. |
Pas hendak dihancurkan dengan Syiah? Posted: 12 Dec 2013 02:12 AM PST ULAS ULASAN Apa yang dimaksudkan oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi orang nombor dua di dalam Pas menganuti faham Syiah, adalah sah Mohamad Sabu yang kini adalah timbalan presiden Pas. Perkara itu didedahkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Abdul Rahim Radzi ketika mendedahkan bukti penglibatan Mohamad Sabu dalam Syiah. Dalam satu sidang akhbar khas yang dinanti-nanti umum di Putrajaya hari ini, Rahim menjelaskan ada 10 fakta yang dikumpul termasuk maklumat dari Mohamad sendiri yang boleh megaitkan timbalan presiden Pas itu sebagai Syiah. Antara maklumat itu kata Rahim ialah, berdasarkan tulisan Mohamad Sabu di dalam Harakah yang menggesa agar mencontohi semangat kepimpinan Imam Khomeini. Selain itu adalah juga hasil temuramah dengan seorang ustaz oleh pegawai agama KDN berhubung penglibatan Mohamad Sabu. Kekaguman Mohamad Sabu kepada kepimpinan Imam Khomeini semasa memerintah Iran juga turut disebut sebagai bukti. Yang lainya mengenai pertemuan Mohamad Sabu dengan Setiausaha Agung Syiah Lubnan, Sayyid Hassan Nasrullah. Jika tidak silap pertemuan ini dirakam dan disebarkan meluas dalam internet. Bukti lain tentang kunjungan Mohamad ke sebuah masjid di Satun, Thailand. Selain bukti itu juga termasuk kehadiran Mohamad Sabu dalam pengajian Syiah yang dikendalikan oleh ustaz fahaman Syiah di negara ini. Mohamad juga dikatakan sembahyang seperti penganut fahaman Syiah apabila meletak batu leper di tempat sujud. Bukti ini menurut pengakuan seorang imam di Kedah. Kalau memerhatikan kepada bukti-bukti itu ia tidak cuku kuat untuk mendakwa dan mengheret Mohamad Sabu ke mahkamah atas tuduhan menganuti ajaran Syiah dan disabitkan dengan mana-mana hukum agama. Ia merupakan bukti berbentuk persepsi dan terjemahan 'hanyir' secara bebas. Tidak mudah untuk mempertahankan bukti itu sebagai salah atau sesat dengan kitab-kitab agama, kerana persoalan Syiah subjektif dan khilafiah. Jelas 10 bukti itu sangat lemah dan sengaja diada-adakan. Bahkan pendedahan bukti itu sekaligus menunjukkan kelemahan pihak KDN sendiri bagi mengemukakan bukti yang lebih konkrit. Pendedahan bukti seperti itu memalukan pasukan PDRM khasnya unit agamanya. Dan bila Zahid serahkan kepada KSU isu yang beliau dedahkan, tidak berani mendedah sendiri orang tahulah bau sebenar usus Zahid Hsmidi. Dari beberapa pembuktikan itu tidak ada pembuktikan yang mendedahkan Mohamad Sabu cuba menganjurkan kegagasan berlandasan kepada fahama Syiah seperti mana difahamkan. Adakah Mohamad pernah mengajak rakyat bangkit melakukan keganasan mempertahanakan Syiah dan menumbangkan kerajaan menggunakan senjata? Apakah sekadar sembanyang dengan meletakkan batu leper (entah apa-apa itu) di tempat sujud, itu satu ancaman kepada keselamatan negara dan akidah? Rasanya masih ada perkara atau kelakuan lebih besar dari perbuatan itu yang boleh mengancam keselamatan negara dan akidah ummah misalnya Freemesson dan sebagainya. Moleklah kalau para imam dan pemantau agama memperluaskan skop penyiasatan mereka dan tambahlah ilmu agar sesuatu yang disimpulkan itu tidak nampak kebodohannya. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri sendiri masih kabur (belum sepakat) mengenai soal Syiah ini dimana tidak ada penjelasan tuntas berhubung perkara ini sebagai dijadikan panduan. Syiah itu sendiri tergolong berbagai aliran. Peliknya dalam satu masa sesetengah orang Malaysia membenci dan mengutuk Syiah tetapi dalam sudut lain sedia berkunjung ke negara yang tegar mengamalkan Syiah? Misalnya Iran yang dikatakan negara berfahaman Syiah. Kalau kerajaan Malaysia bimbang dengan penularan fahaman ini putus saja hubungan diplomatik dengan negara-negara berfahaman majoriti Syiah. Bukti-bukti yang disebut hari ini juga merupakan perkara yang telah basi (klise) kerana ia sudah diperkata dan didebatkan di kalangan sesetengah ahli Pas yang anti Mohamad Sabu. Bukti-bukti itu juga dijadikan bahan kempen untuk menjatuhkan Mohamad Sabu dalam muktamar lalu. Tetapi ternyata ia tidak berjaya dan Mohamad Sabu ampuh dikerusinya. Ini bermakna ahli Pas tidak menerima alasan dan pembuktikan itu untuk mengaitkan Mohamd Sabu sebagai Syiah sesat tidak mencukupi. Pas sebagai parti dianggotai Mohamad Sabu tentu lebih tahu sejauh mana ahlinya itu melanggar syariat atau membahayakan kepada akidah umat Islam dan ahlinya. Yang jelas tidak ada apa-apa tindakan daripada Pas. Jadi tidak perlu pemimpin Umno cuba hendak membentukkan akidah orang-orang Pas atau jemaah itu sendiri sedangkan akidah Umno belum tentu benar. Dalam konteks ini Pas dirasakan lebih arif, adil dan 'fakeh' Islam berbanding dengan KDN dan Zahid sendiri mengenai hal ini. Mengenai kononnya Mohamad menghadiri pengajian dikendalikan Syiah itu, apakah ustaz berkenaan telah didakwa dan ditangkap? Sepatutnya ustaz itu patut didakwa terlebih dahulu dan disumbat ke dalam penjara? Pandangan yang diambil dari hanya ustaz ahli sunnah wal jemaah tertentu tidak mencukupi kerana mungkin mereka lebih bersifat peribadi dan sesuatu ulasan dibuat ke atas Syiah penuh dengan amarah. Bila mengenangkan kesungguhan Zahid dalam isu ini menyebabkan timbul dua persoalan di kepala saya. Pertama, kenapa beliau menyerahkan soal Syiah dan pemimpin Pas itu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Bahrum? Kenapa ia tidak diurus sendiri (pinjaman perkataan Ahmad Yaakub), semasa beliau menjadi menteri agama dulu. Antara tuduhan yang cuba babitkan Mohamad Sabu dengan Syiah itu bukan perkara baru, misalnya sokongan Mohamad kepada semangat revolusi Iran berlaku sejak tahun 1982 dulu lagi. Bahkah kepimpinan ulamak di dalam Pas itu sendiri bersumber dari kejatuhan Shah Iran, Reza Pehlwi setelah kebangkitan Imam Khomeini. Dan yang berkunjung ke Iran bukan saja Mohamad tetapi masih ada pemimpin Pas lain yang lebih fakeh. Tetapi kenapa ketika itu Zahid hanya mendiamkan diri? Kenapa? Kenapa? Justeru saya menduga Zahid ada ageda dan niat tersendiri yang busuk apabila tidak semena-mena mencari populariti dengan cuba mengaitkan Mohamad Sabu dan Pas dengan Syiah itu. Apabila dia letakkan masalah itu ke bahu Jamil Khir seolah-olah beliau sengaja ingin menekan Jamil Khir dengan masalah itu. Dia sendiri mungkin sedar bukan mudah untuk meleburkan Mohamad Sabu dan Pas dengan isu Syiah ini. Boleh jadi ada sesuatu yang tidak beres di antara beliau dengan Jamil Khir maka Jamil Khir harus disusahkan. Ada dendam yang hendak dibalas? Khabarnya Zahid tidak berpuas hati dengan tindakan Jamil Khir yang membatalkan berberapa proposal semasa beliau jadi menteri agama. Ada satu projek pembangunan berhampiran rumah saya telah diluluskan ketika Zahid jadi menteri agama tetapi dibatal oleh Jamil Khir. Kita bercerita diwaktu lain perkara ini. Persoalan kedua, boleh jadi Zahid ada agenda lebih jauh dan lebih kohong dari itu. Beliau sengaja menimbulkan isu Syiah dan membabitkan pemimpin nombor dua Pas untuk memburukkan Pas itu sendiri. Mungkin dalam pemikirannya kalau pemimpin Pas dikaitkan dengan Syiah menyebabkan Pas sebagai sebuah organisasi boleh diharamkan. Matlamatnya disini ialah mengharamkan Pas? Atau setidak-tidaknya memecahkan Pas kerana dengan berpecah itu cukup mudah Zahid membina pengaruhnya di dalam Umno bagi menjadi perdana menteri? Hasrat Zahid yang satu ini sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Apakah ini dan itu tujuan dan alasan Zahid? [mw.kl.5:56 pm 12/12/13] P/s: Dalam penjelasan Mohamad Sabu, Sayyid Hassan Nasrullah adalah Setiausaha Agung Hezbulloah, bukan Setiausaha Agung Syiah Lubnan. | ||||||||
Perjalanan hidup seorang kawan Posted: 11 Dec 2013 05:03 PM PST BELESUNGKAWA Catatan perjalanan untuk menjejak ahli sufi (suluki) serta melihat perkembangan pesantren di Jawa Timur khas Temboro ditangguhkan seketika untuk memberi laluan kepada catatan belesungkawa buat rakan sekampung dan sepejuang saya, Mat Darus Sulaiman yang baru kembali ke Rahmatulah selepas Maghrib tadi (7:20 pm). Beliau insan biasa saja tidak ada apa-apa nama (status) tetapi ia cukup istimewa buat saya.
Orang kampung tidak akan kenal siapa Mat Darus Sulaiman, tetapi akan tahu bila menyebut M Hayat. M Hayat adalah nama penanya yang membawa maksud "Merana Hidup". Kenapa merana hidup? Nama M Hayat keudara boleh dikatakan setiap hari di corong radio kawan Timur dan juga kebangsaan melalui tulisannya, berupa skrip drama radio atau luahan hati di rancangan Melodi Romantika dari tahun 70-an hingga ke awal tahun 80-an. Dia istimewa buat saya kerana Allahyarham adalah antara pendorong dan insprirasi buat saya untuk menceburi dalam erena penulisan kreatif, cerpen, sajak dan drama radio pada peringkat awal. Boleh dikatakan sebelum saya menuruni dan bergelumang dalam kancah penulis buku-bulu politik atau dunia kewartawanan seperti hari, dia adalah antara orang utama memberi dokongan dan optemis dengan masa depan dalam dunia penulisan sebagai sebuah kerjaya.
Lantaran kejahilan itu bahkan saya dan dia sendiri tidak yakin akan suatu hari mempunyai kekasih yang kemudian menjadi isteri. Siapalah yang mahu pandang kepada dunia seorang penulis, berapa sangat pendapatannya? Dalam dunia dipenuhi dengan material, hidup tanpa wang tidak akan dihormati dan disanjung orang? Mungkin isteri saya juga dihina kerana bersuaminya penyair seperti saya? Sebuah puisi hanya dibayar RM10 manakala cerpen RM20 dan skrip drama radio RM40 sahaja. Tidak mungkin dengan pendapatan sebanyak itu dapat untuk meminang anak dara orang. Satu ketika kami pernah becanda rasa yang kami mungkin tidak akan memiliki isteri kerana kemiskinan itu. Tidak mungkin ada ibubapa yang sanggup menerima hantaran untuk anak daranya dengan puisi? Apa lagi beliau yang cacat penglihatan, di mana orang cacat seperti itu dianggap tidak lebih daripada mencari rezeki menerusi meminta sedekah. Allahyarham pernah menyuarakan kedukaan jiwanya kepada saya, katanya kalau dia dibesarkan dibandar dan di kalangan orang berada mungkin nasibnya berubah. Namun begitu beliau tidak menyalahkan ibu yang mengandung, dan kampung halaman yang serba kurang dan berada di tengah masyarakat yang tidak peka kepada kebolehan dan keistimewan orang buta seperti beliau. Kejumudan berfikiran itulah akhir menjadikan beliau mangsa sebagai orang cacat yang tidak diberikan pendidikan dan ilmu tatadiri sewajarnya. Beliau yang hilang penglihatan sejak berusia empat atau lima tahun disebabkan demam panas tidak diberi apa-apa pendidikan. Dia hanya hidup sebagai kanak-kanak buta yang sering kali diperolok-olokkan oleh rakan-rakan lain. Di kampung orang buta dijadikan toys. Saya masih ingat, apabila Allahyarham berjalan bersendirian, lalunya akan dihalang dengan ranting kayu dan tin-tin kosong. Apabila beliau tersepak atau terlanggar tin akan berbunyi dan rakan-rakan akan riuh mengilai sambil bersorak-sorak. Ketika inilah Allahyarham menjadi laksana P Ramlee yang dipermainkan oleh Salleh Kamil dalam filem Si Bongkok. Alhamdulilah, saya diberikan sedikit rasa kemanusian berlainan dari rakan lain. Sayalah yang menjadi tukang tarik (pimpin) untuk membawanya ke surau, ke sungai, ke telaga, ke pesta dikir barat dan di mana-mana sahaja. Bermula dari rasa simpati itulah persahabatan saya bermula dengan beliau sehingga ke akhir hayat. Agak ganjil ketika itu bila saya berkawan dan sering bersama beliau dimana-mana sahaja kerana perbezaan usia antara kami ketara, saya lebih muda sembilan tahun darinya. Mungkin boleh disebut yang memberi galakan saya berkawan dengannya, membantu gerak gerinya ialah arwah datuk (Othman Yaakob) yang kebetulan menjadi guru Quran kepadanya. "Kita jangan hina dan permainkan orang buta. Hari ini kita pimpin dia di dunia besok dia akan pimpin kita di akhirat," begitulah kata-kata arwah datuk dalam memberi galakan kepada saya membantu Allahyarham.
Radio adalah guru dan sumber maklumat utama kepadanya. Radio tidak pernah lekang dari dirinya. Boleh dikatakan radio adalah guru utamanya selain daripada dua rakannya yang lain tolong membantu bacakan buku-buku, novel atau akhbar kepadanya. Selain saya dua rakan lain ialah Loding Che Muda, sepupunya dan Hassan Idris (Lah) yang tiga bulan lepas telah kembali ke Ramatullah. Dan dunia dan pengetuan Allahyarham agak melebar sedikit apabila pada tahun 1970 hingga 1973 (kalau tidak silap) beliau memasuki ke Taman Harapan (pusat latihan kemahiran untuk orang buta) di Temerloh Pahang dibawah kelolaan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pemergian ke Temerloh itu saya kira perjalanan pertama buat beliau meninggalkan kampung halaman. Kesempatan selama tiga tahun di Taman Harapan itu membuka ruang dan keyakinan lebih luas kepadanya. Sebagai insan, Allahyarham juga mempunyai naluri dan cita-cita tersendiri seperti manusia sempurna. Dalam diam-diam dia tekad untuk jadi seorang penulis. Kemunculan dan kejayaannya meletakkan namanya sebaris dengan nama-nama rakan lain dalam dunia penulisan inilah merupakan keistimewaan dan kehebatan yang ada kepadanya. Kebolehan inilah menjadikan rekod manis buat beliau, saya dan dan segenap orang kampung. Sesiapa pun tidak percaya dengan kemampuannya boleh menghafal skrip drama radio atau cerpen di dalam kepalanya melebihi 5,000 patah perkataan. Selepas dihafal dia akan meminta rakannya, Hassan menulis skrip berkenaan kemudian menguruskan pengeposan. Saya sendiri juga menjadi tukang tulis kepada beberapa buah karya. Selepas ditulis disuruh baca dan beliau meneliti satu persatu ayat-ayatnya. Beliau ingat mana-mana perkataan atau ayat yang dilafazkan dan minta diperbetulkan. Minatnya untuk menjadi seorang penulis berkobar-kobar selepas kembali dari Taman Harapan di Temerloh. Ketika ini saya hampir setiap hari dan malam bersamanya. Mungkin beratus buah novel atau buku bacaan umum yang saya bawa balik dari perpustakaan sekolah dan dibacakan untuknya sehinggakan saya terabai untuk menelaah kerja sekolah. Saya hanya berenggang dengan beliau apabila saya ke Indonesia dan bergabung balik sesudah itu. Kalau tidak kami dianggap sebagai belangkas. Untuk jadi penulis Allahyarham tidak berpuas hati setakat karya-karyanya ditulis dan disalin oleh kawan. Beliau mahu berbuat sendiri dengan menyatakan minat untuk mempelajari menaip dengan menggunakan mesin taip biasa. Untuk mendapatkan mesin taip ketika itu bukan perkara mudah. Seingat saya hanya pejabat penggawa, sekolah dan penulis verteran Norhisam Musatafa dan Jusuf Taib sahaja yang ada mesin taip.
Sekali lagi orang akan merasa pelik dan diluar kelaziman. Selalunya taip write untuk orang buta bertulisan braile. Tetapi yang dibeli type wiriter biasa. Jadi saya terpaksa mengajarnya menaip dengan mereka sistem dan formula letakan jari di key board tersendiri. Menunjukan kedudukan abjab dan segala macam teknik dan kaedah-keadaan lain memasuk kertas, membuat perenggan dan sebagainya. Dengan kerajinan dan kesungguhan, saya mengajar dan memberi tunjuk ajar kepadanya siang dan malam. Dalam masa tidak sampai sebulan dia menguasai menggunakan type witer biasa untuk menulis puisi, skrip drama radio ataupun cerpen dan menulis surat. Setelah dapat menguasai type wiriter banyak hasil-hasil karyanya tersiar di radio terutamanya skrip drama dan puisi. Kecacatan beliau juga tidak menghalang untuknya bergerak aktif bersama rakan lain dalam persatuan penulis. Di Gual Periok kami menubuhkan Penulis Gual Periok (PENGUPER) di mana beliau aktif di pentas pembacaan puisi. Selain itu Allahyarham juga ahli Persatuan Penulis Kelantan (PPK). Sering menghadiri bengkel penulisan berbagai gerne bagi memantapkan kerjayanya. Pernah juga beberapa kali menyertai himpunan Hari Sastera atau Hari Puisi Nasional. Bagaimana pun aktiviti seni dan sastera ini tidak diteruskan selepas tahun 80-an khasnya selepas saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan kebetulan juga Allahyarham sudah berumah tangga. Namun perhubungan dan tali sobat kami tidak pernah 'raka' apa lagi putus. Sesekali apabila beliau bertandang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat persatuan orang-orang buta, saya akan menemuinya dan membawa ke rumah untuk makan bersama keluarga. Sebenarnya banyak kisah suka dan duka serta lucu di antara saya bersama Allahyarham. Terlalu panjang untuk saya nukilkan di sini walaupun saya merasa penting untuk dirakam. Barang kali bukan semuanya dapat saya curahkan di sini. Salah satu yang menarik ialah kisah percintaan dan perkahwinan beliau dengan isterinya, Pakhariah Daud. Sayalah yang menjadi ketua rombongan meminang. Mungkin tidak sesuai untuk diceriterakan waktu ini, tetapi ia tetap merupakan satu kisah percintaan agung terutamaya mengenai kesetiaan dan kesabaran Pakhariah menanggung hidup sebagai isterinya selama lebih 30 tahun. Hasil perkongsian dengan Pakhariah (Kak Yah) Allayarham dikurniakan lima orang anak, dua perempuan dan tiga lelaki serta dua cucu. Tiga anaknya berjaya ke menara ganding dua telah pun selesai dan seorang berumah tangga. Dua lagi masih di sekolah menengah. Kejayaan beliau mendidik anak itu menunjukkan kemampuan beliau seorang ayah dan suami persis insan biasa yang lain juga. Allahyarham juga merupakan pengerusi Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia untuk cawangan Kelantan. Al Fatihah [wm.kl.12/12/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan