Sabtu, 9 November 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Anak Tidak Comel: Isteri 'Plastik' Didenda RM381 333

Posted: 09 Nov 2013 10:27 AM PST



Suami tertipu pasangan cantik hasil pembedahan

[BH] Beijing: Hakim mahkamah di China semalam memerintahkan seorang wanita membayar ganti rugi kepada bekas suaminya sebanyak AS$120,000 (RM381,333) kerana tidak memaklumkan dia menjalani pembedahan plastik sebelum mengahwininya dan melahirkan anak yang 'terlalu hodoh'.

Lelaki yang dikenali sebagai Jian Feng itu pada awalnya menuduh si isteri curang, malah terlalu yakin dia bukan bapa kepada bayi yang tidak comel itu. 

Namun, ujian DNA mengesahkan bayi berkenaan adalah anak kandungnya menyebabkan isteri beliau terpaksa mendedahkan rahsia pembedahan plastik yang dijalaninya. 


Dapat anak terlalu hodoh

"Berikutan itu, Jian Feng menceraikan dan menyaman bekas isterinya kerana memalsukan imej, menyebabkan dia tertipu dan melahirkan anak perempuan yang dianggapnya terlalu hodoh," lapor Irish Times.

Bekas isteri Jian Feng yang namanya tidak didedahkan mengaku menjalani pembedahan plastik AS$100,000 (RM317,600) di Korea Selatan sebelum berkenalan dan berkahwin dengannya.
"Saya mengahwini dia kerana cinta tetapi sebaik saja mempunyai anak pertama kami mula menghadapi masalah rumah tangga," kata Jian Feng. - Agensi - 10/11/13


P/s: Terbukti pembedahan plastik tidak dapat menceriakan hidup anda selama-lamanya.


Siasat Cadangan Sambung Konsensi Syarikat DAWAMA

Posted: 09 Nov 2013 09:01 AM PST


Antara kakitangan Dawama Sdn. Bhd. yang dipaksa menerima notis 'cuti' tanpa gaji bermula 1 Ogos 2011 membantah tindakan syarikat itu dan menyifatkannya suatu penganiayaan. Laporan lanjut di sini.

[KD] KUALA LUMPUR 6 NOVEMBER: Siasatan perlu dilakukan sekiranya terdapat penyalahgunaan kuasa terhadap cadangan menyambung konsesi syarikat percetakan Dawama Sdn Bhd oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) bagi tempoh 10 tahun lagi.

Ini berikutan dakwaan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) bahawa syarikat tersebut gagal melaksanakan beberapa projek yang dianugerahkan kepadanya.

"Ini sesuatu yang aneh, sepatutnya jika syarikat ini pernah gagal, maka konsesinya tidak harus diteruskan," kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azan Ismail.

"Siasatan perlu dijalankan, apakah terdapat unsur-unsur penyalahgunaan kuasa dalam keputusan menyambung konsensi syarikat ini," jelasnya yang beranggapan tindakan menyambung konsesi tersebut hanya memberi keuntungan kepada pemilik Dawama.

Pada minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif MTEM, Mohd Nizam Mahshar berkata, Dawama diberikan konsesi selama 12 tahun
bermula September 2002 untuk mencetak, memasarkan dan mengedar buku terbitan DBP.

Namun Dawama menurutnya gagal menjalankan kerja percetakan buku teks Kementerian Pendidikan pada tahun 2010 sekaligus memberi gambaran syarikat Bumiputera itu gagal melaksanakan projek bernilai RM120 juta setahun.

MTEM membantah penyambungan konsesi syarikat berkenaan bagi tempoh 10 tahun lagi ekoran kegagalannya membangunkan percetakan Bumiputera.

"Apa yang membimbangkan kami ketika ini ialah sudah ada perbincangan untuk menyambung konsesi Dawama yang dilihat bersifat monopoli dan tidak membantu syarikat pencetak Bumiputera lain.

"Syarikat pencetak lain boleh menggantikan Dawama kerana ini terbukti apabila Dawama mengalami masalah pada 2010, syarikat inilah yang mengambil kontrak yang tidak mampu dilaksanakan Dawama dan melepasi sasaran DBP.

Menurutnya DBP perlu mengambil alih urusan percetakan dan urusan pekerja dalam satu Konsortium Percetakan, Pengedaran dan Pengangkutan (K3P).

Dawama ditubuhkan pada Oktober 1999 bagi mengambilalih aktiviti DBP yang diswastakan iaitu pra-cetak, rekabentuk, percetakan, pengedaran dan pemasaran penerbitan DBP. Akibat masalah kewangan, syarikat tersebut terpaksa memberhentikan operasinya, menyebabkan hampir 400 pekerja diberhentikan tanpa gaji pada 2011.



2 ADUN BN Perak Mahu Lompat Parti?

Posted: 09 Nov 2013 08:45 AM PST


Dakwaan Dua Adun Perak Jumpa Anwar untuk Lompat Parti Tak Perlu Dilayan, Kata Zambry

[Bernama] Dakwaan kononnya dua Anggota Dewan Undangan Negeri di Perak mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini untuk melompat parti tidak perlu dilayan, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (gambar).

Beliau berkata dakwaan di laman Twitter itu adalah mainan politik yang tidak boleh dipercayai.

"Biasalah untuk anda baca ura-ura macam-macam. Ada juga yang menyatakan saya berjumpa beberapa wakil mereka untuk bawa masuk ke sini (Barisan Nasional). Jadi, tak boleh nak pakai benda-benda ini semua," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Profesionalisme 1BestariNet Pengetua dan Guru Besar Sekolah-Sekolah Negeri Perak hari ini.


Beliau diminta mengulas kenyataan di laman Twitter @rumahghuntoh pada Khamis lepas yang berbunyi "Pertemuan sulit dua YB BN Perak untuk melompat parti dengan @anwaribrahim di Permatang Pauh berlaku kelmarin".

Zambry berkata beliau tidak akan melayan dakwaan itu sebaliknya akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan negeri untuk kesejahteraan rakyat. –  9 November, 2013.

Nenek 51 Tahun Lacur Diri RM15

Posted: 08 Nov 2013 08:00 PM PST


[SH] JEMPOL – Biarpun umur sudah menjangkau 51 tahun, namun seorang wanita yang layak digelar nenek masih mahu menjual diri dengan mengenakan caj hanya RM15.

Wanita itu antara yang ditahan dalam Ops Noda dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan bersama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sebuah hotel murah di Bahau di sini, malam kelmarin.

Ketua JSJ Negeri Sembilan, Asisten Komisioner Hamdan Majid berkata, dalam operasi bermula jam 3.15 petang itu, seramai lapan wanita dan seorang 'makyah' ditahan kerana dipercayai bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO).

"Kesemua yang ditahan berusia antara 26 hingga 51 tahun dan tujuh daripada mereka beragama Islam.

"Ketika serbuan, wanita terbabit didapati sedang asyik berbual dengan tiga pelanggan di sebuah bilik khas disediakan," katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati, tiga daripada bilik di hotel berkenaan dijadikan 'port' bagi tujuan itu.

Hamdan berkata, turut ditemui beberapa paket kondom yang disorokkan di dalam sebuah stor hotel berkenaan, dipercayai digunakan bagi aktiviti pelacuran.

"Berdasarkan siasatan awal, dipercayai hotel berkenaan sering menjadi tumpuan ramai warga asing kerana pelanggan yang ingin mendapatkan khidmat seks hanya perlu membayar RM15.

"Apa yang kita kesalkan apabila seorang wanita yang sudah berumur terlibat dalam aktiviti pelacuran sedangkan pada usia sebegitu, dia sepatutnya insaf," katanya. -9/11/13


Penganalisis Politik: Mat Sabu Perlu Menang Demi Hubungan Politik PR

Posted: 08 Nov 2013 07:23 PM PST


[SH] SHAH ALAM - Penganalisis politik berpendapat Mohamad Sabu perlu menang dalam Muktamar Pas ke-59, 22 hingga 25 November ini bagi menguatkan hubungan parti itu dengan PR.

Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata peluang penyandang Timbalan Presiden Pas, Mohamad adalah "aset" yang berguna untuk hubungan politik antara parti perikatan pembangkang yang lain.

Menurutnya, perwatakan dan sikap Mohamad yang disenangi semua pihak terutama rakan PR akan turut menyumbang kepada kemenangannya dalam pemilihan muktamar kali ini.

"Orang PR suka dia, dia juga pemimpin popular yang boleh dianggap profesional.

"Dia juga yang banyak bersama PR dalam aktiviti anjuran PR, dalam soal hudud, dia disenangi pemimpin PR lain terutama DAP akan mengeratkan lagi hubungan politik PR dan Pas," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan dua daripada lima calon Timbalan Presiden Pas, Ketua Penerangannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub telah menarik diri dan memutuskan akan bertanding untuk jawatan naib presiden.

Hari ini, seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Husam Musa turut membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden Pas.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah masih belum mengumumkan keputusan muktamad untuk penawaran jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Azizuddin berkata, jika Husam tidak menarik diri dan wujud pertandingan tiga penjuru antara Mohamad dengan Husam dan Nik Mohd Amar untuk jawatan timbalan presiden, peluang masih cerah bagi penyandangnya.

Katanya, Mohamad juga calon popular dan mempunyai penyokong tersendiri.

"Mat Sabu ini popular juga dia sama seperti Husam.

"Namun Husam ini mungkin disebabkan krisisnya di Kelantan penyokong akan 'split' undi, dan mampu juga bagi saingan sengit. 

"Kalau Nik Mohd Amar ini pendekatan politiknya agak sederhana dan agak kabur, dan hanya mungkin mendapat undi daripada ulama sahaja, jadi peluang Mat Sabu masih cerah walaupun ada sedikit berlaku pecah undi," katanya lagi. -8/11/13


P/s: Berdasarkan pencalonan rasmi, siapakah yang lebih layak memegang jawatan Timbalan Presiden PAS bagi sesi 2013-2015? Banyak yang berpendapat bahawa Mat Sabu wajar dipilih semula untuk memegang jawatan itu berdasarkan komitmennya kepada parti, sikap proaktifnya dalam pelbagai isu nasional, kemesraannya dengan pimpinan PR, popularitinya dalam kalangan masayarakat Malaysia, malah beliau kurang dibebani tugas rasmi berbanding dengan pencabarnya yang merupakan Timbalan MB dan TPJ.

Namun, keputusan muktamad akan dibuat oleh ahli Pas sendiri bukannya orang luar. Mereka harus bijak menilai dan memilih demi masa depan parti dan hala tuju PAS dan PR pada masa akan datang.


Berkaitan:

Ahli PAS Rugi Terpaksa Memilih Calon Kurang Popular untuk Timbalan Presiden

[TMI] Pihak paling rugi apabila berlaku pertembungan antara Mohamad Sabu dengan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah untuk jawatan timbalan presiden PAS adalah ahli PAS keseluruhannya.

Ini kerana, pilihan utama mereka Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa tidak menyertai pertandingan itu. Mereka hanya dapat memilih di kalangan kurang popular sahaja padahal mereka perlu menentukan orang nombor dua dalam parti Islam itu.

Tuan Ibrahim dan Husam semalam, menjelang tarikh tutup pengesahan pertandingan parti pada jam 5 petang 8 November, mengumumkan mereka hanya akan bertanding jawatan naib presiden dan menolak untuk bertanding timbalan presiden.

Semasa pencalonan diterima, Tuan Ibrahim dilaporkan mendapat pencalonan terbanyak iaitu lebih 50% daripada 103 pencalonan yang sah daripada kawasan di seluruh negara.

Husam pula dikatakan mendapat pencalonan kedua terbanyak. Namun sehingga kini ia tidak didedahkan kepada umum. Pihak jawatankuasa pemilihan PAS yang diketuai Asmuni Awi hanya memaklumkan jumlah pencalonan yang diterima kepada calon berkenaan sahaja.


Poll yang dibuat oleh Tranungkite pada 30 Oktober lalu.Dalam poll yang dibuat sebuah laman pro PAS, Tranungkite.net, Tuan Ibrahim menjadi calon paling popular di kalangan ahli PAS manakala Husam ditempat kedua. Keputusan ini selari dengan peratusan pencalonan yang mereka terima.

Menurut poll itu, Mohamad berada di tempat ketiga manakala Nik Amar tempat keempat selepas seorang lagi calon Salahudin Ayub yang sejak awal mengumumkan hanya bertanding bagi jawatan naib presiden sahaja.

Tuan Ibrahim ketika mengumumkan hanya menerima pencalonan untuk naib presiden berkata, berasa tidak mampu untuk memikul jawatan yang lebih tinggi daripada itu.

Husam pula dalam kenyataannya berkata, pencalonan paling banyak yang beliau terima adalah untuk jawatan naib presiden.

"Saya anggap ia adalah isi hati, pedoman dan pilihan akar umbi PAS jawatan mana yang mereka ingin saya tempatkan diri saya," kata Husam dalam kenyataannya.

Dengan penolakan kedua-duanya, pemilihan yang sukar bagi perwakilan PAS dalam Muktamar PAS ke-59 pada 22 hingga 24 November ini adalah untuk jawatan naib presiden.

Bagi kerusi naib presiden, calon-calon kini adalah Salahudin Ayub, Datuk Abu Bakar Chik, Tuan Ibrahim dan Husam manakala Datuk Mahfuz Omar belum membuat sebarang pengumuman.

"Saya telah memberitahu wartawan sebelum ini, saya mahu Pengerusi Jawatankuasa Pemilih yang memaklumkan keputusan saya," kata Mahfuz kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Idris Ahmad dan Datuk Mujahid Yusof mengumumkan akan bertanding jawatan AJK PAS Pusat sahaja manakala seorang lagi calon yang layak, Nasrudin Hassan mengumumkannya sejak awal lagi akan bertanding AJK PAS Pusat sahaja.

Perwakilan sekarang terpaksa membuat pilihan antara empat calon utama iaitu tiga penyandang Salahudin Ayub, Husam dan Mahfuz serta dengan kedatangan calon popular, Tuan Ibrahim.

Abu Bakar Chik yang turut bertanding dikatakan calon 'underdog' untuk pertandingan naib presiden ini kerana beliau agak tertinggal daripada pucuk pimpinan utama parti selepas berhenti daripada jawatan Ketua Pemuda PAS sebelum ini.

Salahudin dikatakan mendapat sokongan kedua-dua pihak, ulama dan bukan ulama serta paling popular daripada semua calon yang ada.

Tuan Ibrahim pula dilihat bakal mewarisi pucuk pimpinan utama PAS di masa depan, sudah tentu dia juga bakal menang.

Kini persaingan antara Husam dan Mahfuz. Husam dikatakan mempunyai penyokong tersendiri manakala Mahfuz pula baru membuktikan kemampuannya selepas calon PAS berjaya di pilihan raya kecil Sungai Limau.

Justeru, sudah tentu tugas sukar bagi perwakilan membuat pilihan di samping dilema yang mana calon terbaik sebagai naib presiden PAS musim ini. – Zulkifli Sulung- 9 November, 2013.

Bayi Warga Britain Dilarikan Dua Individu di Bangsar

Posted: 08 Nov 2013 07:07 PM PST


Joseph memeluk patung beruang milik anaknya Freddie yang diculik dihadapan rumah mereka di Bangsar.

[Bernama] KUALA LUMPUR: Seorang bayi lelaki warga Britain berusia setahun lapan bulan dilarikan dua individu di hadapan rumahnya di Jalan Terasik 7, Bangsar, di sini, Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata mangsa dikenali sebagai Freddie Joseph dipercayai dilarikan seorang suspek lelaki bersama seorang wanita ketika bayi itu bersama ibunya sedang minum petang di halaman rumah mereka.

"Ketika kejadian pukul 6.10 petang itu, ibunya Sarah Joseph berusia 38 tahun yang masuk sekejap ke rumah terdengar bunyi bising di luar lalu keluar semula untuk melihat apa yang berlaku.

"Dia yang ternampak seorang lelaki cuba melarikan anaknya terus menerpa ke arah lelaki berkenaan untuk menyelamatkan anaknya itu sambil menjerit meminta tolong sehingga berlaku pergelutan," katanya pada sidang media di sini.

Akibat daripada pergelutan itu, ibu bayi berkenaan mengalami kecederaan di pergelangan tangan kanan, katanya.

Ku berkata polis percaya lelaki itu datang bersama seorang wanita menggunakan kereta jenis Toyota Camry merupakan orang yang dikenali ibu mangsa yang juga merupakan ibu tunggal.

"Ketika ini siasatan kami lebih menjurus kepada masalah peribadi ibu mangsa, bagaimanapun ada juga kemungkinan ia bermotifkan untuk mendapatkan wang tebusan," katanya.

Ku memberitahu polis akan mengedarkan gambar kanak-kanak itu kepada pengetahuan umum untuk memudahkan gerakan mencari suspek.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. - 9/11/13





Kemas Kini:
10/11/13

Cerita lanjut di sini.



PKR Kecam Tindakan 2 ADUN Sabah Lompat Parti

Posted: 08 Nov 2013 04:00 PM PST




[Selangorku] SHAH ALAM 8 NOV : Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak beretika dua pemimpin PKR dari Sabah yang bertindak meninggalkan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu, baru-baru ini.

Naib Presiden PKR, Tian Chua, berkata tindakan dua pemimpin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu disifatkan sebagai satu pengkhianatan besar kepada rakyat Malaysia, khusunya Sabah.

Beliau berkata, sikap tidak bertanggungjawab itu juga jelas mengkhianati amanah yang diberikan rakyat Sabah ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

"Kenyataan bahawa mereka berdua sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti hanya satu helah dan alasan biasa bagi membenarkan langkah pengkhianatan mereka ini.

"Tindakan ADUN lompat parti ini adalah modus operandi biasa Barisan Nasional (BN) di Sabah untuk cuba melemahkan semangat perjuangan rakyat yang menginginkan perubahan," katanya.

Justeru katanya, PKR menggesa rakyat Sabah supaya bersatu padu dan tidak membiarkan taktik kotor BN untuk memecah-belahkan semangat perjuangan dan reformasi PR.

Desas-desus berkenaan hasrat ADUN Matunggong, Jailani Hamdan dan ADUN Kadamaian, Jeremy Malajad @ Malazah untuk keluar parti menjadi perhatian selepas mereka didapati tidak hadir dalam mesyuarat bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Jeremy dalam satu kenyataan menegaskan tindakannya keluar PKR dan menyokong BN adalah bagi membolehkan kawasan diwakilinya menikmati pembangunan.

Beliau yang mengumumkan keputusan menjadi wakil rakyat bebas turut meletak jawatan Ketua Penerangan PKR negeri, berkuatkuasa serta-merta, baru-baru ini. -8/11/13



Tiada ulasan: