Ahad, 13 Oktober 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Selangor Beri Rawatan Kanser Prostat Percuma

Posted: 13 Oct 2013 12:01 AM PDT

Shah Alam: Berita baik buat golongan lelaki di Selangor apabila kerajaan negeri akan mula memberikan bantuan kesihatan pemeriksaan kanser prostat mulai tahun depan.

Bagi yang mementingkan kesihatan, mereka kini tidak lagi perlu gusar dan boleh mendapatkan pemeriksaan secara percuma di hospital dan klinik panel yang dilantik.

"Selama ini bantuan banyak tertumpu pada wanita (pemeriksaan mammogram dan pap smear) sampai lelaki di Selangor pun mula bertanya; asyik wanita saja mana lelakinya," kata Exco Kesihatan, Pembangunan Usahawan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Dr Daroyah Alwi ketika ditemui FMT.

Penjagaan kesihatan dan kebajikan kaum lelaki menjadi tumpuan utama seperti yang dijanjikan dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu.

Hampir 90% lelaki berusia 50 tahun keatas berisiko menghidap penyakit ini dan 550,000 kes dikesan secara global, 13% daripadanya lelaki Asia.

Rawatan saringan ini terbuka secara percuma tanpa mengira usia, berbeza dengan perkhidmatan yang disediakan hospital kerajaan hanya terhad kepada lelaki berumur 50 tahun keatas sahaja termasuk golongan pencen.

Melalui kaedah rawatan pemeriksaan rektum digital (DRE) dan ujian darah antigen prostat khas (PSA), lelaki berumur 50 tahun keatas terutamanya digalakkan menjalani pemeriksaan saringan setahun sekali.

Selain itu, menurut Daroyah bantuan pusat dialisis akan diteruskan, dan masih merangka perancangan bangunan dan subsidi rawatan melalui Tabung Dialisis Rakyat dengan peruntukan RM10 juta seperti yang dibentangkan dalam manifesto.

Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu juga mempunyai misi untuk menjadikan Selangor sebagai hab kesihatan utama negara.

Beliau menyatakan keyakinan kerana Selangor mempunyai kelebihan infrastruktur serta berpotensi menjadi pesaing dengan hab kesihatan lain di Pulau Pinang dan Melaka.

Selangor ada kepakaran

"Mengapa tidak, sedangkan negeri Selangor mempunyai kepakaran, doktor-doktor hebat yang bertauliah, hospital dan prasarana perubatan yang jauh lebih canggih berbanding dua negeri tersebut.

"Jika perkara ini berjaya direalisasikan kelak, Selangor akan menjadi hab kesihatan utama bukan hanya kepada penduduk negeri, malah Malaysia juga Asia Tenggara," katanya.

Industri perkhidmatan kesihatan di Selangor menyumbang sebanyak lapan peratus kepada pendapatan ekonomi negeri.

Sementara itu, ditanya projek perintis mengawal menangani wabak demam denggi menggunakan nyamuk gajah atau Toxorhynchites (Toxo), beliau berkata kajian awal menunjukkan menunjukkan penurunan kes.

Namun, belum ada keputusan yang komprehensif dan masih menimbang sama ada kaedah tersebut mampu mengawal pembiakan nyamuk aedes secara praktikal.

"Kita bimbang jika ada kesan sampingan kalau (nyamuk toxo) populasinya bertambah dan mengakibatkan ekosistem tidak seimbang, Jadi kita perlu kaji lagi," katanya.

Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui Program Kawalan Pembiakan Aedes dan Pencegahan Demam Denggi telah pun memulakan langkah awal bulan lalu dengan peruntukan sebanyak RM60,000.

Mengenai portfolio usahawan, Daroyah berkata pihaknya akan meneruskan pemerkasaan Pusat Usahawan Sgor (PUNS) sebagai 'one stop centre' bagi aktiviti keusahawanan.

"Bila semua (usahawan) bernaung dibawah satu bumbung kita boleh tahu siapa mereka, apa yang mereka usahakan dan sedang ditahap apa jadi kita boleh asingkan ikut tahap keperluan dan pencapaian masing-masing," katanya.

Bagaimanapun tiada peruntukan diberikan kerana kerajaan negeri telah menyalurkannya secara terus kepada agensi terlibat, antaranya veterinar, industri asas tani, dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). -FMT

Isa Samad Perlu Jawab Dakwaan Tipu Bursa Malaysia

Posted: 12 Oct 2013 08:30 PM PDT


Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad digesa menjelaskan dakwaan bahawa beliau menipu Bursa Malaysia berhubung isu perletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Venture Berhad, Tan Sri Sabri Ahmad sebagai ahli Lembaga Pengarah dalam FGVH.

Timbalan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal KEADILAN, Bob Manolan Mohamad berkata, Isa perlu menjelaskan sejauh mana kebenaran surat yang kini disebarkan blogger Umno sendiri.

"Perkara ini perlu dijelaskan demi kepentingan semua termasuk pemegang saham Felda dan peneroka seluruh negara," katanya kepada Suara Keadilan.

Hari ini blogger Umno yang rapat dengan Tun Dr Mahathir, Rocky Bru dan Bigdotcom mendakwa Isa menipu Bursa Malaysia dengan menyatakan Sabri meletak jawatan sebagai BOD Felda atas alasan 'terikat dengan komitmen lain'.

Bigdogdotcom menyertakan ScreeShoot didakwa dari Bursa menyatakan Sabri meletak jawatan 29 Ogos 2013 dan turut menyertakan surat tanpa tarikh yang mendakwa Isa meminta Sabri menandatangani surat peletakan jawatan itu.

Namun dakwanya Sabri tidak menandatangani dan satu laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.

"Jika Sabri tidak meletak jawatan sebagai BOD daripada mana-mana anak syarikat Felda, bagaimana FGV (Felda Global Ventures) boleh mengumumkan 'peletakan jawatan' Sabri di Bursa Malaysia," tulis Bigdogdotcom.

Berdasarkan dokumen yang disertakan, Rocky berkata, Sabri tidak meletakkan jawatan sebagai Lembaga Pengarah dalam FGVH dan sebuah lagi syarikat, MSM Malaysian Holdings Berhad sebagaimana yang dilaporkan Isa.

"Jika FGV dan MSM (MSM Malaysian Holdings Berhad) melakukannya, maka mereka harus disiasat mengikut Seksyen 122B Akta Industri Sekuriti.

"Ia adalah satu jenayah yang boleh dihukum sehingga RM3 juta dan 10 tahun penjara kerana melakukan akuan berkanun palsu, termasuk perubahan dalam lembaga pengarah," tulis Rocky atau nama sebenarnya Datuk Ahirudin Attan seperti dilapor Malaysian Insider.

Mengulas lanjut, Bob tidak menolak kemungkinan penyebaran surat menunjukan pertembungan besar antara kumpulan pro Datuk Mukhriz Mahathir dan Isa bagi merebut kerusi Naib Presiden dalam pemilihan Umno.

Mereka berebut bersama empat lagi calon Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan tiga penyandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Harapan Isa menang atas sokongan 54 bahagian Umno yang mempunyai kawasan Felda termasuk di Negeri Sembilan. Zahid dilihat paling depan diekori Shafie dan Mukhriz dengan pemenang dijangka diumum 19 Oktober ini.-KD

Kalimah Allah: Bukan Islam Boleh Guna Tapi Jangan Salah Guna – Hadi Awang

Posted: 12 Oct 2013 05:10 PM PDT

Menuju keputusan kes Kalimah Allah yang kini dibicarakan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 14 Oktober nanti, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengulangi pendirian bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut bukan Islam.

Bercakap kepada media seusai menyampaikan ucaptama di Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia, Abdul Hadi berkata banyak hujah kukuh dari sudut agama, bahasa dan sejarah yang membolehkan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.

"Kita tidak boleh menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, malah baginda Rasullah membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' kepada orang bukan Islam dalam satu perjanjian,"(Piagam Madinah) tegas Hadi, dan menambah bagaimanapun kalimah 'Allah' tidak wajar disalahgunakan oleh mana-mana pihak sehingga menimbulkan konflik.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan pada 14 Oktober ini sama ada penerbitan mingguan Kristian Katolik, The Herald, dibenar menggunakan kalimah 'Allah'.

Pada 10 September lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali serta Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh, menangguhkan keputusan selepas mendengar hujah pihak berkenaan dalam kes itu.

Panel itu akan memutuskan rayuan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan The Herald menggunakan kalimah 'Allah'.

Sebelum ini, pada Januari 2010, Abdul Hadi telah mengemukakan kertas kajian dalam seminar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM).

Menerusi buku bertajuk: 'Allah: Kalimah yang Benar, Tujuan yang Salah', yang diterbitkan pada Januari 2010, Abdul Hadi menterjemahkan bahawa Islam tidak menghalang penganut agama lain menggunakan kalimah "Allah" dalam amalan mereka, walaupun tidak mencapai maksud asal bahasa al-Quran.

"Kalimah 'Allah' adalah satu perkataan yang mengikut maksud asal bahasa arab (Dia Sahaja Tuhan Yang Maha Esa), adalah tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa secara tepat," jelas beliau dalam bukunya itu.

Seminar Pelaksanaan Syariah Islam Di Malaysia berlangsung di Dewan Pro Canselor Universiti Selangor (Unisel) dekat sini, hari ini.

Bertemakan '56 tahun Merdeka: Ke Mana Hala Tuju Syariah Islam di Malaysia', seminar anjuran Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Permuafakatan dan Instiusi Pendidikan Islam Selangor (Mappis) dan Universiti Selangor (Unisel) itu membuka ruang mencari penyelesaian kearah pelaksanaan syariah dalam konteks negara demokrasi.

Hadir sama, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman, Exco Selangor Dr Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi. -tvselangor


Kalimah Allah: Bukan Islam tidak boleh disekat, jangan salah guna, kata Presiden PAS


PAS menegaskan bahawa penganut agama bukan Islam tidak harus disekat daripada menggunakan kalimah Allah dalam mengamalkan kepercayaan mereka namun penggunaan tersebut tidak harus disalah guna atau disalah tafsir.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata tiada peruntukan undang-undang yang tidak membenarkan kaum lain untuk menggunakan kalimah Allah namun kebebasan yang diberikan tidak harus disalahgunakan kerana Allah adalah satu-satunya tuhan yang layak disembah bagi umat Islam.

"Kita tidak boleh melarang penganut bukan Islam untuk melaksanakan suruhan agama mereka kerana manusia seharusnya mempunyai kepercayaan terhadap tuhan.

"Kalimah Allah dalam perkataan Arab tidak boleh diterjemah ke dalam bahasa lain kerana tidak sama dengan perkataan 'tuhan'. Oleh kerana itulah kalimah Allah itu sangat suci," katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Selangor hari ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah Jumaat semalam menggesa umat Islam bersatu-padu mempertahankan penggunaan kalimah Allah daripada disalahgunakan sempena keputusan kes tersebut yang akan didengar di Mahkamah Rayuan Isnin ini.

Jakim berkata, sebagai umat Islam yang patuh kepada ajaran agama adalah perlu untuk bersatu-padu demi menolak apa jua usaha yang menafikan hak sebagai umat Islam.

Katanya, wajib bagi umat Islam menjaga dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Khatib menegaskan bahawa percubaan menggunakan kalimah Allah dalam kitab lain selain al-Quran, akan menimbulkan kecelaruan di dalam sistem kepercayaan umat Islam kerana Islam menolak kepercayaan yang berteraskan kepada Trinity iaitu God Father (Bapa Tuhan), God the Son (Anak Tuhan) dan Holy Spirit (Roh Kudus).

Dalam khutbah itu juga, Jakim mempersoalkan mengapa kalimah Allah hendak digunakan dalam Bible, kerana apabila kalimah Allah digunakan secara langsung di dalam kitab itu akan membatalkan konsep Triniti yang diamalkan mereka.

Katanya, penggunaan tersebut jelas menjadikan umat Islam keliru, ragu-ragu dan tersilap mengenal identiti Allah serta meruntuhkan akidah umat Islam.
-TMI


Kalimah "ALLAH" Di Tokong Terhasil Dari Imbasan Cahaya

Posted: 12 Oct 2013 06:45 AM PDT

Pasir Panjang - "Perkara ini akan diselesaikan secepat mungkin dan apa yang pasti, keputusan nanti adalah yang terbaik bagi memelihara sensitiviti agama," kata Adun Linggi, Abd Rahman Mohd Redza ketika diminta mengulas berkenaan gambaran kalimah ALLAH dalam tulisan jawi yang kelihatan di bumbung sebuah tokong di Pekan Pasir Panjang.

Menurutnya, pihaknya akan berbincang dengan pihak pengurusan rumah ibadah itu bagi mengelak kalimah ALLAH SWT di hadapan tokong tersebut terus kelihatan.

"Bagaimanapun, saya percaya ini semua terjadi secara kebetulan di mana tiada sesiapa berniat negatif dalam mempersendakan agama Islam ataupun menyentuh sensitif sesuatu kaum," katanya.

Abd Rahman berkata, hasil tinjaunya mendapati kalimah tersebut terhasil daripada imbasan pencahayaan daripada tiang lampu berhampiran tokong tersebut.

"Orang ramai jangan membuat sebarang andaian negatif dan cepat melatah kerana ia boleh memecahkan perpaduan serta mengeruhkan lagi keadaan sebaliknya kita bersama-sama bersatu hati dalam menangani masalah yang kecil ini.

"Kemungkinan besar bumbung tersebut akan dicat warna hitam tetapi kita masih di peringkat perancangan dan masih di tahap perbincangan bagi menghilangkan pantulan kalimah ALLAH SWT terbabit," katanya.

Semalam Sinar Harian melaporkan sebuah tokong di Pekan Pasir Panjang menjadi tumpuan orang ramai selepas tersebarnya di laman sosial facebook yang memaparkan gambar bumbung tokong berkenaan yang terbentuk kalimah ALLAH SWT. -SH


Bumbung tokong terbentuk nama ALLAH?


PASIR PANJANG - Gara-gara penyebaran gambar di dalam laman Facebook, sebuah tokong di pekan Pasir Panjang, dekat sini dikerumuni lebih 200 penduduk sekitar, malam kelmarin.

Semuanya kerana sebuah laman Facebook memaparkan gambar bumbung tokong berkenaan yang dikatakan terbentuk kalimah ALLAH, menyebabkan penduduk datang ke luar kawasan tokong berkenaan bagi menyaksikan sendiri dakwaan tersebut.

Seawal jam 8 malam lagi, mereka berpusu-pusu datang ke tokong berkenaan untuk melihat, sekali gus merakamkan gambar bumbung tersebut.

Tidak kurang juga, ada individu yang melalui jalan Pasir Panjang-Port Dickson ini turut memberhentikan kenderaan mereka untuk mengetahui cerita sebenar.

Berikutan itu juga, sepasukan polis terpaksa ditugaskan mengawal keadaan berikutan jumlah orang ramai bersilih ganti serta berkumpul di kawasan berkenaan.

Menurut Sin San Huo, 63, yang menjalankan perniagaan kedai runcit bersebelahan rumah ibadah itu berkata, dia hairan melihat orang ramai datang dan berkumpul di depan bangunan itu.

"Saya telah lama menetap dan berniaga di sini, namun tidak pernah perasan tentang perkara itu. Malah, sebelum ini tiada siapa yang bercerita tentangnya. Entah bagaimana hari ini (kelmarin) tiba-tiba boleh wujud cerita semacam itu.

"Tokong ini berusia lebih 100 tahun dan jika tidak silap, bumbung didakwa membentuk tulisan jawi itu baru sahaja diubah suai kurang 10 tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, penduduk, Mohd Khairul Ali, 36, berkata, orang ramai datang untuk melihat sendiri selepas perkara itu tersebar di laman sosial.

"Pada pandangan saya, perkara ini berlaku bukan disengajakan mana-mana pihak dengan niat tertentu tetapi ia adalah satu kebetulan dan pastinya berlaku dengan izin ALLAH SWT.

"Namun adalah wajar sekiranya pihak berkuasa terutamanya jabatan agama segera membuat penjelasan mengenai dakwaan ini bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku kerana ia melibatkan sensitiviti agama.

"Apabila terlalu ramai orang berkumpul dan tiada pihak memantau, kita khuatir akan berlaku pergaduhan dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati, orang ramai hanya dapat melihat bentuk kalimah ALLAH itu pada waktu malam apabila mereka berada di kedudukan sekurang-kurangnya 15 hingga 20 meter daripada rumah ibadah tersebut.

Pada waktu siang, apa yang kelihatan pada bumbung itu hanyalah lekuk-lekuk seni bina bumbung rumah ibadah itu tanpa lakaran kalimah ALLAH. Malah, jika lampu jalan berhampiran tokong itu dipadamkan, lakaran kalimah itu juga tidak kelihatan.
-SH


Tiada ulasan: