A Karim 
Gerakan Kristianisasi merujuk kepada suatu usaha untuk mengkristiankan penganut Islam. Dalam konteks negara kita yang mana Perlembagaan meskipun memberi kebebasan dalam beragama kepada rakyatnya namun terdapat larangan untuk agama lain mengembangkan agama mereka kepada penganut Islam, gerakan Kristianisasi dipercayai dilakukan secara senyap, licik dan tersembunyi.

Difahamkan, gerakan ini menggunakan pelbagai medium yang secara umumnya boleh diklasifikasikan perkara biasa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian.

Antara yang dipercayai salah satu strategi gerakan ini ialah menuntut kalimah ALLAH dibenarkan untuk digunakan oleh orang Kristian dalam risalah terbitan gereja.

Bagi memahami strategi gerakan Kritianisasi yang dikhuatiri menjadi satu lagi ancaman kepada akidah umat Islam mutakhir ini, wartawan NURUL RIDUAN NOR ASHAHA dan ZULFADHLI ZAKI menemubual Setiausaha Agung Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), A KARIM OMAR. Dalam temu bual itu A Karim turut mendedahkan strategi terkini Kristianisasi yang disebut 'kontekstualisasi'. Ikuti penerangannya.


Apa yang dimaksudkan dengan strategi kontekstualisasi?

Menurut J Dudley Woodberry, Profesor Emeritus di Fuller Theological Seminary School of World Missions, Amerika Syarikat, orang Islam yang cuba didakyahkan oleh evangelis Kristian merasakan bentuk penyembahan Kristian, termasuk istilah-istilah yang digunakan, aneh dan ofensif.

Oleh yang demikian, kebanyakan evangelis Kristian bersedia untuk menggugurkan apa saja  penyembahan yang aneh dan ofensif kepada orang Islam serta membenarkan mereka yang murtad itu (bertukar kepada agama Kristian) untuk mengekalkan beberapa bentuk dan istilah yang biasa digunakan oleh orang Islam.

Maka kontekstualisasi adalah suatu strategi pendakyahan Kristian dengan cara mengambil guna istilah dan cara beribadat yang biasa digunakan oleh masyarakat Islam setempat.

Dalam satu jurnal Kristian, pada tahun 2004, Harley Talman menulis bahawa pendakyahan kepada orang Islam yang suatu masa dahulu dianggap sebagai usaha yang sia-sia, kini dengan strategi kontekstualisasi ianya telah memberi ruang baru untuk usaha-usaha pendakyahan.

Malah, dalam artikel tersebut, beliau turut menyenaraikan cadangan untuk dilakukan kontekstualisasi yang lebih meluas (comprehensive contextualization) dari pelbagai aspek.


Apakah sebenarnya dimaksudkan dengan gerakan Kristianisasi?

Gerakan Kristianisasi adalah merujuk kepada suatu gerakan untuk mengkristiankan umat manusia. Pada peringkat tertinggi mereka, Pope Alexander VI telah membahagikan dunia ini kepada kerajaan Sepanyol dan kerajaan Portugis dalam Perjanjian Tordesillas pada 7 Jun 1494.

Inilah gerakan terancang Kristian sedunia untuk mengkristiankan umat manusia. Maka bermulalah sejarah kekejaman oleh dua penakluk besar kerajaan Kristian pada ketika itu. Segala bentuk keganasan jelas tercatat di dalam kisah-kisah eksplorasi mereka di atas nama menyebarkan agama Kristian di samping mencari kegemilangan sambil merompak kekayaan dunia baru yang mereka takluki.

Ini disebut sebagai 'gold, glory and gospel'. Kini gerakan evangelis Kristian masih berterusan dengan agenda yang sama, melalui pelbagai ragam dan rupa serta strategi yang baru.

Laporan Raja Manuel (Portugis) kepada Pope Leo X pada 6 Jun 1513 menyebut bahawa 'Palang Salib' telah menang ke atas 'Bulan Sabit' di Kota Melaka.

Ini adalah kerana mereka dahulu beranggapan bahawa penaklukan ke atas Tanah Melayu sebagai Perang Salib yang terakhir dan ini merupakan suatu usaha serangan terhadap kubu Islam dari sisi dan belakang.


Bagaimanakah agenda mereka dapat dilaksanakan dalam konteks negara kita?