semula perlembagaan BN untuk menggunakan kaedah majoriti mudah. "Perkara ini saya telah maklumkan kepada perdana menteri yang juga pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India se-Malaysia (IPF) ke-21 di SeriKembangan, dekat sini hari ini. Tengku Adnan berkata demikian bagi mengulas permintaan Presiden IPF Datuk M.Sambanthan dalam ucapannya di perhimpunan parti itu agar BN menerima IPF sebagai salah sebuah parti komponen. Perhimpunan itu dihadiri kira-kira 700 perwakilan parti. Sementara itu, Sambanthan berkata parti komponen BN yang lain akan meminggirkan IPF sekiranya tidak diterima sebagai sebuah parti komponen BN sekali gus menghalang usaha parti berkenaan untuk berkempen dengan baik dalam pilihan raya umum akan datang. "IPF turut memohon agar anggota parti IPF dilantik untuk jawatan Ahli Dewan Negara, pengarah syarikat kerajaan serta sebagai anggota majlis pihak berkuasa tempatan," katanya. Mengenai masalah dalaman IPF, Sambanthan berkata, mereka yang terlibat dalam isu itu bukan lagi anggota parti kerana mereka telah meninggalkan parti beberapa tahun yang lepas. "Sejak dilantik menjadi presiden, saya telah mengajak mereka memperbaharui keahlian dalam parti tetapi mereka enggan melakukannya. "Setakat ini, Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan sebarang cawangan yang ditubuhkan oleh bekas anggota parti ini," katanya. Sambanthan berkata IPF mempunyai 26 anggota jawatankuasa tertinggi dan lebih 100,000 anggota di 600 cawangan seluruh negara. |
Mat Sabu: KDN yang perlu bukti tuduhan Posted: 15 Dec 2013 06:18 AM PST MALAYSIA KINI Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab mengemukakan bukti kerana mendakwa beliau sebagai pengikut Syiah dan bukan sebaliknya. Beliau mengulas gesaan oleh pegawai agama KDN, Zamihan Moat Zain yang mahu Mohamad mengemukakan bukti bagi menadikan tuduhan tersebut. "Beban bukti di tangan mereka (KDN) kerana mereka yang menuduh saya. "Sepanjang pengetahuan saya, itu caranya undang-undang berjalan di Malaysia," katanya seperti dipetik dalam laporan the Star Online. Zamihan semalam menggesa Mohamad agar berhujah secara ilmiah bagi menafikan 10 bukti yang dikeluarkan KDN kelmarin. Beliau meminta Mohamad berbuat demikian sekiranya tokoh PAS itu tidak yakin dengan bukti yang dikemukakan. "Kalau kata bukti-bukti ini tidak cukup kuat, (Mohamad) sila jawab secara ilmiah untuk menafikan 10 bukti berkenaan. "Tidak kiralah sama ada secara bersemuka dengan KDN, jawab dalam YouTube atau dalam surat khabar," katanya seperti dipetik dalam laporan Bernama semalam. |
Tony Pua dipilih ketuai DAP Selangor Posted: 15 Dec 2013 06:12 AM PST MP Petaling Jaya Utara Tony Pua hari ini dipilih untuk menggantikan Teresa Kok sebagai pengerusi DAP Selangor. Pua dalam kenyataannya selepas pemilihan itu berkata, beliau menerima tanggungjawab berat dan cabaran berkenaan dengan perasaan rendah hati. "Saya berada di peringkat di mana DAP memenangi kesemua kerusi yang ditandingi di Selangor dan sukar diatasi. "Cabaran saya selepas ini adalah untuk mengekalkan rekod tersebut, dan untuk tidak menjejaskan rekod pemimpin sebelum saya," katanya. Katanya, beliau mensasarkan untuk turut membantu sekutu DAP dan komponen Pakatan Rakyat di negeri lain. MP Puchong Gobind Singh Deo dipilih sebagai timbalan pengerusi manakala ADUN Sungai Pinang Datuk Teng Chang Khim dan ADUN Subang Hannah Yeoh masing-masing dipilih sebagai naib pengerusi. Seramai 15 anggota jawatankuasa baru DAP Selangor memilih pucuk pimpinan mereka itu secara undi rahsia selepas pertemuan selama 30 minit. Anggota jawatankuasa itu terdahulu dipilih oleh 687 perwakilan. Selain itu, bekas anggota exco Selangor Ronnie Liu juga kembali ke jawatankuasa tersebut, dengan menduduki tempat kesembilan dari 15 calon. |
Lelaki ditahan kes sumpit warga emas Posted: 15 Dec 2013 06:10 AM PST Seorang lelaki Orang Asli ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kejadian menyumpit seorang lelaki warga emas sehingga maut, dalam satu kejadian di Kampung Bangkong, dekat Jerantut Jumaat lepas. Suspek Orang Asli itu dikenali sebagai "Dolah" itu kini ditahan di ibu pejabat Polis Daerah Jerantut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail dalam kejadian itu mangsa Harun Mat Bakar, 79, mati akibat racun daripada damak (peluru sumpit) yang mengenai bahagian muka, leher dan bahu kirinya. "Pada hari kejadian, mangsa yang pulang ke rumahnya di Felda Sungai Tekam Utara di sini pada jam 7.10 malam, memberitahu isteri dan anaknya yang dia telah disumpit," katanya kepada pemberita di Jerantut, hari ini. Sebelum rebah, mangsa sempat memberitahu keluarganya yang dia telah disumpit oleh seorang lelaki bernama "Dolah". "Mangsa kemudiannya rebah dan pengsan, anak mangsa membawanya ke Klinik Sungai Tekam Utara, sebelum dirujuk ke Hospital Jengka. "Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital itu," katanya. Azid berkata hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat kesan racun. "Doktor mengesahkan terdapat kesan kecederaan kecil di bahagian muka, leher dan bahu kiri mangsa. Doktor mengesyaki mangsa mati akibat racun yang disumpit," katanya. Beliau berkata suspek, 48, berjaya diberkas hari ini di rumahnya di Kampung Bangkong, dekat Jerantut. Pihak polis turut merampas barangan kes seperti sumpit dan damak. "Suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini, motif kejadian masih disiasat," katanya. - Bernama |
KDN: 20 pengakuan saksi direkodkan jadi bukti ‘gred A’ Mat Sabu Syiah Posted: 15 Dec 2013 01:16 AM PST Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan memiliki bukti eksklusif 'gred A' berupa pengakuan lebih 20 individu yang didakwa mampu 'menceritakan' kecenderungan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) dengan fahaman Syiah. Penolong Setiausaha Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam KDN, Zamihan Mat Zain Al-Ghari, berkata mereka merupakan individu terdekat dan rapat dengan pemimpin yang dikenali sebagai Mat Sabu itu. "Ada yang 'sekapal' daripada sudut politik, ada juga pengikut Syiah yang sudah bertaubat. Mereka ini rapat dengan pemimpin tersebut, orang yang berkawan dengannya, jadi 'anak buah' dia. Mereka menyaksikan apa dia cakap, buat dan libatkan aktiviti berkaitan Syiah. ''Mereka juga pernah bersama dia ke Iran dan menghadiri mesyuarat kumpulan Syiah. Jadi, kalau orang yang dekat dengannya boleh mengemukakan bukti, bagaimana hendak nafi? ''Jangan lupa, bila dia ke luar negara, dia lawat siapa, pergi mana, sudah tentu ada aspek catatan rekod teknikal Jabatan Imigresen. Semua ada rekod dan bukti,'' katanya dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia edisi Ahad, Mingguan Malaysia hari ini. Zamihan berkata, KDN juga memiliki bukti yang mengaitkan Mohamad menghadiri seminar berkaitan Syiah di Iran selain kekerapan pertemuan dengan pemimpin tertinggi Syiah di luar negara. Beliau mendakwa, penglibatan Mohamad dengan Syiah bukannya perkara baharu tetapi dikatakan berlaku sejak era 1990-an. ''Ada gambar, tetapi tidak banyak termasuk video. ''Kementerian mengemukakan 10 maklumat secara fakta. Kalau fakta ini ditarafkan sebagai lemah, lawak atau tidak masuk akal, sila bawa fakta yang boleh nyahkan bukti-bukti kementerian itu. ''Sampai kini, tak mampu nyahkan bukti itu. Kita tidak akan dakwa kalau tiada fakta. Kita bukan bercirikan politik atau mahu aibkan individu berkenaan. Kita bercakap atas platform kebenaran,'' katanya. Mohamad sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya berfahaman Syiah, tetapi tidak menolak beliau mengagumi pemimpin besar Revolusi Iran Ayatollah Ruhullah Musawi al-Khomeini dan Setiausaha Agung Hezbollah, Sayyid Hassan Nasrallah. |
Kajian sahkan Malaysia tidak mampu lahirkan pekerja berkemahiran tinggi – Lim Kit Siang Posted: 15 Dec 2013 01:08 AM PST KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka tidak mampu menghasilkan pekerja berkemahiran tinggi untuk menjadi negara berpendatan tinggi jika transformasi pendidikan dilakukan ke arah mengejar kecemerlangan, bukan secara ala kadar. Katanya, Penasihat Institute of Labour Market Information and Analysis (ILMIA), Lee Chee Sung, sebuah lembaga di bawah Kementerian Sumber Tenaga Manusia menyatakan demikian pada majlis perasmian portal ILMIA di Kuala Lumpur kelmarin bahawa walaupun 400,000 peluang kerja dibentuk tahun lalu, Malaysia masih belum menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi kerana kekurangan pekerja berkemahiran tinggi. Pada majlis yang sama, Menteri Sumber Tenaga Manusia, Datuk Richard Riot Jaem mengakui bahawa pada masa ini, kira-kira 28 peratus daripada 12.7 juta tenaga buruh dalam negara terdiri daripada pekerja berkemahiran tinggi dan kerajaan mensasar untuk meningkat kepada 50 peratus menjelang 2020. Bagaimanapun, menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, kedua-dua penanda aras pendidikan antarabangsa yang penting, Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) 2011 dan PISA 2012, menunjukkan pencapaian Malaysia dalam membangunkan sumber tenaga manusia negara adalah lemah, sedangkan modal insan adalah pemacu asas bagi pertumbuhan ekonomi. "Seperti dinyatakan dalam laporan Malaysia Economic Monitor Bank Dunia, sistem pendidikan membina kemahiran kognitif dan melengkapkan pekerja dengan pengetahuan yang dapat meningkatkan daya pengeluaran mereka dan memungkinkan inovasi untuk terjadi. "Pengetahuan daripada peringkat asas seperti kemahiran membaca sehingga kejuruteraan maju, yang disalurkan menerusi sekolah adalah amat penting untuk kemajuan ekonomi dan sosial kita," katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, Bank Dunia menyifatkan usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi sebagai satu unsur penting dalam transformasi Malaysia ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif. "Atas sebab inilah semua rakyat Malaysia perlu memandang serius krisis sistem pendidikan negara dalam keadaan prestasi penilaian antarabangsa di bawah tahap yang wajar bagi sebuah negara yang mempunyai pendapatan per kapita serta perbelanjaan pendidikan. "Selain itu kerana prestasi Malaysia lebih buruk daripada negara berpendapatan tinggi yang kita anggap pesaing dalam usaha menarik masuk pelaburan berasaskan inovasi dan pengetahuan," katanya. Menurutnya, Malaysia berdepan dua masalah dalam usaha membentuk sistem pendidikan berprestasi tinggi iaitu memastikan pelajar Malaysia berusia 15 tahun yang pencapaian bawah tahap purata antarabangsa serta ketinggalan di belakang negara berprestasi tinggi seperti Shanghai, Singapura, Korea Selatan, Hong Kong dan Taiwan untuk mampu melakukan lonjakan berganda dalam PISA 2021 daripada tangga sepertiga tercorot ke tangga sepertiga terbaik. Keduanya, peningkatan besar daripada segi peratusan pelajar berprestasi tinggi dalam subjek matematik, sains dan bacaan. Untuk subjek matematik dalam PISA 2012, Shanghai-China memiliki pelajar berpencapaian terbaik iaitu pada Tahap 5 atau 6 (55.4%), diikuti Singapura (40%), Taiwan (37.2%), Hong Kong (33.7%) dan South Korea (30.9%). Sebagai perbandingan, hanya 1.3% pelajar Malaysia tergolong sebagai pelajar berpencapaian terbaik, sedangkan lebih daripada separuh pelajar Malaysia (51.8%) tidak mencapai tahap keupayaan asas yang memadai dalam bidang itu (di bawah Tahap 2). Pelajar Malaysia dalam kumpulan 5% terbaik sekali pun menunjukkan pencapaian yang hanya setara dengan pelajar biasa dari Korea Selatan dan Jepun. Menurut Kit Siang, perkara yang perlu diperhatikan, pencapaian Malaysia berada di bawah Vietnam, sebuah negara berpendapatan rendah yang pertama kali menyertai PISA pada 2012. Sebanyak 13.3% pelajar Vietnam digolong sebagai pelajar berpencapaian tinggi dan hanya 14.2% yang keupayaan asas dalam subjek Matematik mereka berada di bawah tahap asas. "Perbandingan mata PISA 2012 antara Vietnam dan Malaysia perlu diperhatikan secara lebih dekat pemimpin politik, perancang pendidikan dan ibu bapa dalam tiga subjek itu iaitu Malaysia dalam matematik (421), Sains (420) dan Bacaan (398) manakala Vietnam matematik (511), sains (528) dan bacaan (508). "Apakah Malaysia mempunyai kesungguhan politik untuk mengubah sistem pendidikannya menjadi sistem pendidikan berprestasi tinggi demi mengejar kecemerlangan dan bukan hanya terbiar menjadi satu sistem ala kadar untuk membolehkan Malaysia mencapai matlamat untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, lestari dan inklusif menjelang 2020," katanya.-Roketkini.com |
DAP sedia serah maklumat, mahu ROS tarik balik larang buat keputusan Posted: 15 Dec 2013 01:05 AM PST GEORGE TOWN: DAP akan menyerahkan maklumat tambahan yang diminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung kongres khas dan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), 29 September lalu. "Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika ROS bertegas dengan larangan menyekat CEC baru DAP daripada membuat keputusan," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini. Dilaporkan parti itu menerima surat daripada ROS bertarikh 6 Disember lalu yang menyatakan parti berkenaan menghantar laporan tidak lengkap mengenai kongres khas dan pemilihan semulanya, 29 September lalu. ROS juga menasihati CEC agar tidak melaksanakan sebarang keputusan sementara menunggu siasatan lanjut dijalankan. Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, permintaan ROS itu tidak pernah terjadi dalam sejarah sejak penubuhan DAP. "Walaupun DAP bersedia memberi kerjasama bagi memenuhi permintaan ROS itu, parti itu juga tidak akan teragak-agak untuk mengheret ROS ke mahkamah bagi membantah tindakan yang bermotifkan politik dan tidak masuk akal.- Roketkini.com |
Rakyat makin sengsara pelbagai kenaikan oleh Kerajaan Umno-BN Posted: 15 Dec 2013 12:53 AM PST KEADILAN DAILYRakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana serta golongan fakir miskin bakal berdepan dengan pelbagai kenaikan selepas PRU13 bermula dengan kenaikan petrolieum. Kenaikan gula turut diikuti dalam pembentangan Budjet 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan sehingga menghapuskan RM551.25 juta subsidi gula . Sejak Syed Mokhtar Al-Bukhary menguasai industri gula pada tahun 2009 , sebanyak 5 kali kenaikan sehingga kini. Kini seluruh pengguna Astro pula berdepan dengan kenaikan RM2 bagi Pakej Famili dan RM6 bagi Pakej Sukan yang telah berkuatkuasa 11 November 2013 turut menambahkan tekanan pada lebih 3juta pengguna Astro yang terpaksa membayar kenaikan pakej tersebut. Sedangkan Astro umumkan perolehan RM2.3 Billion untuk 6 bulan pertama berakhir 31 Januari 2014 iaitu peningkatan 13 peratus. Sedangkan Menteri Penerangan,Komunikasi dan Multimedia mempunyai kuasa terhadap mengawal dan menentukan harga pakej langanan yang ditawarkan Astro. Bermula Januari 2014 pula rakyat Malaysia pula akan berdepan dengan kenaikan elektrik sepertimana yang diumumkan oleh Datuk Seri Maximus Ongkili baru-baru ini sebanyak 15 peratus atau 4.99sen setiap kilowatt,manakala di Sabah dan Labuan berjumlah 5sen.Satu kenaikan yang sangat ketara. Wargakota Kuala Lumpur pula bakal berdepan dengan kenaikan tambang LRT dan Monorel berkuatkuasa pada 2014 sudah pasti akan membebankan para pengguna pengangkutan awam tersebut.Kerana LRT dan Monorel adalah merupakan pengangkutan golongan berpendapat rendah dan sederhana,mahasiswa,pelajar-pelajar dan warga miskin. Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ,Datuk Seri Abdul Wahid Omar pula telah mengesahkan bahawa kadar TOL akan dinaikkan pada tahun 2014 dengan alasan terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya. Warga Kuala Lumpur pula ditekan dengan kenaikan cukai oleh DBKL mencecah 240 peratus sudah pasti akan memberikan impak kepada warga kota khususnya golongan berpendapatan rendah dan miskin. Justeru JINGGA 13 Malaysia menyeru agar turun ke "Himpunan Bantah Kenaikan Cukai Oleh DBKL" pada 16 Disember 2013 jam 11pagi di Dataran DBKL sebagai tanda bantahan terhadap kenaikan cukai yg tidak munasabah tersebut. JINGGA 13 Malaysia yakin beberapa siri kenaikan lagi bakal dikenakan kepada rakyat ekoran siri kenaikan selepas PRU13 dan bakal dilaksanakan pada tahun 2014 turut mengundang kenaikan harga barang makanan dan keperluan hidup yang sudah pasti memberikan kesan kepada rakyat . Kerajaan UMNOBN terus gagal memberikan kelegaan dan keselesaan kepada rakyat tetapi memberikan tekanan tanpa rasa belas kasihan dan perikemanusiaan ekoran kenaikan yang bakal dihadapi dan diterima oleh rakyat seluruhnya. Kenaikan harga barang makanan dan barang-barang keperluan terus meningkat manakala gaji dan pendapatan rakyat tidak naik malah berdepan dengan cukai yang terus membebankan mereka. JINGGA 13 Malaysia mendesak Kerajaan UMNOBN menghentikan segala siri kenaikan dengan mengambil kira kesengsaraan majoriti rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan rendah dan serderhana serta golongan fakir miskin. Muafakat*Prihatin*Berani Zainal Abidin Bin Abu Bakar Koordinator Panatia Ekonomi JINGGA 13 Malaysia |
MB jamin tidak lindungi sesiapa, alu-alu siasatan SPRM kes curi pasir Posted: 15 Dec 2013 12:47 AM PST Oleh : Mohd Ezli Mashut SHAH ALAM : Kerajaan Selangor mengalu-alukan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan bagi menyiasat dakwaan mengenai laporan kecurian pasir di Sungai Long, Hulu Langat yang dilaporkan media. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata Kerajaan Negeri akan mendapatkan laporan lengkap dari semua jabatan dan agensi yang berkenaan bagi menjalankan siasatan dalaman. "Kerajaan Negeri juga mengharapkan siasatan profesional dilakukan SPRM dan jaminan tidak akan memberi perlindungan kepada pihak-pihak yang terlibat sama ada di peringkat Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) atau Pejabat Tanah Daerah (PTD)," kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan medianya hari ini. Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbukti mengamalkan gejala rasuah kerana iktizam kerajaan negeri adalah menggalas amanah rakyat secara telus dan bertanggungjawab. "Oleh kerana itulah, anak-anak syarikat kerajaan negeri termasuk KSSB telah diarah melaksanakan Integrity Pact dengan kerjasama Transparency International bagi meningkatkan kecekapan dan mengelak risiko berlakunya rasuah," kata Abdul Khalid. |
MB : Tol naik akibat Kerajaan Pusat silap meterai perjanjian Posted: 15 Dec 2013 12:44 AM PST Oleh : AFIX REDZUAN BANDAR TUN RAZAK: Kesilapan Kerajaan Pusat dalam memeterai perjanjian dengan syarikat konsesi lebuhraya tanpa menyatakan jumlah keuntungan maksimum yang boleh dikutip konsesi mengakibatkan rakyat terpaksa membayar lebih daripada sepatutnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata kesilapan ini sepatutnya diperbetulkan Kerajaan Pusat sejak sekian lama supaya rakyat tidak lagi terbeban dengan keadaan ini. Katanya, ini kerana perjanjian konsesi lebuhraya lebih menumpukan kepada tempoh perjanjian sehingga mengakibatkan syarikat konsesi mengaut keuntungan lebih daripada kos perbelanjaan awal yang telah dikeluarkan untuk menyiapkan projek berkenaan. "Kita dapati syarikat konsesi apabila membentangkan kertas kerja menyatakan peratus pertumbuhan trafik adalah lebih rendah dari apa yang berlaku sekarang. "Ini bererti aliran tunai atau pendapatan hasil untuk konsesi adalah lebih besar daripada apa yang dijangkakan. "Walau bagaimanapun pemegang konsesi masih menuntut walau mereka sudah memperoleh (keuntungan) daripada apa yang dijangkakan," katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak kepada Selangor Kini dalam sidang media. Katanya, Kerajaan Pusat perlu menyemak semula pulangan keuntungan yang diperoleh syarikat konsesi dan mengubah pendirian mereka kerana pada dasarnya kerajaan sudah membayar lebih dari sepatutnya. Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, berkata kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan Ini kerana, perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya dan telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011. Pengumuman ini merupakan satu lagi 'hadiah' untuk rakyat untuk 2014 apabila Barisan Nasional menang selepas PRU-13.-EZY |
Kerajaan Pastikan Aspek Keselamatan Dipatuhi Sebelum JPP2 Dibenar Beroperasi - Najib Posted: 15 Dec 2013 12:42 AM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan semua aspek serta ciri-ciri keselamatan dipatuhi sebelum Jambatan Pulau Pinang Kedua (JPP2) dibenarkan beroperasi sepenuhnya. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemeriksaan keselamatan sedang giat dijalankan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya terpelihara. "Alhamdulillah, setakat ini pembangunan JPP2 sudah hampir siap. Insya-Allah kita menjangka jambatan ini akan beroperasi awal tahun depan," katanya dalam entri terbaharu di laman Facebook beliau. Jambatan sepanjang 24 km termasuk 17 km di atas laut itu direka dengan mengutamakan kelestarian alam. Projek kerajaan persekutuan dengan kos RM4.5 bilion itu adalah jambatan terpanjang di Asia Tenggara dan dijangka dapat mengurangkan 25 peratus kesesakan trafik di Jambatan Pulau Pinang. Sementara itu, dalam Tweet terbarunya, Najib berkata beliau bangga dengan prestasi memberangsangkan skuad hoki remaja dalam Piala Dunia Remaja walaupun kalah di peringkat separuh akhir. Semalam, skuad hoki remaja negara tewas 1-3 kepada Perancis dalam penentuan pukulan penalti pada perlawanan separuh akhir Hoki Remaja Piala Dunia 2013 di Stadium Nasional Major Dhyan Chand di New Delhi, India.-BERNAMA |
Jenice Lee Dilarang Hadiri Konvensyen DAP Posted: 15 Dec 2013 12:38 AM PST SHAH ALAM: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teratai, Jenice Lee, yang dipecat sebagai ahli DAP, membidas tindakan parti itu melarang beliau menghadiri konvensyen negeri sebagai pemerhati. Lee mendakwa beliau telah memohon untuk menghadiri konvensyen tersebut sebagai pemerhati lima minggu lalu tetapi tidak mendapat sebagai maklum balas. "Memikirkan ia tidak menjadi masalah, saya masuk ke dalam dan terkejut apabila beberapa pegawai menyuruh saya berhenti. "Adalah tidak masuk akal untuk menghalang saya apabila beberapa wartawan dibenarkan untuk masuk. "Saya boleh faham jika ruang tidak cukup tetapi dewan kelihatan kosong dan terdapat banyak tempat duduk kosong," kata Lee yang tiba di dewan konvensyen pada pukul 9 pagi. Lee mengkritik parti itu kerana tidak menyenaraikan namanya dalam senarai kehadiran ke konvensyen tersebut. "Berlaku beberapa pembohongan atau jika tidak mereka tidak akan membuang nama saya dalam senarai kehadiran konvensyen parti sebelum ini," katanya. Ketua Biro Undang-Undang DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo berkata beberapa pegawai yang menjaga pintu masuk telah menjalankan tugas mereka dengan tidak membenarkan Lee memasuki dewan itu kerana beliau telah dipecat daripada parti. "Hanya ahli DAP, perwakilan dan tetamu jemputan boleh memasuki dewan sebagai pemerhati. "Jawapan mudah kami ialah keahlian Lee telah diuruskan oleh jawatankuasa disiplin. CEC telah mengekalkan keputusan bahawa beliau bukan lagi ahli parti," kata Gobind. |
Rugi peralatan sekolah cecah puluh juta Posted: 15 Dec 2013 12:34 AM PST Keadaan banjir di hadapan Sekolah Kebangsaan Tengkawang, Hulu Terengganu semalam. KUALA TERENGGANU - Banjir besar luar jangka yang berlaku di Terengganu terutama di daerah Kemaman memusnahkan banyak harta benda dan peralatan sekolah mengakibatkan anggaran kerugian bernilai puluhan juta ringgit. Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas Negeri Ghazali Taib berkata, taksiran sedang dijalankan terutama membabitkan peralatan pejabat seperti sistem komputer di sekolah seluruh daerah itu yang ditenggelami air banjir bermula, 2 Dis lepas. "Jumlah kerugian sebenar kita belum peroleh kerana kerja-kerja pentaksiran harta benda dan peralatan sekolah yang musnah sedang dijalankan sekarang. Ia bukan kerugian setakat dua, tiga juta ringgit, tetapi menjangkau puluhan juta ringgit untuk kembali pulih kerana sistem yang rosak perlu diganti. "Ia melibatkan kerosakan peralatan bilik darjah, sistem komputer, asrama, prasarana sekolah seperti longkang pecah dan sebagainya," kata kepada pemberita selepas menutup Persidangan Pengurusan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini. Bagaimanapun Ghazali berkata sesi persekolahan yang bermula bulan depan tidak akan terjejas kerana diramalkan banjir besar seperti yang dialami baru-baru ini, tidak berulang. Katanya, lazimnya jika sudah berlaku banjir besar, maka banjir kecil yang berlaku selepas itu hanya melanda kawasan rendah. "Jadi untuk persediaan memasuki sekolah dalam masa dua minggu akan datang ini, Kementerian Pendidikan dan jabatan pelajaran negeri sudah ada pelan tindakan iaitu memastikan pada Januari ini, semua sekolah di negeri ini dapat beroperasi seperti biasa, sebagaimana dijadualkan," katanya. Menurut beliau, kerosakan peralatan sekolah seperti kerusi, meja dan buku-buku teks, pihak sekolah boleh mendapat bekalan dari Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang tidak terlibat banjir. Jelas Ghazali, kerugian yang dialami oleh sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan, akan diuruskan kerajaan pusat manakala sekolah di bawah naungan kerajaan negeri, akan dibaik pulih kerajaan negeri. - Bernama |
Keluar parti biar kerana prinsip bukan kerana roti Posted: 15 Dec 2013 12:32 AM PST KUANTAN - Sekumpulan ahli Umno dilaporkan keluar parti dan menyertai PKR baru-baru ini kerana tidak puas hati dengan agihan makanan kepada mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan, di sini. Pengerusi Umno Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh pihak Umno dan PKR. Bagaimanapun, katanya, jumlah mereka yang keluar parti itu sebenarnya tidak lebih daripada 40 orang. Mereka dikatakan daripada Cawangan Umno Tanah Putih Baru, di sini. Adnan, yang juga Menteri Besar Pahang berkata, beliau sendiri menyiasat untuk mengenal pasti punca sebenar ahli-ahli Umno itu bertindak demikian. "Maaf saya cakap, puncanya hanya (kerana) roti. Kita diberitahu bekalan roti di pusat terbabit cukup. Bagaimanapun, pegawai yang bertugas mengagihkannya secara sikit-sikit. "Bila mereka minta lebih, petugas tak bagi. Jadi mereka kecewa dan marah," katanya ketika diminta mengulas berhubung perkara itu, di sini, hari ini. Beliau berkata, beliau faham dalam situasi banjir ada di antara mangsa yang tertekan, apatah lagi dalam keadaan terdapat makanan, tetapi tidak diagihkan secukupnya. "Petugas yang terlibat pun mungkin ada sebabnya sendiri tidak berikan roti itu kepada mangsa seperti yang diminta. "Sebenarnya dalam situasi kritikal akibat bencana banjir ini, kita faham roti amat bermakna kepada mangsa dan keluarga, terutama yang ada ramai anak," katanya. Adnan berkata, beliau faham dan tidak berasa kecewa dengan keputusan ahli Umno itu, tetapi jumlah yang terlibat tidaklah seperti yang digembar-gemburkan. "Saya kenal ketua kumpulan ini dan kami pernah berjumpa dalam beberapa majlis, tapi disebabkan terlalu kecewa, dia mengambil keputusan keluar parti dan menyertai PKR. "Bagi saya keputusan hendak keluar parti biarlah kerana prinsip perjuangan, bukan disebabkan roti," katanya. Kisah kira-kira 100 ahli Umno menyertai PKR itu tersebar di laman sosial beberapa hari lalu. Mereka dilaporkan menyerah borang penyertaan keahlian kepada Ahli Parlimen Kuantan, yang juga Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh. |
Ahmad Said kesal dilabel Robin Hood Posted: 15 Dec 2013 12:30 AM PST Bukti.. Ahmad menunjukkan surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun yang menyatakan pihak Gardenia enggan menerima bayaran sebaliknya berbesar hati kerana berpeluang membantu mangsa banjir di saat memerlukan. Menurutnya, beliau agak kecewa kerana niat murninya untuk membantu mangsa banjir yang terperangkap dan kelaparan yang ditemuinya dalam perjalanan pulang ke Kemaman dari Kuala Lumpur itu, menerima maklum balas berunsur negatif di laman blog dan laman Facebook. "Saya bukan Robin Hood. Dia (Robin Hood) merompak orang kaya dengan niat untuk membantu orang miskin. Tetapi dalam hal ini saya tidak merompak, sebaliknya saya menawarkan untuk membayar harga keseluruhan roti yang diagih kepada mangsa banjir itu. "Yang salah tetap salah dan yang benar tetap benar, jadi tak perlulah umpamakan saya seperti Robin Hood," katanya. Ahmad turut menafikan dakwaan mengatakan beliau memaksa pemandu lori itu membuka pintu lori dan memberitahu beliau turut menyimpan gambar yang diambil pada 4 Disember itu sebagai bukti. "Bayangkanlah, ramai yang datang kepada saya dan beritahu anak mereka menangis kelaparan akibat terkandas setelah laluan Kemaman-Kuantan ditutup akibat dinaiki air. "Pada mulanya, pemandu itu enggan membuka lori, tetapi bila saya menghubungi pengurusnya dan memberitahu sedia membayar harga kesemua roti itu, barulah pemandu itu berani membuka lori itu," katanya. Ahmad berkata, beliau turut menghubungi pegawai berkenaan untuk mendapatkan invois, bagaimanapun, pihak pengurusan Gardenia enggan menerima sebarang bayaran sebaliknya mereka amat berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir ketika keadaan benar-benar memerlukan. "Surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun antara lain menyebut bahawa pihaknya amat berbesar hati kerana dapat membantu mangsa banjir dan berterima kasih kepada Menteri Besar dan berbangga kerana diberi peluang berbuat demikian dalam keadaan memerlukan," katanya. Bukti.. Ahmad menunjukkan surat daripada Pengurus Pemasaran Kanan Gardenia, Haslinah Harun yang menyatakan pihak Gardenia enggan menerima bayaran sebaliknya berbesar hati kerana berpeluang membantu mangsa banjir di saat memerlukan. |
Warga asing dominasi seludup rokok di Selangor Posted: 15 Dec 2013 12:21 AM PST SHAH ALAM - Seramai 80 peratus daripada 114 orang yang ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Selangor kerana menyeludup rokok dari Januari hingga November, adalah warga asing. Pengarahnya Badaruddin Mohamed Rafik berkata, daripada jumlah itu 35 telah dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kastam 1967. "Sepanjang tempoh berkenaan juga, jabatan merampas rokok putih dan rokok kretek bernilai RM4.9 juta melibatkan cukai RM28.5 juta dalam 313 serbuan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Bersepadu Membenteras Rokok Seludup 2013 di sini hari ini. Operasi yang akan diadakan selama dua minggu itu turut melibatkan Jabatan Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Selangor. Beliau berkata, pada tahun lepas, pihaknya melakukan 226 serbuan dan merampas rokok putih dan kretek bernilai RM8.4 juta melibatkan cukai bernilai RM26.6 juta. Katanya, perbezaan nilai rampasan rokok dan cukai yang terlibat dalam serbuan pada tahun ini dan pada tahun lepas adalah kerana kerajaan telah menaikkan cukai rokok pada tahun ini. - Bernama |
Semakan Kenaikan Harga Tambang Bas Teksi 2014 : Rakyat Malaysia Sudah Bersedia? Posted: 14 Dec 2013 04:28 PM PST Nampaknya, selesai sahaja pilihanraya, ramai rupanya yang "beratur panjang" untuk membuat semakan kenaikan harga kepada untuk dilepaskan kepada rakyat Malaysia seperti anda, anda di sini. Terkini…. Terkini pihak SPAD begitu sibuk merangka dan melakukan kajian untuk anda semua menerima berita rasmi nilai kenaikan tambang bas dan tambang teksi 2014 tidak lama sahaja lagi. Kalau berita (DI SINI), pengguna dan penumpang LRT Monorel terkena kesannya kenaikan harga tambang tidak lama sahaja lagi. Bagi penggunabas dan juga teksi, ini pula bahagian berita kenaikan untuk anda pula. Jadi, cadangan Berita Semasa di sini, jikalau kerajaan melalui SPAD sayangkan rakyat Malaysia letakkan beban kenaikan harga tambang bas dan teksi ini diletakkan kepada warga asing yang menggunapakan perkhidmatan ini. Di mana rakyat Malaysia boleh menggunakan sistem rebet contohnya memegang Mykad mendapat diskaun sekitar 50%. Untuk rakyat bukan, apa salahnya. Atau anda ada cadangan lain, mohon kongsikan bersama kami. Sesuailah dengan slogan :
Harap cadangan Berita Semasa ini dipertimbangkan. Insyaallah. Tidak rugi membantu rakyat dengan mekanisme yang lebih baik. Jangan kusutkan fikiran rakyat dengan berita-berita kenaikan seperti ini yang terpaksa ditanggung mereka. Yang mana akhirnya bakal memberikan kesan yang kurang baik produktiviti & hasil kerja mereka. Entahlah apabila difikirkan, sepatutnya bagai mengurangkan kesesakan di jalan raya memandangkan sistem trafik yang masih lagi menyedihkan, apa salahnya diberikan kadar tambang yang berpatutan untuk pengguna pengangkutan awam dengan harapan memberikan galakan untuk warga kota menggunapakai perkhidmatan awam. |
Zahid Hamidi & KDN anjur sarkas paling menghiburkan Posted: 14 Dec 2013 04:19 PM PST KEADILAN DAILYKUALA LUMPUR : Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar secara sinis menyatakan dakwaan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu sebagai pengikut ajaran Syiah adalah 'satu pertunjukan sarkas yang menghiburkan di abad ini'. Katanya, isu itu akan dijaja ke seluruh negara sebagai cara untuk mengalihkan keresahan rakyat yang terhimpit dengan pelbagai kenaikan harga barangan. "Dakwaan itu menjadikan pertunjukan sarkas paling top di abad ini. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tauke sarkas dan menjadikan pegawai Kementerian Dalam negeri (KDN) sebagai badut sarkas. "Selepas ini mereka boleh ronda seluruh Malaysia kerana semalam pertunjukan baru bermula di Putrajaya. "Mereka boleh menghiburkan rakyat Malaysia yang sedang mengelamun dengan kenaikan harga barang. Selepas ini mereka boleh lupa beban kos sara hidup," katanya, lapor Selangorku. Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang media mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan Mat Sabu dengan fahaman Syiah. KDN juga mengemukakan hujah mengaitkan Mat Sabu dengan Syiah antaranya dakwaan berselawat seperti penganut mazhab itu dan mengagumi pemimpinnnya, Ayatullah Khomeini. Namun, perkara itu dinafikan Mohamad Sabu dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan berkenaan. Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dakwaan yang dikaitkan dengan fahaman Syiah adalah satu lagi bahan jenaka Umno. Tuan Ibrahim berkata, dakwaan itu adalah tomahan yang bertujuan untuk memburukkan imej Pas. Katanya, selama ini terdapat pemimpin dunia berkunjung ke negara yang mempunyai ideologi berbeza, namun tidak menganuti fahaman berkenaan. "Bukti yang didakwa itu adalah dangkal dan memalukan. Saya ingat ia menjadi bahan ketawa pelbagai pihak bila dia mengaitkan seseorang itu dengan fahaman Syiah hanya kerana individu itu kagum dengan seorang tokoh dan banyak kali melawat Iran. "Alasan yang diberikan hanya akan ditertawakan orang ramai. Dalam konteks negara, ada pemimpin negara yang melawat dan bertemu dengan pemimpin komunis, tidak menjadi komunis begitu juga pemimpin yang melawat negara Sosialis. "Kekaguman seseorang itu terhadap sesuatu tokoh bukan bererti dia menganut mazhab tokoh itu," kata Tuan Ibrahim. Jika tuduhan itu dilemparkan hanya disebabkan kekaguman Mat Sabu terhadap Khomeini maka beberapa pemimpin BN juga boleh dikaitkan menganut fahaman Syiah ekoran pertemuan mereka dengan Bapa Revolusi Iran itu. Berdasarkan gambar yang tersebar di internet, antara pemimpin BN yang bertemu Khomeini adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Perkasa, Ibrahim Ali. |
KDN cuba tutup pemborosan Najib, Rosmah Posted: 14 Dec 2013 04:15 PM PST Oleh: Rusnizam Mahat & Bashar Ab Kadir KUALA LUMPUR: Tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap akhbar The Heat, dilihat sebagai cubaan menutup isu pemborosan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah mansor. Ketua Penerangan KEADILAN, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perbuatan itu jelas melanggar kebebasan media dan hak bersuara seperti ditegaskan dalam perlembagaan. "Ini satu perkara yang amat dikesalkan. Najib bercakap tentang ketelusan integriti, KPI dan sebagainya, tapi apabila dia dan isterinya dikritik di akhbar, ada pula tindakan dari KDN. "Dalam era media sosial sekarang, ini adalah satu langkah tidak bijak, sedangkan rakyat masih boleh mendapat maklumat dari sumber internet," ujar Muhammad Nur. Beliau mengulas tindakan KDN memberi surat tunjuk sebab kepada akhbar mingguan The Heat kerana menyiarkan laporan perbelanjaan melampau Najib dan Rosmah, baru -baru ini. Terdahulu, portal Astro Awani dikatakan turut menarik balik berita mengenai kritikan sinis tokoh wartawan, A Kadir Jasin terhadap Rosmah kerana menggunakan jet kerajaan untuk tujuan peribadi ke luar negara. "Tindakan KDN melanggar kebebasan media, dan tak sesuai dengan negara maju. Keadaan ini berbeza dengan negara-negara lain seperti Indonesia yang lebih ke depan dalam kebebasan akhbar," "Di Indonesia rakyat bebas mengkritik pemerintah di kaca tv atau di dada akhbar, dan keadaan ini jauh berbeza dengan Malaysia," ujar Muhammad Nur. Sementara itu, Timbalan Ketua Wanita KEADILAN, Rodziah Ismail berkata, kerajaan tidak dapat menutup pembaziran dilakukan perdana menteri dan isterinya, meskipun menghalang media melaporkan perkara itu. "Pembaziran Najib dan Rosmah sudah sampai ke tahap melampau dan rakyat Malaysia sudah tahu. "Bangkai jika cuba ditutup, lambat laun kebusukan itu akan terbongkar jua. Bagi saya Najib terlalu angkuh. "Dia sebagai perdana menteri seharusnya menjadi contoh kepada rakyat Malaysia dalam mematuhi undang-undang negara ini," katanya. |
Kenaikan Tol Tahun Hadapan Tidak Dapat Dielakkan- Abdul Wahid Posted: 14 Dec 2013 04:10 PM PST KUALA LUMPUR: Kenaikan kadar tol yang dijangka berlaku tahun hadapan tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu terkandung dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata telah tiba masanya untuk kadar tol dinaikkan, memandangkan perjanjian konsesi menyatakan kadar itu perlu disemak dan dinaikkan pada 2011. "Bagaimanapun kadar itu tidak dinaikkan dan kerajaan membelanjakan RM400 juta untuk membayar pampasan untuk mengekalkan kadar sedia ada, yang boleh digunakan untuk perkara lain. "Telah tiba masanya untuk mengotakan perjanjan yang telah dipersetujui," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan mewarna dan melukis sambutan ulang tahun ke-50 Bangunan Parlimen di dataran Parlimen di sini, Sabtu. Abdul Wahid juga memberitahu kenaikan itu pada tahun hadapan, dapat mengelakkan daripada berlakunya peningkatan secara mendadak yang lebih membebankan rakyat, apabila masa untuk menyemak semula kadar baharu tiba. "Kenaikan tol juga bersikap adil pada pembayar cukai, kerana pampasan dibayar menggunakan wang cukai, sedangkan lebuh raya adalah laluan alternatif yang tidak semua pembayar cukai guna setiap hari," katanya. Desas-desus mengenai kenaikan tol bermula ekoran kenyataan Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof bahawa terdapat semakan semula kadar tol pada tahun hadapan dari segi perjanjian antara kerajaan dengan syarikat konsesi lebuh raya. Sebuah akhbar pula melaporkan kenaikan kadar itu dijangka berlaku antara 30 sen sehingga RM1, tetapi tidak menyatakan untuk jarak perjalanan sejauh mana. Terdapat 13 lebuh raya yang terlibat dalam semakan semula kadar tol itu. Sementara itu, Abdul Wahid dalam ucapannya berkata sambutan yang julung kalinya diadakan itu dapat membuka pintu Parlimen kepada orang awam untuk melihat dengan lebih dekat keunikan seni bina bangunan itu yang merupakan salah satu ikon ibu negara. "Sambutan ini juga dapat membetulkan persepsi masyarakat bahawa Parlimen adalah kawasan larangan, sedangkan ia boleh dilawat jika dibuat surat permohonan atau melalui acara seperti ini," katanya. -BERNAMA |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan