Jumaat, 1 November 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Susulan Berita Lelaki Didakwa Menyamun & Merogol Amah Mentuanya

Posted: 01 Nov 2013 02:52 PM PDT

Muhammad Faiz didakwa di mahkamah sesyen, semalam atas tuduhan merogol dan merompak seorang pembantu rumah warga Indonesia.

Rogol, Rompak Pembantu Rumah

[SH] KUALA TERENGGANU - Seorang pemuda dihadapkan di mahkamah sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia, Oktober lalu.

Bagaimanapun, Muhammad Faiz Azumar Ammin Mohd Noor, 27, dari Dungun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan di bawah Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan kerana merogol yang dibacakan di hadapan Hakim Wan Fadhilah Nor Wan Idris.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa berusia 38 tahun di sebuah rumah di Jalan Balai Besar, Dungun, kira-kira jam 5 pagi, pada 12 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Faiz Azumar Ammin berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Wan Fadhilah Nor menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah turut membenarkan Muhammad Faiz Azumar Ammin diikat jamin RM14,000 dengan syarat dia tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi-saksi bagi kes berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, Muhammad Faiz Azumar Ammin turut mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas tuduhan merompak mangsa dengan melarikan seutas rantai dan gelang tangan emas serta dua telefon bimbit jenama Nokia dengan kerugian dianggarkan bernilai RM3,000.

Dia didakwa merompak mangsa menggunakan senjata iaitu sebilah parang di alamat, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi kesalahan itu, Muhammad Faiz Azumar Ammin didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, Hakim Azlam Zainuddin menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap dirinya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Masriwani Mahmud@ Mamat.

Sebelum ini, akhbar keluaran 19 Oktober lalu ada melaporkan seorang pembantu rumah berdepan detik hitam apabila bukan saja disamun tetapi turut dirogol dalam keadaan tangan dan mulut disumbat dengan kain, dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Balai Besar, Dungun.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa yang bersendirian di rumah berkenaan sedang tidur di dalam biliknya sebelum didatangi suspek yang juga menantu kepada majikannya. Difahamkan, suspek ketika itu turut membawa sebilah parang. -1/11/13


PRK DUN Sg Limau: Norlia Ghani, Abon, Hail Amir Antara Artis Kempen untuk BN

Posted: 31 Oct 2013 09:04 PM PDT


Artis ke Sungai Limau Bantu Kempen BN

[MK] Malaysiakini sempat singgah ke sebuah rumah di Batu 18 yang menjadi tempat persinggahan seniwati Norlia Ghani, pelawak Abon, penyanyi Hail Amir, serta pelakon Aznah Hamid yang turun berkempen untuk BN.

Norlia Ghani yang popular memeran watak Joyah dalam siri Opah tidak lama dahulu bertindak sebagai jurucakap artis ini menjelaskan program mereka ini dinamakan 'Ziarah Syukur'.

Menurutnya, ini merupakan kali kedua program ini diadakan selepas pilihan raya umum lalu.

"Kalau boleh kita nak semua rakyat faham yang mana satu yang kita nak pilih sebab kita ada hak untuk mengundi dan memilih.

"Kalau kita pilih salah, susahlah kita nanti," katanya yang memakai baju-T berwarna pink dengan tulisan "Pilihlah BN".

Menurutnya lagi, di sebelah pagi mereka telah berkunjung pasar untuk berkempen dan di sebelah petang nanti mereka akan bersama orang ramai dalam acara sukan bendang seperti menangkap itik, menangkap ikan keli serta berlari dalam bendang.

Selain beliau, artis-artis lain yang turun berkempen adalah pelawak AR Badol, Abon, Aznah Hamid, Nadia AF, serta Datuk Mustapha Maarof.

Ziarah ini kata Norlia lagi, dilakukan dengan sokongan Anggota Parlimen Kulim Bandar Bharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir. - 31/10/13


Bapa Kurung Anak di dalam Reban Ayam

Posted: 31 Oct 2013 07:45 PM PDT



[HM] Kuala Terengganu: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun bukan saja dimaki dan dipukul ayahnya sendiri, malah turut dikurung dalam reban ayam gara-gara tindakannya yang gemar ke rumah kakaknya dalam kejadian di Kampung Teluk Pasu, Manir di sini, Ahad lalu.

Menurut sumber, nasib menimpa kanak-kanak malang itu hanya diketahui kakaknya berusia 20 tahun yang tinggal di Kampung Losong Megat Hussin, di sini, kira-kira jam 8 malam hari sama selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang lagi adik perempuannya yang memaklumkan perbuatan ayah mereka.

Katanya, sebelum kejadian itu, mangsa yang berada di rumah kakaknya dimarahi suspek berusia 50-an yang kebetulan datang ke rumah kakaknya itu.

"Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa yang masih kecil dimaki hamun suspek yang dikatakan tidak suka melihat anaknya berada di situ.

"Selepas puas memarahi mangsa, suspek kemudian beredar sambil membawa mangsa meninggalkan kediaman itu.

"Perasaan tidak puas hati suspek rupa-rupanya tidak berakhir di situ apabila mangsa dipukul ketika berada di rumah.

"Malah, suspek turut bertindak kejam apabila mengurung anak kecil itu di dalam reban ayam kononnya sebagai memberi pengajaran," katanya.

Sumber berkata, ketika kejadian, seorang lagi kakak mangsa berusia 16 tahun turut berada di rumah, tetapi hanya mampu melihat tindakan tidak berperikemanusiaan ayah mereka kerana bimbang diapa-apakan jika masuk campur sebelum memaklumkan kejadian itu kepada kakaknya.

Katanya, susulan kejadian itu, kakak mangsa yang bimbang keselamatan adiknya membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian berkenaan. - 1/11/13



[Video] Kebakaran di Flat PKNS Jln Kerinchi

Posted: 31 Oct 2013 05:25 PM PDT


Masak di dalam Bilik

[HM] Kuala Lumpur: "Saya hanya mampu menjerit memberitahu ada kebakaran sebaik terlihat api mula merebak ke dalam kediaman kami yang berpunca dari rumah sebelah didiami warga Indonesia dan terus berlari turun tanpa sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah," kata Aishah Alang, 52, mangsa kebakaran kediaman Pangsapuri 16 tingkat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Jalan Kerinchi, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, enam unit kediaman paling atas pangsapuri berkenaan membabitkan 28 orang musnah selepas kebakaran dipercayai berpunca dari rumah disewa warga Indonesia yang dikatakan sedang memasak di dalam bilik mereka.

Menurut Aishah, sebelum kejadian, dia ada terlihat jirannya itu sedang memasak di dalam bilik mereka, namun pada mulanya tidak mengendahkannya kerana mereka memang selalu memasak di dalam bilik.

"Bagaimanapun, tidak lama kemudian saya terbau asap dari kediaman itu, malah tiba-tiba api turut merebak melalui siling bumbung kediaman saya menyebabkan saya menjerit dan menyuruh anak saya menghubungi suami yang sedang bersolat di surau di tingkat bawah.

"Malah, ketika itu keadaan menjadi kelam-kabut apabila semua jiran yang menyedari kebakaran termasuk warga Indonesia terbabit menyelamatkan diri. Saya juga tidak sempat menyelamatkan barangan di dalam rumah," katanya yang gagal menahan sebak dan menangis selepas melihat kediaman yang diduduki puluhan tahun itu musnah terbakar.

Sementara itu, suaminya, Zamri Mohamad Tenang, 58, berkata, ketika kejadian dia baru lepas bersolat Asar di surau sebelum dihubungi anaknya memberitahu rumah mereka terbakar.

"Saya kemudian terus bergegas naik dan ketika itu lif masih berfungsi.

"Bagaimanapun, sebaik tiba di rumah, api didapati sudah mula merebak dan saya terus memaklumkan kejadian itu kepada jiran lain agar mereka menyelamatkan diri," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri itu berkata, kebakaran itu menyebabkan semua mereka tinggal sehelai sepinggang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.40 petang.

Menurutnya, sebanyak 13 jentera bomba dari lapan balai bomba dan penyelamat (BBP) dari Pantai, Seputeh, Hang Tuah, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Sri Hartamas, Bandar Tun Razak dan Gombak Selatan dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Jentera pertama dari BBP Seputeh tiba di tempat kejadian pada jam 4.57 petang dan mendapati enam unit kediaman pangsapuri sedang terbakar.

"Api berjaya dikawal dua jam kemudian. Setakat ini, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya. 1/11/13




GST: Anwar Jelaskan Kenyataannya yang Diputarbelitkan Media

Posted: 31 Oct 2013 05:04 PM PDT


[SH] KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, menafikan laporan bahawa kenyataan beliau berkenaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tidak konsisten.

Menurut Anwar, isu ini timbul berikutan kenyataan beliau cuba diputarbelitkan oleh sebuah agensi berita.

"Kenyataan saya cuba dipusingkan seolah-olah pertama kali saya sokong GST.

"Pada prinsip, saya tidak mengatakan saya bantah GST, yang saya tegaskan ialah dari sudut sistem perlaksaannya iaitu, GST itu lebih telus dan efisien," katanya di bangunan Parlimen hari ini.

Jelas Anwar lagi, ketika beliau mengambil alih jawatan Menteri Kewangan daripada Tun Daim Zainudin, GST tetap tidak dilaksanakan.

"Kenapa saya sebut tahun1993 kerana Tun Daim dia dah kata GST akan dilaksanakan.

"... bila saya ambil alih saya jawab ia ini sistem yang efisien tapi dalam keadaan negara catat lebihan surplus tetapi sekarang defisit parah saya tidak akan laksanakan sampai akhir kerana walaupun kajian sistem itu baik tetapi perlaksanaanya tidak wajar, jadi saya ingat biar jelas perkara ini.

"Jadi Anwar berbeza pendapat tidak wujud kerana saya tidak pernah kata saya tidak pernah menyokong dasar prinsipnya," tegasnya.

Sehubungan itu, beliau bersama sayap pemuda PR akan meningkatkan kempen bagi menjelaskan isu GST kepada rakyat.

"Kita tingkatkan kempen saya percaya ia boleh dijelaskan," katanya. -31/10/13


Tiada ulasan: