Sabtu, 23 November 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Perwakilan PAS Kedah dedah sebab Kedah terlepas ketangan BN

Posted: 23 Nov 2013 07:01 AM PST


Masalah dalaman yang semakin membarah dalam pentadbiran PAS Kedah menyebabkan parti Islam itu kehilangan negeri berkenaan kepada Barisan Nasional (BN) ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu, kata perwakilan Muktamar PAS hari ini.

Perwakilan PAS Kedah, Nasir Zakaria ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui, tanpa kawalan, pertelingkahan dalaman berkenaan turut bakal menjadi punca tewasnya PAS Kedah dalam Pilihan Raya Umum-14 akan datang.

"Kita mengakui salah satu faktor daripada kekalahan adalah faktor dalaman yang menyebabkan tumbangnya negeri Islam Kedah ini," katanya ketika berucap.

"Kedah menyedari dan mengakui kekalahan PAS dan Pakatan Rakyat pada PRU13 baru-baru ini, supaya jangan diulangi lagi kekalahan yang menyakitkan ini," katanya ketika Muktamar Tahunan ke-59 PAS di Shah Alam.

Katanya, perkara itu tidak seharusnya berulang, dan PAS Kedah perlu memuhasabah diri melalui Jawatankuasa Post Mortem.

"Sudah tentulah masalah yang dialami anak-anak tidak boleh diselesaikan oleh anak-anak. Sudah tentulah masalah ini juga perlu dileraikan oleh mak dan Ayah.

"Sudah tentulah Ayah perlu mengambil tindakan yang pants, tepat, dan adil untuk kita redakan masalah yang berlaku," tambahnya.

Beliau turut berkata, PAS dilihat sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai kemampuan membela nasib orang Melayu dan kekurangan tokoh dalam menerajui parti.

"PAS memiliki dua unsur berbanding lima ciri dimiliki Umno, ciri PAS adalah membela Islam, tetapi (dilihat) tidak membela Raja, tidak dilihat prihatin kepada rakyat, tidak dilihat mempunyai tokoh untuk masyarakat setempat dan juga PAS dilihat tidak begitu," katanya.

Justeru, beliau mengharapkan agar golongan professional dalam PAS memainkan peranan mereka menyalurkan permasalahan berkenaan ke tempat sepatutnya.

"Dan dalam masa sama, golongan professional kita perlu bertindak untuk menyampaikan masalah ini untuk disampaikan kepada saluran-saluran yang tepat dan sampai kepada pengundi-pengundi teras iaitu Melayu dan Bumiputera," katanya.

Beranike perwakilan (yg pergi) nak turunkan Anwar dari jawatan Ketua Umum dalam Kongres Khas PKR esok?

Posted: 23 Nov 2013 12:30 AM PST


Dalam Kongres khas PKR yang telah diadakan pada 13 June 2009 telah diluluskan pindaan perlembagaan parti.

Antara pindaannya ialah menghadkan tempoh presiden, menambah jumlah naib presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Dengan sokongan lebih dua pertiga perwakilan, 941 perwakilan bersetuju dengan pindaan itu, 103 menentang dan sembilan lagi bersikap berkecuali, pindaan itu diterima selaras dengan apa yang di peruntukan dalam Perkara 31.1 perlembagaan PKR.

Bagi mengelakkan Presiden yang dipilih memegang jawatan Presiden untuk tempoh yang lama.. serta bagi mengelakkan apa yang berlaku di parti-parti lain contohnya UMNO berulang di PKR, tempoh yang telah ditetapkan bagi Presiden memegang jawatan itu ialah maksimum tiga penggal atau selama sembilan tahun.

Dan pada 4 April 2013 yang lalu KEADILAN telah mencapai genap usia 14 tahun selepas ditubuhkan pada 4 April 1999.

Jadi selama 14 tahun itulah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah menjadi Prediden bagi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang pada mulanya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

Oleh itu jika berpegang kepada perlembagaan yang telah diluluskan itu.. Presiden yang ada sekarang telah tamat tempoh perkhidmatannya.. sepenuhnya sila baca di SINI

Adakah kita akan menyaksikan usul yang telah diluluskan ini akan dibakul sampahkan pula?.. Atau perlembagaan akan dilanggar?

Dalam masa yang sama... adakah para perwakilan berani untuk menurunkan Anwar dari jawatan Ketua Umum kepada Presiden?

Perlu diketahui.. Jawatan Ketua Umum tidak boleh dicabar sebab ianya adalah lantikan tetapi jawatan bagi Presiden boleh dicabar... he.. he.. he.. 


PKR akan mengadakan satu kongres khas esok yang mungkin akan menentukan sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Ketua Umum tidak dipilih, atau mengambil alih jawatan presiden parti, satu isu yang menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin utama, kata sumber dalaman parti itu.

Mereka berkata, pada ketika ini jawatan Ketua Umum tidak berada dalam perlembagaan dan PKR tidak akan memasukkannya dalam perlembagaan parti itu untuk Anwar.

"Jika jawatan Ketua Umum diperlembagakan dalam parti, PKR akan berhadapan dengan RoS yang 'kejam' dengan parti komponen Pakatan Rakyat (PR)," kata seorang pemimpin PKR kepada The Malaysian Insider di Kuala Lumpur merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan.

"Ini akan memaksa Anwar untuk mengambil alih jawatan Presiden PKR daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail," katanya.

Peranan Anwar menjadi topik perdebatan di antara dua kumpulan dalam PKR, dengan ramai berkata beliau perlu membuat keputusan untuk mengelakkan pertembungan lebih besar dalam parti itu.

Sumber itu memberitahu, satu kumpulan mahu Anwar terus kekal sebagai Ketua Umum dan jawatan itu dijadikan sebagai jawatan rasmi dalam pindaan perlembagaan kali ini.

Ini akan menyebabkan Dr Wan Azizah terus kekal sebagai presiden.

Sementara kumpulan kedua mahu Anwar menjadi presiden parti itu dan Dr Wan Azizah direhatkan selepas sekian lama memegang pucuk pimpinan sejak Ketua Pembangkang itu dipenjarakan pada 1998.

Bagaimanapun, sesetengah pemimpin parti percaya, mengambil alih jawatan presiden PKR akan menimbulkan kerumitan kepada Anwar dalam struktur kepimpinan PR.

"Sesetengah pihak percaya, kedudukannya akan tergugat sebaik sahaja mengambil alih jawatan presiden kerana pada ketika ini, kedudukannya di atas semua pihak. Jika beliau menjadi presiden PKR, kedudukan Anwar akan menjadi sama taraf dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng," kata sumber itu lagi.

Sementara kumpulan kedua percaya Anwar sebagai presiden PKR tidak akan menimbulkan masalah kerana PAS dan DAP sudah menerima Anwar sebagai calon Perdana Menteri jika PR berjaya menawan Putrajaya.

Seorang wakil rakyat PKR memberitahu, kebanyakan ahli parti mahu melihat Anwar menjadi presiden supaya parti itu lebih mantap dan kukuh kerana jawatan Ketua Umum tidak jelas dan terikut-ikut dengan struktur parti politik di Indonesia.

"Jawatan Ketua Umum dulu diwujudkan kerana selepas dibebaskan daripada penjara, Anwar mempunyai halangan undang-undang daripada memegang jawatan politik, kini halangan sudah tiada.

"Jadi tiada sebab lagi untuk Anwar tidak memimpin PKR sekarang," kata wakil rakyat PKR itu dan menambah Dr Wan Azizah pernah memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 2008.

Kongres khas PKR yang akan diadakan di Selangor esok antara lainnya akan melakukan perubahan yang akan memudahkan ahli untuk bertanding jawatan dalam parti itu.

"Selepas kongres khas ini, seseorang yang ingin bertanding jawatan tertinggi PKR tidak lagi memerlukan pencalonan daripada cabang.

"Cukup dengan seorang penyokong dan pencadang, mereka sudah boleh menjadi calon," kata Naib Presiden PKR, Chua Tian Chang yang lebih terkenal dengan nama Tian Chua.

PKR menang 30 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu, kurang satu kerusi berbanding pencapaian mereka pada 2008.

Sementara DAP mempunyai 38 kerusi dan PAS mendapat 21 kerusi di Dewan Rakyat ~ The Malaysian Insider

Sebab apa aku kata Anwar mungkin diturunkan dari jawatan Ketua Umum tu.. lihat ni..



Pasal tajuk tu.. "Beranike perwakilan PKR (yg pergi) nak turunkan Anwar dari jawatan Ketua Umum dalam Kongres Khas PKR esok?..".. aku letakkan dalam kurungan tu 'yang pergi' .. sebabnya akupun perwakilan tapi malas nak pergi...

Jemput artis K-Pop beri pulangan RM140 juta kata Shabery.. boleh percaya ke?

Posted: 22 Nov 2013 11:00 PM PST


Keputusan Kementerian Belia dan Sukan memanggil artis K-Pop dari Korea Selatan dengan bayaran RM1.6 juta pada sambutan Hari Belia 2012 sebenarnya berjaya memberi pulangan berlipat kali ganda kepada negara iaitu sebanyak RM140 juta.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar), berkata itu antara kejayaan utama yang dapat dinilai daripada segi pulangan wang ringgit kepada negara hasil keputusan Kementerian Belia dan Sukan yang diterajuinya tahun lalu.

Katanya, daripada sudut lain yang tidak dapat diukur dengan wang ringgit pula, ia merupakan suatu inovasi dalam menarik minat golongan belia terhadap aktiviti yang dianjurkan kerajaan.

"Sambutan Hari Belia itu berjaya menarik lebih daripada 2.4 juta pengunjung," katanya pada sidang akhbar selepas berjumpa dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di pejabat jawatankuasa itu di Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata,kerana daya tarikan K-Pop, ia menyemarakkan sambutan Hari Belia itu sehingga mendapat tajaan yang besar daripada pihak swasta.

Ahmad Shabery berkata, ini termasuk tajaan yang memberikan nilai pulangan sehingga RM26 juta yang dianjurkan Telekom Malaysia dan ada pula tajaan yang memberikan pulangan RM1.9 juta atau keuntungan dalam bentuk tunai setinggi RM2.3 juta tetapi keuntungan sebenar datang dalam bentuk beransur-ansur.

"Saya beritahu mereka, jangan melihat tentang isu K-Pop secara berasingan, acara yang dibuat ialah hala tuju belia secara besar. K-Pop hanya menjadi satu daripada 500 acara yang dibuat sempena Hari Belia itu dan telah berjaya menarik lebih daripada 2.4 juta pengunjung.

"Kalau Brazil ada Karnival Rio, Jerman ada Oktober Fest, biarlah Malaysia mempunyai satu hari yang bersifat ikonik iaitu festival Hari Belia itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, tiga kumpulan K-Pop yang dipanggil itu merupakan antara 10 kumpulan paling popular di Korea Selatan tetapi untuk mendapatkan tempahan, sejumlah deposit daripada RM900,000 perlu dibayar.

Katanya, isu yang dipolitikkan ialah isu deposit pendahuluan yang menggunakan duit kerajaan tetapi secara keseluruhan, program artis K-Pop itu berjaya mendapat tajaan daripada pihak swasta berjumlah RM2.3 juta.

PAC pada Khamis mendapati tiada sebarang salah laku dalam isu pembayaran RM1.6 juta kepada artis K-Pop dari Korea Selatan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Ahmad Shabery tahun lalu.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ini kerana segala pembayaran semasa sambutan Hari Belia 2012 itu mengikut prosedur pembayaran.

"PAC berpuas hati dengan penjelasan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek," katanya pada sidang akhbar lain.

Ahmad Shabery menemui jawatankuasa itu bagi memberi penjelasan berhubung bayaran itu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ahmad Shabery secara sukarela berjumpa dengan PAC yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan penjelasan dan bukannya dipanggil oleh PAC bagi memberi keterangan.

"PAC tidak bercadang untuk memanggil Ahmad Shabery kerana penjelasan yang diberikan sudah memadai," kata Nur Jazlan.

Nur Jazlan berkata, jawatankuasa itu tidak mendapati sebarang salah laku dalam isu pembayaran K-Pop, cuma berlaku salah faham mengenai prosedur pembayaran.

"Saya rasa, jawapan daripada menteri memuaskan. Pada pandangan saya dan jawatankuasa saya yang terdiri daripada kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, beliau (Ahmad Shabery) memberikan (penjelasan) secara keseluruhan mengenai dasar dan proses Hari Belia yang dijalankan," katanya.

Pengerusi PAC itu berkata, bajet yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan semasa diterajui Ahmad Shabery untuk Hari Belia 2012 dahulu amat sesuai dengan dasar kerajaan yang mahukan setiap ringgit yang dibelanjakan perlu memberi pulangan sekali ganda atau lebih.

"Sejumlah RM1.6 juta dikeluarkan untuk membawa masuk tiga artis K-Pop dari Korea Selatan. Daripada jumlah itu sebanyak RM900,000 merupakan bayaran untuk artis dan bakinya merupakan kos dalam bentuk cukai, pengangkutan, penginapan yang diuruskan syarikat promoter," katanya.

Masalahnya ramai pihak hanya melihat kepada skop yang sensasi iaitu artis K-Pop itu sendiri sedangkan kumpulan artis itu hanya menjadi modal tarikan untuk mendatangkan keuntungan yang lebih besar pada Hari Belia itu sendiri yang disifatkan oleh Nur Jazlan sebagai berjaya dan mencapai matlamat.

"PAC akan menyediakan perincian mengenai isu pembayaran artis K-Pop dan Hari Belia 2012 melalui satu laporan khas yang akan dibentangkan kepada umum selewat-lewatnya awal tahun depan," katanya. - Bernama

Dr. Asri penganut ajaran sesat Wahabi? Nih jawapan Dr. Asri terhadap fitnah Mufti Kedah..

Posted: 22 Nov 2013 06:32 PM PST


Ada pihak menunjukkan kepada saya satu rakaman fitnah yang sedang disebarkan, yang dibuat oleh Dato' Badaruddin Mufti Negeri Kedah. Walaupun pada asasnya beliau bercakap tentang nama satu pihak dan isu wahabi namun dalam celahan sepintas lalu beliau menyebut nama saya.

Bagi mengulas hal ini, saya menyebut beberapa perkara berikut;

... Sebelum itu untuk mengelakkan korang tertanya-tanya apa hal pulak nih?.. tengok video di bawah ni dulu...


Ni sambungan jawapan Dr. Asri..

1. Adapun tuduhan beliau kepada aliran wahabi, itu urusan beliau dengan mereka. Pun begitu, saya katakan bahawa walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan beberapa pandangan ulama Saudi, tapi menuduh puak yang berbeza dengan sewenang-wenang perlulah berhati-hati. Ada kiraan dosa dan pahala di sisi Allah. Saya fikir sebodoh mana pun muslim tidak akan berkata bahawa 'Allah memegang najis', 'Allah macam kera'.

Tiada siapa yang dapat menerima perkataan yang seperti itu. Apakah mungkin untuk kita berkata kepada mereka yang menjadi imam-imam di Masjidil Haram dan Masjid Nabi ada kepercayaan yang seperti itu. Walaupun mungkin ada beberapa perkara yang kita tidak setuju dengan mereka, tidak wajar membuat 'tembakan rambang' kepada mereka.

2. Ada pun beberapa fitnah yang beliau sebut dan seakan macam saya juga bersetuju dengan hal itu maka katakan WALLAHI, wa BILLAH wa TALLAHI itu adalah fitnah beliau semata. Beliau hendaklah membuktikan tuduhan-tuduhan beliau samada melalui rakaman atau tulisan saya sendiri. Satu akhlak yang buruk bagi sesiapa yang menuduh orang tanpa bukti yang boleh dijadikan asas.

 3. Isu tidak mengiktiraf keberkatan Nabi s.a.w dan menafikan boleh mengambil keberkatan Nabi s.a.w (tabarruk) termasuk tentang rambut Nabi s.a.w jika hendak dikaitkan dengan saya, adalah dusta. Sesiapa yang menonton video saya di youtube bertajuk: "Memburu Barakah" akan mengetahui pendirian saya tentang hal tersebut. Saya tidak nafikan tetapi berusaha memberikan makna dan panduan.

4. Isu tidak membenarkan orang solat tarawih lebih dari lapan rakaat bahkan menyatakan Perlis tidak membenarkan dan menganggap masuk neraka sesiapa yang bersolat lapan rakaat ke atas, adalah fitnah beliau yang beliau bertanggungjawab di hadapan Allah. Sejak sekian lama artikel saya bertajuk "Kekeliruan Tentang Solat Tarawih" yang di siar di web saya (Minda Tajdid), Akhbar Sinar Harian dan pelbagai laman web menyebut -antara lain- tentang solat tarawih: "Saya bersetuju dengan pendapat bahawa tiada had rakaat yang ditetapkan oleh Nabi s.a.w. dalam hal ini. Seseorang beribadah berdasarkan kemampuannya. Nabi s.a.w tidak pernah menetapkan, bahkan memberikan keluasan dalam hal tersebut dengan menyatakan solat malam dua rakaat, dua rakaat sehingga apabila hendak masuk subuh berwitirlah".

5. Isu tentang kononnya menyamakan Allah dengan makhluk seperti manusia dan kera adalah pembohongan dan fitnah beliau yang amat besar. Beliau boleh cari di manakah kenyataan yang seperti itu dalam tulisan ataupun ucapan saya yang begitu mudah di dapati di dunia siber. Tetapi hendaklah dipastikan ucapan dan tulisan yang tidak diedit dan dalam konteks yang betul. Jawapan saya dalam masalah 'Arasy umpamanya sama dengan apa yang Hasan al-Banna sebut dalam 'Usul al-'Isyrin', apa yang Sayyid Qutb sebut dalam Zilal al-Quran dan Dr Wahbah al-Zuhaili sebut dalam Tafsir al-Munir (lihat tafsir ayat 54, Surah al-'Araf). Saya sebut nama-nama itu kerana mereka dikenali oleh orang melayu. Jawapan yang sama disebut oleh TG Nik Abd Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh yang lain. Sila tonton pelbagai video saya dalam hal ini.

6. Menuduh orang secara dusta adalah dosa yang besar. Saya akan bertemu dengan beliau di mahkamah Masyar dan juga Allah ada urusan dan tindakanNYA di dunia ini. Saya meminta beliau menarik balik kaitan itu, jika beliau rasa beliau tersilap ataupun diberikan maklumat yang salah.

Sabda Nabi s.a.w:

"Sesiapa yang ada padanya kezaliman terhadap saudaranya (muslim yang lain); seperti terhadap maruah dan selainnya, mintalah halal pada hari ini sebelum tiba waktu yang tidak ada dinar dan dirham (Hari Kiamat). Sekiranya baginya kebaikan (amalan soleh) maka akan diambil darinya dengan kadar kezalimannya. Jika tiada baginya kebaikan, maka akan diambil dos orang yang dizalimi lalu ditanggung ke atasnya" (Riwayat al-Bukhari). 

7. Jika tidak, saya mengajak beliau BERMUBAHALAH iaitu bersumpah laknat atas nama Allah. Jika saya menyebut seperti tuduhan-tudahan beliau maka laknat Allah ke atas saya. Jika tidak, maka laknat Allah ke atas beliau.

8. Saya pohon kemaafan kerana terpaksa menjawab secara terbuka kerana tuduhan beliau disiarkan terbuka.

9. Kepada Allah kembali segala urusan. Sabda Nabi:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sesungguh antaranya dengan Allah tiada sebarang hijab (penghalang)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Dalam riwayat Ahmad, baginda bersabda:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang jahat. Kejahatannya itu bagi dirinya" (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani). 

Dalam riwayat Ahmad yang lain:

"Takutlah kamu doa orang yang dizalimi, sekalipun dia seorang yang kafir kerana ia tidak ada hijab (penghalang untuk Allah menerimanya). (hadis ini dinilai hasan oleh al-Albani)

~ Minda Tajdid

Tiada ulasan: