Selasa, 15 Oktober 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


The Herald Dilarang Guna Kalimah Allah

Posted: 14 Oct 2013 03:32 PM PDT



[Mstar] PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan sebentar tadi memutuskan Gereja Katolik dilarang menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguannya - The Herald.

Keputusan itu dibuat tiga hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Panel tiga hakim itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Bernama melaporkan mahkamah mendapati bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

"Mengenai keterangan di hadapan kita juga kami berpuas hati bahawa bahan rujukan yang mencukupi telah dipertimbangkan oleh menteri (dalam negeri) dalam melaksanakan tugas dan kuasa berkanun mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

Beliau berkata ia juga penghakiman mahkamah bahawa keadaan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam permit penerbitan Herald melarang The Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.

"Ia merupakan dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama "Allah" bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian," kata Hakim Apandi yang membaca ringkasan keputusan itu.

Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal. -14/10/13

Berkaitan:

'Tetap menyembah Allah hingga tiba kerajaan-Nya'

[MK] Keputusan Mahkamah Rayuan yang melarang The Heraldmenggunakan kalimah Allah dalam penerbitan berbahasa Melayu untuk merujuk kepada Tuhan kepada penganut Kristian disambut dengan pelbagai reaksi.

Ketua biskop Malaysia Timur berkata, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak akan tetap menyembah "Allah".

Beliau malah mencabar pihak berkuasa dengan berkata: "Apa yang akan kamu lakukan".

Gerakan pula menjadi parti komponen pertama BN yang mengeluarkan kenyataan akhbar untuk menegaskan bahawa semua pihak dalam gabungan itu patut diambil pandangannya sebelum kerajaan membuat pendirian dalam isu itu.

Berikut pandangan pelbagai pihak berhubung keputusan hari ini.

Ketua Biskop Bolly Lapok
pengerusi Persatuan Gereja Sarawak

Gereja tidak perlu pembela dari luar untuk menentukan apa yang penting atau tidak kepada kepercayaan kami. Ia (keputusan) yang bertentangan dengan akal waras.

Buat masa ini, penganut Kristian di Sabah dan Sarawak akan terus hormat menyembah "Allah" ini sehingga kerajaan-Nya tiba. Dan kami mahu bertanya kepada kerajaan: Apa yang akan kamu lakukan tentangnya?

Abdullah Zaik Abd Rahman
presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Tinggalkan sebarang usaha yang akan menjejaskan keharmonian kaum kerana orang Islam di negara ini akan menentang sebarang niat jahat dari mana-mana pihak yang ingin mengancam masa depan mereka. -14/10/13

Hakim: Keputusan kes 'Allah' demi Islam

[MK] Penggunaan perkataan "dengan aman dan damai" dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan patut ditafsirkan sebagai keperluan melindungi kesucian Islam sebagai agama utama dalam negara dan melindunginya daripada sebarang ancaman, kata hakim kanan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali (kiri) berkata, perkataan itu dimasukkan ekoran kontrak sosial yang dipersetujui oleh pengasas negara ini.

"Penghakiman saya mendapati ancaman paling mungkin terhadap Islam, dalam konteks negara ini, adalah menyebarkan agama lain kepada umat Islam," katanya dalam penghakiman 43 halaman dalam kes berkaitan edisi bahasa Melayu, mingguan Katolik The Herald.

"Ini menjadi sebab kenapa Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan dimasukkan."

Beliau, bersama hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh daripada Mahkamah Rayuan sebulat suara membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2009 yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald.

Perkara 3(1), jelas Apandi, bukan sebahagian daripada cadangan Suruhanjaya Reid tetapi dimasukkan selepas bantahan, rundungan, perbincangan dan kesepakatan seluruh kumpulan berkepentingan.

Perkara itu menyebut Islam sebagai agama persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di negara ini. - 14/10/13




Tiada ulasan: