DIALOG RAKYAT |
- Bajet 2014 Selangor: Imbangan yang baik tapi bahaya
- Jet eksekutif Rosmah: Kabinet tidak bermaruah, kata Pakatan
- Ibrahim Ali habiskan masa dengan teh tarik
- Mat Sabu beli bata Mkini, sokong kebebasan media
- Anwar: Pakatan tak sebut 40,000 pengundi Bangladesh
- Angka sebelahi Nik Amar, tapi Mat Sabu...
- Penduduk setinggan terkejut NGO hulur bantuan
- Nancy digesa dedah bayaran peguam bela kes rayuan fitnah Anwar
- Mahfuz : Pengerusi baru BSN ‘kambing hitam’ kabinet
- Mahfuz : Rosmah tidak layak guna jet peribadi kerajaan
- Perkasa tak sesuai buka cawangan di Sarawak
- Harga barangan di Sabah bakal melonjak paling tinggi
- Khalid nafi kerajaan Selangor tidak cekap
- Anwar Ibrahim puji Belanjawan Selangor 2014
- Hina mahkamah: Ibrahim Ali dipenjara sehari, denda
- Isu Karpal: Selesai selepas Muktamar Pas?
- Amalan belanja berhemah kekalkan belanja tidak defisit
- Belanjawan Selangor 2014 : Majlis Pengangkutan Awam Selangor atasi kesesakan lalu lintas
Bajet 2014 Selangor: Imbangan yang baik tapi bahaya Posted: 20 Nov 2013 12:12 AM PST Bagi menjelaskan betapa rumitnya cabaran untuk merancang belanjawan bagi negeri paling kaya dan padat di Malaysia, Ahli Dewan Undangan Negeri Ulu Klang, Saari Sungib menceritakan tentang banjir lumpur di sebuah taman perumahan banglo mewah di lereng bukit berdekatan Kemensah. "Orang selalu menganggap banjir hanya berlaku di dalam lembah, tapi di Selangor boleh jadi atas bukit," katanya ketika mengimbau peristiwa enam tahun lalu di kawasannya. "Banglo itu musnah dihempap banjir lumpur. Ini kerana apabila hujan, sistem perparitan di taman itu tidak dapat menampung air hujan yang melimpah," katanya. Beliau berkata, parit juga tersumbat dengan tanah, lalu air yang melimpah keluar meresap ke dalam cerun bukit dan melemahkan struktur tanah mengakibatkan terjadi banjir lumpur yang turun menghempap rumah banglo di situ. Peristiwa itu menunjukkan bagaimana projek baru, sama ada ia perumahan atau kedai komersial, tidak boleh dirancang dan diluluskan secara berasingan atau "piece meal" oleh agensi kerajaan yang tidak merujuk antara satu sama lain. Kelulusan diberikan oleh pihak berkuasa tempatan tetapi pembinaan sistem perparitan untuk projek tersebut akan datang daripada Jabatan Parit dan Saliran (JPS). Saari berkata, berikutan kedua-dua agensi itu perlu bekerjasama dengan rapat untuk mengeluarkan rancangan komprehensif, maka dana yang diperuntukkan kepada mereka patut setimpal dengan tanggungjawab tersebut. katanya, kerajaan negeri Selangor boleh memberikan RM 100 juta untuk projek penembatan banjir, seperti dalam belanjawan 2013, tetapi persoalan yang juga penting adalah siapa yang mendapat dana tersebut dan bagaimana ia dibelanjakan. Bagi sebuah negeri yang pesat dibandarkan (urbanised state), pengawalan bagi memastikan dana dibelanjakan dengan efektif dan berkesan adalah isu penting setiap kali Selangor membentangkan belanjawannya. Seperti contoh banjir lumpur di atas, tidak cukup untuk sekadar meluluskan projek. Kerajaan Negeri perlu memastikan setiap projek tidak memudaratkan bangunan di sekitarnya dan setiap sen yang dibelanjakan untuk infrastruktur sokongan harus dibelanjakan dengan baik. Pengawalan berhemah Disiplin kewangan atau "fiscal discipline" adalah satu prinsip yang disanjung tinggi oleh pentadbiran Pakatan Rakyat di bawah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar). Pegangan tersebut membolehkan Pakatan mengumpul dana simpanan sebanyak RM2.7 bilion dalam masa enam tahun, daripada RM400 juta yang diwarisi daripada pemerintahan Barisan Nasional pada 2008. Pelaksanaan prinsip itu juga adalah penyebab setiap tahun Selangor mendapat markah tinggi menerusi penilaian Ketua Audit Negara. Tetapi, selepas bertahun-tahun mengumpul rizab yang begitu besar, Adun Pakatan Selangor sendiri melalui Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) menuntut kerajaan negeri Selangor membelanjakan sebahagian daripada simpanan untuk pembangunan. Tuntutan tersebut dibuat dalam beberapa mesyuarat bersama Abdul Khalid semasa kerajaan negeri sedang mengumpul maklum balas bagi merancang belanjawan. Apabila Abdul Khalid memaklumkan bahawa Selangor akan memperuntukkan RM430 juta daripada wang rizab tersebut untuk beberapa inisiatif seperti jambatan ketiga Klang dan pembinaan rumah mampu milik, usaha tersebut mendapat sokongan Adun Pakatan. Ini kerana, apabila RM430 juta itu ditambah dengan peruntukan di dalam belanjawan 2014 untuk pembangunan, jumlah keseluruhan untuk pembangunan negeri adalah terbesar berbanding tahun-tahun yang lalu. Daripada segi peratusan, Selangor akan membelanjakan 53.7% daripada jumlah belanjawan dan duit rizab RM430 itu untuk kos operasi, manakala 46.3% akan dibelanjakan untuk projek dan program pembangunan. Berbeza dengan kerajaan persekutuan Barisan Nasional yang membelanjakan 83% duit dalam belanjawan persekutuan 2014 untuk kos operasi dan hanya 17% untuk pembangunan. Tetapi, walaupun Selangor memperuntukkan jumlah yang besar untuk pembangunan, Adun Pakatan berkata, apa yang penting adalah duit tersebut dibelanja dengan berhemah. Menyimpan untuk berbelanja lebih Adun Bukit Antarabangsa,Azmin Ali merujuk kepada prinsip ini apabila beliau mengeluarkan kenyataan berhubung pengurangan peruntukan bagi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor. Keputusan itu dibuat setelah JPS Selangor didapati hanya membelanjakan 61% dana yang diperuntukkan kepadanya bagi tahun ini setakat September. "Tetapi kerajaan negeri tidak patut potong dana JPS," katanya kerana JPS bertanggungjawab terhadap sistem perparitan dan kawalan banjir di Selangor. "Sekiranya negeri potong peruntukan ia seperti menghukum rakyat. Kita sepatutnya mengawal dengan lebih teliti bagaimana dana tersebut dibelanjakan supaya wang itu dibelanja dengan baik," katanya. Malah projek yang mahu menggunakan rizab RM430 juta itu perlu disertakan dengan pelan pembangunan yang akan dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor terlebih dahulu sebelum duit itu dapat digunakan. "Rizab kita akan dibelanjakan dengan telus dan berhemah. Bukan macam dulu semasa BN apabila duit banyak masuk tetapi tiada siapa tahu ke mana ia dibelanjakan," kata Azmin, yang juga pengerusi BBC Selangor. Saari berkata, secara idealnya, pengawalan perbelanjaan yang efektif akan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan operasi dan duit yang dijimatkan daripada pengurangan ketirisan itu akan dimasukkan ke dalam rizab simpanan. Lebih banyak dana rizab simpanan, lebih banyak dana yang boleh diperuntukkan untuk projek seperti rumah mampu milik, pembangunan usahawan dan penembatan banjir. Ia juga boleh digunakan untuk merancang pelan induk trafik untuk seluruh Selangor, seperti yang dicadangkan oleh Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran. Ini kerana semakin banyak kawasan penempatan di Selangor mengalami perbandaran yang pesat atau urbanisation. "Sekarang semuanya dirancang berasingan. Misalnya, jalan raya tidak diselaraskan dengan laluan bas dan rel. "Kita juga tidak merancang pembangunan pengangkutan awam selari dengan peningkatan penduduk. Sekiranya kita terus dengan sikap ini semua jalan kita akan sesak selamanya," katanya. Selangor tidak seperti negeri lain yang mempunyai kawasan yang lapang untuk pembinaan menyebabkan setiap pembinaan dilakukan di kawasan yang sudah padat atau "akan padat". Kegagalan untuk mencapai keseimbangan antara operasi dan pembangunan seperti kegagalan untuk merancang sebuah belanjawan yang seimbang, akan memberi impak yang besar kepada negeri. Keseimbangan boleh menjadikan Selangor sebuah negeri yang walaupun padat, ia selesa untuk bermastautin dan membesarkan keluarga. Manakala kegagalan untuk mencapai keseimbangan itu boleh menjadikan negeri sebuah hutan konkrit yang sesak dan selalu banjir. |
Jet eksekutif Rosmah: Kabinet tidak bermaruah, kata Pakatan Posted: 20 Nov 2013 12:08 AM PST OLEH EILEEN NG Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) terus mempersoalkan kerajaan Malaysia kerana meluluskan peruntukan untuk isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (gambar) melawat Qatar menggunakan jet eksekutif baru-baru ini yang menggambarkan "Kabinet tidak bermaruah". Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berate negara maju seperti Amerika Syarikat (AS) juga tidak akan membiarkan isteri presiden mewakili suami melawat negara tertentu menggunakan jet eksekutif. "Apabila Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama tidak dapat hadir ke Malaysia, beliau menghantar wakilnya ke sini. Ada dia hantar isterinya?," katanya merujuk kepada kehadiran Setiausaha Negara AS John Kerry ke Malaysia, bulan lalu. Lawatan Rosmah pada 10 November ke Forum Ahli Perniagaan Wanita Antarabangsa Qatar ke-4 menggunakan dana kerajaan itu dibangkitkan ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali di Dewan Rakyat, baru-baru ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang menjelaskan isu tersebut di Dewan Rakyat mengatakan lawatan itu "demi kepentingan negara", tetapi tidak mengesahkan atau menafikan lawatan itu menggunakan jet eksekutif. "Kita patut berbangga kerana sebuah kerajaan menjemput isteri Perdana Menteri, rakyat Malaysia patut berbangga. "Lawatan tersebut bukan seronok-seronok, tetapi beliau menjalankan tanggungjawabnya," kata Shahidan dalam satu sidang media di lobi Parlimen semalam. Ahli Parlimen Kelana Jaya dari PKR, Wong Chen, berkata Rosmah bukan wakil rasmi kerajaan atau duta. "Ini adalah langkah yang tidak baik di pihak kerajaan," katanya. Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, berkata keputusan Kabinet itu membuktikan ia merupakan penyalahgunaan kuasa dan dana awam. "Dia bukannya wakil rakyat dan memberi kebenaran untuknya terbang menggunakan jet kerajaan merupakan penyalahgunaan kuasa," katanya. Shahidan semalam menegaskan proses meluluskan lawatan tersebut dijalankan secara telus dan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan terlebih dahulu. "Ia dilakukan secara telus, dipohon kepada Kabinet dan kemudiaannya diluluskan," katanya. Apabila ditanya sama ada lawatan tersebut menguntungkan dan memberi manfaat kepada negara, Shahidan berkata, hasil lawatan tersebut akan didedahkan kepada umum selepas ini. "Apa yang saya boleh katakan ialah lawatan ini menguntungkan dan sangat positif. "Tentang hasil daripada lawatan tersebut, saya akan bentangkan kemudian," katanya. Rosmah baru-baru ini menyampaikan ucaptama semasa menghadiri seminar "Qatar International Business Women Forum" kali keempat di Doha. Forum tersebut dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Wanita Qatar dan Rangkaian Perniagaan Interaktif, forum dua hari itu dihadiri oleh Menteri Qatar Tenaga dan Industri, Dr Mohammed Saleh Al Sada. Delegasi Malaysia yang hadir termasuk Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang juga penasihat khas kepada Perdana Menteri mengenai keusahawanan wanita dan profesional; Datin Seri Siti Rubiah Datuk Abdul Samad, isteri Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman; Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, isteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datin Seri Che Kamariah Zakaria, isteri Menteri Pelajaran Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh. |
Ibrahim Ali habiskan masa dengan teh tarik Posted: 20 Nov 2013 12:04 AM PST VIDEO l 3:04 mins Presiden kumpulan pendesak Melayu Datuk Ibrahim Ali menarik perhatian media hari ini, hanya selepas tiga jam dijatuhkan hukuman selepas didapati bersalah menghina mahkamah. Walaupun didenda RM20,000 dan penjara sehari serta dibawa ke lokap di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, beliau dilihat berada di kafeteria kita-kira jam 4 petang tadi. Ibrahim, bersama peguam dan rakan-rakan dilihat sedang minum teh tarik. Ditanya kenapa beliau keluar daripada lokap lebih awal daripada jam 5 petang, Ibrahim berkata, pegawai terbabit membenarkannya keluar selepas membayar denda. Beliau bagaimanapun dimaklumkan supaya tidak meninggalkan kompleks mahkamah sehingga jam 5 petang. Mengulas keputusan hari ini, Ibrahim walaupun menerima keputusan itu menafikan membuat kenyataan yang menghina mahkamah. Katanya, beliau tidak pernah membuat sebarang kesalahan tetapi masalahnya apabila media memutar kenyataannya. "Saya mangsa keadaan, mangsa media sosial," katanya. |
Mat Sabu beli bata Mkini, sokong kebebasan media Posted: 19 Nov 2013 11:48 PM PST Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu menyertai kempen "Buy a brick" (beli bata) sebagai tanda sokongannya kepada laman portal berita bebas Malaysiakini untuk membina pejabat baru di Petaling Jaya, selepas 14 tahun beroperasi. Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, langkah itu sebagai sokongan beliau kepada kebebasan media yang dipelopori Malaysiakini. Tokoh PAS yang mesra dipanggil "Abang Mat" membeli seketul bata yang bakal diukir namanya "Mohd Sabu" susulan kempen yang dilancarkan Jumaat lalu. "Saya menyokong media bebas. Saya berharap semua pemimpin dalam Pakatan Rakyat, NGO dan orang perseorangan menyokong konsep media bebas yang dipelopori Malaysiakini. "Sokong bangunan baru Malaysiakini untuk kakitangannya dapat menjalankan tugas dengan lebih selesa," kata sewaktu berkunjung ke pejabat Malaysiakini di Kuala Lumpur petang ini. Mohamad merupakan pemimpin PAS pertama tampil menyertai kempen itu. Ahli politik lain yang turut menyatakan sokongan terhadap kempen itu antaranya Saifuddin Abdullah (Umno), Tony Pua (DAP) and Elizabeth Wong (PKR). Bangunan yang diberi nama @Kini itu terletak di Business Park PJ51, Seksyen 51, Petaling Jaya, dibeli pada harga RM6.1 juta. Jumlah keseluruhannya termasuk kos ubahsuai serta yuran dan duti peguam, mencecah sekitar RM7 juta. Setiap penyokong yang membeli bata bernilai RM1,000 akan mendapat langganan dan iklan di Malaysiakini dengan nilai sama, serta seketul bata yang diukir dengan namanya. Bangunan itu bakal menyediakan ruang untuk Malaysiakini berkembang dalam tahun-tahun seterusnya - dengan ruang kerja, kawasan mesyuarat, bilik latihan dan studio video yang mencukupi. Malaysiakini memohon sokongan pembaca untuk mengumpulkan RM3 juta dalam masa dua bulan akan datang menerusi kempen "Buy a brick". Untuk maklumat lanjut tentang bangunan dan cara untuk menyokong Malaysiakini, sila kunjungi http://building.malaysiakini.com. |
Anwar: Pakatan tak sebut 40,000 pengundi Bangladesh Posted: 19 Nov 2013 11:44 PM PST Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dakwaan bahawa 40,000 pengundi hantu dari Bangladesh turun mengundi dalam pilihan raya lalu mula ditimbulkan oleh penulis blog pro-Umno dan bukannya oleh pemimpin Pakatan Rakyat. Katanya, beliau telah membuat semakan dan mendapati pemimpin Pakatan Rakyat tidak pernah membuat kenyataan seperti itu. "Kita dah buat kajian, ada tak kenyataan begini? Tidak ada. "Rupanya yang bawa (kenyataan) itu bloggers Umno. "Kenyataan kita (adalah) memang ada pengundi luar," katanya pada sidang media di perkarangan Parlimen pagi tadi. Anwar mengulas laporan akhbar hari ini berhubung kenyataan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina yang menafikan dakwaan bahawa 40,000 rakyatnya diterbangkan ke Malaysia untuk mengundi pada Mei lalu. |
Angka sebelahi Nik Amar, tapi Mat Sabu... Posted: 19 Nov 2013 11:37 PM PST Tinggal 48 jam sebelum pemilihan pusat PAS, persaingan antara dua calon timbalan presiden parti Islam itu masih sukar ditentukan kelebihan memihak kepada siapa, dalam pertembungan yang diibaratkan umpama 'buku bertemu ruas'. Penyandang Mohamad Sabu dan Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah, masing-masing tidak dapat mendabik dada sudah benar-benar selamat. Bahkan, dijangka, yang menang tidak menang semua, yang kalah tidak kalah semua. Menurut sumber-sumber PAS, keputusan pemilihan bergantung kepada undi menyokong Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa yang dianggap mempunyai kuasa penentu. Sokongan yang diperoleh mereka di peringkat kawasan perlu diambil kira memandangkan kedua-duanya memperolehi jumlah pencalonan tertinggi daripada Mohamad dan Nik Amar. Masih tidak jelas undi itu akan pergi ke mana. Bagaimanapun, ia dilihat bergantung kepada hubungan kedua-dua calon dengan Tuan Ibrahim dan Husam. Satu versi menyatakan, Mohamad mempunyai kelebihan berdasarkan hubungan 'tidak mesra' Nik Amar-Husam akibat politik dalaman PAS Kelantan dan kerajaan negeri. Kedua-dua mereka pernah menjadi exco yang sama-sama berpengaruh bawah pimpinan tokoh terpenting PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum ini. Bagaimanapun, hubungan Mohamad dan Husam juga mempunyai sejarah 'calarnya' sendiri apabila sama-sama berentap pada 2009 untuk jawatan sama dalam pertembungan tiga penjuru dengan bekas timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa. Mohamad dan Husam walaupun dianggap satu aliran, masing-masing gagal berkompromi - situasi yang memberikan kelebihan kepada Nasharuddin, calon proulama ketika itu. Trend 4 tahun pemilihan Sementara itu, di atas kertas, trend pengundian sejak empat tahun lalu tidak menyebelahi Mohamad yang hanya mendapat sokongan satu pertiga daripada lebih 1,000 perwakilan pada 2011. Pada 2009, Mohamad tewas dengan sokongan terendah 261 undi, Husam (281 undi) dan Nasharuddin 480 undi. Perpecahan undi Mohamad dan Husam menjadi punca kekalahan kumpulan profesional. Dalam pemilihan dua tahun berikutnya, trend sebaliknya pula berlaku apabila Mohamad - calon tunggal kumpulan profesional - menang tipis akibat perpecahan undi kumpulan ulama. Mohamad menang jawatan timbalan presiden dengan 420 undi berbanding Tuan Ibrahim Tuan Man (399) dan Nasharuddin (224). Berdasarkan angka itu, bermaksud Mohamad gagal mendapat sokongan bulat penyokong Husam selepas dua tahun. Bahkan, kumpulan ulama menambah penguasaan mereka daripada 480 undi pada 2009 kepada 624 (gabungan undi Tuan Ibrahim dan Nasharuddin) pada 2011. Ini menyebabkan Mohamad, walaupun mempunyai kelebihan penyandang, tetap tidak senang duduk. Namun begitu, telahan ini hanya akan menjadi kenyataan dengan mengandaikan faktor-faktor lain tidak berubah. Tetapi itu tidak mungkin. Menilai daripada aspek aktivisme dan kepimpinan, Mohamad dilihat lebih ke hadapan memimpin massa dalam isu-isu penting, antaranya melalui demonstrasi BERSIH dan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka. Beliau juga dilihat sebagai tokoh nasional berbanding Nik Amar yang hanya dikenali di peringkat negeri walaupun turut menganggotai jawatankuasa Pusat PAS. Malah, kewujudan kumpulan-kumpulan dalam PAS Kelantan, yang Mohd Amar dianggap antara pemain utamanya, tidak menjanjikan kelebihan kepada ADUN Panchor itu. Korban perjuangan sendiri? Mohamad juga menyandarkan harapan kepada populariti sebagai pemidato 'bersuara emas' PAS dan aktivismenya yang menyaksikan beliau turun naik mahkamah dan ditahan bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) sebelum ini. Manakala Nik Amar (kanan) pula menyandarkan peluangnya kepada berpengalaman dalam kerajaan negeri yang diberi kepercayaan oleh Nik Aziz, termasuk mengantikan kuliah mingguan mursyidul am PAS itu. Statusnya sebagai anak 'tok guru Nik Lah' yang memperoleh sarjana dalam bidang teologi di Birmingham, United Kingdom itu juga dilihat mempengaruhi keputusan pengundian Jumaat ini dalam parti berteraskan agama itu. Nik Amar juga tidak dihantui kontroversi di peringkat nasional berbanding Mohamad yang masih berhempas pulas menepis tuduhan berfahaman Syiah dan isu khalwatnya lama dahulu, walaupun mahkamah telah membebaskannya. Semua ini sudah tentu akan dipertimbangkan perwakilan bagi menentukan masa depan PAS, termasuk hubungan dalam Pakatan, prospek untuk pilihan raya umum ke-14 dan arah tuju parti dalam keadaan trend politik yang makin melampui sentimen. Sesiapa pun yang menang pasti akan memainkan peranan besar menentukan semua ini, terutamanya ikatan PAS dalam Pakatan yang terbukti berhasil sejak awal kerjasama pada 2008. Persoalannya, antara budaya aktivisme dan kepimpinan ulama, pihak manakah yang benar-benar diperlukan PAS buat masa ini? Tetapi, jika Mohamad tewas, keputusan itu pastinya ironi sekali di mata penganalisis. Mohamad, 30 tahun lalu antara tokoh yang paling terkedepan memperjuangkan kepimpinan ulama. Dan 30 tahun kemudian, adakah beliau akan menjadi korban perjuangannya sendiri? |
Penduduk setinggan terkejut NGO hulur bantuan Posted: 19 Nov 2013 11:33 PM PST Perkampungan yang terletak hanya dua kilometer dari pusat bandar itu dikatakan mempunyai sekitar 200 penduduk. KOTA KINABALU : Lebih kurang 30 buah keluarga di sebuah kampung setinggan yang tidak bernama di pinggir bandaraya ini terkejut besar bila mendapati sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang melawat mereka dan menghadiahkan pelbagai bantuan termasuk beras dan pakaian semalam. Perkampungan yang terletak hanya dua kilometer dari pusat bandar itu dikatakan mempunyai sekitar 200 penduduk, hampir semua bumiputera dari keturunan Dusun, Rungus dan Sungai, tidak menjangka I-Link Berhad, sebuah NGO baru di Sabah, memilih kampung mereka untuk menerima bantuan tersebut. "Kampung" itu yang tersorok dari pandangan awam oleh pokok-pokok kayu terbiar terletak di atas sebuah bukit kecil di antara stesen minyak Shell di Jalan Kolam dan Sekolah Menengah St Francis Convent di sini. Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Alisa berkata mereka terkejut melihat serombongan datang membawa pelbagai bungkusan dan kotak untuk diagih-agihkan kepada penduduk yang memang serba kekurangan keperluan asas. "Kami amat gembira sekurang-kurangnya kami mendapat bantuan dari NGO. Terima kasihlah kami dapat beras, pakaian, minyak masak dan lain-lain, " katanya. Sementara itu pengerusi I-Link Berhad, pastor Daniel Chin, ketika dihubungi berkata NGO nya sudah aktif sejak dua tahun kebelakangan ini membantu keluarga miskin anak negeri Sabah serta kaum wanita dan orang tua yang memerlukan. "Anggota sukarelawan kami menjalankan pelbagai kegiatan membantu masyarakat terutama anak negeri yang miskin seperti membahagikan beras, roti, tepung, buah-buahan, minyak masak dan pakaian. "Semalam di kampung berkernaan ramai mereka itu datang tinggal di sini selepas mereka tiada lagi tanah di daerah masing-masing termasuk dari Ranau. Mendengar cerita mereka amat menyedihkan saya dan saya tidak terfikir ini boleh berlaku kepada seorang anak negeri (native) Sabah," katanya. Menurut beliau, sukarelawan I-Link datang dari pelbagai denominasi gereja dan mereka membantu siapa sahaja yang memerlukan mengikut kemampuan NGO ketika ini. Sementara itu difahamkan penduduk "kampung" yang didakwa sudah wujud 30 tahun itu dikatakan telah diberi notis mengosongkan kawasan tersebut bagi tujuan pembinaan kompleks mahkamah tinggi yang baru. Kampung tersebut hanya dihubungkan oleh jalan raya yang telah rosak dan dalam keadaan serba-serbi daif kerana langsung tidak mempunyai kemudahan asas seperti elektrik dan air terawat. Penduduk di kampung berkenaan mendakwa ibu bapa mereka berhijrah ke bandar Kota Kinabalu pada 30 tahun yang lalu untuk bekerja dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan mereka telah dibenarkan untuk mendirikan rumah di kawasan tersebut pada ketika itu. Ketika ditanya mengapa mereka memilih untuk tidak berpindah, mereka mengatakan tidak mampu membayar sewa rumah yang begitu membebankan. Kebanyakan kaum wanita di perkampungan ini akan keluar ke kawasan Luyang yang berdekatan untuk mencari bahan yang boleh dikitar semula untuk dijual bagi membantu meringankan beban suami mereka. Selain menyampaikan sumbangan keperluan asas, wakil I-Link juga dikatakan berusaha berunding dengan agensi kerajaan bagi mendapatkan kediaman baru bagi keluarga di perkampungan ini. Mereka yang ingin menyumbang menerusi NGO ini boleh menghubungi pastor Daniel pada talian 016 8300150 atau 016-8894090 (Ms Chun Fung/ Ms Bao Zhu). |
Nancy digesa dedah bayaran peguam bela kes rayuan fitnah Anwar Posted: 19 Nov 2013 11:20 PM PST Oleh : AFIX REDZUAN KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching mempersoalkan jawapan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nancy Shukri yang enggan mendedahkan jumlah bayaran yang dibuat Jabatan Peguam Negara kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Md Abdullah. Bayaran itu dibuat kepada Shafee yang juga peguam bela kerajaan dalam kes rayuan fitnah dua terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya menjadi rahsia antara majikan dan pelanggan kerana bekas menteri JPM, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendedahkan jumlah kos perbelanjaan dan guaman dalam kes siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap inkues kematian Teoh Beng Hock. Nazri menyatakan, kos perbelanjaan SPRM termasuk menggunakan khidmat ahli patologi United Kingdom, Dr Peter Venezis berjumlah RM90,680 yang meliputi perbelanjaan tiket penerbangan, penginapan, makanan, pengangkutan dan bayaran khidmat profesional dalam jawapannya, pada 5 Oktober 2011 "Bayaran guaman Shafee untuk kes terbabit berjumlah RM150,000. Mengapa selepas dua tahun kerajaan menukar polisi ini. "Kenapa kerajaan mendengar cakap peguam untuk tidak mendedahkan jumlah bayaran kerana membabitkan penggunaan wang pembayar cukai. Terma 'menghormati etika hubungan profesionalisme dan kerahsiaan antara majikan dan pelanggan ini tidak boleh digunapakai," katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini. Selain itu, Nie Ching turut mempersoalkan tindakan kerajaan yang tidak menggunakan khidmat peguam dari pejabat Peguam Negara untuk mengendalikan kes berkenaan.-NFN- |
Mahfuz : Pengerusi baru BSN ‘kambing hitam’ kabinet Posted: 19 Nov 2013 11:18 PM PST Oleh : AFIX REDZUAN KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menggesa kerajaan menjelaskan pelantikan pengerusi baru Bank Simpanan Nasional (BSN), Tan Sri Abu Bakar Abdullah yangitamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, pada Julai 2012. Katanya, pelantikan itu menimbulkan persoalan berkenaan cerita sebenar di sebalik penamatan khidmat Abu Bakar susulan kegagalan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) ketika itu. Mahfuz berkata, timbul tanda tanya atas pelantikan Abu Bakar sebagai Pengerusi BSN untuk tempoh tiga tahun, berkuat kuasa pada 1 Mac lalu. "Saya ingat ada yang tidak kena dalam proses tindakan dan pelantikan beliau. Kalau beliau bersalah atas tatatertib, bagaimana kita boleh mengharapkannya jadi pengerusi bank. "Sebab itu, kerajaan perlu perjelaskan atas kelayakan apa Abu Bakar dilantik menjadi Pengerusi BSN kerana membabitkan pengurusan wang," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini, semalam. Beliau menimbulkan persoalan itu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan kepadanya penamatan khidmat Abu Bakar dilakukan "demi kepentingan awam". Shahidan dalam jawapan bertulis kepada Mahfuz menyatakan penamatan dibuat secara teratur dan mengikut prosedur dan peraturan di bawah Peraturan 49 Peraturan-peraturan Pegawai Perkhidmatan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Perlembagaan Persekutuan. Mahfuz berkata, jika diteliti peraturan dinyatakan Shahidan itu sebenarnya membabitkan kesalahan yang dianggap serius dan kebiasaannya mereka disabitkan tidak layak mendapat pencen. Sebelum ini, Mahfuz pernah membangkitkan isu penamatan Abu Bakar yang disifatkan menjadi 'kambing hitam' dalam kegagalan pelaksanaan SBPA yang diputuskan kabinet.-NFN- |
Mahfuz : Rosmah tidak layak guna jet peribadi kerajaan Posted: 19 Nov 2013 11:15 PM PST Oleh : AFIX REDZUAN KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat (PR) menegaskan tidak timbul soal sama ada menggunakan jet peribadi atau penerbangan komersial dalam isu lawatan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor ke Qatar. Pertikaian terbabit berdasarkan kelayakan Rosmah untuk menggunakan kemudahan kerajaan kerana beliau hanya isteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, menyifatkan keputusan yang dibuat kabinet adalah lemah dan dilihat tidak wajar kerana seharusnya memberikan lebih tumpuan kepada usaha memacu ekonomi negara. "Berapa tambang isu jet bukan persoalannya tetapi kelayakan penggunaan terbabit. Apakah Rosmah layak menggunakan jet itu dan atas dasar apa kabinet meluluskannya kerana Rosmah tidak layak menggunakan jet atau kemudahan besar kerajaan. "Rosmah hanya boleh menggunakan kemudahan kerajaan untuk mengiringi suaminya sebagai Perdana Menteri," katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Shahidan Kassim dalam kenyataan beliau menyatakan kos penggunaan jet peribadi lebih murah berbanding penerbangan komersial. Katanya, kerajaan memiliki tujuh pesawat yang diistilah sebagai pesawat eksekutif (VVIP) iaitu Falcon, Global Ekspress, Boeing Business Jet, Blackhawk, Fokker F28 dan dua unit pesawat Agusta. Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, berkata perbandingan harga harus dibuat dengan membabitkan tiket komersial bagi kelas ekonomi bukannya kelas pertama. "Saya fikir perbandingan tiket kelas pertama dengan kelas ekonomi itu tidak sepatutnya dibuat. Kerajaan juga harus menjelaskan rasional pembabitan isteri Perdana Menteri sama ada berpatutan dengan perbelanjaan yang dilakukan. "Sebelum ini, timbul isu berlakunya pertukaran destinasi seperti yang didedahkan Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok yang adakalanya ke destinasi pelancongan. Sebenarnya isu pemborosan ini bukan baru," katanya.-NFN- |
Perkasa tak sesuai buka cawangan di Sarawak Posted: 19 Nov 2013 11:11 PM PST Kita tidak menghalang kedatangan mana-mana ahli dari pertubuhan ini mahupun Presidennya Datuk Ibrahim Ali ke Sarawak sebagai pelancong. KUCHING: Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dilihat tidak sesuai untuk meluaskan pengaruhnya di negeri ini atas dasar saling menghormati masyarakat majmuk di Sarawak. Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing (gambar) menegaskan perkara itu ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali yang bercadang untuk meluaskan sayap pertubuhan Perkasa di Bumi Kenyalang ini. "Bagaimanapun, kita tidak menghalang kedatangan mana-mana ahli dari pertubuhan ini mahupun Presidennya Datuk Ibrahim Ali ke Sarawak sebagai pelancong. "Tetapi, mereka diingatkan agar tidak menyimpan niat untuk meluaskan polisi Perkasa di sini (Sarawak)," tegasnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Persidangan Hari Pertama Mesyuarat Kedua bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-17 di Bangunan DUN Sarawak di sini semalam. Menerusi laman sosial yang dikeluarkan semalam, Perkasa membuat kenyataan bahawa pertubuhan itu mahu melebarkan cawangannya ke negeri ini dengan alasan untuk melindungi hak Bumiputra selepas mendakwa mempunyai 45,000 ahli di Sabah. "Memandangkan Perkasa di Sabah adalah sangat aktif, kami berharap untuk mendapatkan sokongan yang sama daripada rakyat Sarawak," kata Syed Hassan Syed Ali. |
Harga barangan di Sabah bakal melonjak paling tinggi Posted: 19 Nov 2013 11:09 PM PST Sama ada berasaskan gula atau tidak, nampaknya harga banyak barangan terutama sekali makanan sudah pun mulai naik di Sabah, KOTA KINABALU : Harga barangan keperluan di Sabah dijangka melonjak naik mulai sekarang dan akan lebih dirasai mulai Januari depan apabila dasar "gaji minimum" akan berkuat kuasa sepenuhnya kepada semua pemilik perniagaan di seluruh negara. Kerisauan ini ditimbulkan oleh Persatuan Hal-Ehwal dan Perlindungan Pengguna Sabah (CAPS) yang menyatakan hari ini kebanyakan daerah di Sabah sudah pun mula melaporkan kenaikan harga pelbagai barangan. "Sama ada berasaskan gula atau tidak, nampaknya harga banyak barangan terutama sekali makanan sudah pun mulai naik di Sabah, berikutan penguatkuasaan dasar "gaji minimum" RM800 di Sabah," kata jurucakap CAPS, Donny Yapp yang juga timbalan bendahari pertubuhan itu. "Kita risau harga barangan lain akan turut naik bulan Januari, 2013 nanti. Kami sudah pun mula menerima aduan bahawa kedai-kedai runcit mungkin bakal menaikkan harga biskut, sos dan makanan dalam tin Januari depan sebab mereka dikatakan sudah diberi peringatan mengenai kemungkinan itu oleh pemborong dan pengedar," katanya. Menurut Yapp, alasan yang diberi kepada kenaikan harga pelbagai barangan ialah naiknya harga gula, petrol dan dasar gaji minimum yang dibuat oleh Kerajaan Persekutuan sudahpun memberi kesan kepada kos pengeluaran dan pengangkutan semua barangan di Sabah. Katanya harga minuman panas dan sejuk di pelbagai tempat di Sabah dilaporkan rata-rata sudah naik antara 30 sen dan 50 sen, walaupun masih ada kedai atau restoran buat masa ini mengekalkan harga lama. "Bagaimanapun kedai-kedai ini kebiasaannya lambat-laun akan turut juga menaikkan harga minuman mereka," tegasnya dalam satu kenyataan di sini. Kalau sebelum ini harga segelas air kosong hanya 20 sen atau 30 sen malahan percuma di sesetengah restoran, kini ia dikenakan bayaran 50 sen walaupun tiada menggunakan sebutir pun gula di dalamnya, ujar Yapp. "Kalau dulu segelas milo ais berharga hanya RM1.80 atau RM2.00, kini ia berharga sama ada RM2.30, RM2.50 atau RM2.80. Demikian juga segelas milo panas dulu hanya RM1.50 atau RM1.80 tetapi kini berharga sekurang-kurangnya RM2.00. Katanya lagi untuk secawan teh panas dengan gula pula kalau dulu hanya RM1.60 kini kebanyakan restoran biasa mengenakan harga sekurang-kurangnya RM1.90. "Secawan kopi panas dulu hanya RM1.20 atau RM1.30 tetapi kini lebih daripada RM1.50," ujarnya lagi. Menurut Yapp harga itu juga turut naik pada kadar lain di restoran-restoran mewah dan berhawa dingin di bandar-bandar dan pekan besar. Katanya harga kuih-muih juga sudah naik di mana kalau dulu RM1.00 boleh membeli tiga biji kuih di kebanyakan gerai, kini wang yang sama masih boleh membeli bilangan kuih yang sama tetapi saiz kuih itu mungkin sudah bertambah kecil. Katanya satu lagi faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan di Sabah ialah kenaikan harga pasaran rumah-rumah kedai serta kadar sewa yang ditentukan sewenang-wenangnya oleh pemilik lot kedai. "Kita ada menerima laporan pemilik kedai ketika memberi notis kenaikan sewa kedai kepada para peniaga, mereka juga menyertakan komen bahawa kalau mereka tidak sanggup menyewa mahal maka ramai lagi peniaga asing termasuk dari Pakistan sedia mengambil-alih lot kedai mereka pada kadar sewa lebih tinggi. Ini tidak berlaku di Sarawak. "Kerajaan Negeri patut memikirkan kaedah mengatur kadar harga dan sewa rumah-rumah kedai ini dan bukan hanya membiarkan kuasa pasaran menentukannya, agar tidak wewenang-wenang dinaikkan kerana akhirnya para pengguna Sabah juga yang akan menanggung kenaikan kos baranganan," tambahnya. |
Khalid nafi kerajaan Selangor tidak cekap Posted: 19 Nov 2013 11:06 PM PST Strategi yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan rizabnya adalah melalui pengurusan dana yang teratur dan tetap. SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan kerajaan pimpinannya itu tidak cekap dalam membelanjakan rizab negeri. Menurut Abdul Khalid, dari data terkini yang diperolehinya, rizab negeri yang telah mencecah RM2767 bilion pada 15 November lalu adalah hasil dari beberapa perkara. "Satu, peningkatan hasil. Peningkatan hasil ialah antara lain peningkatan cukai. Kedua, pemberian dari kerajaan persekutuan dan ketiga perkara-perkara yang tidak termasuk dalam cukai tetapi (merupakan) pendapatan negeri," jelas Abdul Khalid, ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang-Barisan Nasional Sulaiman Abdul Razak. Tambahnya lagi, strategi yang digunakan oleh kerajaan negeri untuk meningkatkan rizabnya adalah melalui pengurusan dana yang teratur dan tetap. "Sebagai contoh, sebelum 2008 kita tidak ada usaha untuk memantau kos untuk pembinaan. Dan sekarang kita boleh beritahu kalau dulu kita ada belanjawanan untuk buat masjid, sekarang kita boleh tunjukkan dengan belanjawan yang sama, kita boleh buat tiga buah masjid dari buat dua buah masjid yang dibuat sebelum ini," jelasnya lagi. Menjawab soalan tambahan dari Sulaiman yang bertanya dari mana datangnya pertambahan cukai yang diterima kerajaan negeri, Abdul Khalid sekadar mengatakan pengurusan hasil yang direkod membantu penambahan Abdul Khalid turut menjelaskan kerajaan negeri tidak meningkatkan cukai hasil tanah kerana bimbang ia akan membebankan orang ramai. "Walau bagaimanapun, saya ingin menyatakan kita tidak dapat menaikkan hasil tanah kerana takut ramai yang berasa terbeban. "Tapi apa yang kita lakukan ialah dengan mengutip cukai itu dengan betul," katanya sambil menamakan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak dan Petaling telah berjaya mencapai kutipan 95% daripada hasil yang sepatutnya yang turut menyumbang kepada peningkatan hasil kutipan cukai negeri. Kerajaan negeri Selangor juga menyimpan rizab dalam bentuk cairan ataupun wang tunai dan bukan dalam bentuk harta seperti banggunan, jelas Abdul Khalid lagi. |
Anwar Ibrahim puji Belanjawan Selangor 2014 Posted: 19 Nov 2013 10:57 PM PST Oleh : Mohd Ezli Mashut SHAH ALAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji Belanjawan Selangor 2014 yang dibentang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkannya sebagai belanjawan berhemah dan prihatin. Beliau menyatakan demikian melalui akaun Twitternya sebagai mengulas tweet pengikutnya mengenai Belanjawan Selangor 2014 yang dibentang pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam. Sebelum ini, sesetengah media tempatan membuat tafsiran terhadap kenyataan Anwar pada satu forum kononnya Ketua Umum PKR itu menegur cara Abdul Khalid mengurus kewangan. Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat buat penggal kedua, memperuntuk RM1.85 bilion iaitu perbelanjaan terbesar dalam sejarah Selangor membabitkan Belanjawan Berimbang 2014 bertemakan 'Belanjawan Berhemat dan Berimpak Tinggi, Maslahat Rakyat'. Belanjawan itu berpaksikan kepada lima teras utama iaitu memperkasa pengurusan fiskal yang pragmatik; berhemat dan berdaya maju; memperkukuh keberkesanan serta kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan swasta. Ia turut memperteguh dasar pro-pertumbuhan pesat; mempertingkatkan kesejahteraan rakyat dan memastikan mutu kehidupan bertaraf dunia selain memastikan pembangunan mampan dan inklusif. Abdul Khalid juga mengumumkan rancangan penggunaan rizab negeri berjumlah RM430 juta bagi membiayai pembangunan enam inisiatif. Ia meliputi RM150 juta bagi pembinaan Jambatan Ketiga Klang, RM100 juta (rumah mampu milik), RM50 juta (bangunan sekolah), RM50 juta (usahawan dan pemerkasaan belia), RM50 juta (pembangunan desa) dan RM30 juta (pemberdayaan wanita). Kerajaan negeri turut membelanjakan RM1.055 bilion bagi pembangunan atau 46.3 peratus daripada jumlah keseluruhan untuk 2014 dan RM1.225 bilion atau 53.7 peratus lagi untuk perbelanjaan mengurus menjadikan jumlah perbelanjaan keseluruhan RM2.28 bilion.NFN FZL |
Hina mahkamah: Ibrahim Ali dipenjara sehari, denda Posted: 19 Nov 2013 03:40 PM PST KUALA LUMPUR - Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali hari ini dihukum penjara sehari dan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini kerana menghina mahkamah berhubung artikel berkaitan seorang hakim yang mendengar kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. Hakim Datuk John Louis O'Hara memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan Ibrahim ditahan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta dan akan dibebaskan selepas pukul 5 petang. O'Hara berkata jika Ibrahim gagal membayar denda itu beliau boleh dipenjara dua minggu. Seorang daripada peguam yang mewakili Ibrahim, Adnan Seman memberitahu pemberita pihaknya akan membayar denda itu dan juga akan memfailkan notis rayuan berhubung keputusan itu esok. Mahkamah juga menjatuhi hukuman empat minggu penjara terhadap penulis laman sesawang yang juga penulis artikel itu, Zainuddin Salleh selepas didapati bersalah menghina mahkamah berhubung penerbitan artikel itu yang diterbitkan di laman sesawang Perkasa. O'Hara memerintahkan hukuman penjara itu juga bermula hari ini. Mahkamah juga menolak penangguhan pelaksanaan hukuman yang dipohon peguam Rajindar Singh yang mewakili Ibrahim dan Mohamed Harmy Yusoff yang mewakili Zainuddin. Bagaimanapun O'Hara memerintahkan Mohamed Harmy memfailkan permohonan secara bertulis berhubung penangguhan pelaksanaan hukuman itu. Dalam keputusannya, O'Hara berkata penerbitan artikel itu adalah amat menghina mahkamah secara umumnya dan secara khususnya kepada Hakim Datuk V.T. Singham, iaitu hakim yang mendengar perbicaraan kes saman itu. "Penerbitan itu merupakan satu serangan kepada "integrity dan impartiality" Hakim Singham. Penerbitan itu adalah satu penerbitan yang subjudis kerana kes itu belum habis didengar," katanya Beliau berkata perkara itu sangat serius dan oleh itu mahkamah perlu menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan apa yang dilakukan Zainuddin dan Ibrahim. O'Hara berkata, bagaimanapun mahkamah juga mengambil kira faktor rayuan peguam bela Zainuddin dan Ibrahim berhubung keadaan kesihatan, umur dan peranan masing-masing dalam penerbitan artikel itu. Terdahulu Mohamed Harmy dalam rayuannya berkata anak guamnya menghidap penyakit jantung dan membuat rawatan sekali sebulan di sebuah hospital dan mempunyai pendapatan yang tidak tetap. Zainuddin ketika diberi peluang oleh hakim untuk membuat rayuan berkata beliau memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan. Ibrahim pula memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak tahu mengenai penerbitan artikel di laman sesawang Perkasa itu. "Sebagai orang Islam saya bersumpah bahawa saya tidak ada kena mengena dengan penerbitan artikel oleh Zainuddin itu," katanya. Pada 5 Mac lepas, O'Hara membenarkan permohonan Anwar untuk memulakan prosiding komital terhadap Ibrahim dan Zainuddin. Pada 17 Januari lepas, Anwar memfailkan permohonan itu dan mendakwa penerbitan artikel berkenaan di laman sesawang Perkasa pada 7 Januari lepas menjatuhkan maruah hakim yang mendengar kes fitnah beliau terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya, Datuk Abdul Aziz Ishak. Kes saman itu adalah berkaitan dua artikel yang disiar Utusan Melayu berhubung temu bual Anwar dengan British Broadcasting Corporation (BBC). Pada 21 Januari lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa kedua-dua artikel yang diterbitkan Utusan Melayu berkaitan undang-undang homoseksual, adalah bersifat memfitnah. Anwar, dalam permohonan bagi prosiding komital, mendakwa artikel yang disiar di laman sesawang Perkasa mengandungi serangan peribadi terhadap hakim berkenaan yang terjumlah kepada penghinaan, dan disiar sebelum beliau membuat keputusan. Kemudiannya ketika ditemui pemberita, Ibrahim yang berada dalam kafe di Kompleks Mahkamah, berkata beliau menerima keputusan mahkamah hari ini dengan hati terbuka dan langsung tidak mempertikaikannya. Katanya beliau ditahan di lokap mahkamah selama beberapa jam dan kemudiannya dibebaskan dari lokap selepas beliau membayar denda. - Bernama |
Isu Karpal: Selesai selepas Muktamar Pas? Posted: 19 Nov 2013 03:37 PM PST KUALA LUMPUR - [Dikemaskini] Pas menyatakan akan "menoktahkan" isu Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung pembatalan pendaftaran parti itu selepas selesai Muktamar Pas ke-59, pada 20 hingga 24 November ini. Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, PR akan mengadakan satu mesyuarat sekaligus Pas akan mengambil kesempatan untuk turut membincangkan perkara itu secara bersemuka bersama pemimpin nombor satu DAP itu. Menurutnya, melalui pertemuan itu Pas akan meminta penjelasan dan maksud sebenar Karpal berhubung kenyataan tersebut. "Saya sendiri, nak juga dengar sendiri daripada mulut Karpal mengenai perkara itu apa yang dimaksudkan dengan mengharamkan pertubuhan atau parti politik berasaskan kaum dan agama. "Kita akan bincang isu dengan Karpal dan bersemuka dengannya dalam Mesyuarat Agung Tahunan PR yang akan diadakan selepas muktamar ini untuk selesaikan isu ini," katanya kepada Sinar Harian Online, ketika satu wawancara khas, di ibu Pejabat Pas, di sini, hari ini. Tambahnya, tindakan untuk bersemuka dengan pemimpin DAP itu menunjukkan Pas mengambil kira setiap yang dituntut oleh pemimpin di peringkat bawahan seperti gesaan Pemuda Pas. "Kita pandang serius apa yang digesa dan diperkata di peringkat bawah, jadi kita akan bawa perkara ini ke peringkat tertinggi dan cari penyelesaiannya," ujarnya. Semalam, media melaporkan Naib Ketua Pemuda Pas, Raja Ahmad Iskandar telah memberi tempoh lima hari kepada Karpal untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berhasrat untuk menghapuskan parti politik berasaskan keagamaan. Raja Ahmad dalam satu kenyataannya yang dipetik dalam laporan Utusan Malaysia menyebut, barisan pemimpin DAP sepatutnya meminta Karpal memohon maaf kepada Pas atas kenyataan kontroversi bertarikh 5 November itu. Katanya, beliau memperolehi rakaman sidang media Karpal bertarikh 5 November, yang didakwanya berbeza daripada penjelasan oleh pengerusi DAP berkenaan. "Kami menuntut kepimpinan DAP meminta Karpal maaf kepada Pas dan menarik balik kenyataan terbaharunya tentang tidak perlu diwujudkan parti politik yang diasaskan kepada pertimbangan keagamaan di Malaysia. "Dan juga mengenai hasrat beliau untuk pada akhirnya menghapuskan secara mutlak dari medan politik Malaysia parti diasaskan kepada pertimbangan keagamaan," katanya. Dalam pada itu, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustafa Ali berkata, beliau akan melihat kenyataan terbaru Karpal mengenai perkara itu setelah menerima gesaan sayap parti. Katanya gesaan Pemuda Pas terhadap Karpal dengan memberi tempoh lima hari itu juga turut mewakili Pas Pusat. "Saya nak tengok selepas ini apa pula kata Karpal. "Selepas itu baru saya akan jawab sendiri isu itu "Itu Pas Pusat gesa pun, mereka wakil kita (Pas Pusat) juga," katanya. |
Amalan belanja berhemah kekalkan belanja tidak defisit Posted: 19 Nov 2013 03:32 PM PST Oleh : NORHAYATI UMOR SHAH ALAM - Kelebihan amalan belanja berhemah membolehkan kerajaan negeri tidak membentangkan belanjawan defisit dan tidak meminjam daripada kerajaan pusat untuk menampung perbelanjaan, sejak lima tahun mentadbir Selangor. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pengurusan kewangan dan fiskal itu boleh dijadikan teladan kepada negeri lain dan kerajaan pusat. Katanya, kerajaan negeri juga memperkenalkan amalan menyemak belanjawan setiap enam bulan secara berkala apabila Perbendaharaan Negeri digesa membuat imbangan pada penyata kewangan setiap bulan. "Dengan cara itu, kita dapat memantau keseimbangan di antara perbelanjaan negeri supaya tidak berbelanja di luar kemampuan sehingga menyebabkan defisit," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini. Abdul Khalid berkata, secara asasnya pendapatan negeri diperoleh daripada Hasil Kutipan Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil. "Perbelanjaan pula terbahagi kepada dua kompenan utama iaitu Perbelanjaan Mengurus dan Perbelanjaan Pembangunan, manakala rizab simpanan sama ada dalam bentuk tunai atau aset pelaburan," katanya. Sementara itu, Abdul Khalid berkata Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat 2014 mengetengahkan konsep percukaian yang lebih progresif, lebih mudah dan bertanggungjawab serta mempunyai pelbagai mekanisme yang menjamin disiplin fiskal. Katanya, belanjawan Barisan Nasional (BN) pula terlalu fokus kepada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi mempelbagaikan pendapatan negara tetapi tidak menerokai kaedah penjanaan pendapatan lain. "Semua cadangan PR itu mampu membuatkan Malaysia mencapai belanjawan berimbang menjelang 2007 atau selewat-lewatnya 2018. Belanjawan BN tidak cuba menangani masalah kos apabila hanya subsidi dan perbelanjaan pembangunan yang menjadi mangsa pengurangan, namun kompenan lain dalam perbelanjaan mengurus diunjurkan melonjak," katanya.-NFN- |
Belanjawan Selangor 2014 : Majlis Pengangkutan Awam Selangor atasi kesesakan lalu lintas Posted: 19 Nov 2013 03:29 PM PST Oleh : Afeeqa Afeera SHAH ALAM : Kerajaan negeri akan menubuhkan Majlis Pengangkutan Awam Selangor (Selangor Public Transport Council) dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas terutama di kawasan bandar. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata hasrat itu adalah bagi memastikan pelan tindakan negeri boleh dilaksanakan tanpa mendapat tentangan daripada kerajaan pusat. Katanya, satu kaji selidik berkenaan corak penggunaan pengangkutan awam ke tempat kerja di kalangan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sudah dilaksanakan sebagai langkah awal, baru-baru ini. "Sukacita saya maklumkan bahawa kerajaan negeri sedang memperhalusi cadangan memberi rebat atau sebarang insentif lain kepada kakitangan kerajaan yang menggunakan pengangkutan awam untuk ke bangunan terbabit. Hasil kaji selidik ini," katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2014 di Dewan Negeri, di sini, hari ini. Abdul Khalid berkata, agensi negeri serta syarikat swasta lain disaran mempertimbangkan pemberian faedah yang sama kepada kakitangan masing-masing demi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian dan kesan karbon sejajar dengan matlamat memelihara alam sekitar. Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM121 juta kepada Jabatan Kerja Raya negeri bagi satu siri projek dan program termasuk pembinaan jalan baru, penaiktarafan jalan, pembinaan jambatan serta pelbagai rancangan lain.-NFN- |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan