SIASAH |
Malaysia dan persaingan global Asia-Pasifik Posted: 14 Oct 2013 06:05 AM PDT Sejak awal sejarah, Malaysia dan Semenanjung Tanah Melayu sentiasa menjadi laluan, tempat pertemuan dan destinasi pelbagai pihak di dunia, dari sebelah barat dan juga timur. Kedudukan geografi Malaysia yang strategik telah menjadikan negara ini tumpuan pelbagai pihak untuk pelbagai tujuan, termasuk menyebarkan dan meluaskan pengaruh masing-masing. Dalam perkembangan politik semasa dunia, Malaysia kini terpaksa mengimbangi persaingan global yang sengit melibatkan kuasa-kuasa utama dunia, yang berupaya menggunakan pengaruh dengan pelbagai cara. Amerika Syarikat telah menamakan masa kini sebagai "abad Pasifik" bagi kuasa besar itu, masa untuk menumpukan sumber-sumber "diplomatik, ekonomi dan strategi" di rantau Asia-Pasifik, rantau yang kini mengambil peranan sebagai "pemandu penting politik global." Malaysia, bersama Indonesia, India dan China kini sedang menyaksikan kebangkitan pantas dalam pelbagai bidang, sekaligus menarik perhatian kuasa besar AS yang sentiasa memerhatikan sebarang perubahan demi memelihara kepentingannya. AS bersaing sengit dengan China di rantau ini, dan Malaysia terletak di tengah-tengah persaingan ini, sebagai rakan politik dan perdagangan yang penting kepada kedua-dua pihak. Walaupun pada masa sama saling memerlukan dan menjadi rakan dagang, AS dan China menjadikan rantau Asia-Pasifik ini sebagai medan persaingan terpentingnya pada masa ini. Pertikaian di Laut China Selatan meletakkan Malaysia dalam keadaan berpotensi bertembung dengan China dan menjejaskan hubungan yang selama ini dalam keadaan baik. Malaysia ialah sekutu rapat AS, terlibat dalam kerjasama pertahanan bersama sekutu-sekutu lain di rantau Asia-Pasifik, dan pada masa sama menjaga hubungan yang tidak kurang penting dengan China yang berada di rantau ini. Beijing pada masa sama menunjukkan pengaruhnya ke atas negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Asean, seperti Kemboja, pengaruh yang akhirnya boleh menjejaskan Asean sebagai sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai amat harmoni. Pengaruh China ke atas Kemboja telah menunjukkan kesannya dalam satu mesyuarat Asean di Phnom Penh, ibu negara Kemboja pada Julai 2012, apabila buat pertama kali, mesyuarat menteri-menteri luar terbabit tidak mengeluarkan satu kenyataan bersama. Dasar luar yang lebih agresif Beijing pada masa ini juga menyaksikan hubungannya menjadi semakin keruh dengan Filipina dan Vietnam, yang juga negara anggota Asean. Perkembangan ini mendorong Washington menumpukan sumber yang besar ke rantau Asia-Pasifik, dan merapatkan lagi kerjasama dengan Australia, negara jiran kepada Indonesia, anggota Asean yang mempunyai hubungan sangat penting dengan Malaysia. Pendekatan agresif China mendorong AS berusaha mendapatkan komitmen kerjasama yang lebih kuat daripada negara-negara rantau ini termasuk Malaysia, memaksa usaha mengimbang yang lebih sukar dan kompleks. Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan China, dan walaupun terlibat dalam pertikaian di Laut China Selatan, China tidak menunjukkan sikap yang keras terhadap Malaysia berbanding terhadap Vietnam dan Filipina. Negara-negara seperti Filipina dan Vietnam merapatkan hubungan dengan AS, termasuk dalam bidang ketenteraan hingga membuka ruang penglibatan tentera AS yang lebih mendalam di Filipina. Hal ini kemudian akan mengundang pula reaksi China yang bakal bertindak balas dengan meningkatkan hubungan dan membuat tawaran-tawaran lain, sambil pada masa sama menggunakan pengaruh untuk mendorong pembuatan keputusan di rantau ini menyebelahi kepentingannya. Pada masa sama, AS berusaha mencapai persetujuan untuk menggerakkan agenda pasaran bebasnya, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik, satu agenda penting dasar luar Presiden Barack Obama melibatkan perdagangan bebas dan rantau Asia-Pasifik. Agenda ini dilihat sebagai salah satu strategi membina dan mengikat hubungan lebih rapat antara AS dengan negara-negara Asia-Pasifik, yang sekaligus dapat berperanan sebagai strategi menjarakkan negara-negara rantau ini dengan China. Presiden Demokratik sebelum ini, Bill Clinton menunjukkan satu pencapaian besar dalam perdagangan bebas apabila berjaya menyelesaikan agenda Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara, NAFTA, dan juga berperanan penubuhan Pertubuhan Perdagangan Dunia, WTO. Tempoh pentadbiran Clinton menyaksikan satu era gemilang presiden AS dalam mengembangkan agenda perdagangan bebas di seluruh dunia. Selain NAFTA dan WTO, Clinton juga bertanggungjawab menandatangani 270 perjanjian perdagangan bebas atau liberalisasi perdagangan yang membuka pasaran kepada syarikat-syarikat AS. Agenda perdagangan bebas trans-Pasifik yang diusahakan pentadbiran Obama ini sendiri bermula dengan usaha Clinton melalui Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, APEC, dalam pertemuan di Seattle, Washington pada 1993. Obama kini mengambil tugas menyelesaikan agenda yang dimulakan oleh presiden Parti Demokratik sebelumnya, satu agenda yang mencabar dan menjadi salah satu agenda yang bakal mentakrifkan tempoh pentadbirannya. Malaysia, sebagai negara yang berada di tengah-tengah semua ini, berdepan cabaran yang jauh lebih sukar, dalam usaha mengimbangi kedua-dua kuasa besar yang terus menjadikan rantau ini sebagai medan meluaskan pengaruh. - September 27, 2013 |
You are subscribed to email updates from SiasahDaily To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan