MIMPI SENJA |
- Samun, Rogol Wanita Dalam Kereta
- Suami ditembak mati, isteri diculik di Pulau Pom Pom, Sabah
- FBI tinggal Hot FM kerana nak buka kedai motorsikal
- Najib PM paling boros?
Samun, Rogol Wanita Dalam Kereta Posted: 14 Nov 2013 11:40 PM PST ALOR SETAR: Tempoh 30 minit menjadi pengalaman sengsara dalam hidup seorang wanita apabila bukan saja menjadi mangsa samun, malah turut dirogol seorang lelaki di tempat duduk belakang sebuah kereta Proton Persona di satu lokasi, di sini. Difahamkan, kejadian berlaku kira-kira jam 10 malam 5 November lalu berkenaan turut disaksikan anak lelaki mangsa berusia empat tahun selepas wanita itu ke sebuah bank untuk mengeluarkan wang. Sebelum itu, seorang lelaki lingkungan 20-an dipercayai masuk di tempat duduk hadapan lalu mengacukan sebilah pisau kepada mangsa. Wanita berkenaan kemudian diarahkan memandu kereta terbabit ke kawasan lain sebelum merogol dan menyamun sejumlah wang tunai termasuk telefon bimbit sebelum melarikan diri. Susulan kejadian itu, gerakan menjejaki suspek dijalankan sehingga sepasukan anggota Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya menahan dua lelaki lingkungan 20-an, malam kelmarin. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya mendapat maklumat berhubung lokasi suspek dan kedua-dua lelaki itu ditahan secara berasingan. "Tangkapan pertama dibuat kira-kira jam 11 malam (kelmarin) di Kampung Kesop, Jitra, dan kami berjaya memberkas seorang lelaki yang dipercayai membeli telefon bimbit mangsa sebelum tangkapan kedua dilakukan tidak lama selepas itu. "Kami dapati kedua-duanya penagih dadah hasil daripada ujian saringan awal air kencing yang dilakukan terhadap mereka," katanya ketika ditemui, di sini, semalam. Mohd Nashir berkata, siasatan lanjut yang dilakukan terhadap suspek berjaya menemui semula barang-barang milik mangsa termasuk telefon bimbit. Katanya, kes berkenaan dianggap selesai dan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 20 November depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397, Kanun Keseksaan serta Seksyen 376, kanun sama. |
Suami ditembak mati, isteri diculik di Pulau Pom Pom, Sabah Posted: 14 Nov 2013 07:57 PM PST Jumaat November 15, 2013 Pelancong Warga Taiwan Mati Ditembak, Isteri Dipercayai Dilarikan Di Perairan Semporna SEMPORNA: Seorang pelancong warga Taiwan ditemui mati ditembak, manakala isterinya dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki tidak dikenali dalam kejadian di Pulau Pom-Pom, dekat perairan ini, awal pagi Jumaat. Lelaki berusia 57 tahun itu yang dikenali sebagai Lim Min Hsu ditemui mati dengan dua kesan tembakan di koridor sebuah resort di sini kira-kira pukul 1 pagi Jumaat. Isterinya, An Wei Chang, 58, juga warganegara Taiwan dilaporkan hilang susulan insiden itu. Pasangan suami-isteri itu tiba di resort tersebut pada Selasa dan dijadualkan meninggalkan resort berkenaan pada 20 November ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan insiden itu tetapi tidak mendedahkan maklumat lanjut. Penduduk-penduduk di Semporna berkata tiada aktiviti mencurigakan berlaku tetapi polis dan tentera telah mengambil langkah berjaga-jaga. "Kami terdengar bunyi tembakan di sebuah pulau tetapi tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku," kata seorang kakitangan di Majlis Daerah Semporna. Peniaga Pasar Malam Maut Ditembak BACHOK: Seorang peniaga pasar malam menjadi mangsa terbaru kes tembakan di Kelantan apabila maut selepas terkena beberapa das tembakan semasa dalam perjalanan pulang daripada berniaga di Kampung Pengkalan Petah di sini, malam tadi. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Lai Yong Heng berkata, Alias Yusof, 58, ditembak beberapa das yang tepat mengenai kepala dan perut dalam kejadian kira-kira 8.45 malam. "Mangsa ditembak individu yang menaiki motosikal kira-kira jarak 250 meter dari tapak pasar malam itu ketika sedang menunggang motosikal bersama anaknya berumur enam tahun dalam perjalanan pulang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Lai berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak lelakinya tidak mengalami sebarang kecederaan. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk bedah siasat dan menurutnya kes akan disiasat secara terperinci. Sementara itu, isteri mangsa, Jawiah Che Mat, 41, berkata ketika kejadian dia yang memandu van berada tidak jauh di hadapan suaminya sebelum terdengar bunyi tembakan. "Saya lihat suami saya dalam keadaan tertindih dengan motosikal manakala anak saya berada di sebelahnya dalam keadaan pucat. "Sewaktu alihkan motosikal, suami saya masih bernyawa sebelum meninggal dunia," katanya yang yang berniaga air minuman di pasar malam berkenaan. Anak pasangan itu kelihatan trauma kerana terkejut. Sementara itu, seorang saksi, Fazli Mahmood, 30-an, berkata pada mulanya dia menyangka tembakan itu adalah bunyi mercun tetapi kemudiannya melihat sebuah motosikal yang dinaiki dua individu memecut laju. "Tetapi motor jenis apa saya tidak tahu dan mengetahui arwah kena tembak selepas itu," katanya. Pada 30 Oktober lalu, seorang peniaga emas cedera parah terkena tembakan di bahagian bahu dalam kejadian di Kampung Sering, Kota Bharu. - BERNAMA |
FBI tinggal Hot FM kerana nak buka kedai motorsikal Posted: 14 Nov 2013 07:15 PM PST Faizal Ismail Tepis Tinggalkan Hot FM Kerana Krisis Dalaman PETALING JAYA: Penyampai radio Hot FM iaitu Faizal Ismail tuduhan peletakan jawatannya yang diumumkan secara mengejut sebelum ini disebabkan menghadapi krisis dengan pihak pengurusan stesen radio berkenaan. Faizal atau nama sebenar Mohd Faizal Ismail, 37, berkata, peletakan jawatan itu merupakan satu keputusan untuk dia menumpukan perhatian terhadap perniagaan yang diceburinya. "Saya berhenti bukan kerana ada masalah dalaman dengan pihak pengurusan tapi saya memang nekad untuk berhenti daripada tugasan rutin sebagai penyampai radio. "Mungkin kerana sebelum ini saya tidak pernah berbincang dengan sesiapa mengenai hal ini sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi," katanya ketika dihubungi mStar Online, di sini, Khamis. Faizal berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gosip di sebuah akhbar tempatan yang mendakwa peletakan jawatannya berikutan krisis dalaman dengan pihak pengurusan stesen tersebut. Tambah Faizal, dia ingin menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap syarikat produksi FBI Entertainment yang baru ditubuhkannya sejak dua bulan lalu. Dalam pada itu, dia juga sedang dalam proses untuk membuka sebuah kedai motosikal hasil usaha sama dengan sebuah syarikat permotoran. "Saya mahu cuba bidang lain terutamanya dalam penerbitan program-program untuk televisyen dan penganjuran majlis. "Selain itu juga, buat masa ini saya dalam proses membuka kedai motosikal perbagai jenis yang mana saya melihat potensi terhadap bidang itu sangat bagus," katanya. Sementara itu, Faizal yang hampir lapan tahun menjadi penyampai di Hot FM bakal mengakhiri tugasan mengendalikan rancangan AM Krew bersama Farah Fauzana dan AG pada Jumaat (hari ini). Bagaimanapun, dia masih mengendalikan rancangan hujung minggu iaitu pada Sabtu dan Ahad secara sambilan. "Saya takut kalau saya merindui kerja ini, jadi saya terima tawaran Hot FM yang memberikan saya untuk mengendalikan segmen pada hujung minggu sahaja," katanya. Ditanya apa yang benar-benar membuatkannya mahu keluar daripada bidang tersebut, Faizal berkata, dia tidak mahu berada di tahap yang sama dalam tempoh yang panjang. "Saya rasa sudah sampai masa untuk saya berhenti dan cuba perkara baharu. Saya tidak mahu menjadi penyampai radio untuk selama-lamanya. "Ini semua bukan kerana duit dan pendapatan tetapi kepuasan terhadap pencapaian diri saya sendiri," katanya. |
Posted: 14 Nov 2013 07:01 AM PST PKR semalam mendedahkan bahawa kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM7.2 bilion untuk bayaran kepada khidmat perunding sejak lima tahun lalu. Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen mendedahkan angka itu melalui jawapan bertulis yang diperolehinya daripada Parlimen, sekaligus memberi maksud bahawa jika diperhalusi, bayaran kerajaan kepada perunding adalah berjumlah RM4juta sehari. Perbelanjaan yang amat besar ini tentunya menimbulkan persoalan siapakah sebenarnya yang sedang mengurus kerajaan sekarang, kakitangan kerajaan atau perunding luar ini? Ia juga menimbulkan persoalan mengapakah perbelanjaan yang begitu besar diperuntukkan untuk membayar khidmat perunding ini sedangkan negara sudah pun mempunyai kakitangan kerajaan yang bukan saja besar, kira-kira 1.4 juta orang saiznya tetapi juga di dalam perkhidmatan kerajaan juga terdapat mereka yang berpengalaman, berilmu pengetahuan, berkelulusan tinggi dan sebagainya. Oleh kerana wang RM7.2 juta ini wang rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan menjelaskan bagaimana wang sebanyak itu boleh dibelanjakan dan pecahannnya. Apakah sebenarnya jenis perkhidmatan yang diberikan oleh perunding luar ini? Lebih bertanggungjawab sekiranya Najib atau kerajaan dapat menjelaskan secara detail menyenai perkara ini di Parlimen supaya ia dapat dibahas dan diperdebatkan kewajaran atau sebaliknya perbelanjaan sebesar itu telah diperuntukkan oleh kerajaan hanya untuk bayaran kepada perunding saja. Dengan hutang negara yang kian meningkat, terbaru dilaporkan sudah pun mencecah lebih RM622 billion, subsidi gula ditarik dan rakyat diminta mengamalkan gaya hidup berjimat cermat, perbelanjaan sebanyak ini hanya untuk khidmat perunding luar saja, tentunya menunjukkan " kegilaan" melampau kerajaan yang ada sekarang dalam membelanjakan wang rakyat. Selama ini kita hanya mendengar bayaran RM70 juta setahun untuk APCO yang memberikan khidmat perunding media kepada Perdana Menteri dan terbaru ini pula dilaporkan penyediaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia oleh perunding luar McKinskey and Co bernilai RM20 juta, rupa-rupanya ketaksuban kerajaan kepada perunding luar ini jauh lebih besar lagi. Khidmat perunding luar ini mungkin mencakupi beberapa perkhidmatan yang tidak terfikir oleh kita semua, tetapi dilakukan semata-mata kerana Najib mahukan kerajaan yang dipimpinnya benar-benar berbeza dengan Perdana Menteri sebelumnya. Penggunaan khidmat perunding luar ini turut juga memperlekeh khidmat dan keupayaan kakitangan kerajaan sedia ada dan seolah-olah mereka tiada keupayaan langsung menjalankan tugas, terutamanya berkaitan penyelidikan, penyediaan kertas kerja dan mewujudkan program-program baru untuk kerajaan. Apakah kakitangan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib ini hanya layak melakukan kerja-kerja fotostat dan diangkut ke sana ke mari untuk meramaikan program-program politik sahaja? Dengan perbelanjaan sebanyak itu, sudah tentu juga kebanyakan syarikat yang dilantik memberi khidmat perunding itu adalah dari luar negara atau sekurang-kurangnya dari Singapura, tentulah tidak mustahil juga unsur-unsur asing seperti CIA turut juga meresap dalam kerajaan. Mungkinkah khabar angin yang didengar oleh Mahathir bahawa terdapat dua orang ejen CIA dalam Jabatan Peguam Negara merupakan sebahagian daripadanya? Tidak dinafikan bahawa angka RM7.2 bilion hanya untuk bayaran kepada khidmat perunding luar saja adalah suatu jumlah yang besar dan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Perdana Menteri sebelum ini. Ia jelas menunjukkan pemborosan yang luar biasa dan tiada taranya telah dilakukan oleh Najib sejak menjadi Perdana Menteri walaupun saban tahun hutang negara terus meningkat jumlahnya. Jika dikira dengan pelbagai perbelanjaan lainnya yang juga luar biasa seperti bil ulititi Seri Perdana berjumlah RM2.5 juta, kos rumah terbuka RM2.88 juta, kos lawatan ke luar negara berpuluh juta, kos minyak dan penyelenggaran jet bernilai ratusan juta dan pelbagai kos lainnya yang turut dalam lingkungan puluhan atau ratusan juta nilainya, Najib sebenarnya layak dinobatkan sebagai Perdana Menteri paling boros sekali dalam sejarah negara. Dalam tempoh lima tahun yang sudah berlalu, pelbagai pendedahan mengenai kos dan perbelanjaan yang terpaksa dibayar oleh pembayar cukai hanya untuk memuaskan nafsu dan kehendak beliau sebagai Perdana Menteri. Bayangkanlah berapa puluh bilion lagi akan dibelanjakan untuk tempoh lima tahun akan datang? – shahbudindotcom Follow us: @MsiaChronicle on Twitter |
You are subscribed to email updates from Mimpi Senja To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan