Roslan SMS Corner |
Cukai rokok naik biar naik juga arak dan judi (1/10/13) Posted: 30 Sep 2013 09:27 PM PDT Ekoran diwartakan kenaikan cukai eksais rokok kepada 14% pada hari Jumaat lalu,maka pada hari ini syarikat-syarikat pengeluar rokok telah dengan rasminya menaikkan harga jualan rokok masing-masing. Kenaikkan dilaporkan sekitar 14 ke 15%. Bagi perokok tegar sudah pastilah ianya membebankan. Tetapi secara peribadi jika kerajaan serius membendung tabiat merokok dikalangan rakyat, tidak cukup sekadar memaparkan gambar-gambar menakutkan di kotak-kotak rokok, ini nampaknya tidak dipedulikan. Yang berkesan dan dirasakan benar-benar membakar poket perokok ini adalah apabila harganya semakin mahal. Soal ini akan mengundang aktiviti penyeludupan, itu soal lain. Biarlah ditangani oleh pihak atau agensi berkaitan. Isu di sini adalah mengawal serta mengurangkan tabiat merokok yang ternyata membhayakan kesihatan rakyat. Bajet 2014 yang bakal dibentangkan bulan ini diharapkan turut meningkat cukai ke atas beberapa aktiviti lain yang dikira banyak menimbulkan mudarat kepada rakyat. Selain rokok dua lagi industri yang perlu ditangani adalah arak dan judi. Menurut rekod kali terakhir duti eksais ke atas arak dinaikkan adalah 8 tahun dahulu iaitu pada tahun 2005 apabila kerajaan menaikkan dutinya kepada 23.3% ataupun RM7.40 sen seliter. Diharapkan kali ini duti eksais ke atas arak dinaikkan lagi dalam Bajet 2014. Biar arak juga menjadi lebih mahal lalu mudaratnya dapat dikawal. Begitu juga cukai ke atas industri judi diharapkan akan dinaikkan juga. Kalau boleh harga tikam judi yang buat masa ini masih rendah dan boleh diambil bahagian oleh ramai, diharapkan akan dinaikkan. Biar ada "ceiling" umpamanya minima RM10 untuk tikam satu nombor. Biar ia menjadi mahal lalu makin (diharapkan) akan dijauhi. Rokok, arak dan judi ternyata tidak dapat diharamkan walaupun ia haram di sisi Islam. Sekurang-kurangnya setelah diakui semua bahawa ketiga-tiga tabiat ini memang memudaratkan, maka wajarlah sesuatu dilakukan bagi menghalang ia terus menjadi barah kepada masyarakat dan Negara. Ahli-ahli Parlimen perlu prihatin akan perkara ini, ahli-ahli Parlimen PAS lebih-lebih lagi, jangan berdiam dan membisu apabila Bajet 2014 nanti dibentangkan. |
Biar PAS terus dipimpin ulamak (30/9/13) Posted: 29 Sep 2013 10:17 PM PDT Saya pernah berbual dengan seorang pimpinan kanan PAS baru-baru ini yang kebetulan seorang rakan baik. Perbualan kami sekitar sejarah PAS khasnya dizaman awal-awalnya, ketika zaman Almarhum Dr Burhanuddin al Helmi dan Prof Zulkifli Muhammad. Saya juga teringat pernah berbual panjang dengan Allahyarham Ustaz Hasan Shukri, berkenaan gerak kerja PAS di awal-awal Merdeka. Ketika itulah Allahyraham mengesahkan bahwa Datuk Saudara saya, Allahyarham Hamidon Husin merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor yang pertama. Rata-rata PAS dizaman awal memang menempuh jalan yang sukar. Dalam keadaan sukar itu ia menang satu kerusi dalam Pilihanraya Persekutuan pertama sebelum Merdeka pada tahun 1955 dan menang Negeri Kelantan dan Terengganu dalam Pilihanraya Umum Persekutuan pertama 1959 selain 13 kerusi Parlimen. Bagaimana PAS ketika itu? Faktanya ia didukung oleh para ulamak dan disokong kuat oleh mereka yang berpendapatan rendah khasnya yang tinggal di luar-luar bandar, petani, nelayan, orang-orang kampung yang cinta dan mahukan Islam sebagai tunggak pemerintahan. (malah kita yakin darah, airmata dan doa mereka inilah yang telah mengekalkan PAS dalam arus politik Negara sehingga kini) Ustaz Hasan memberitahu saya betapa beliau mengekori pimpinan PAS ketika itu naik turun tanah air untuk membawa mesej PAS. Kesukaran ketika itu dipandang kecil kerana yakin dan istiqomah kepada perjuangan besar yang digalas. Namun ahli-ahli PAS, tetap prihatin apabila tiba isu memilih pemimpin. Ini gerakan Islam, ini perjuangan Islam, pasti walaupun ia susah dan sukar ketika itu, hanya yang terbaik dalam prespektif perjuangan Islam sahaja yang layak dan wajar memimpinnya. Kerana itu bila tiba isu memilih pemimpin, bergelora juga. Pada rakan baik saya di atas tadi saya pernah berkongsi maklumat bahawa pernah selepas PR Persekutuan 1955 , Presiden PAS ketika itu Allahyarham Dr Abbas Alias terpaksa kosongkan jawatan atas sebab-sebab tertentu, AJK Pusat PAS telah hangat membincangkan berkenaan pengganti yang paling cocok. Dikhabarkan berjela-jela panjangnya mesyuarat sehinggalah Allahyarham Hassan Adli memaklumkan bahawa tidak ada yang layak untuk memimpin PAS (ketika itu) dalam bilik ini (bilik mesyuarat) selain Dr Burhanuddin Al Helmi (yang ketika itu bukan pun ahli PAS). Mesyuarat akhirnya bersetuju menghantar Hassan untuk memujuk Dr Burhanuddin. Mengapa Dr Burhanuddin? Kerana gerakan Islam ketika itu perlukan pemimpin yang dinamik dan pada waktu yang sama faham dan berpengalaman dalam selok-belok gerakan Islam (seorang ulamak). Bukan bermakna mereka yang AJK Pusat ketika itu tidak layak, tetapi inilah bukti kebesaran jiwa pemimpin PAS ketika itu yang ikhlas dan berjuang semata-mata untuk Islam. (Anehnya tiada yang merajuk dan apabila nama Dr Burhanuddin disebut sedangkan ia bukan ahli PAS pun) Dan lebih hebat lagi apabila tawaran PAS diterima Dr Buhanuddin, Allahyarham menetapkan syarat bahawa beliau tidak mahu diberi begitu sahaja jawatan Presiden, tetapi mahukan pertandingan, biar ahli-ahli PAS yang berikan persetujuan melalui muktamar. Ringkas cerita telah berlaku pertandingan antara dua tokoh besar, Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli, Dr Burhanuddin menang manakala Prof Zulkifli kemudiannya bertanding jawatan Timbalan dan menang. Hebatnya lagi walaupun pernah bertarung sesama sendiri, keputusan syura diterima baik, dan akhirnya kombinasi Dr Burhanuddin dan Prof Zulkifli benar-benar membuktikan yang mereka boleh bekerja baik, berjuang bukan untuk kepentingan peribadi tetapi menumpukan pada kepentingan dasar dan prinsip perjuangan. 1956 mereka pegang kuasa, 1959 mereka berdua menang kerusi Parlimen dan PAS memang di Kelantan dan Terengganu, ketika itu PAS sangat daif, kewangan susah, ahli-ahlinya tertekan namun semangat Islam yang kental telah membawa mereka naik ke mercu yang dihormati rakyat, kawan dan lawan. Saya membawa kisah ini untuk menyedarkan diri saya dan semua bahawa PAS ini adalah sebuah gerakan Islam. Dihormati sejak zaman berzaman kerana ia berpegang kepada prinsip dan dasar Islam. Saya sendiri menyertai PAS kerana mahu bersama-sama dengan para ulamak yang istiqomah dalam memperjuangkan Islam. Pernah saya bertanya kepada seorang anak muda, kenapa anda menyertai PAS, dan jawapan beliau samalah dengan saya kerana yakin pada kepimpinan ulamak. Bagaimana dengan professional? (Istilah professional ini pun sebenarnya kita ambil secara longgar, sewajarnya ia merujuk kepada mereka yang mahir dan pakar dalam satu-satu bidang atau lulusan satu-satu disiplin pengajian) Apabila diambil secara longgar siapa yang tidak ulamak dikira professional, sedangkan ada yang mendakwa dirinya professional tidak pernah ada lulusan sijil atau ijazah dari mana-mana IPT pun. Senangnya professional, tidak professional, ulamak, petani, nelayan, penganggur, pesara semuanya sepatutnya komited dan menyumbang tenaga kepada perjuangan Islam dengan meletakkan disaf hadapan mereka yang pakar dan berilmu dalam bidang Islam yang kita perjuangkan iaitu sudah pastinyalah para ulamak. Kerana itu ketika Dr Abbas, seorang professional, mengundur diri dari jawatan Yang Dipetua Agung PAS (Presiden), calon yang dicari-cari adalah yang ulamak. Dan ulamak yang telah mendapat tempat adalah Dr Burhanuddin yang layak, berilmu dan beramal dengan ilmunya. Gandingannya juga begitu iaitu Prof Zilkifli Muhammad. Biarlah PAS ini kekal dipimpin ulamak dengan disokong oleh semua pihak. Sayyidina Ali r.a pernah berkata : "Seorang alim ialah seorang yag tidak pernah melakukan maksiat, tidak jemu mengingatkan dirinya dan manusia sekalian akan azab Allah SWT dan tidak membelakangi al-Quran. (Al- Imam al-Qurtubi, juz 14:243) Ibnu Abbas berkata : Ulama ialah orang-orang yang mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas setiap sesuatu. Dan tambahnya lagi : Orang alim tentang Allah Maha Penyayang ialah orang yang tidak melakukan syirik dengan Allah sesuatu pun serta dia menghalalkan apa yang dihalalkan dan mengharamkan apa yang diharamkan. Dia turut memelihara wasiatNya disamping yakin bahawa dia tetap akan menemuiNya dan Dia bakal menghitungkan amalannya. Menurut Syed Qutb mereka yang mengkaji al-Quran yang penuh keajaiban dan mereka yang mengenal Allah dan mengetahui hakikat Allah, mengetahui kesan penciptaan Allah, mengetahui kesan kekuasaan Allah, dan bertakwa kepada Allah, dan menyembah Allah dengan sebenar penyembahan. Ulama ialah orang yang mengetahui sifat Allah dan kebesarannya. Siapa yang bertambah ilmunya maka ia bertambah takut kepada Allah.( Syed Qutb, 1994:2943.) Sudah pasti ada hikmah apabila Allah swt berfirman di dalam al Quran: "Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah adalah ulama." (Surah Fathir ayat 28) Kalau kita takut kepada Allah, kita akan berhati-hati membawa dan memandu PAS ini. Kita akan berakhlak mulia samada dengan kawan mahupun lawan. Kita tidak sekali-kali terlibat dalam menaik-naikkan diri atau nama, tidak meminta-minta jawatan. Kita tidak menabur fitnah tidak terlibat dalam adu-domba, yang ada dalam nafas dan nadi kita hanyalah Islam, Islam, Islam. Kerana itulah kita merasa diri kita kecil apabila berhadapan dengan ulamak, ulamak yang komited dan istiqomah serta beramal dengan ilmunya. Lalu biarlah mereka ini yang memimpin kita. Kita sokong dan dokong sepenuh tenaga insyallah. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan