DIALOG RAKYAT |
- Kawalan Esscom longgar, sebabkan pelancong Taiwan ditembak, isteri diculik, Najib perlu jelas di Parlimen, Isnin
- Harga Minyak RON 97 (Turun 10 sen) Selepas (Naik 15 sen). Terkini, Tanpa Subsidi Harga RON 95 (RM2.73) VS RON 97 (RM2.75)
- Melayu paling ramai rempit
- Taufan Haiyan melanda Serdang?
- Mahfuz: Nilai kemampuan saya
- Esscom: Lapor segera kehadiran pendatang asing
- Hudud perlu kelulusan pusat
- Shahidan tetap desak FAM kembalikan wang denda
- Perbincangan Penggabungan Selepas MCA, SUPP Selesai Pemilihan - Gerakan
- 'Kami Menikmati Percutian Yang Menyeronokkan, Usah Bimbang' - SMS Terakhir Mangsa Sebelum Diculik
- Pemimpin muda Umno panaskan hubungan Putrajaya dan Sarawak
- Muktamar PAS ke-59 disiar secara langsung
- Calon BN Sendiri Dedahkan FAMA Disalahguna Beri Berlori Anak Ayam Semasa Kempen
- K'jaan diminta timbang jawatan senator untuk Pemuda MIC
- Kes Belasah Zahid Hamidi-Bazli: Terma Penyelesaian Bakal Terbongkar!
- Dr Subramaniam menang tanpa bertanding timbalan presiden MIC
Posted: 17 Nov 2013 03:04 AM PST KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memberi penjelasan di Parlimen, Isnin ini mengenai kelonggaran Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sehingga menyebabkan seorang pelancong dari Taiwan ditembak mati dan isteri mangsa diculik kumpulan yang disyaki pengganas Abu Sayyaf di Pulau Pom Pom berhampiran Semporna, awal pagi semalam. Katanya, laporan awal menyatakan bahawa sekumpulan lelaki lengkap bersenjata tiba di pusat peranginan Mandur Pom Pom dan menyerbu restoran serta melepaskan beberapa das tembakan di pusat peranginan yang ketika itu hanya dilanggani oleh pasangan pelancong dari Taiwan itu. Mangsa yang dikenali Lim Min Hsu, 57, terkena dua das tembak pada bahagian dada dan rusuk dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isteri mangsa, Lim Min Hsu, 57, dilarikan kumpulan bersenjata terbabit dengan sebuah bot kecil ke arah Filipina selatan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 pagi. "Pembunuhan dan penculikan di Pulau Pom Pom itu memberi tamparan hebat kepada usaha memulihkan keyakinan pelancong dan orang ramai terhadap kawalan keselamatan di Sabah selepas pencorobohan pengganas Sulu di Lahad Datu, pada Februari lalu. "Ketika pelancaran Esscom April lalu, Najib menggariskan empat strategi dan pendekatan teknikal yang akan diambil untuk memelihara keamanan dan keselamatan di sepanjang 1,400 km kawasan pesisir laut bahagian timur Sabah, iaitu meningkat kemampuan perisikan, kawalan perairan 24 jam, meningkat keupayaan negara untuk memintas ancaman dari laut dan penguatkuasaan undang-undang secara ketat, termasuk mengambil tindakan segera sebaik saja penceroboh mendarat," katanya. Kit Siang yang juga Ahli Parlimen DAP Gelang Patah berkata, peristiwa tragik di Pulau Pom Pom pagi ini yang membawa kepada pembunuhan seorang pelancong dan pasangannya diculik menunjukkan keempat-empat strategi itu terjejas. Beliau berkata, pembentukan dan peruntukan besar kepada Esscom belum menghasilkan keamanan dan keselamatan di Pantai Timur Sabah, manakala tiga matlamat Esscom yang ditetapkan Perdana Menteri iaitu menjamin sepenuhnya keselamatan, memulihkan keyakinan orang ramai dan memulihkan keyakinan pelancong masih terlalu jauh untuk dicapai.-Roketkini.com | ||
Posted: 17 Nov 2013 02:55 AM PST Jikalau dahulu inilah jenis minyak yang menjadi pilihan orang kebanyakan di Malaysia. Seperti yang pernah Berita Semasa kupas (DI SINI). Sekarang? Tidak lagi…..minyak RON 97 telah dianggap minyak pilihan orang-orang kaya & berkemampuan. Jikalau sebelum ini harag minyak RON 97 telah naik sebanyak 15 sen (DI SINI), hari ini dijangka harga minyak RON 97 turun 10 sen berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) seperti di sini…. Pekeliling Kementerian Kewangan Malaysia : Harga Minyak RON 97 Turun 10 senBermakna sekarang ini harga minyak RON 97 yang sering diapungkan harganya mengikut harga pasaran dan tidak langsung diberikan subsidi seperti mana diberikan kepada minyak RON 95, jatuh pada harga RM2.75 liter sekarang ini. Harga Minyak RON 97 Vs Harga Minyak RON 95
Adakah selepas ini giliran harga minyak RON 95 yang menjadi pilihan golongan berpendapatan rendah dan serdahana bakal turun pula? Apa kata anda pula? | ||
Posted: 17 Nov 2013 02:43 AM PST Sebahagian peserta yang hadir pada Seminar Keselamatan Jalan Raya sempena Mesyuarat Agung Tahunan MKJR di Banda Hilir, semalam. BANDA HILIR - Kajian menunjukkan lumba motosikal jalanan haram yang sering mencetuskan ketidaksenangan orang ramai terutama pengguna jalan raya terdiri dalam kalangan remaja lelaki Melayu berusia 15 hingga 25 tahun. Ketua Program Kem Pusat Pemerkasaan Remaja (Perkasa), Universiti Kebangsaaan Malaysia, Prof Madya Dr Rozmi Ismail berkata, pelumba tersebut kebiasaannya datang dari keluarga yang mempunyai taraf ekonomi rendah dan tinggal di kawasan miskin atau kos rendah sama ada di bandar atau pinggir bandar. "Malah golongan yang lebih dikenali sebagai Mat Rempit ini ketinggalan pelajaran, kebanyakannya belajar sehingga usia 16 tahun dan bekerja sebagai antaranya 'office boys', penghantar surat, operator pengeluaran, mekanik, penjual burger dan pembantu jualan. "Mereka terlibat gejala rempit termasuk bagi memenuhi masa lapang, berhibur, mencari aktiviti mencabar, menunjukkan aksi akrobatik untuk menjadi hero, melepaskan tekanan dan kemarahan," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja dalam seminar Keselamatan Jalan Raya sempena Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) ke-54 di sini, semalam. Rozmi berkata, kajian itu dilakukan terhadap empat kumpulan peserta berasingan melalui pemerhatian, tinjauan dan temu ramah dari Mei 2010 hingga Jun 2012. Beliau antara enam pembentang kertas kerja selain Penasihat kepada Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Suret Singh di hadapan kira-kira 300 peserta seminar berkenaan. Wakil dari Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Sirim, Jabatan Pengangkutan Jalan, Petronas StreetSmart dan Jabatan Peserta turut membentangkan kertas kerja antaranya mengenai pengurusan keselamatan jalan raya dan perlaksanaan kurikulum pendidikan pemandu baharu berteraskan hasil pembelajaran. | ||
Taufan Haiyan melanda Serdang? Posted: 17 Nov 2013 02:39 AM PST Orang boleh faham dan simpati apabila wilayah Tacloban di Filipina menjadi padang jarak padang tekukur dengan keruntuhan yang meragut beribu nyawa – puncanya taufan sederas 200km sejam. Tetapi di tempat kita, khasnya kawasan Serdang, tidak ada ribut, dan angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Jadi macam mana siling-siling berukuran 3x3 meter boleh runtuh di Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU)? Lebih menghairankan – sebenarnya memalukan! – keruntuhan jam 1.30 pagi Isnin lalu terjadi tidak sampai dua bulan selepas kejadian beberapa keping siling runtuh di kaunter wad bersalin hospital sama 30 September lalu. Menurut pengarah hospital berkenaan, Datuk Dr Ardi Awang, peruntukan membaiki siling yang runtuh sebelum ini telah diluluskan, mesyuarat telah diadakan untuk kerja-kerja membaik pulih, tiba-tiba ada lagi siling runtuh. Sekiranya keruntuhan ini berlaku pada zaman Hang Tuah dulu-dulu, pasti tok bomoh dan ahlul-nujum menjampi, menilik dan akhirnya membuat kesimpulan keruntuhan ada kaitan dengan jin tanah atau jembalang laut. Tetapi sekarang era siber, hantu, jembalang, pelesit dan lain-lain makhluk halus tentu tidak dapat diterima sebagai punca siling runtuh. Ini bukan kes jembalang, ini kes manusia. * SEBENARNYA keruntuhan di Hospital Serdang bukan sesuatu yang luar biasa lagi; malah sudah biasa sangat. Rekod menunjukkan sejak mula dibuka Disember 2005 sekurang-kurang 10 kali runtuhan siling telah dilaporkan. 10 kali! Antaranya pada 13 Ogos 2012 tiga jururawat dan seorang pegawai perubatan wanita di Unit Jabatan Kecemasan cedera setelah 15 keping siling di situ runtuh. Pada 30 Januari 2011, runtuhan siling nyaris menghempap sembilan orang awam. Keruntuhan siling terjadi juga di beberapa bahagian lain termasuk Zon Merah di Jabatan Kecemasan dan Trauma, bahagian X-Ray, forensik, lobi, klinik pakar serta wad hospital. Memang, seperti yang dijelaskan oleh pihak pentadbiran, kerajaan telah meluluskan peruntukan memperbaiki keruntuhan yang terjadi dari semasa ke semasa itu. Masalahnya ialah apa punca sebenar keruntuhan tersebut? Siapa yang telah diberi kontrak untuk projek berjuta-juta RM itu? Siapa subkontrak? Siapa pembekal bahan binaan? Siapa jurutera? Siapa jurubina? Kita kena kenal pasti siapa yang melakukan kesalahan, supaya mereka boleh dikenakan tindakan dengan membayar semula kos membaik pulih. Adalah tidak adil wang rakyat terus digunakan untuk kos memperbaiki, sedangkan pihak asal yang melakukan kesalahan tidak dikenakan tindakan. Perlu ditegaskan sekali lagi kes runtuh siling ini tidak ada kena mengena dengan jin atau makhluk halus. Ini adalah kesilapan manusia, jadi manusia yang melakukan kesilapan itu perlu diambil tindakan. * WALAUPUN tempat kita tidak ada taufan sehebat Haiyan, setiap tahun kita dilanda banjir. Sehari dua ini hujan mula turun, dan beberapa negeri pantai timur telah membuat persiapan menghadapi tengkujuh. Bahan sudah bersedia menghadapi bencana alam itu Seperti yang dijelaskan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, sebanyak 579 pusat pemindahan dikenal pasti dengan 60 peratus merupakan bangunan sekolah. Selain itu, barangan keperluan seperti makanan akan ditempatkan di 73 pangkalan hadapan bermula 18 Nov ini, membabitkan peruntukan RM1.2 juta. Sebanyak 6,000 petugas daripada 14 jabatan dan agensi yang terlibat secara langsung telah bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir. Kelantan dan Terengganu pun sudah bersiap juga. Di pihak kerajaan selalu ada keprihatinan dan persiapan. Cuma kadang-kadang orang ramai sendiri tidak prihatin – disuruh pindah mereka 'buat dhek'. Anak-anak main air mereka biarkan. Orang kita bukan sahaja manja, tetapi juga degil. * AKHIR kalam, Jumaat lalu seorang pelancong Taiwan berusia 57 tahun mati ditembak lelaki bersenjata di Pulau Pom, Semporna, Sabah. Isterinya yang berusia 58 tahun masih hilang dipercayai diculik. Apa sudah jadi, sana-sini orang kena tembak. | ||
Posted: 17 Nov 2013 02:37 AM PST YAN - Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan nasibnya sempena Muktamar Pas ke-59 pada 22 November nanti. Beliau berkata, kebijaksanaan perwakilan diperlukan untuk membuat pilihan bukan atas dasar sentimen sebagai kawan sebaliknya berasaskan kemampuan beliau sendiri. "Pemilihan mestilah melalui perkiraan kebolehan dan kemampuan saya untuk menerajui kepimpinan parti untuk terus menyambung khidmat yang saya berikan sebelum ini bagi membantu parti meningkatkan keupayaan di masa akan datang. "Kita perlu menerajui perubahan. Pas berjaya mencetus perubahan dan memimpin perubahan itu," katanya yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Khidmat Adun Sungai Limau dan kenduri kesyukuran atas kemenangan Pas dalam PRK baru-baru ini. Hadir sama, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub; Adun Sungai Limau, Ustaz Azam Abdul Samat dan Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul. Dalam pada itu, ditanya sama ada kemenangan Pas di Sungai Limau akan mempengaruhi sokongan kepada beliau sebagai Pengarah PRK, Mahfuz berkata, keadaan itu bukan satu kayu ukurnya. Menurutnya, PRK Sungai Limau hanya satu kebetulan dan tidak akan mempengaruhi perwakilan. "Kalau tak ada PRK pun, perwakilan tetap ada pengukuran sendiri atas kemampuan yang sudah mereka lihat sebelum ini. Saya tak ada masalah jika tidak dipilih, tetapi berasakan saya boleh sedikit sebanyak menyambung khidmat bagi membantu Pas dalam fasa menerajui perubahan," katanya. Mengulas mengenai pertandingan lima penjuru yang bakal dihadapinya, Mahfuz berkata, persaingan itu agak sengit dalam satu kerangka demokratik yang sihat. Muktamar Pas kali ini akan menyaksikan penyandang jawatan Naib Presiden Pas iaitu Mahfuz, Salahuddin dan Datuk Husam Musa turut disaingi oleh dua lagi tokoh Pas iaitu Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK Pas Pusat, Datuk Abu Bakar Chik. | ||
Esscom: Lapor segera kehadiran pendatang asing Posted: 17 Nov 2013 02:36 AM PST LAHAD DATU - Ketua masyarakat di Kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) diminta segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengetahui tentang kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) atau orang yang mencurigakan di kawasan masing-masing. Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Mohammad Mentek berkata, mereka boleh menyalurkan maklumat itu ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Esscom yang beroperasi 24 jam di talian 089-863181 atau faks 089-863182. "Kerjasama ketua-ketua kampung atau pemimpin masyarakat amat penting supaya pihak keselamatan dapat mengambil tindakan wajar khususnya di perkampungan pesisir pantai dan pulau-pulau di kawasan Esszone. "Kita tidak mahu leka dalam hal ini. Oleh itu kita mahu mereka menjadi mata dan telinga kerajaan untuk menyalurkan apa sahaja maklumat khususnya yang berkaitan dengan kehadiran Pati atau kemasukan orang tertentu yang mencurigakan di kawasan mereka," katanya. Mohammad berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin masyarakat dan ketua kampung di Pejabat Urusetia Daerah Kecil Tungku, di sini, hari ini. Tambah beliau, dalam pertemuan itu, pihak Esscom menerima banyak maklum balas daripada pemimpin masyarakat dan ketua kampung antaranya meminta pembinaan balai polis di kawasan tersebut. "Kita akan mengadakan perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan untuk membina balai polis di situ," katanya. - BERNAMA | ||
Posted: 17 Nov 2013 02:34 AM PST SHAH ALAM - Kerajaan pusat dan kerajaan negeri perlu berunding serta bertolak ansur untuk saling menyokong pelaksanaan hudud di Parlimen bagi membolehkan ia dilaksanakan di Kelantan, kata Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff. Beliau yang merupakan Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menjelaskan bahawa hudud tidak dapat dilaksanakan tanpa kelulusan dari kerajaan pusat. "Saya ingin nyatakan bahawa undang-undang hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa mendapat kelulusan kerajaan pusat. "Ini kerana undang-undang hudud melibatkan penguatkuasaan undang-undang jenayah yang bidang kuasanya terletak di bawah kerajaan pusat seperti peruntukan Senarai 1, Jadual ke-9 Perlembagaan," katanya yang dipetik dari laman sosial Facebook miliknya, hari ini. Beliau menyentuh soal Undang-Undang Hudud Kelantan yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan pada tahun 1993 yang kemudiannya ditolak kerajaan pusat pada tahun 1994. "Jika negeri tetap mahu melaksanakan hukum hudud ini, ia boleh dilakukan dengan meminta kerajaan pusat (parlimen) membuat undang-undang bagi hal yang sedemikian seperti yang terdapat dalam Perkara 76(1)(c). Hal ini pernah dibuat oleh kerajaan negeri selepas Undang-Undang Jenayah Hudud Kelantan diluluskan oleh Dun pada tahun 1993, namun ditolak oleh kerajaan pusat pada tahun 1994. "Setelah ditolak oleh kerajaan pusat, maka habislah ikhtiar negeri untuk melaksanakan hukum ini di negerinya. Jika dilaksanakan juga, maka ini adalah bertentangan dengan Perkara 75 perlembagaan yang menyatakan: 'Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang Persekutuan, maka undang-undang Persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang Negeri dan undang-undang Negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu'," katanya. Menurutnya lagi, isu hudud ini tidak perlu dibawa ke pentas ceramah oleh kerajaan negeri sebaliknya berunding dengan kerajaan pusat. "Jadi, apa tindakan negeri jika mahu melaksanakan hudud? Negeri tidak perlu membawa hal ini ke pentas ceramah dan berterusan berjanji akan melaksanakan hukum ini. Itu omong kosong. "Yang boleh dilakukan ialah kerajaan negeri dan pusat berunding dan bertolak ansur untuk saling menyokong hukum ini di parlimen bagi dilaksanakan di Kelantan. Maka, ini memerlukan kekuatan politik kedua-dua peringkat kerajaan. "Jika kedua-dua peringkat kerajaan tidak boleh bertolak ansur, carilah kaedah lain. Tapi janganlah berterusan mendesak hukum ini dilaksanakan jika tidak adanya kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri," katanya. Beliau turut mengingatkan agar isu hukum hudud ini tidak terus dipolitikkan oleh semua pihak. "Hudud ini untuk dilaksanakan bukan untuk dipolitikkan...cukuplah politikkan isu hudud ini," katanya. | ||
Shahidan tetap desak FAM kembalikan wang denda Posted: 17 Nov 2013 02:30 AM PST ROMPIN - Datuk Seri Shahidan Kassim tetap mahukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memulangkan semula wang denda RM39,000 yang telah dibayarnya atas kesalahan melanggar Artikel 88 badan itu, Februari lepas. Bekas presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) itu berkata, wang denda itu perlu dikembalikan berikutan undang-undang tersebut kini dimansuhkan oleh badan induk bola sepak negara itu. Pada 20 Februari lepas, FAM telah mengenakan hukuman gantung dua tahun setengah dan denda RM39,000 terhadap Shahidan atas kesalahan melanggar Artikel 88 kerana didapati mengeluarkan kenyataan yang disifatkan menentang dan menjatuhkan kredibiliti badan itu. "Saya telah dihukum oleh FAM dengan menggunakan Artikel 88, tetapi undang-undang tersebut kini telah dimansuhkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jiwa Murni, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di sini hari ini. "Jika Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dahulu apabila dimansuhkan, semua orang yang ditahan di bawah ISA terus diampunkan dan mereka dibebaskan. "Dan duit saya itu bagilah balik, duit itu duit anak yatim dan saya tak nak FAM makan duit anak yatim sebab saya sudah niatkan untuk sedekahkan duit itu kepada anak yatim," kata Shahidan, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada 19 Ogos lepas, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa individu yang dihukum atas kesalahan melanggar Artikel 88 di bawah Statut FAM 2010-2014, tiada hak menuntut kembali wang denda yang dibayar mereka. Katanya, hukuman ke atas individu terbabit termasuk denda terhadap mereka di bawah Artikel 88 kerana mengkritik FAM sebelum ini, adalah kekal walaupun badan induk kebangsaan itu membuat keputusan meminda artikel berkenaan. Shahidan mendakwa, sebelum ini beliau pernah membuat tuntutan itu setelah FAM mengumumkan akan meminda Artikel 88 pada Kongres Tahunan FAM, 17 Ogos lepas. "Saya tidak dimaklumkan berhubung kedudukan sebenar saya selepas pindaan itu dibuat dan tiada pula berita yang menyatakan saya terselamat daripada hukuman penggantungan," katanya. - Bernama | ||
Perbincangan Penggabungan Selepas MCA, SUPP Selesai Pemilihan - Gerakan Posted: 17 Nov 2013 02:13 AM PST MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Gerakan akan mengadakan perbincangan mengenai cadangan penggabungan parti bersama MCA dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) setelah kedua-dua parti itu selesai mengadakan pemilihan dan mesyuarat agung tahunan (AGM) mereka. Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong berkata beliau menyokong usaha penggabungan ketiga-tiga parti komponen itu bagi mengukuhkan kedudukan Barisan Nasional (BN) dalam meraih kembali sokongan rakyat. Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali di Kompleks Rakan Muda Puchong dekat sini, hari ini Mah berkata Gerakan mahu meningkatkan kerjasama dengan pelbagai parti komponen BN bagi menjadikan mereka lebih kuat. Turut hadir Naib presiden Gerakan A. Kohilan Pillay dan Datuk Dr Asharuddin Ahmad dan Ketua Wanita Datuk Tan Lian Hoe. Sementara itu, Mah berkata Gerakan perlu mengkaji kelemahannya supaya dapat memperkukuhkan semula parti itu seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Katanya, kekalahan teruk parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu memberi pengajaran kepada semua anggotanya untuk melakukan transformasi. Beliau berkata, program transformasi Gerakan akan diputuskan dan diumumkan selepas parti itu mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat pada 23 November ini. -BERNAMA | ||
'Kami Menikmati Percutian Yang Menyeronokkan, Usah Bimbang' - SMS Terakhir Mangsa Sebelum Diculik Posted: 17 Nov 2013 02:09 AM PST GEORGE TOWN: Tiga jam sebelum diculik, pelancong wanita warga Taiwan, Chang An Wei menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada keluarganya bahawa dia berada dalam keadaan selamat. "Kami sedang menikmati percutian yang menyeronokkan di pulau ini. Tolong beritahu ibu, kami akan berhati-hati dan jangan bimbang," katanya dalam mesej bahasa Mandarin. Chang abang sulung, Da Gong berkata adiknya telah menghantar SMS berkenaan pada pukul 10.17 malam, Khamis lalu. Chang, 58, diculik oleh kumpulan bersenjata pada pukul 1 pagi Jumaat selepas mereka menembak mati suaminya, Hsu Li Min, 57, ketika mereka sedang bercuti di Pulau Pom Pom, berhampiran perairan Semporna, Sabah. Da Gong memberitahu Apple Daily di Taiwan bahawa keluarga mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk menyediakan wang tebusan sekiranya diminta oleh kumpulan penculik berkenaan. Dia bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut mengenainya. Da Gong dilaporkan berkata kepada akhbar berkenaan bahawa polis Taiwan telah memberitahu mereka supaya tidak menghubungi atau menghantar SMS sekiranya mereka menerima sebarang mesej atau panggilan telefon daripada kakaknya. Dia dijangka menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu, Selasa ini bersama-sama dengan keluarga Hsu untuk membawa pulang mayat mendiang. Dalam insiden yang berlaku awal pagi Jumaat lalu, kumpulan bersenjata yang tidak dikenali menyerbu tiga daripada lima vila atas air sebelum mereka menembak mati Hsu dan menculik Chang. Hsu dan Chang mendaftat masuk di resort berkenaan pada Selasa dan dijadual mendaftar keluar pada Rabu. Abang Hsu, Li Ren berharap pihak berkuasa dapat melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan Chang. "Dia tidak mati lagi, tolong lakukan apa sahaja demi menyelamatkan dia," katanya kepada Liberty Times. Li Ren berkata abangnya mungkin dibunuh kerana dia memiliki tubuh badan yang sasa. Dia berkata kumpulan bersenjata itu mungkin melepaskan tembakan kerana mereka bimbang tidak dapat menewaskan Li Min, yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter dengan berat kira-kira 100 kilogram. Li Ren berkata dia akan membawa bersama anak saudara lelakinya yang telah dianggap seperti anak kepada si mati ke Malaysia sebelum membawa pulang abu mayat Hsu. Mengenai laporan yang mendakwa pasangan tersebut belum berkahwin, Li Ren berkata pasangan berkenaan telah pun mendaftarkan perkahwinan mereka di China dan bukannya di Taiwan. Sementara itu, Timbalan Menteri Keadilan Taiwan, Chen Ming-Tang berkata beliau telah meminta jabatan berkaitan membantu keluarga mangsa yang terjejas dengan insiden berkenaan. Beliau berkata setiap warga Taiwan yang meninggalkan negara itu dengan dokumen perjalanan yang sah namun menghadapi malapetaka boleh memohon bantuan kewangan sehingga, TWD200,000. | ||
Pemimpin muda Umno panaskan hubungan Putrajaya dan Sarawak Posted: 16 Nov 2013 04:01 PM PST Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing, menuduh pemimpin muda di peringkat Persekutuan daripada Umno menimbulkan kekecohan di antara Putrajaya dan kerajaan negeri Sarawak. Beliau berkata, kurangnya persefahaman Perjanjian Malaysia dan pembentukan Persekutuan Malaysia menyebabkan mereka beranggapan mereka berkuasa. Tanpa menamakan mereka, Masing yang juga menteri kanan dalam Kabinet Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, pemimpin muda Umno itu seharusnya membaca kembali buku sejarah. "Mereka perlu diingatkan mengenai persefahaman pembentukan Malaysia, perjanjian yang ditandatangani, kedudukan Sarawak dan Sabah dan Persekutuan serta hak istimewa dan autonomi kami. "Apabila bercakap dengan kami mereka rasa mereka kuat dan menjadikan kami dari Sarawak ibarat kuli. "Secara peribadi, saya menyampah dengan pemimpin yang tidak melayan kami dari Sarawak dengan adil dalam pentadbiran," katanya. Masing berkata, beliau sedih dengan pemimpin Umno yang kerap bertanyakan soalan seperti:"Oh bila keluar Malaysia?" ketika berada di Kuala Lumpur atau Putrajaya ketika menghadiri mesyuarat. "Saya katalah saya tidak tinggalkan Malaysia. Saya hanya terbang dari Kuching. Itu mungkin kecil, tetapi ia menunjukkan pemikiran mereka. "Kami dari Sabah dan Sarawak dilihat umpama tambahan kepada Malaysia Barat. "Hanya empat tandatangan yang membentuk Malaysia - Malaya, mewakili 11 negeri Selat dan negeri Melayu, Singapura, Sarawak dan Sabah (yang dikenali sebagai Borneo British Utara). "Bukan 11,12 atau 15 tandatangan. Hanya empat. Sarawak dan Sabah adalah wilayah sendiri dan kami perlu dilayan sepatutnya," katanya. Masing berkata, jika pemimpin muda itu memahami perkara ini dan sejarah, tiada pertikaian antara Sarawak dan Putrajaya, terutama sekali apabila polisi Semenanjung tidak memasukkan Sabah dan Sarawak. Isu antara kedua-dua kawasan berkenaan, katanya, adalah seperti pengharaman penggunaan perkataan Allah oleh Kementerian Dalam Negeri bagi penerbitan Kristian. Isu berkenaan menimbulkan kemarahan 1.6 juta penganut Kristian di Malaysia Timur dan menentang Putrajaya kerana melanggar point pertama pembentukan Malaysia berhubung penyertaan Sabah dan Sarawak. "Bagaimana ia hanya di Malaysia Barat tetapi tidak terpakai di Malaysia Timur? Kenapa ada dua set undang-undang dalam satu negara? "Kemudian ada menteri Umno kata kita Malaysia Timur datang ke Semenanjung mereka perlu menghormati peraturan Malaysia Barat kerana tidak biasa dengan Kristian menggunakan kalimah Allah," katanya, merujuk kenyataan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz yang memberi amaran Kristian Sabah Sarawak tidak boleh menggunakan perkataan itu di Malaysia Barat. "Itu sombong," katanya. Autonomi imigresen Sarawak yang menimbulkan sekatan kepada penduduk di Semenanjung adalah antara isu yang dibangkitkan di Parlimen. Beliau berkata, pemimpin BN sama ada dari Semenanjung, Sabah atau Sarawak perlu membincangkan isu "secara berhemah dengan sensitiviti secara adil bukannya bos dan anak buah." "Perlu ada semangat persefahaman. Jika pemimpin kita tidak memahami Perjanjian Malaysia, maka kekhuatiran bapa pembentukan Malaysia, Tun Jugah Barieng akan berlaku," katanya. Jugah, berketurunan Iban pernah menyuarakan kekhuatiran beliau dengan berkata:" Anang Malaysia sebaka tebu, manis di pohon, tawal di hujung" (Malaysia jangan jadi seperti tebu, manis di pangkal tawar di hujung). Masing berkata, kritikan itu berhubung dengan semakan perjanjian berkenaan namun mengingatkan terma dan perjanjian pembentukan Malaysia dan menghormatinya. Pertelingkahan berkenaan, katanya, akan menghancurkan peluang Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri. Mandat kerajaan Sarawak sekarang akan tamat pada 2016. "Saya harap pemimpin pusat akan melihatnya sebagai kritikan yang membina kerana saya mahu BN terus memerintah," katanya. Rabu lalu Parlimen menolak usul tergempar Ahli Parlimen Penampang, Darrel Leiking dari PKR untuk menyemak perjanjian ke-18 dan ke-20. Timbalan Speaker Ismail Mohamed bagaimanapun menolaknya kerana tidak menganggap ia satu keperluan. | ||
Muktamar PAS ke-59 disiar secara langsung Posted: 16 Nov 2013 03:56 PM PST
KUALA LUMPUR: Perjalanan Muktamar Parti Islam SeMalaysia (PAS) ke-59 pada 22 hingga 24 November ini akan disiarkan secara langsung melalui webtv PAS (http://webtv.pas.org.my) dan juga radio internet hijau.fm terutamanya pada hari perasmian. Jabatan IT PAS Pusat (JITP) juga telah memembangunkan laman web khusus untuk muktamar PAS ke-59 pada kali ini. Seperti tahun-tahun sebelumnya, JITP ditugas mengendalikan urusan yang berkaitan dengan akses internet dan lain-lain perkara berkaitan dengan IT bagi memastikan kelicinan muktamar. Pengarah JITP Suhaimi Embong, berkata, web muktamar-59 ini boleh diakses di alamat http://muktamar59.pas.org.my meliputi aturcara, jawatankuasa, berita-berita berkaitan dengan muktamar, koleksi video dan album muktamar terdahulu serta lain-lain perkara berkaitan dengan muktamar yang akan dikemaskinikan dari masa ke semasa. "Web muktamar ke59 ini diadakan bagi tujuan untuk memudahkan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS serta rakyat Malaysia mendapat maklumat berkaitan dengan muktamar PAS melalui sumber-sumber rasmi parti secara langsung" katanya yang juga Ketua jawatankuasa IT Panitia Muktamar. | ||
Calon BN Sendiri Dedahkan FAMA Disalahguna Beri Berlori Anak Ayam Semasa Kempen Posted: 16 Nov 2013 03:51 PM PST KELAB GREENBOC KUALA LUMPUR: Calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim yang tewas pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau lalu mendakwa keputusan pilihan raya itu menggambarkan betapa sukar memenangi hati rakyat walaupun pelbagai pemberian oleh BN sepanjang berkempen. Beliau yang tampil berkongsi pengalaman berkempen pada pilihan raya itu bersama Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) semalam berkata, pengundi sebenarnya tidak mudah terpengaruh dengan pemberian itu kerana mereka sudah mempunyai calon pilihan sendiri. "Memang diakui kerajaan menggunakan jenteranya seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dengan memberikan bantuan. "Adakah kita boleh pastikan dengan bantuan seumpama itu boleh meraih undi? Jawapannya belum tentu. "Saya lihat satu kawasan itu Fama memberikan pokok pelam dan berlori anak ayam. Saya pasti jumlah undi yang diterima dengan bilangan anak ayam yang diberi tidak sama. Ia seperti memberi bola tanggung dalam bola sepak," katanya dipetik TMI. Ahmad Sohaimi turut mengakui peningkatan undi Cina kepada BN tidak berlaku kerana menurutnya jika 1,000 pengundi Cina mengundinya semasa PRK lepas maka beliau mampu memenangi pilihan raya itu. Katanya, dalam tiga acara pertemuan bersama masyarikat Cina di Sungai Limau, terdapat majlis dihadiri seramai 400 orang tetapi pengundi sebenar di kawasan tersebut hanya kira-kira 100 pengundi Cina sahaja. "Saya dan pemimpin MCA pada malam itu menyampaikan ceramah kepada bukan pengundi. Hadirin yang datang memberikan tepukan gemuruh sehingga ada yang berkata berdasarkan sokongan, BN mampu memenangi pilihan raya itu. "Itulah yang dikatakan kerana tepuk kampung tergadai. Pengundi di sana beranggapan jika BN kalah sekalipun tidak memberi apa-apa makna kerana Kedah masih bersama BN," katanya. -HD | ||
K'jaan diminta timbang jawatan senator untuk Pemuda MIC Posted: 16 Nov 2013 03:47 PM PST MALAYSIA KINI Pemuda MIC meminta kerajaan pertimbang beri jawatan senator kepada sayap itu bagi mengiktiraf sumbangan mereka kepada parti dan Barisan Nasional. Penyandang Ketua Pemuda MIC Datuk T Mohan berkata setakat ini, sayap Wanita MIC mempunyai satu jawatan senator sebagai wakil di Dewan Negara. "Peranan Pemuda MIC juga amat besar dalam memperkasa serta memperkukuhkan parti dan BN. Pemberian satu jawatan senator akan membolehkan Pemuda lebih bersuara untuk meningkatkan keperluan belia India," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan agung Pergerakan Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan, di ibunegara hari ini. Perhimpunan itu drasmikan Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel. Sementara itu, Palanivel meminta barisan calon sayap Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan, yang menang mahupun yang kalah, diminta bekerjasama secara lebih agresif demi memperkasa parti berkenaan. Beliau juga meminta kira-kira 1,200 perwakilan bagi kedua-dua sayap itu membuat pilihan bijak memilih pemimpin masing-masing, kerana ia dijangka satu persaingan yang sengit dan bakal menentukan hala tuju Pemuda dan Wanita MIC. "Inilah dua perkara yang ingin saya tegaskan bagi memajukan parti kita. Saya cuma mengharapkan pertandingan yang sihat dan selamat kali ini, dan mahu mereka yang dipilih untuk menerajui sayap Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan untuk bersatu padu dan bekerjasama secara menyeluruh dengan mengambil berat masa depan sayap-sayap itu," katanya di sidang media selepas merasmikan perhimpunan agung Pemuda dan Wanita MIC Kebangsaan 2013 hari ini Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, berkata seseorang ketua sayap perlu berjuang serta membimbing anggota-anggotanya ke arah kecemerlangan dalam semua bidang. Palanivel berkata beliau tidak pernah memberi sokongan atau restu terhadap mana-mana calon yang bertanding dan ia adalah satu tindakan tidak sihat jika mereka bertindak melampau sehingga meletakkan gambar beliau dalam poster tanpa kebenarannya. Mengenai perkembangan sayap Puteri dan Putera MIC, Palanivel berkata pemilihan bagi kedua-dua sayap itu tidak diadakan kali ini mereka hanya mempunyai kira-kira 300 anggota sahaja. Ketua Pemuda MIC Datuk T Mohan tidak mempertahankan jawatan kerana telah melebihi tahap syarat usia manakala Ketua Wanita (penyandang) Datin Paduka Komala Krishamoorthy, juga tidak bertanding kerana mahu berundur dari arena politik. Pemilihan ketua Pemuda dan Wanita MIC masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu. Untuk jawatan ketua pemuda, pertandingan adalah antara Timbalan Ketua Pemuda V. Mugilan dan Setiausaha pergerakan C. Sivaraajh, manakala saingan bagi ketua Wanita membabitkan Setiausaha Wanita MIC kebangsaan M.Vickneswari dan anggota jawatankuasa kerja pusat (CWC), Mohana Muniandy. Mereka juga akan memilih dua wakil masing-masing untuk ke CWC, 12 anggota majlis kebangsaan dan 35 perwakilan ke perhimpunan agung parti yang dijadual diadakan di Melaka pada 30 November ini.- Bernama | ||
Kes Belasah Zahid Hamidi-Bazli: Terma Penyelesaian Bakal Terbongkar! Posted: 16 Nov 2013 03:45 PM PST Terma penyelesaian luar mahkamah kes belasah antara Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ahli perniagaan, Amir Bazli Abdullah akan didedahkan kepada umum pada 5 Disember ini. Ia berikutan arahan Mahkamah Tinggi pada Khamis baru-baru ini kepada Amir Bazli supaya hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku sepanjang proses pengantaraan empat bulan lalu. Peguam Amir Bazli, Karpal Singh, memberitahu The Malaysian Insider, Hakim Vernon Ong sudah mengeluarkan arahan di dalam kamar selepas pertemuan dengan wakil peguam kedua-dua pihak. Ahmad Zahid diwakili oleh peguam Datuk Shashi Menon. Bulan lalu, Karpal menulis permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk membuka semula kes anak guamnya, Amir Bazli yang menyaman Menteri Dalam Negeri itu. Pada 18 Julai, Ahmad Zahid dan Amir Bazli bertemu dengan pengantara, Rohani Ismail, yang juga seorang hakim Mahkamah Sesyen di Shah Alam. Sejurus selepas pertemuan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan kes itu di luar mahkamah tetapi wakil peguam kedua-dua pihak tidak dimaklumkan mengenai terma penyelesaian. Rohani dikatakan memberitahu kedua-dua pihak supaya merahsiakan terma penyelesaian tersebut. Bagaimanapun, Karpal tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut memandangkan perbicaraan kes saman Amir Bazli sudah ditetapkan pada bulan Ogos lalu. Amir Bazli hilang selepas 18 Julai dan tidak menghubungi Karpal sejak itu. Karpal tidak berpuas hati kerana perkara tersebut disembunyikan daripadanya. Beliau berkata, hakim Mahkamah Tinggi hendaklah dimaklumkan mengenai perkara sebenar yang berlaku semasa proses pengantaraan walaupun kes itu dikatakan sudah selesai. "Hakim perbicaraan akan merekodkan status kes itu dan kemudian membatalkan perkara tersebut jika kedua-dua sememangnya menyelesaikan tanpa perbicaraan. "Biarlah dia (Amir Bazli) datang ke mahkamah sendiri dan memberitahu hakim apa yang berlaku. Jika dia berpuas hati dengan terma penyelesaian, biarlah ini direkodkan untuk menutup kes tersebut. Jika tidak, tarikh perbicaraan baru boleh ditetapkan," katanya. Selepas penyelesaian luar mahkamah dicapai, Ahmad Zahid berkata, Amir Bazli meminta maaf kepadanya. Amir Bazli, 41, memfailkan tuntutan saman pada 4 Julai, 2007 dengan mendakwa Ahmad Zahid menumbuknya di muka pada 16 Januari 2006 di Kelab Reakreasi Country Heights di Kajang, menyebabkan kecederaan tulang hidungnya dan mata. Beliau mendakwa, Ahmad Zahid turut mengugut membunuhnya dan menahannya tanpa kebenaran di kediaman menteri itu di Country Heights dan meminta ganti rugi kerosakan khas, umum dan teruk. Bagaimanapun, Ahmad Zahid menafikan pertuduhan itu dan mendakwa Amir Bazli mereka-reka cerita berkenaan, sebelum memfail saman balas terhadap Amir Bazli. Amir Bazli juga membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid tetapi tiada apa-apa tindakan diambil menyebabkan ahli perniagaan itu memfailkan saman. -TMI | ||
Dr Subramaniam menang tanpa bertanding timbalan presiden MIC Posted: 16 Nov 2013 03:34 PM PST MALAYSIA KINI Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam menang tanpa bertanding jawatan timbalan presiden MIC bagi penggal 2013-2016 selepas penamaan calon ditutup hari ini. Keputusan itu diumumkan oleh Presiden parti Datuk Seri G Palanivel selepas proses pencalonan selama dua jam di ibu pejabat MIC ditutup pada pukul 6 petang. Pengumuman itu disambut sorakan kira-kira 1,500 penyokong dan perwakilan yang berkumpul di ibu pejabat parti sejak tengah hari, dan mereka kemudiannya menyerbu ke arah Dr Subramaniam yang berada di pentas utama untuk menyampaikan ucapan tahniah dan memberi kalungan bunga. Ini merupakan kali pertama Dr Subramaniam bertanding bagi merebut jawatan itu selepas dilantik menjawat jawatan nombor dua parti pada 2010. Pada pemilihan 2009, Dr Subramaniam menang jawatan naib presiden sebelum dilantik sebagai timbalan presiden oleh Palanivel pada tahun berikut selepas persaraan Datuk Seri S Samy Vellu. Pada 1 September lepas, Palanivel menang tanpa bertanding jawatan presiden parti. Pada sidang media selepas pengumuman tersebut, Dr Subramaniam berkata beliau akan terus bekerjasama dengan presiden parti untuk memperjuangkan hak masyarakat India terutamanya dalam segi pendidikan, pembangunan sosial dan ekonomi. "Kita akan terus bekerjasama dan mendokong transformasi yang dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta menyatupadukan masyarakat India untuk kembali semula kepada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 nanti," katanya. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada akar umbi parti yang terus meletakkan kepercayaan kepadanya untuk membantu memperkasakan kepimpinan parti, demi meneruskan perjuangan untuk masyarakat India. Dalam pada itu, seramai lapan calon akan bertanding merebut tiga jawatan naib presiden manakala 88 calon akan bertanding merebut 23 kerusi dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC). Pemilihan parti akan berlangsung sempena Perhimpunan Agung parti di Melaka pada 30 November ini. Dr Subramaniam menasihatkan semua calon yang bertanding supaya mengamalkan politik bersih semasa berkempen dan tidak terbabit dengan sebarang gejala tidak sihat seperti amalan politik wang. Beliau juga memberi peringatan kepada lebih 1,500 perwakilan supaya membuat keputusan bijak memilih calon naib presiden dan anggota CWC dengan memilih calon berkelayakan, bertanggungjawab dan berkebolehan dalam usaha membawa pembaharuan kepada parti itu. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan