Isnin, 21 Oktober 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Dr Asri: Kalimah Allah Milik Semua

Posted: 21 Oct 2013 07:00 AM PDT


[SH] SHAH ALAM – Isu kalimah ALLAH yang bermula pada 2009 kembali panas selepas Mahkamah Rayuan Isnin lalu menetapkan majalah The Herald tidak boleh menggunakan kalimah tersebut dalam percetakan mereka.

Namun, persoalan yang terus bermain di minda rakyat sekarang adalah, adakah kalimah tersebut boleh dibenarkan atau tidak kepada bukan Islam? Ada yang berasa boleh dan ramai yang berkata tidak boleh. Malah, percanggahan begini boleh mengelirukan umat Islam serta bukan Islam.

Pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, setiap hari orang Islam seluruh dunia melafazkan ayat dalam Surah al Fatihah, yang berbunyi 'segala puji bagi ALLAH Tuhan segala alam'.

"Tiada Muslim pun yang menyebut 'segala puji bagi ALLAH Tuhan kaum Muslimin sahaja'. Ini kerana Muslim mengakui ALLAH itu Tuhan untuk semua, bukan untuk kaum dan pihak tertentu sahaja.

"Maka isu kalimah ALLAH tidak pernah timbul di negara-negara Arab. Bahkan mereka mungkin sukar untuk faham dan hairan apabila kita memberitahu kita menghalang pihak Kristian memanggil Tuhan itu ALLAH. Di Sabah dan Sarawak juga sudah berpuluh tahun mereka
menggunakannya," kata bekas Mufti Perlis itu.

Katanya, isu kalimah ALLAH ini menjadi sejarah menarik dan tersendiri di Semenanjung Malaysia kerana masalah ini tidak pernah wujud di negara-negara Arab kerana Kristian Arab menggunakan perkataan ALLAH apabila merujuk kepada Tuhan sejak sebelum dan selepas
zaman Nabi Muhammad SAW.

"Bahkan kaum Quraisy sebelum kehadiran Nabi Muhammad SAW juga guna nama ALLAH. Bapa Nabi Muhammad SAW bernama Abdullah, yang bermaksud hamba ALLAH,padahal bapa Nabi Muhammad SAW tidak sempat pun bertemu dengan Nabi Muhammad SAW sebagai Rasulullah," katanya.

Kata Asri, Kristian Qibti di Mesir juga sejak sekian lama memanggil Tuhan sebagai ALLAH.

"Demikian juga Kristian Lebanon dan Jordan. Gereja-gereja mereka berdoa dengan memanggil ALLAH sejak zaman silam. Apa yang hendak dihairankan, asal-usul ajaran mereka dari ajaran Nabi Isa AS.

"Bukan sahaja perkataan ALLAH. Banyak lagi perkataan yang membabitkan akidah yang sama antara Islam dan Kristian, (termasuk) nama para nabi; Ibrahim, Musa, Harun, Isa dan lain-lain," katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan di Malaysia berbeza dan tidak mengizinkan kalimah ALLAH digunakan oleh bukan Islam, malah kerajaan boleh menetapkan peraturan supaya tidak berlaku kekeliruan sehingga menyebabkan provokasi.

"Berdasarkan hukum agama, kalimah ALLAH adalah untuk semua lapisan masyarakat, tanpa mengira agama, bangsa dan budaya. Demi kesejahteraan dan menghormati beberapa negeri, ia diselaraskan supaya tidak dibenarkan. Kerajaan perlu juga harus tampil menjelaskan mengapa ia (kalimah ALLAH) tidak boleh digunakan.

"Mungkin ada sesetengah pihak mendakwa kalimah ALLAH di dalam Bible seolah-olah ada agenda tertentu. Kerana itu, saya katakan, kerajaan tampil dengan peraturan sebegini. Cuma, tiada penjelasan yang dibuat. Mesti ada hujah," katanya.

Dalam membuat perbandingan isu kalimah ALLAH di negara ini, Asri turut memberi satu contoh di mana seorang pekerja kaunter keluar menunaikan solat sunat dhuha, dan ketiadaan pekerja kaunter itu menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut walaupun untuk beberapa minit.

"Lalu ketuanya mengeluarkan peraturan, tidak membenarkan solat dhuha di pejabat kerana tidak mahu keadaan yang sama berulang. Ia jelas, bukan tidak membenarkan solat, tetapi jangan dilakukan pada waktu bekerja, memandangkan pekerjaannya berbentuk perkhidmatan," katanya.

Asri berkata, kalimah ALLAH sebenarnya sudah lama digunakan masyarakat bukan Islam, termasuk dalam lagu negeri masing-masing.

"Pernah ke dengar (dalam) lagu negeri, baris yang ada kalimah ALLAH, orang bukan Islam tukar kepada nama Tuhan mereka?

"ALLAH adalah untuk semua. ALLAH itu menjelaskan Tuhan yang satu. Contoh lain yang saya ambil, seorang Cina mengatakan: 'Hari ini Tuhan ALLAH kasi turun hujan. Adakah kita nak marah Cina itu? Adakah perlu kita betulkan ayatnya dengan mengatakan Tuhan kamu bukan ALLAH? Jika ada, ia sudah tidak mengesakan ALLAH lagi," katanya.

"Itu adalah realiti. Kalau ada yang keliru, mereka tidak jelas dengan akidah. Saya tidak bela orang kafir, tetapi kafir di Arab menggunakan kalimah ALLAH sejak dahulu lagi.

"Mereka ini digelar musyrikin kerana mendakwa ada tuhan lain selain ALLAH. Ia sudah tertulis di dalam al-Quran," katanya. - 20/10/13



Mimpi Ngeri Pelancong Vietnam Dirogol dan Disamun Pemandu Teksi

Posted: 21 Oct 2013 06:06 AM PDT


Serah Tubuh Bayar Tambang

[HM] Kuala Lumpur: Maruah diri sebagai bayaran tambang teksi. Itu yang terjadi kepada seorang pelancong dari Vietnam yang tergadai maruah dirinya selepas gagal membayar tambang teksi, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa berusia 38 tahun datang ke negara ini untuk melancong selama seminggu sebelum mengambil keputusan melawat kakaknya yang tinggal di Jalan Mega Mendung, Taman OUG.

Sumber polis berkata, mangsa yang menaiki teksi di Jalan Kuchai Lama itu meminta dihantar ke rumah kakaknya malangnya pemandu teksi itu membawanya ke tempat lain sebelum meminta bayaran RM150 sebagai tambang.

Menurutnya, mangsa yang hanya ada RM50 ketika itu meminta pemandu teksi terbabit menghantarnya ke rumah kakaknya dulu dan akan membayar wang selebihnya selepas itu.

"Namun, lelaki itu melencong ke kawasan lain sebelum berhenti di kawasan gelap dan menyatakan mangsa perlu membayar tambang istimewa jika mahu pulang ke rumah kakaknya," katanya.

Katanya, mangsa yang ketakutan menyerahkan AS$500 (RM1,500) namun lelaki itu yang masih tidak berpuas hati merampas pula telefon bimbit mangsa.

Beliau berkata, tidak cukup dengan itu, mangsa yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan dipaksa melayan nafsu seks pemandu teksi itu pula.

"Selepas dirogol, mangsa kemudiannya dihantar semula ke Jalan Kuchai Lama.

"Mangsa turut diugut agar tidak membuat laporan polis," katanya.

Bagaimanapun mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Petaling. -19/10/13



P/s: Pelancong ini mesti trauma setiap kali membaca fakta bahawa Malaysia ialah negara paling selamat di Asia Tenggara.



RM270j untuk Latih Guru Bahasa Inggeris

Posted: 21 Oct 2013 06:00 AM PDT


MP Persoal RM270j untuk Latih Guru BI

[MK] MP Bukit Bendera Zairil Khir Johari mempersoalkan sejumlah RM270 juta yang dibelanjakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sepanjang tiga tahun lalu untuk membayar perunding luar bagi melatih guru bahasa Inggeris tempatan.

Katanya, jumlah tersebut merupakan pembaziran lebih besar oleh kementerian tersebut berbanding RM20 juta yang dibayar kepada firma perunding McKinsey untuk Pelan Pembangunan Pendidikan.

Katanya, kerajaan sememangnya wajar meningkatkan mutu guru tersebut, namun kementerian itu tidak sepatutnya melantik perunding dengan pulangan yang tidak berpatutan dengan kos.

Beliau yang merujuk kepada satu jawapan bertulis di Parlimen berkata, pilihan yang lebih murah dan lebih baik boleh didapati dari dalam negara, tambahnya.

Katanya, tiga perunding tersebut iaitu British Council, Brighton Education Group dan SMR HR Group, dianugerahkan kontrak mulai tahun 2011 hingga 2013 dengan kos keseluruhan berjumlah RM268.5 juta atau RM89.5 juta setahun.

"Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, firma terbabit akan menyediakan 360 orang mentor penutur jati bahasa Inggeris (120 mentor setiap firma) sepanjang tempoh tiga tahun.

"Jumlah perbelanjaan sebanyak RM270 juta untuk melatih 7,500 guru adalah bersamaan dengan RM36,000 bagi setiap guru dalam tempoh tiga tahun.

"Jumlah ini adalah lebih daripada kos untuk mendaftar guru yang sama ke program ijazah dalam bahasa Inggeris dengan struktur pembelajaran yang tersusun di sebuah universiti tempatan," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, program ijazah sarjana muda sastera dalam pengajian bahasa Inggeris di satu universiti swasta tempatan hanya melibatkan kos RM24,000, lebih rendah dari kos yang dibelanjakan untuk setiap guru terbabit.

"Tidak kira apa penjelasan yang diberikan oleh KPM, tidak ada alasan munasabah yang boleh mewajarkan jumlah yang tidak masuk akal untuk dibelanjakan bagi menyediakan apa yang sebenarnya merupakan cuti bergaji selama tiga tahun bagi 360 orang mentor penutur jati bahasa Inggeris," katanya.

Tambahnya, program tersebut hanya melibatkan "sesi bersama mentor" antara tiga hingga empat jam sebulan.

"Ini serta-merta menimbulkan persoalan tentang keberkesanan program mentor ini. Bagaimanakah seseorang itu diharapkan menguasai sesuatu bahasa dengan hanya tiga hingga empat jam latihan sebulan?," soalnya lagi. -21/10/13



Tiada ulasan: