Roslan SMS Corner |
Ustaz Nik Amar - Timbalan Presiden (11/11/13) Posted: 10 Nov 2013 07:42 PM PST (posting ini adalah pandangan saya ebagai kempen jawatan Timbalan Presiden PAS, saya mengharap ianya tidak bertentangan dengan garsi panduan yang telah ditetapkan oleh PAS) Jawatan Timbalan Presiden PAS bakal menjadi rebutan dalam muktamar PAS tahun ini setelah jawatan Presiden dimenangi tanpa bertanding oleh penyandangnya Dato Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang. Jawatan Timbalan Presiden adalah jawatan kedua terpenting dalam PAS. Sebagaimana parti dan gerakan lain, peranan Timbalan adalah menyokong dan membantu orang nombor satu dan kiranya sesuatu berlaku ke atas batang tubuh orang nombor satu maka beliaulah yang akan naik memangku jawatan Presiden. Bagi parti dan gerakan lain berkemungkinan posisi ini tidak penting atau tiada "significant" siapa nombor satu dan siapa nombor dua. Namun demikian bagi sebuah gerakan Islam sebagaimana PAS sudah pastilah ianya penting dan perlu diberi perhatian. Mengikut sejarah sebelum Pilihanraya Umum yang pertama pada tahun 1959, PAS berhadapan dengan kemelut kepimpinan. Kalangan pimpinan PAS memerah otak berbincang dan bermuzakarah bagi memilih pemimpin nombor satu setelah Presiden (atau Yang Dipertua Agung) ketika itu Dr Abbas Alias terpaksa melepaskan jawatannya. PAS bakal berhadapan dengan pilihanraya besar setelah menang satu kerusi dalam Pilihnaraya Persekutuan tahun 1955. Oleh itu ia memerlukan seorang yang memiliki ciri-ciri kepimpinan Islam bagi mengetuainya dalam "jihad" besar PRU pertama. Kalau diteliti bahan-bahan tulisan sejarah PAS, ternyata siapa bakal mengetuai PAS dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat, sehinggalah mereka memutuskan untuk memujuk seorang aktivis dan ulamak yang disegani ketika itu iaitu Almarhum Dr Burhanuddin al Helmy untuk menyertai PAS dan akhirnya pada tahun 1956 dipilih dalam muktamar PAS sebagai Presiden PAS. Ini bukti betapa ahli dan kepimpinan di awal-awal penubuhan PAS sangat menitik-beratkan akan individu dan peribadi yang bakal mengisi jawatan tertinggi parti. Kerana PAS sebagaimana yang saya sebutkan tidak seperti parti dan gerakan lain adalah sebuah parti dan gerakan Islam. Kerana itu tidak hairan apabila Multaqa Ulamak Se Malaysia di Kota Sarang Semut Kedah menerbitkan resolusi yang antaranya berbunyi: Multaqa Ulamak Se-Malaysia menerima saranan daripada wakil-wakil perbahasan untuk menegaskan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang islam dan realiti semasa. Jawatan-jawatan lain termasuk naib-naib presiden juga turut perlu dipertimbangkan daripada kalangan ulama dengan gandingan bersama golongan profesional dan aktivis Istilah "sewajarnya" di atas digunakan pada pemahaman saya bagi memberi faham bahawa PAS dengan identiti dan jiwa Islamnya sudah pasti memerlukan pemimpin yang sedemikian untuk memimpin dan memacunya. Lalu kemana mahu ditempatkan mereka yang tidak ulamak atau tiada latarbelakang akademik dan pendidikan Islam? Sesungguhnya semua mempunyai dan memiliki tugas dan tanggungjawab. Lengkap melengkapi, tetapi asasnya teraju wajarlah dikalangan mereka yang faham dan terdidik dalam Islam secukup dan semasak-masaknya. Bermkana kita bersama menyokong, memupuk dan memperteguhkan gerakan dan perjuangan ini berpayungkan kepimpinan ulamak, iaitu mereka yang dipertanggungjawabkan oleh Allah lantaran faqihnya mereka dalam ilmu dan bidang Islam. Jika tidak kerana itu masakan Rasulullah saw bersabda: Dari Abdullah ibn 'Amru ibn Al-'As ra katanya : Saya dengar Rasulullah saw bersabda : Bahawasanya Allah tidak menarik ilmu dengan mencabutnya dari manusia tetapi Allah menarik ilmu dengan mematikan ulama hingga apabila tidak ada lagi orang alim, manusia akan mengambil orang-orang jahil sebagai ketua, maka mereka ditanya, merekapun memberi fatwa tanpa ilmu, maka sesatlah mereka dan menyesatkan pula. Berbalik kepada isu pemilihan Dr Burhanuddin al Helmy pada tahun 1956 itu, beliau dibantu oleh Almarhum Prof Zulkifli Muhammad (seorang lagi ulamak besar, yang sekembalinya dari Timur Tengah mahu diangkat oleh Kerajaan Peraka sebagai Muftinya tetapi ditolak beliau) dengan gandingan kedua-duanya telah membawa PAS kepada kejayaan yang besar ketika itu, apabila menang kedua-dua kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu. Kedua-dua Presiden dan Timbalan melangkah masuk ke Parlimen menggemparkan Dewan Rakyat dengan suara dan nafas Islam. Dizaman kepimpinan mereka juga bekas Ketua Wanita Umno Malaya (ketika itu Ketua Kaum Ibu) Khatijah Sidek berjaya diyakinkan menyertai PAS dan menang kerusi Parlimen di Terengganu atas tiket PAS. Oleh itu kini tahun 2013, saya secara peribadi berpandangan sesuai sangatlah PAS kembali kepada zaman kegemilangan itu dengan menempatkan, sebagaimana maksud resolusi Multaqa Ulamak itu, orang nombor satu dan dua dikalangan para ulamak. Semoga kita memperoleh barakah dan petunjuk sepanjang jalan perjuangan yang sangat mencabar dan penuh dugaan ini. Bagi jawatan nombor dua parti, iaitu Timbalan Presiden, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato' Haji Mohd Amar bin Haji Abdullah atau Ustaz Nik Amar menawarkan diri. Tidakkah terganggu tugas beliau sebagai TMB jika dipilih menjadi Timbalan Presiden nanti? Itu bagi saya satu anggapan yang sangat tidak berasas. Tuan Guru Presiden sekarang pernah menjadi Menteri Besar dan kemudiannya Ketua Pembangkang ketika beliau Timbalan Presiden dan memangku jawatan Presiden apabila Almarhum Ustaz Fadzil Nor pulang ke rahmatullah. Begitu juga Setiausaha Agung DAP, adalah juga Ketua Menteri Pulau Pinang. Saya yakin apabila beliau menawarkan diri bermakna beliau telah bersedia menggalas dan memikul tanggungjawab itu, adalah tidak adil kita menghukum begitu sedangkan indidividu ini memiliki kemampuan dan kebolehan. Dari segi latarbelakangnya, Ustaz Nik Amar datangnya dari keluarga pejuang yang terbukti. Almarhum Ayahnya bekas ahli Parlimen PAS, Pak Nik Lah yang telah banyak menabur jasa pada parti. Keluarga beliau adalah campuran dari keluarga ulamak dan keturunan keluarga di Raja Kelantan - Ustaz merupakan cucu kepada Sultan Muhammad IV melalui nendanya) Yang pentingnya beliau memiliki latarbelakang akademik Islam yang sangat mantap dan baik. Beliau mendapat pendidikan awal di Pondok Tok Ayah Kedah, Panchor, Kelantan yang diasaskan oleh datuknya. Dalam masa yang sama beliau bersekolah di Sekolah Melayu Majlis (1965 - 1971) , SMU (A) Tarbiah Mardhiah (1972-77), Maahad Muhammadi Lelaki (1978-79), Sarjana Muda Pengajian Islam (BA)(UKM) (1979-83), Ijazah Sarjana atau MA dalam Theological Studies atau Kajian Agama University of Birmingham UK (1985-88). Beliau pernah menjadi Pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) selama 10 tahun (1985-95). Pernah menang dan menjadi ahli Parlimen Pengkalan Chepa (kerusi ayahnya dahulu) dan kini ADUN Panchor serta Timbalan Menteri Besar Kelantan. Beliau fasih berbahasa Arab dan Inggeris. Berdasarkan latarbelakang pendidikan dan pengajian serta pengalaman dan pendedahan politik, saya yakin Ustaz Nik Amar mampu dan mempunyai kelayakan serta keupayaan untuk membantu Tuan Guru Presiden melalui jawatan Timbalan Presiden sekiranya dimanahklan oleh para perwakilan. Sekiranya diberikan mandat saya penuh yakin Ustaz Nik Amar nanti dapat menjalankan amanahnya dengan baik, selain memberi ceramah politik, dapat memimpin majlis-majlis ilmu anjuran PAS atau masyarakat luar, membentang kertas kerja berkenaan PAS dan perjuangan Islam diperingkat dalam Negara ataupun antarabangsa,begitu juga menjadi wakil parti berunding dan bertukar-tukar pandangan secara efektif diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. Kenalan saya seorang wartawan kanan sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris tempatan pernah menyatakan beliau begitu kagum dengan kemahiran Ustaz Nik Amar, penguasaan bahasa Inggerisnya selain ketajaman fikirannya, PAS jika mahu mendukung resolusi Multaqa Ulamak di atas, tidak akan silap sekiranya mengangkat Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang dan Ustaz Dato Hj Mohd Amar sebagai Presiden dan Timbalan Presiden parti. Semoga Allah swt memberikan taufik dan hidayah kepada para perwakilan parti agar nanti mampu memilih yang terbaik dari yang baik-baik. Selamat bermuktamar. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan