DIALOG RAKYAT |
- Kakak dibunuh, dua adik ditemui mati
- TP1M: Kerajaan Pusat digesa tidak pinggir negeri Pakatan
- Datuk Fauzi Shaari meninggal dunia
- MIC tuntut peruntukan RM3b untuk masyarakat India
- Siti Aishah: Kisah tentang kesetiaan
- Bahana kenaikan harga barangan
- Najib: Masyarakat India sudah kembali sokong BN
- Pakatan 'hipokrit' isu gaji ADUN, kata PM
- Abang: Kazim sudah keluar PAS
- Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Dibentang Isnin
- Ahli DAP Boleh Kritik, Tetapi Bukan Jatuhkan Parti - Karpal Singh
- Butiran Tarif Elektrik Baru Dijangka Umum Isnin
- Ibrahim Ali pula jadi Ahli Lembaga Pengarah UiTM
- KPN beri amaran kepada kolumnis Mariam Mokhtar
- Pegawai polis cedera dilibas parang
- Umno mahu kongsi rahsia tawan semula Kedah
- PTPTN: Kami gerun tapi tak mampu bayar
- Kakak: Siti Aishah janji pulang dalam 9 bulan
- Stadium Shah Alam dinaik taraf demi keselesaan semua
- Ubah ‘lorong belakang’ premis jadi kawasan seni dan rekreasi
- Speaker: ADUN patut guna dewan untuk sokong atau bantah usul
- RM20 juta bangun kampung baru, 414 projek dilulus
- Ustaz Kazim Elias kesal dicemuh orang ramai [TONTON VIDEO]
- Perlantikan pendakwah bebas sebagai anggota MT Umno
- SPR kenal pasti 8 kelemahan PRU 13
Kakak dibunuh, dua adik ditemui mati Posted: 01 Dec 2013 06:57 AM PST Siti Aishah Ariffin (kiri), 40, ibu Noor Syafikah Nadia Abdullah, 14, tidak dapat menahan kesedihan selepas penemuan mayat anaknya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), hari ini. - Foto Bernama ALOR SETAR - [KEMASKINI] Mayat seorang remaja perempuan yang dipercayai dirogol dan dibunuh ditemui di kawasan bendang di Alor Senibong dekat sini semalam manakala dua adiknya dilaporkan hilang disahkan mati selepas mayat mereka ditemui di Sungai Pekan Langgar petang tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, mayat remaja berusia 14 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan separuh bogel kira-kira jam 3.45 petang. "Polis belum mendapat petunjuk tentang dua adik mangsa yang dilapor hilang sebelum ini. Operasi mencari mereka sedang dijalankan dengan bantuan unit anjing pengesan,"katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini. Remaja tersebut bersama dua adiknya yang berumur tiga dan 12 tahun dilapor keluar dari rumah mereka di Jalan Datuk Kumbar dengan motosikal kira-kira 7.30 malam untuk ke rumah rakan mangsa di Kampung Gelam yang berdekatan bagi mengambil gajinya yang bekerja membotol bahan pencuci. Mohd Nashir berkata, setelah ketiga-tiga anaknya tidak pulang dan gagal ditemui setelah puas dicari, ibu mereka Siti Aishah Arifin, 40, membuat laporan polis di di Balai Polis Langgar kira-kira jam 2 pagi. Sementara itu bapa mangsa Rosdi Rani, 38, berkata, anaknya itu yang hanya bersekolah setakat darjah enam berpendapatan RM15 sehari. Beliau yang bekerja sebagai tukang cuci turut hairan kerana motosikal yang dinaiki anak-anaknya ditemui di Sekolah Kebangsaan Gelam dalam keadaan baik tetapi mayat anaknya ditemui di Alor Senibong yang jauh dari tempat rumah rakannya itu. "Kami merancang untuk pulang ke Besut, Terengganu selepas dua tahun kami menetap di sini. Saya harap sangat dua lagi anak saya itu dapat ditemui dengan selamat," katanya. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk bedah siasat sementara jenazahnya dikebumi di tanah perkuburan Jalan Datuk Kumbar, Alor Semela selepas solat Zohor tadi. - Bernama | ||
TP1M: Kerajaan Pusat digesa tidak pinggir negeri Pakatan Posted: 01 Dec 2013 06:47 AM PST Oleh : Lizawati Madfa SHAH ALAM V : Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) yang dilaksanakan Kerajaan Pusat ternyata meminggirkan negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat, khususnya Selangor dan Pulau Pinang. Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, berkata daripada RM 40 juta yang diperuntukkan pada 2013, tiada satu pun permohonan daripada Selangor diluluskan dan hanya empat sahaja yang diluluskan di Pulau Pinang. Meenurutnya, Wilayah Persekutuan menerima peruntukan paling besar iaitu sebanyak 74 peratus, diikuti Johor (10 peratus), Melaka (7.5 peratus), Perak (4 peratus), Pulau Pinang (3 peratus) dan Kedah (0.3 peratus). "Ini menjadikan Wilayah Persekutuan "the only winner" dalam TP1M sedangkan "Pulau Pinang dan Selangor mempunyai kepadatan rumah pangsa kos rendah dan sederhana rendah yang sangat tinggi. "Maka timbul persoalan, adakah terdapat unsur pilih kasih atau pertimbangan politik dalam pemberian TP1M?," kata Tze Tzin dalam satu kenyataan. Beliau berkata demikian bagi mengulas perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Parlimen berhubung peruntukan TP1M yang sangat berkurangan serta jauh berbeza daripada pengumuman dana RM500 juta yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat pada tahun 2010. Tze Tzin berkata, menteri berkenaan mendakwa wang RM500 juta itu adalah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015) tanpa mengulas lanjut bagaimana menggunakan baki wang RM460 juta menjelang 2015. "Kami menyeru pihak menteri menjelaskan perancangan TP1M pada tahun 2014 dan 2015 dan adakah mereka akan membelanjakan baki RM 460 juta yang telah diperuntukan? "Minta menteri juga menjalankan tugas secara professional dan telus dalam pemberian TP1M dan memastikan semua negeri di Malaysia tidak dianak-tirikan," katanya lagi. TP1M diperkenalkan Kerajaan Pusat pada Januari 2010 bertujuan memberi manfaat kepada penghuni terutama di kawasan perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah.-EZY | ||
Datuk Fauzi Shaari meninggal dunia Posted: 01 Dec 2013 06:42 AM PST SELANGOR KINI SHAH ALAM : Mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Mohd Fauzi Shaari, 63, meninggal dunia di Hospital Selayang pada kira-kira jam 8.17 malam tadi. Allahyarham meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi, Hospital Selayang, Selangor selepas mengalami jangkitan kuman pada hati dan buah pinggang. Sebelum pemergiannya beliau sempat bersama menyertai perjuangan PAS dan dipilih sebagai Calon PAS untuk Parlimen Larut,Perak. Beliau dilahirkan di Kampung Pantai Besar, Batu Kurau Perak pada tahun 1950. Selepas menjadi Ketua Polis Selangor, beliau menyandang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke rumahnya di No.7, Jalan 10/15, Seksyen 10, Shah Alam, Selangor. Selangor Kini mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan didoakan semoga Allahyarham Datuk Mohd Fauzi ditempatkan di kalangan para Anbia dan Solehin. Al-Fatihah. | ||
MIC tuntut peruntukan RM3b untuk masyarakat India Posted: 01 Dec 2013 06:39 AM PST Kerajaan perlu merangka 'Pelan Pembangunan Semula Masyarakat India' untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi masyarakat India di negara ini, kata Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel. Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM3 bilion yang akan disalurkan untuk tujuan latihan, pendidikan dan pinjaman perniagaan bagi kepentingan komuniti itu. Katanya, apa yang diperuntukkan kerajaan ketika ini masih tidak mencukupi untuk membolehkan masyarakat India keluar daripada belenggu kemiskinan, dengan ekuitinya masih kekal 1.3 peratus berbanding populasinya sebanyak lapan peratus daripada jumlah 28 juta rakyat negara ini. "Ia tidak memadai dalam menyelesaikan masalah-masalah utama yang dihadapi masyarakat India. Apa yang lebih diperlukan adalah pelan pembangunan semula untuk masyarakat India, suntikan besar projek-projek infrastruktur, geran dan dana yang akan melonjakkan kaum India dalam pembangunan arus perdana negara," katanya. Palanivel berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung MIC kali ke-67 yang diadakan di Hotel Equatorial, di Melaka hari ini yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Palanivel yakin pelaburan berdimensi baharu itu pasti akan membuahkan kesan berganda sekali gus mampu menyelesaikan masalah pendidikan, agama dan jenayah yang berleluasa di kalangan masyarakat India sejak turun-temurun. Bagi menjayakan usaha itu, katanya MIC turut menggariskan beberapa projek antaranya pelaburan dalam bidang hartanah yang menjanjikan potensi dan pulangan baik dalam syarikat teknologi dan teknologi termaju dan projek pertanian bijak seperti Steinbeck di California yang bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan alternatif kepada pekerja ladang bahkan juga memiliki ladang yang diusahakan itu. Jelasnya MIC kini berada di landasan tepat dalam memastikan segala program yang dirancang dapat dilaksanakan dengan bijak dan membawa pulangan baik. "Kita tidak membincangkan mengenai bantuan terhadap usahawan yang mahu membuka kedai gunting atau gerai-gerai. Sebaliknya saya mahu melihat usahawan India menceburi bidang perniagaan berkaitan teknologi termaju seperti nanoteknologi, teknologi hijau atau penyelidikan berkenaan teknologi kumputer kuantum," katanya. Katanya, walaupun MIC menghargai sumbangan dan peruntukan kerajaan khusus untuk masyarakat India, misalnya sebanyak RM200 juta dalam Bajet 2014, namun ia hanya 0.08 peratus daripada keseluruhan RM264 bilion Bajet 2014. Dalam pada itu, Palanivel yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar juga menarik perhatian 1,500 perwakilan apabila meminta kerajaan mengembalikan 'sistem kuota' dalam menentukan kemasukan tempat di universiti awam tempatan. Tegasnya, sistem meritokrasi yang dipraktikan ketika ini menunjukkan kegagalan. "Sudah tiba masanya kita kembalikan kepada kuota yang mana pelajar diberi tempat di universiti berdasarkan populasi. Sistem meritokrasi yang diguna pakai ketika ini menunjukkan kegagalan. "Jumlah mahasiswa India ketika ini hanya seramai 1,742 orang daripada keseluruhan 51,673 mahasiswa di universiti awam. Ini merupakan kurang daripada dua peratus daripada jumlah keseluruhan mahasiswa tersebut. "Jumlah ini perlu ditingkatkan sehingga 4,000 mahasiswa tahun depan sebagai menggambarkan realiti populasi masyarakat India. Jika tidak, bagaimana dapat kita menjelaskannya kepada rakyat," katanya dengan disambut tepukan gemuruh perwakilan. Palanivel juga mahukan tawaran kemasukan pelajar India ke kursus matrikulasi sebanyak 1,500 tempat diisi sepenuhnya sebagai menepati janji kerajaan terhadap masyarakat India sebelum ini. "Saya mahu penilaian segera dibuat dalam kaedah penawaran ke kursus matrikulasi ini dan jika perlu, Kementerian Pendidikan boleh bekerjsama dengan MIC untuk mengisi tempat tersebut," katanya. Tambah beliau, masyarakat India terus menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung kegagalan MIC dan kerajaan mengisi tawaran matrikulasi yang dijanjikannya. Bagi meningkatkan mutu dan prasarana sekolah Tamil, Palanivel memohon kerajaan memperuntukkan dana khas tahunan sebanyak RM12 juta bagi membantu kira-kira 8,000 kanak-kanak di bawah program 'Reach dan Teach', dengan mengadakan kelas tambahan pada sebelah petang di sekolah-sekolah Tamil. Beliau juga mencadangkan supaya latihan vokasional ditawarkan kepada masyarakat India yang menganggur atau mereka yang tidak mempunyai sebarang kemahiran. Palanivel berkata dalam usaha untuk memenangi kepercayaan dan kehendak masyarakat India, MIC kini menuju dimensi baharu dengan penampilan lebih ramai pemimpin berpendidikan tinggi dan muda.- Bernama | ||
Siti Aishah: Kisah tentang kesetiaan Posted: 01 Dec 2013 06:37 AM PST Selepas identiti Siti Aishah Abdul Wahab (gambar), 69, warga Malaysia yang dikatakan menjadi "hamba psikologi" selama 30 tahun di London didedahkan, namanya tidak henti-henti disebut oleh media dalam dan luar negara. Kakaknya, Kamar Mahtum Abdul Wahab, 73, ditemani bekas aktivis mahasiswa, Hishamuddin Rais terbang ke kota London untuk bertemu dengan adiknya selepas 46 tahun terpisah. Ramai pihak memberikan komen mengenai Siti Aishah yang dikatakan mengikut ajaran pemimpin besar China Mao Tse Tung bersama kumpulan dipimpin Aravindan Balakrishnan, juga dikenali sebagai "Chairman Ara" - berasal dari Singapura dan pasangannya Chanda dari Tanzania. Daripada hanya ingin mengetahui tentang identiti wanita warga Malaysia yang dilaporkan media Britian "dikurung" selama 30 tahun, perbincangan mengenai Siti Aishah meleret-leret ke zaman persekolahannya. Lebih teruk lagi apabila sebuah akhbar berbahasa Inggeris menemuramah bekas rakan sekelas Siti Aishah yang menceritakan tentang betapa "mantapnya" Siti Aishah di zaman mudanya. Siti Aishah yang mendapat anugerah Colombo Plan merupakan wanita Malaysia pertama layak untuk mempelajari bidang Juruukur Bahan di London School of Economics (LSE) 46 tahun lalu. Perlu diingat, pada zaman Siti Aishah terbang ke London buat kali pertama, masih belum ada Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan wanita itu melanjutkan pelajaran ke luar negara kerana kepintarannya dan bukan kerana beliau seorang Bumiputera. Ini yang pengkritik-pengkritik perlu sedari. Pada ketika artikel ini sedang ditulis, Kamar Mahtum dan Hishamuddin baru sahaja mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas misi bertemu dengan Siti Aishah di kota London berjaya. Kamar Mahtum mengharapkan selepas setahun siasatan polis berhubung dakwaan perhambaan selama 30 tahun itu selesai, Siti Aishah akan pulang ke Jelebu, Negeri Sembilan, tempat mereka pernah membesar bersama satu ketika dahulu. "Saya beritahu kepadanya saya sudah menyediakan rumah untuknya. Saya mempunyai cukup wang. Saya boleh tanggung dia. "Dia tidak akan berhadapan dengan cabaran seperti yang dilalui sekarang," kata Kamar Mahtum seperti dilaporkan akhbar Britain The Telegraph. Begitu hebatnya kasih sayang seorang kakak seperti Kamar Mahtum yang tetap menerima Siti Aishah walaupun adiknya yang dikenali 46 tahun dahulu sudah menjadi manusia lain. Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan apa yang diperjuangkan oleh Siti Aishah, ada satu perkara yang boleh kita pelajari daripada episod ini iaitu mengenai kesetiaan. Siti Aishah menunjukkan kepada dunia bagaimana setianya dia terhadap apa yang diperjuangkan. Dia tidak berganjak semenjak hari pertama mengenali perjuangannya. Siti Aishah juga tidak menjadi seperti wanita-wanita lain sezaman dengannya iaitu "liberal" di waktu muda akan tetapi "berjubah" di hari tua kerana takut berhadapan dengan kematian. Terdapat ramai sezaman dengan Siti Aishah yang tidak mahu lagi mengingati zaman "radikal" mereka. Tidak mahu bercakap lagi tentangnya, walaupun dalam hati mereka meronta-ronta. (*) Penulis Amin Iskandar adalah penerima anugerah zamalah Asian Public Intellectuals (API) bagi sesi 2009-2010. Kini merupakan Pengarang Berita bagi The Malaysian Insider. Beliau "berkicau" di www.twitter.com/aminiskandar. | ||
Bahana kenaikan harga barangan Posted: 01 Dec 2013 06:32 AM PST Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM KENAIKAN harga bahan api yang diumumkan selepas PRU13 yang lalu oleh PM Dato' Seri Najib Tun Razak, memeranjatkan banyak pihak khususnya golongan berpendapatan rendah.Namun hal itu sedikitpun tidak memeranjatkan pihak tertentu kerana ada kepentingan di situ. Kesan kenaikan harga bahan api bukan sahaja dirasakan oleh golongan berpendapatan rendah, malah golongan berada juga terasa kerana ia membabitkan kecelaruan perancangan ekonomi jangka panjang. Walaupun beliau sudah berjanji tidak akan menaikkan harga bahan api terutama petrol. Walau bagaimanapun Islam amat pandang serius tindakan menaikkan harga barangan keperluan asas seperti minyak (bahan api), tarif elektrik dan air. Ini kerana ia dianggap menzalimi dan membebankan rakyat khususnya mereka yang berpendatan rendah dan sederhana. Kenaikan harga bahan bakar diumumkan termasuk dalam akhbar-akhbar arus perdana. Persoalannya di sini, mengapa kerajaan pimpinan Perdana Menteri beriya-iya menaikkan harga barangan termasuk memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang benar-benar membebankan rakyat. Kenaikan itu mungkin akan bertambah dari semasa ke semasa dengan laporan media sejak akhir-akhir ini yang sering dan cenderung untuk menguar-uarkan kononnya perbezaan harga minyak dunia melibatkan negara. GST diuar-uarkan dalam media elektronik sebagai tidak zalim malah menjadikan negara lebih berhemah. Terdahulu kerajaan juga telah mengumumkan kenaikan bermacam-macam barangan asas lain dengan pelbagai alasan yang boleh direka. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga kononnya dilaporkan akan menaikkan tarif elektrik mungkin disusuli dengan kenaikan barangan lain. Masalah di sini ialah rakyat dihimpit dengan pelbagai kesukaran bagaikan mereka hidup dalam sebuah negara kapitalis yang banyak bergantung kepada bantuan subsidi kerajaan yang memerintah, malah rakyat semakin sedar untuk memiliki rumah bukan satu yang boleh dikecapi dengan harga yang melambung di pasaran, kalau bawang, cili, sayur-sayuran perlu mengikut harga kawalan, hingga yang menaikkan harga hingga RM1 dan sebagainya akan didakwa, sedangkan harga rumah tidak termasuk barang kawalan hingga boleh menaikkan hingga RM20K dan seterusnya. Islam menganggap bahawa semua bahan yang disebutkan di atas termasuk dalam senarai kemudahan awam, iaitu perkara yang orang awam tidak dapat melakukan sesuatu tanpanya, ia bersesuai dengan ketegasan baginda Rasulullah s.a.w. dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Ibnu Abbas yang bermaksud: "Manusia berkongsi pada tiga perkara, iaitu api (elektrik), air dan rumput." Apa yang ditegaskan oleh baginda tidak diendahkan oleh pemerintah yang angkuh dengan kerajaan pimpinannya, seolah-olah tindakan kerajaan sebagai membalas dendam kerana tidak mendapat dua pertiga undi rakyat dalam pilihan raya atau memprovok supaya rakyat bangkit menentang dan ada sebab mereka akan ditangkap dan sebagainya. Inilah taktik kotor pemerintah yang membelakangkan aspek nilai, keadilan terhadap rakyat. Api, air dan rumput (asas pertanian) adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membebaskan rakyat daripada cengkaman kehidupan yang menyusahkan mereka. Apa guna jika sering menguar-uarkan bahawa ekonomi negara melonjak di peringkat antarabangsa jika rakyat menderita dengan pengumuman itu, sepertimana pepatah menyebut, kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Ada pula menteri yang sebut, jika tidak suka duduk/ tinggal di Malaysia, boleh tinggal di luar negara, ada pula yang mencadangkan agar duduk di hutan. Inilah mentaliti individu yang mementingkan diri sendiri lebih daripada rakyat jelata. Rakyat cari alternatif Apabila kerajaan gagal mengadakan bukan sahaja kemudahan asas, malah keperluan rohani seperti kelas-kelas agama, ia akan menyebabkan banyak perkara tidak akan selesai khususnya dalam sektor pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan sebelum ini banyak terlibat dalam menyediakan program-program hiburan keterlaluan yang menjadi kegilaan golongan anakanak muda pelbagai kaum secara langsung ataupun tidak langsung. Maka rasa minat mereka kepada aspek agama menjadi pudar, ekoran daripada itu, tidak hairanlah laporan berita menyebut, ramai dalam kalangan budak-budak perempuan 12 tahun terlibat dengan perlakuan seks bebas dan ketagihan amalan itu pada tahap yang membimbangkan banyak pihak seperti yang dilaporkan sebelum ini. Kegilaan anak-anak muda kepada hiburan melampau semakin menyerlah kerana ia memang disediakan, kita ingat Akademi Fantasia musim ke-10 sudah tidak dianjurkan kerana mendapat kritikan rakyat yang benci kepada perkara yang membawa kepada kemasyhuran dan glamor. Tetapi pandangan kita itu meleset, masyarakat dapat lihat bagaimana sungguhnya anak-anak muda ini mahu bergelar bintang, ada perkara yang dilakukan seolah-olah menghalalkan cara untuk sampai kepada matlamat. Tidak cukup dengan itu semua, bintang kecil turut dianjurkan. Iaitu satu program realiti khusus buat anak-anak kecil bawah 12 tahun, apa semua ini? Apa peranan majlis dan jabatan agama dalam melihat kesuburan fenomena anak-anak kecil terlibat dalam industri hiburan ini? Tidakkah pihak berkenaan boleh bersuara kerana memiliki autoriti. Kita bimbang satu hari nanti, anak-anak kita tidak lagi menghiraukan persoalan agama dan akademik, kerana terjamin masa depan dalam bidang yang diceburinya sekarang ini. Kalau sebelum kenaikan harga barangan diumumkan, masih terdapat sebahagian para bapa di kalangan golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang mengikuti kelas-kelas fardu ain sebagai bekalan untuk menuju akhirat, tetapi disebabkan sibuk selepas kenaikan harga barangan, surausurau dan masjid-masjid sudah mula lengang dengan kehadiran para jemaah. Mereka mula gelisah memikirkan bagaimana boleh menambahkan pendapatan sampingan. Ada yang sudah mula terlibat dalam jualan langsung, ada yang terpaksa kerja lebih masa, tidak kurang juga yang mula mencari tapak di pasarpasar malam. Semuanya tidak lain adalah untuk menambahkan pendapatan bagi meringankan bebanan perbelanjaan bulanan keluarga. Sepatutnya pada usia senja ini, mereka banyak mempersiapkan diri dengan bekalan menghadapi alam akhirat, dengan kata lain bersiap untuk menemui Allah SWT dengan amalan-amalan yang banyak. Apabila golongan bapa ini sudah tidak berapa mahu menjenguk rumah-rumah Allah seperti sebelum ini kerana kesibukan mencari pendapatan lebih, maka sudah tentu anakanak akan terbiar. Mereka sudah tidak lagi berada dalam kawalan bapa-bapa mereka, maka aktiviti sumbang yang sebelum ini boleh dibendung akhirnya tidak dapat dikawal seperti kegagalan kerajaan untuk mengawal harga barangan. Akhirnya, golongan bapa tidak lagi dapat bermesra dengan anakanak mereka seperti sedia kala. Masyarakat akan semakin pincang kerana interaksi antara anak-anak dan bapa, ibu dan sebaliknya juga tidak wujud. Masing-masing dengan haluan sendiri, kerana selepas waktu pejabat, golongan bapa atau dibantu golongan ibu sudah mula berkemas untuk ke tapak di pasar malam. Itu semua bukan yang mereka mahu, tetapi keadaan semakin mendesak, pembelajaran anak-anak menjadi keutamaan. Justeru, Islam mengandaikan bahawa selagi mana pemerintah atau kerajaan tidak kembali untuk melaksanakan hukumhukum Syariat Islam seperti yang termaktub dalam al-Quran, selagi itulah Allah akan menghukum mereka, yang menjadi mangsa adalah rakyat yang tidak berdosa. Menjauhkan sanak saudara Allah ada menegaskan dalam ayat 96-99 surah al-A'raf yang bermaksud: "(Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. "Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? "Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermainmain? "Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orangorang yang rugi." Sama-samalah kita perhatikan firman Allah di atas, hanya dengan kita beriman dan bertakwa, Allah akan bukakan segala kurniaan apa yang ada di langit dan di bumi untuk hambahamba- Nya, dengan kemudahan dan kurniaan itu dapatlah mereka menjalani proses kehidupan dengan aman dan damai. Tidak dapat dinafikan, kenaikan harga minyak dan barangan keperluan lain akan menjauhkan keakraban anggota keluarga. Secara praktikalnya, pada musim cuti sekolah barubaru ini, tinjauan mendapati, perantau yang berkarier di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan sebagainya, lebih-lebih lagi yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri, menyatakan rasa keberatan untuk pulang pada musim cuti akan datang kerana kos perjalanan dengan kereta semakin meningkat. Tidak cukup dengan itu, ditambah bayaran tol yang memang membebankan, ada yang mungkin tidak pulang untuk berhari raya tahun ini kerana mahu menjimatkan perbelanjaan sebagai persiapan sesi persekolahan baru tahun berikutnya. Banyak lagi halangan untuk mempertemukan antara anggota keluarga, semuanya disebabkan kenaikan harga barangan. | ||
Najib: Masyarakat India sudah kembali sokong BN Posted: 01 Dec 2013 06:29 AM PST Kerajaan BN akan terus membangunkan masyarakat India dan ia merupakan proses berterusan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan pengagihan kekayaan negara dilakukan secara adil dan saksama serta bersifat inklusif kepada semua masyarakat. "Sebagai sebuah kerajaan kita sentiasa mengusahakan untuk memastikan dasar-dasar negara yang ditunjangi BN merupakan dasar-dasar yang lebih adil, saksama dan pengagihan kekayaan dan peluang dalam semua lapangan bersifat lebih inklusif supaya setiap kelompok masyarakat tidak mengira majoriti atau minoriti akan merasakan di bawah BN mereka boleh mendapat masa depan lebih baik lagi," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-67 di Melaka, hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, timbalannya Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan bekas Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu. Najib berkata beliau selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN bertanggungjawab mendengar pandangan dan cadangan dari semua parti komponen BN serta rakyat Malaysia mengenai kekurangan atau kelemahan yang perlu ditambah baik. "Inilah sifat yang saya amalkan selama empat setengah tahun dahulu, saya memulakan proses untuk memperbaiki kedudukan kaum India sebab pilihan raya umum 2008 memberi isyarat bahawa masyarakat India memerlukan perhatian yang lebih serius daripada kerajaan BN," katanya. Perdana Menteri berkata usaha untuk menyelesaikan permasalahan kaum India telah dilakukan dan hasilnya sokongan kaum itu kepada BN telah pulih. Sebagai contoh, katanya dari segi pendidikan, gred purata nasional (GPN) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) telah menunjukkan peningkatan kepada 2.31 pada 2013 berbanding 2.58 pada 2010 dan hanya berbeza 0.04 dengan GPN Sekolah Kebangsaan pada tahun ini. Bagaimanapun, Najib berkata beliau belum berpuas hati dengan pencapaian itu kerana merasakan masih ada ruang yang boleh diperbaiki. "Sokongan kaum India telah meningkat tetapi saya merasakan sokongan itu bukan sokongan besar-besaran, sebab itu saya anggap ia satu usaha berterusan," katanya. Dalam pada itu, Najib menafikan Bajet 2014 hanya memperuntukkan 0.08 peratus daripada keseluruhan RM264 bilion kepada kaum India. Katanya pelbagai peruntukan menerusi kementerian-kementerian seperti pembinaan perumahan untuk rakyat juga melibatkan kaum India. "Kita tidak sibuk naikkan gaji tinggi padahal mereka (kerajaan Selangor) kata berjuang untuk rakyat...jangan jadi hipokrit," katanya merujuk pada kenaikan gaji dan elaun Menteri Besar, Speaker, Timbalan Speaker, Exco dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor antara 87 hingga 373 peratus.- Bernama | ||
Pakatan 'hipokrit' isu gaji ADUN, kata PM Posted: 01 Dec 2013 06:27 AM PST Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata Pakatan Rakyat tidak harus bersikap "hipokrit" dalam isu kenaikan gaji wakil rakyat di negeri Selangor yang diumumkan minggu lalu. Bercakap semasa merasmikan perhimpunan agung MIC di Melaka hari ini, Najib berkata, kenaikan gaji itu menjadikan gaji yang dipertua dewan hampir sama dengan gaji perdana menteri. Katanya, Pakatan membantah apabila beliau membangkitkan di Parlimen mengenai kenaikan elaun MP, dua tahun lalu. Tambahnya, Pakatan pada masa itu mendakwa diri mereka sebagai pejuang kepentingan rakyat. "Sekarang, mereka hanya memperkayakan diri masing-masing sahaja," kata Najib. Ucapannya itu bagaimanapun tidak mendapat sambutan oleh kira-kira 1,500 orang perwakilan yang tidak banyak bersorak. Najib juga tidak mengumumkan apa-apa peruntukan khas kepada masyarakat India dalam ucapannya hari ini. Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel sebelum ini meminta Najib memperuntukkan RM3 bilion sebagai pinjaman mudah bagi masyarakat India. | ||
Posted: 01 Dec 2013 06:25 AM PST MALAYSIA KINI Abang kepada penceramah bebas Mohammad Kazim Elias berkata, adiknya itu yang dilantik ke jawatan anggota majlis tertinggi Umno telahpun keluar dari parti PAS.Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias yang juga pegawai penerangan agama di Pejabat Menteri Besar Perak berkata, Mohammad Kazim sebelum ini sememangnya menganggotai PAS. Mohd Najmuddin dalam laporan Sinar Harian hari ini menyebut, Mohammd Kazim menyertai parti Islam tersebut 15 tahun lalu, tetapi tidak menyatakan tarikh sebenar penyertaan adiknya itu ke dalam Umno. Laporan itu selanjutnya menyebut, Mohd Najmuddin kurang bersetuju kerana pelantikan tersebut "menguntungkan sebelah pihak" sahaja. Sedangkan, Mohammad Kazim, 41, boleh menyebar ilmu Islam dengan lebih meluas tanpa jawatan seperti itu, katanya. "Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara keseluruhan dalam parti," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut. Presiden parti Datuk Seri Najib Razak malah boleh melantik Mohammad Kazim ke dalam kerajaan supaya adiknya itu boleh berdakwah tanpa pertentangan prinsip, katanya lagi. Seorang lagi adik Mohd Najmuddin ialah ADUN Kubu Gajah Ahmad Hasbullah. Ketua Pemuda PAS Perak, Raja Ahmad Iskandar semalam mendakwa Umno tidak menyedari bahawa Mohammad Kazim Elias merupakan ahli PAS sejak 1998. "Dewan Pemuda PAS Perak ingin membuat pengesahan bahawa Mohammad Kazim adalah ahli PAS semenjak 17 Julai 1998 dengan nombor keahliannya 0475276 di bawah cawangan Kampung Manjoi PAS di Tambun," katanya. | ||
Laporan Ketua Audit Negara Siri 3 Dibentang Isnin Posted: 01 Dec 2013 06:13 AM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 3 akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin. Menurut kenyataan Ketua Audit Negara pada Ahad, laporan tersebut adalah mengenai Penyata Kewangan dan Pengurusan Kewangan Tahun 2012 serta aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri. Menurut kenyataan itu, pada hari yang sama, Jabatan Audit Negara akan memberi taklimat berhubung dengan isu-isu utama yang dibangkitkan dalam laporan tersebut kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara di Parlimen. Laporan itu antara lain mengandungi perkara Mengesahkan Penyata Kewangan pihak yang diaudit seperti 419 dari 458 penyata kewangan kerajaan dan agensinya telah diberikan Sijil Audit Tanpa Teguran. "Sebanyak 23 penyata kewangan telah diberi Sijil Audit Berteguran kerana terdapat beberapa piawaian perakaunan yang tidak dipatuhi sepenuhnya. "Baki 16 penyata kewangan masih dalam proses pengauditan," menurut kenyataan itu. Laporan Ketua Audit Negara turut menyentuh perkara Prestasi Kutipan Hasil Persekutuan, antara lain Kerajaan Persekutuan telah mengutip hasil berjumlah RM207.913 billion pada 2012, meningkat RM22.494 bilion berbanding RM185.419 bilion pada tahun 2011. Laporan itu turut menyentuh perkara Pengauditan Prestasi Terhadap Program/Aktiviti/Projek Kerajaan di Peringkat Persekutuan dan Negeri. Ia memberitahu sebanyak 47 pengauditan prestasi dan 17 pengauditan pengurusan Syarikat Kerajaan lagi telah dilaksanakan di peringkat Persekutuan dan Negeri. Perbendaharaan Malaysia juga mengeluarkan Laporan Maklum Balas mengenai Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 3 yang memberikan ulasan/tindakan terkini daripada ketua perkhidmatan terhadap isu-isu yangdilaporkan oleh Ketua Audit Negara. Kandungan laporan itu dan sinopsisnya boleh dilayari dalam Laman Web Jabatan Audit Negara di alamat http://www.audit.gov.my mulai Isnin. Sebarang pertanyaan lanjut/pandangan mengenai laporan itu boleh dialamatkan kepada Warkah Untuk Ketua Audit Negara. Cakera padat (CD) yang mengandungi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 serta Laporan Maklum Balas oleh Perbendaharaan Malaysia akan turut diedarkan kepada pihak media di Parlimen. Dilaporkan sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara Mengenai Aktiviti Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan Negeri, dibentangkan dalam tiga siri. Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 Siri 1 dan 2 telah dibentangkan di Parlimen pada 1 Oktober lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. - BERNAMA | ||
Ahli DAP Boleh Kritik, Tetapi Bukan Jatuhkan Parti - Karpal Singh Posted: 01 Dec 2013 06:11 AM PST GEORGE TOWN: DAP bersedia untuk mengambil kritikan daripada ahli tetapi tidak akan bertolak ansur dengan mereka bertindak untuk menjatuhkan parti, kata Pengerusinya, Karpal Singh. Beliau berkata, parti itu tidak boleh berhadapan dengan situasi 'musuh dalam selimut'. "Seperti baru-baru ini, jika apa-apa masalah, ahli-ahli parti boleh membawanya ke saluran parti dan tidak kepada orang ramai, terutama kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS). "ROS sedang diasak oleh ahli-ahli parti kita sendiri sehingga pergi ke tahap yang menjadikan parti ini dibatalkan pendaftarannya. "Mana-mana usaha untuk melemahkan parti oleh sesiapa sahaja dari sekarang akan ditangani. Cukup cukuplah. Sebagai pengerusi DAP, saya berharap mesej ini akan diambil serius. "Apa-apa serangan secara terbuka kepada pihak yang tidak akan diterima lagi tetapi kritikan, ya," kata beliau dalam ucapannya semasa konvensyen DAP negeri di Georgetown Hotel City di Burmah Road. Ucapan Karpal mendapat tepukan gemuruh daripada para perwakilan. Dalam perkembangan lain, Karpal berkata, beliau meluat dengan kenyataan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, yang dilaporkan berkata bahawa merangka sempadan semula yang dijalankan bertujuan untuk memastikan orang Melayu masih berkuasa. "Ini jenis kenyataan yang harus dilihat sebagai satu ancaman. Bagi seorang pegawai yang juga bekas pengerusi SPR untuk membuat apa-apa kenyataan, Perdana Menteri perlu melihatnya dengan serius. Jika apa yang dinyatakan itu adalah benar, maka sesuatu perlu dilakukan. "Kita dalam usaha menggariskan mempersempadanan pilihan raya. Saya berharap ini tidak akan menjadi formula yang sama digunakan sebagai apa yang telah diperkatakan oleh Abdul Rashid. "Kita mesti berhasrat untuk menjadikan satu orang satu undi. Mesti ada logik dan sebab terhadap usaha persempadanan yang dijalankan sekarang. Ini adalah isu-isu yang kita perlu menangani dengan berkesan," katanya. | ||
Butiran Tarif Elektrik Baru Dijangka Umum Isnin Posted: 01 Dec 2013 06:09 AM PST PETALING JAYA: Kerajaan pada Isnin dijangka mengumumkan butiran kenaikan yang dijangkakan dalam kadar tarif elektrik - 15%, atau 4.9 sen bagi setiap kilowatt sejam (kWj). Menurut sumber-sumber, pengumuman itu dijangka akan dibuat di Parlimen. Pada 27 November lalu, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, keputusan akhir berhubung kenaikan itu masih belum dibuat oleh Kabinet, tetapi kenaikan tersebut boleh berlaku bila-bila masa pada tahun 2014. Ongkili berkata, keputusan akhir pada masa dan kuantum kenaikan akan dilakukan oleh Kabinet. Beliau berkata, kenaikan tarif itu perlu bagi memastikan daya saing jangka panjang Malaysia dan kemampanan sektor kuasa. Kadar tarif purata di Malaysia adalah 33.5 sen per kWj, iaitu kira-kira 8.5 sen, atau 25.3 %, di bawah "kos sebenar" kuasa dianggarkan 42 sen per kWj. Berdasarkan kadar semasa, pelarasan yang dicadangkan dalam tarif elektrik mungkin akan melibatkan peningkatan sehingga 7 sen setiap kWj. Melihatnya dari sudut perspektif, perkakas rumah yang menggunakan pada 1,000 W, jika tidak dihidupkan selama satu jam, akan membakar satu kWj elektrik. Industri dan kumpulan perdagangan secara kolektifnya menggunakan kira-kira 75% daripada tenaga elektrik yang dijana di Malaysia, dan pada masa ini tarif purata bagi industri adalah sebanyak 32.2 sen setiap kWj, manakala bagi pengguna komersil berjumlah 42 sen per kWj dan kediaman di 29.7 sen setiap kWj. Mengenai golongan berpendapatan rendah, Ongkili berkata, kerajaan akan memastikan bil elektrik mereka tidak akan terjejas teruk oleh tarif yang baru. "Apabila kita bercakap mengenai meningkatkan tarif elektrik, apa yang penting bagi kami sebagai kerajaan adalah untuk mempertimbangkan kesan kepada pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya. Kerajaan mengulanginya sewaktu Belanjawan 2014 pada Oktober lalu bahawa ia akan berpegang kepada pelan untuk mengurangkan secara berperingkat subsidi bagi memperbaiki kedudukan fiskal negara. Pelan ini adalah untuk mengurangkan jumlah subsidi kepada RM39.4 bilion tahun depan daripada hampir RM47 bilion diperuntukkan untuk pelbagai subsidi, insentif dan bantuan pada 2013. Subsidi untuk sektor tenaga sahaja dianggarkan kos RM8 bilion sehingga RM12 bilion setahun kepada Kerajaan untuk bergantung kepada harga semasa bahan api input, khususnya gas. Gas kini mencakupi kira-kira 50% daripada bahan api yang digunakan untuk penjanaan elektrik di Semenanjung Malaysia, manakala arang batu menyediakan 40%, kuasa hidro kira-kira 8% dan sumber yang boleh diperbaharui kira-kira 2%. Gas dibekalkan oleh Petroliam Nasional Bhd kepada sektor tenaga pada harga subsidi, manakala arang batu diperolehi pada harga pasaran. Tarif elektrik kali terakhir di Malaysia disemak semula pada Jun 2011 selepas kerajaan menaikkan harga gas bersubsidi kepada sektor tenaga kepada RM13.70 daripada RM10.70 setiap juta metrik unit termal British (mmbtu). Gas kini disebut harga pada sekitar RM50 per mmbtu di pasaran antarabangsa. | ||
Ibrahim Ali pula jadi Ahli Lembaga Pengarah UiTM Posted: 01 Dec 2013 12:39 AM PST Harakahdaily KUALA LUMPUR: Proses 'membalas budi' pentadbiran Najib terhadap individu-individu tertentu yang membantu politik BN dan Umno berterusan apabila seorang lagi tokoh kontroversi dilantik menjawat jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan dan institusinya. Terbaru, Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang tewas sebagai calon Bebas mesra BN di kawasan Parlimen Pasir Mas pada pilihan raya umum (PRU) Mei lalu, dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM. Laman rasmi UiTM di http://www.uitm.edu.my/index.php/bm/kenali-uitm/canselor-procanselor-lembaga-pengarah-a-naib-canselor/lembaga-pengarah memaparkan foto Ibrahim sebagai Ahli Lembaga Pengarah namun tiada sebarang pengumuman dibuat mengenainya. Lembaga Pengarah UiTM dipengerusikan Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin dan dianggotai Tan Sri Prof. Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang juga Naib Canselor UiTM, Dato' Maznah Abdul Jalil, Mohamad Omar Ali, Mohd Ali Mansor, Datuk Aishah Shaikh Ahmad, Dr Aminuddin Hassim, Datuk Prof. Dr Roziah Omar dan Dr Zahrah Mokhtar sebagai Setiausaha. Apakah merit dan kelayakan Ibrahim untuk dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM menjadi persoalan umum. Bagaimanapun Ir Dr Sahol pernah mengejutkan dunia politik tanah air apabila mengumumkan sokongan terbuka UiTM kepada BN sebelum PRU13 lalu. | ||
KPN beri amaran kepada kolumnis Mariam Mokhtar Posted: 01 Dec 2013 12:33 AM PST MALAYSIA CHRONICLE KOTA KINABALU - Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi amaran kepada kolumnis freemalaysiatoday.com Mariam Mokhtar supaya tidak menulis artikel yang boleh disifatkan sebagai berbaur hasutan. Beliau tidak senang dengan artikel tulisan Mariam bertajuk 'One Ideology, Two Reactions', dalam portal berita itu semalam yang mempertikai layanan berbeza kerajaan berhubung kepulangan dua anggota radikal komunis kelahiran Malaysia -- abu mayat pemimpin Parti Komunis Malaya Chin Peng dari Bangkok, Thailand dan Siti Aishah Abdul Wahab, yang terpengaruh dengan ideologi politik komunis serta didakwa dijadikan hamba di London selama 30 tahun. "Lebih baik dia (Mariam) berhati-hati, jika tidak kami akan mengambil tindakan terhadapnya. "(Artikel) Ini amat berbaur hasutan. Jangan siarkan semata-mata kerana hendak menarik orang melawat laman web kamu. Ia juga boleh mengundang kami (polis) untuk datang menangkap kamu," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Keselamatan dan Ketenteraman Awam di sini hari ini. Seminar itu dirasmikan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman. Khalid kecewa kerana kolumnis itu tidak dapat membezakan tahap kesalahan yang dilakukan Siti Aishah dan Chin Peng. "Orang yang tak ada pelajaran pun faham kenapa kerajaan membenarkan Siti Aishah pulang ke tanah air dan menghalang abu mayat Chin Peng dibawa balik. Ini bukan kerana seorang Melayu dan seorang lagi, Cina. "Chin Peng terlibat dengan perjuangan bersenjata, manakala Siti Aishah hanya menganut ideologi berhaluan kiri. Beritahu saya berapa ramai orang yang telah dibunuhnya (Siti Aishah)?" tanya beliau. Khalid berkata tindakan tidak akan diambil terhadap Siti Aishah sekiranya dia pulang ke Malaysia atas alasan wanita itu sudah berusia 69 tahun dan dia melakukan kesalahan berkenaan berpuluh tahun lalu. Mengenai kerakyatan Siti Aishah, beliau berkata polis masih menunggu laporan daripada United Kingdom sama ada wanita berkenaan telah melepaskan taraf kerakyatan Malaysia dalam tempoh 45 tahun dia berada di negara Eropah itu. Siti Aishah, yang berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan, meninggalkan negara ini pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School of Economics di United Kingdom, tetapi mengabaikan pelajarannya setelah terpengaruh dengan ideologi berhaluan kiri. - BERNAMA | ||
Pegawai polis cedera dilibas parang Posted: 01 Dec 2013 12:23 AM PST Pegawai polis cedera di siku kanan selepas dilibas dengan parang oleh seorang lelaki dalam Ops Cantas Khas Narkotik di Klang, semalam. - Foto: Ihsan facebook Polis Selangor KLANG - Seorang inspektor polis cedera di lengan selepas terkena libasan parang ketika membuat serbuan Ops Cantas Khas Narkotik di sebuah rumah di Jalan Telok Gong, Kampung Nelayan, di sini, malam kelmarin. Menurut sumber, mangsa dan sepasukan anggotanya, tiba di depan rumah terbabit kira-kira jam 11.50 malam apabila seorang lelaki keluar dalam keadaan mencurigakan. Mangsa berusia 28 tahun terus keluar dari kenderaan untuk membuat pemeriksaan, sebelum dia tiba-tiba diserang oleh seorang lelaki. "Lelaki itu melibas objek dipercayai senjata tajam ke arah mangsa menyebabkan siku kanan mangsa cedera. "Lelaki berusia 20-an itu kemudian melarikan diri dan belum dapat dikesan," katanya, semalam. Menurutnya, mangsa cedera ringan dan menerima tujuh jahitan di siku kanan. Sumber itu berkata, berikutan kejadian itu, polis menyerbu rumah tersebut dan menahan seorang wanita warga Indonesia dan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun. "Satu paket dadah dipercayai heroin, ditemui dalam bilik rumah itu," katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 kanun keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. | ||
Umno mahu kongsi rahsia tawan semula Kedah Posted: 01 Dec 2013 12:17 AM PST SINAR HARIAN ALOR SETAR - Setelah tewas dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU12) pada 2008 dan hilang kuasa pentadbiran ke atas Kedah, Umno Kedah sering dikatakan lemah dan lesu untuk bangkit daripada saat mengecewakan itu. Malah sejak itu pada Perhimpunan Agung Umno setiap tahun, Umno Kedah diberikan "nasihat" daripada pemimpin dan perwakilan parti dari negeri lain tentang usaha-usaha yang boleh dijalankan untuk merampas kembali negeri ini daripada pakatan pembangkang. Setelah PRU13 berakhir, lain pula keputusannya apabila Umno dan BN Kedah yang dikatakan lemah dan lesu itu bangkit untuk merampas semula negeri ini ketika di beberapa negeri, Umno dan BN mencatatkan keputusan yang lebih teruk berbanding PRU12, sama ada kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) atau Parlimen. Pada PRU13, BN Kedah yang ditunjangi Umno memenangi 10 daripada 15 kerusi Parlimen dan 21 daripada 36 kerusi Dun berbanding hanya empat kerusi Parlimen dan 14 kerusi Dun sebelum itu. Apakah rahsia Umno dan BN Kedah untuk bangkit semula dalam keadaan sokongan kepada BN dan Umno didakwa merosot di seluruh negara ? Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah Datuk Othman Aziz berkata Umno Kedah akan berkongsi rahsia kejayaan itu dengan para perwakilan Umno yang lain pada Perhimpunan Agung Umno 2013 di ibu negara selama enam hari mulai Isnin sebagai persediaan menghadapi PRU14. Katanya perhimpunan agung kali ini merupakan yang pertama selepas Umno dan BN berjaya merampas semula Kedah daripada pakatan pembangkang pada PRU13 lalu. "Semangat Umno di Kedah kini lain. Jika dahulu selama lima perhimpunan agung kami datang sebagai wakil negeri yang dikuasai pembangkang tetapi kini kami datang dengan semangat baharu sehingga ke peringkat akar umbi hasil kemenangan kami," katanya. Menurutnya, dalam memenangi hati rakyat, Umno Kedah telah melakukan pelbagai cara tetapi akhirnya cara yang mudah dan lebih jimat yang berjaya membantu Umno Kedah menawan semula Kedah. "Pada peringkat awal (kalah), kami sering mengadakan program secara besar-besaran tetapi sebenarnya tak berkesan kerana yang datang adalah ahli parti. Akhirnya kami lakukan usaha untuk lebih mendekati pengundi atas pagar dan memanfaatkan kegagalan pembangkang (mentadbir kerajaan negeri ketika itu) untuk beri kelebihan kepada BN. Perkara ini akan kami kongsikan dengan negeri-negeri lain," katanya. Katanya perkongsian seperti itu amat penting kepada Umno dan BN bagi memastikan sokongan kepada Umno dan BN di seluruh negara akan bertambah baik bagi menghadapi PRU14 nanti. "Semangat nak menang ada...tetapi juga penting adalah semangat untuk deliver merupakan cabaran paling berat dalam konteks Umno sekarang. Kami (Umno Kedah) dah buktikan pada PRU lalu, walaupun kita berbelanja sedikit (untuk program), sesuai dengan keadaan kita negeri yang dikuasai pembangkang, tapi kita menang," katanya. Othman berkata selain itu, Umno Kedah juga melihat Perhimpunan Agung Umno ini penting untuk merapatkan kembali saf terutama di peringkat akar umbi berikutan transformasi yang berlaku dalam pemilihan parti baru-baru ini. "Bila pemilihan, ada menang dan ada yang kalah. Harap perhimpunan ini akan menjadi titik tolak kepada penyatuan kembali supaya kita boleh tumpukan kepada usaha-usaha untuk deliver kepada rakyat. "Kita kena terima hakikat pemilihan baru-baru ini pasti ada sedikit perpecahan tetapi ini peluang kita untuk rapatkan saf, tunjukkan prestasi baik kita. Kalau masa PRU kita mantap, kini kita kena tingkatkan prestasi," katanya. Othman berkata, pemilihan baru-baru ini memberi ruang yang lebih besar kepada anggota Umno untuk memilih pemimpin mereka bagi memastikan pembaharuan sentiasa berlaku dalam parti itu. "Di Kedah sendiri, enam daripada 15 ketua bahagian adalah muka baharu untuk menerajui bahagian masing-masing. Gandingan lama dan baharu ini penting untuk kesinambungan dan memberi nafas baharu kepada Umno Kedah," katanya. Sementara itu, katanya pada perhimpunan agung nanti, perwakilan Kedah yang membawakan usul ekonomi akan menumpukan kepada usaha pelaksanaan agenda memperkasakan ekonomi Bumiputera kerana ketika ini dasarnya cukup bagus tetapi usahanya tidak begitu baik. "Dalam isu agama pula, tumpuan kita adalah kepada cabaran yang dihadapi agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan ketika ini. Dalam konteks ini termasuklah penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, Syiah dan keganasan yang didakwa dilakukan oleh orang Islam," katanya. - Bernama | ||
PTPTN: Kami gerun tapi tak mampu bayar Posted: 01 Dec 2013 12:13 AM PST Mariam dan Rin (kanan) gerun mendengar mereka yang disenarai hitam serta perintah mahkamah tetapi ingin membayar pinjaman hanya selepas mendapat notis daripada PTPTN. KUALA TERENGGANU – Walaupun pelbagai cara dan kaedah dilakukan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi menggalakkan bayaran balik pinjaman pelajaran, namun masih ramai yang liat untuk melunaskan hutang berkenaan. Antara usaha PTPTN adalah memberikan diskaun dan memperkenalkan sistem penukaran pinjaman tiga peratus kepada pembiayaan ujrah (satu peratus). Bagi peminjam yang masih menganggur, penangguhan pembayaran semula selama dua tahun diberikan tetapi mereka perlu tampil untuk rundingan. Tinjauan Sinar Harian mendapati, tidak mempunyai kewangan mencukupi ekoran belum mendapat pekerjaan tetap menjadi satu faktor peminjam PTPTN tidak membayar balik pinjaman. Rata-rata peminjam mengakui, mereka tidak berhasrat lari daripada menunaikan tanggungjawab membayar hutang namun terpaksa menangguhkannya terlebih dahulu kerana tidak berkemampuan. Sehubungan itu, mereka berharap pengurusan PTPTN tidak terus menghukum mereka ekoran kegagalan tersebut, sebaliknya membantu kerana ramai graduan terpaksa menganggur selepas tamat pengajian disebabkan kekurangan peluang pekerjaan. Mariam Abdullah, 22, berkata, dia belum berkesempatan membayar pinjaman PTPTN walaupun sudah dua tahun tamat belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di ibu negara kerana kekangan wang. "Bukan sengaja tak mahu bayar, tapi saya hanya bekerja sambilan dengan gaji bulanan kira-kira RM1,000 membuatkan saya tangguh dulu. "Jika dihitung, jumlah itu memang tidak cukup kerana selain belanja harian, ia juga digunakan untuk bayar sewa rumah, belanja dapur dan tambang ke tempat kerja. Dalam keadaan kos hidup makin tinggi, ia sekadar cukup-cukup makan," katanya. Menurut Mariam, rakan-rakannya yang lain turut mengalami masalah sama dan atas faktor itu mereka hanya mampu berdoa agar satu hari nanti mendapat pekerjaan tetap dengan pendapatan sesuai supaya dapat membayar pinjaman terbabit. "Gerun juga bila mendapat tahu peminjam yang ingkar akan dikenakan tindakan mahkamah dan disenaraikan hitamkan oleh Jabatan Imigresen, tapi apakan daya kami tidak mampu. Insya-ALLAH ada rezeki kami akan tunaikan tanggungjawab kami," katanya. Senasib dengan Mariam, seorang lagi peminjam, Rin Rahim, 22, pula berkata, sebelum menerima tawaran pinjaman PTPTN, dia sedar risiko terpaksa ditanggung jika gagal melunaskan hutang itu, namun terpaksa menandatangani perjanjian tersebut. Katanya, sebagai anak orang kampung yang berhasrat memegang segulung ijazah, dia tidak mampu melanjutkan pelajaran ke universiti dengan perbelanjaan sendiri dan mujur ada PTPTN membantunya mencapai impian. "Kami tiada pilihan, jika tidak membuat pinjaman menerusi PTPTN, mungkin saya tidak dapat menyambung pelajaran. Bukan tidak ada yang lain, tetapi tentulah syaratnya lebih ketat dan hanya universiti tertentu akan diberikan. "Apa pun, hutang tetap akan dibayar cuma menunggu sehingga mendapat pendapatan tetap dan kewangan mencukupi," katanya. Seorang peminjam yang mahu dikenali sebagai Nur Malek, 28, berkata, dia berhenti membayar balik pinjaman walaupun melakukannya secara konsisten selepas tidak berpuas hati dengan sikap kakitangan pengurusan PTPTN. Katanya, kakitangan terbabit enggan menerima borang pertukaran sistem ujrah yang dihantar hanya kerana dia tersilap cetak dokumen itu di depan dan belakang kertas. "Bayangkan, saya bersusah payah mendapatkan tandatangan pengesahan pegawai, membeli setem hasil bagi melengkapkan borang itu tapi ditolak mentah-mentah hanya kesilapan yang saya kira tidaklah sebesar mana jika hendak dibandingkan dengan kesungguhan untuk membayar hutang," katanya kecewa. Sehubungan itu, dia meminta pengurusan PTPTN melonggarkan kerenah birokrasi di perbadanan itu bagi menggalakkan peminjam melunaskan hutang masing-masing. "Mereka sepatutnya bertindak sebagai pemudah cara, bukan menyulitkan keadaan. Saya kecewa dan tawar hati kerana kakitangan itu langsung tidak bertolak ansur," katanya. | ||
Kakak: Siti Aishah janji pulang dalam 9 bulan Posted: 01 Dec 2013 12:09 AM PST SEPANG - Siti Aishah Abdul Wahab yang dikatakan dijadikan hamba selama 30 tahun di London berjanji akan pulang ke Malaysia selepas sembilan bulan, kata kakaknya, Kamar Mahtum. Kamar Mahtum, 79, yang ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus tiba dari London berkata semasa pertemuan beliau dengan Siti Aishah di satu lokasi rahsia di sana Khamis lepas, adik bongsunya itu berjanji akan balik secepat mungkin selepas kerjanya di sana selesai. "Dia banyak aktiviti di sana, di sana dia buat kerja-kerja sukarelawan membantu orang tapi saya sudah pujuk dia supaya pulang ," katanya yang tiba di KLIA bersama-sama aktivis politik Hishamuddin Rais kira-kira 7.40 pagi ini. Katanya beliau lega apabila melihat adiknya sihat dan gembira berada di sana kerana menurut laporan akhbar seolah-olah Siti Aishah tidak sihat. "Dia sihat fizikal dan lebih gemuk dari saya, dia juga merindui keluarga di Malaysia namun katanya keringatnya untuk membantu orang susah di sana masih diperlukan," katanya. Sabtu lepas, media melaporkan wanita berusia 69 tahun itu antara tiga wanita yang dibebaskan daripada perhambaan pada 25 Okt lepas di selatan London, selepas seorang daripada mereka menghubungi pertubuhan kebajikan. Dua wanita lain ialah warga Ireland dan Britain. Siti Aishah berasal dari Jelebu, Negeri Sembilan dan meninggalkan negara pada 1968 untuk melanjutkan pelajaran di London School Economics di United Kingdom. Namun ketika berada di sana, dia dikatakan terpengaruh dengan pergerakan Maoist iaitu politik melampau sehingga mengabaikan pelajarannya. Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai status agama Siti Aishah, Kamar Mahtum berkata: "Dengan saya dia sudah bagi tahu tapi antara dia dengan Allah hanya dia sahaja yang tahu". - Bernama | ||
Stadium Shah Alam dinaik taraf demi keselesaan semua Posted: 30 Nov 2013 11:52 PM PST Oleh : Mohd Ezli Mashut,Gambar : Asri Sapfie, SHAH ALAM : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menaiktaraf Stadium Shah Alam untuk melaksanakan penambahbaikan dan meningkatkan taraf kemudahan awam untuk keselesaan penonton dan pemain. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata Stadium Shah Alam akan ditutup sementara daripada sebarang aktiviti untuk tujuan berkenaan selama tiga bulan, bermula 1 Disember ini sehingga 1 Mac 2014. Katanya, kos untuk kerja pembaikan dan naik taraf stadium itu akan menelan kos RM2.4 juta yang juga fasa kedua selepas kerja fasa pertama siap dengan kos RM3.4 juta sebelum ini. "Naik taraf stadium ini akan membabitkan kerja pembaikan bumbung, penggantian rumput padang, tandas dan bilik persalinan pemain, baik pulih sistem siar raya serta genset," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas turun padang melihat kemudahan Stadium Shah Alam, di sini, hari ini. Mohd Jaafar berkata, MBSA akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik bagi mempertingkatkan tahap keselamatan stadium itu untuk fasa ketiga. Stadium Shah Alam mempunyai keluasan 155,000 kaki persegi dengan kapasiti penonton 80,000 dan dirasmikan pada 16 Julai 1994. "MBSA juga akan mempertingkatkan kemudahan sukan di Stadium Tertutup Melawati, Pusat Akuatik Darul Ehsan dan Taman Sukan Lasak Shah Alam," katanya.-NFN- | ||
Ubah ‘lorong belakang’ premis jadi kawasan seni dan rekreasi Posted: 30 Nov 2013 11:50 PM PST Oleh : Mohd Ezli Mashut SHAH ALAM : Lorong belakang premis bangunan yang selama ini sinonim dengan imej buruk dan negatif dengan gambaran kotor menjijikkan serta berbahaya untuk dilalui kini semuanya berubah. Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata projek Laman Seni Shah Alam itu di Seksyen 2 di sini bakal merubah tanggapan negatif itu dengan projek kecerian dan bersih yang menyediakan peluang kepada komuniti khususnya golongan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam menyerlahkan bakat dan kreativiti. Kata beliau, projek itu berjaya direalisasikan melalui perkongsian pintar antara MBSA dan syarikat korporat Bank Muamalat Malaysia Berhad yang memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk melaksanakan projek yang keseluruhannya berjumlah RM30,000. "Laman Seni Shah Alam itu akan menjadi lokasi tumpuan orang ramai khususnya karyawan dan para pelajar untuk mengadakan persembahan secara santai dan kesenian. "Ia juga memberi ruang kepada pelajar untuk mempamerkan hasil kerja seperti lukisan dan produk untuk tatapan orang ramai," kata beliau. Mohd Jaafar berkata demikian dalam Majlis Perasmian Laman Seni Shah Alam di Sekyen 2 di sini. Melalui inisiatif ini para pelajar bekerjasama dengan MBSA untuk menceria dan memperindahkan lagi dinding lorong belakang melalui lukisan mural dengan pelbagai corak dan motif yang kreatif. Laman seni itu akan dibuka untuk aktiviti muzik jalanan (basking) untuk menghidupkan suasana di kawasan ini dengan pelbagai bentuk aktiviti seni dan kreativiti sekaligus dapat memperkembangkan bakat. Beliau berkata, masyarakat perlu merubah tanggapan bahawa lorong-lorong belakang rumah dan premis perniagaan adalah hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan sahaja. Katanya, orang ramai mempunyai peranan untuk menjadikan kawasan berkenaan ceria dan bersih serta dapat digunakan untuk bersantai dan berekreasi dengan masyarakat kejiranan. "Kita akan lebih berjaya jika semua pihak bersama-sama menggembeling tenaga bagi memastikan kawasan ini lebih baik dan selesa dalam keadaan baik dan tenteram. "Dipohon juga pihak pekedai dan orang ramai agar memastikan keceriaan kawasan ini terus terpelihara," kata Mohd Jaafar. Katanya, laman seni itu nanti akan ditambah beberapa kemudahan di masa hadapan seperti bumbung dan kawasan untuk berniaga bagi memastikan kawasan itu dapat digunakan sepanjang masa tanpa mengira keadaan dan cuaca. "Selain itu MBSA juga menyediakan tempat meletak motosikal berbumbung bagi kemudahan dan keselamatan motosikal yang diletakkan di kawasan itu," kata beliau. MBSA merancang untuk melaksanakan projek laman seni di Seksyen 7 di sini bagi menceriakan kawasan berkenaan kerana ramai pelajar institusi pengajian tinggi tinggal di sekitar kawasan itu yang turut akan ditambah kemudahan awam. | ||
Speaker: ADUN patut guna dewan untuk sokong atau bantah usul Posted: 30 Nov 2013 11:47 PM PST ELANGOR KINI SHAH ALAM : Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh mengingatkan ahli dewan supaya menggunakan peluang berbahas kenaikan gaji ketika dewan bersidang, bukannya di luar. Beliau turut membantah mana-mana pihak yang mempertikai kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), exco, Speaker dan Timbalan Speaker DUN Selangor. Memetik The Malaysian Insider, Hannah Yeoh berkata, usul berkenaan sudah dibahas ketika sidang dewan dan peluang terbuka kepada mana-mana ahli dewan. "Saya sudah ingatkan kepada ahli dewan BN (Barisan Nasional) dan PR (Pakatan Rakyat) untuk gunakan peluang berkenaan. Dewan perlu dihormati sebagai sebuah institusi. "Saya semak hansard dan jelas Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) kata kenaikan itu hanya dilaksanakan jika mendapat persetujuan ahli dewan dari BN dan PR," katanya pada sidang media di DNS di sini, hari ini. Semalam, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor, Mohamed Azmin Ali menggesa agar kadar kenaikan gaji berkenaan dikaji semula kerana ia terlalu tinggi. Beliau bagaimanapun tidak membantah usul berkenaan walaupun hadir sidang dewan dan hal itu didedah seorang Exco Selangor, Teng Chang Kim. Mohamed Azmin yang juga yang juga Adun Bukit Antarabangsa, ketika ditemui hari ini bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.- FZL | ||
RM20 juta bangun kampung baru, 414 projek dilulus Posted: 30 Nov 2013 11:46 PM PST OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI SHAH ALAM – Kerajaan Selangor sudah memperuntukkan lebih daripada RM20 juta bagi pembangunan kampung baru di negeri itu dengan sebanyak 414 projek infrastruktur diluluskan dan dilaksanakan. Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baru dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, berkata pada 2014 ini kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta lagi bagi tujuan pembangunan di kawasan kampung baru. Katanya, ini berbeza dengan pentadbiran Kerajaan Umno-BN sebelum ini yang hanya memperuntukkan RM200,000 sahaja setiap tahun bagi pembangunan kampung baru. Ean berkata demikian ketika sesi penggulungan usul pembangunan Belanjawan 2014 di Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam. Dalam pada itu, Ean berkata Kerajaan Negeri akan mengkaji semula cadangan peningkatan peruntukan bagi tujuan pembangunan kampung baru pada Belanjawan 2015 yang akan datang. Katanya, cadangan Dr.Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) mengenai cadangan mengadakan rancangan khas bagi pembangunan kampung baru juga akan diteliti dan dibincangkan. Ean berkata, Kerajaan Negeri tidak membenarkan rumah kediaman di kampung baru ditukar kepada kilang atau stor kerana bercanggah dengan 'zoning' yang menyebabkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan. Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan boleh memberi pertimbangan membenarkan sebahagian kawasan rumah kediaman di kampung baru ditukar kepada komersial jika ia berada di tempat sesuai dan perlu melalui proses pendengaran awam. "Kerajaan Negeri juga mengambil berat isu keselamatan di kampung dengan memperuntukkan RM5,000 untuk setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) kampung, termasuk kampung tradisi dan kampung baru untuk menubuhkan pasukan peronda sukarela," kata beliau. - EZY | ||
Ustaz Kazim Elias kesal dicemuh orang ramai [TONTON VIDEO] Posted: 30 Nov 2013 09:37 PM PST SHAH ALAM: Pendakwah dan penceramah bebas, Ustaz Mohd Kazim Elias melahirkan rasa kesal terhadap tindakan orang ramai mencemuhnya dilaman sosial Facebook, setelah beliau dilantik menjadi seorang dari ahli Majlis Tertinggi Umno, secara lantikan. Kazim yang masih terkejut dengan pengumuman itu bagaimanapun berkata beliau menerima pelantikan itu bagi meneruskan perjuangan dakwahnya. "Saya pun terkejut saya dilantik, belum apa-apa dah kena maki.. Alhamdulillah, salah ke kalau orang lain minta nasihat? Saya ni sentiasa berlapang dada, janganlah tuduh tanpa melihat secara halus, "Apa tuan-tuan ingat saya kemaruk wang, kuasa pangkat? Apa salahnya doakan yg terbaik, bila tidak ada orang agama dikata teruk, bila orang agama dijemput pun dikata teruk. "Saya tak faham. Kalau tak tahu apa-apa alangkah baik kalau diam..," katanya yang dipetik daripada status di akaun miliknya di laman sosial Facebook. Antara tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah 'tanda-tanda akhir zaman, orang berilmu yang mengetahui kemungkaran sanggup mengiyakan kemungkaran demi kedudukan dan wang ringgit' selain dituduh sebagai ustaz Umno. Kazim juga dicemuh sebagai kaki temberang apabila sebelum ini beliau berkali-kali menafikan bahawa dirinya adalah ahlu Umno. Kazim juga disaran pelayar internet agar menolak pelantikan itu dan hanya menumpukan usaha kepada menjadi pendakwah yang disegani dan bebas daripada apa-apa ikatan. Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan pelantikan tambahan sembilan lagi Ahli Majlis Tertinggi (MT). Antaranya adalah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri Pelancongan dan Kebudayaan), Datuk Hamzah Zainuddin (Timbalan Menteri Luar), Datuk Johari Abdul Ghani (Ahli Parlimen Titiwangsa), Datuk Irmohizam Ibrahim (Ahli Parlimen Kuala Selangor), Datuk Mohd Sharkar Shamsudin (Adun) Lanchang, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Shah Abu Shah (Bekas Naib Canselor UiTM), Dr Asyraf Wajdi Dusuki (Yang Dipertua YADIM) serta Ustaz Mohammad Kazim Elias (pendakwah). Tengku Adnan berkata, pengumuman pelantikan berkenaan dibuat bagi melengkapkan 13 ahli tambahan MT parti itu sebagaimana yang terkandung dalam fasal 9.2.8 Perlembagaan Umno. Terdahulu, Naib Ketua Wanita, Datuk Azizah Mohd Dun, Penolong Setiausaha Wanita, Datuk Rosni Sohar, Naib Ketua Pemuda, Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri, Zahida Zarik Khan dilantik pada mesyuarat pertama MT, 22 November lalu. Mengulas lanjut Kazim berkata beliau akan mengadakan satu sidang media di PPR Setapak pada jam 9 malam ini bagi menjelaskan kepada orang ramai berhubung perkara ini. "Saya akan adakan sidang akhbar khas di PPR Setapak, dengar penjelasan saya. Dalam hal ini sepatutnya bagi pandangan atau nasihat, bukan maki hamun, fitnah dan cacian. "Bab lantikan MT UMNO ni baru sangat saya dijemput, diminta bantu apa yang patut untuk Islam. Itu pun jadi masalah, jadi isu? Saya ada prinsip saya. Tak pernah dengar ceramah saya, tapi nak komen lebih-lebih,, Esok saya akan dapatkan apa bentuk lantikan yang diberi pada saya dan saya jugak kena jaga banyak perkara dari keluarga, sekolah, kuliah-kuliah saya, anak murid saya, pengikut kuliah saya dan lain lain. "Bagi anda yang betul ikhlas dalam memperjuangkan Islam boleh dengar apa saya cakap selepas saya berbincang seperti yang saya sebutkan tadi," tegasnya. | ||
Perlantikan pendakwah bebas sebagai anggota MT Umno Posted: 30 Nov 2013 09:29 PM PST Ekoran pengumuman Setiausaha Agung Umno, Teaku Adnan Mansor yang seorang pendakwah bebas menganggotai Majlis Tertinggi Umno ia menimbulkan sedikit hebuh di media massa. Beberapa pemimpin Pas juga turut membuat ulasan terhadap perlantikan pendakwah itu. Banyak teguran dan sidiran dilepaskan kepada pendakwah berkenaan. Kenapa? Kehebuhan itu mungkin kerana beliau sebelum ini adalah seorang ahli Pas dan pernah mencemuh Umno? Jadi Pas merasa sedikit terkilan dan kesal atas apa yang berlaku. Bagi saya tidak ada masalah, Pas tidak perlu kesal atau terkilan. Berhijrah dalam politik adalah perkara biasa yang tidak perlu diperdebatkan. Kejadian seperti itu bukan perkara baru dan pertama kali. Lagipun era ini bukan lagi era halal haram atau mengtakfir. Ustaz itu ada pandangannya sendiri. Dia ada keyakinannya sendiri. Mungkin dia menyedari bahawa politik adalah politik yang tidak boleh dihubungkaitkan dengan agama. Berbeza dengan pegangan filsofi Pas yang menerima semua perkara berhubung kait dengan agama, hatta politik. Maka kalau hendak menyertai politik harus memilih politik (parti) yang ada unsur-unsur agama. Kalau tidak ianya salah. Begitukah? Jadi biarlah ustaz itu dengan keputusannya. Kalau dia menerima perlantikan itu mesti dia ada misi dan tujuan tersendiri. Dia tidak akan sengaja membawa masuk dirinya ke dalam terowong hitam. Dalam soal ini saya tidak nampak glamour atau wang yang dikejarnya kerana itu sudah dimilikinya. Masa dan kepercayaan perlu diberikan kepadanya. Manalah tahu dengan adanya beliau dalam Umno sedikit sebanyak mengubah persepsi Umno terhadap agama atau perjuangan menegak agama dilakukan oleh pihak lain selama ini. Akhirnya menatijahkan keinginan kita semua untuk melihat wujudnya sebuah perpaduan Melayu nasional. Kalau kesediaan Umno mengambilnya kerana ada agenda serta motif tertentu, ustaz itu juga diharap ada agendanya tersendiri. Beliau jangan mengsia-siakan peluang. Kita tidak fikir dia akan merosakan reputasinya sebagai pendakwa bebas semudah itu dengan hanya menerima perlantikan sebagai anggota MT. Dan apabila dia sudah mengenali Umno; budaya dan segala macamnya dengan kepalanya sendiri barulah dia tahu apakah (kalau dia menerima perlantikan) tindakannya itu benar atau tidak | ||
SPR kenal pasti 8 kelemahan PRU 13 Posted: 30 Nov 2013 09:23 PM PST Bedah siasat ini membabitkan 222 kawasan parlimen dan 505 kerusi negeri dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Omar. PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenal pasti lapan kelemahan yang berlaku dalam pilihan raya umum ke 13 pada 5 Mei lalu. Lapan kelemahan itu bersangkut paut dengan taklimat dan latihan kepada pegawai pilihan raya, hari penaman calon, tempoh resmi berkempen, pengurusan kertas undi pos, hari pengundian, proses pengiraan undi, penjumlahan rasmi undi dan penggunaan dakwat kekal. Bedah siasat SPR ini membabitkan 222 kawasan parlimen dan 505 kerusi negeri dipengerusikan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan timbalannya Datuk Wan Ahmad Omar secara serentak mulai 19 Jun hingga 15 Julai lalu. Ia turut melibatkan ahli-ali panel SPR serta wakil polis dan tentera, kata Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dalam satu kenyataan media hari ini. Perincian kelemahan adalah seperti berikut:
|
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan