Selasa, 19 November 2013

ANAK SENGAT

ANAK SENGAT


PERKUKUH KEDUDUKAN ULAMA DALAM PAS..

Posted: 18 Nov 2013 08:55 PM PST


ADALAH benar seperti yang diwas- waskan oleh Salahuddin Ayub bahawa betapa fokus PAS ialah sebagai masa depan negara, gagah dan mampu bersaing secara sihat bersama sekutu dalam Pakatan Rakyat.
Dan jangan lupa ia mesti sentiasa gagah bersama ulama dalam semua masa dan suasana tanpa was-was.



Inilah komitmen yang perlu ada pada setiap warga PAS daripada pemimpin, pelapis, ahli dan penyokongnya.

Ia tidak sekadar wawasan seorang Mursyidul Am dan Presidennya, atau cita-cita besar yang mulia seorang calon jawatan penting dalam pimpinan parti, akan berbuat sedaya mungkin bagi mengutarakannya kira diberi amanah oleh muktamar, tetapi ia mestilah menjadi azam untuk semua baik diberi amanah oleh parti atau tidak cukup undi bagi jawatan yang ditandingi.

Salahuddin mewawaskan itu yang akan diketengahkan kiranya dia terus diberi amanah, ia juga adalah fokusnya kiranya amanah itu diberi melalui orang lain, kerana orang lain juga jangan mengira ia ada wawasan yang lain jika diberi amanah.

Semua mesti bersetuju bahawa saranan Salahddin itu adalah tanggungjawabnya baik dia jadi Naib Presiden lagi atau tidak, dan itulah tanggungjawab semua baik berjawatan atau pun tidak mengikut peluang dan ruang yang dibenarkan.

Masa depan PAS adalah bergantung kepada kemampuannya menjadi sebuah parti yang gagah. Parti yang gagah itu bukan sekadar ahlinya yang ramai dan sekaliannya bekerja kuat, ia mesti sentiasa ada barisan pemimpin berwibawa disegani dan dihormati oleh semua.

Sebelum pemimpin dan warga PAS disegani dan dihormati oleh lawan, mereka boleh menggembira dan membanggakan sekutunya dan senang dengan wibawanya.

Apapun lebihnya PAS daripada parti-parti lain adalah ulamanya.
Ia ada ulama yang ramai dan ia adalah jelapang ulama. Ulama tidak banyak pergi ke tempat lain jika hendak berperanan melainkan mesti bersama PAS. Sehebat ulama dalam PAS baik pernah menjadi pemimpin PAS atau se bagai yang tidak ke depan, apabila pergi ke tempat lain hilanglah hebatnya dan berakhir di kaki lima di tempat itu.

PAS saja tempat ulama berperanan jika masing-masing hendak memanfaatkan ilmu dan status wibawa ulamanya. Ilmunya tidak berguna di tempat lain. Ulama berguna dalam PAS dan ilmunya berguna pada PAS dan masyarakat seluruhnya. Di tempat lain ulama dan ilmunya dipergunakan.
Inilah pengalaman yang ulama alami sejak sebelum merdeka dan sesudah merdeka. Sebelum PAS lahir kehadiran ulama dalam partiparti politik yang ada ketika itu tidak lebih meramaikan keahlian saja, tetapi yang diminta daripada mereka ialah tarikh yang baik sebagai hari kemerdekaan. Bukan ditanya hala tuju yang baik untuk negara dan rakyat.

Dan hebatnya PAS dari dulu dan sekarang ialah adanya ulama yang berperanan. Ketika ulama nya diletakkan di tempat yang 'secondary' menjelang pembentukan kerajaan campuran PAS-Perikatan dan semasa dalam Barisan Nasional, maka dan ulamanya berdepan dengan fitnah yang besar hingga melumpuhkan jemaah itu. Ada ahlinya bersikap pasif mendiamkan diri dan ada yang membentuk parti serpihan dan ada juga yang bergiat dalam NGO.

Paling besar fitnahnya ialah ada yang merasa sedap dengan nikmat yang sedikit melalui Barisan Nasional lalu lalu terus di situ sekalipun PAS telah kembali ke kedudukannya yang asal setelah keluar daripada BN.

Kelahiran konsep kepimpinan ulama tahun 1982 oleh kalangan Pemuda PAS yang radikal tahun 1982 berjaya mengembalikan kepada bukan saja pada kedudukannya yang asal, malah muncul sebagai parti alternatif di kalangan orang Islam.

Bukan saja muncul pasukan ulama yang dinamik untuk memimpin parti itu, bahkan ia me narik ramai golongan profesional hingga Umno ikut cemas hingga kini betapa profesional yang bersama PAS lebih ramai daripada yang bersama Umno. Ada pun yang bersma Umno adalah orang yang mencari seperti kumbang menyeri bunga, tetapi yang bersama PAS adalah untuk menyumbangkan jiwa raga kerana agama dan keadilan.

Menjelang akhir alaf lalu dan permulaan alaf baru PAS muncul sebagai gerakan Islam yang penting di rantau Asia Tenggara, menyamai kedudukan Masjumi sebelum diharamkan oleh Sukarno.
Kerabat Masjumi seperti Pak Mawaradi Noor dan cendekiawan Indonesia seperti Daliar Nur dan Imamudin melihat PAS sebagai gerakan yang dinamik. Yang mempersonakan Pak Mawardi tentang PAS ialah wujudnya sekumpulan pimpinan ulama yang berfungsi.

Kekurangan bagi Indonesia untuk menyaingi PAS apabila wujud keterbukaan demokrasinya ialah siapakah kepimpinan ulamanya.

Itulah kerisauan pengamat ulung dari Indonesia.

Berapa pun setiap yang pasing ada surutnya. Bulat ulama PAS tidak sentiasa pasang. Surut yang melandanya sekarang. Sekali pun ia surut tetapi PAS tidak mati dan ulamanya juga tidak mati. Ia tetap bernyawa dan bernafas. Parti itu tidak lumpuh tetapi kelajuannya ada pada gear tiga, tidak gear empat.

Ujian yang PAS lalui itu boleh diatasi dengan memperkasa ulamanya dan keyakinan semua kepada ulamanya. Jangan terdetik sedikit pun di kalangan warganya betapa kepimpinan ulama sudah tidak releven lagi buat parti itu.

Jangan ada sekecil hama dalam kalbu penyokong parti berfikir bahawa ulama tidak sesuai bagi memperkasa masa depan PAS.

Bagi mengukuh kemampuan PAS sebagai parti masa depan negara seperti yang diwawaskan oleh Salahddin ia mestilah memperkasa PAS bersama ulama. Mungkin takrif kepimpinan ulama itu boleh diselarikan dengan suasana dari semasa ke semasa, tetapi dinamisma ulama itu jangan dipertikaikan.
Fokus PAS sekarang bukan sekadar memperkasakan PAS tetapi mesti memberikan penuh perhatian bagi memperkasakan ulama kalau tidak lebih hebat dari tahun 1982 biar ia jangan kurang dari tahun 1982.

Yang menggagahkan PAS tahun 1982 bukan semata-mata justeru pemullihan semangat kaum ulamanya, tetapi dukungan ahli-ahli PAS seluruhnya, ulama dan bukan ulama, orang yang panjang tahajudnya dan banyak puasa sunatnya, orang yang solat sekadar lima waktu saja dan kurang puasa sunat, sekaliannya bangun menobatkan ulama.

Bukankah kepimpinan ulama inilah yang membuka pintu pendedahan PAS kepada bukan Islam kira-kira tiga tahun selepas konsepnya diperkenalkan. Sekalipun kepimpinan pengasasnya Haji Ahmad Fuad tidak terserlah dalam sejarah PAS, ulama ini mengingatkan PAS supaya mengambil kira kewujudan masyarakat bukan Islam dapat politik Tanah Melayu jika PAS mahu berperanan.

Dan bukankah ulama Prof Zulkifli Mohamad sebagai Timbalan Yang Dipertua Agung PAS membawa ke muktamarnya bagi membuka pintu PAS waga bukan Islam sebagai ahli bersekutu sebagai langkah menjadi kewujudan PAS relevan dalam politik negara. Usaha beliau belum diterima oleh PAS masa itu hinggalah pandangan juahnya menjadi kenyataan sekarang.

Peranan masa depan PAS sekarang ialah seluruh warganya berdiri teguh di belakang pemimpin mengambil langkah bagi menjadikan ulama mampu menjadi tunggak yang memperkasakan PAS.
Jangan biarkan ulama mencari kekuatan bagi mendaulatkannya semula, tetapi PAS sendiri menupukan tenaga memulihkan keperkasaan ulama. PAS akan kukuh bersama ulama lebih cepat daripada ia kuat dulu kemudian baru ulama kuat.

Kedua-duanya mest sama-sama kuat. Kelesuan ulama menjadikan PAS tidak ada kelebihan daripada parti-parti lain.


 Oleh Subky Latif

Tiada ulasan: