Rabu, 23 Oktober 2013

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Larang korban di sekolah: Kita selaras semua sekali (23/10/13)

Posted: 23 Oct 2013 06:43 AM PDT


Buat pertama kalinya saya terpaksa akur dan menumpang setuju dengan pandangan bekas mufti Perlis Prof Madya Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
Beliau mengulas kontroversi isu sembelihan korban di Sekolah Kebangsaan Puchong Jaya yang kononnya mendapat tentangan masyarakat Hindu/bukan Islam. Asas bantahan seorang individu bernama "Saravanan" bahawa sekolah bukan tempat sesuai untuk ibadat korban kerana anak-anak murid didedahkan kepada penyembelihan haiwan.

Memikir "out of the box" (tidak seperti beberapa pemimpin politik yang cepat melatah – pragmatik ikut suasana) MAZA dipetik sebagai menyatakan (dalam facebooknya):
"Pada asasnya sekolah bukan tempat untuk sembelihan dan mungkin kurang sesuai untuk sesetengah murid, namun dalam negara ini banyak lagi perkara yang tidak sesuai dan penyalahgunaan tempat.

"Antaranya jalanraya bukan tempat perarakan agama seperti mengangkut berhala atau menghempas kelapa sehingga mengganggu penggunakan pengguna yang lain atau mengotorkan tempat awam seperti yang dilakukan oleh sesetengah penganut agama tertentu.
"Jika hendak diselaraskan, selaraskan semuanya sekali,"

Nah sekarang bagaimana?
Malahan ada perarakan agama yang mendedahkan anak-anak dan orang dewasa kepada "ritual" yang lebih menakut dan menyeramkan termasuklah menusuk dan mencucuk tubuh badan. Kalau mengambil kira pandangan MAZA bagaimana? Kita larang juga?

Sesungguhnya masyarakat Malaysia telah sedia terbuka dan secara umumnya menerima dan memahami perbezaan ibadat dan "ritual" antara berbeza agama dan fahaman dalam Negara. Berdekad-dekad lamanya tiada yang membantah atau cuba membakar suasana, tiba-tiba hari ini kita dibawa untuk bersengketa dan bertekak dalam bab ini.
Ibadat korban untuk orang Islam, ada yang berlaku masyarakat bukan Islam menghadiahkan binatang sembelihan untuk menjamu petugas ibadat korban, saya sendiri menjadi saksi di Masjid USJ1 Subang Jaya beberapa tahun lalu.

Upacara Thaipusam contohnya sudah diterima sebagai suatu acara tarikan pelancong, diterima secara toleran oleh masyarakat Islam walaupun ada perarakan dari kuil ke kuil di kawasan luar bandar yang terpaksa merentas dan melalui kampung-kampung Melayu. Kita terima dan hormati, tiada bantahan.
Begitu juga upacar-upacara "ritual" masyarakat Buddha dan bukan Islam di kalangan orang-orang Tionghua umpamanya "Hungry Ghost Festival" ,acara yang beberapa tahun lalu serentak dengan bulan Ramadhan. Tapak-tapak letak kereta dan tanah kosong digunakan untuk membakar colok-colok besar, menghidang khinzir siap dengan program hiburan di pentas. Ada yang berlaku di kawasan perumahan berdekatan dengan surau dan masjid, orang Islam yang sibuk menghidupkan malam Ramadhan, menerimanya kerana sudah faham akan "ritual" berkenaan. Tiada pula bantahan yang didengar.

Malah masyarakat bukan Islam yang tinggal berhampiran masjid dan surau-surau di seluruh Negara juga boleh menerima laungan azan 5 kali sehari, kerana ia sebahagian dari amalan masyarakat Islam. Tidak ada lagi kita dengar bantahan dan protes.
Lantas dalam bab ini sekali lagi saya meneliti pandangan MAZA dan bersetuju kalau kita sudah tidak lagi boleh hidup secara toleransi, asyik nak bertekak dan bersengketa termasuklah dalam bab-bab yang telah diterima dan difahami masyarakat maka ayuh kita perluaskan larangannya, kita selaraskan semua sekali.

Biar sembelihan korban terhad di masjid dan surau-surau sahaja, biar Thaipusam di kuil-kuil sahaja, perayaan agama Kristian di setengah-setengah tempat yang turut mengarak salib dan patung "Christ" dihadkan di gereja sahaja, "Hungry Ghost Festival" pula dipremis tokong sahaja, bagaimana?

Tentu cadangan ini lebih mengundang kontroversi. Mengapa harus kita ganggu "status quo" amalan pelbagai agama dalam Negara kita. Belajarlah bertolak ansur, bertoleransi, membina Negara yang bersatu padu, aman dan muhibbah, bukankah baik begitu.
Anda bagaimana?

 

 

Mengkritiklah dengan sopan dan hormat (23/10.13)

Posted: 23 Oct 2013 12:08 AM PDT


Posting saya : "Apabila pemimpin melanggar arus" memang telah saya duga akan mengundang pelbagai reaksi. Saya menerima komen berikut dari pengunjung yang tidak mahu dikenali:
"Saidina umar pun ditegur secara langsung ini kan setakat orang biasa apa lah sangat kalau betul ikhlas"

Saidina Umar r.a memang pernah ditegur, kita semua tahu kisahnya. Tetapi dalam hal ini yang ditegur bukan Saidina Umar dan yang menegur pun bukan kualiti rakyat dizaman Saidina Umar. Kita berbicara tentang suasana semasa, tentang kerajaan negeri, tentang parti, tentang adab, tentang saluran…..bacalah secara "detail" posting saya itu.

Dan dalam laporan media hari ini Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, Presiden PAS dipetik sebagai berkata di Kota Bharu:
"Pas and the state government leadership can accept criticism, but it must be made properly through the right channels," he said after the meeting" (NST)

"Tetapi apabila seseorang itu tidak berpuas hati dengan sesuatu, dia perlu dilakukan dalam cara yang berlandaskan kesopanan dan rasa hormat," katanya. (MStar)
Saya juga menyebeut dalam posting saya itu:

Terusik hati saya apbila menonton rakaman persidangan itu apabila giliran YAB MB menggulung perbahasan, ADUN berkenaan bangkit mencelah mohon penjelasan, apabila MB bangkit menjelaskan beliau melambaikan tangannya beberapa kali mengisyaratkan MB agar duduk kerana beliau mahu berhujah lagi, begitukah adab orang PAS?!

(Barangkali yang mengulas di atas tidak berpeluang menonton sepenuhnya rakaman sidang berkenaan)

Tegur menegur adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam, Allah swt mengajar kita di dalam al Quran, bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh itu berpesan memesan dengan kebenaran dan berpesan memesan dengan kesabaran.
Suasana Saidina Umar ditegur bukannya suasana sebagaimana dalam Dewan Undangan Negeri, malah ia ketika di hadapan khalayak umum. Dalam kes ini mereka berada dalam Dewan Undangan Negeri sudah tentulah sebagaimana penegasan Presiden kesopanan dan rasa hormat itu perlu ada. Kalau tak hormat MB kerana jawatannya (sesuatu yang pelik dalam PAS), hormatlah kerana ilmunya, kalau tidak juga hormatlah kerana usianya.

Dalam kes ini saluran yang digunakan tidak sesuai, cara dan adab lebih-lebih lagi sangat tidak berbudaya tidak kiralah kita ahli biasa apa lagi berjawatan besar dalam parti.

 

 

Tiada ulasan: