mat sabu 
ALOR SETAR - Pas perlu mempertahan kerusi Dun Sungai Limau tanpa mengira siapa calon yang diketengahkan pada pilihan raya kecil (PRK) itu.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, semua jentera parti sama ada dari Pusat mahupun negeri wajar memberi tumpuan sepenuhnya supaya kawasan itu tidak jatuh ke tangan pihak lawan.

"Jika kalah di Dun Sungai Limau, jangan mimpi nak ambil alih semula Kedah," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-34 Pas kawasan Alor Setar.

Menurutnya yang juga mesra dengan panggilan Mat Sabu, seluruh jentera termasuk sayap parti akan berkampung di Dun Sungai Limau bagi memastikan kawasan yang dianggap tradisi Pas itu kekal milik parti itu.

"Sekali dua ada bertukar tangan antara Pas dan BN tetapi Pas lebih banyak menang di kawasan itu. Selepas lima penggal Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak mempertahan kawasan itu, wajar untuk kita berjuang berhabis-habisan teruskan tradisi itu," katanya.