Khamis, 31 Oktober 2013

GoMalaysian

GoMalaysian


GST: MENCUKAI ORANG MISKIN

Posted: 31 Oct 2013 01:47 AM PDT

GST: MENCUKAI ORANG MISKIN

Dipetik daripada http://liewchintong.com/2013/10/gst-mencukai-orang-miskin/
Liew Chin Tong (MP Kluang)

October 31st 2013

GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) kini cuba dihalalkan dengan bahasa yang kabur lagi misteri. Bunyinya sedap, tetapi mengarut. Antara hujahnya, untuk mengimbangi perbelanjaan dan pendapatan, maka kerajaan harus bertindak tegas untuk melaksanakan GST.

Harga minyak harus dinaikkan, atau dengan istilah merasionalisasikan subsidi minyak – supaya kewangan negara dikekalkan dalam keadaan yang baik. Alasannya mengarut, antaranya tidak bersifat empati terhadap keadaan hidup rakyat jelata, malah tidak mempunyai pemahaman yang menyeluruh terhadap pengaliran, perkembangan dan kemelesetan ekonomi.

Mengapa kerajaan Barisan Nasional melaksanakan GST? Sejak idea GST diketengahkan Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005, hujah pokoknya, GST adalah cara pengutipan cukai yang paling berkesan. Apa yang dimaksudkan dengan "paling berkesan"? Jikalau dijawab secara jujur, maksudnya, kerajaan boleh mengutip cukai yang lebih tinggi berbanding sekarang dari poket rakyat jelatanya.

Satu lagi hujah penyokongnya, Malaysia tidak boleh ketinggalan, kerana GST sudah dilaksanakan di lebih 140 buah negara di seluruh dunia. Namun demikian, apabila negara lain di serata dunia meluncur di landasan pendemokrasian, penyokong BN tidak pula menyahut bahawa kita perlu memastikan Malaysia tidak ketinggalan.

Hanya tinggal 20 buah negara di dunia yang menetapkan usia pengundi pada umur 21 tahun, dan yang selebihnya telah menetapkan usia kelayakan pengundi di bawah paras umur 21 tahun. Mengapa pula Malaysia tidak terikut-ikut dengan trend ini?

Padahal, untuk 10 tahun kebelakangan ini, terutamanya selepas kemelut ekonomi pada tahun 2008, fokus global kembali menumpu kepada perbincangan jurang antara kaya dengan miskin, dan semakin banyak negara bermuhasabah tentang pelebaranjurang kaya-miskin akibat pelaksanaan GST. Kita perlu sedar kesan GST yang berbeza apabila dilaksanakan terhadap dua golongan dengan pendapatan yang jauh berbeza.

Misalnya, seandainya saya berpendapatan RM10,000, dan membelanjakan RM1,000 untuk membeli barangan, maka saya dikenakan cukai RM50 jika 5% GST dikenakan ke atas RM1,000. Perlu diingatkan, RM10,000 adalah 1/10 daripada jumlah pendapatan saya.

Cuba bayangkan, seseorang yang berpendapatan RM1,000, dan RM1,000 itu dibelanjakan sepenuhnya untuk membeli barangan. Dia akan dikenakan cukai RM50 seperti saya. Bezanya, nilai RM50 kepada seseorang yang berpendapatan RM1000 dengan nilai RM50 kepada seseorang yang berpendapatan RM10,000. Nampak? Jauh bezanya!

Terdapat juga dakwaan bahawa GST paling adil, kerana ia adalah cukai yang dikutip daripada semua orang. Menurut pandangan ini, terlalu sedikit warga Malaysia yang membayar cukai pendapatan. "Cukai untuk semua" – maka dengan adanya GST, ia dilihat sebagai keadilan untuk segelintir pembayar cukai sedia ada setelah sekian lama menunggu.

Namun kita harus maklum, bahawa 60% isi keluarga menjadi sasaran BR1M. Ertinya 60% isi keluarga di Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah sebulan. Fakta ini dengan sendiri merupakan satu kenyataan yang memedihkan.

Golongan ini tidak bayar cukai kerana mereka tidak berkemampuan untuk membayar cukai, iaitu tidak mencecah garis di mana mereka dikehendaki untuk membayar cukai. Kemudian ada pihak pula yang melontarkan kenyataan bahawa alat domestik keperluan golongan miskin akan dikecualikan GST.

Persoalannya, siapakah yang ditakrifkan sebagai golongan miskin? Jikalau 60% isi keluarga masih memerlukan bantuan – maka apakah kita berhempas-pulas untuk menggubal satu sistem percukaian, yang berakhir dengan pengecualian perbelanjaan 60% populasi?

Apa pula yang dimaksudkan dengan alat domestik keperluan golongan miskin? Bagaimana kita bezakan antara alat domestik keperluan orang biasa dengan keperluan orang miskin?

Lagi hujah bahawa cukai jualan boleh dikurangkan selepas GST dikenakan, malah cukai pendapatan boleh dikurangkan pada masa akan datang. Cukai pendapatan Malaysia padahalnya memeras golongan menengah yang berpendapatan antara RM5,000 hingga RM10,000 sebulan. Ini hakikat yang harus diakui.

Sistem pencukaian ini perlu diperbaiki untuk mengurangkan beban isi keluarga berpendapatan sederhana, dan dialihkan kepada golongan yang benar-benar berpendapatan tinggi. Namun cukai pendapatan yang dikenakan di Malaysia tidak mencecah paras 50% ke atas, sebagaimana Britain, Australia dan negara maju yang lain sebelum melaksanakan GST. Ruang terlalu terhad untuk dikurangkan lagi cukai pendapatan Malaysia.

Padahal, kerajaan agak berterus-terang untuk mengumpamakan GST sebagai ubat pahit untuk mengimbangi pendapatan dan perbelanjaan kerajaan. Yang pahit itu dirasai rakyat jelata, supaya kerajaan boleh terus memboros dalam keseimbangan. Satu lagi masalah pokok, iaitu menyembelih ayam untuk telurnya. Sejak dahulu Malaysia bergantung kepada Amerika Syarikat dalam bidang eksportnya.

Tetapi untuk beberapa tahun kebelakangan, AS sendiri dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mengimport produk hasil negara Asia. Pertumbuhan ekonomi Malaysia dipacu dengan pasaran domestik (perbelanjaan rakyat jelata), sekurang-kurangnya sejak tiga tahun yang lalu. Kebanyakan perbelanjaan dilakukan dengan pinjaman, mencatatkan Malaysia sebagai negara Asia kedua tertinggi dalam hutang isi rumahnya. Maklumlah kesengsaraan yang bakal menimpa apabila kegawatan ekonomi berlaku.

GST secara dasarnya mencukaikan mereka yang tidak berkemampuan untuk dicukaikan. 60% populasi menerima bantuan BR1M, yang padahalnya tidak perlu dicukai, kini terpaksa dicukai. Selepas dikenakan GST, maka perbelanjaan dalam pasaran domestik akan dikurangkan. Padahnya bukan sekadar inflasi, ia boleh mengakibatkan permintaan domestik yang rendah, dan kemudian mengundang kemelesetan ekonomi.

Tiada ulasan: